Thursday, 12 May 2016

Yang Bermukim Di hati - Bab 2

Lima tahun yang lalu...
SUDAH lama Aina Yasmin duduk termenung
sambil bersandar di kepala katil. Diari di atas pahanya
digenggam kemas. Hajah Amirah yang sedari tadi memerhati
dari muka pintu, melangkah masuk ke dalam bilik anak
perempuan tunggalnya, merangkap anak bongsu dia bersama
suaminya, Haji Zainal Abidin. Entah ke mana dah melayang
ingatan anaknya itu.
“Adik?”
Aina Yasmin tersentak. Tubuhnya ditegakkan.
“Ya, mak?” Diari di atas paha diletakkan di sisinya di
atas katil lalu ditolak ke bawah bantal.
Hajah Amirah duduk di sebelah Aina Yasmin di birai
katil.
“Kenapa adik asyik termenung je sejak pagi tadi?
Masa tengah hari tadi pun adik tak nak makan sama-sama
dengan kita orang semua. Kan Abang Aazad nak balik KL
tadi? Kenapa adik tak makan sekali? Sampai Abang Aazad
balik pun adik tak keluar bilik.”
Aina Yasmin memandang wajah ibunya yang jelas
risau dengan kelakuannya sejak pagi tadi. Pagi yang telah
membunuh segala rasa di dada. Pagi yang telah membuat dia
menangis. Mana mungkin dia bisa menjamu selera bersama
lelaki itu dan bereaksi bersahaja, sedangkan dia tahu lelaki
itu membencinya?
“Mak, betul ke adik ni anak mak dengan abah?” Aina
Yasmin terus menyoal pertanyaan yang berlegar-legar dalam
fikirannya sejak pagi tadi. Soalan-soalan ibunya langsung
tidak diendahkan.
Terkejut besar Hajah Amirah dibuatnya. Matanya
membulat dan tangannya melekap ke dada.
“Apa yang adik merepek ni?” terus naik nada suara
Hajah Amirah. Agaknya tekanan darahnya turut naik sekali.
Soalan yang keluar dari mulut anak gadisnya langsung tidak
munasabah. Perih menanggung sakit bersalin selama tiga
belas jam untuk melahirkan Aina Yasmin tiba-tiba terasa.
Aina Yasmin kesal dengan cara dia mengutarakan
soalannya tadi. Sungguh dia tidak berniat untuk mengecilkan
hati ibunya itu. Bukan dia tidak pernah lihat surat beranak
dia sendiri. Jelas nama Zainal Abidin bin Ramli tertera sebagai
bapanya dan Amirah binti Hassan sebagai ibunya.
Tangan Hajah Amirah digenggam. “Maaf mak. Bukan
itu maksud adik sebenarnya.”
Jeda...
Wajah Hajah Amirah ditatap lembut. “Sebenarnya,
adik pelik sangat… kenapa adik ni lain benar daripada mak
dan abah? Adik ni langsung takde iras mak atau abah. Tengok
jelah adik ni…” Aina Yasmin tunduk dan menilik tubuhnya.
Bibir Hajah Amirah kini menguntumkan senyum.
Lega.
“Kenapa sekarang baru adik tanya? Selama ni tak
pernah tanya pun? Ni mesti sebab adik dah bertunang dengan
Abang Aazad, kan?” Hajah Amirah mengusik. Wajah suram
anaknya dipandang penuh kasih. Mengertilah dia apa yang
mengganggu fikiran anaknya kini. Perasaan yang sama
pernah dialaminya ketika dia berusia tujuh belas tahun dulu.
“Mak tahu, adik risau tengok badan adik masih
macam budak umur tiga belas empat belas tahun, kurus
macam tomboi… takde pinggang, takde pinggul, dada flat…
tak macam gadis yang sebaya dengan adik, kan?” teka Hajah
Amirah.
Aina Yasmin mengangguk lemah. Tepat apa yang
diteka Hajah Amirah. ‘Terror betul mak ni. Macam ada
telepati pulak.’
“Mak tengoklah si Intan tu. Badan dia macam model.
