Thursday, 12 May 2016

Yang Bermukim Di hati - Bab 3

TERKOCOH-KOCOH Aina Yasmin menyorong
troli keluar dari balai ketibaan KLIA. Matanya meliar
mencari kelibat kawannya Mastura, yang telah bersetuju
untuk menyambut ketibaannya. Bagaimana agaknya rupa
Mastura sekarang? Dah lebih lima tahun tidak berjumpa,
walaupun mereka sering berhubung melalui dunia maya.
Sejak meninggalkan kampung halaman, tidak sekali pun Aina
Yasmin pulang ke tanah air. Sengaja tidak mahu menyusahkan
keluarganya, walaupun mereka sebenarnya lebih daripada
mampu untuk membiayai kepulangannya untuk bercuti.
Hanya surat, e-mel dan telefon sebagai pengganti diri. Surat
tetap dikirimkan buat tatapan bapa dan ibunya yang tidak
betah menggunakan komputer bagi tujuan berkomunikasi.
Seorang gadis yang sedang bersandar di balik dinding
sambil berbual dengan seorang lelaki yang membelakanginya
menangkap perhatian Aina Yasmin. Sekuntum senyuman
manis terukir di bibir.
“Mas!” Aina Yasmin menjerit kegirangan dari jarak
yang masih agak jauh. Tidak dihiraukan pandangan orang
ramai di sekelilingnya yang menoleh ekoran jeritannya itu.
Mastura tersentak. Tubuhnya yang elok tersandar
tadi ditegakkan. Matanya membulat dan mulutnya ternganga.
Lelaki di hadapannya turut berpaling. Senyuman di wajah
Aina Yasmin tambah melebar melihat wajah lelaki itu. Air
mata kerinduan terbit juga.
Dibiarkan sahaja trolinya di situ sambil langkahnya
laju menuju ke arah Mastura dan lelaki itu. Esakan kecil
terlepas jua pabila melihatkan lelaki itu mendepangkan
tangannya. Aina Yasmin tidak tunggu lagi. Dihempaskan
tubuhnya ke dalam pelukan lelaki itu.
“Along…” bisik Aina Yasmin perlahan. Abang yang
dirinduinya kini berada di hadapan mata.
Iqbal memeluk adik perempuan tunggalnya. Dia
hampir tidak mengenali adiknya itu. Gambar terakhir yang
dikirimkan adiknya sebulan yang lalu masih tidak bertudung.
Gadis dalam pelukannya kini sudah bertudung. Iqbal
memeluk kejap adiknya sebelum merungkaikan pelukan.
Wajah adiknya yang basah dek air mata direnung lembut.
Belum sempat dia menuturkan kata, adiknya sudah bergerak
untuk memeluk Mastura pula. Lama sepasang sahabat itu
berpelukan. Pelukan yang diselangi tawa halus tanda gembira
yang amat sangat atas penyatuan itu.
“Mas, kau dah banyak berubah. Banyak sangat, Mas!
Aku susah nak cam kau tadi.” Wajah ayu Mastura diamati.
Mastura elok bertudung serta berbaju kurung berwarna biru
air laut. Manis sangat! Graduan Universiti Islamlah katakan…
“Kau cantik sangat, Mas!”
Mastura menyeka air mata di wajahnya. Tersenyum
mendengar kata pujian dari bibir Aina Yasmin. Namun,
kata-kata yang sama perlu diucapkan kepada sahabatnya itu.
Wajah berseri gadis di hadapannya itu memang lain daripada
dulu. Ke mana perginya gadis yang dikenalinya dulu?
Aina Yasmin di hadapannya kini sungguh cantik.
Kulit yang halus mulus, cerah dan lembut. Diamatinya pula
tubuh Aina Yasmin di sebalik blaus berwarna putih dan jean
lusuh berwarna biru itu. Matanya sedikit membulat melihat
lekuk-lekuk di tubuh rakannya itu, terutama di bahagian
pinggul dan pinggang. Kemudian matanya tertumpu ke
bahagian dada. Tidak berkelip!
“Hoi! Apa kau tengok aku macam tu?” sergah Aina
Yasmin. “Macam pervert je kau ni!” Lengan kanan Mastura
ditampar mesra.
Mastura tergelak besar.
Iqbal turut ketawa sambil menggeleng-gelengkan
kepalanya. Matanya tidak berkalih dari wajah bersih adiknya.
‘Ni, kalau Aazad tengok ni, mahu terlopong.’ Hati kecilnya
berbisik nakal.
“Adik, sejak bila berubah macam ni?”
