Thursday, 12 May 2016

Yang Bermukim Di hati - Bab 14

PANAS! Hati Aina Yasmin panas... Dia melangkah
menuju ke pintu. Ameer Aazad yang masih berdiri sambil
menyilangkan tangan ke dada di balik pintu yang sudah
bertutup rapat tidak dihiraukannya. Dia cuba membuka pintu
untuk lekas-lekas keluar dari bilik Ameer Aazad, namun
laluannya dihalang lelaki itu.
“Tepi! Min nak keluar. Min ada banyak lagi kerja kat
bawah.” Wajah Ameer Aazad tidak dipandang. Tidak hingin!
‘Amboi, garangnya!’ Ameer Aazad menyembunyikan
senyuman. Dia sedar hati gadis itu sedang membara tapi itu
caranya untuk memerangkap Aina Yasmin agar bersetuju
berkahwin dengannya. Dia hanya menurut cadangan Tan Sri
Khir Razak. Dia memilih untuk mengguna taktik ‘mendesak’
dan sekiranya perlu, dia akan ‘memaksa’. Apa sahaja asalkan
gadis itu akan menjadi isterinya. Dan kalau boleh, dalam
masa yang terdekat ini.
“Alaaah, tunggulah dulu. Dah nak dekat lunch time
dah ni. Jom makan dengan abang?” ajak Ameer Aazad mesra.
Senyuman menggoda dihulurkan.
“Tak nak… tepilah!!!” nada Aina Yasmin naik seoktaf.
Geram betul dia dengan lelaki itu. ‘Perasan handsome lettew,
duk senyum macam gitu. Mengada-ada! Dah bersedia nak
kahwin, konon! Habis yang enam bulan tu hape?’ Berangin
betul Aina Yasmin kini.
“Kenapa tunang abang marah-marah ni?” Lembut
Ameer Aazad bertanya. Dia pura-pura tidak tahu. Suka dia
mengusik gadis itu. Sedikit demi sedikit, perwatakannya yang
ceria dan nakal dulu mula kembali. Semuanya kerana gadis
itu. Dia pun sebenarnya sudah jemu dengan sifatnya yang
sentiasa serius dan tegas itu. Asyik dengan barannya. Dengan
gadis itu, terbit rasa hendak mengusik dan menyakat.
Aina Yasmin cuba untuk tidak mengendahkan
panggilan ‘tunang abang’ yang disebut Ameer Aazad tadi.
Dia sedar kelemahannya sendiri. Tidak mahu lemas dengan
perasaannya seperti sebentar tadi, dia menolak lengan Ameer
Aazad agar tubuh lelaki itu menjauhi pintu namun sedikit
pun lelaki itu tidak beranjak. Sia-sia sahaja aksinya. Ameer
Aazad kekal berdiri dengan santainya. Nampak terhibur
dengan gelagat Aina Yasmin.
‘Comel betul dia ni! Betul cakap Iqbal, Min ni
memang manja.’
“Min, kenapa ni? Kenapa marah sangat ni?” desak
Ameer Aazad.
“Abang jahat! Min benci abang!” ujar Aina Yasmin
tanpa perasaan. Bukan dia maksudkan pun kata-katanya itu.
Sekadar ingin melepaskan amarahnya.
“Tapi abang sayangkan Min…” bisik Ameer Aazad
dekat ke telinga Aina Yasmin secara tidak sengaja. Dia sendiri
terkedu dengan luahan yang lahir dari bibirnya. Syukur hanya
ucapan sayang yang dilafazkan. Kalau terkeluar ungkapan
cinta tadi? Hai, biarlah ungkapan cinta itu dipendamkan
dahulu.
Terkejut Aina Yasmin mendengar pengakuan berani
mati Ameer Aazad. Sukar baginya untuk mempercayainya.
Lebih-lebih lagi melihat Ameer Aazad juga terkejut dengan
kata-katanya sendiri.
‘Takkan dia ada apa-apa perasaan pada aku? Aku tak
percaya!’ Aina Yasmin menjarakkan wajahnya dari lelaki itu.
