USAI menunaikan solat subuh, dia segera bergegas
menuju ke pintu bilik. Entah siapa pula yang mengetuk pintu
biliknya pada awal-awal pagi begini. Sebaik sahaja dia memulas
tombol pintu, terpampang wajah Wadi Ridhuan di hadapan
mata.
Dia terperanjat besar. Kehadiran Wadi Ridhuan
membuatkan dia berasa pelik. Entah apalah agaknya yang
dimahukan oleh Wadi Ridhuan sehingga membuatkan lelaki
itu tercegat di hadapan pintu biliknya pada awal pagi begitu.
“Encik Wadi nak apa?” Soalnya seperti takut-takut.
Sengaja dia mengecilkan diri di sebalik pintu yang terkuak
sedikit.
Wadi Ridhuan hanya tersenyum mesra apabila melihat
tingkah Farha yang seakan-akan takut kepadanya. “Farha jangan
takut. Saya bukan nak apa-apakan Farha. Saya nak Farha ikut
saya keluar bersiar-siar hari ni. Farha nak tak?”
Niatnya ikhlas mahu membawa Farha keluar bersiarsiar.
Sejak Farha mula bekerja, belum pernah sekalipun gadis
itu mengenali dunia luar. Hanya tahu memerapkan diri di
dalam bilik sahaja.
Paling jauh pun Farha pergi, hanya menemani Mak
Hendon keluar ke pasaraya. Itulah apa yang sering diperhatikan
sejak dua tahun Farha berkhidmat dengan keluarganya.
Farha tunduk menekur lantai. Tidak sanggup untuk
bertentang mata lebih lama dengan Wadi Ridhuan. Ternyata,
sepasang mata polos yang dimiliki jejaka itu, membuatkan
jantungnya berdetak lain macam sahaja. Dia berasa pelik
dengan perasaan yang dialaminya.
Dia sepatutnya membenci Wadi Ridhuan kerana sudah
merosakkan dirinya. Tetapi sebaliknya pula yang berlaku.
Perasaan benci dan marahkan lelaki itu, lenyap begitu sahaja.
Namun, dia tidak mungkin lupa apa yang sudah Wadi Ridhuan
lakukan kepadanya.
Sementara menantikan jawapan daripada Farha,
sepasang mata nakal Wadi Ridhuan mula meneliti pada setiap
inci wajah gadis itu. Kenapa baru sekarang dia menyedari akan
kecantikan semulajadi yang dimiliki Farha? Sudah dua tahun
Farha tinggal di bawah bumbung yang sama dengannya, tetapi
kenapa baru hari ini dia menyedari akan keindahan wajah yang
dimiliki Farha?
Dan, perkara yang paling membuatkan dia berasa
kesal sekarang ini adalah malam kejadian dia memperkosa
gadis itu. Ya Allah, kenapa aku tergamak benar? Wadi Ridhuan
mula meraup wajahnya berkali-kali. Dia mengutuk dirinya
sendiri. Untuk menebus kembali kesalahan, semalam dia sudah
melamar Farha dengan seikhlas hati.
Dia percaya, sejak pada malam dia melakukan perkara
terkutuk itu, tiba-tiba sahaja hatinya sudah terpaut benar
dengan Farha. Secara jujur dia mengaku, itulah satu-satunya
gadis yang pernah ditidurinya. Tidak ada gadis lain yang pernah
disentuhnya melainkan Farha seorang sahaja.
“Maaf, saya tak boleh keluar. Jam 8 nanti, saya mesti
kemaskan rumah, cuci pakaian dan tengahari pula saya nak
tolong Mak Cik Hendon menyediakan makan tengahari,” Farha
menolak ajakan itu dengan penuh berhemah. Tutur katanya
kedengaran lembut sahaja pada pendengaran Wadi Ridhuan.
“Apa kata kalau hari ni saya bagi cuti untuk Farha.
Bolehlah saya bawa Farha keluar bersiar-siar,” giatnya lagi
supaya ajakannya itu dipersetujui oleh Farha.
“Saya tak mahu ambil cuti pada hari yang sepatutnya
saya bekerja. Nanti Dato’ potong gaji saya pula,” Farha masih
lagi menolak ajakan itu. Dia sebenarnya berasa takut untuk
keluar berdua-duaan dengan Wadi Ridhuan. Lagipun, untuk
apa dia menerima ajakan itu?
Dia bukannya ada apa-apa ikatan dengan Wadi
Ridhuan. Kekasih bukan, tunang pun bukan. Memang benar,
semalam jejaka itu sudah melamarnya tetapi sehingga ke hari
ini, dia masih belum memberi kata putus.
“Kalau ayah saya potong gaji Farha, nanti saya akan
gantikan, ya?” Wadi Ridhuan memberi cadangan. Sepasang
matanya masih tidak lepas memandang pada seraut wajah
comel yang dimiliki Farha. Dalam keadaan Farha yang masih
lengkap memakai telekung, makin bertambah seri pada air
wajah gadis itu.
