Kerana tidak ada apa-apa rancangan pada hari
Ahad, Zenia mengambil keputusan untuk ke Rumah Nur bagi
melapangkan fikiran. Lagipun Fakhry masih bergelumang
dalam selimut dan dia tidak mahu berlama-lama di rumah
bersama lelaki itu. Bimbang juga kalau Fakhry bertindak lebih
jauh berbanding dahulu.
Tahu sajalah kalau orang mabuk, fikiran dan akal tidak
lagi lurus. Hanyut entah ke alam mana sehingga tidak tahu
mana yang betul dan mana yang salah. Kadangkala yang ada di
depan mata orang lain, tapi yang dilihat oleh mata pula orang
lain. Manalah tahu kot-kot Fakhry ternampak bayangan Melly
ketika memandangnya. Memang menakutkan!
Setibanya di Rumah Nur dengan sebuah teksi,
Zenia terus masuk ke pejabat untuk bertemu Kak Mizah.
Kebetulan pula dia datang ketika waktu makan tengah hari,
jadi dia mengikut Kak Mizah ke dewan makan untuk melayan
anak-anak kecil di sana. Perasaan Zenia terasa lapang setiap
kali memandang wajah-wajah ceria di hadapan mata. Terhibur
dengan gelagat dan mulut-mulut yang petah berbicara.
Walaupun ramai muka-muka baru yang tidak pernah dia lihat,
namun dia melayan mereka semua dengan mesra.
Jika dipandang pada sejarah Rumah Nur yang dibuka
oleh arwah bapa mentuanya kira-kira dua puluh tahun yang
lalu, memang banyak perubahan boleh dilihat. Ketika dia
tinggal di sini dahulu, Rumah Nur tidaklah mewah dan cantik
seperti sekarang. Hanya rumah papan yang dibina memanjang
dan menempatkan dua belas bilik kecil. Satu bilik didiami oleh
dua atau tiga orang kanak-kanak. Zenia masih ingat rakan
sebiliknya yang bernama Aini dan Farah.
Hubungan mereka bertiga memang rapat sehinggalah
masing-masing membawa haluan selepas masuk ke sekolah
berasrama penuh. Cuma sesekali ada juga dia bertanya kepada
Kak Mizah tentang perkembangan Aini dan Farah yang
dikatakan sudah berkahwin itu. Mahu menghubungi mereka
dia berasa segan pula memandangkan dia kini sudah bergelar
isteri kepada anak pemilik Rumah Nur sendiri. Mungkin Aini
dan Farah tidak akan tersalah anggap, tapi dia tetap berasa malu
dan segan.
“Kak, masa hari raya tahun lepas banyak tak diaorang
ni dapat sumbangan?” Tanya Zenia yang berdiri di sisi Kak
Mizah. Tangan ligat menyenduk lauk-pauk ke dalam tray
makanan yang dipegang oleh setiap kanak-kanak yang berbaris
di hadapannya.
“Sumbangan tu memang banyak Zen. Stok beras,
susu, milo, dan macam-macam makanan memang membukit
dalam stor kita tu. Syukurlah, rezeki budak-budak ni memang
murah.”
Mendengarkan balasan Kak Mizah, Zenia tersenyum
senang. Memang berbeza nasib anak-anak ini dengan nasib
mereka dahulu. Ketika itu belum banyak badan-badan korporat
mengambil bahagian untuk memberi sumbangan ke rumah
kebajikan.
“Mama masih tak terima undangan dinner atau majlis
berbuka puasa untuk diaorang ke, Kak Mizah?”
Hamizah yang sedang menyenduk nasi tersenyum
seraya menggelengkan kepalanya.
“Lepas kes budak-budak ni kena tipu dekat hotel dulu
tu, memang Puan tak nak terima undangan macam tu lagi dah.
Yalah Zen, kesian budak-budak ni. Yang tukang sponsor tu pun
satu, hati tak ikhlas dan buat kerana inginkan nama. Yang jadi
mangsa, anak yang tak berdosa ni semua. Hesy, kalau akak ingat
pun memang akak rasa geram sangatlah!”
Zenia mengangguk tanda bersetuju. Kes yang terjadi
tiga tahun lepas masih segar dalam ingatannya. Memang dia
tidak sangka ada manusia tergamak menyusahkan anak-anak
yatim ini demi kepentingan sendiri. Disuruh datang ke hotel
untuk majlis amal dan pemberian sumbangan, namun bila
majlis bermula, si organizer langsung tidak nampak muka.