Dengan sekuat hati dia menolak tubuh Ameer Aazad sekali
lagi. Dia berjaya. Lelaki itu bergerak jua. Apa lagi? Dengan
pantas dia membuka pintu dan meluru keluar dari bilik
Ameer Aazad. Dia tidak betah berlamaan dengan tunangnya
itu. Boleh jatuh gila!
Ameer Aazad tidak mampu menahan langkah Aina
Yasmin, maka dibiarkan sahaja gadis itu berlalu. Dia masih
belum puas meluangkan masa bersama gadis itu. Sedikit
rasa kecewa menerpa di jiwa apabila gadis itu langsung tidak
menghiraukan ucapan sayang yang lahir dari hatinya sebentar
tadi. Walaupun ucapan sayang itu tidak disengajakan, namun
dia ikhlas dengan perasaan hatinya. Nampaknya dia perlu
mencuba dengan lebih gigih lagi. Tiba-tiba dia mendapat
suatu akal. Dia tersenyum…
MATA AMEER Aazad meliar mencari seseorang di dalam
Restoran Cendana. Apabila berjumpa dengan orang yang
dicari, dia mengayun langkah menghampiri pemuda itu. Dia
duduk.
“Bal, assalamualaikum. Terima kasih sebab sudi
jumpa aku malam ni.”
Iqbal melipat surat khabar dan meletakkannya di
atas meja. Dia menyambut huluran tangan Ameer Aazad dan
membalas ucap salam bakal adik iparnya itu.
“No prob, bro! Aku…” Kata-katanya terhenti.
Tercengang dia melihat perubahan di wajah Ameer Aazad
yang duduk berhadapan dengannya. Dia akhirnya tersenyum.
“Lain sekarang? Ada apa-apa ke?” usik Iqbal. Matanya
masih di wajah Ameer Aazad yang bersih.
Ameer Aazad membiarkan dahulu soalan Iqbal itu.
Dia memanggil pelayan dan membuat pesanan.
“Kau dah order?” tanya Ameer Aazad.
“Dah…”
Apabila pelayan tadi berlalu, Ameer Aazad
memandang Iqbal. Ternyata reaksi Iqbal tidak jauh berbeza
daripada Aina Yasmin. Mereka hanya memerhatikan parut
yang begitu jelas di wajahnya. Namun tiada riak jijik atau
geli pun di wajah mereka. Dan mereka juga tidak melarikan
pandangan. Ternyata dia sudah salah mentafsir hati mereka
yang dekat dengan dirinya dulu. Menyamakan mereka
ini dengan rakan-rakan serta teman-teman wanitanya
dulu, yang jelas tidak pernah pedulikan dirinya, dan hanya
berdampingan dengannya kerana rupa serta kemewahan
yang boleh ditaburkannya.
“Adik kau suruh aku cukur, Bal. Dia tak suka orang
berjambang katanya. Nak buat macam mana? Terpaksalah
aku ikut.”
Iqbal ketawa besar.
“Hai! Bila masa pulak kau mula dengar cakap orang
ni, Zad? Setahu aku kau ni degil. Tak suka nak dengar cakap
orang lain?” sindir Iqbal.
“Memang pun… tapi untuk Min, aku sanggup buat
apa saja, Bal.” Serius Ameer Aazad bersuara. Matanya tajam
memandang Iqbal. Dia ingin Iqbal tahu akan niat sebenarnya
terhadap Aina Yasmin. “Apa saja!”
Iqbal bersandar ke kerusi. Wajah serius Ameer Aazad
ditatap. Ada maksud tersirat di sebalik kata-kata Ameer Aazad
tadi. Dia tahu. Dia dapat menangkapnya.
“Bal, sebelum tu, aku nak minta maaf pada kau, pada
Syafiq. Aku jauhkan diri daripada korang semua lepas aku
accident dulu. Aku minta maaf sangat-sangat.” Ikhlas Ameer
Aazad memohon keampunan.
Iqbal mengeluh.
