Thursday, 12 May 2016

Yang Bermukim Di hati - Bab 11

“APA monyok je ni beb? Aku nak makan pun
tak selera tengok muka kau macam ni.” Mastura menguis
nasi di pinggannya. Dari petang tadi dia disajikan dengan
wajah suram Aina Yasmin. “Kau kata nak citer dengan aku
apa masalah kau. Aku dah lama tunggu kau bukak mulut
tau,” gerutu Mastura lagi.
Aina Yasmin memerhatikan kawannya mencapai
gelas berisi air sirap lalu menghirupnya. Dia bangun lalu
membawa pinggan yang hampir tidak berusik ke dapur.
Setelah membuang sisa nasi dengan rasa yang amat berdosa
dan mencuci apa yang patut, dia kembali ke meja makan. Dia
menunggu Mastura menghabiskan makanannya. Sepuluh
minit kemudian, Mastura mengajak Aina Yasmin ke ruang
tamu.
“Kak Ti tak balik lagi?” Aina Yasmin menyoal sekadar
berbasa-basi tentang kawan Mastura yang turut menyewa
bersama-sama mereka.
“Belum. Lambat kut hari ni. Biasalah dia tu... kalau
ada closing account je, lambatlah dia balik.”
Aina Yasmin mengangguk. Kak Wati merupakan
senior Mastura di UIA dulu. Mereka sama-sama menyewa di
rumah teres itu sejak beberapa bulan yang lalu.
“Hah, cepatlah cerita!” desak Mastura.
Lambat-lambat Aina Yasmin memulakan ceritanya.
Hanya kepada Mastura dia boleh meluahkan isi hatinya.
Walaupun mereka terpisah selama lima tahun lamanya,
tiada apa pun yang dapat merubah tali persahabatan antara
mereka. Mereka tetap berhubung.
Mastura seoranglah yang tahu segalanya tentang
Ameer Aazad, tentang rasa jijik dan benci lelaki itu terhadapnya,
tentang mengapa dia mahu memutuskan pertunangan
mereka sebelum ini dan tentang ‘syarat-enam-bulan’ yang
dikenakan lelaki itu. Mastura juga tahu tentang tekad Aina
Yasmin yang masih ingin memutuskan pertunangannya
dengan Ameer Aazad selepas tamat tempoh enam bulan nanti.
“Jadi, lepas kau nangis kau terus blah?” tanya
Mastura sebaik sahaja Aina Yasmin mematikan ceritanya.
“Yalah. Buat apa nak tunggu lagi? Baran rupanya dia
tu. Ada ke patut dia cakap aku tipu dia? Eeeee… geram betul!
Menyesal aku setuju nak bagi dia enam bulan! Kalau aku tahu
dia tu cepat marah, tak hingin aku nak bertunang dengan
dia!!!” Aina Yasmin melepaskan geram. “Yang kau ni pun
satu! Apasal kau tak beritahu aku dia tu CEO Warisan? Kalau
aku tahu, sumpah aku takkan minta kerja kat situ!” Lengan
Mastura ditampar kuat, objek bagi melepaskan geramnya.
“Aduh! Sakitlah siot!!!” Berkerut dahi Mastura.
Lengannya yang terasa perit diusap laju. “Memang sengaja
aku tak beritahu kau!”
“Kenapa?” Bengang.
“Sebab aku nak kau bagi peluang pada diri kau
sendiri.”
“Peluang? Aku tak fahamlah! Sengajalah tu cakap
tak nak kasi habis! Dari dulu macam ni… lembap!!!” Aina
Yasmin masih tidak puas hati. Seenak rasa dia mengutuk
temannya sendiri. Rasa geram yang berbuku terhadap Ameer
Aazad seolah-olah dilampiaskan kepada Mastura.
Mastura menjelirkan lidahnya.
“Cepatlah explain!!!” pinta Aina Yasmin dengan
tidak sabar. Matanya dijegilkan.
“Yalah, kau ni kan dah lebih lima tahun bertunang.
Disebabkan status kau ni yang dah bertunang, kau tak pernah
izinkan mana-mana lelaki lain dekat dengan kau, walaupun
aku tahu kau tu ramai peminat. Kau setia pada Abang Aazad
sorang je walaupun kat mulut kau kata kau benci pada dia.
Kau tak pernah pandang remeh pada hubungan kau yang dah
terikat dengan Abang Aazad. Aku rasa kau tak patut sia-siakan
masa lima tahun yang kau dah korbankan untuk setia kepada
Abang Aazad tu!”
“Maksud kau?” Berkerut dahi Aina Yasmin cuba
memahami penjelasan Mastura tadi.