Lesap entah ke mana sehingga anak-anak kecil ini kelaparan
menanti di lobi hotel.
Memang sedih kalau dikenangkan kejadian tersebut.
Dan kes tersebut meninggalkan kesan di hati ibu mentuanya
sehingga membawa kepada keputusan untuk tidak menerima
mana-mana undangan seperti itu lagi.
“Tapi akak rasa apa yang Puan buat tu memang betul,
Zen. Biarlah nama Rumah Nur ni tak popular macam rumah
kebajikan lain, asalkan nasib anak-anak ni semua terbela.”
Tambah Hamizah yang masih sibuk meletakkan makanan ke
dalam tray.
“Lagipun dah banyak badan-badan korporat yang
faham dengan pendirian Puan, jadi diaorang terus hantar
sumbangan ke sini. Senang sikit Zen, sebab tak melibatkan
budak-budak ni semua.”
Segaris senyuman nipis terbit di bibir Zenia. Dia
cukup mengerti dengan pendirian ibu mentuanya yang begitu
mementingkan kebajikan anak-anak yatim di rumah ini.
Memang hati Puan Norizan terlalu mulia dan luhur kerana
rela bersusah payah demi mereka semua di Rumah Nur. Dan
kerana sikap penyayang yang ditunjukkan, ibu mentuanya amat
disenangi oleh anak-anak seramai hampir seratus orang ini.
“Kak, mana Aiman? Zen tak nampak dia pun.” Tegur
Zenia seraya kepala terjenguk-jenguk pada barisan yang sudah
pendek. Hanya ada lima orang kanak-kanak masih beratur di
hadapannya untuk mengambil makanan.
“Aiman tak ada, Zen. Pagi-pagi lagi Darriz dah ambik
dia.”
Tercengang Zenia dengan balasan daripada Kak Mizah.
“Err... Encik Darriz ambik Aiman kak?” Dia bawak
Aiman pergi mana?”
“Akak lupa nak cerita dengan kamu, Zen...” Hamizah
tersenyum dengan rasa geli hati.
“Sebenarnya dari malam semalam lagi Aiman tu
demam meracau-racau panggil Uncle Im dia. Rindu sangat
agaknya. Akak ingatkan pagi inilah nak suruh Pak Kassim
bawak Aiman ke klinik, tapi tup-tup si Darriz pulak muncul.
Dah dia nampak Aiman tak sihat, terus dicempunginya ke
dalam kereta, tak cakap banyak dah!”
Terkelip-kelip mata Zenia apabila mendengar cerita
Kak Mizah. Seperti tidak sangka Darriz Imdad mempunyai
perasaan yang cukup penyayang seperti itu. Walhal bukannya
lama pun Darriz Imdad berhubungan dengan Aiman, baru
beberapa kali berjumpa. Tapi tidak dinafikan mana-mana hati
mudah mencair dengan sikap Aiman yang manja, comel dan
petah berkata-kata.
“Hmm... jadi sekejap lagi Encik Darriz hantar Aiman
balik ke sini la ya?”
“Yalah, akak dah pesan suruh hantar ke sini sebelum
petang. Mana boleh senang-senang bawak diaorang ni keluar
dari Rumah Nur, Zen. Akak tak nak nanti Puan risau dan
marahkan akak pulak.”
Zenia tersenyum kelat seraya menganggukkan
kepalanya.
“Mama kenal Encik Darriz tu, mama mungkin tak
kisah kut, kak.”
“Iye ke tak kisah? Hesy, akak takut jugaklah Zen. Kalau
apa-apa berlaku pada Aiman nanti, akak yang kena marah. Puan
tu kalau sesekali naik darah memang menakutkan tau!”
Terlepas tawa kecil di bibir Zenia. Selembut-lembut
ibu mentuanya, memang pedas juga ayatnya bila naik darah.
Lagi-lagi kalau hal itu melibatkan nasib anak-anak di Rumah
Nur ini.
“Kak, Zen nak pergi solat zuhur ni. Zen pergi masuk
office ya? Nak tumpang solat sekejap.”
“Eh, kamu tak nak makan dulu ke? Marilah makan
dengan budak-budak ni sekali.”
Kepala Zenia tergeleng dengan senyuman di bibir.
“Zen kenyang lagilah kak, tak rasa nak makan pun.”
“Hah, kalau macam tu tak apalah. Pergilah solat dulu,
kain telekung akak ada dalam almari dekat tempat solat tu.”
