Thursday, 12 May 2016

Yang Bermukim Di hati - Bab 10

HARI ketiga di Icon Properties Sdn. Bhd.,
Aina Yasmin sudah mula mendapat rentak. Kehadirannya
diterima dengan baik oleh kakitangan Icon Properties Sdn.
Bhd. walaupun dia cuma ditempatkan di situ buat sementara
waktu oleh Warisan Investment Sdn. Bhd., sementara
pihak pengurusan syarikat menambah kakitangan di Icon
Properties Sdn. Bhd.
Di bawah penyeliaan Encik Rashid Ali, pengurus
di jabatannya, Aina Yasmin mula mendapat keserasian
bekerja bersama-sama rakan-rakan satu jabatan yang lain.
Sebagai pekerja baharu, dia perlu banyak belajar daripada
pegawai-pegawai yang lebih senior daripadanya dan perlu
rajin bertanya dengan kakitangan-kakitangan yang lain. Ini
bagi memudahkan kerjanya juga.
Dia tidak mahu dituduh sombong atau tidak
pandai bekerja dalam satu pasukan sekiranya dia memilih
untuk mendiamkan diri jika dia tidak tahu bagaimana
untuk menjalankan sesuatu tanggungjawab yang diberikan
kepadanya.
“Aina, fail projek rumah kedai kat Shah Alam tu
ada dengan siapa?” tanya Fadli Kassim, pembantu pengurus
Jabatan Hal Ehwal Korporat. Dia sudah tegak berdiri di
tepi meja kerja Aina Yasmin. Di Icon Properties Sdn. Bhd.,
rata-rata memanggil dirinya ‘Aina’. Memang rasa sedikit
janggal, namun dia tidak pula membetulkan panggilan
itu sejak hari pertama dia memulakan tugasnya di Icon
Properties Sdn. Bhd.
Aina Yasmin bangun dari kerusi sebagai tanda
hormat.
“Fail tu saya dah pas pada Encik Rashid pagi tadi. Ada
dokumen yang dia nak tengok, katanya. Encik Fadli nak saya
tanyakan fail tu ke?”
“Errr… tak perlu. Biar dulu. Nanti saya tanya pada
Encik Rashid sendiri.”
Aina Yasmin mengangguk. Dia masih lagi berdiri
memandangkan Fadli yang tidak menunjukkan sebarang
tanda-tanda akan beredar dari mejanya. Mata lelaki itu galak
memandang ke arahnya.
“Aina okey? Ada apa-apa yang nak tanya saya?”
lembut Fadli bertanya, konon menunjukkan sifat prihatinnya
yang jarang-jarang dipamerkan kepada kakitangan lain di
syarikat itu.
Dahi Aina Yasmin berkerut. ‘Kenapa suara Encik
Fadli ni tiba-tiba lembut semacam pulak ni?’
“Errr… buat masa ni semua okey, Encik Fadli. Kalau
ada apa-apa masalah, saya akan rujuk pada Encik Fadli atau
Yusmadi atau Sarah.” Aina Yasmin menyebut nama-nama
teman sejabatannya.
“Bagus. Jangan segan-segan, ya? Kita semua ni satu
pasukan. Semua kena tolong-menolong apa-apa yang patut.”
Matanya sengaja merenung gadis itu dalam-dalam.
Aina Yasmin mengangguk lalu merendahkan
pandangan. Dia berasa kurang selesa ditenung begitu. Fadli
berlalu dan masuk ke dalam biliknya. Ketika Aina Yasmin
melabuhkan punggungnya kembali ke kerusi, sempat dia
menjeling ke kubikel Sarah di hadapannya. Gadis itu juga
sedang memandang ke arahnya sambil menjongket kening?
“Baik mood Encik Fadli hari ni? Kalau tak, asyik nak
marah je.”
Aina Yasmin menjongket bahu tanda tidak tahu dan
tidak peduli.
“Selalu ke dia marah-marah?” Dahlah Aina Yasmin
takut dengan orang yang baran ni!