“Lima tahun, Min! Lima tahun kau setia pada dia
walaupun dia sering curangi kau! Kau tahu dia curang, tapi
kau masih setia. Kenapa? Tapi sekarang dah terbalik. Kau tak
nak kat dia tapi dia yang tak nak lepaskan kau. Jadi aku rasa
kau perlu bagi peluang pada diri kau sendiri untuk mengenali
tunang kau tu. Otherwise, aku rasa sia-sia je kau korbankan
lima tahun hidup kau untuk setia pada lelaki macam tu!”
“Aku setia sebab janji aku pada arwah abah dulu. Bila
arwah abah dah takde dan aku pun dah habis belajar, barulah
aku rasa berani untuk putuskan pertunangan aku dengan
dia.”
“Tapi, aku tak percaya kau benci dia. Tanya diri
kau sendiri, Min. Betul ke kau benci? Atau benci kat mulut
tapi bukan di hati?” desak Mastura. Bukan dia tidak kenal
temannya itu. Dia mahu Aina Yasmin bersifat tulus kepada
dirinya sendiri dan bukan membohongi hatinya sendiri
begini.
Panas hati Aina Yasmin mendengar terjahan
soalan-soalan daripada Mastura.
“Kenapa kau tanya aku macam tu?”
“Sebab aku kenal kau bukan sebulan dua. Aku kenal
kau dah lama, Min. Dulu aku tahu kau memang ada crush
dengan Abang Aazad.”
Merah muka Aina Yasmin.
“Alaaah tu dulu, zaman masa kita budak-budak
lagi. Sama macam kau ada crush dengan cikgu yang ajar kita
subjek sejarah dulu. Takde bezanya! Aku dah takde perasaan
tu lagilah!!!” bidas Aina Yasmin bersungguh-sungguh.
“Buktikan!!!” cabar Mastura.
“Maksud kau?”
“Kau dah setuju nak bagi dia enam bulan, kan? Jadi
kau kena ikhlaskan diri kau. Kau kena betul-betul bagi dia
peluang dan kau kena bukak hati kau. Kau tak boleh bertahan
pada niat kau yang masih nak putus lepas enam bulan nanti,
seolah-olah enam bulan ni takde makna apa-apa pun buat
kau. Kau kejam kalau macam tu, Min. Kau bagi harapan
palsu pada dia. Kau setuju bagi dia enam bulan, tup-tup kau
putuskan pertunangan. Tu tak adil!!!” bentak Mastura.
Riak wajah Aina Yasmin diulit rasa bersalah.
“Aku... aku cuma kesian pada mak dan Auntie Shima.
Diaorang macam mengharap sangat. Kalau tak pasal mak
dengan Auntie Shima, aku takkan setuju dengan syarat dia.”
Aina Yasmin mengaku dengan suara yang perlahan. “Lagipun
dia yang kata takpe kalau aku nak putuskan jugak lepas enam
bulan nanti.”
“That’s wrong, Min. Apa yang kau buat tu salah! Kau
main-mainkan perasaan orang. Apa bezanya kau hampakan
harapan mak kau dengan Auntie Shima sekarang atau enam
bulan dari sekarang? Diaorang tetap akan rasa kecewa
dengan keputusan kau ni. Aku minta maaf sangat-sangat
sebab tak beritahu kau yang Abang Aazad tu CEO di Warisan.
Tapi niat aku ikhlas nak bagi peluang pada kau. You owe it to
yourself, Min! Auntie Shima kata dia dah berubah, kan? Kau
tak curious ke? Kau tak nak cuba kenali tunang kau sendiri?
Aku rasa kau akan menyesal kalau tak bagi peluang tu pada
dia dan pada diri kau sendiri!”
Aina Yasmin menggigit bibir. Dia tidak dapat
menidakkan kata-kata Mastura itu. Memang dia nampak
kejam kerana tidak pernah ikhlas ketika memberi persetujuan
kepada ‘syarat-enam-bulan’ yang dikenakan Ameer Aazad.
Dalam hatinya, dia telah pun meletakkan keputusan untuk
putus jua walau apa pun terjadi. Sekurang-kurangnya dia
boleh berkata kepada ibunya yang dia telah pun memberi
peluang kepada Ameer Aazad tetapi hatinya masih tidak
dapat menerima lelaki itu sebagai suami. Dia langsung tidak
memikirkan tentang hati dan perasaan lelaki itu, hanya
kerana lelaki itu tidak pernah memikirkan tentang hati dan
perasaannya dulu.
“Min, lepas kau grad dulu, kau sengaja tak nak
balik Malaysia konon nak cari kerja kat sana. Kau kata kau
nak cari pengalaman dan kumpul duit sikit. Tapi sebenarnya
kau tak berani nak berdepan dengan Abang Aazad, kan? Kau
sengaja lengah-lengahkan kepulangan kau ke Malaysia,” duga
Mastura.
