Wednesday, 29 June 2016
Bahagia Dalam Rahsia - Bab 1
“ENCIK WADI tolong lepaskan saya!”
“Diam dan jangan melawan!”
“Tolonglah jangan buat saya macam ni. Saya merayu,
tolong jangan apa-apakan saya..,” mohonnya sambil kedua-dua
tangan menutup kepala apabila sebahagian besar rambutnya
sudah terdedah akibat tudung yang dipakainya tadi direntap
kasar lelaki itu. Hanya kedua-dua tangan sahaja yang menjadi
pelindung.
Tubuh Farha ditolak kasar lalu terhempas di atas
katil. Wadi Ridhuan yang berada dalam keadaan mabuk itu
mula hilang pertimbangan. Sehelai demi sehelai pakaian yang
membaluti tubuh gadis itu direntapnya satu persatu tanpa rasa
belas.
Farha cuba melawan dengan segala kudratnya yang
ada tetapi ternyata dia gagal kerana kudrat lelaki itu lebih kuat
berbandingnya.
“Saya tahu Encik Wadi sedang mabuk. Jadi, tolong
jangan buat saya begini,” rayunya lagi.
Dia ingin menjerit meminta pertolongan tetapi Wadi
Ridhuan lebih pantas menutup mulutnya dengan kasar. “Diam!”
Dalam tangisan dan kesakitan, Farha tidak mampu lagi
hendak melawan dan akhirnya dia tertewas. Tersedu-sedu dia
menangis sambil memencilkan diri di penjuru katil.
Wadi Ridhuan yang sedang berbaring di sebelah
langsung tidak mempedulikannya. Ternyata, lelaki itu kelihatan
masih lagi mabuk seolah-olah tidak menyedari perbuatan keji
yang telah dilakukannya.
Farha mengelap tubir matanya yang basah. Juraian air
matanya yang berlinangan menggambarkan kedukaan yang kini
sedang dirasainya. Mengapa tega benar Wadi Ridhuan meragut
kesuciannya dengan cara yang tidak halal begitu.
Sungguh kejam anak lelaki tunggal majikannya itu
kerana sanggup menodainya tanpa rasa belas kasihan walaupun
sudah dirayu berkali-kali. Namun, lelaki itu tidak langsung
mempedulikan rayuannya.
“Sudahlah. Kau tak perlu nak menangis sampai macam
ni,” sinis sekali bicara Wadi Ridhuan seperti tidak ada perasaan
bersalah pula apabila memperlakukan Farha begitu.
“Saya sikit pun tak halalkan apa yang dah berlaku,”
balas Farha dengan nada suaranya yang menekan. Bibirnya
diketap, menahan perasaan amarah dalam hati. Kalau diikutkan,
mahu sahaja dia membunuh lelaki itu.
“Kau jangan nak berlagak alim pula. Halal atau tak, kau
fikir aku peduli ke?” bentak Wadi Ridhuan sambil melemparkan
pandangan tajamnya ke arah Farha yang dilihatnya masih
bersedih.
Setelah mendengar herdikan daripada Wadi Ridhuan,
tiada apa lagi yang perlu diperkatakan Farha. Dia tahu, segala
apa yang mahu diluahkannya nanti, tentu sahaja akan dipandang
remeh oleh Wadi Ridhuan. Bukan dia tidak kenal akan hati budi
lelaki itu. Sungguh egois dan angkuh sekali.
Ya, memang benar. Dia bukan perempuan alim. Tetapi,
perbuatan jijik Wadi Ridhuan terhadap dirinya itu, merupakan
satu dosa besar yang mungkin tidak akan terampun. Itu sudah
sememangnya dia tahu.
Dalam soal itu, Farha tidaklah jahil. Dia boleh
membezakan antara dosa, pahala, syurga dan neraka. Dia
tidak seperti Wadi Ridhuan. Ternyata, keperibadian lelaki itu
langsung tidak menunjukkan bahawa dia seorang lelaki yang
dididik dengan ilmu agama yang cukup.
“Aku beri amaran pada kau. Jangan beritahu pada
sesiapa. Kalau tak, aku sendiri yang akan halau kau keluar dari
rumah ni. Tentu kau tak mahu, kan?” Sudahlah dia meragut
kesucian Farha, malah diugutnya pula gadis itu.
Apabila diberi amaran begitu, Farha semakin sebak.
Itulah satu perkara yang dia paling tidak mahu berlaku.