“Hmmm… kita orang dah biasa.” Sarah bangun lalu
menghampiri meja Aina Yasmin. “Sarah rasa sebab dia bujang
terlajaklah. Umur dah tiga puluh tiga tapi masih single. Tu
yang asyik hangin je satu badan. Kalah orang pompuan kalau
nak dibandingkan dengan mood swings dia tu!”
Aina Yasmin ingin ketawa tetapi dia takut tawanya
sampai ke telinga pemuda yang digosipkan ketika itu. Dia
hanya menekup mulutnya.
“Jahatlah Sarah ni! Ada-ada je.”
Sarah ketawa kecil sambil kembali ke tempatnya.
Sarah yang sporting, Sarah yang peramah dan Sarah yang
tidak kedekut dalam memberikan tunjuk ajar. Walaupun
umur Sarah tiga tahun lebih tua daripadanya, Sarah tidak
mahu dipanggil ‘Kak Sarah’. “Tak mainlah kak-kak ni.
Bukannya tua sangat pun Sarah ni…” kata-kata yang terbit
dari bibir Sarah ketika hari pertama mereka diperkenalkan.
“Aina... Aina lunch dengan kawan ke hari ni?
Kalau tak, Aina lunch dengan Sarahlah, ya?” soal Sarah
dari kubikelnya. Kawan yang dimaksudkan sudah tentunya
Mastura yang bekerja di tingkat 5, manakala dia di tingkat
10 Menara Muhibbah. Memang sejak hari pertama lagi,
Masturalah temannya ketika waktu makan tengah hari.
“Boleh jugak Sarah. Kawan Aina tu ada lunch
appointment hari ni.”
Sarah sudah tersenyum. Dia senang dengan rakan
kerja baharunya ini. Tak banyak songeh dan tak berkira
dalam bekerja. Tidak kekok bertanya dan ringan tulang dalam
menghulurkan bantuan.
Aina Yasmin kembali menatap skrin komputer di
hadapannya. Sarah juga begitu.
Tiba-tiba...
“Eh, korang tak pergi meeting ke? Korang lupa, ya?”
Wajah Yusmadi tersembul dari muka pintu yang memisahkan
jabatan mereka dengan jabatan pemasaran.
Serentak Sarah dan Aina Yasmin bangun dari tempat
duduk mereka.
“Kan bos besar nak dengar laporan pasal projek
rumah kedai kat Shah Alam tu? Encik Rashid nak semua
yang terlibat dalam projek tu turut serta dalam meeting ni,”
tambah Yusmadi lagi. Dia menghampiri meja Sarah.
“Alamak! Aku lupalah… pukul berapa dah ni?” soal
Sarah panik sambil mengerling jam besar di dinding. “Hesy,
kau ni! Belum pukul 12.00 lagilah! Kau ni saja je nak buat
kita orang gelabah, kan?” Sarah pantas mencapai pen dari
atas meja dan mengetuk dahi Yusmadi.
Yusmadi sudah mengekek ketawa. Kesakitan kecil di
dahi diusapnya. Suka dia dapat mengenakan Sarah. Selalunya
Sarah yang mengenakannya. Yusmadi dan Sarahlah yang
menceriakan suasana di jabatan mereka. Kadang-kadang
setiausaha-setiausaha dan kerani-kerani di jabatan mereka
juga turut menggamatkan suasana. Semuanya satu kepala.
Sememangnya mereka ada lima belas minit lagi
sebelum mesyuarat bermula. ‘Bos besar’ yang dimaksudkan
Yusmadi, sudah tentulah salah seorang pengarah Icon
Properties Sdn. Bhd., merangkap CEO Warisan Invesment
Sdn. Bhd. Tentunya CEO Warisan Investment Sdn. Bhd.
ingin memantau projek-projek besar anak syarikatnya.
“Eh, Aina belum jumpa lagi kan dengan bos besar?”
Aina Yasmin hanya mampu menggelengkan
kepalanya. Teringat kembali kata-kata Mastura tentang
‘kebengisan’ CEO Warisan Investment Sdn. Bhd. dulu. Dia
kecut perut sebenarnya. Kalau tidak kerana arahan Encik
Rashid yang mahu semua yang terlibat hadir sama, pasti dia
sudah meminta dirinya dikecualikan daripada menghadiri
mesyuarat itu.