“Aku dengan Syafiq pun selalu tertanya-tanya
kenapa kau sisihkan kita orang berdua. Padahal kita dah
macam adik-beradik, Zad. Lepas arwah abah meninggal, kau
pulak accident. Lepas tu kau terus menyepikan diri. Kenapa?
Apa salah kita orang, Zad?” Akhirnya Iqbal berpeluang
menanyakan soalan yang selama ini tiada jawapannya.
Ameer Aazad tunduk seketika.
“Korang tak salah apa-apa pun, Bal. Aku yang
bersalah.”
“Apa sebenarnya yang telah terjadi pada kau, Zad?”
Ameer Aazad mengeluh kesal.
“Sebenarnya, aku malu dengan kau… dan Syafiq.
Dan aku malu dengan mak kau dan terutama sekali dengan
Min.” Ameer Aazad mula berterus terang. “Aku berdosa pada
arwah abah dan pada Min.”
“Malu? Dosa? Apa hal pulak ni?” Berkerut dahi Iqbal.
Dia tidak mengerti.
Akhirnya, segala perasaan yang dipendam selama ini
diluahkan kepada dua pupunya itu. Ameer Aazad menceritakan
tentang dirinya yang jauh tersasar dulu, dan juga tentang
niatnya yang tidak pernah mahu meneruskan pertunangan
dengan Aina Yasmin. Dia menjauhkan diri daripada Iqbal dan
Syafiq apabila telah tersedar dan kembali ke pangkal jalan.
Sesungguhnya dia malu terhadap keluarga tunangnya yang
telah menganggap dirinya sebagai salah seorang daripada ahli
keluarga mereka sendiri kerana tidak berpegang kepada janji.
Janji yang dibuat kepada arwah Haji Zainal Abidin dulu.
“Lepas aku sedar tu, aku rasa bersalah sangat, Bal.
Aku rasa diri aku ni tak guna. Kawan-kawan aku terus hilang
lepas kemalangan tu. Aku ada tunang, tapi sikit pun aku tak
pernah kisahkan dia. Aku curang pada Min. Aku berdampingan
dengan ramai perempuan lain, walaupun aku takdelah
sampai berzina. Tapi menghampiri zina tu dah banyak kali.”
Ameer Aazad meraup muka. Dia kesal dengan kehidupannya
yang jauh tersasar dulu. Padahal dia dibesarkan dengan ilmu
agama yang lengkap di dada.
Iqbal pula tidak mencelah. Dibiarkan Ameer Aazad
melayari sejarah kehidupannya.
“Aku asyik mimpi arwah abah. Mimpi yang hampir
sama setiap malam sebelum aku accident. Aku tak boleh lupa
cara arwah abah pandang muka aku dalam semua mimpi
tu. Penuh dengan rasa kecewa. Rasa terkilan pun ada. Aku
dah mula rasa bersalah. Aku asyik teringatkan Min, yang tak
pernah aku pedulikan. Maafkan aku, Bal. Aku banyak berdosa
pada Min.”
Iqbal mengeluh kesal. Fahamlah dia kini dengan
perubahan yang melanda Ameer Aazad. Walaupun dia
kehilangan seorang daripada teman karibnya dulu, dia
bersyukur kerana Ameer Aazad telah kembali ke jalan Ilahi.
Dia amat bersyukur. Bukan dia tidak tahu tentang kehidupan
Ameer Aazad yang penuh sosial dulu. Kuala Lumpur ni,
bukanlah besar sangat dan Ameer Aazad pula bukanlah orang
sembarangan. Sebab itu dia tidak membantah apabila Aina
Yasmin ingin memutuskan pertunangannya dengan Ameer
Aazad kerana dia merasakan lelaki itu tidak layak untuk
adiknya.
“Bila aku dah sedar dan bertaubat, aku tak tahu
macam mana nak baiki hubungan aku dengan Min. Perasaan
malu tu terlampau tinggi. Yang lagi teruk, aku pernah hina
dia, Bal. Aku kejam sangat! Aku jarang balik kampung sebab
aku malu nak jumpa keluarga kau. Aku malu, Bal! Aku rasa
diri aku ni hina sangat! Cuma bila tiba-tiba Min minta putus,
aku sedar aku tak boleh biarkan dia pergi macam tu je.”
