“ZAD? Ada apa malam-malam buta ni? Aazad
sihat ke?”
Ameer Aazad yang bersandar di dada sofa di ruang
tamu banglo milik Tan Sri Khir Razak bingkas bangun, pabila
mendengar suara bapa angkatnya. Tan Sri Khir Razak hanya
berbaju Melayu dan berkain pelikat. Mungkin sedang bersedia
untuk tidur. Dah hampir pukul 11.00 malam la katakan…
“Sorry, pa! Papa dah tidur ke?” Dia menyalami dan
mengucup tangan Tan Sri Khir Razak.
“Belum… Papa tengah baca majalah.” Tan Sri
Khir Razak mengambil tempat di atas sofa bersebelahan
dengan tempat duduk Ameer Aazad tadi. Ameer Aazad turut
melabuhkan punggungnya di sebelah bapa angkatnya. “So,
what’s up?”
Tan Sri Khir Razak mengenali anak angkatnya itu.
Tentu ada masalah. Kalau tidak, masakan dia akan datang
melawat pada waktu-waktu lanjut begini.
“Girl trouble? Yasmin causing problems?” teka Tan
Sri Khir Razak dengan senyuman tersimpul di bibir.
Ameer Aazad menjeling ke arah Tan Sri Khir Razak.
‘Dia ni tahu je kalau aku ada masalah.’
Sememangnya, Tan Sri Khir Razak sudah tahu
segalanya mengenai hubungan Ameer Aazad dengan Aina
Yasmin. Cerita yang bermula dengan penuh kekesalan, yang
lahir sebaik sahaja Ameer Aazad keluar dari hospital dua
tahun lalu, dan sehingga kini masih tiada penyelesaian.
‘Harap-harap, enam bulan nanti, akan ada
penyelesaian,’ Tan Sri Khir Razak berdoa di dalam hati.
“I just found out that she’s an employee of Warisan
but is now seconded to Icon.” Ameer Aazad memulakan
keluh-kesahnya. Lantas diceritakan kepada bapa angkatnya
tentang apa yang berlaku tengah hari tadi, dan juga
perbincangan dengan Aina Yasmin sebentar tadi. Cuma dia
tidak menceritakan apa yang dibicarakan oleh gadis itu di
dalam kereta sebelum mereka berpisah tadi. Dia tidak rasa
bapa angkatnya perlu tahu akan itu.
Tan Sri Khir Razak tersenyum lebar. Sudah lama dia
mengidam untuk berjumpa dengan gadis itu.
“So, what’s the problem?”
“Masalahnya, pa… dia tak percayakan Aazad. Dia
masih ingat Aazad ni macam dulu. Susah betul Aazad nak
yakinkan dia.” Ameer Aazad mengeluh.
“Salah dia ke Zad, kalau dia berfikiran macam tu?”
Tan Sri Khir Razak menjongketkan keningnya.
Ameer Aazad lantas menoleh ke arah Tan Sri Khir
Razak, lelaki yang masih kacak di usia lima puluh lapan
tahun itu. Tenang wajah Tan Sri Khir Razak memandang ke
wajahnya.
“Kalau dah bertahun-tahun dia dah tanam dalam
hati dia yang Aazad anggap dia hodoh dan tak layak untuk
Aazad, takkan dengan sekelip mata dia boleh ubah tanggapan
tu? Kata-kata Aazad sekarang hanya di bibir je… semua orang
boleh cakap benda yang sama. Papa tak salahkan dia kalau
dia susah nak percaya pada Aazad. Dia setuju nak bagi Aazad
peluang kedua pun papa dah terkejut sebenarnya… after
knowing what you did to her before!”
“Thanks a lot, pa!” sinis Ameer Aazad menuturkan
kata. ‘Bukannya nak bagi aku sokongan!’
Tan Sri Khir Razak ketawa kecil melihat wajah
cemberut Ameer Aazad, lelaki yang sudah dianggap sebagai
darah dagingnya sendiri. Dia jua turut bersalah dalam
membentuk Ameer Aazad dahulu. Menghamparkan selautan
kesenangan dan kemewahan kepada Ameer Aazad sebagai
langkah ‘membeli’ hati dan kesetiaan lelaki muda itu.
Kemalangan yang menimpa Ameer Aazad turut
menyedarkannya tentang kesilapan yang telah dilakukan.
Segala luahan hati Ameer Aazad tentang Aina Yasmin serta
hubungannya dengan keluarga Aina Yasmin diterima dengan
penuh penyesalan. Dia turut rasa berdosa kerana membiarkan
Ameer Aazad hanyut dalam kehidupan duniawi yang penuh
kesesatan suatu ketika dahulu.
“Hey! What am I seeing? The CEO of Warisan is
giving up so easily? Is this really my son?” giliran Tan Sri
Khir Razak pula untuk menyindir.
“No, pa! I’m not giving up! Memang padan dengan
muka Aazad pun sekarang ni! Memang patut pun dia uji
Aazad macam ni. But giving up? Never!!!”
Tan Sri Khir Razak menepuk-nepuk bahu Ameer
Aazad. “Bagus! Macam tulah anak papa!” puji Tan Sri Khir
Razak bangga.