Aina Yasmin memahami maksud di sebalik soalan
abang sulungnya itu.
“Baru je along. Dua minggu sebelum Syawal.
Kenapa?”
Iqbal tersengih meleret.
“Cantik!” sepatah balasan Iqbal. “Abah mesti bangga
dengan perubahan adik ni.”
Terus lenyap keceriaan yang menghiasi wajah
Aina Yasmin tadi. Kini berubah suram. Air mata yang telah
kering tadi, kembali terbit di tubir mata. Iqbal kaget. Tersilap
cakap agaknya. Dia perlu pantas melakukan sesuatu untuk
mengembalikan adiknya yang riang tadi.
“Eh, jomlah. Jauh lagi perjalanan kita ni.”
Aina Yasmin menghadiahkan senyuman terpaksa
kepada abangnya.
“Tak sangka along tunggu adik kat sini. Angah
mana?”
“Along saja pakat dengan Mas nak surprisekan adik.
Takkan Mas nak drive sorang-sorang sampai Ipoh. Kesian
dia. Angah dah tunggu kat rumah dengan mak. Dia balik
semalam,” jelas Iqbal sambil berjalan untuk mengambil
troli yang ditinggalkan begitu sahaja oleh Aina Yasmin
tadi. Langkahnya dibuntuti Aina Yasmin dan Mastura yang
berjalan beriringan.
Aina Yasmin mengerling ke wajah Mastura yang
beriak selamba. Kenapa dirasakan sesuatu dengan kata-kata
abangnya tadi? Sejak bila abangnya kasihankan Mastura? Tak
pernah-pernah pun sebelum ini? Pelik!
“Mak sihat, along?” Aina Yasmin menepis dahulu
perasaan janggalnya tadi. Dia ingin lebih memerhatikan
gelagat abangnya bersama teman rapatnya itu.
“Sihat, alhamdulillah… mak tak sabar nak tunggu
adik balik.”
Aina Yasmin tersenyum puas. Dia sendiri pun begitu.
Terlampau berat beban rindu yang ditanggung buat ibunya.
Insya-Allah, lebih kurang tiga jam setengah lagi, mereka
bakal disatukan.
‘Tak sabarnya!!!’
TEPAT JAM lima petang, kereta Honda Accord abangnya
tiba di perkarangan rumah banglo dua tingkat di sebuah
kampung yang terletak lebih kurang dua puluh minit
perjalanan dari bandar raya Ipoh. Rumah separuh batu dan
separuh kayu itu menyapa pandangan mata Aina Yasmin
yang sudah mula berair. Baru kejap tadi, mereka menghantar
Mastura pulang ke rumahnya. Kini tinggal Aina Yasmin
berdua dengan abangnya, yang sudah pun membuka pintu
kereta penumpang dengan luas. Perlahan-lahan, Aina Yasmin
menapak keluar dari perut kereta.
Di pintu utama rumah, Hajah Amirah menahan air
mata. Ketika melihat kelibat Aina Yasmin keluar dari kereta
milik anak sulungnya, laju Hajah Amirah mengatur langkah.
Hampir berlari! Aina Yasmin pun apa lagi, terus berlari
mendapatkan ibunya dan memeluk tubuh wanita itu dalam
esak tangis. Hampir tenggelam tubuh kecil Aina Yasmin
dalam dakapan ibunya. Tangis yang lahir dari dua beranak
itu bukan hanya sekadar melepaskan tangis kerinduan, tetapi
bagi Aina Yasmin, dia melepaskan tangis terkilan serta rasa
kesal yang menggunung.
“Mak…” Itu sahaja yang mampu dituturkan Aina
Yasmin. Lantas pipi dan keseluruhan wajah ibunya dicium.
“Adik…” Hajah Amirah seolah-olah tidak percaya
melihat perubahan anak gadisnya. Dia bersyukur dengan
perubahan itu. Syukur sangat-sangat, ya Allah!
“Adik?” suara garau milik Muhammad Syafiq muncul
dari belakang Hajah Amirah.
“Angah!!!” jerit Aina Yasmin. Dilepaskan pelukan
ibunya dan pantas mendapatkan abang keduanya.
Syafiq, seperti biasa memeluk Aina Yasmin sehingga
terangkat kaki gadis itu lalu memusing-musingkan tubuhnya
dengan laju. Melayang-layang adiknya itu jadinya. Dan seperti
biasa, Aina Yasmin akan menjerit sambil ketawa dengan
perlakuan abangnya itu. Hajah Amirah serta Iqbal hanya
mampu menggeleng-gelengkan kepala melihat kemesraan
yang tidak pernah pudar antara Aina Yasmin dengan Syafiq.