Zenia mengangguk tanda mengerti. Dan kemudian dia
terus keluar dari dewan makan menuju ke ‘ibu rumah’ yang
menempatkan pejabat pengurusan Rumah Nur. Nafas ditarik
panjang. Terasa aman, lapang dan tenang perasaannya apabila
berada di sini. Jauh berbeza dengan rumah besar yang telah
memenjarakan dirinya di sisi Fakhry...
“Aiman, kita dah sampai.” Tegur Darriz Imdad dengan
suara lembut. Melihat Aiman yang masih leka bermain PSP
menjenguk ke luar tingkap dengan muka tidak percaya, dia
tertawa pula.
“Dah sampai ke Uncle Im? Cepatnya... tak puas lagi
Aiman naik kereta Uncle Im.” Jelas nada suara halus itu berbaur
kehampaan.
Darriz Imdad tersenyum lagi. Tangan naik mengelus
kepala Aiman yang berambut lebat dan lurus.
“Aiman kan tak sihat, Uncle Im kena hantar Aiman
balik Rumah Nur cepat-cepat. Tengok tu, kawan-kawan Aiman
semua tengah main dekat padang. Aiman pergi join diaorang
main bola ya.”
“Tapi Aiman nak Uncle Im ikut sekali...”
“Iye, iye. Uncle Im temankan Aiman pergi sana okey.”
Pujuk Darriz Imdad penuh sabar.
Walaupun berasa aneh dengan perubahan diri sendiri
yang extra penyayang, namun dia tidak melihat semua ini
sebagai satu kekurangan. Malahan dia berasa bangga kerana
mampu menggembirakan hati anak kecil yang tidak punya
talian darah dengannya ini.
Setelah keluar dari perut kereta, Darriz Imdad
memimpin tangan Aiman menuju ke tepi padang. Sengaja
dia membawa Aiman untuk menikmati keseronokan di situ.
Menurut Kak Mizah, Aiman bukan seperti kanak-kanak lain
yang ceria dan suka bermain. Aiman lebih pasif, pendiam dan
suka memencilkan diri.
Ketika mengambil tempat di atas bangku kayu di tepi
padang, anak mata Darriz Imdad terhala lurus ke hadapan.
Tersenyum dia melihat kegirangan anak-anak kecil yang ceria
mengejar bola. Namun sesaat kemudian dada disapa debaran
kencang. Serta-merta lenyap ketenangan di jiwa.
Sungguh! Dia hampir tidak percaya dengan apa yang
dilihatnya kala ini. Zenia? Sebaris nama itu disebut lembut oleh
suara hati. Tidak menduga kemunculan gadis itu di Rumah Nur
ini.
Seketika Darriz Imdad hanyut dengan pemandangan di
hadapan mata. Melihat Zenia yang ceria berlari mengejar bola
bersama kanak-kanak di situ, sukar untuk dia menggambarkan
perasaan yang menerjah ke jiwa lelakinya. Zenia tampak begitu
santai, selesa dan sedikit pun tidak kekok melayan kerenah
mereka. Sesekali Zenia terjerit kecil, kemudian tertawa pula.
Berseri-seri wajah jelita yang sedikit berkeringat itu.
Nafas dihela panjang. Memang tidak jemu dia
memandang, terasa ingin ditatap keindahan begini sehingga ke
hujung nyawa. Beberapa minit memerhati tanpa lepas, barulah
Zenia perasan kehadiran dia di sini. Jelas riak wajah itu berubah
kemerahan, mungkin segan dan malu. Sejurus kemudian,
Zenia menapak perlahan menghampirinya dengan tangan
membetulkan ikatan rambut yang sedikit terurai.
“Err... Assalamualaikum Encik Darriz.”
Lebar senyuman Darriz Imdad terhala kepada Zenia
yang kini mengambil tempat di bangku sebelah.
“Waalaikumussalam. Dah habis exercise?”
Zenia tertawa kecil.
“Sorry, I tak perasan Encik Darriz ada dekat sini ,Aiman macam mana? Dah elok demam dia?”
“He’s getting better, I dah bawa ke klinik tadi.” Jawab
Darriz Imdad seraya menyentuh bahu Aiman yang masih leka
bermain dengan PSP.
“Aiman, tengok siapa ada dekat sini...”
Aiman mengangkat muka, mengintai Zenia yang
duduk di sebelah Darriz Imdad. Bukan main berseri-seri riak
wajah Aiman tatkala menyedari Zenia ada di situ.
“Aunty Nia!”
Melihat Aiman meloncat turun dari bangku dan
menerpa kepada Zenia, perasaan Darriz Imdad bagaikan
terawang-awang ke langit. Terharu melihat Zenia memeluk erat
tubuh kecil itu.