Aina Yasmin terkedu.
“Mas... masa tu aku tak tahu apa yang perlu aku buat.
Aku belum bersedia nak kahwin. Aku takut kalau aku balik,
mak akan paksa aku kahwin dengan Abang Aazad sebagai
menunaikan permintaan arwah abah. Aku takut nak minta
putus. Bila aku dah yakin dengan keputusan aku, barulah aku
decide nak balik Malaysia.”
“Kau kan dah setuju dengan syarat Abang Aazad. Tapi
aku tengok kau ni macam...” Jeda. Mata Mastura membulat
seolah-olah baru mencernakan sesuatu. “Kau ni nak balas
dendam, ya?” teka Mastura.
“Mana ada???” laju sahaja Aina Yasmin membantah.
Dia tidak mahu mengaku. Rasa bersalah mula mencengkam
jiwa.
“Lantak kaulah, Min. Kau nak tipu diri kau sendiri,
kau tipulah. Aku tak kuasa nak layan.” Mastura bangun. Bosan
dia dengan sikap berpura-pura Aina Yasmin. Sebelum sempat
dia berlalu, Aina Yasmin memaut lengannya dan menariknya
agar dia kembali duduk di atas sofa.
“Sorry, Mas. Aku tak tahu apa kena dengan aku
sebenarnya ni. Aku takut sebenarnya!” lambat-lambat Aina
Yasmin mengaku di hadapan temannya.
“Takut apa?” Kening Mastura bertaut.
“Takut akan timbul perasaan pada dia. Aku tak pernah
jatuh cinta, Mas. Tahu-tahu kena bertunang dengan lelaki
yang benci pada aku, yang pernah hina aku macam-macam.
Hati aku sakit, Mas. Sampai sekarang masih terasa. Lepas aku
tanamkan rasa benci ni sejak bertahun-tahun lamanya, aku
takut kalau perasaan aku berubah jadi yang lain pulak. Aku
takut, Mas!”
“Kau takut jatuh cinta dengan Abang Aazad?” teka
Mastura lagi.
Aina Yasmin mengangguk lemah.
“Dari dulu aku cakap dengan diri aku, aku tak nak
kahwin dengan lelaki ego, sombong, baran, yang tak tahu
nak jaga perasaan orang lain dan yang pentingnya, aku tak
nak kahwin dengan lelaki yang mementingkan paras rupa!
Dia shallow, Mas. Dia rapat dengan along dan angah tapi
pada masa yang sama dia benci pada aku hanya sebab rupa
aku buruk! Tak secantik girlfriends dia dulu. Aku tahu dia
rasa aku tak padan berdampingan dengan dia. Tapi sekarang,
konon dah berubah! Sebab apa? Sebab aku dah tak buruk
macam dulu?” Penuh emosi Aina Yasmin mencurah rasa.
“Min, dia minta peluang kedua daripada kau sebelum
dia tahu kau dah berubah. Kau jangan lupa tu! Dia sendiri
kata dia tak kisah rupa kau macam mana, kan?” Mastura
mengingatkan kembali. Dia tidak mahu Aina Yasmin
berterusan bersangka buruk terhadap Ameer Aazad.
“Aku tak tahulah, Mas. Bukan senang aku nak
lupakan kata-kata hinaan dia dulu. Aku rasa rendah diri
selama ni sebab dia. Bila orang puji aku cantik, aku tak
percaya! Aku anggap orang tu nak main-mainkan aku. Bila
dia puji aku cantik, aku terus jadi benci! Aku benci bila orang
yang dulu hina aku macam-macam boleh puji aku cantik
sekarang!”
Mastura menggenggam erat tangan Aina Yasmin.
“Dari dulu aku, Man dan Pian tak pernah anggap kau
buruk, Min. Hati kau yang cantik yang kita orang nampak.
Kalau Pian atau Man tengok kau sekarang, mesti diaorang
pun terkejut dengan perubahan kau. Kau memang cantik,
Min. Percayalah…” Sedih Mastura setiap kali Aina Yasmin
mengungkit tentang hinaan yang pernah diterimanya
dulu. Bukan sahaja Ameer Aazad pernah menghinanya,
kawan-kawan sekampung dan di sekolah juga sama. Mereka
hanya memandang luaran Aina Yasmin sahaja.
Aina Yasmin diam.
“Apa kau nak buat sekarang?”
“Entahlah, Mas. Aku tak tahu. Kalau boleh aku nak
je berhenti kerja dari situ. Aku malas nak tengok muka dia
tu. Dahlah ofis Warisan sama bangunan dengan Icon! Hesy!