Pinggang ramping! Hari tu dia sibuk berlagak dengan adik
kata dia kena tukar saiz bra dia ke cup C. Cup B dah sendat.
Sesak nafas katanya. Adik pulak cup A pun macam kena
sumbat tisu baru tak nampak kelakar. Kalau tak, longgar
je…” ngomel Aina Yasmin. Dengan Hajah Amirah, dia bebas
mengadu pasal hal-hal perempuan ni. Takkan nak mengadu
dengan abahnya yang garang tu atau dengan along dan
angahnya pula? Malu!!!
Terletus tawa Hajah Amirah. Rambut pendek
potongan boyish cut Aina Yasmin diusap lembut. Ingin
dibiarkan anaknya itu meluahkan perasaannya. Kali pertama
Aina Yasmin mempamerkan kerisauan akan penampilannya
yang tidak feminin itu. Sebelum ini, dia langsung tidak kisah.
Tidak pernah peduli dengan kata-kata rakan sekampung,
terutama sekali si Intan yang perasan ratu di kampung
mereka ini. Ini mesti sebab status dirinya yang sudah berubah.
Tunangan orang la katakan…
“Adik tahulah adik tak lawa macam si Intan tu.
Rambut adik pendek pun sebab dah biasa. Selama ni kan
adik masuk persatuan kadet kat sekolah tu. Mestilah nak
rambut pendek. Kalau tak, rimas. Kerja adik asyik berkawad
dan berjemur je kat sekolah tu. Tu yang kulit adik hitam
berkilat tu…” Aina Yasmin menyingsing lengan baju dan
menunjukkan lengannya yang perang kemerahan. Kesan
terbakar dek panahan matahari sudah beransur hilang
memandangkan sudah berbulan-bulan dia tidak menyertai
sebarang aktiviti persatuan kadet remaja sekolah bagi
menumpukan perhatian pada peperiksaan SPM tahun lepas.
Sebenarnya, warna kulit Aina Yasmin tidaklah hitam
atau gelap sangat. Cuma sukar untuk cerah dalam keadaan
dia yang sangat aktif dan gemar melakukan aktiviti di luar
rumah, terutamanya memancing bersama abang-abangnya
atau rakan-rakan sebayanya.
“Tapi buruk sangat ke adik ni, mak?” Kata-kata
Ameer Aazad pagi tadi terpahat di telinga dan di hati.
Hajah Amirah menggelengkan kepalanya.
“Tak, sayang, siapa kata anak mak ni buruk?” Pipi
Aina Yasmin diusap perlahan. “Adik dengar mak nak cerita
ni, ya?”
“Cerita apa mak? Kalau citer Hindustan adik tak
nak dengarlah.” Sempat lagi Aina Yasmin mengusik ibunya.
Bukan dia tidak tahu apa yang digemari ibunya itu. Sebut
sahaja hero-hero kegemaran ibunya Shah Rukh Khan,
Salman Khan, Saif Ali Khan, Shahid Kapoor, John Abraham...
semua ibunya kenal.
Hajah Amirah menampar lembut pipi yang tadi
diusapnya. Geram! Kalau bukan Aina Yasmin yang selalu
menyindir tentang kegemarannya menonton filem Hindi,
pasti along atau angah pula yang akan mengusiknya.
“Hesy, apa pulak citer Hindustan? Ni citer betul-betul
ni…”
Aina Yasmin ketawa kecil melihat wajah cemberut
ibunya. Untuk seketika, hilang kesedihan yang melanda
dirinya sejak pagi tadi.
“Adik nak tahu, dulu mak pun pernah tanya soalan
yang sama pada nenek. Mak ingat lagi masa tu umur mak
tujuh belas tahun. Mak tanya nenek kenapa rupa mak tak
cantik macam nenek. Mak pun rasa rupa mak buruk je… tak
cantik langsung!”
Ternganga mulut Aina Yasmin tidak percaya. Ibunya
tidak cantik? Buruk? Sungguh tidak masuk dek akal. Lihat
sahajalah ibunya di usia lima puluh dua tahun ini. Masih
cantik dan bergetah. Kulit kuning langsat. Pinggang tetap
ramping walau sudah beranak tiga. Kedutan di muka itu akan
hanya dapat dilihat sekiranya menggunakan kanta pembesar!