“Aiman dah okey? Aiman demam ya?” Zenia menyoal
dengan wajah masih ceria. Terharu juga perasaan di dada kerana
Aiman masih mengingatinya biarpun mereka jarang bertemu
seperti dahulu.
“Aiman demam sikit aje, tapi sekarang dah baik.”
“Hmm... macam mana boleh demam ni? Aiman
naughty ya?”
Bersungguh-sungguh Aiman menggelengkan kepala.
“Mana ada Aiman naughty, Aiman demam sebab
Aiman bosan kat sini.”
“Eh, boleh demam sebab bosan ya?” Zenia tergelak
kecil, dan dia lihat Darriz Imdad ikut sama tertawa.
“Kenapa Aiman nak bosan pulak, dekat sini kan ramai
kawan. Aiman kena kawan dengan abang-abang dan adik-adik
dekat sini, barulah Aiman tak boring.”
“Tapi Aiman tak suka, Aiman lagi suka kawan dengan
Uncle Im...” Suara itu berubah sayu dan perlahan.
Zenia tersenyum kecil. Dielus lembut kepala Aiman
dengan perasaan penuh kasih. Dia pernah tinggal di Rumah
Nur, dan dia mengerti penerimaan setiap anak-anak di sini
berbeza. Ada yang seronok dapat tinggal beramai-ramai begini,
ada juga yang tidak gemar kerana lebih suka hidup dalam
keluarga yang normal seperti orang lain.
“Aiman pergi mana dengan Uncle Im tadi?” Soal Zenia
setelah Aiman mengambil tempat di sisinya. Anak kecil itu kini
duduk tengah-tengah di antara dia dan Darriz Imdad.
“Pergi klinik, lepas tu Uncle Im bawak Aiman pergi
makan McDonalds.” Jawab Aiman lurus.
“Aiman suka McDonalds?” Tanya Zenia seraya
mengerling kepada Darriz Imdad. Dan menyedari anak mata
lelaki itu masih melekat kepadanya, pantas dia memindahkan
pandangan kepada Aiman yang menganggukkan kepalanya.
Dada mula berdebar-debar. Kekok.
“Zenia...”
“Err... ya, Encik Darriz?”
“How did you end up here? You memang selalu datang
ke sini bila hujung minggu ke?”
Payau senyuman yang terbit di bibir Zenia. Dia
menghala pandangan ke hadapan, merenung kosong kepada
tubuh-tubuh kecil yang masih berlari di tengah padang.
“Tak selalu Encik Darriz. Cuma hari ni I tergerak hati
nak ke sini...”
“Hmm... why? You ada problem Zenia?”
Sekilas Zenia berpaling kepada Darriz Imdad, kemudian
dia menggeleng dengan senyuman kelat di bibir.
“I’m fine Encik Darriz, I tak ada apa-apa masalah.”
Walaupun bibir Zenia menafikan, namun Darriz Imdad
tidak buta menilai air muka Zenia yang berubah keruh. Dan
dia yakin semua itu berpunca daripada sikap Fakhry yang tidak
setia dan mungkin melayan Zenia dengan teruk.
“You pernah tinggal kat sini, kan Zenia?”
“Ya Encik Darriz, I memang membesar kat sini...”
“Sorry for asking, tapi apa perasaan you bila terpaksa
duduk kat sini?” Tanya Darriz Imdad ingin tahu. Dia memang
mahu cuba menyelami perasaan dan jiwa Zenia sedalamnya.
“Memanglah ada perasaan sedih sebab hidup I tak
macam orang lain. I tak ada keluarga kandung yang boleh
menyayangi I...” Ujar Zenia dengan tawa kecil yang dibuat-buat.
“Tapi apa-apa pun I bersyukur sebab I ada tempat
berteduh dan tempat berlindung. Kira nasib I taklah seteruk
mana...”
“Sorry to hear that. I yakin Allah menguji hamba-Nya
dengan cara berbeza-beza. Tapi I tahu sekarang you dah bahagia
dengan hidup you, am I right?”
Seperti menelan butiran pasir, Zenia menelan liur.
Sedaya upaya dia cuba untuk tersenyum. Siapa kata sekarang
dia sudah bahagia? Hakikatnya kesedihan, kepayahan dan
kedukaan masih melekat kuat di tubuhnya. Kalau diikutkan,
hidup di Rumah Nur jauh lebih baik berbanding hidup di rumah
Fakhry. Dia memang tidak bahagia, tidak pernah bahagia di
samping lelaki itu.