Rimas, tahu tak?”
“Eh, mana boleh? Penat-penat aku carikan kerja
untuk kau, tau! Tahu-tahu nak berhenti. Banyak cantik! Malu
aku!!!” tempelak Mastura.
“Alaaah… nak malu apanya? Kau bukan kerja kat
situ pun!”
“Yalah, tapi aku kenal beberapa orang kat Warisan
tu. Aku yang paskan CV kau pada HR. Malu aku tau bila orang
yang aku rekomen cabut lari lepas tiga hari bekerja! Kau
jangan buat pasal!” Melayang-layang jari telunjuk Mastura di
hadapan muka Aina Yasmin. Dia serius dengan amaran yang
diberikan.
Aina Yasmin menjeling. Sebelum sempat dia
membalas, telefon bimbitnya berbunyi. Nama ‘Along’ tertera
di skrin.
“Assalamualaikum, along…” sapanya lemah.
Iqbal menjawab salam Aina Yasmin. “Dik, along ada
kat luar rumah adik ni. Keluar kejap.”
“Hah? Along ada kat luar? Okey, jap!” Pantas Aina
Yasmin melompat bangun dan berlari ke bilik. Dia mencapai
tudung ekspres dan menyarungkannya. Tidak menghiraukan
diri yang hanya berseluar sukan dan berbaju-T lengan
panjang. Santai.
“Mas, along ada kat luar. Aku keluar kejap.”
“Hmmm…” balas Mastura acuh tidak acuh. Dia
mencapai majalah dari atas meja kopi.
“Tak nak jumpa along?” Aina Yasmin menduga.
Dia masih mencari suatu jawapan tentang kewujudan suatu
‘hubungan’ antara Mastura dengan abang sulungnya itu.
“Buat apa?” Mastura bertanya. Riak wajahnya blur.
“Takde apa-apalah. Aku keluar dulu.” Aina Yasmin
hampa. Reaksi Mastura tidak seperti yang diharapkan.
Di luar pagar, Iqbal bersandar di bonet kereta Honda
Accordnya. Aina Yasmin menyalami tangan abangnya dan
memeluk lelaki itu sekejap. Lebar senyuman Iqbal dengan
sikap manja adiknya itu. Dia merangkul bahu Aina Yasmin
dan mencium dahi adiknya.
“Rindu, along.” Tiba-tiba diri terasa sebak. Rasa
ingin menangis saja dengan kehadiran abangnya itu. Tatkala
hatinya sedang sakit dan keliru, dia hanya ingin melihat
wajah-wajah orang yang dia sayang. Mungkin kekusutan
di dalam hatinya bisa lenyap. Kalau tidak lenyap pun, asal
berkurangan sedikit pun tidak mengapa.
“Hei, kenapa ni?” risau Iqbal mendengar suara Aina
Yasmin yang sedikit bergetar. Iqbal menjarakkan tubuhnya
daripada Aina Yasmin. Cuba mencari riak wajah yang
disembunyikan adiknya itu. Lampu jalan yang malap tidak
membantu.
Aina Yasmin pantas mengerdipkan matanya bagi
menghilangkan sisa-sisa air mata yang tiba-tiba sahaja
muncul sebelum sempat ditangkap oleh abangnya.
“Takde apa-apalah! Along datang ni nape? Nak bawak
adik keluar makan ke? Adik dah makanlah dengan Mas.” Aina
Yasmin meneka. Dibuat-buatkan suaranya agar berbunyi
ceria. Tidak mahu alongnya berfikir yang bukan-bukan.
Jenuh hendak menjawab nanti.
“Taklah… along dari ofis ni… tak balik rumah pun
lagi.”
“Padanlah bau acham!” perli Aina Yasmin.
Tangannya dikibas-kibas di hadapan hidungnya. Memang
Iqbal masih lagi berpakaian pejabat. Cuma tali leher sahaja
sudah ditanggalkan dan lengan baju dilipat hingga ke paras
siku.
“Banyaklah acham!” Iqbal menunjal dahi adiknya.
Geram dia dituduh masam. Mana ada berpeluh pun. Duduk
dalam bilik berhawa dingin sepanjang hari lagi. Lagipun, hari
ni dia tidak turun ke site.
Aina Yasmin ketawa kecil. Dia menampar manja
dada Iqbal sebagai balasan dahinya ditunjal tadi.
“Along datang bawak hajat!”
“Hajat? Hajat apa? Nak adik panggilkan Mas ke?”
Aina Yasmin tidak faham. Masih mahu mengaitkan Mastura
dengan abang sulungnya.
“Hesy! Nak panggil Mas buat apa? Along bawak hajat
tunang tersayang.”