Sekiranya dia dipecat daripada terus bekerja di villa mewah itu,
kepada siapakah keluarganya hendak bergantung harap?
Adiknya Fadhilah kini sedang menuntut di sebuah
institusi pengajian tinggi di Ibu Kota. Segala perbelanjaan untuk
adiknya itu, semuanya ditanggung oleh Farha dengan tulang
empat kerat yang dimilikinya. Sekiranya dia diberhentikan
kerja, bagaimana dia mahu menanggung perbelanjaan adiknya
yang masih menuntut ilmu itu?
Dan, bagaimanakah pula dia hendak menyara neneknya
yang tinggal di kampung? Farha berasa kehidupannya begitu
sulit apabila memikirkan tentang perkara itu. Dia tidak mahu
diberhentikan oleh majikannya kerana dia tahu, untuk mencari
pekerjaan pada zaman serba moden ini adalah begitu sukar
sekali.
Farha dilahirkan daripada keluarga yang sangat daif.
Dia dan adiknya Fadhilah, dipelihara oleh neneknya sejak
kematian kedua orang tuanya. Selepas arwah ibunya pergi
menghadap Ilahi kerana menghidap barah hati, bapanya pula
menyusul kemudian apabila terlibat dalam satu nahas jalan
raya yang membabitkan motor ditunggangi bapanya, dirempuh
oleh sebuah lori balak.
Sejak kejadian itu, Farha dan adiknya Fadhilah dibela
dan dibesarkan oleh neneknya, Umi Kalthum yang sudah lanjut
usia. Hanya menghitung hari sahaja untuk nenek Farha itu
menghabiskan sisa-sisa tuanya.
“Kau dengar atau tak apa yang aku katakan tadi?” Wadi
Ridhuan tiba-tiba sahaja meraih tangan Farha dengan kasar
apabila melihat gadis itu hanya membatukan diri. Fikiran gadis
itu seolah-olah melayang entah ke mana dan langsung tidak
memberi tumpuan kepadanya.
“Dengar,” jawab Farha sepatah sambil cuba merentap
kembali tangannya yang sedang dipegang kemas oleh lelaki
durjana itu, namun dia tidak berdaya. Kudratnya yang masih
lemah membuatkannya tidak mampu menyentap kembali
tangannya itu.
“Kalau dengar, kenapa kau diam?” jerkahan Wadi
Ridhuan benar-benar membuatkan Farha tersentak.
“Tiada apa lagi yang perlu saya katakan. Encik
Wadi pun tahu saya sangat terdesak untuk terus tinggal dan
bekerja di sini. Oleh kerana itulah, Encik Wadi senang-senang
memperlakukan saya seperti ini,” tiba-tiba sahaja Farha berani
menempelak. Dipandangnya seraut wajah Wadi Ridhuan agak
lama. Sayang seribu kali sayang. Wajah tampan yang dimiliki
Wadi Ridhuan, tidak sealiran pula dengan kelakuan jahat lelaki
itu.
“Kalau tahu macam tu, kau faham-faham sudahlah.
Lepas ni, kau jangan pula membantah kalau aku mahu
melakukan perkara yang sama lain kali.” Wadi Ridhuan
tersenyum apabila berbicara seperti itu. Keinginannya untuk
menodai Farha buat kali seterusnya, tiba-tiba sahaja terlintas di
fikiran. Lantas, bahagian bawah dagu Farha dicuitnya perlahan.
Farha mengelak sambil menyapu kasar bawah dagunya
yang disentuh lelaki itu. Dia berasa jijik.
“Kalau Encik Wadi berani, cubalah buat lagi. Tentu
saja lepas ini saya akan buat aduan di balai polis!” Gertak Farha.
Kemudian, dia tersenyum sinis apabila melihat reaksi terkejut
yang terpamer pada seraut wajah Wadi Ridhuan.
“Kau nak takutkan aku?” Terbuntang luas sepasang
mata Wadi Ridhuan apabila dia digertak begitu.
“Adakah Encik Wadi berasa takut dengan ugutan
daripada seorang perempuan lemah seperti saya ni? Dah tentu
tidak. Encik Wadi orang berpengaruh. Tentu saja perasaan takut
tu langsung tak ada. Apakah Encik Wadi takut dengan hukuman
yang diciptakan manusia? Kalau macam tu, Encik Wadi perlu
lebih berasa takut untuk berhadapan dengan hukuman Allah
di akhirat nanti,” Farha menarik nafas. Sungguh dia tidak
menyangka, bicaranya seberani itu.