“Apa Aazad nak buat ni, pa? Kalau ikutkan hati, esok
jugak Aazad nak kahwin dengan dia. Biar dia tak dapat lari
daripada Aazad, sebab masih ada kemungkinan dia akan minta
putus lepas enam bulan nanti.” Keruh wajah Ameer Aazad.
Sesungguhnya dia risau sangat akan kemungkinan itu. Tidak
sanggup rasanya sekiranya kemungkinan itu berlaku.
“So, what’s stopping you? Anak papa takkan mengaku
kalah, kan? Anak papa nak tawan hati seorang gadis, kan?
Anak papa nak kahwin, kan? Buatlah apa saja asalkan dia jadi
isteri Aazad!” cabar Tan Sri Khir Razak.
“Maksud papa? Bulldoze je?” terpinga-pinga Ameer
Aazad memandang wajah selamba Tan Sri Khir Razak. ‘Biar
betul papa ni!’
“Yalah! Use the caveman tactics, sweep her off her
feet, threaten her, manipulate her, anything! Asalkan dia
jadi isteri Aazad! Forget about the six months crap! Dulu bila
Aazad nakkan sesuatu, Aazad tak pernah fikir dua kali, kan?
Aazad akan buat apa saja untuk dapatkan benda tu. Sekarang
ni Aazad nak Yasmin, kan? Habis, nak duduk goyang kaki je?
Usahalah sikit!!!” cabar Tan Sri Khir Razak lagi. Dia tidak suka
melihat Ameer Aazad yang kelihatan patah semangat begini.
“Pa, Aazad tengah usahalah ni…” sedikit merengek
Ameer Aazad melepaskan keluhannya. “Mana ada Aazad
goyang kaki? Pening tau, nak fikir pasal benda ni.”
Tan Sri Khir Razak ketawa halus.
“Tulah... orang dah biasa kena kejar, kan? Sekarang
ni orang tu pulak yang kena mengejar, mana tak pening?”
Pedas sindiran Tan Sri Khir Razak. “Kalau papa jadi Aazad,
papa akan perangkap dia. Biar dia tak boleh nak lari lagi.”
“Perangkap? Macam mana?” Ameer Aazad memilih
untuk tidak mengendahkan sindiran bapa angkatnya tadi.
Malas hendak layan.
“Hai! Bab ni pun papa kena ajar ke? Fikirlah sendiri
wahai CEOku…” Rasa hendak dipiat-piat sahaja telinga anak
terunanya ini. Blur semacam. “Dahlah tu, dah lewat ni. Papa
nak tidur. Esok papa nak lawat kawasan. Make sure you’re in
the office!” Tan Sri Khir Razak memberi amaran. Dia bangun
dan terus beredar. Dibiarkan Ameer Aazad bersendirian di
ruang tamu melayan perasaannya.
‘Lantak kaulah Zad. Dulu papa nak kahwin dengan
isteri papa pun, papa terpaksa perangkap dia. Kalau papa tak
buat taktik papa dulu, melepaslah papa.’ Tan Sri Khir Razak
tersenyum kecil. Rasa rindu terhadap suri hatinya tidak
pernah padam. Sudah hampir lima belas tahun isterinya
meninggal dunia, namun dia masih lagi tidak bertemu
seorang pengganti. Syukur dengan kehadiran Ameer Aazad
yang bisa mengisi kekosongan di hatinya.
Ameer Aazad masih termangu di atas sofa.
Memikirkan tentang cadangan Tan Sri Khir Razak tadi.
‘Macam mana nak perangkap dia? Takkan nak
perangkap dengan tangkap khalwat kut? Malulah aku. Min
mesti lagi malu. Apa yang papa maksudkan tadi? Caveman
tactics? Manipulate? Threaten? Nak ugut macam mana?
Arrgghh… tension aku macam ni!!!’
SUKAR UNTUK Aina Yasmin menumpukan perhatian.
Dokumen di hadapan mata nampak kabur sahaja.
Perbincangan dalaman yang diketuai Encik Rashid dan
dihadiri Fadli, Yusmadi, Sarah dan dirinya sudah sejam
berlalu. Inti pati perbincangan dapat ditangkap dari semasa
ke semasa. Dia khuatir kelakuannya yang berbaur resah akan
ditangkap Encik Rashid.
“Okey, ada apa-apa soalan?” Encik Rashid mengilas
pandang kepada semua yang hadir. Tiada siapa yang bersuara.
“Baik, semua boleh bersurai.”
“Errr… Encik Rashid? Boleh saya cakap sesuatu?”
suara halus Aina Yasmin mencelah. Inilah masanya. Dia tidak
mahu berahsia lagi. Atau paling teruk, dianggap spy kepada
lelaki berjambang itu.
“Ya, teruskan.”
Aina Yasmin memberanikan diri untuk berterus
terang. Dia mengambil nafas dalam-dalam.
“Encik Rashid, sebenarnya saya ada sesuatu yang saya
kena beritahu pada Encik Rashid dan pada semua.” Matanya
singgah sekejap pada semua yang hadir dalam mesyuarat itu.
