Sayu pandangan Darriz Imdad terhala kepada
sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di tengah
padang. Sepanjang hari menghabiskan waktu di Rumah Nur,
sukar dinafikan perasaan dicuit dengan pelbagai rasa.
Melihat pandangan dan anak mata si kecil yang
bertentang dengannya, sukar untuk dia menutup kesedihan
di jiwa. Baru dia sedar yang selama ini dia terlalu sibuk
mengejar kejayaan dunia, terleka diulit kemewahan yang ada di
sekelilingnya. Dan semua itu membuatkan dia terlupa ada hati
yang menderita dan terluka.
Nafas dihela berat. Dia berpaling pula ke kanan,
tersenyum melihat Aiman yang begitu ceria bermain dengan
PSP miliknya. Bukan setakat Aiman, malahan beberapa
orang budak lelaki turut sama mengendeng untuk melihat
kecanggihan permainan tersebut.
Hati Darriz Imdad berbolak-balik. Memang dia mampu
membelikan enam atau tujuh buah PSP untuk disumbangkan
kepada kanak-kanak di sini, namun ditegah pula oleh Kak
Mizah.
Kata Kak Mizah, mereka di Rumah Nur tidak mahu
anak-anak itu semua terleka dengan pelbagai jenis gadget.
Nanti tidak pandai bersosial sesama sendiri. Dan Darriz Imdad
akui kebenaran tersebut.
Dia juga selalu keluar melepak dengan kawan-kawannya
di luar negara dahulu, namun jarang mereka dapat berkongsi
kata. Masing-masing sibuk menghadap handphone, sibuk
mengupdate status Facebook atau juga mengupload gambar di
laman Instagram. Apa nama duduk semeja kalau tidak berbual
sesama sendiri?
Pandangan kembali semula ke padang yang luas.
Petang-petang mengambil angin begini, dia rasa begitu tenang
dan damai. Tengah hari tadi dia sudah duduk berbincang dengan
kontraktor dan juga Kak Mizah selaku pentadbir di Rumah Nur.
Projeknya kali ini besar juga kerana dia bercadang
ingin membaiki surau, menaik taraf tandas, menyediakan
pelbagai jenis permainan di tepi padang, serta membina kolam
renang di bahagian belakang.
Tanah lapang di kawasan itu memang luas. Daripada
dibiarkan bersemak dengan lalang, lebih baik diusahakan
sebaiknya. Lagipun budak-budak memang sukakan kolam
renang, jadi mereka boleh menghabiskan banyak masa di situ.
Tapi keputusan untuk membina kolam tersebut masih belum
dicapai. Apa-apa pun cadangan itu perlu sampai ke pengetahuan
Puan Norizan terlebih dahulu.
“Darriz, kamu dah nak balik ke?”
Terkejut Darriz dengan pertanyaan yang singgah ke
telinganya. Dia berpaling, dan kemudian tersenyum kepada
wanita lingkungan 40-an itu.
“Belum lagi Kak Mizah, saya balik sekejap lagi.”
Hamizah tersenyum seraya menganggukkan
kepalanya. Kemudian dia melabuhkan duduk di atas bangku
kayu bersebelahan dengan Darriz Imdad. Pandangan jatuh pula
kepada Aiman, Radhi dan Mamat yang sibuk bermain dengan
PSP.
“Amboi Aiman, sampai tak nampak ibu dekat sini.
Seronok ke jalan-jalan dengan uncle tadi?”
Si kecil bernama Aiman itu mengangkat muka sekilas
kepada Hamizah, kemudian mengangguk dengan sengihan
lebar.
“Seronok. Uncle belikan Aiman banyak mainan dan
baju. Lepas tu Uncle Im belikan Aiman aiskrim besar, ibu.”
Keletah sekali mulut kecil itu menuturkan kata.
“Iye? Aiman suka ke?”
“Suka, ibu!” Jawab Aiman petah.
