AKU masuk seperti disuruh dan duduk di sofa.
Terasa janggal duduk di ruang tamu yang besar dan mewah
seorang diri. Ruang tamu banglo mama pun tak sebesar
ruang tamu banglo Dato’ Ibrahim. Sunyinya rumah ini.
Macam mana orang boleh tinggal dalam rumah besar yang
sunyi sepi?
Telefon bimbit aku berbunyi. Cepat-cepat aku
keluarkan dari saku seluar. Nama Nafiz terpampang di skrin,
buat aku tersenyum. Jarang Nafiz menelefon aku. Sukanya
dapat dengar suara jantan dia memberi salam. Aku jawab
salam sambil tersenyum.
“Maaf ganggu awak.” Seperti biasa Nafiz sangat
bersopan santun dan berhemah. Di mana hendak cari lelaki
budiman yang penuh sopan dan lembut tutur katanya seperti
Nafiz pada zaman sekarang ni?
“Eh tak ganggu pun.”
“Boleh kita jumpa lusa? Ada benda nak bincang sikit
dengan awak.”
Nafiz hendak jumpa aku? Kecil tapak tangan,
stadium Bukit Jalil aku tadahkan. Bukan selalu Nafiz ajak aku
keluar. Selalunya kami hanya jumpa di Rumah Umi Sarah dan
di Rumah An-Nur, kemudian ketika bagi orang gelandangan
makan.
“Lusa? Insya-Allah boleh. Nak jumpa di mana?”
“Rumah Umi Sarah, boleh?”
“Boleh. Lepas kerja saya terus pergi.”
“Insya-Allah, kita jumpa lusa. Terima kasih.
Assalamualaikum.”
Aku jawab salam dan matikan panggilan. Tanpa
sedar senyuman tersimpul di bibir. Seronok dapat cakap
dengan Nafiz walaupun sekejap. Lebih seronok bila dia ajak
jumpa. Lusa nanti boleh solat berjemaah dengan Nafiz di
Rumah Umi Sarah. Biasanya kalau Nafiz datang sana, dia
akan imamkan solat. Dapatlah dengar suara jantan dia baca
surah dengan sedap.
Suara orang berdeham membuatkan aku berpaling.
Dia merenung aku dengan tajam sambil menolak kerusi roda
yang diduduki oleh Dato’ Ibrahim. Eh, semalam Dato’ elok
boleh berjalan, kenapa hari ni berkerusi roda? Aku bangun
mendekati mereka dan bertanya khabar.
“Saya macam inilah. Kadang-kadang okey,
kadang-kadang tidak. Sejak dari pagi tadi kaki terasa kebas.”
Dato’ Ibrahim menjawab perlahan-lahan.
Kasihan aku tengok dia. Terkenang abah di
kampung. Syukur alhamdulillah, Allah bagi rezeki kesihatan
kepada abah. Setakat ini belum lagi abah sakit teruk. Setakat
demam, pening dan selesema saja.
“Fina picit kaki Dato’ ya?”
Dato’ Ibrahim mengangguk. Aku duduk di atas lantai
yang beralas permaidani mahal, mungkin dari Turki. Aku
picit kaki kanan sambil baca bismillah dan Al-Fatihah. Emak
yang ajar kalau picit badan orang, baca surah Al-Fatihah dan
doakan semoga orang yang dipicit hilang kesakitannya.
Aku tidak sentuh kulit kaki Dato’ sebab dia pakai
seluar panjang. Tangan berkalih ke kaki kiri dan aku ulang
bismillah dan Al-Fatihah. Tiba-tiba terasa ada tangan atas
kepala aku. Bila aku dongak, Dato’ Ibrahim sedang usap
kepala aku sambil tersenyum. Aku senyum balik. Teringatkan
abah pula. Nanti bila balik kampung, aku hendak picitkan
kaki abah sebab rasanya sudah lama aku tidak picit abah.
Bila aku berdiri usai memicit kaki Dato’ Ibrahim,
mata aku terpandang wajah Datin yang sedang merenung
aku.
“Eh, Fina. Ada apa Fina datang ni?” Datin bertanya.
Dari riak wajahnya aku tahu dia hairan kenapa aku berada di
rumahnya sekarang.