Akhirnya, matanya singgah kembali ke wajah Encik Rashid.
Empat pasang mata kini bertumpu ke wajah Aina
Yasmin.
“Sebenarnya, masa saya apply kerja di Warisan,
kawan saya yang submitkan CV saya. Saya tak tahu pun yang
CEO Warisan tu Encik Ameer Aazad.”
“Jadi, kenapa pulak? Awak nak cakap yang awak
kenal bos besar ke?” teka Fadli.
Aina Yasmin mengangguk.
“Ya, saya kenal dia. Percayalah, Encik Rashid. Kalau
saya tahu dia CEO kat Warisan, saya takkan apply kerja dekat
sana.” Serius wajah Aina Yasmin menuturkan kata. Dia perlu
meyakinkan ahli-ahli jabatannya yang dia benar-benar tidak
tahu tentang kewujudan Ameer Aazad di situ. Dia tidak mahu
rakan-rakan sepasukannya memandang serong kepadanya.
Kepercayaan adalah penting dalam membentuk apa-apa
hubungan, termasuk hubungan profesional.
“Eh, apa salahnya pun kalau kenal? No big deallah.
Masa HR Warisan nak masukkan awak kat sini, saya sendiri
minta tengok CV awak. I was very impressed. Saya tahu awak
diterima Warisan sebab pencapaian awak, dan bukan sebab
awal kenal bos besar. Lagipun, kan bos besar ada kat Penang
masa awak datang interviu. Jangan risau, Aina. Saya tahu
kebolehan awak!” kata-kata Encik Rashid memberi sedikit
kelegaan di hati Aina Yasmin.
“Terima kasih, Encik Rashid. That means a lot to
me.”
“So, macam mana awak kenal bos besar? Apa
hubungan awak dengan dia?” soal Yusmadi pula.
Aina Yasmin menelan air liur. Dengan tangan yang
sedikit terketar dia mencapai lalu menggenggam pen di atas
meja agar tiada siapa bisa melihat kegelisahannya.
“Errr… dia tunang saya.” Aina Yasmin mengaku
perlahan.
Terbeliak mata semua yang memandang Aina
Yasmin. Fadli terkedu. Hancur berkecai harapannya untuk
memikat gadis yang telah menarik perhatiannya itu. Gadis
yang persis bekas tunangnya dulu, kini merupakan tunangan
orang! Bagaimana dia bisa bersaing dengan CEO Warisan
Investment Sdn. Bhd. sendiri, sedangkan dia hanya pembantu
pengurus sahaja? Awal-awal sudah kalah tanpa perlu
bertanding. Padanlah lelaki itu melenting dalam mesyuarat
semalam. Mungkin lelaki itu cemburu melihat dirinya asyik
merenung Aina Yasmin. Yakinlah kini dirinya memang
sengaja dimalukan oleh Ameer Aazad dalam mesyuarat itu.
Hatinya membara.
“Apa?” serentak Encik Rashid, Yusmadi dan Sarah
bersuara. Sungguh mereka tidak percaya. Sangka mereka
Ameer Aazad merupakan kenalan biasa sahaja.
Aina Yasmin tunduk. Dia malu.
“Padanlah semalam Sarah tengok Aina terkejut
semacam masa meeting dengan bos besar! Muka Aina
pucat gila!!!” ujar Sarah. Sah! Dia percaya Aina Yasmin
tidak menyedari yang tunangnya merupakan CEO Warisan
Investment Sdn. Bhd. Kalau dia tahu, takkan dia bisa terkejut
begitu sekali?
Aina Yasmin memandang ke wajah Encik Rashid.
“Encik Rashid, saya benar-benar tak selesa dengan
keadaan ni. Saya betul-betul tak tahu apa yang harus saya
lakukan. Saya buntu sekarang.”
“Takkan awak tak tahu tunang awak kerja kat
mana?” Fadli menyindir dengan suara yang tegang lagi
dingin. Hatinya masih panas. Hancur berkecai segala angan
dan impian.
“Saya baru balik Malaysia dan sebelum saya masuk
kerja kat sini, kami tak sempat berjumpa. Jadi takde
kesempatan untuk saya bertanyakan hal dia.” Dengan
sabar Aina Yasmin memberikan penjelasan. Seringkas yang
mungkin. Mereka tidak perlu tahu tentang hubungannya
dengan Ameer Aazad secara terperinci.
“Hmmm… saya tak tahu macam mana nak handle
situasi ni. Saya rasa macam tak ada konflik apa-apa tapi saya
kena tanya Encik Mokhtar dulu. Saya rasa dia pun kena rujuk
balik pada Warisan sebab awak asalnya staf Warisan, dan
cuma dipinjamkan saja ke sini. Lagipun setahu saya, takde
pulak polisi yang mengatakan staf kat sini tak boleh kahwin
dengan staf di pejabat yang sama.”
Aina Yasmin mengangguk.
“Terima kasih, Encik Rashid. Saya terima apa pun
keputusan pengurusan. Kalau saya terpaksa tinggalkan
Warisan atau Icon, saya akur. Saya cuma nak berterus terang
dengan semua sebab tak nak ada komplikasi nanti.”