Hamizah tertawa kecil, begitu juga Darriz Imdad.
Namun kini perhatian dan tumpuan si kecil itu begitu pantas
beralih kepada PSP di tangan.
“Kamu bawak Aiman ke mana tadi Darriz? Bukan main
banyak lagi kamu belikan baju untuk budak-budak ni semua.
Tak menyusahkan kamu ke, Darriz?” Soalnya dengan rasa
sedikit segan.
Darriz Imdad tertawa kecil. Kepala digeleng sekali.
“Tak ada apa yang susahnya Kak Mizah. Pilih yang
mana berkenan, lepas tu bayar. Lagipun itu aje yang mampu
saya buat untuk hari ni...”
“Alhamdulillah, itu pun dah cukup sangat-sangat
Darriz. Aiman ada buat hal tak masa dekat bandar tadi?”
“Tak ada kak, dia baik dan behave aje. Senang saya jaga
dia tadi.” Jawab Darriz Imdad jujur.1
Tangan singgah melurut kepala Aiman. Awalnya
tadi dia berasa gusar juga kerana tidak pernah menjaga anak
kecil, tapi syukurlah kerana segalanya berjalan lancar. Aiman
tidak ada pula buas berlari ke sana sini, elok saja melekat dan
memimpin tangannya.
“Baguslah tu, dia memang sukakan kamu
sangat-sangat.”
Lebar senyuman di bibir Darriz Imdad, terharu.
Jujurnya dia tidak pernah punya hubungan begini dengan
sesiapa. Malahan dia sendiri tidak pernah melayan adik-adiknya
sebagaimana dia melayan Aiman ketika mereka kecil dahulu.
Maklum sajalah, dia terlalu sibuk mengejar cita-cita sehingga
meletakkan hubungan itu di tangga kedua.
“Kak Mizah, saya tanya sikit boleh?”
“Boleh, apa tak bolehnya. Kamu nak tanya pasal apa?”
Senyuman di bibir Darriz Imdad terukir kelat. Serba
salah. Tapi entah kenapa perkara itu tetap juga bermain-main
dalam fikirannya.
“Saya nak tanya pasal Zenia...”
“Pasal Zenia?” Kening Hamizah berkerut-kerut
kehairanan.
“Err... betul ke dulu Zenia tinggal dekat rumah ni,
kak?”
Hamizah tercengang, dan kemudian tertawa kecil. Dia
mengangguk beberapa kali.
“Betullah tu Darriz, memang Zenia membesar kat sini.
Kalau tak silap akak, masa umur dia enam tahun dia dah tinggal
dengan kami.”
“Oh...” Darriz Imdad mendesis penuh simpati.
“Mak ayah Zenia dah meninggal dunia?”
“Haah, diaorang meninggal sebab kemalangan masa
tu. Zenia pun anak tunggal, jadi dia dihantar terus ke sini. Tak
ada saudara-mara nak bela dia...” Luah Hamizah dengan nada
sayu. Mudah benar dia jatuh simpati kepada Zenia yang baik
dan lemah lembut itu. Namun sesaat kemudian, dia kembali
memandang kepada Darriz Imdad yang kelihatan termenung
jauh.
“Boleh akak tahu kenapa kamu tanya pasal Zenia?”
Tersentak Darriz Imdad dengan pertanyaan Kak Mizah.
Segera dia tersenyum menutup gelabah di hati. Dan dia tidak
mahu dituduh sebagai lelaki yang sibuk mengorek cerita
tentang isteri orang.
“Saja tanya kak, sebab saya pun tak kenal sangat
dengan Zenia tu...”
“Iye, akak faham sebab kamu banyak staf bawah kamu,
kan? Manalah nak kenal semua...” Tawa Hamizah terlepas kecil.