“Dia okey sebenarnya. Sarah rasa garang dia
bertempat, bukan macam Encik Fadli tu!” bisik Sarah
perlahan. “Dia nak make sure semua projek anak syarikat
takde masalah. Sarah masih tak faham kenapa staf kita pakat
berhenti kerja bila syarikat Dwi Holdings ambik alih Warisan
Investment dulu. Mudah sangat diaorang dengar gosip-gosip
yang entah apa-apa tu. Tahu-tahu berhenti kerja! Sarah
senang je… belum cuba belum tahu!”
Pintu bilik Encik Rashid dibuka dari dalam. Ada
beberapa fail di tangan.
“Jom, kita tunggu bos kat dalam conference room.
Yus, tolong panggilkan Fadli.” Encik Rashid bersuara.
Yusmadi mengangguk. Sarah dan Aina Yasmin
mencapai pen dan buku nota masing-masing dan mengekori
Encik Rashid menuju ke bilik mesyuarat.
Di dalam bilik mesyuarat, kelihatan setiausaha
Pengurus Besar Icon Properties Sdn. Bhd., sedang menyusun
dokumen-dokumen di atas meja.
“Assalamualaikum, Kak Ita.” Sapa Sarah. “Rajinnya
dia…” usik Sarah lagi.
Kak Norita membalas salam Sarah dan menyambut
usikan Sarah dengan senyuman mesra.
“Kak Ita dah kenal Aina? Pekerja baru kita?”
Wanita berusia awal empat puluhan itu mengilas
pandang ke arah Aina Yasmin. Senyuman masih terukir di
bibir.
“Dah… hari pertama Aina masuk lagi Kak Ita dah
jumpa.”
Aina Yasmin membalas senyuman Kak Norita.
“Bos mana?” soal Sarah lagi. Sibuk bertanyakan
tentang Encik Mokhtar Shah, Pengurus Besar Icon Properties
Sdn. Bhd. Dia mengambil tempat berhadapan dengan Encik
Rashid di meja kaca besar berbentuk bujur itu. Dia tahu Encik
Fadli dan Yusmadi akan duduk di sebelah kanan dan kiri
Encik Rashid. Kerusi di kepala meja akan diambil oleh bos
besar mereka. Encik Mokhtar pula akan mengambil tempat
di sebelah kiri bos besar. Aina Yasmin duduk di sebelah kiri
Sarah.
“Bos ada kat lobi. Tengah tunggu bos besar.”
Rata-rata mereka memanggil CEO Warisan Investment Sdn.
Bhd. dengan panggilan bos besar. Tapi cuma di belakangnya
sahaja. “Bos besar baru balik Penang pagi tadi… patutnya
esok baru balik. Tu yang tiba-tiba nak meeting ni,” jelas Kak
Norita lagi.
“Oh…” terangguk-angguk kepala Sarah mendengar
penjelasan Kak Norita.
Tepat jam 12.00 tengah hari, pintu bilik mesyuarat
dibuka. Encik Mokhtar melangkah masuk, disusuli
dengan CEO Warisan Investment Sdn. Bhd. Aina Yasmin
memerhatikan ketiga-tiga lelaki di hadapannya bangun
untuk berjabat tangan dengan Encik Mokhtar dan…
‘Ya Allah!!! Abang Aazad???’ Terbeliak mata Aina
Yasmin melihat kehadiran tunangnya. Dia panik. Dia gugup.
Dia gementar. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya.
Sebelum Encik Mokhtar sempat memperkenalkan
Aina Yasmin kepada Ameer Aazad, lelaki itu sudah terlebih
dahulu memandang gadis itu dari ekor matanya. Dia seakan
pernah melihat gadis itu sebelum ini. Tapi di mana ya?
‘Ya Allah! Gadis tudung pink di majlis kenduri
kahwin Munirah!!! Apa dia buat sini? Kenapa dia pandang aku
macam tu?’