“Saya faham…” ujar Encik Rashid. “Kalau ada
apa-apa, saya akan maklumkan pada awak. Sementara tu,
awak buat je kerja awak macam biasa.”
Aina Yasmin mengangguk lagi. Lega dia dapat
berterus terang dengan Encik Rashid dan rakan-rakan sekerja
yang lain. Mereka nampaknya sudi menerima penjelasannya,
melainkan Fadli. Cara lelaki itu memandangnya
menggerunkan! Wajahnya merah dengan amarah yang cuba
dipendamkan. ‘Kenapa dengan dia tu?’
Mereka bersurai. Sarah dan Yusmadi membuntuti
Aina Yasmin ke kubikelnya, manakala Fadli menghempaskan
pintu biliknya. Walaupun hairan dengan sikap lelaki itu,
mereka bertiga tidak mempedulikan kelakuan Fadli yang
dianggap baran tidak bertempat itu.
“Wah, Aina ni tunang bos besar rupanya! Cayalah!
Mana cincin tunang? Tak pakai pun?” teruja sungguh lagak
Sarah. Tangan Aina Yasmin dicapai dan dibelek.
“Aina tak pakai pun. Ada kat rumah. Takut hilang.”
Aina Yasmin beralasan.
“Padanlah bos besar pandang Aina semacam je
semalam! Tak berkelip siot. Rupa-rupanya sebab bertemu
dengan cinta hati.” Sarah mengusik lagi. Tangan dilekapkan
ke dada. Matanya terpejam. “Oh, how romantic…” Drama
betul minah ni!
“Hesy! Blahlah kau, banyak benor berangan.
Padanlah pakwe pun takde sampai sekarang!” Yusmadi
menolak bahu Sarah dengan bahunya. Sarah membuka mata
lalu mencebik. Kalau diikutkan hati, hendak disekeh sahaja
kepala lelaki yang sering menyakatnya itu. Habis terbang
angannya sebentar tadi.
Aina Yasmin hanya mengukirkan senyuman.
Senyuman yang dibuat-buat. Biarlah mereka memikirkan
apa pun tentang dirinya dengan Ameer Aazad. Dia tidak mahu
membuka cerita kepada mereka yang masih belum dikenali
secara mendalam.
Tatkala itu, telefon di atas meja kerja Aina Yasmin
berbunyi. Sarah dan Yusmadi beredar ke meja masing-masing
dan membiarkan Aina Yasmin bersendirian.
“Helo?”
“Aina, ni Kak Ita. Aina diminta naik ke pejabat
Warisan sekarang jugak. Bos besar nak jumpa.” Pesanan
daripada Kak Norita membuat Aina Yasmin kaget. Peluh
sejuk mula terbit di dahinya. ‘Dia ni nak apa? Kalau tak kacau
aku tak boleh ke?’
“Okey, Kak Ita. Terima kasih,” ucap Aina Yasmin
kepada setiausaha Encik Mokhtar itu.
Aina Yasmin bangun. Dia membetulkan skirt labuh
berpotongan duyung berwarna hitam serta blaus sutera
pendek berwarna biru muda di tubuhnya. Tudung bercorak
abstrak berwarna biru dan putih turut dibetulkan. Dia
mencapai jaket yang tersangkut di kerusi lalu menyarungkan
ke tubuh kecilnya. Dengan buku nota dan pen di tangan, dia
melangkah kaki.
“Sarah, Aina naik ke Warisan kejap.”
“Okey, beb.” Sarah tidak banyak soal. Langsung tidak
mengangkat wajah yang tekun memandang skrin komputer.
Tiba di tingkat 20, Aina Yasmin meninggalkan
pesanan kepada si gadis penyambut tetamu, yang terus
mendail telefon. Aina Yasmin sudah mula kecut perut.
Macam-macam perkara berlegar di kepalanya. ‘Kenapa dia
nak jumpa aku ni?’
Tidak lama kemudian, datang seorang wanita seksi
berskirt pendek dan berblaus sendat. Rambutnya yang dicelup
perang gelap dan dikeritingkan, terbuai-buai mengikut
lenggok kakinya.
“Cik Aina ke?” Senyuman tawar terbit di bibir.
“Ya, saya.” Balas Aina Yasmin juga dengan sekuntum
senyuman.
“Saya Sally, secretary Encik Aazad. Mari, ikut saya.”
‘Amboi! Seksinya secretary Abang Aazad!’ Ada
perasaan kurang senang yang menyapa dirinya melihat
kecantikan gadis yang diekorinya itu. Mula membayangkan
gadis itu berada di samping Ameer Aazad pada setiap waktu
pejabat. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. ‘Apa kena
dengan aku ni? Takkan cemburu kut?’
Aina Yasmin mengikut Sally, atau nama sebenarnya
Salina masuk ke dalam pejabat Warisan Investment Sdn. Bhd.
Dia membukakan pintu kayu yang tertera jawatan Ketua
Pegawai Eksekutif dan menjemput Aina Yasmin masuk. Aina
Yasmin mengambil nafas dan melangkahkan kaki masuk ke
dalam bilik pejabat Ameer Aazad.