“Encik Rifqi suruh saya datang.” Jawapan aku
membuatkan Datin menggeleng dan menjeling ke arah Bos
1B3K. Si kerek tu buat muka selamba saja, macam tak rasa
bersalah langsung. Dia tolak kerusi roda ayahnya ke meja
makan.
“Maaf ya Fina, si Rifqi ni menyusahkan Fina saja.”
Kata Datin sambil menggamit aku ke meja makan.
Aku senyum saja. Takut kalau aku jawab ‘tak apa’
atau ‘it’s okay Datin’, esok-esok si kerek ni suruh lagi aku
datang ke rumah dia. Aku duduk dan tidak lama kemudian
kami mula makan.
Ya Allah, inilah sesi makan malam yang paling
membosankan. Mereka ni makan dengan senyap. Memanglah
elok jangan bercakap sambil makan, tapi dalam keluarga aku
kami bersembang sikit-sikit sambil makan. Bukankah waktu
makan bersama keluarga adalah waktu untuk mengeratkan
hubungan sesama ahli keluarga? Aku rasa kekok sangat apabila
tidak berbual sambil makan. Jadi apa lagi, kalau mereka tidak
mahu berbual, biar aku yang mulakan perbualan.
“Kak Iqa dah balik ke Datin?”
“Sudah. Lepas maghrib semalam, mereka sekeluarga
balik Alor Setar.”
“Dah lama Fina tak pergi Alor Setar.”
“Kami pun dah lama tak balik sana. Rifqi ni sejak
balik Malaysia, mana pernah balik Alor Setar. Rafiqa selalu
turun KL sebab anak-anak dia rindu dengan tok daddy dan
tok mummy. Lagi satu, depa suka pak su depa dah balik
Malaysia.”
Oh, pak su gelaran yang anak-anak saudaranya
panggil si bengkeng ni. Kalau aku, elok panggil dia Pak Suwei
atau Pak Suram. Baru sesuai.
Aku jeling Bos 1B3K. Dia sedang tunduk pandang
nasi. Entah kenapa mata aku terus melekat di wajahnya. Dia
angkat kepala, suap nasi dalam mulut. Bibir dia bergerak-gerak
mengunyah. Mata dia… alamak bila aku angkat mata, mata
aku bertembung dengan mata dia. Cis! Malunya! Cepat-cepat
aku habiskan nasi dalam pinggan.
“Kalau kau nak solat, boleh solat di bilik tetamu.
Lepas tu kita balik ofis, tunggu sampai aku siap sign semua
dokumen.” Katanya bila aku kembali ke meja makan selepas
membasuh tangan.
“Qi, kenapa buat macam tu, tak baik. Bukan salah
Fina pun. Kalau Qi tak masuk lambat tadi, kan dah siap
sign semuanya.” Datin menegur perbuatan anak bongsunya
dengan lembut.
“That’s the price for being rude to me.”
Amboi! Kereknya dia.
“Kan Fina dah minta maaf? We agreed that you
must finish signing all the documents today and Fina must
apologise to you.” Suara Datin sudah naik sikit, menandakan
dia tidak puas hati dengan perbuatan Bos 1B3K.
“Bila masa kau minta maaf?” Kali ini dia berpaling
daripada ibunya dan memandang aku dengan renungan
tajam sambil mencekak pinggang.
“Sebenarnya tadi masa saya hantar kopi, saya nak
minta maaf. Tapi tak jadi sebab… sebab saya takut Encik Rifqi
marah saya lagi.” Aku tuturkan dengan suara sedih, meminta
simpati Datin.
“Ha tengok Qi, semua staf takut dengan Qi. Rifqi
dulu tak macam ni, kan? Apa nak jadi ni Qi? Mummy dah tua,
daddy dah sakit, tak boleh ke Qi tolong mummy dan daddy?”
Ada nada sayu dalam suara Datin. Yang Bos 1B3K pula diam
saja, tidak menjawab.
Kasihan pula aku tengok Bos 1B3K kena marah
depan-depan aku dan Dato’. Inilah masa yang sesuai untuk
aku bertindak.
“Bos, saya minta maaf. Sebagai tanda saya ikhlas
minta maaf, saya dah bawakkan semua dokumen tu. Bos
boleh sign di rumah saja, tak payah pergi ke ofis semula.”