Serius! Bukan hendak menipu!
“Tutup mulut tu sayang, karang kena kancing gigi,”
Hajah Amirah menegur. “Nak dengar tak mak nak citer ni?”
Aina Yasmin sekadar menganggukkan kepala.
Suaranya entah sudah ditelan agaknya.
“Masa mak tanya nenek dulu, nenek kata suatu hari
nanti mak akan berubah cantik macam nenek. Sebenarnya
kan adik, nenek, mak dan sekarang adik ada masalah
keturunan yang sama. Kita ni errr… apa orang putih cakap?
Late bloomers? Hah tulah dia…”
‘Amboi! Tu dia! Mentang-mentanglah guru Bahasa
Inggeris…’
“Kita lambat nak develop… tu je sebenarnya. Dulu
pun, badan mak kurus sekeping macam papan. Tapi bila
umur mak dah masuk sembilan belas tahun, barulah tubuh
mak mula develop jadi macam perempuan lain. Mula ada
pinggang, mula ada pinggul dan mula kena tukar saiz bra.”
Hajah Amirah ketawa. Mengenang kembali zaman mudanya.
Aina Yasmin masih diam membeku.
“Kulit mak dulu gelap jugak ke?” soal Aina Yasmin
akhirnya.
“Taklah gelap sangat sebab mak mana suka berjemur
kat matahari nun? Kulit mak kuning langsat macam nenek,
tapi lama-kelamaan berubah makin cerah. Kulit muka mak
dulu pun kasar je. Tapi lepas tu berubah jadi licin. Mak pun
hairan. Agaknya gen keluarga kita macam tu. Adik jangan
risau. Esok-esok, badan adik mesti akan berubah. Dengarlah
cakap mak. Mak berani janji sebab dulu nenek dan mak pun
macam adik ni.”
“Betul ke mak? Macam mana dengan mak kepada
nenek pulak? Nenek kepada nenek pulak? Semua sama ke?”
“Hesy! Manalah mak tahu. Tapi kalau namanya pun
masalah keturunan, yalah kut!” Niat Hajah Amirah adalah
untuk melegakan perasaan Aina Yasmin tetapi gadis itu
seolah-olah tidak percaya dengan apa yang diperkatakannya.
“Adik, ada orang memang lambat nak develop.
Orang lelaki pun ada macam tu jugak. Adik baru je masuk
lapan belas tahun. Mak yakin, tak lama lagi, anak mak ni
akan berubah. Kalah si Intan tu, adik tengoklah nanti kalau
tak percaya! Lagipun dulu mak takde iras nenek. Mak iras
mak kepada nenek. Adik pun, mak nampak lebih kepada
iras nenek… takde iras mak pun. Tapi untuk mak, nenek tu
cantik sangat masa dia muda dulu.”
Sesungguhnya Aina Yasmin benar-benar ingin
mempercayai kata-kata ibunya. Tetapi logikkah? Late
bloomer? ‘Aku akan bloom ke suatu hari nanti?’
“Mak, boleh percaya ke badan adik yang macam
lelaki ni boleh berubah sampai mengalahkan si Intan tu?
Hai, senang hidup adik kalau adik ada kakak. Boleh tengok
transformasi kakak depan mata sendiri. Along dengan angah
takde pulak masalah macam ni.”
Hajah Amirah tersenyum. Memang dia sendiri
tidak sabar hendak menyaksikan transformasi anaknya.
Entah mengapa, kaum perempuan daripada sebelah ibunya
berhadapan dengan masalah begini. Lewat bagi seseorang
gadis untuk menikmati perubahan secara fizikal pada tubuh
badannya. Namun perubahan tetap akan dilalui. Cuma lewat
berbanding gadis-gadis lain.
“Esok, bila adik dah cantik, dah lawa… mesti ramai
yang akan tergila-gilakan adik.”