Permaidani tebal berwarna krim menutup segenap
ruang lantai di bilik mewah itu. Ruang yang cukup luas.
Wow! Terpesona Aina Yasmin dengan hiasan dalaman bilik
itu. Moden dan elegan.
“Encik Aazad ada kat meeting room. Dia minta
Cik Aina tunggu sini. Kalau ada apa-apa, saya kat luar tu.”
Sally menuding jari ke arah meja di luar bilik Ameer Aazad.
Suaranya dingin. Matanya masih menjamah dari kepala
hingga ke kasut Aina Yasmin. Ingin melihat bagaimana rupa
tunang bosnya itu.
Sejak Ameer Aazad mengambil tempat CEO Warisan
Investment Sdn. Bhd. menggantikan bosnya yang lama,
pelbagai cara telah dilakukan untuk menarik perhatian lelaki
itu, walaupun dari mula lagi Ameer Aazad telah mengiklankan
tentang dirinya yang telah bertunang. Namun dia tidak kisah
dengan semua itu dan dia masih mahu mencuba. Tapi sebelah
mata pun lelaki itu tidak memandangnya. Rupa-rupanya
gadis seperti Aina Yasmin yang menjadi pilihan. Dia cemburu.
‘Boleh dia pilih pompuan macam ni? Aku yang seksi macam
ni dia boleh tak pandang???’
“Terima kasih,” ucap Aina Yasmin. Dia tidak
menghiraukan pandangan tidak puas hati yang dilontarkan
Sally kepadanya. Dia kemudian ditinggalkan berseorangan di
dalam bilik Ameer Aazad.
‘Apahal lak minah tu? Macam tak puas hati je? Pelik
betul!’ gumam Aina Yasmin sendirian.
Dia mengambil beberapa langkah lagi. Tidak tahu
sama ada hendak duduk di sofa atau di kerusi di hadapan meja
kerja Ameer Aazad.
‘Kemasnya meja dia, semuanya teratur. Mamat
perengus ni pengemas jugak rupanya,’ fikir Aina Yasmin. Dia
memilih untuk menghampiri meja kerja Ameer Aazad. Ada
beberapa bingkai gambar di atas mejanya.
Aina Yasmin berjalan mengelilingi meja kerja
Ameer Aazad untuk melihat dengan lebih dekat lagi. Ada
sebuah gambar lama Puan Shima bersama arwah bapa Ameer
Aazad, iaitu Ariff Mirza. Ada juga gambar arwah Haji Zainal
Abidin bersama Hajah Amirah, serta gambar Ameer Aazad
dengan bahunya dirangkul seorang lelaki yang agak berusia.
‘Mungkin bapa angkat Abang Aazad,’ teka Aina Yasmin.
Aina Yasmin meletakkan bingkai gambar kembali ke
tempatnya. Dia mengeluh.
‘Mana Abang Aazad ni?’ Dia memalingkan tubuhnya
dan menghadap pula ke arah tingkap besar di belakang
meja kerja Ameer Aazad. Panorama Kuala Lumpur menyapa
pancaindera. Matanya meliar memandang kesibukan
kota Kuala Lumpur yang telah banyak berubah sejak
peninggalannya ke bumi Amerika.
Ameer Aazad ralit memerhatikan tunangnya yang
langsung tidak perasan kehadirannya. Elok dia bersandar di
daun pintu. Dari belakang, jaket yang dipakai Aina Yasmin
menyerlahkan kerampingan pinggang gadis itu. Potongan
skirt labuh yang dikenakannya pula menyerlahkan pinggul
yang bisa membuat mana-mana lelaki tidak bisa tidur.
Dadanya mula berombak. Cepat-cepat ditepisnya perasaan
yang mula menular. Perasaan yang lahir dari naluri seorang
lelaki yang normal sepertinya.
Dengan perlahan, dia menghampiri tempat berdiri
tunangnya. Derap kasutnya tidak kedengaran, akibat diserap
permaidani tebal. Asyiknya Aina Yasmin dengan renungan
yang dilemparkan ke luar tingkap.
“Assalamualaikum, tunang abang…” sapa Ameer
Aazad lembut, betul-betul di belakang telinga Aina Yasmin.
Ameer Aazad terpaksa tunduk sedikit memandangkan kepala
gadis itu hanya sampai di bawah dagunya walaupun dengan
berkasut tumit tinggi dua inci. Kalau tanpa kasut tumit
tinggi, Aina Yasmin pasti berdiri di paras atas dadanya sahaja.
Aina Yasmin tersentak. Bahunya terjongket kecil
dan dia pantas berpaling. Ameer Aazad berdiri begitu hampir
dengannya. Dia bertambah terkejut melihat wajah tunangnya.
Dia ternganga. Matanya membulat tidak berkelip. Terpegun.
Terpesona. Dan segala macam ‘ter...’
Ameer Aazad tersenyum melihat reaksi Aina Yasmin.
‘Comelnya!’
“Abang Aazad?” soal Aina Yasmin tidak percaya. Ucap
salam Ameer Aazad dibiarkan tidak berbalas.