Berkerut dahi Aina Yasmin. Sungguh, dia tidak
mengerti kata-kata abangnya.
“Tu hah…” ujar Iqbal lagi sambil menuding jari ke
arah belakang Aina Yasmin.
Aina Yasmin berpaling. Dia hanya melihat kereta
BMW 7 Series berwarna putih dengan cermin bertinta gelap
terparkir tidak jauh dari situ. Langsung tidak nampak siapa
pemandunya.
“Siapa?”
“Kan along cakap tunang tersayang…” Iqbal yang
kini berdiri di belakang Aina Yasmin memaut kedua-dua
bahu adiknya. “Tu, Aazad nak jumpa. Along bawak dia datang
sini sebab dia tak tahu adik tinggal kat mana.” Iqbal menolak
sedikit tubuh adiknya agar mengambil langkah ke hadapan.
Tangannya di bahu Aina Yasmin dilepaskan.
Pada mulanya, tubuh Aina Yasmin terdorong ke
hadapan akibat ditolak abangnya itu, namun dia pantas
mengambil satu langkah ke belakang. Kembali ke tempat
asalnya tadi. Dia memalingkan wajah serta tubuhnya. Dia
belum bersedia untuk berjumpa dengan lelaki itu sejak
insiden yang berlaku tengah hari tadi.
“Along!!! Kenapa along bawak dia datang sini?” Aina
Yasmin tidak puas hati dengan tindakan abangnya. Geram
betul dia. Mencerlung matanya memandang ke wajah Iqbal.
‘Pandai-pandai je along ni! Bukan nak tanya aku dulu!’
Tanpa dia sedar, Ameer Aazad keluar dari perut
kereta. Dia telah melihat setiap kelakuan dan gerak-geri
Aina Yasmin sejak gadis itu keluar dari rumah tadi. Ada rasa
cemburu menerjah di dada tatkala melihat gadis itu dipeluk
Iqbal tadi, walaupun dia sedar Iqbal itu abang kandung
tunangnya. Pantas dia cuba melenyapkan rasa cemburu
itu. Ameer Aazad turut melihat aksi tunangnya yang
memalingkan wajahnya sebentar tadi. Sudah pasti tidak sudi
bertemu pandang dengannya.
“Aazad telefon along, minta tolong dengan along.
Along tolonglah… kenapa panik sangat ni?” Ameer Aazad
mendengar penjelasan Iqbal kepada Aina Yasmin. Seketika
itu, Aina Yasmin dilihat menggeleng-gelengkan kepalanya.
Ameer Aazad mengeluh. Dia sedar gadis itu tidak
mahu bersua muka dengannya. Mungkin masih terasa
dengan apa yang berlaku di pejabat Icon Properties Sdn. Bhd.
siang tadi. Dia mengatur langkah mendekati Aina Yasmin dan
Iqbal, lalu berhenti melangkah dan berdiri kurang satu kaki
daripada tunangnya itu.
“Min, abang nak cakap sikit dengan Min…” perlahan
Ameer Aazad bersuara. “Boleh kita keluar sekejap?”
Aina Yasmin tidak berpaling. Dia masih berdiri
menghadap Iqbal dan membelakangi Ameer Aazad. Tubuhnya
kaku. Pelik Iqbal melihat kelakuan adiknya yang tidak
mengendahkan Ameer Aazad.
“Adik, Aazad tengah cakap dengan adik tu,” tegur
Iqbal.
Tidak mahu abangnya mengesyaki sesuatu, dia
berpaling. Terkejut melihat Ameer Aazad yang berdiri agak
hampir dengannya. Seperti abangnya, lelaki itu masih
berpakaian pejabat. Aina Yasmin masih diam.
“Min, jom kita keluar makan kejap?” ajak Ameer
Aazad. “Abang dah minta kebenaran along Min tadi, dan
along dah izinkan.”
“Min dah makan dengan Mas. Min malaslah nak
keluar. Min penat,” dalih Aina Yasmin. Dingin nada suaranya.
Iqbal menepuk bahu adiknya. Tidak gemar dengan
cara adiknya membalas pelawaan Ameer Aazad itu, yang
dirasakan sedikit kurang ajar.
Aina Yasmin melihat perubahan di wajah Ameer
Aazad. Dia berasa sedikit bersalah.
“Please, Min? Abang ada hal nak bincang dengan
Min,” rayu Ameer Aazad.
Belum sempat Aina Yasmin menjawab, Iqbal
mencelah bagi pihaknya.
“Pergilah dik. Sekejap je. Pergi ikut Aazad. Nanti
Aazad hantar adik balik.” Iqbal memandang Ameer Aazad
pula. “Jangan lambat sangat ya, Zad? Tak manis!”