“Macam mak dolu-dolu ke? Hehe… nenek pernah
citer, mak ni dulu ada tiga orang masuk meminang. Semua
mak bolayan. Dengan abah yang garang tu pulak mak
tangkap cintun.” Aina Yasmin kembali mengusik ibunya
sambil ketawa. Sedikit sebanyak, kata-kata Hajah Amirah
dapat menyejukkan hatinya.
“Hesy, adik ni! Ada cakap abah macam tu.
Garang-garang pun, abah la lelaki yang paling penyayang
tau.” Laju sahaja Hajah Amirah membela suaminya.
“Yalah mak tu… garang dengan adik, tapi penyayang
pada mak sorang je kut.”
“Adik kan pompuan… mestilah abah garang. Tak nak
adik terikut-ikut perangai gadis-gadis lain kat kampung ni.
Ada yang sekolah tak habis, lepas tu suka berpelesiran dengan
mat-mat rempit yang takde masa depan. Sebab tu abah jaga
adik, kawal adik supaya adik tak lalai macam budak-budak
yang lain tu.”
“Tak semua budak sekolah adik macam tu la, mak…
Kawan-kawan sekelas adik, ramai yang macam adik. Ramai
yang serius nak belajar tinggi-tinggi macam adik dan yang
nak punya masa depan yang cerah macam adik. Tengok je si
Pian, Man dan Mas tu.”
Hajah Amirah mengangguk tanda setuju dengan
pandangan anak bongsunya. Dia memang kenal dengan
rakan-rakan yang disebut Aina Yasmin tadi. Merekalah yang
setia berkawan tanpa mengira rupa atau siapa pun anaknya
itu. Setia menemani Aina Yasmin dengan hobi memancingnya
pada kala ketiadaan anak-anak bujangnya, dan mereka
jugalah yang sama-sama belajar secara berkumpulan ketika
sibuk menghadapi peperiksaan SPM tahun lepas.
“Mak, sebab tu ke abah paksa adik bertunang dengan
Abang Aazad?”
Hajah Amirah mengeluh. Keputusan suaminya itu
jelas menghampakan Aina Yasmin. Ketika usia anak gadisnya
itu baru menginjak lapan belas tahun sudah dipaksa pula
bertunang. Dia merenung anak mata Aina Yasmin yang
suram. Di hatinya turut merasakan kesuraman yang sama.
“Adik, abah tu sebenarnya sayang sangat-sangat
pada adik. Kalau tak sayang, abah takkan guna duit pampasan
yang abah dapat untuk tanah tepi jalan tu untuk sponsor
adik belajar tau. Abah tak nak halang cita-cita adik nak pergi
belajar overseas, tapi pada masa yang sama, abah takut nak
lepaskan adik sorang-sorang pergi negara orang macam tu je.
Adik muda lagi. Abah takut adik mudah terpengaruh dengan
orang. Macam apa yang jadi pada Kak Munah dulu. Jadi, abah
yakin, sebagai tunangan orang, adik akan jaga maruah adik,
adik akan tahu batas-batas pergaulan adik kat sana nanti.
Adik takkan nak malukan kita sekeluarga dengan keluarga
Abang Aazad, kan?”
Lembut sahaja Hajah Amirah mengambil masa
untuk menjelaskan perkara sebenar kepada Aina Yasmin.
Dengan anaknya yang bongsu ini, Hajah Amirah memang
sentiasa bersikap lembut dan bersabar. Biarlah suami dia
seorang yang tegas dengan anak-anak. Dia mahu Aina Yasmin
sentiasa selesa untuk berkongsi rasa dengannya.
Aina Yasmin mengeluh kesal. Tidak pernah sudah
dengan skandal sepupunya itu.
“Balik-balik Kak Munah. Balik-balik Kak Munah.
Kak Munah dengan adik, lainlah mak. Kak Munah tu kan
lembik, senang jatuh cinta dengan orang hensem, lebih-lebih
lagi mat salih. Orang puji sikit dah cair... cakap cantik sikit
dah meleleh air liur... lepas tu mengandung. Takkan abah
ingat adik boleh jadi macam Kak Munah?” Aina Yasmin
melepaskan geram. ‘Abah memang tak adil. Tak pasal-pasal
aku kena bertunang dengan Abang Aazad. Ni semua sebab si
Munah tu!’