“Encik Aazad, I trust you know Aina? She’s from
Warisan, but for the time being, she is seconded to Icon for a
few months.” Encik Mokhtar memperkenalkan Aina Yasmin
kepada Ameer Aazad.
“Aina?” Suara garau itu menyapa telinga Aina
Yasmin. Dia tunduk.
“Yes! Oh, maaf. Saya lupa Encik Aazad berada
di Penang selama seminggu. Aina ni baru join kita. Dia ni
graduate daripada University of California. HR Warisan ambik
dia kerja minggu lepas. This is only her third day in Icon.”
Ameer Aazad mengambil tempat di kepala
meja. Matanya masih bertumpu ke wajah Aina Yasmin
yang kini tunduk merenung buku nota di atas meja. Dia
tergamam melihat gadis itu. Wajah ayu gadis bertudung itu
menarik-narik tangkai hatinya.
‘Apa nama dia tadi? Aina?’
“Aina, this is one of our directors and the CEO of
Warisan Investment, Encik Ameer Aazad.” Encik Mokhtar
memperkenalkan Encik Tunang kepada Aina Yasmin.
Aina Yasmin terpaksa mengangkat muka. Dia
memandang ke wajah tunangnya yang masih berjambang itu.
“Assalamualaikum, Encik Aazad.” Sapa Aina Yasmin.
Dia dapat menangkap mata Ameer Aazad yang membulat
secara tiba-tiba. Riak terkejut Ameer Aazad jelas menunjukkan
yang lelaki itu dapat meneka siapa dirinya.
Tersentak Ameer Aazad mendengar suara itu. Suara
yang menjadi igauannya sejak beberapa hari ini. Tajam mata
Ameer Aazad memanah ke arah Aina Yasmin. Aina Yasmin
menjadi tidak keruan.
“Aina apa?” soal Ameer Aazad.
“Errr… Aina Yasmin binti Zainal Abidin,” menggigil
tubuh Aina Yasmin dipandang sebegitu oleh Ameer Aazad.
Sumpah! Kalau dia tahu Ameer Aazad merupakan CEO di
Warisan Investment Sdn. Bhd., dia tidak akan sekali-kali
memohon pekerjaan di situ. Bagaimana harus dia
memutuskan pertunangan mereka nanti?
‘Alamat aku kena berhenti kerjalah nanti. Takkan
nak kerja satu ofis dengan bekas tunang? Hesy!!! Jaga kau
Mas!!!’ Dia pasti Mastura mengetahui yang Ameer Aazad
merupakan CEO di Warisan Investment Sdn. Bhd. Kalau
tidak, takkan Mastura sibuk menceritakan atau lebih tepat,
menakut-nakutkannya tentang CEO Warisan Investment Sdn.
Bhd.? Dia mahu tahu mengapa temannya itu merahsiakan
hal itu daripadanya.
Tubuh Ameer Aazad berubah kaku. Tidak menyangka
gadis bertudung pink yang telah mencuri perhatiannya
baru-baru ini merupakan tunangnya sendiri. Tidak berkedip
matanya melihat kecantikan paras rupa gadis yang telah
dijanjikan untuknya ini. Adakah ini semua hanya mimpi?
‘Takkan ni Aina Yasmin, tunang aku?’ Ameer Aazad
masih tidak percaya dengan perubahan gadis itu. Lain benar
daripada dulu. Bisakah seseorang itu berubah sehingga
begini sekali? Memang diakui gadis itu masih belum matang
ketika ditunangkan dengannya lebih lima tahun dahulu
dan tiada langsung ciri-ciri lazim seorang wanita pada Aina
Yasmin. Tubuhnya seakan gadis yang berusia empat belas
tahun walaupun sudah berumur lapan belas tahun ketika
ditunangkan. Namun kini? Wow!!!
“Ehem… ehem…” Encik Mokhtar berdeham. “Ada
apa-apa masalah ke Encik Aazad?” Pelik dia melihat kelakuan
Ameer Aazad. Mereka yang turut berada di dalam bilik
mesyuarat itu turut terpinga-pinga kehairanan.