Wadi Ridhuan kehilangan kata-kata. Hidungnya
kembang kempis menahan nafas. Pegangan tangannya yang
kejap memegang tangan Farha, akhirnya longgar. Kemudian,
segera dia melepaskan tangan gadis itu dengan kasar.
Farha menggosok pergelangan tangannya yang terasa
sakit. Perasaan sebak hadir semula. Setitis air yang berada di
tubir mata, lekas-lekas disekanya dengan hujung jari. Dia tidak
mahu kelihatan lemah di hadapan Wadi Ridhuan. Kini, dia
sudah tahu di mana kelemahan lelaki itu.
Apabila dia menyebut sahaja tentang hukuman yang
dijanjikan Allah apabila seseorang berbuat kesalahan atas muka
bumi ini, terus sahaja Wadi Ridhuan diam tidak berkutik.
“Baiklah, aku tak akan ganggu kau lagi lepas ni!”
Balas Wadi Ridhuan dengan nada suara yang keras. Bingit pula
telinganya apabila Farha menyebut tentang hukum-hakam.
Sejurus kemudian, dia berdiri lalu merentap kemeja biru
kepunyaannya yang berada di sebelah Farha. Gadis itu hanya
menjeling tindakan Wadi Ridhuan dengan penuh kebencian.
Selesai membutangkan kemeja dan menyarungkan
seluarnya, Wadi Ridhuan kembali semula mendapatkan Farha
yang masih berselimut. Rambut Farha yang panjang melepasi
bahu itu, disentuhnya perlahan. Kemudian, didekatkannya pada
bibir. Diciumnya berulang-ulang kali. Walaupun Farha menepis
tangan Wadi Ridhuan, namun sedikit pun tidak diendahkan
lelaki itu.
“Saya rasa, lebih baik Encik Wadi keluar dari bilik saya
sekarang sebelum ibu dan ayah Encik Wadi tahu perkara ni,”
Farha menggertak lagi. Rambutnya yang menjadi santapan
ciuman Wadi Ridhuan, tiba-tiba sahaja dilepaskan. Dia menoleh
ke arah Wadi Ridhuan untuk seketika. Ternyata, reaksi wajah
lelaki itu begitu cemberut sekali apabila kata- kata ugutannya
bebas keluar daripada mulut tanpa ada sedikit pun perasaan
takut.
Tanpa bersoal-jawab panjang lebar, Wadi Ridhuan
segera bingkas dari katil. Sepasang kakinya diatur menuju
ke arah pintu bilik tanpa menghiraukan Farha yang masih
bersedih. Kemudian, perlahan-lahan tombol pintu bilik itu
dipulas. Apabila pintu bilik dikuaknya sedikit, Wadi Ridhuan
segera memboloskan diri dengan sepantas kilat supaya tidak
disedari oleh penghuni yang lain.
PADA pagi itu, Farha melakukan rutin hariannya seperti biasa.
Tugas sebagai tukang cuci pakaian dan mengemas keseluruhan
isi villa mewah itu sudah menjadi kebiasaan buatnya. Kalau
tugas-tugasnya itu sudah selesai, ringan sahaja tulangnya
membantu Mak Hendon di dapur.
“Eh, tak perlulah Farha susah-susah. Pergilah
kemaskan bilik Encik Wadi. Mak cik tahu, bilik Encik Wadi tu
masih belum dikemaskan lagi,” Mak Hendon menepis perlahan
tangan Farha apabila gadis itu mahu mencapai sudu untuk
membancuh minuman.
Apabila Mak Hendon menyebut sahaja nama Wadi
Ridhuan, lidah Farha terasa kelat. Dirinya pula terasa kotor
tiba-tiba apabila mengingati kejadian malam tadi. Peristiwa
hitam itu benar-benar membuatkan masa hadapannya menjadi
gelap. Manakan tidak, Wadi Ridhuan sudah menodainya.
Dalam keadaan terpaksa, dia menyerahkan kesuciannya untuk
melampiaskan nafsu lelaki keparat itu.
“Kenapa Farha sedih ni?” Tegur Mak Hendon apabila
menyedari wajah Farha tiba-tiba sahaja diselubungi awan
mendung.
“Tak ada apa-apa makcik,” Farha cuba menyembunyikan
perkara sebenar. Kalau diikutkan rasa hati, mahu sahaja dia
menghebahkan ke seluruh dunia mengenai perbuatan keji Wadi
Ridhuan kepada dirinya. Tetapi, entah kenapa pula mulutnya
bagaikan dirantai dengan besi.
