Thursday, 12 May 2016
Yang Bermukim Di hati - Bab 1
KILAUAN cahaya dari batu berlian yang diikat
megah pada cincin emas putih menyapa sepasang mata coklat
cair milik Aina Yasmin. Dibelek-beleknya cincin itu entah
untuk kali yang ke berapa. Dia pun sudah tidak ingat. Dulu,
cincin itu terletak elok di jari. Kini, cincin itu hanya terletak
elok di dalam kotak baldu berwarna merah. Sudah hampir
tiga tahun dia tidak memakai cincin itu. Bukan kerana benci,
bukan juga kerana tidak berkenan di hati. Cuma cincin itu
sudah tidak muat lagi di jari manisnya.
Itulah cincin tunangnya…
Cincin yang disarungkan ke jari manis Aina Yasmin
ketika usianya baru menginjak lapan belas tahun oleh Puan
Shima, ibu tunangnya, merangkap sepupu ibunya. Kiranya,
dia telah bertunang dengan dua pupunya sendiri. Pertunangan
yang diatur bagi memenuhi syarat yang dikenakan bapa
Aina Yasmin, Haji Zainal Abidin sebelum keizinan untuk
menyambung pelajaran ke bumi Amerika diberikan. Dia
akur dengan syarat bapanya ketika itu. Demi merealisasikan
cita-citanya untuk bergelar seorang graduan… untuk menjadi
anak yang dibanggakan oleh kedua-dua orang tuanya… dan
untuk menjadi ‘seseorang’ di mata seorang lelaki bernama
Ameer Aazad.
Aina Yasmin mengeluh. Cincin yang masih dipegang
diletakkan kembali ke dalam kotak, lalu disimpan ke dalam
laci meja tulisnya. Laci yang sudah dikosongkan sejak
beberapa hari lalu. Dia nekad. Sebelum dia kembali ke tanah
air minggu hadapan, dia perlu menghubungi tunangnya
untuk melepaskan segala yang terbuku di hati sejak berkurun
lamanya.
‘Biarlah apa nak jadi. Aku mesti putuskan
pertunangan ni…’
Notebook yang masih terpasang dipandang sepi
seketika. Kemudian e-mel terbaharu daripada abang
sulungnya, Muhammad Iqbal dicari.
‘Nasib baik along ada alamat e-mel Abang Aazad.
Sekarang tinggal nak karang surat ‘cinta’ je pada mamat
tu...’ Aina Yasmin mengomel sendirian. ‘Aku yakin dia mesti
setuju nak putuskan pertunangan ni.’
Aina Yasmin berkira-kira untuk menekan ikon
‘send’. E-mel yang dikarang diulang baca.
‘Nak hantar ke tak… nak hantar ke tak...’ Seulas
bibirnya digigit kuat. Itulah tabiatnya ketika gelisah, tertekan,
resah, keliru dan segala perasaan negatif yang menerpa
dirinya. Sudah teramat biasa, hinggakan dia sendiri tidak
menyedarinya.
‘Takpe ke aku sindir dia macam tu?’ Aina Yasmin
menyoal sendirian. ‘Tapi memang betul apa, yang dia tak
pernah sekali pun cuba nak call aku atau contact aku. Padahal
aku tunang dia! Nampak sangat dia tak pernah pedulikan aku,
langsung tak pernah kisah tentang aku yang sorang-sorang
kat negara orang ni.’
Walaupun Aina Yasmin cuba menidakkannya,
namun hakikatnya terlalu pedih untuk ditelan. Ditambah pula
dengan kata-kata hinaan yang pernah dilemparkan Ameer
Aazad dulu, masih sakit dirasakan. Masih terngiang-ngiang
di telinganya. Seolah-olah baru semalam dia mendengar
semuanya dari balik tingkap bilik tetamu di rumah orang
tuanya. Ameer Aazad yang sedang melepaskan bara di dada
kepada teman rapatnya kerana dipaksa bertunang dengan
Aina Yasmin, langsung tidak menyedari kata-katanya telah
ditangkap sepasang telinga Aina Yasmin dan menikam terus
hingga ke tangkai hati gadis itu.
“Apa kau hangin sangat ni, bro?” soal Daniel Darus.
“Mana aku tak hangin! Kau pun akan hangin jugak
kalau kena paksa bertunang dengan perempuan yang entah
apa-apa tu!” Keras sahaja nada suara Ameer Aazad.
Langkah Aina Yasmin di luar halaman yang kebetulan
ingin masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang terkaku.
Lantas dia bersembunyi di balik dinding di luar jendela
bilik di tingkat bawah banglo Haji Zainal Abidin. Dia ingin
mendengar dengan lebih jelas kata-kata Ameer Aazad kepada
rakannya itu. Baru semalam mereka ditunangkan. Dan atas
jemputan Haji Zainal Abidin, Ameer Aazad bersama rakannya
telah bermalam di rumah Haji Zainal Abidin, sebelum bakal
berangkat pulang ke Kuala Lumpur tengah hari nanti.
“Kau ni tak baik tau, kutuk tunang sendiri!” Daniel
cuba memberikan nasihat agaknya.