“Dahlah tu, angah!” tegur Hajah Amirah. “Karang
pening adik tu. Dia tu mesti penat lagi. Yang kau pergi
pusing-pusing macam tu kenapa?”
Syafiq tidak menghiraukan teguran ibunya.
Sungguh! Dia benar-benar rindukan adik tunggalnya itu.
Tidak lengkap kehidupannya selama ketiadaan Aina Yasmin.
Tiada siapa untuk disakat atau dibuli. Kini tidak lagi.
Mangsanya sudah kembali ke pangkuan keluarga.
Selepas hampir setengah jam mereka berbual-bual
sambil minum petang, Aina Yasmin tiba-tiba bangun dari
meja makan.
“Angah, boleh bawak adik pergi kubur arwah abah?
Adik teringin sangat nak ziarah arwah abah.”
Suasana di meja makan itu tiba-tiba sepi. Hajah
Amirah tunduk merenung cawan yang sudah kosong
diminum. Tiba-tiba hatinya dipagut pilu. Kesian Aina Yasmin.
Arwah suaminya meninggal dunia hampir dua tahun yang
lalu akibat serangan jantung ketika anaknya itu masih di luar
negara. Hajah Amirah melarang Aina Yasmin untuk pulang
kerana anaknya sedang menghadapi peperiksaan akhir bagi
tahun ketiga ketika itu. Itu yang menyebabkan Aina Yasmin
begitu terkilan dan kesal sekali.
“Jom, angah bawak adik.”
Syafiq menunggang motor peninggalan arwah bapa
mereka dan membawa Aina Yasmin ke tanah perkuburan
Islam di pinggir kampung.
“Assalamualaikum, abah,” bisik Aina Yasmin
perlahan sambil mencangkung di tepi pusara arwah Haji
Zainal Abidin. “Adik datang ni… Adik dah balik… Adik tak
sempat nak hadiahkan ijazah adik pada abah…” Aina Yasmin
menangis. Pautan tangan di bahunya memberi sedikit
kekuatan.
“Adik, sebelum abah meninggal, abah sempat
ampunkan semua dosa mak dan dosa kita adik-beradik. Abah
kata, abah sayang pada kita semua. Adik janganlah nangis.
Dah ajal abah macam tu. Meh, kita hadiahkan pahala bacaan
surah Yasin ni pada arwah abah.”
Air mata Aina Yasmin masih mengalir, namun
hatinya terasa sedikit tenang dengan kata-kata Syafiq. Dengan
lafaz bismillah, mereka mula membaca surah Yasin.
USAI MAKAN malam, empat beranak itu menyambung
kembali perbualan yang tergantung sejak petang tadi. Perut
pun sudah kenyang berisi dengan nasi putih berlaukkan
pajeri nenas, sambal tumis udang galah, sayur kubis masak
lemak dan ikan pari bakar, semuanya lauk kegemaran Aina
Yasmin. Hajah Amirah puas hati melihat anak gadisnya
makan bertambah dua kali sebentar tadi. Makanlah macam
mana banyak pun, Aina Yasmin tetap akan kecil molek begitu.
Sama sahaja dengan arwah ibunya. Sehingga tua, nenek Aina
Yasmin masih kekal kecil.
‘Eh aku pun apa kurangnya… kecik molek jugak.
Bukan aku yang kata, abang Nal yang kata…’ Hajah Amirah
tersenyum mengenang pujian arwah suaminya dulu.
“Adik, apa plan lepas ni?” Iqbal, selaku ketua keluarga
mengambil tempat arwah Haji Zainal Abidin bersuara, sambil
menghirup kopi O panas di ruang tamu.
Aina Yasmin yang bersandar kekenyangan di sofa
berangkai tiga sambil melentokkan kepalanya ke bahu Hajah
Amirah yang duduk di sebelahnya berdeham kecil sebelum
menuturkan kata.
“Ermm… adik nak duduk kat kampung ni dalam
seminggu dua. Lepas tu adik nak kena lapor diri untuk temu
duga kat syarikat yang Mas rekomen kat KL tu. Mas dah
dapatkan tempat untuk adik. Syarikat tu memang perlukan
orang sekarang ni. Mas kata, lepas syarikat tu kena ambil alih
dua bulan sudah, ramai yang berhenti sebab tak tahan dengan
pihak pengurusan baru. Jadi pihak pengurusan baru ni kena
cari tenaga pekerja baru untuk menggantikan yang lama,”
jelas Aina Yasmin panjang lebar.