Aku ucapkan tanpa memandangnya. Aku keluarkan secekak
dokumen dari dalam beg silang yang aku bawa. Tadi, selepas
dia keluar pejabat, cepat-cepat aku masuk ke biliknya dan
masukkan semua dokumen yang belum ditandatangani ke
dalam beg silang.
“That’s nice of you Fina. Bagus! Hah Qi, sign saja
semua dokumen tu. Fina boleh balik. Esok Rifqi akan bawa
semua dokumen tu ke pejabat semula.” Datin berkata. Ada
nada keterujaan dalam suaranya. Ee seronoknya, aku rasa
hendak melompat tinggi-tinggi, kalau boleh sampai langit
bila Datin puji aku.
Tangan Bos 1B3K yang berada di pinggang jatuh.
Dokumen yang aku hulurkan diambil. Mata dia mencerlung
memandang aku. Rasa macam hendak tunjuk dua jari dalam
isyarat ‘peace’ kepada dia dan cakap... ‘dengar tu, mak bos
kata saya nice,’ tapi kalau aku buat, tentu dia lagi sakit hati.
Aku angkat kaki, tinggalkan banglo mewah Dato’ Ibrahim.
BILA AKU sampai pejabat pada pukul 8.15 pagi, Bos 1B3K
sudah sampai dan sudah mula bekerja. Dokumen-dokumen
semalam sudah siap ditandatangani, bukan saja oleh Bos
1B3K, malahan oleh Datin juga. Agaknya mereka ni tidur
lambat malam tadi. Lebih kurang pukul sebelas setengah
pagi, Bos 1B3K dan Datin berbalah lagi.
“Tiga jam saja kita rasa aman.” Kata Kak Razia.
Memang betul pun. Aku hanya mampu
menggelengkan kepala. Kenapalah dia tidak boleh bercakap
dengan elok kepada emak sendiri? Ketika itu juga Bos 1B3K
keluar dari bilik Datin. Masuk ke bilik dia dan hempas pintu
bilik dengan kuat. Aku dan Kak Razia saling berpandangan.
“Kurang asam! Dia tak tahu ke kita ni naik pekak
dengar dia hempas pintu.” Rungut Kak Razia.
Ketika itu jugalah interkom berbunyi. Di hujung
talian, Datin menyuruh aku masuk ke biliknya.
“Rifqi tak mahu pergi mesyuarat di Kuala Selangor
esok. Tolong saya Fina, pujuk dia supaya pergi. Yang lain
semua dah setuju, dia seorang berdegil. Mati-mati dia tak nak
pergi.”
Aku terkedu. Bukan sebab muka Datin nampak
risau dan sedih, tapi apa hal pulak aku yang kena pujuk si
bengkeng tu?
“Fina tolong ya? Gunalah apa-apa helah, asalkan dia
pergi. Projek tu dah 70 peratus siap. Saya tak nak tertangguh
lagi. Lagi lambat kita buka Sri Selangor, lagi banyak kita rugi
nanti.”
Dengan lemah aku mengangguk. Hantu kau Naani!
Kalau aku tahu kau tinggalkan aku dengan masalah macam
ni, bagi gaji tiga kali ganda pun aku tak nak.
Pukul 12.30, Datin balik. Kak Raziah pukul 12
tadi sudah keluar makan. Sekarang sudah pukul satu. Yang
Bos 1B3K pula langsung tidak keluar dari biliknya selepas
berbalah dengan Datin. Laporan yang Bahagian Jualan hantar
semasa Bos 1B3K sedang berbalah dengan Datin aku bawa
masuk ke dalam biliknya. Aku mara ke mejanya dan letakkan
laporan itu di sebelah lengan kanan dia. Aku sudah fikir pasal
permintaan Datin dan keputusan aku ialah go straight to the
point.
“Bos, saya nak cakap sikit. Saya tak tahu apa masalah
bos. Yang saya tahu bos ni menyusahkan hidup bos sendiri.
Asyik bertekak saja dengan Datin. Tak penat ke bergaduh?
Bergaduh dengan emak sendiri pulak tu. Bos tak takut jadi
anak derhaka ke? Bos ingat, bila kita dah besar panjang, kita
boleh lawan mak bapak kita sesuka hati ke?” Aku tuturkan
dengan nada lembut.