“Aku dah janji dengan arwah abah dulu dan aku
ingin berpegang pada janji aku tu, sampai akhir hayat aku!
Bal, aku mengaku, dulu memang aku tunggu masa je nak
putus dengan Min. Niat aku, dia balik Malaysia je aku akan
putuskan pertunangan. At least, dia dah habis belajar. Tapi
sekarang tak…”
Perbualan mereka terhenti apabila makanan yang
dipesan diletakkan ke atas meja. Ameer Aazad dan Iqbal
langsung tidak menghiraukan makanan yang terhidang di
atas meja.
“Zad, kami sekeluarga sedia lepaskan kau daripada
janji tu. Kau tak payah rasa bersalah pada arwah abah. Kita
orang semua tak nak paksa kau, dan tak nak paksa Min.
Kalau kau betul-betul tak nak kat Min, kita orang takkan ada
apa-apa dendam pun pada kau, Zad kalaupun korang putus
tunang. Kau dah macam adik aku walaupun aku tua daripada
kau dua bulan je. Aku yakin hubungan mak dan Auntie Shima
pun takkan renggang.”
Ameer Aazad menggeleng-gelengkan kepalanya.
Namun Iqbal masih belum sudah lagi. Dia mahu menguji
tunang adiknya ini. Sejak Ameer Aazad menelefon dirinya
tempoh hari dan bersungguh-sungguh meminta izinnya
untuk berjumpa dengan Aina Yasmin, dia sudah dapat
membaca kesungguhan Ameer Aazad. Lalu dia pun bersetuju
untuk membawa Ameer Aazad ke rumah sewa adiknya itu.
Kini dia ingin menyelami sejauh mana kesungguhan Ameer
Aazad terhadap Aina Yasmin. Sengaja dia menyatakan yang
dia rela jika Ameer Aazad putus tunang dengan adiknya. Ingin
melihat sendiri reaksi Ameer Aazad.
“Jodoh tu di tangan Tuhan, Zad. Kalau jodoh
kau bukan dengan Min, takde siapa pun boleh merubah
keputusan-Nya. Kalau kau nak kahwin dengan Min hanya
sebab nak lepas daripada rasa bersalah kau pada kami semua
dan hanya sebab kau berjanji dengan arwah abah, kau
hentikanlah niat kau tu. Tak payah teruskan dengan Min. Min
deserves better than that!”
“Tak, Bal… tak…” tangkis Ameer Aazad. Kepalanya
digeleng-gelengkan. Dia perlu meyakinkan Iqbal.
Iqbal tidak menghiraukan bantahan Ameer Aazad.
“Aku tahu kau pernah rasa yang Min tak layak untuk
kau, kan?” Iqbal meneruskan sesi ‘ujian’.
“Tu dulu, Bal. Aku mengaku tu. Tapi sekarang, dah
terbalik. Aku rasa aku yang tak layak untuk dia.”
‘Hah! Bagus…’
“Lagipun kawan aku kat ofis tu, tak sudah-sudah
pujuk aku untuk kenalkan dia pada Min. Dia ternampak
gambar Min kat atas meja aku, terus gila bayang. Aku cakap
yang adik aku tu dah bertunang, tapi kalau kau tak nak pada
Min, aku boleh kenalkan Min pada kawan aku tu. Aku pun dah
lama kenal dia. Baik budaknya.” Iqbal menambah perisa. Ini
bukan cerita dongeng, ya. Cerita betul. Kawan ofis Iqbal ini
betul-betul wujud dan memang pernah meminta keizinannya
untuk berkenalan dengan Aina Yasmin.
Iqbal melihat wajah Ameer Aazad berubah tegang.
‘Ada asap ke keluar kat telinga Aazad tu?’ Iqbal menelan tawa
yang ingin terlepas.
“Over my dead body!” balas Ameer Aazad serius.
Suaranya setegang mukanya. Membayangkan Aina Yasmin
bersama lelaki lain membuatkannya ingin mengamuk. Sudah
tentu kawan sepejabat Iqbal akan menjadi mangsa amuk
nombor satu dan Iqbal akan menjadi mangsa amuk nombor
dua!