“Adik nak kerja kat KL? Tak nak cari kerja kat Ipoh
je?” Hajah Amirah bertanya. Sedih sahaja nada suaranya.
Pantas Aina Yasmin mengangkat kepala dari bahu
ibunya. Risau mendengarkan nada kesedihan di sebalik
soalan ibunya tadi.
“Mak, adik nak cari pengalaman kat KL dulu, macam
Mas. Pejabat Mas pun satu bangunan dengan adik nanti,
jadi adik akan menyewa satu rumah dengan Mas. Kebetulan
seorang teman serumah dia kena pindah sebab baru kahwin.
Jadi ada satu bilik kosong yang adik boleh sewa. Kenapa mak?
Mak tak suka ke adik kerja kat KL?”
“Bukan tak suka, sayang. Mak cuma risaukan adik.
Mak kalau boleh tak nak berjauhan dengan adik.” Jeda. “Lepas
adik grad dulu pun, adik tak balik terus. Adik kerja kat sana
untuk cari pengalaman.”
Aina Yasmin dihurung rasa bersalah. Baru sahaja
balik, sudah mahu meninggalkan ibunya bersendirian di
rumah itu. Mesti ibunya berasa sunyi sejak pemergian arwah
bapanya.
Sebelum Aina Yasmin sempat membalas, Syafiq
mencelah. “Takpe, mak. Biarlah dia cari pengalaman kat
KL tu. Insya-Allah lepas ni, mak tak sorang-sorang lagi.
Permohonan angah untuk kerja kat cawangan syarikat
di Ipoh dah diluluskan. Bulan depan angah mula kerja
sini. Jadi angah akan duduk dengan mak. Biar along yang
tengok-tengokkan adik kat KL nanti.”
“Betul ke, ngah?” soal Hajah Amirah tidak percaya.
Sekiranya benar, dia benar-benar bersyukur. Ada juga teman
dia di rumah nanti. Tidak lagi keseorangan dan kesunyian.
Syukur juga sepupunya Shima sering mengunjunginya di sini.
Kadang-kadang sehingga bermalam. Shima juga kesunyian.
Ameer Aazad sibuk dengan kerjanya di Kuala Lumpur
manakala anak bongsu perempuannya sedang melanjutkan
pelajarannya dalam bidang perubatan di Bandung, Indonesia.
Tinggallah mereka berseorangan di rumah masing-masing.
Syafiq mengangguk sambil tersenyum. Selesai
masalah ibunya.
“Alhamdulillah…” terbit ucapan kesyukuran
daripada Hajah Amirah. “Mak bukannya apa. Sejak mak
pencen ni, mak cepat sangat rasa bosan. Kalau Auntie Shima
datang, barulah mak ada kawan. Saudara-saudara lain pulak,
asyik sibuk dengan hal masing-masing.”
Sebut sahaja nama Auntie Shima, tubuh Aina Yasmin
terus kaku. Hajah Amirah di sebelah menyedari perubahan
ketara anaknya itu. Dia mengeluh kecil. Tahu tentang
keputusan yang telah dibuat Aina Yasmin melalui panggilan
telefon yang dibuat anak gadisnya itu dari bandar Berkeley,
California minggu lalu. Panggilan telefon yang dibuat sebaik
sahaja Aina Yasmin menerima kata persetujuan bersyarat
daripada Ameer Aazad.
“Adik, kenapa ni? Adik risaukan Auntie Shima,
ya?” Hajah Amirah meneka. Kedua-dua pasang mata Iqbal
serta Syafiq turut bertumpu ke arahnya. Mereka juga sudah
tahu akan keputusan Aina Yasmin untuk memutuskan
pertunangan dengan Ameer Aazad.
Aina Yasmin mengangguk lemah.
“Adik takut yang keputusan yang adik buat, akan
jadikan hubungan mak dengan Auntie Shima renggang.
Bukan tu niat adik. Adik tahu mak dengan Auntie Shima tu
dah macam adik-beradik walaupun sebenarnya sepupu je.
Maafkan adik sebab buat keputusan tak bincang dengan mak
dulu.”
Hajah Amirah mengeluh. Isyarat mata diberikan
kepada Iqbal yang telah dipertanggungjawabkan oleh arwah
suaminya untuk menjaga Aina Yasmin. Iqbal mengangguk.
Dia mengerti permintaan ibunya itu.
“Adik... along, angah dengan mak tak halang
keputusan adik. Kita orang semua tahu kenapa arwah abah
paksa adik bertunang dulu. Abah pun dah takde, adik pun
dah balik dengan selamat, jadi takde sebab kenapa adik kena
teruskan pertunangan dengan Aazad.”