“Ini kalau Zenia tahu kamu nak buat swimming
pool dekat belakang tu, mesti dia suka. Dari dulu lagi dia dah
berangan-angan nak kumpul duit dan bina kolam renang untuk
budak-budak kat sini.”
Air muka Darriz Imdad berubah dan berseri-seri. Tidak
sangka impian Zenia bakal termakbul dengan sumbangan
ikhlasnya nanti. Ah, sekali lagi dia terlalu memikirkan kehendak
dan kebahagiaan Zenia. Dia patut berhenti menurutkan
perasaan di hati!
“Kak, saya rasa saya gerak dululah kak. Hari pun dah
petang ni, sekejap lagi time makan diaorang semua, kan?” Ujar
Darriz Imdad seraya menilik jam tangan yang sudah hampir ke
pukul enam setengah petang.
“Hah, yalah Darriz. Terima kasih banyak-banyak sebab
banyak tolong kami kat sini.”
“Tak ada apalah kak, saya cuma bantu mana yang
perlu.” Balas Darriz Imdad merendah diri. Pandangan jatuh
pula kepada Aiman yang masih ceria melayan PSP. Kepala si
kecil itu disentuh lembut.
“Aiman, Uncle Im nak balik ni...”
Teguran itu membuatkan Aiman terdongak kepadanya.
Senyuman di bibir kecil itu padam serta-merta, mata yang bulat
juga berubah layu.
“Uncle Im nak balik sekarang ke? Tapi hari belum gelap
lagi...”
Sayu sekali suara Aiman mencecah ke telinga Darriz
Imdad. Dan kemudian Aiman menghulurkan PSP kepadanya.
“Eh, Aiman dah tak nak main lagi ke? Uncle Im
memang bagi Aiman PSP ni, tapi ibu kena simpankan ya. Bila
petang baru ibu bagi Aiman main, tapi tak boleh lama tau?”
Aiman menggeleng dengan bibir tercebik-cebik sedih.
“Aiman tak nak PSP, Aiman nak ikut Uncle Im.”
“Aiman nak ikut Uncle Im balik ke?” Darriz Imdad
menyoal dengan nada tidak percaya. Serba salah pula dia
melihat mata jernih itu mula berkaca-kaca.
“Hesy, tak boleh macam tu Aiman. Uncle Im busy,
mana boleh Aiman ikut Uncle Im.” Sampuk Hamizah dengan
nada lembut namun berbaur peringatan.
“Aiman nak ikut Uncle Im, Aiman janji Aiman akan
baik macam siang tadi...”
Ya Allah... Darriz Imdad membuang pandang ke sisi.
Keluhan panjang dilepas dengan perasaan kian tersepit. Dia
kalah dengan rayuan Aiman yang terlalu menyedihkan! Tidak
tergamak dia mahu menghampakan perasaan si kecil itu.
“Tak boleh sayang, lain kali Uncle Im datang lagi ya.
Jom ikut ibu masuk dalam, kita pergi mandi dan makan okey.”
Pujuk Hamizah bersungguh-sungguh. Dia bangkit dan menarik
lembut tangan Aiman, namun Aiman masih menunjuk keras
kepalanya.
“Aiman nak ikut Uncle Im, ibu... Aiman nak ikut Uncle
Im!”
Kali ini tangisan kecil sudah kedengaran di telinga
Darriz Imdad. Dia menoleh kepada Aiman dan Kak Mizah,
senyuman kelat diukir untuk menutup kesayuan di dada. Aiman
memang anak yang comel dan manja, dan dia benar-benar rasa
bersalah kerana tidak dapat menggembirakan hati Aiman lebih
lama lagi.
“Aiman, Aiman masuk dulu ikut ibu. Uncle Im janji,
nanti Uncle Im datang lagi ya. Lepas tu kita boleh keluar
jalan-jalan makan aiskrim, nak?” Pujuknya lembut.
“Tapi Aiman tak nak Uncle Im hilang...”