“Aku janji, Bal. Aku nak jumpa Min kejap je,” tutur
Ameer Aazad.
Iqbal mengangguk.
Aina Yasmin mengilas pandang ke jam tangannya.
Baru menginjak ke pukul 8.15 malam. Awal lagi sebenarnya.
Tanpa pilihan, dia mengangguk.
“Tunggu kejap. Min nak ambik purse.”
Sementara Aina Yasmin masuk ke dalam untuk
mengambil dompetnya, Ameer Aazad berbual kosong dengan
Iqbal. Sudah agak lama mereka tidak berkesempatan untuk
berbual seperti dulu.
Di dalam rumah, Mastura menegur.
“Hoi! Kenapa muka macam asam boi je ni?”
Aina Yasmin mengeluarkan dompet dari tas
tangannya.
“Abang Aazad ada kat luar la. Dia ajak aku keluar.
Ada hal nak bincang katanya. Aku malas, tapi along pulak
yang melebih-lebih suruh aku ikut Abang Aazad,” adu Aina
Yasmin. Wajahnya mencuka.
Terbeliak mata Mastura.
“Hah? Abang Aazad ada kat luar? Hehehe… dia nak
pujuk kaulah tu…” teka Mastura. “Hei! Takkan nak keluar
macam tu. Sempoi sangatlah kau ni. Pergilah salin baju.
Pakailah bedak dengan lipstick sikit!” Mastura menegur.
Kepalanya digeleng-gelengkan. Selekeh sangat Aina Yasmin
ni!
“Hesy, tak kuasa! Aku bukan nak mengurat dia. Biar
dia tengok aku macam mana. Takde hal aku nak bersolek
bagai. Aku masih Min yang dulu. Dia je yang tak tahu.
Dahlah… malas nak layan kau!” bidas Aina Yasmin.
Dengan langkah yang berat, Aina Yasmin keluar dari
rumah. Dia merapati Iqbal.
“Jomlah ikut sekali, along,” ajak Aina Yasmin. Dia
tidak selesa berdua-duaan bersama Ameer Aazad sahaja.
“Tak naklah along kacau daun orang bercinta,” usik
Iqbal. Dia membuat muka.
Mencerlung mata Aina Yasmin kepada abangnya.
Sempat lengan abangnya dicubit geram. Ameer Aazad hanya
tersengih.
‘Menyampah!’ bisik Aina Yasmin dalam hati. Dia
mengikut Ameer Aazad masuk ke dalam kereta mewah milik
lelaki itu. Tergamam Aina Yasmin sekejap melihat bahagian
dalaman kereta. ‘Kayanya mamat ni!’
Ameer Aazad menghidupkan enjin dan kereta
mengaum laju meninggalkan perkarangan taman perumahan
di Wangsa Maju itu.
Aina Yasmin merasa janggal berdua-duaan di dalam
kereta bersama Ameer Aazad. Suasana sepi menyelubungi
perjalanan mereka. Sekali-sekala Ameer Aazad mengilas
pandang ke arah Aina Yasmin yang tidak berkalih daripada
memandang ke luar tingkap. Dia tidak tahu bagaimana
hendak memulakan perbualan dengan tunangnya itu.
‘Marah atau merajuk dia ni?’
Ameer Aazad memandu ke arah Wangsa Walk Mall.
Diparkirkan keretanya berhampiran dengan restoran TGI
Fridays. Dia mematikan enjin kereta lalu memandang ke arah
Aina Yasmin.
“Min okey temankan abang makan kat situ?” Jarinya
menunjuk ke arah restoran TGI Fridays.
Mata Aina Yasmin mengikut ke arah yang
ditunjukkan jari telunjuk Ameer Aazad.
“Takpe ke Min pakai macam ni je?” Segan pula
dia mengenakan pakaian santai begitu. Ingatkan hendak
menjamu selera di restoran atau gerai biasa-biasa sahaja.
“Takpe, abang tak kisah… jom?” ajak Ameer Aazad
sambil membuka pintu kereta.
Dengan hati yang tidak begitu rela, Aina Yasmin
turut keluar dari perut kereta. Dia membuntuti langkah
Ameer Aazad masuk ke dalam restoran itu. Pelayan yang
bertugas membawa mereka ke sebuah meja kosong di hujung
ruang restoran lalu menghulurkan menu. Aina Yasmin duduk
sementara Ameer Aazad mengambil tempat bertentangan
dengannya.
“Min nak makan?”
Aina Yasmin menggelengkan kepala. Walaupun
dia hampir tidak menjamah makanan yang dibelinya ketika
makan malam bersama Mastura tadi, dia tidak merasa
lapar. Dia tiada selera untuk menjamah apa pun ketika ini.