“Tak… takde masalah. Saya cuma terkejut Warisan
ambik staf baru dan letak dia di sini. Saya cakap dengan HR
sebelum ni, saya nak tambah staf dalam Corporate Planning
Department di Warisan, bukannya di Icon. Hmmm… ada
miscommunication nampaknya.” Ameer Aazad melarikan
pandangan dari wajah Aina Yasmin. Malu juga dia ditangkap
merenung gadis itu.
‘Macam tak pernah tengok pompuan, aku ni!’
Sarah berbalas pandang dengan Aina Yasmin. Risau!
“Errr, jadi Aina akan ditukarkan semula ke Warisan?”
soal Encik Rashid tiba-tiba. Mereka betul-betul perlukan Aina
Yasmin di Icon Properties Sdn. Bhd. Tidak menang tangan
dengan projek-projek yang sedang dikendalikan ketika ini.
“Kenapa?” soal Ameer Aazad. Matanya mencerlung
memandang ke arah Encik Rashid. Tidak suka dengan cara
Encik Rashid yang seolah-olah mencabar dirinya sebagai
orang yang berkuasa membuat keputusan di situ.
“Errr… sebenarnya Encik Aazad, kami kat sini
memang kekurangan kakitangan. Dengan projek kat Shah
Alam dan projek kat JB yang akan bermula tak lama lagi,
kami betul-betul terdesak sekarang ni. Staf yang berhenti
dulu masih belum berganti. Ada Aina ni, sedikit sebanyak dia
dapat meringankan beban Sarah dan Yusmadi. Sementara
waktu ni, sebelum dapat staf baru, saya harap sangat Aina
dapat kekal di sini.”
Aina Yasmin tunduk. Sebolehnya dia mahu kekal di
Icon Properties Sdn. Bhd. Untuk selama-lamanya pun tidak
mengapa! Tidak sanggup dia kembali ke Warisan Investment
Sdn. Bhd. setelah mengetahui Ameer Aazad ada di sana.
Ameer Aazad menerima penjelasan Encik Rashid
dengan dada yang lapang.
“Hmmm… nanti saya discuss dengan HR. Okay, let’s
start our meeting!” Ameer Aazad kembali serius. Namun tidak
lama. Ketika Encik Rashid membentangkan perkembangan
projek rumah kedai di Shah Alam, matanya asyik lari ke arah
Aina Yasmin. Gadis itu tekun mengambil nota, seolah-olah
tidak terkesan dengan kehadirannya. Namun kalau
diperhatikan betul-betul, jari-jari yang memegang pen mata
bulat itu seakan menggeletar. Ameer Aazad menyembunyikan
senyum. Tahulah dia betapa gementarnya Aina Yasmin ketika
itu.
Tatkala merasakan sepasang mata Fadli turut
berlabuh pada objek yang sama, Ameer Aazad menjadi tidak
senang duduk.
‘Apa hal lak pandang-pandang tunang aku ni?’ Ameer
Aazad menahan rasa. Dia tidak betah melihat tunangnya
menjadi santapan mata lelaki lain. Kenapa, ya? Dulu, dia tidak
pernah merasa apa-apa sekiranya teman-teman wanitanya
mendapat perhatian daripada lelaki lain. Sehinggakan dia
sendiri tidak kisah sekiranya rakan-rakan liburnya ingin
berdansa atau merapati teman-teman wanitanya.
Ameer Aazad sengaja bertanyakan beberapa soalan
tentang isu-isu berbangkit kepada Fadli sebaik sahaja
pembentangan selesai dilakukan Encik Rashid. Dia mahu tahu
sejauh mana pengetahuan lelaki itu terhadap projek syarikat.
Tergagap-gagap Fadli menjawab pertanyaan bos besarnya itu
memandangkan dia tidak membuat persediaan rapi untuk
mesyuarat tengah hari itu. Fail pula dipegang Encik Rashid
sejak pagi tadi. Lagilah sukar hendak menjawab.
“Next time, please be prepared for any meeting with
me. Jangan harap pada Encik Rashid seorang saja! Kalau
namanya satu pasukan, semua aspek projek awak kena ambik
tahu! Bukan jawab dengan gaya tak confident macam ni!”