“Uncle Im takkan hilang, Uncle Im akan datang lagi
jumpa Aiman...”
Setelah dipujuk berkali-kali, barulah Aiman mengalah
dan menurut. Biarpun masih menangis teresak-esak, namun
si kecil itu terpaksa juga mengikut Hamizah masuk ke dalam
rumah.
Seketika Darriz Imdad termenung sendiri, berasa sepi
ditinggalkan begitu. Tangan menyentuh dada yang begitu perit
dan pedih. Sungguh! Tangisan Aiman seperti menyiat-nyiat
seluruh perasaannya. Dia jadi keliru... dia memang ada perasaan
sehalus inikah?
Pinggan berisi telur dadar diletakkan di atas meja makan.
Kemudian Zenia kembali semula ke dapur untuk membancuh
minuman buat Fakhry. Ketika leka mengacau bancuhan teh
panas di dalam mug, fikiran Zenia melayang kepada perbualan
bersama Kak Mizah sebentar tadi. Dia masih ingat betapa
terujanya Kak Mizah bercerita tentang hasrat Darriz Imdad
mahu menaik taraf Rumah Nur. Dan yang paling mengejutkan,
lelaki itu turut mahu menaja kos pembinaan kolam renang di
sana.
Sungguh Zenia tidak menyangka impian dan hasrat
yang ditanam dalam hati selama ini akan menjadi kenyataan
melalui sumbangan orang lain. Benarlah kata Kak Mizah, Darriz
Imdad memang seorang lelaki yang amat baik. Bukan setakat
mahu membantu kebajikan anak-anak di sana, malahan sifat
penyayang Darriz Imdad begitu ketara. Menurut Kak Mizah,
Aiman menangis semahunya selepas Darriz Imdad beredar
petang tadi.
Jelas sekali ketuanya itu memang punya sifat penyayang
dan cukup merendah diri. Bukan dia mahu membeza-bezakan,
tapi Kak Mizah sendiri memberi komen yang sikap Darriz
Imdad jauh berbeza dengan sikap Fakhry. Kalau Fakhry
pula, baru duduk dua jam di Rumah Nur sudah mula panas
punggung. Macam-macam alasan diberi asalkan boleh segera
meninggalkan rumah tersebut.
Bukan setakat itu saja, mulut Fakhry banyak pula
menceceh dan membebel kepadanya. Panaslah, bisinglah, rimas
dengan suara budak-budaklah... semua serba tidak kena. Pelik
betul perangai suaminya. Takkanlah tak ada langsung perasaan
sayang atau simpati atas nasib anak-anak kecil di sana? Dasar
hati batu!
“Dinner dah siap ke belum? Aku lapar ni.”
Terkejut Zenia yang masih termenung di kabinet
dapur. Dia segera berpaling ke belakang, memandang Fakhry
yang berdiri tegak di ambang pintu. Seperti biasa wajah lelaki
itu serius tanpa segaris senyuman. Tanpa menjawab pertanyaan
Fakhry, Zenia segera menapak ke ruang makan dengan tangan
memegang mug berisi minuman. Ketika melintasi lelaki itu di
ambang pintu, perasaannya berubah sedikit gerun. Bimbang
jika kejadian semalam berulang kembali. Manalah tahu...
“Kau sekarang ni dah tak reti nak bercakap ke apa?
Aku tanya tu lain kali jawablah.” Kompelin Fakhry setelah dia
mengambil tempat di meja makan.
Zenia yang masih berdiri sambil menyenduk nasi ke
pinggannya dijeling dengan rasa meluat. Sikap Zenia yang acuh
tidak acuh seperti itu semakin menyemarakkan perasaan benci
di dada.
“Kenapa kau tak nak pergi office dengan aku pagi tadi?”
Zenia masih mendiamkan diri dan pura-pura sibuk
menyusun pinggan yang sudah rapi tersusun di atas meja.