“Kau pun tengok sendiri kan budak tu semalam?
Dahlah badan kurus sekeping macam jantan, kulit pulak
berkilat semacam je, macam terbakar. Eee… aku langsung
takde selera nak pandang. Kau tengok aku! Takkan pompuan
macam tu layak nak berdampingan dengan orang macam aku
ni?” dengan angkuh Ameer Aazad membangga diri.
Tanpa sedar, Aina Yasmin mengalirkan air mata.
Teramat sedih mendengar tunang sendiri mengungkapkan
kata-kata menghina dirinya. Namun digagahkan juga dirinya
kekal berdiri di situ.
“Mak aku pun macam tak logik je nak aku bertunang
dengan budak hingusan tu. She is six years younger than me,
siot! Aku dah nak mula kerja, dia baru nak sambung belajar!
Apa ke jadah???”
Aina Yasmin mendengar Daniel ketawa kecil. Lucu
agaknya mendengar seorang gadis dihina sebegitu.
“Alah… takpelah budak tu muda pun. Memanglah
nampak macam budak sekolah sangat lagi... umur pun baru
lapan belas. Esok-esok, kau tak tahu. Entah-entah kau yang
ternganga tengok budak tu berubah nanti.”
“Eleh, kau jangan bagi aku harapan palsulah Daniel.
Mustahil budak tu boleh berubah. Nama bukan main cantik
lagi, bak bidadari, tapi rupa… hampeh!” kejam Ameer Aazad
membidas kenyataan Daniel. Langsung tiada perasaan belas
terhadap gadis itu.
Walaupun sudah lebih lima tahun peristiwa itu
berlalu, Aina Yasmin masih mampu mengalirkan air
mata setiap kali dia terkenangkan kembali kata-kata yang
begitu menyakitkan hatinya. Kata-kata yang membuat dia
berasa amat rendah diri hingga kini. Bukan dia pinta lahir
sedemikian rupa.
Tidakkah Ameer Aazad menyedari bahawa dia telah
menghina dan mengutuk ciptaan Allah Yang Maha Esa?
Siapakah dirinya untuk mengata dia begitu? Walaupun
Ameer Aazad dikurniakan paras rupa yang cukup tampan
lagi sempurna, layakkah dia untuk menghina kurniaan
Penciptanya sendiri?
‘Ah… kalaulah dia tengok aku sekarang, akan
terngangakah dia?’ Aina Yasmin berangan kecil. Sungguh
dia ingin mengipas egonya sedikit ketika ini. Aina Yasmin
sekarang dengan Aina Yasmin dahulu bagai langit dan bumi.
Orang yang kata ya, bukan dia yang kata. Tapi dia tidak
hiraukan kata orang lain, melainkan orang itu bernama
Ameer Aazad!
“Abang Aazad, badan Min dah tak sekeping macam
dulu…” luah Aina Yasmin ke skrin notebooknya. “Kulit Min
pun dah tak terbakar macam dulu…” Skrin notebooknya
diam tidak membalas.
Untuk kali yang terakhir, Aina Yasmin mengulang
baca e-mel yang dikarang. Dengan lafaz bismillah, dia
menekan ikon ‘send’. Mata dipejamkan seketika. Nah, kini dia
telah melakukannya. Dia tidak boleh berpatah balik. Apa nak
jadi, jadilah…
BERIBU-RIBU BATU nun jauh di Kuala Lumpur, ketika
warga kota kebanyakannya pasti sudah lena diulit mimpi,
seorang lelaki yang masih menghadap laporan kewangan
syarikat di skrin notebook terkejut kecil mendengar nada
‘ting’, tanda e-mel diterima ke dalam inboxnya. Sedikit hairan
dengan kehadiran e-mel tersebut ketika lewat malam begini.
Halaman di skrin dikecilkan dan e-mel yang baru diterima
daripada seseorang yang tidak dikenali dibuka.
‘Siapa pulak AY0707 ni?’ E-mel diteliti lagi.
‘Ya Allah! Daripada Min?’ bisiknya sebaik melihat
nama yang terukir di penghujung e-mel yang diterima.
E-mel berkandungan empat perenggan itu dibaca
dengan penuh debaran di hati. Mukanya diraup beberapa kali.
Satu keluhan kesal dilepaskan. Bukan sahaja kesal dengan
permintaan Aina Yasmin, tetapi lebih kesal terhadap ego
yang dijulang begitu tinggi suatu ketika dahulu sehinggakan
apabila egonya telah diletakkan kembali ke tempat yang
lebih rendah dalam dirinya, perasaan malu pula telah
menawan sepelosok jiwanya. Malu yang menyebabkan dirinya
mengambil langkah bisu dan berterusan tidak menghubungi
tunangnya yang satu itu.