Wajah yang bersih… tiada sehelai bulu pun yang
tinggal. Wajah inilah yang diingatinya dulu. Wajah yang
sering dicuri-curi pandang ketika zaman remajanya. Wajah
yang segak dan menawan. Terserlah kulitnya yang cerah,
kening yang agak lebat, serta bibir merah yang menjadi
kebanggaan seorang lelaki yang tidak merokok.
Wajah yang tetap sempurna di mata Aina Yasmin,
walaupun tercemar dengan kehadiran parut yang panjang
dan agak tersembul keluar, yang bermula dari tepi pipi di
bahagian kanan wajah Ameer Aazad, dan meleret sehingga ke
bawah cuping telinga dan hilang di balik rambut lebat lelaki
itu. Parut yang panjangnya lebih daripada tiga inci. Daripada
kesan parut yang timbul di wajah Ameer Aazad, Aina Yasmin
dapat meneka yang lukanya dahulu pasti dalam.
Ameer Aazad hanya membiarkan Aina Yasmin
meneliti parut di wajahnya yang kini jelas kelihatan tanpa
diselindungi tumbuhan jambangnya. Dia pasrah dengan
penerimaan atau penolakan Aina Yasmin. Diperhatikan
dengan teliti riak gadis itu. Ingin melihat riak jijik melintasi
di wajah tunangnya, gadis yang kini telah bertakhta di
hatinya. Penolakan daripada gadis itu pasti akan merobek
dan menghancurkan hatinya. Dia tidak mempedulikan reaksi
orang lain. Dia hanya mementingkan reaksi Aina Yasmin,
sama ada baik atau buruk, pasti akan merubah kehidupannya.
Mata Aina Yasmin tidak berkalih dari parut di wajah
Ameer Aazad. Tanpa sedar, dia mengangkat tangan lalu
jari-jemarinya mengelus lembut wajah Ameer Aazad. Bermula
dari permulaan kesan parut, jatuh ke bahagian tepi rahang,
hingga ke bawah telinga. Diusapnya perlahan berulang kali.
Dari atas hingga ke bawah.
Nafas Ameer Aazad terhenti. Jantungnya terasa ingin
melompat keluar dari dada tatkala jari-jari halus Aina Yasmin
singgah di mukanya. Begitu lembut usapan gadis itu. Belaian
yang terasa hingga ke dalam jiwa. Terbuai-buai rasanya. Dia
langsung tidak menjangkakan reaksi tunangnya itu. Redup
matanya memandang mata Aina Yasmin yang mula berkaca.
“Masih sakit ke, bang?” bisik Aina Yasmin perlahan.
Tidak sanggup membayangkan betapa seksanya Ameer Aazad
menanggung kesakitan ekoran kecederaannya itu.
Ameer Aazad menelan air liur. Terharu! Sejak
kemalangan yang menimpa dirinya, tiada sesiapa pun sebelum
ini yang sanggup membelai wajahnya atau menyentuh
parutnya dengan penuh perhatian seperti ini. Terasa ada rasa
kasih yang mengalir dari jari-jemari Aina Yasmin.
Ameer Aazad tidak dapat menahan perasaannya lagi.
Dia cuba menahan sebak yang hadir. Dia menggenggam
tangan Aina Yasmin yang masih menyentuh wajahnya lalu
dibawa terus ke bibir. Tertumpah rasa kasih dan sayang buat
tunangnya itu.
Tangan Aina Yasmin terasa hangat dikucup Ameer
Aazad. Lama. Tersekat nafasnya. Jantungnya sudah mula
berlari. Dia sedar apa yang diperlakukan Ameer Aazad itu
salah, namun hati perempuannya tersentuh. Kejernihan yang
terbit dari mata Aina Yasmin mengalir jua.
Tatkala itu, ingin sahaja Ameer Aazad meluahkan
segala isi hati. Rasa kasih, rasa sayang dan rasa cinta yang
tidak berbelah bahagi terhadap tunangnya itu. Di hadapannya
kini merupakan gadis yang telah berjaya mencairkan
kebekuan di hatinya. Bermula daripada suara merdu gadis itu
dan terus melekat ke hati. Kalau diikutkan naluri lelakinya,
ingin sahaja dia menarik gadis itu ke dalam pelukan agar
Aina Yasmin dapat merasakan segala ledakan perasaan yang
dirasakan ketika ini. Namun dia tidak mahu melampaui
batasan yang wujud antara mereka, selagi mereka masih
belum disatukan mengikut syariat agama.
“Thank you, Min… thank you…” Hanya itu yang
mampu dilafazkan Ameer Aazad. Ya! Terima kasih kerana
masih sudi memberi peluang kepadanya… kerana sudi
menjadi tunangnya… kerana sudi memaafkannya… kerana
sudi menerima ketidaksempurnaannya… dan kerana gadis
itu begitu sempurna di matanya. Air mata Aina Yasmin diseka
lembut.
Aina Yasmin tidak mengerti dengan ucapan terima
kasih yang dilafazkan namun dia tidak mampu bersuara.
Kehangatan genggaman tangan dan kucupan bibir Ameer
Aazad di tangannya membuatkan dia kelu seribu bahasa.