Sedikit pun dia tidak memandang ke wajah Fakhry biarpun dia
tahu lelaki itu masih merenung tajam kepadanya.
“Hei, kau pekak ke atau kau saja nak sakitkan hati
aku?”
Suara Fakhry yang kedengaran tegas membuatkan
Zenia kecut perut. Wajah diriakkan tenang biarpun dada sudah
berpalu kencang. Bimbang juga kalau-kalau pinggan dan
mangkuk di atas meja terbang ke kepalanya.
“Hmm... I dah janji nak pergi office dengan Nadzirah.”
“Hah, pandai pulak kau bercakap.” Sindir Fakhry
geram. Tangan menyudu kuah asam pedas dan dicurahkan
ke atas nasi di dalam pinggannya. Melihat Zenia berkira-kira
untuk beredar, pantas dia mengangkat sebelah tangan.
“Kau nak ke mana pulak tu?”
Langkah Zenia kaku. Nafas ditarik panjang sebelum
membalas.
“I nak naik atas, I dah kenyang.”
Sinis tawa Fakhry terlepas dari bibir. Dah kenyang
konon! Padahal dia tahu benar yang Zenia sengaja memprotes
sikapnya semalam. Beria sangat nak marah, macamlah dia
rogol betul-betul!
“Isteri jenis apalah kau ni, Zenia. Suami kau tengah
makan, kau tak reti-reti nak layan ke?”
Sindiran Fakhry membuatkan perasaan Zenia berapi
dengan rasa geram. Selama ini dia melayan Fakhry dengan baik,
makan pakai sentiasa dijaga rapi. Tapi apa yang dia dapat? Selain
daripada kecurangan berkali-kali, tubuh dia juga menerima
tangan dan kaki sebagai balasan. Lagi mahu persoalkan dia ini
isteri jenis apa sedangkan diri Fakhry sendiri pun tak betul!
Walaupun menggerutu dengan perasaan tidak puas
hati, Zenia akur juga melabuhkan duduk di meja makan. Semua
ini hanya syarat kerana dia tahu Fakhry hanya akan menyentuh
sedikit sahaja hidangan yang dia sediakan. Dan selepas itu
Fakhry akan keluar merambu dan berfoya-foya di luar seperti
kebiasaannya.
“Aku nak tanya kau something...” Fakhry memandang
Zenia dengan mulut masih mengunyah makanan.
“Ada bos kau yang nama Darriz tu cerita apa-apa pada
kau?”
Tercengang Zenia dengan pertanyaan Fakhry. Dada
sedikit berdebar. Bimbang juga jika Fakhy tahu tentang
pertolongan Darriz Imdad terhadapnya tempoh hari. Walaupun
Fakhry tidak mungkin cemburu, tapi lelaki seorang ini memang
suka bergaduh dengan orang.
“Cerita apa maksud you?”
“Cerita apa-apalah pasal aku. Ada?”
Perlahan Zenia menggeleng dengan mata masih
melekat kepada Fakhry. Jenuh dia mencari kaitan antara Darriz
Imdad dan Fakhry, namun gagal.
“Encik Darriz tak ada cerita apa-apa pun pasal you.
Kenapa you tanya?”
“Saja. Aku terserempak dengan dia hari tu.” Jawab
Fakhry selamba.
“Bos kau tu memang perangai macam celaka, kan?
Kalau aku tak fikir dia tu bakal abang ipar Farel, dah lama aku
ajar dia cukup-cukup!”
Semakin resah perasaan di dada Zenia melihat amarah
Fakhry. Di kepalanya dia masih beranggapan yang Fakhry marah
tentang pertolongan Darriz Imdad tempoh hari. Tapi bukan
mereka ada buat benda-benda tidak elok pun, lelaki itu cuma
menghantar dia ke klinik dan balik ke rumah. Jangan-jangan
ada jiran yang ternampak dan mengadu kepada Fakhry, tak?