Berat sekali rasa hatinya mahu menceritakan perkara
itu kepada Mak Hendon. Kalau dia mendedahkan perbuatan
terkutuk Wadi Ridhuan itu, apakah Mak Hendon akan percaya?
Tentu sekali tidak. Farha yakin benar akan perkara itu. Manakan
tidak, Mak Hendonlah yang mengasuh Wadi Ridhuan sebaik
sahaja lelaki itu dilahirkan ke dunia ini.
Segala kasih sayang yang diterima Wadi Ridhuan,
kebanyakannya diperolehi daripada Mak Hendon. Begitulah
cerita Mak Hendon kepada Farha sebaik sahaja Farha
menjejakkan kakinya ke villa mewah itu.
Pada pandangan mata Farha yang sudah bekerja di situ
selama dua tahun, Wadi Ridhuan sering bermanja dengan Mak
Hendon untuk meminta itu dan ini. Kemesraan yang terjalin
di antara Wadi Ridhuan dan Mak Hendon, langsung tidak dapat
digugat oleh ibu kandung Wadi Ridhuan sendiri iaitu Datin
Wasilah.
“Kalau Farha ada masalah, beritahu saja pada mak cik,”
Mak Hendon meletakkan tangan tuanya ke atas bahu Farha
tetapi gadis itu cepat-cepat menggeleng. Kemudian, Farha
meminta diri untuk berlalu naik ke tingkat atas. Tugasnya untuk
mengemaskan bilik Wadi Ridhuan serta mengutip pakaianpakaian
kotor lelaki itu untuk dicuci, masih menantinya di sana.
Apabila Farha tiba di hadapan pintu bilik Wadi Ridhuan,
berat sahaja tangannya mahu mengetuk pintu itu. Dia tahu,
pagi-pagi minggu seperti ini, tentu sahaja Wadi Ridhuan masih
enak dibuai mimpi.
Dia tidak mahu membuatkan lelaki itu bangkit
daripada tidurnya yang lena. Apatah lagi apabila dia mengingati
kejadian malam tadi, terus sahaja niatnya mati untuk mengetuk
pintu bilik itu. Adalah lebih baik kalau dia menceroboh masuk
sahaja supaya pandangan mata lelaki itu tidak tertangkap pada
kelibatnya.
Sekiranya Wadi Ridhuan sudah terjaga, tentu sahaja
Farha akan berasa malu apabila mengingati akan dirinya yang
sudah ditiduri lelaki itu. Farha tidak mahu itu yang berlaku.
Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu bertembung dengan Wadi
Ridhuan.
Dia betul-betul berasa malu. Tetapi, sampai bilakah
dia boleh mengelak untuk tidak bersua muka dengan lelaki
itu? Sedangkan, dia dan Wadi Ridhuan tinggal di bawah satu
bumbung. Akhirnya, dia melepaskan satu keluhan berat.
Tanpa berfikir apa-apa lagi, dia memulas tombol pintu
bilik itu. Sebaik sahaja kakinya melangkah masuk, mahu saja
dia hampir pengsan apabila Wadi Ridhuan sudah tercegat di
hadapan pintu sambil memegang sekuntum bunga plastik.
Lelaki itu tersenyum tetapi dia membalasnya dengan
seribu kerutan di dahi. Dia berasa pelik dengan kelakuan Wadi
Ridhuan pada pagi itu.
“Bolehkah Farha maafkan saya?” Wadi Ridhuan
tersenyum lagi. Namun, terpamer pula reaksi wajah orang
bersalah yang dipertontonkannya kepada Farha.
Tanpa mengendahkan perangai pelik Wadi Ridhuan,
dia segera melangkah ke bahagian katil untuk mengutip
pakaian-pakaian kotor. Tidak cukup dengan itu, dia mengutip
pula beberapa helai lagi pakaian kotor yang ada pada permukaan
lantai.
Dia tidak mahu berlama-lama dalam bilik Wadi
Ridhuan. Bimbang rasa hatinya kalau Wadi Ridhuan mahu
mengapa-apakannya lagi.
Selepas siap mengutip semua pakaian kotor kepunyaan
lelaki itu, dia segera melangkahkan kaki ke arah pintu untuk
beredar keluar. Akan tetapi, laluannya disekat pula oleh Wadi
Ridhuan yang masih mempamerkan reaksi wajah bersalah. Di
tangan lelaki itu pula masih terdapat sekuntum bunga plastik
untuk diberikan kepadanya.