Suatu perasaan yang cukup indah menawan sepelosok
sanubarinya. Dia lemas dengan perasaan itu tetapi pada
waktu yang sama, dia tidak mahu perasaan itu berakhir.
Lama mereka melayan perasaan. Ameer Aazad masih
dengan renungan redupnya sehingga membuatkan Aina
Yasmin mula berasa tidak selesa. Tangannya masih belum
dilepaskan Ameer Aazad.
“Abang…”
“Ya, Min?”
“Lepas…”
“Not yet…” Tidak perlu Ameer Aazad meminta Aina
Yasmin menjelaskan apa maksud di sebalik permintaannya.
Dia memahaminya. Cuma dia belum mahu melepaskan
tangan tunangnya itu. “And no, abang dah tak rasa sakit lagi
kat parut tu.” Ameer Aazad menjawab soalan tunangnya yang
tidak terjawab tadi.
Aina Yasmin gelabah. Pandangan Ameer Aazad
seolah-olah menyinarkan seribu macam rasa. Dia malas
mahu berteka-teki. Dia tidak mahu perasan sendiri. Kelak dia
yang bakal terluka nanti.
“Tak manis kalau orang nampak. Lepaskan, please…”
Aina Yasmin merayu.
“Nobody can see us. The glass walls of my room
are not transparent. Don’t worry. Takde siapa boleh nampak
kita,” Ameer Aazad berdegil. “Kita boleh nampak orang kat
luar tapi orang kat luar tak boleh nampak kita. It’s one-sided.”
Dia mengalihkan genggaman di tangan Aina Yasmin ke
pergelangan tangannya pula. Genggaman tangan Aina
Yasmin dibuka agar telapak tangan Aina Yasmin dalam posisi
menadah ke atas.
Terpinga-pinga Aina Yasmin melihat apa yang
diperlakukan Ameer Aazad. Kemudian dengan perlahan,
Ameer Aazad tunduk dan mengucup telapak tangannya. Dia
terkedu. Dadanya beralun kencang. Jantung terasa dipukul
kuat. Dia memejamkan matanya. Rasa bersalah menerjah
di jiwa pabila merasakan kenikmatan daripada ciuman itu.
Terasa hingga ke hulu hati.
“Abang, don’t… please…” rayu Aina Yasmin lagi.
Dia takut dia tidak mampu mengawal perasaannya dan terus
membiarkan lelaki itu memperlakukan apa saja mahunya.
Tangan ditarik. Ameer Aazad membiarkan.
‘I love you, Min…’ kata-kata itu hanya mampu
dilafazkan dalam hati. Kata-kata yang tidak pernah diucapkan
kepada mana-mana gadis sebelum ini.
“Encik Aazad, Tan Sri is here to see you.” Suara Sally
berbunyi dari interkom.
Terkejut Aina Yasmin mendengar suara Sally.
Namun dia bersyukur adanya gangguan daripada setiausaha
tunangnya itu. Kalau tidak, apalah bakal dilakukan lagi oleh
lelaki itu.
Ameer Aazad pantas menjarakkan dirinya daripada
Aina Yasmin. Namun sempat dia menarik tangan gadis itu ke
sofa. Aina Yasmin terpaksa menurut. Elok sahaja Aina Yasmin
melabuhkan punggung di kerusi, pintu bilik Ameer Aazad
dibuka dari luar. Sally mempersilakan Tan Sri Khir Razak
masuk. Tiada senyuman di wajah gadis itu.
Ameer Aazad menyambut kedatangan bapa
angkatnya. Sekali lagi Aina Yasmin kecut perut.
Dengan tangan di belakang tubuh Tan Sri Khir
Razak, Ameer Aazad memimpin bapa angkatnya ke sofa. Aina
Yasmin berdiri. Dia keresahan.
“Pa, this is my girl, Aina Yasmin.” Ameer Aazad
memperkenalkan Aina Yasmin kepada bapa angkatnya.
‘My girl? Bestnya bila dia panggil macam tu…’
sempat Aina Yasmin menggumam dalam hati.
“Min, kenalkan... ni bapa angkat abang, Tan Sri Khir
Razak,” Ameer Aazad bersuara lagi.
Aina Yasmin tunduk sebagai tanda hormat. Tan Sri
Khir Razak menekapkan tangan di atas kepala Aina Yasmin
yang bertudung. ‘Cantik! Macam manalah Aazad boleh kata
budak ni hodoh dulu, ek? Buta betul anak aku ni!’
“Apa khabar Tan Sri?” Senyuman manis cuba diukir
Aina Yasmin. Namun sedikit goyah.
“Baik. No need for titles, my dear. Just call me uncle.
Nak panggil papa pun boleh,” usik Tan Sri Khir Razak.
Aina Yasmin tersipu malu. Ameer Aazad pula senyum
meleret.
“Duduklah…” pelawa Ameer Aazad kepada Tan
Sri Khir Razak dan Aina Yasmin. Mereka duduk. Tan Sri
Khir Razak di sofa tunggal, manakala Ameer Aazad duduk
bersebelahan Aina Yasmin di sofa berangkai tiga.