“Don’t you dare!!! She’s mine…” tegas Ameer Aazad
menuturkan kata. ‘Pandai-pandai nak kenenkan tunang aku
dengan lelaki lain pulak. Apa kes?’
Iqbal cuba sedaya upaya untuk mengekalkan
keseriusan di wajahnya.
“Apa hal pulak? Min tu bukan bini kau lagi, Zad.”
“Tapi dia tunang aku! Dan dia bakal isteri aku! Aku
takkan sekali-kali benarkan lelaki lain ambik dia daripada
aku! Dia hak aku!” Ameer Aazad menguak rambutnya ke
belakang. Dia meraup muka sekali lagi. “Bal, kau jangan
Bal… aku serius ni…” Takut dia sekiranya Aina Yasmin jatuh
hati pada orang lain.
“Serius apa, Zad?”
“Aku serius dengan Min. Bukan sebab rasa bersalah…
bukan sebab janji…”
“Habis tu, sebab apa?” Dalam hati Iqbal berdoa agar
Ameer Aazad berterus terang sahaja dengannya dan berani
meluahkan perasaannya yang sebenar. Sebelum dia akan
bersetuju menyatukan Ameer Aazad dengan adiknya, dia
mesti meyakini hatinya tentang hati dan perasaan Ameer
Aazad dahulu.
“Sebab aku tak sanggup kehilangan dia,” lemah
Ameer Aazad mengungkapkan isi hatinya. “Aku nak habiskan
baki hidup aku dengan dia…”
“Sebab dia dah berubah? Sebab dia cantik? Tak
macam dulu?” duga Iqbal lagi.
Ameer Aazad mengeluh. Penat! Pemikiran kedua-dua
beradik ni sama sahaja.
“Tak… bukan sebab tu… Aku dah buat keputusan
aku ni sebelum aku tahu Min dah berubah lagi. Takkan kau
tak ingat?”
Mestilah ingat. Semasa majlis kenduri kahwin
Munirah lagi Iqbal sudah menyedari tentang itu. Ketika
itu, Ameer Aazad langsung tidak menyedari kehadiran Aina
Yasmin. Namun dia masih ingin meneruskan hubungan
dengan adiknya itu.
“Habis kau nak apa sekarang, Zad?”
“Aku nak Min!!!” Laju Ameer Aazad memberikan
balasan. “Aku nak dia jadi isteri aku… dan aku nak restu kau.”
Iqbal bungkam.
“Kau sanggup jaga dia macam mana aku dengan
Syafiq jaga dia? Dia tu manja, Zad. Kena marah sikit, nangis!
Kena tegur keras sikit, nangis! Macam mana dia boleh survive
hidup sorang-sorang kat US tu pun aku tak tahu. Lagipun
dia tu jauh lagi muda daripada kau. Aku tak rasa kau boleh
sabar dengan kerenah dia macam aku dan Syafiq.” Iqbal
tidak habis-habis menduga. Biarlah dia puas dan tidak akan
menyesal melepaskan adik perempuan tunggalnya kepada
Ameer Aazad. “Lagipun aku tengok kau ni panas baran. Mesti
adik aku tu asyik nangis je kau kerjakan nanti.”
Raut wajah Ameer Aazad berubah. ‘Memang dah
nangis pun…’ gumamnya sendirian.
“Aku sanggup, Bal. Aku janji aku akan jaga dia sebaik
yang terdaya. Dan aku akan manjakan dia macam korang
manjakan dia. Aku takkan hampakan kau, Bal. Aku janji…”
Memang itulah yang diniatkan dalam hati.
“Aku tak pastilah, Zad. Aku tak yakin kau sesuai
untuk adik aku tu,” bidas Iqbal.
“Bal…” Ameer Aazad kecewa. Namun dia tidak akan
berputus asa. “Beri aku peluang. Aku akan buktikan pada
kau.”
“Kau ada enam bulan, kan? Itulah peluang kau.”
Ameer Aazad serba salah. Hendak berterus terang
dengan rancangannya ataupun tidak?