“Tolonglah maafkan saya, ya. Saya janji, lain kali
saya tak akan buat lagi macam tu,” rayu Wadi Ridhuan sambil
menghulurkan bunga plastik itu kepada Farha.
“Kenapa? Encik Wadi takut kalau saya buat aduan
di balai polis? Macam tu ke?” Sindirnya lalu mencebik. Baru
sekarang dia menyedari, Wadi Ridhuan sudah tidak lagi
membahasakan dirinya dengan panggilan ‘aku’.
“Bukan macam tu. Kalau Farha nak buat aduan di balai
polis, pergilah. Saya sikit pun tak melarang. Tapi sebelum tu,
tolonglah maafkan saya. Malam tadi, saya mabuk. Saya kurang
sedar apa yang saya buat,” Wadi Ridhuan tunduk menyatakan
kekesalan dengan tindakannya yang sudah melampaui batas
kerana memperkosa gadis yang sedang berdiri di hadapannya
itu.
Farha berasa benci apabila mendengarkan perkara
itu. Sudahlah lelaki itu meneguk minuman keras, malah
diperkosanya pula dia. Kalaulah Mak Hendon tahu, tentu dia
berasa kecewa.
“Tak mudah untuk saya maafkan Encik Wadi. Sekarang,
masa depan saya betul-betul gelap dengan apa yang Encik
Wadi lakukan pada diri saya,” ujar Farha sambil menunduk.
Perasaan sebak tiba-tiba sahaja datang bermukim. Beberapa
saat kemudian, air matanya gugur. Dia menangis di hadapan
Wadi Ridhuan.
“Tolonglah jangan menangis depan saya. Farha
membuatkan saya betul-betul rasa bersalah. Saya tahu,
perbuatan itu dosanya sangat besar. Saya menyesal,” Wadi
Ridhuan mendekati Farha.
Bunga plastik yang dihulurkan kepada Farha sejak
dari tadi langsung tidak disambut oleh gadis itu. Lalu, dia
meletakkan bunga plastik itu di atas meja.
“Bertaubatlah. Minta keampunan kepada Allah,”
“Allah akan mengampunkan dosa saya sekiranya Farha
terlebih dulu maafkan saya. Tolonglah, saya merayu,” Wadi
Ridhuan duduk melutut di hadapan Farha. Gadis itu tergamam
lalu lekas-lekas mengundur beberapa tapak ke belakang.
“Encik Wadi, bangunlah. Bukankah tak elok kalau
Encik Wadi buat macam ni?” Dengan tidak semena-mena,
timbul pula perasaan simpatinya. Wadi Ridhuan yang sedang
melutut di hadapannya, diarahkannya supaya berdiri semula.
Kemudian, Wadi Ridhuan mendongak. Dua pasang
mata bertemu secara tiba-tiba. Sepasang mata polos yang
dimiliki Wadi Ridhuan, membuatkan dia berasa sesuatu.
Bukankah dia marah benar dengan lelaki itu? Sekarang,
perasaan marah itu tiba-tiba sahaja hilang. Dia semakin tidak
mengerti.
“Saya tak akan berdiri selagi Farha tak maafkan saya,”
Wadi Ridhuan menekankan suaranya sehingga membuatkan
Farha pula yang diselimuti dengan perasaan bersalah.
“Baiklah. Saya maafkan..,” ikhlaskah hatinya apabila
mengucapkan kata maaf itu? Redakah dia? Tiba-tiba sahaja
dia diganggu dengan pelbagai persoalan. Begitu mudah
dia memaafkan Wadi Ridhuan sedangkan lelaki itu sudah
melakukan kesalahan besar kepada dirinya.
“Terima kasih. Terima kasih kerana Farha sanggup
maafkan saya. Lepas ni, saya nak tebus kesalahan yang sudah
saya lakukan. Saya nak menikahi awak," Wadi Ridhuan berdiri
semula. Kata-kata yang lahir daripada hatinya itu begitu ikhlas
kedengaran di telinga Farha.
Gadis itu tergamam. Sungguh dia tidak sangka, Wadi
Ridhuan sanggup melamarnya. Gila! Tergamak pula dia mahu
menjadikan aku sebagai isteri? Aku ini sudahlah miskin, bekerja
pula sebagai orang gaji. Sedangkan dia adalah seorang anak
hartawan. Berdarah raja pula tu. Farha mula kebingungan.
Hatinya mula berteka-teki sendiri.
No comments:
Post a Comment