Dia panggung kepala. Muka dia ketat. Muka ketat
memang pakej sekali dengan perangai yang kerek. Jadi
walaupun Bos 1B3K kacak, kekacakan dia hilang bila muka
dia ketat.
“Datin suruh bos pergi Kuala Selangor saja. Bukan
suruh pergi Hutan Amazon ke, Zimbabwe ke? Pergi sajalah.”
Dia masih diam. Bagus, aku nak sambung bercakap
lagi.
“Kadang-kadang kita perlu korbankan perasaan kita
untuk buat orang lain gembira. Bila orang yang kita sayangi
gembira, kita pun akan rasa gembira melainkan deria gembira
kita dah rosak. Saya tak pasti apa masalah bos, sampaikan
bos fobia dengan Kuala Selangor tu. Tapi tolonglah bos,
dengarlah cakap Datin. Orang yang dengar cakap ibu bapa
hidupnya insya-Allah diberkati.”
Dia tetap diam. Pelik. Semalam kami bergaduh bagai
nak rak apabila aku tegur dia. Hari ini dia diam saja. Aku
anggap saja dia bagi peluang untuk aku bercakap.
“Bos bertuah tau masih ada ibu bapa. Saya tengok
Dato’ dan Datin sangat sayangkan bos. Kalau emak bapak
jauh macam saya ni, tak teruk lagi. Seminggu sekali boleh
balik kampung. Tapi kalau tak ada mak bapak, macam
adik-adik saya di Rumah Umi Sarah tu, lagi teruk. Pernah tak
bos terfikir betapa beruntungnya kita dibandingkan dengan
adik-adik tu? Mereka tu kalau diberi sesaat pun, cukuplah
asalkan dapat jumpa balik dengan mak bapak mereka yang
dah tak ada.”
Aku rasa pening, aku akan naik taraf rasa itu jadi
migrain sekejap lagi. Sebabnya Bos 1B3K tetap membatu dan
membisu. Pelik sungguh!
“Bos…”
“Cukup! Aku tak nak dengar apa-apa lagi. Dah
banyak kau bercakap. Keluar sekarang.” Akhirnya keluar
juga suara Bos 1B3K dan akhirnya dia paling ke arah aku.
Mukanya kelat dan ketat. Tak penat ke dia ni asyik marah dan
emosional saja?
“Datin suruh saya pujuk bos. Tolonglah bos, pergilah
tengok projek Kuala Selangor tu.” Aku lembutkan lagi suara
dan bercakap dalam nada merayu.
“Apa masalahnya kalau aku tak pergi? Apa dalam
syarikat ni aku sorang saja yang boleh buat kerja ke? Apa
gunanya ketua jabatan dalam syarikat ni, kalau benda senang
pun aku kena buat sendiri?”
berlawan cakap dengan dia, aku rasa lega bila dia tak lagi
berdiam diri. Sebabnya bila dia lawan balik, itu bermakna dia
mendengar dan beri perhatian kepada apa yang aku cakap.
“Datin nak bos pergi sebab bos yang kena buat
kelulusan, vendor mana akan diberi kontrak interior
designing resort tu.”
“Aku dah buat keputusan. Aku akan bagi kepada
syarikat Azira.”
Azira? Ya, Azira! Itu adalah umpan yang bagus.
“Kalau bos pergi Kuala Selangor, saya akan minta
Cik Azira datang sekali esok.”
Bos 1B3K diam. Aku rasa dia sedang memikirkan
cadangan aku. Tapi lama pulak dia diam. Deputy CEO apa ni,
nak buat keputusan yang senang pun kena fikir lama-lama?
Tiba-tiba dia berdiri. Dia buka kot dan sangkut di
atas kerusi. Kemudian dia capai telefon bimbit dan masukkan
ke dalam poket.
“Beritahu Abang Di, ambil aku dan Datin di rumah
esok. Kami pergi Kuala Selangor dari rumah. Hantar e-mel
kepada yang lain, suruh mereka sampai sana sebelum pukul
sepuluh. And make sure I see Azira there.”
Dia terus keluar dari bilik tanpa memandang aku.