“Bukan macam tu adik. Mak dengan abah tahu adik
bukan orang yang macam tu… tapi tak salah kan kalau mak
dan abah ambik langkah berjaga-jaga dan pilihkan bakal
suami adik? Lagipun adik kenal dengan Abang Aazad, kan?”
‘Hailah mak… kalaulah mak tahu yang Abang
Aazad bencikan adik…’ Aina Yasmin berbisik di dalam hati.
Bagaimana agaknya reaksi Hajah Amirah sekiranya dia tahu
tentang perasaan Ameer Aazad terhadap dirinya?
“Adik manalah kenal dengan Abang Aazad tu. Dia
kan sebaya along. Dia selalu lepak dengan along dan angah
je. Dia mana pernah nak bertegur sapa dengan adik? Nak
tanya khabar adik atau nak tanya pasal sekolah adik pun tak
pernah.”
Dahi Hajah Amirah berkerut. Mengapa sedih sangat
nada suara anak gadisnya itu? Sedih campur terkilan. Terkilan
yang amat sangat.
“Adik tak suka dengan Abang Aazad ke?” Hajah
Amirah cuba mengorek isi hati anaknya.
Aina Yasmin terdiam. Tidak tahu bagaimana hendak
menjawab pertanyaan ibunya itu.
‘Suka? Suka yang macam mana? Suka tengok
muka hensem dia tu adalah…’ Bagaimana hendak suka
lebih daripada itu sekiranya bergaul dengan lelaki itu pun
tidak pernah? Namun, Aina Yasmin mengakui yang dia suka
curi-curi melihat ketampanan dan kemachoan yang dimiliki
tunangnya itu dari dulu lagi. Sejak dia kenal erti ‘minat’ atau
‘crush’. Tapi suka?
“Nak suka macam mana mak, kalau adik tak pernah
pun duduk berbual dengan dia. Tak tahu pun dia tu orang
yang macam mana…” suara Aina Yasmin melirih. ‘Kecuali
dia seorang yang suka menghina, suka memandang rendah
terhadap orang lain dan seorang yang mementingkan paras
rupa luaran sebagai perkara yang penting dalam mencari
teman hidup,’ bisik Aina Yasmin dalam hati.
“Lagipun, sejak Abang Aazad habis belajar dan kerja
di KL, kan dia jarang balik kampung. Sudahnya, Auntie
Shima yang selalu ziarah Abang Aazad kat KL tu.” Aina
Yasmin tunduk. Dia tidak mahu ibunya melihat riak wajahnya
yang mempamerkan hatinya yang sakit dihiris seorang lelaki
bernama Ameer Aazad.
“Mak, kenapa abah pilih Abang Aazad jadi tunang
adik?” Mata Aina Yasmin masih direndahkan. Tidak
memandang ke wajah ibunya.
“Entahlah… adik pun tahu kan yang abah sayang
benar dengan Abang Aazad. Abang Aazad pun rapat dengan
abah sejak arwah bapa Abang Aazad meninggal dulu. Kalau
Abang Aazad ada masalah, dia mesti cari abah. Abang Aazad
pun rapat dengan along dan angah. Abah dah anggap Abang
Aazad tu macam anak sendiri. Jadi mungkin abah yakin yang
Abang Aazad akan jaga adik dengan baik.”
“Mak pulak? Mak yakin?”
Hajah Amirah terkedu. Entah mengapa lain
benar cara anaknya bertanyakan soalan yang terakhir itu.
Seolah-olah mencabar dirinya. Memanglah kalau difikirkan
betul-betul, dia kurang bersetuju hendak menjodohkan
anaknya dengan Ameer Aazad. Baginya, biarlah Aina Yasmin
sendiri yang menentukan jalan hidupnya sendiri. Biarlah
anaknya itu yang mencari calon suaminya sendiri. Lagipun
Aina Yasmin masih terlalu muda dan mentah untuk dipaksa
bertunang begini. Tetapi, kehendak suaminya tidak boleh
dilarang. Takut-takut nanti, Aina Yasmin langsung tidak
dibenarkan ke luar negara untuk menyambung pelajarannya.