“I bersyukur dengan apa yang I ada sekarang Encik
Darriz, I happy dengan life I...”
Darriz Imdad menarik nafas panjang. Dia tahu Zenia
berbohong sekali lagi, tapi dia tidak berniat untuk mendesak
sebuah kebenaran.
“You’re a great person, Zenia. I harap you bahagia
dengan hidup you, dunia dan akhirat.”
Terharu dan tersentuh perasaan Zenia dengan harapan
yang dilahirkan dari bibir Darriz Imdad. Demi Tuhan, tidak
pernah ada lelaki yang mendoakan kebahagiaannya sebegitu
rupa.
“You’re so kind Encik Darriz, thanks.” Ujarnya dengan
suara terharu.
“I’m really happy I met you. I hope you know that...”
Darriz Imdad membalas dengan mata masih merenung lembut
kepada Zenia.
Sesaat kemudian dia mengetap bibir. Semakin kalut
apabila melihat Zenia terkebil-kebil dengan apa yang dia
katakan sebentar tadi. Hesy, mulut ni memang celopar!
“Err... Zenia, I need to go now.”
“Encik Darriz nak balik?”
“Hah? Uncle Im nak balik ke?”
Darriz Imdad tersenyum kelat dengan soalan-soalan
yang singgah ke telinga. Dia memandang Aiman yang
mendongak kepadanya dengan wajah sayu. Spontan tangan
mengelus rambut anak kecil itu persis memujuk.
“Uncle Im kena balik sebab hari dah petang. Aiman
pun kena rest dan makan ubat tau. Nanti Uncle Im datang lagi
ya. Tengok, semua orang dah habis main bola. Aiman pergi balik
bilik dengan diaorang dulu, okey.”
“Tak nak! Kalau Aiman ikut Uncle Im, tak boleh ke?”
Mata Aiman mula berkaca-kaca. Zenia yang melihat adegan
sedih tersebut pantas menarik lembut lengan Aiman.
“Aiman tak boleh ikut Uncle Im sebab rumah Uncle Im
jauh, sayang. Lain kali Uncle Im datang lagi dan bawak Aiman
pergi McDonalds ya?”
“Kalau Uncle Im tak datang?” Jelas Aiman masih
ragu-ragu.
“Uncle Im pasti datang, promise!” Sampuk Darriz
Imdad bersungguh-sungguh. Setelah dipujuk-pujuk, akhirnya
Aiman akur juga mengikut kanak-kanak yang lain beredar ke
asrama. Dan kini tinggallah dia dan Zenia berdua di tepi padang
tersebut.
“Itu ubat Aiman ke Encik Darriz?” Tanya Zenia seraya
mengunjuk ke bungkusan putih di atas bangku kayu. Walaupun
ayat Darriz Imdad sebentar tadi seperti menggegarkan seluruh
jiwa wanitanya, namun dia tidak mahu kelihatan terlalu teruja.
“Err... yes. You boleh bagi pada Kak Mizah tak? Aiman
kena makan ubat tu dua kali sehari, after meals.”
“Boleh Encik Darriz. Encik Darriz baliklah dulu, hari
dah petang ni.”
“And you? Fakhry jemput you?”
Zenia menggeleng dengan senyuman kecil.
“I boleh ambil cab nanti.”
“Kalau macam tu, biar I hantarkan you balik.”
Mata Zenia sedikit membulat. Kemudian pantas dia
menggeleng tanda menolak.
“Thanks Encik Darriz, tapi I boleh balik sendiri.”
“Are you sure? Tak bahaya ke naik cab jauh-jauh
macam ni? By the time you sampai KL hari dah nak gelap.”
Kali ini Zenia tertawa pula.
“I dah biasa Encik Darriz, tak ada apa yang nak
ditakutkan. Encik Darriz baliklah dulu, I nak masuk ke dalam
jumpa Kak Mizah sekejap.”
Darriz Imdad sekadar mengangguk. Dan kemudian dia
hanya menjadi pemerhati kepada gerak langkah Zenia yang kian
menjauh. Nafas dihela berat. Tangan naik menyentuh dada yang
berdegup kencang. Dia berasa tidak sedap hati, terlalu bimbang
dengan keselamatan Zenia. Tapi semua perasaan ini tidak patut
terbit dari nalurinya. Dia tidak layak, langsung tidak berhak!
Ah, kenapa masalah hatinya terlalu complicated
begini?
No comments:
Post a Comment