Sudahnya, dia hanya memesan teh O ais limau sahaja, a.k.a.
ice lemon tea, kalau mengikut tulisan di dalam menu.
Sesudah Ameer Aazad membuat pesanan, mata
lelaki itu berlabuh ke wajah tunangnya. Wajah yang bersih
tanpa secalit solekan. Namun begitu indah dan berseri pada
pandangan matanya. Kulit yang berwarna kuning langsat
itu begitu licin dan halus. Kening yang terbentuk indah dan
alis mata yang begitu lentik. Ulas bibir yang merah begitu
mempesonakan, walaupun tidak tercalit pewarna merah
gincu bibir.
Mengapa dia tidak pernah perasan ciri-ciri wajah
Aina Yasmin dulu? Dari dulu kening dan alis matanya begitu.
Dari dulu bentuk dan warna bibirnya begitu. Mengapa dia
hanya memandang pada kulit yang kusam dan ‘terbakar’
sahaja? Mengapa dia hanya memandang bentuk fizikal tubuh
Aina Yasmin sahaja? Mengapa dia hanya memandang dengan
mata kasar dan tidak dengan mata hati?
Aina Yasmin sudah tidak senang duduk. Cara Ameer
Aazad memandangnya sama seperti tengah hari tadi. ‘Macam
tak pernah tengok pompuan!’
“Marah pada abang lagi?” Lembut Ameer Aazad
memecahkan kesunyian antara mereka.
“Siapa yang marah siapa, sebenarnya?” sindir Aina
Yasmin. Dia memberanikan diri membela diri. Soalan yang
ditanya jelas menudingkan kesalahan ke arah Ameer Aazad.
Ameer Aazad mengangguk tanda dia mengakui
kesalahannya. Memang dia yang melepaskan kemarahannya
dahulu.
“Abang minta maaf…”
Aina Yasmin mencemik lalu mengetap bibir. ‘Senang
je nak minta maaf. Tuduh aku macam-macam, lepas tu minta
maaf. Banyak cantik? Menyampah aku!’
Riak wajah Aina Yasmin memberi isyarat yang amat
jelas kepada Ameer Aazad tentang perasaan Aina Yasmin
ketika itu. Dia mengeluh.
“Bukan niat abang nak gores hati Min. Abang terlepas
cakap. Abang tak tahu kenapa abang rasa marah sangat bila
Min rahsiakan status Min daripada staf Icon. Lepas tu, bila
abang perasan yang Min tak pakai cincin tunang tu, abang
bertambah marah. Maafkan abang. Abang bersalah sebab
bersangka buruk pada Min macam tu. Langsung tak terlintas
dalam fikiran abang yang cincin tu dah tak muat lagi.”
Aina Yasmin masih tidak mahu memandang ke
wajah Ameer Aazad. Rasa benci dan meluat terhadap lelaki
itu masih bersisa.
“Huh! Double standards! How typical!” sinis Aina
Yasmin menyindir tunangnya.
“Maksud Min?” Kening terangkat mendengar nada
Aina Yasmin.
“Bukan selama ni abang yang tak pernah mengaku
status abang ke? Min tak pernah kisah pun bila abang tak
nak mengaku yang abang dah bertunang dan Min ni tunang
abang. Min tak marah, sebab Min tahu abang malu. Kita
tak sepadan. Tapi sekarang kenapa abang nak marah-marah
Min pulak? Padahal bukannya Min sengaja. Orang tak tanya,
takkan Min nak canang pada semua orang pulak yang Min ni
dah bertunang? Min kan baru lagi kerja kat situ. Tak kenal
rapat sangat dengan siapa-siapa pun. Tiba-tiba je nak marah.
Tuduh Min tipu pulak.”
‘Hah, ambik engkau! Sekali dia marah, berdas-das
kena kat muka kau! Padan muka!’ fikir Ameer Aazad.
Terkesima dia dengan segala yang lahir dari bibir tunangnya
itu. Dia tidak nafikan apa yang diluahkan gadis itu kerana
semuanya benar belaka. Memang dia malu mengakui dirinya
telah bertunang dulu. Lagi pula dengan Aina Yasmin.
“Abang tak nafikan apa yang Min cakap tu sebab
semuanya betul. Memang abang bersalah. Dari dulu abang
bersalah. Dan tengah hari tadi pun, I don’t know what
came over me. Abang takde penjelasan pasal tadi. Padahal
mula-mulanya abang gembira sangat bila tahu yang Min
ada kat depan abang. Dah lama abang nak jumpa Min. Tapi
tiba-tiba abang tak boleh nak kawal emosi abang. I am really
sorry. Please forgive me,” pinta Ameer Aazad dengan begitu
luhur dan ikhlas sekali. Wajahnya jelas merayu.