“Akhirnya! Dapat jugak papa jumpa dengan bakal
menantu papa ni. Bila papa boleh buat kenduri? Papa dah
beritahu ahli lembaga pengarah Warisan yang Aazad nak
kahwin. Sibuk diaorang tanya bila. Papa pun tak sabar nak
buat kenduri untuk anak papa ni.”
Aina Yasmin terkedu. ‘Kahwin? Semua ahli lembaga
pengarah Warisan dah tahu? Mati aku macam ni!’
“Yasmin, bila uncle dengan mama Aazad ni boleh
buat kenduri?”
Ameer Aazad tersengih. Sempat dia mengenyitkan
mata kepada bapa angkatnya. Aksi yang berani dilakukan
kerana menyedari ia tidak mungkin dapat ditangkap Aina
Yasmin. ‘Pandai betul papa aku ni berlakon. Sayang papa!’
“Errr… belum lagi kut, uncle. Saya dengan Abang
Aazad masih belum bersedia…” tergagap-gagap Aina Yasmin
memberikan alasan.
“Aazad tak bersedia lagi? Hai Zad, tunggu apa lagi?
Umur dah nak masuk tiga puluh. Semua dah cukup, kan?
Takkan tak bersedia lagi?” sindir Tan Sri Khir Razak. Sengaja.
Aina Yasmin meramas-ramas tangan. Mengharapkan
bantuan Ameer Aazad untuk menepis desakan Tan Sri Khir
Razak. Dia pasti Ameer Aazad akan menolak cadangan bapa
angkatnya itu. Bukankah dia yang meminta enam bulan lagi?
“Aazad dah lama ready, pa. Lagipun kita orang
bertunang dah terlampau lama. Bila-bila je Aazad sedia nak
jadi suami Min ni.”
Pantas Aina Yasmin menoleh ke arah Ameer Aazad.
Tidak puas hati dengan balasan yang diberikan. Membuntang
matanya memandang lelaki itu. Dia geram! Ameer Aazad
menyimpan tawa dalam hati. ‘Comelnya dia!’
“Betul tu Zad. Tak elok bertunang lama-lama sangat.
Apa kata kita segerakan perkahwinan Aazad dengan Yasmin?”
cadang Tan Sri Khir Razak.
“Errr… uncle, saya ni baru je mula kerja. Terus
terang saya masih belum bersedia untuk berumah tangga,”
bidas Aina Yasmin dengan sesopan yang mungkin.
“Kalau Yasmin belum bersedia pun, tak salah kan
kalau uncle pergi ziarah keluarga Yasmin kat kampung?
Bincang apa-apa yang patut?”
Aina Yasmin sudah mati akal untuk mencipta alasan.
Dipandangnya semula wajah Ameer Aazad. Ada pandangan
penuh rayuan meminta lelaki itu membantah cadangan Tan
Sri Khir Razak. Ameer Aazad pura-pura tidak mengerti.
“Eh, kalau tak silap... minggu depan ada long
weekend, kan? Hari Jumaat kan cuti. Bolehlah Aazad bawak
papa balik kampung Aazad. Kita jumpa famili Yasmin sekali.”
Aina Yasmin menelan air liur. Dirasakan amat pahit
sekali. Bagaimana harus dia menolak? Kurang ajar ke dia
kalau dia melarang Tan Sri Khir Razak daripada menziarahi
keluarganya di kampung?
“Yasmin tak sudi nak ajak uncle jumpa famili Yasmin
ke?” teka Tan Sri Khir Razak.
“Eh, bukan macam tu uncle. You are always welcome
to come for a visit.” Tidak sampai hati Aina Yasmin menolak
cadangan Tan Sri Khir Razak. “Nanti saya beritahu mak dan
abang-abang saya.”
Tan Sri Khir Razak dan Ameer Aazad tersenyum
puas. Rancangan mereka menjadi nampaknya.
“Great! I’m sorry but I have to leave now. Uncle ada
appointment, tapi uncle nak jemput Yasmin datang makan
malam kat rumah uncle one of these days, ya? Boleh, my
dear?” Tan Sri Khir Razak bangun dari sofa yang didudukinya.
Suatu pandangan mesra dilemparkan ke arah gadis itu.
“Insya-Allah…” balas Aina Yasmin perlahan.
“Oh ya! Tadi uncle dapat call daripada Encik Mokhtar,
tanyakan pasal kedudukan Yasmin. Yasmin tak payah risau.
There is no conflict if you were to remain with Icon or with
Warisan. Bila Yasmin dah jadi isteri Aazad pun, syarikat
takkan ada masalah. Yasmin boleh kekal kerja kat sini.” Jelas
Tan Sri Khir Razak. Isu tentang status Aina Yasmin di syarikat
terjawab sudah. Dia mengangguk tanda terima kasih.
‘Alhamdulillah.’ Aina Yasmin berasa lega. Dia hanya
memerhatikan Ameer Aazad menghantar bapa angkatnya ke
muka pintu. ‘Errr… apa dah jadi tadi? Tan Sri nak datang
rumah mak kat kampung??? Oh tidak!!!’
No comments:
Post a Comment