“Insya-Allah, sayang. Takkan Abang Aazad nak
sia-siakan adik.” Hajah Amirah cuba meyakinkan dirinya
sendiri. Dia mula berasa tidak sedap hati. Cara Aina Yasmin
meluahkan perasaannya tentang Ameer Aazad yang selama
ini tidak pernah cuba berbual dengannya membuat dia rasa
tidak selesa.
Hajah Amirah tidak pernah perasan akan hubungan
Ameer Aazad bersama Aina Yasmin. Sangkanya tentu
mesra seperti hubungan lelaki itu bersama kedua-dua anak
lelakinya. Rumahnya dengan sepupunya, Shima tidak jauh.
Mereka sekampung. Kalau naik kereta, tak sampai lima
minit dah sampai. Sehinggakan rumahnya sudah menjadi
persinggahan tetap buat Ameer Aazad. Dia pula asyik sibuk
mengajar di sekolah. Langsung tidak menyedari ketiadaan
sebarang hubungan antara Ameer Aazad dengan Aina Yasmin.
‘Agaknya Aazad tu setuju pun sebab rasa terhutang
budi dengan suami aku. Dia pun terpaksa.’ Hati Hajah Amirah
berbicara.
“Adik... adik rehatlah dulu. Adik tak payah risau.
Kalau adik lapar, adik keluarlah makan, ya? Lauk tadi banyak
lagi mak simpan kat dapur.” Hajah Amirah memujuk.
“Hmmm…” balas Aina Yasmin ringkas.
“Barang-barang adik yang nak dibawak dah kemas
ke? Adik jangan tangguh-tangguh. Tak lama lagi adik dah nak
berlepas.”
“Yalah mak. Nanti adik kemas sikit-sikit.”
“Okey... mak keluar dulu, ya?”
Aina Yasmin mengangguk kecil dan melihat kelibat
ibunya keluar dari bilik. Dia mengeluh kembali. Diari yang
disorok tadi dicapai semula. Ligat tangannya menulis dan
menulis…
“MAN, KAU dah siap kemas barang kau?” Suara Sufian, atau
lebih dikenali sebagai Pian, kedengaran agak kuat di gerai Pak
Bakar, tempat kegemaran rakan berempat itu melepak.
“Adalah sikit-sikit. Kau?” balas Lukman.
“Entah, mak aku yang tolong kemas. Aku tolong
tengok je.” Selamba Sufian menjawab. Air teh O ais limau
di hadapannya dihirup laju. Tiga kepala menggeleng-geleng
mendengar balasan Sufian.
“Dasar anak manja!” usik Mastura.
Sufian hanya mengangkat bahu tanda tidak kisah.
Dia sudah lali dengan usikan yang sama daripada Mastura.
“Kau, Min?” tanya Sufian.
“Dah mula packing tapi tak habis lagi.”
“Aku sedihlah…” mulut Mastura memuncung.
“Korang dapat belajar kat luar negeri. Aku kat sini je. Lecehlah
bapak aku ni. Tak bagi aku sambung belajar overseas macam
korang semua.” Entah untuk kali yang ke berapa Mastura
mengadu. Sedih betul dia kerana terpaksa berpisah dengan
rakan-rakan baiknya itu.
Lukman, Sufian serta Aina Yasmin dapat melanjutkan
pelajaran ke Amerika Syarikat walaupun Aina Yasmin di
universiti yang berbeza dan jauh daripada Lukman dan
Sufian. Dia pula terpaksa mengikut arahan bapanya untuk
sambung belajar di Universiti Islam Antarabangsa sahaja.
Hasrat untuk ke luar negara terpaksa dilupakan walaupun
bapanya sama-sama mendapat habuan pampasan daripada
kerajaan seperti bapa rakan-rakannya dan lebih daripada
mampu untuk menghantarnya ke sana.
“Cakap orang anak manja, dia lagi manja!” ngomel
Sufian. “Sampai kaki kena ikat.”
Terus mencuka wajah Mastura. Dia menjeling Sufian
tajam. Terbit rasa simpati dalam diri Aina Yasmin. Dia juga
tidak sanggup berpisah dengan Mastura, padahal cita-cita
mereka sama.