“Tapi kan Min, sekarang abang dah tak berahsia
lagi. Kawan-kawan yang masih rapat dengan abang tahu
yang abang dah bertunang. Secretary abang tahu, ahli-ahli
lembaga pengarah Warisan tahu, bapa angkat abang pun dah
tahu. Abang tak pasti sama ada staf kat Warisan atau Icon
tahu ke tak, sebab abang baru je jadi CEO kat Warisan tu. Tapi
abang tak kisah kalau diaorang tahu sekalipun.”
Ameer Aazad memerhatikan tunangnya menggigit
bibir. Gadis itu masih tunduk. Enggan bertentang
mata dengannya. Dengan sabar dia menunggu gadis itu
mengucapkan kata seterusnya. Dia rela menerima apa pun
yang bakal dihamburkan tunangnya itu. Memang dia layak
menerima kata marah atau cemuhan daripada Aina Yasmin.
Dia yang bersalah.
“Min... please say something.”
Aina Yasmin mengeluh. Belum sempat dia bersuara,
pelayan tadi menghampiri meja mereka sambil membawa
makanan dan minuman yang telah dipesan. Ameer Aazad
menolak pinggannya ke tengah meja. Dia mahu menyelesaikan
isu yang tertangguh dengan Aina Yasmin dahulu. Itu lebih
utama daripada mengisi perutnya.
“Min? Marahlah abang, kalau itu akan buat Min rasa
puas. Abang tak kisah. Abang terima apa pun yang Min nak
kata pada abang. Tapi tolonglah jangan diam macam ni. Min,
I’ll do anything just as long as you forgive me! Anything,
Min!” Tidak berhenti Ameer Aazad merayu. Semakin pakar
dia dalam bab-bab begini.
Aina Yasmin mengeluh. Dia tidak tahu apa yang
perlu diucapkan.
“Min tak tahu…”
“Min tak tahu sama ada boleh maafkan abang?” soal
Ameer Aazad. Dia ingin mendapatkan kepastian.
“Bukan… Min tak tahu nak cakap apa pada abang.”
Seketika itu, Aina Yasmin mengangkat muka. Pandangan
mereka bertemu. Ada getaran dalam dada masing-masing.
Pantas Aina Yasmin melabuhkan pandangan.
“Pasal apa yang abang pernah cakap tentang Min
dulu, Min dah maafkan. Cuma, kadang-kadang Min akan
teringat balik kata-kata abang, setiap kali bila Min rasa Min
perlu sedar diri…”
Ameer Aazad terasa bagai ada bongkah batu yang
amat besar menimpa bahunya.
‘Ya Allah, sekiranya waktu boleh diputarkan
kembali…’ Namun, dia tetap terharu gadis itu rela
memaafkannya. Kalau dia di tempat Aina Yasmin, belum
tentu lagi dia sudi memaafkan kesalahan orang yang telah
menghinanya dulu. Terserlah kecantikan hati dan peribadi
tunangnya itu. Kecantikan yang sejak dulu bisa dilihat oleh
ibunya sendiri. Betul kata ibunya tentang Aina Yasmin. Hanya
dia yang buta. Buta mata dan buta hati.
“Min…” lirih suara Ameer Aazad. “If I could take
back the words that had hurt you so badly, I would… I swear
it… Abang bukan nak buat alasan, tapi abang masih muda
masa tu… disebabkan perempuan-perempuan yang asyik
nak dampingi abang, dan ditambah pulak dengan pangkat
dan kepercayaan yang bapa angkat abang beri pada abang,
abang lupa siapa diri abang yang sebenarnya. Abang kemaruk
dengan hal-hal duniawi. Abang lupa pada amanah yang abah
Min letakkan pada abang.” Sesungguhnya dia kesal dengan
kelalaian serta kealpaannya dahulu.
Mata Aina Yasmin berkaca. Terkesan dengan ucapan
maaf demi maaf daripada lelaki itu. Kedengaran begitu ikhlas
di telinganya. Cuma hatinya masih terasa.
“Abang serius dengan hubungan kita, Min. Kalau
boleh, abang nak Min jadi suri hidup abang. Abang dah sedia
nak jadi suami Min.”
Hampir ternganga Aina Yasmin dibuatnya. Matanya
terus memandang ke wajah Ameer Aazad.
‘Apa dia cakap tadi? Suami??? Eeee… Baru je
tiga hari lepas aku setuju dengan ‘syarat-enam-bulan’ dia.
Tiba-tiba cakap pasal nak kahwin? Oh tidak!!!’

No comments:

Post a Comment