“Aku tak nak tunggu enam bulan, Bal. Aku nak
kahwin dengan Min sekarang jugak and I need your help to
do this.”
Terkejut Iqbal dibuatnya. Membulat matanya.
“Apa kau kata?” Biar betul!
“Memang aku yang minta enam bulan, tapi lepas
jumpa dengan Min, aku tak rasa aku mampu tunggu. Kat ofis
Min pun ada sorang buaya tengah tunggu peluang nak rampas
Min daripada aku.” Wajah Fadli terlayar di depan mata. “Aku
tak sanggup kehilangan Min, Bal. Kau kena tolong aku!”
Sudah macam orang terdesak sahaja bunyi Ameer Aazad ni.
Sebelum ni dia merayu-rayu kepada Aina Yasmin, sekarang
kepada Iqbal pula. ‘Dah tak betul agaknya aku ni!’
“Kau tak boleh buat macam ni, Zad. Tu adik aku tu!
Takkan aku nak paksa dia kahwin dengan kau? Kalau aku buat
macam tu, aku sama jelah dengan arwah abah.” Bantah Iqbal.
“Bal, bukan paksa… tapi tolong aku dekati Min.
Aku tahu dia ada perasaan pada aku, tapi mungkin dia tak
sedar atau mungkin dia masih muda… atau mungkin dia nak
lawan perasaan tu. Tapi aku yakin dia ada perasaan pada aku.”
Ameer Aazad bukan orang yang perasan ya. Tapi dia
boleh dikatakan mahir dalam membaca reaksi kaum Hawa
ini. Aina Yasmin yang malu, Aina Yasmin yang gelabah dan
Aina Yasmin yang berdebar apabila dekat dengannya... wajah
Aina Yasmin yang sedih dan hampir menangis melihat parut
di mukanya... Itu semua merupakan tanda bukan? Tiba-tiba
wajahnya terasa panas, mengenangkan belaian jari-jemari
Aina Yasmin di wajahnya siang tadi.
“Kau yakin ke?” soal Iqbal kurang percaya. Keningnya
bertaut. Dia ragu-ragu.
“Aku yakin, Bal. Aku ada rancangan. Kalau kau
sanggup tolong aku, kau boleh tengok sendiri reaksi Min
nanti bila aku ada dekat dengan dia. Biar kau tengok sendiri
dengan mata kepala kau.”
“Okey, aku tolong. Biar aku tengok sendiri kelakuan
adik aku tu bila dengan kau. Tapi aku takkan sekali-kali paksa
adik aku buat apa-apa yang dia tak rela. Kau faham, kan?”
“Ya, aku faham. Thanks, Bal. Thanks a lot.”
“Tapi ingat, Zad. Sekali kau sakitkan hati adik aku
tu, aku takkan lepaskan kau. Sampai ke lubang cacing aku
akan cari kau. Kau ingat tu! Dia tu amanah arwah abah untuk
aku. Aku tak mahu kau sia-siakan dia. Aku tak kisah kau ni
siapa. Walaupun suatu hari nanti dia dah jadi isteri kau, dia
masih adik aku sampai bila-bila dan aku takkan biarkan hati
dia disakiti. Termasuk kau!!!” Melayang-layang jari telunjuk
Iqbal. Dia serius. Dia takkan benarkan hati Aina Yasmin
disakiti lagi. “Kau ingat tu, Zad!”
“Aku faham, Bal. Aku pun ada adik perempuan, jadi
aku faham sangat pendirian kau tu dan aku hormati kata-kata
amaran kau tu. Insya-Allah, selagi hayat dikandung badan,
aku akan jaga hati dia baik-baik.”
Iqbal dan Ameer Aazad saling berpandangan. Mereka
memahami diri dan pendirian masing-masing. Terbit rasa
lega di hati dua jejaka itu.
“So, apa plan kau?” soal Iqbal.
“Begini…” Ameer Aazad memulakan pembentangan
rancangannya. Iqbal hanya mengangguk-angguk tanda tiada
bantahan.

No comments:

Post a Comment