Jeda. Iqbal pun kalau boleh, tidak mahu beradik
iparkan Ameer Aazad. Dia tidak yakin lelaki itu mampu
menyayangi dan menjaga adik kesayangannya itu seperti yang
diharapkan. Ameer Aazad sekarang bukan Ameer Aazad yang
dikenalinya dulu. Sama seperti Aina Yasmin yang juga sudah
berubah. Walaupun perubahan Aina Yasmin lebih kepada
perubahan secara fizikal, perubahan Ameer Aazad pula lebih
daripada itu. Fizikal, mental, emosi dan juga perwatakan.
Iqbal sudah tidak tahu bagaimana hendak mendekati Ameer
Aazad yang cukup rapat dengannya suatu ketika dahulu. Tapi,
apakah syarat yang dikenakan Ameer Aazad, ya?
“Auntie Shima macam mana, mak? Dia marah tak
dengan adik?” Riak wajah risau masih jelas terpamer.
“Tak, Auntie Shima tak marah. Dia pun faham. Dia
kan sayang pada adik? Lagipun dia setuju yang adik dan Aazad
ada kehidupan sendiri. Dua-dua pun dah besar panjang. Dah
boleh menilai dan bijak memilih apa yang baik untuk diri
sendiri. Mak dengan Auntie Shima tak nak paksa-paksa dah.
Nanti kita tunggulah apa syarat Aazad pada adik ya?”
Riak kerisauan tadi kini bertukar menjadi lega.
Seolah-olah beban yang menimpa bahu Aina Yasmin sejak
seminggu yang lalu, telah dilepaskan terbang tinggi hingga
ke awan.
“Syukurlah kalau macam tu. Adik nak kena
pulangkan cincin tunang tu ke?” Aina Yasmin tiba-tiba
teringat akan cincin itu.
“Tak payah. Auntie Shima kata cincin tu hadiah
untuk adik, tak payah pulangkan. Tapi adik kena tunggu kata
putus daripada Abang Aazad dulu. Kan dia ada letak syarat
sebelum pertunangan adik boleh diputuskan?”
“Hmmm, yalah… apa pun cincin tu dah tak muatlah,
mak.” Aina Yasmin ketawa kecil. “Jari adik ni dah membesar
kut dari lima tahun sudah. Kalau simpan pun, adik tak boleh
pakai. Ketat gila…”
“Tulah adik! Makan tak ingat dunia. Kan dah gemuk!”
usik Syafiq. Virus sakat sudah menyerang. Dia menyengih
meleret. Gemuk? Suatu perkataan yang tidak layak untuk
adiknya. Tetapi dia sengaja hendak memancing kemarahan
adiknya itu.
“Hei, tolong sikit! Siapa gemuk? Dulu adik kan
kurus. Sekarang pun masih maintain okey? Cuma berisi
tang sini sikit, tang sana sikit je. Mestilah adik dah membesar
dari dulu. Dulu, kan adik budak sekolah lagi.” Aina Yasmin
mencebik. Terserlah sifat manja seorang anak perempuan
bongsu Hajah Amirah. “Angah tu yang dah boroi adik tengok.
Baru dua puluh enam tahun dah boroi! Kalau macam ni la
kan, tak lakulah angah nanti.” Aina Yasmin membalas.
Syafiq mengusap perut yang dikatakan boroi oleh
adiknya tadi.
“Mana ada boroi?” Giliran Syafiq pula menidakkan
kata-kata usikan Aina Yasmin. Pantang sekiranya ada yang
mengatakan dia begitu. ‘Aku fit, okey? Ada pulak boroi!
Kempis je perut aku ni! Six pack lagi!’
Terletus tawa Hajah Amirah, Iqbal dan Aina Yasmin.
Wajah mencuka Syafiq benar-benar menggelikan hati mereka.
‘Hai! Barulah kena buku dengan ruas,’ fikir Hajah
Amirah. Bahagia betul dia dengan kepulangan Aina Yasmin,
yang kembali mewarnakan kehidupan mereka sekeluarga
dengan gelak ketawa mesra seperti ini.
Sesungguhnya Hajah Amirah merindukan suasana
begini. Insya-Allah, kehidupannya tidak akan sunyi lagi
selepas ini. Kini dia hanya perlu menunggu untuk mana-mana
anaknya membawa pulang menantu dan kemudian cucu-cucu
untuknya. Dia sabar menanti akan waktu itu…

No comments:

Post a Comment