Keras teguran Ameer Aazad terhadap Fadli.
Fadli tertunduk. Malu ditegur begitu di hadapan
rakan sepasukan yang lain, terutamanya di hadapan Aina
Yasmin. Namun dia akur dengan kesalahannya. Semalam dia
langsung tidak mahu membelek fail. Ingatkan hari ini dia
masih sempat membaca apa yang patut. Dia silap percaturan.
“Aina Yasmin, what is your role in this project?”
Terangkat bahu Aina Yasmin ketika mendengar namanya
tiba-tiba disebut Ameer Aazad. Nama penuh pulak tu!
“My main role is to co-ordinate the launching of
the project, as well as advertising the sales of the units with
marketing department, Encik Aazad.” Aina Yasmin cuba
sedaya upayanya untuk bertutur dengan yakin. “In between,
saya akan bantu Cik Sarah dan Encik Yusmadi dalam isu-isu
berkaitan dengan permit, kontraktor, project development
dan sebagainya.” Sekali lagi mereka bertentangan mata. Aina
Yasmin menelan rasa gugup dan gementar.
“Good!” balas Ameer Aazad sepatah. Bangga dia
seketika mendengar Aina Yasmin menjawab soalannya
dengan yakin. Siap buat eye contact lagi!
Pantas Aina Yasmin melarikan pandangannya.
“Baiklah, I think we can end our meeting. It’s almost
lunch time anyway. Awak semua boleh pergi, except for Aina
Yasmin. Saya nak discuss sekejap dengan dia pasal status
dia di Warisan dan di Icon… and oh, I do not wish to be
disturbed!”
Aina Yasmin terkedu. ‘Masak aku macam ni!’
Seorang demi seorang teman sejabatannya
meninggalkan bilik mesyuarat. Sempat Sarah berbisik ke
telinganya yang dia akan tunggu Aina Yasmin di kafeteria.
Aina Yasmin cuma mengangguk.
Kini hanya ada Aina Yasmin dan Ameer Aazad. Ameer
Aazad bangun lalu mengambil tempat yang diduduki Sarah
sebentar tadi. Aina Yasmin menggenggam erat tangannya.
Jantungnya sudah kembali bergendang hebat.
“Tak sudi pandang muka abang, ke?” dengan lembut
Ameer Aazad bertanya.
Pantas Aina Yasmin menoleh ke arah tunangnya.
Mengapalah Ameer Aazad membiarkan wajahnya dipenuhi
bulu-bulu yang menutup wajah asalnya yang tampan dulu?
Walaupun lelaki itu masih segak di matanya, namun dia tidak
meminati lelaki yang berjambang begini. Dia geli!
Ameer Aazad tersenyum.
“Abang betul-betul tak sangka dapat jumpa Min hari
ni. Abang lupa nak tanya Min kerja kat mana. Rupa-rupanya
Min ni pekerja Warisan. Kejutan yang paling membahagiakan
abang! Tak sia-sia abang balik awal.”
Aina Yasmin menggigit bibir. Rasa kekok dengan
renungan dari sepasang mata hazel Ameer Aazad. Mata lelaki
itu tidak berhenti menjamah wajahnya. Syukur dia dalam
keadaan duduk. Kalau berdiri, entah ke mana mata Ameer
Aazad akan meliar. ‘Gatal jugak dia ni ek?’
“Boleh tak jangan tengok Min macam tu?” Aina
Yasmin jelas tidak selesa. ‘Macam tak pernah tengok
pompuan!!!’ bentak Aina Yasmin dalam hati.
“Macam tu? Macam tu, macam mana?” Ameer Aazad
tergelak kecil. Tahu Aina Yasmin tidak selesa.
“Macam tulah… macam yang abang sedang buat
sekarang! Min tak selesa.”
Ameer Aazad ketawa kecil.
“Nak tengok tunang sendiri pun tak boleh, ke?”
Nakal Ameer Aazad bertanya. Suka dia melihat kekalutan
tunangnya itu. “Lagipun dah lama abang tak jumpa Min. Min
dah berubah. Min cantik sangat sekarang. Abang langsung
tak cam Min masa kenduri Munirah baru-baru ni.”