Kini, apa yang dikhuatiri berlaku juga. Aina Yasmin
ternyata sudah mengalah. Bukan salah Aina Yasmin. Dia
yang tidak pernah mahu menerima gadis itu sebagai bakal
isterinya. Dia yang sengaja mendiamkan sahaja perkara
itu, kerana tahu dia tidak akan pernah mahu meneruskan
cadangan bapa Aina Yasmin serta ibunya sendiri untuk
menyatukan mereka. Cuma dibiarkan sahaja dulu. Demi
sebuah janji, dia hanya perlu menunggu Aina Yasmin
menamatkan pengajiannya. Kemudian barulah dia akan
memutuskan pertunangannya dengan gadis itu. Tapi itu
dulu... ketika Ameer Aazad menganggap dirinya bagai dewa
yang hadirnya begitu istimewa untuk mana-mana gadis yang
mendampinginya.
Tapi kini? Takkan dia masih mahu meneruskan
pertunangan ini? Walaupun dia sudah berubah dan bukan
lagi Ameer Aazad yang dulu, wajarkah dia berkahwin dengan
seorang gadis yang langsung tidak dicintainya? Kini Aina
Yasmin mahu memutuskan ikatan pertunangan mereka.
Bukankah itu yang dia mahukan dulu? Melepaskan ikatan
yang menjerut lehernya? Bukankah keputusan Aina Yasmin
ini seharusnya diraikan? Namun, mengapa pula dirinya tidak
mahu bersorak gembira dengan ‘kebebasan’ yang diberikan
ini? Mengapa?
Ameer Aazad meraup mukanya sekali lagi.
Perasaan kesal tadi kini telah berubah keliru. Keliru dengan
perasaannya sendiri.
‘Tapi bukan ke aku akan lagi happy kalau pertunangan
ni diputuskan?’ Ego seorang lelaki tetap berkata-kata. Walau
tinggi mana atau rendah mana seseorang daripada kaum
Adam itu meletakkan egonya, ego itu tetap ada, dan masih
bisa berkata-kata. Tapi bagaimana pula dengan janji yang
telah pun dilafazkannya berkali-kali sebelum ini kepada bapa
Aina Yasmin?
Ameer Aazad kembali menuntaskan pandangannya
ke skrin notebook. Ayat yang satu ini bagai menarik
pandangan matanya berulang kali. ‘Badan kurus sekeping
macam jantan, kulit berkilat terbakar dan langsung takde
selera nak dipandang…’
Dia macam pernah dengar ayat itu… tapi di mana,
ya? Ameer Aazad memicit dahinya. Moga dengan perbuatan
itu, lebih mudah untuk dia mengingat kembali apa yang
telah tiada di dalam kotak ingatannya. Mengapa jantungnya
berdebar-debar ketika matanya meniti baris ayat itu?
‘Kenapa ayat tu familiar sangat?’
Tiga minit berlalu. Ameer Aazad tersentak. Tubuhnya
ditegakkan. Bagai hendak terlompat keluar jantungnya.
‘Allah! Aku yang cakap ayat tu dulu. Astaghfirullah!!!’
Ameer Aazad bangun dari kerusi. Langkah diayun
merentasi segenap ruang di dalam kamar tidurnya. Dia
resah gelisah. Kata-kata yang diucapkan kepada temannya
dahulu ketika amarah sedang berkocak hebat di dada, kini
menghantuinya. Langsung tidak pernah menyangka yang
Aina Yasmin telah mendengar segala yang diluahkan itu.
Kasihannya Aina Yasmin. Pasti hatinya terluka!
Teringat dia dengan pesanan Ustaz Bahari ketika
menghadiri kuliah subuh di surau berdekatan dengan
rumahnya baru-baru ini. Berdosa sekiranya menyakiti hati
sesama insan. Allah tidak akan memaafkan, selagi orang
yang disakiti itu tidak memaafkan kita. Rasanya, itulah yang
diingatinya.
Setelah penat berjalan mundar-mandir tanpa
tujuan, Ameer Aazad melabuhkan punggung di birai katil.
Ah, seandainya masa bisa diputarkan, dia akan lebih menjaga
tutur katanya. Walaupun pada hakikatnya, tunangnya
bukanlah seorang yang cantik atau menawan, namun dia
tidak seharusnya menghina gadis itu sedemikian rupa. Dia
benar-benar menyesal dengan kelancangan bahasanya.
Apatah lagi dirasakan dirinya sudah pun menerima balasan
daripada Yang Maha Kuasa. Spontan tangannya diangkat
lalu mengusap bahagian wajah yang elok terlindung dek
jambangnya. Ngilu.
‘Baiklah tunangku… your wish is my command…
but we’ll do it my way!’ Ameer Aazad akhirnya membuat
keputusan. Dia tidak akan membantah apa-apa pun yang
diputuskan gadis itu. Kebebasan yang dipinta akan diberikan
dengan hati yang rela. Mungkin mereka memang tiada
jodoh. Tiada apa yang perlu dikesalkan kerana yang mengikat
mereka bukanlah cinta, tetapi sebuah janji. Namun, dia perlu
melakukan sesuatu terlebih dahulu. Sesuatu bagi menebus
segala dosanya.
Lantas lima perkataan sahaja yang dibalas kepada
Aina Yasmin. ‘Agreed, but with one condition!’
No comments:
Post a Comment