Aku lagi suka bila dia tak pandang sebab muka ketatnya itu
buat aku sakit hati. Mesti dia tak pernah dengar senyuman
itu satu sedekah, sebab itu dia kedekut senyuman. Aku keluar
dari bilik dia dengan rasa lega dan gembira. Berjaya juga aku
laksanakan tugas yang Datin suruh. Tapi cepat-cepat aku
ingatkan diri jangan terlalu yakin. Mana tahu tiba-tiba si
kerek tu tukar fikiran.
“Amboi, happy semacam tu kenapa? Si bengkeng tu
ajak kahwin ke?”
Apalah Kak Razia ni merepek. Terus mati senyuman
aku.
“Kak, kalau dia ajak kahwin takkanlah saya senyum.
Perempuan gila saja yang sanggup kahwin dengan orang
macam dia.”
“Mana kau tau? Kau pernah gila ke?”
“Isy Kak Razia ni. Saya happy ni kak, sebab dia setuju
pergi Kuala Selangor esok. Saya umpan dia dengan Cik Azira
yang jelita dan menggoda tu. Yang saya cerita dengan akak
dia datang hari Sabtu pakai cantik-cantik, cakap dengan bos
lemah lembut, manja-manja. Saya tengok bos macam dah
terpikat dengan dia.”
“Hah, bagus-bagus. Pandai pun kau. Eloklah kalau
Encik Rifqi tu berkawan dengan perempuan yang elok-elok.
Kesian Datin dan Dato’ kalau dapat menantu artis yang tak
berapa elok perangainya.”
“Bukan semua artis perangainya tak elok kak.”
“Memanglah. Tapi yang selalu keluar paper dan blog
dengan Encik Rifqi tu nampak sangat tak elok perangainya.
Kalau kau jadi mak mentua, kau nak dapat menantu yang
pakai tak senonoh, suka bersosial, merokok dan minum?”
Aku geleng kepala. Lepas tu capai dompet. Giliran
aku pula keluar makan tengah hari. Sambil berjalan, aku
teringat kata-kata Kak Razia. Cepat-cepat aku berdoa supaya
jodoh aku nanti lelaki yang baik-baik. Yang macam Nafiz.
Bukan yang macam Bos 1B3K.
Isy, tak payah risaulah Fina pasal jodoh. Jodoh tu
Allah yang tentukan. Bukan ke orang kata lelaki yang baik
untuk perempuan yang baik? Aku rasa aku memang boleh
masuk dalam kategori perempuan yang baik. Aku tutup aurat,
tak tinggal solat, dan walaupun tak baca Al-Quran setiap
malam, aku usahakan baca surah Al-Kahfi setiap malam
Jumaat. Kalau tidak sempat Al-Kahfi, aku baca surah Yasin.
Aku juga menghormati orang tua, baik dengan kawan-kawan
dan buat kerja amal. Tak cukup baik lagi ke?
Insya-Allah, jodoh aku nanti lelaki yang baik. Kalau
dapat baik macam Nafiz tu, alahai... bestnya! Terbayang di mata
solat berjemaah dengan dia. Lepas tu mengaji sama-sama.
Dia betulkan bacaan aku yang salah sambil tersenyum. Aku
senyum balik kat dia sebelum sambung bacaan.
Dum!!!
Aduh, sakitnya kepala aku. Ya Allah, macam mana
aku boleh tak perasan dinding kaca ni, sedangkan setiap hari
aku jalan di lobi ni? Itulah… berangan lagi pasal Nafiz, kan
dah terlanggar dinding kaca. Kenapalah Dato’ Ibrahim mesti
guna dinding kaca untuk Wisma Duta ni?
Aku pandang kiri dan kanan. Lega sebab tidak ada
orang yang nampak. Mungkin pengawal berbangsa Nepal di
lobi nampak tapi tak kisahlah kalau diaorang nampak. Aku
pandang depan semula sambil gosok dahi.
Errk… bila masa pula si bengkeng ni ada di lobi?
Dia berdiri betul-betul depan tangga selepas pintu kaca. Dia
pandang aku. Dia tak senyum. Tapi dia ketawa. Seronok betul
dia dan Abang Di gelakkan aku!
No comments:
Post a Comment