Entah mengapa hati Aina Yasmin sedikit tergores
dengan kata-kata Ameer Aazad. Dia tidak suka dipuji cantik
kerana dia tahu siapa dirinya yang sebenar. Dia masih gadis
yang dulu – badan kurus sekeping macam jantan, kulit
berkilat terbakar dan langsung takde selera nak dipandang.
Rupanya yang sudah berubah langsung tidak merubah
hakikat dirinya yang sebenar.
‘Sebab aku dah berubah ke dia layan aku mesra
macam ni? Kalau aku masih macam dulu, dia ingin ke renung
aku macam mana dia renung aku sekarang?’ Aina Yasmin
masih sensitif dengan hal-hal berkaitan penampilan dirinya.
Lupa dia tentang persetujuan Ameer Aazad untuk menerima
dirinya seadanya sebelum mereka berjumpa secara berdepan
begini. Wajah Aina Yasmin berubah mendung.
“Kenapa Min? Abang salah cakap ke?” Terus hilang
senyuman di wajah Ameer Aazad melihat perubahan di wajah
tunangnya.
Aina Yasmin menggelengkan kepala. Wajahnya
suram.
“Can I be excused now?” Aina Yasmin ingin
melarikan diri. “Min dah janji dengan Sarah.”
“No! Tell me what’s wrong!” bantah Ameer Aazad.
Dia tidak suka meninggalkan isu yang tertangguh. Dia lelaki
yang pentingkan penyelesaian pada apa-apa masalah. Kalau
boleh, tidak mahu dipanjangkan ataupun ditangguhkan.
“Takde apa-apa. Errr… abang, Min rasa... Min dah
tak selesa kerja kat sini lagilah. Kalau Min tahu abang CEO
Warisan, Min takkan minta kerja kat situ. Apa pulak kata
orang nanti? Mesti diaorang ingat Min dapat kerja ni bukan
sebab merit tapi sebab abang.” Aina Yasmin memilih untuk
membangkitkan isu ini dan bukan tentang hatinya yang
tergores tadi.
“Ah, pedulikan tu semua! Cakap je yang Min tak
tahu pasal abang CEO Warisan. Lagipun, bukan abang yang
interviu Min dulu. Abang pun tak tahu Min dapat masuk
Warisan.”
“Min tetap tak selesa.”
“Kalau macam tu, biar abang buat announcement
pada semua staf yang Min ni bakal isteri abang. Biar semua
orang tahu.” Ameer Aazad mencadangkan jalan penyelesaian.
“No!!!” Aina Yasmin hampir menjerit. ‘Nak beritahu
semua orang? Oh tidak!!! Tak sanggup!’
“Kenapa?” Ameer Aazad kehairanan. Keningnya
bertaut.
“Min belum bersedia,” suara Aina Yasmin kembali
mengendur.
“Min ada cakap pada diaorang yang Min dah
bertunang?”
Aina Yasmin menggelengkan kepalanya.
Ameer Aazad mengetap bibir.
“Kenapa?” soalan datang bertubi-tubi daripada lelaki
itu. Semakin lama semakin tegang suaranya.
“Sebab takde siapa tanya.” Selamba jawapannya.
Aina Yasmin memberanikan diri memandang ke wajah Ameer
Aazad. Jelas ada riak tidak puas hati di situ.
Mata Ameer Aazad berkalih pula ke jari-jemari Aina
Yasmin di atas meja. Kosong.
“Kenapa tak pakai cincin tunang? Tak suka? Tak
cantik? Kata tak kisah orang tahu Min dah bertunang.
Rupanya Min tipu abang, ya? Kalau tak suka bertunang
dengan abang, cakap je terus terang! Tak payah nak buat
cerita dongeng dengan abang dan tak payah nak bagi abang
harapan lagi.” Ameer Aazad marah.