“Kau janganlah kacau dia, Pian! Aku bagi kau
sebijik nanti.” Aina Yasmin pura-pura berlagak marah untuk
mengambil hati Mastura. Penumbuk dikepal dan dilayangkan
di hadapan wajah Sufian. Seperti biasa, Sufian buat tidak
endah. Aina Yasmin mengalih wajah ke arah gadis yang
duduk di bangku bersebelahan dengannya.
“Kau janganlah sedih, Mas. Kita orang janji, kita
orang takkan lupakan kau. Sekarang ni macam-macam ada.
FB, e-mel, Skype, chat… kau pilih je. Kita orang kan dah
janji yang kita orang takkan sekali-kali putus sahabat?”
Sufian dan Lukman bersungguh-sungguh
menganggukkan kepala. Macam burung belatuk sahaja lagak
mereka.
“Nanti aku sunyi… aku mesti rindukan korang
semua. Korang jauh…” suara Mastura semakin melirih.
“Nanti kau mesti akan jumpa kawan baru kat UIA
tu. Kita orang pun sama. Semua kena buat kawan baru.
Entah-entah kau yang akan lupakan kita orang semua
bila dah dapat kawan baru nanti.” Lukman pula memberi
kata-kata perangsang.
Mastura mencebik. Dia tahu, dia tidak akan
sekali-kali melupakan mereka bertiga ini. Teman-teman yang
sudah dianggapnya teman sehidup semati ini.
“Eh, kenduri aku esok, korang jangan lupa tau.
Mak bapak aku nak buat doa selamat sikit.” Aina Yasmin
mengingatkan. Cuba melarikan topik perbualan mereka agar
Mastura tidak berterus-terusan dengan kesedihannya.
“Eh mestilah kita orang ingat. Abang Aazad kau
datang tak? Aku frust betul tak dapat datang masa kau
bertunang hari tu. Time tulah pulak mak cik aku nak masuk
hospital.” Mastura mengomel tidak puas hati.
“Hesy kau ni! Tak baik cakap macam tu. Bukannya
dia sengaja nak sakit. Kau ni pun!” Aina Yasmin menegur
sahabatnya itu. Memang mulutnya main lepas je. Takde
insurans betul mulut si Mastura ni.
Lukman tersenyum menyindir melihat Mastura
ditegur Aina Yasmin begitu. Memang perwatakan Lukman
begitu. Pendiam tetapi orangnya sangat-sangat observant!
Dia lebih suka memerhati daripada bercakap. Tapi sesekali
dia bersuara, pasti semua akan mendengar.
Mastura tidak menghiraukan teguran Aina Yasmin
itu.
“Cepatlah, Min. Abang Aazad datang ke tak?”
Aina Yasmin menjongket bahu. Sungguh! Dia
tidak tahu sama ada tunangnya yang satu itu akan pulang
ke kampung hanya untuk menghadiri majlis doa selamat
untuknya atau tidak. Sesungguhnya dia gadis yang sedar diri.
Tahu dia bukan sesiapa pun di hati lelaki itu.
‘Kalau dia tak datang pun lagi bagus!’
Lukman dan Sufian berbalas pandang. Bagai ada yang
tidak kena dengan reaksi Aina Yasmin itu. Wajahnya tiba-tiba
berubah mendung tatkala nama Ameer Aazad disebut.
“Kenapa dengan kau ni?” Sufian bertanyakan soalan
yang bermain dalam fikirannya dan juga Lukman. “Ada
apa-apa ke yang kau nak kongsi dengan kita orang ni?”
“Takde apa-apalah! Eh, minggu ni jangan lupa tau.
Last kita pergi memancing.” Cekap sungguh Aina Yasmin
mengubah topik perbualan sekali lagi.
Walaupun Sufian dan Lukman masih tidak puas hati
dengan sikap acuh tidak acuh Aina Yasmin tadi, mereka tetap
mengiakan sahaja tanda setuju. Empat orang sahabat itu
terus menghirup minuman sambil berbual mesra.

No comments:

Post a Comment