“Kenapa you marah sangat dengan Encik Darriz tu?
Apa salah dia pada you?” Zenia pura-pura bertanya.
“Sebab dia tu berlagak bagus! Dia ingat dia kaya-raya,
aku heran? Pergi mampus!” Gerutu Fakhry dengan nada
meninggi.
“Aku paling pantang kalau orang sibuk nak campur
urusan hidup aku. Dia ingat dia tu siapa nak sekolahkan aku?”
Kali ini Zenia terpinga-pinga. Daripada apa yang
diluahkan Fakhry, dia yakin perkara itu tidak ada kena-mengena
dengan pertolongan Darriz Imdad terhadapnya. Jadi kenapa
Fakhry marah sangat? Namun beberapa saat kemudian dia
melepas keluhan berat. Boleh mengagak apa yang telah berlaku
antara suaminya dengan Darriz Imdad.
“Encik Darriz ada terserempak dengan you dekat
luar ke?” Duganya berterus terang. “Dia nampak you dengan
perempuan lain?”
Dengusan Fakhry kedengaran jelas. Pinggan yang
masih berbaki separuh nasi ditolak ke tengah meja.
“Yes, dia nampak aku dengan Melly. So what? Dia nak
mengadu pada kaulah konon. Eh, aku tak kisahlah kalau dia nak
mengadu dekat kau ke apa. Yang aku kisahkan mulut dia yang
macam sial tu!”
Terpempan Zenia dengan kata-kata Fakhry. Jadi
sekarang Darriz Imdad sudah tahu kecurangan Fakhry? Sudah
nampak tiang rumah tangganya yang goyah? Ah, memalukan
betul!
“Yang you ni pun satu, kenapa tak coverline langsung?
Tak pasal-pasal dia nampak you dengan perempuan tu.”
“So? Apa aku kisah?” Sindir Fakhry dengan muka
mengejek. “Aku ni bukan jenis lelaki pengecut Zenia, aku
bukan macam tu. Lantaklah kalau dia ternampak aku dengan
perempuan lain pun!”
“Are you out of your mind? You tahu kan dia siapa?”
“He’s your boss, so what? Kau dah kenapa beria-ia
sangat nak coverline depan dia?”
“Sebab dia bakal abang ipar Farel! You lupa ke?” Soal
Zenia dengan nada sedikit tegas.
“Kalau dia beritahu Najiha macam mana? You tak fikir
ke yang Najiha akan mengadu pada Farel dan Farel pulak akan
sampaikan pada mama? You tak fikir ke?”
Sesaat Fakhry terkedu sendiri. Entah kenapa dia tidak
fikir sampai ke tahap itu. Tapi apa lagi yang boleh dia lakukan,
benda sudah pun berlaku. Kalau Darriz Imdad itu jenis lelaki
mulut tempayan, memang tidak selamat rahsianya. Silap-silap
sakit mama semakin parah bila mendengar berita yang dia telah
menduakan Zenia.
“Dahlah, aku malas nak cakap pasal ni. Keluar lagi
bagus!”
Melihat Fakhry bangkit berdiri, semakin geram
perasaan Zenia. Inilah Fakhry, jenis lelaki yang suka lari
daripada masalah. Yang pergi buat hal bukan-bukan siapa
suruh! Gerutu hatinya geram.
Dan setelah Fakhry keluar seraya menghempas pintu
utama, perasaan Zenia kian tertekan. Sekarang Darriz Imdad
sudah tahu Fakhry curang terhadapnya, lelaki itu pasti boleh
mengagak yang rumah tangga mereka tidak pernah aman.
Sungguh! Dia berasa terlalu malu untuk bertemu
muka dengan Darriz Imdad selepas ini. Dia yakin Darriz Imdad
akan menunjukkan simpati dan dia tidak mahu begitu. Ah,
Fakhry memang betul-betul menyusahkan orang!
No comments:
Post a Comment