Melihat jari Aina Yasmin yang kosong membuatkan
dirinya hilang pertimbangan. Tanpa mendengar penjelasan,
dia sudah membuat andaian sendiri. Sungguh! Ego lelakinya
tercalar. Dia mahu mencanangkan kepada satu dunia tentang
siapa Aina Yasmin kepada dirinya. Tetapi sebaliknya, bukan
sahaja gadis itu tidak bersedia memaklumkan kepada
teman-teman sepejabat tentang hubungan mereka, malah
cincin tunang pun tiada di jarinya. Mana dia tidak marah!!!
Aina Yasmin tersentak. Matanya mula berkaca. Dia
memang pantang jika dimarahi dan disergah sebegitu. Dia
pasti akan menangis.
“Dah tiga tahun Min tak pakai cincin tu...” bisik Aina
Yasmin perlahan. Air mata mula menitis perlahan. “Sebab
dah tak muat. Bukan sebab Min tak suka atau tak cantik.
Sebelum tu... Min tak pernah tanggal, not even once!”
Tanpa menunggu reaksi Ameer Aazad, Aina Yasmin
terus bangun dan meluru keluar dari bilik mesyuarat menuju
ke tandas wanita. Dia mengambil nafas dalam-dalam bagi
menghilangkan rasa sakit di hati. Syukur tiada siapa di
dalam tandas ketika itu. Mungkin semua staf wanita sudah
meninggalkan pejabat untuk makan tengah hari.
Sudah dua kali Ameer Aazad membuatkan dia
menangis dengan kata-katanya. Yang pertama kali dulu lebih
pedih. Pasti Aina Yasmin akan mengalirkan air mata setiap
kali kata-kata hinaan itu melintas dalam fikirannya.
Aina Yasmin mengambil tisu lalu mengeringkan
wajahnya. Dia mengambil nafas sekali lagi sebelum pantas
beredar ke mejanya untuk mengambil tas tangan. Lekas-lekas
dia keluar dari pejabat dan menunggu lif untuk ke kafeteria.
Dia khuatir dia akan bertembung dengan Ameer Aazad.
Di dalam bilik mesyuarat, Ameer Aazad masih kaku
di tempat duduknya. Segunung kesalan melanda hatinya.
Pada pertemuan pertama mereka sejak sekian lama, dia telah
membuat tunangnya menangis. Memang sejak kemalangan
yang menimpanya dua tahun lalu, Ameer Aazad telah
berubah menjadi seorang yang serius dan perengus. Dia
mudah marah. Cepat hendak melenting. Mungkin di hati, dia
sebenarnya masih tidak reda sepenuhnya dengan segala ujian
daripada Ilahi. Dia mengeluh.
Kalau diikutkan hati, dia ingin mengejar Aina Yasmin
tadi dan memujuknya. Namun dia tidak tahu bagaimana
hendak memujuk hati seorang wanita. Dia tidak pernah
perlu memujuk sesiapa pun dulu. Mereka yang sering datang
melutut kepadanya. Tapi ini Aina Yasmin…. tunangnya.
Air mata gadis itu tadi betul-betul menyesakkan
jiwanya. Dia lemah tatkala melihat air mata jernih yang
mengalir ke pipi halus tunangnya itu. Dia yang bersalah.
Menuduh tanpa usul periksa. Kini, sekali lagi dia telah
menggores hati Aina Yasmin.
Tiba-tiba Ameer Aazad teringat kata-kata Iqbal suatu
waktu dahulu.
‘Min tu manja sikit, Zad. Orang marah sikit, dia
akan menangis. Nampak je keras tapi sebenarnya Min tu
sensitif sangat. Cengeng! Sebab tu dia takut dengan abah.
Dengan mak, aku dan Syafiq je dia tak takut… sebab kita
orang manjakan dia.”
Ketika itu dia melihat mata Aina Yasmin, yang
mungkin baru berusia lima belas tahun membengkak
seolah-olah baru lepas menangis. Apabila ditanyakan kepada
Iqbal, itulah balasannya.
Ameer Aazad mengeluh lagi. Dia perlu memujuk
dan memohon maaf daripada tunangnya itu. Dia perlu
memikirkan sesuatu.

No comments:

Post a Comment