“Saya tak mahu,” putus Farha sambil tangannya lekaslekas
menutup pintu. Entah kenapa pula dia bertindak begitu
sedangkan Wadi Ridhuan belum selesai bercakap dengannya.
Sungguh tidak sopan apabila dia menutup pintu ketika Wadi
Ridhuan masih tercegat di luar.
“Saya tahu Farha masih marahkan saya. Tapi, bukankah
semalam saya dah minta maaf? Farha pun dah maafkan saya.
Kenapa pulak Farha tutup pintu ni? Saya belum habis lagi
bercakap.”
Ketukan pintu dari luar membuatkan Farha berasa
bersalah. Kemudian, dia memulas semula tombol pintu itu
lalu membukanya dengan lebih luas. Wadi Ridhuan masih
setia berdiri di situ dengan sebelah tangannya digagahkan pada
dinding.
Farha berasa sedikit geram. Sudah dia katakan tadi, dia
tidak mahu keluar. Tetapi, kenapa pula Wadi Ridhuan seperti
tidak mahu faham sahaja? Farha ketap bibir.
“Ya, saya dah maafkan Encik Wadi dengan rela hati.
Tapi itu tak bermaksud yang Encik Wadi boleh mengarah saya
itu dan ini. Encik Wadi ajak saya keluar, saya tak nak. Jadi,
tolong faham,” tegas Farha dengan intonasi suaranya yang
menekan.
“Farha tak bosan ke asyik terperap saja dalam bilik
tu tanpa berbuat apa-apa? Marilah kita keluar. Sekurangkurangnya,
Farha dapat hirup udara segar di luar sana tu,”
nampaknya Wadi Ridhuan masih tidak mahu berputus asa.
Sudah terang lagi bersuluh yang Farha tidak mahu keluar
bersamanya, namun dipaksanya juga.
“Saya kata saya tak mahu keluar. Encik Wadi tak faham
ke saya cakap dalam Bahasa Melayu macam ni? Apa bahasa lagi
yang Encik Wadi boleh faham?”
“Bahasa kantonis pun boleh..,” seloroh Wadi Ridhuan.
Dia tergelak kecil sambil menutup mulutnya dengan tangan.
Semakin geram pula Farha dibuatnya dengan sikap
acuh tidak acuh Wadi Ridhuan. Boleh pula lelaki itu berseloroh
dengannya selepas apa yang sudah berlaku.
Apabila melihat wajah cemberut Farha, Wadi Ridhuan
segera mematikan gelak kecilnya sebentar tadi. Kemudian, dia
beriak serius pula.
“Okeylah. Saya tak nak paksa. Mungkin lain kali saja,
ya?” Wadi Ridhuan akhirnya mengalah. Kalau masih dipaksa,
risau pula gadis itu akan menjauhkan diri nanti.
“Ya, lain kali saja,” balas Farha perlahan. Sebolehbolehnya,
dia tidak mahu membuatkan Wadi Ridhuan berkecil
hati kerana pelawaan lelaki itu untuk mengajaknya keluar
bersiar-siar, ditolaknya mentah-mentah.
“Sarapan nanti, boleh tak Farha buatkan nasi goreng
untuk saya?” Pintanya dengan bersungguh-sungguh. Sepasang
mata polosnya juga bercahaya apabila membuat permintaan itu.
“Maaf, Encik Wadi. Tugas saya hanya sebagai tukang
cuci pakaian dan berkemas. Masak-memasak adalah tugas
Mak Cik Hendon. Hanya sekali-sekala saja dia minta bantuan
daripada saya,” jawab Farha sambil membuang pandang ke
sebelah sisi. Entah kenapa, apabila Wadi Ridhuan merenungnya
dengan sepasang mata bercahaya begitu, dadanya berkocak
hebat.
“Apalah malang nasib saya hari ni. Kedua-dua
permintaan saya, tak tertunai,” Wadi Ridhuan sengaja berdialog
meminta simpati. Dia menunduk sambil menggelengkan
kepalanya beberapa kali.
Kemudian, dia meminta diri untuk berlalu. Tetapi,
langkahnya mati sebaik sahaja Farha menyeru namanya. Dia
kemudiannya berpaling sambil menunggu apakah bicara
seterusnya yang akan keluar daripada mulut gadis itu.
“Sekejap lagi saya akan buatkan nasi goreng untuk
Encik Wadi,” Farha menyatakan persetujuan untuk menunaikan
permintaan Wadi Ridhuan yang satu itu.
Sudahlah tadi dia menolak ajakan Wadi Ridhuan untuk
membawanya keluar bersiar-siar, tidak mungkinlah dia akan
mengecewakan lelaki itu dengan tidak menunaikan permintaan
yang kedua itu pula. Sekeras-keras hati Farha untuk melayan
karenah Wadi Ridhuan, ada juga kelembutannya di situ.
Sebaik sahaja telinganya menangkap persetujuan
daripada Farha, bibirnya tersenyum lebar. Selepas mengucapkan
terima kasih, dia terus berlalu pergi dan meninggalkan Farha
yang masih lagi tercegat memerhatikan setiap langkahnya di
sebalik pintu bilik itu.
“WADI, kamu tak keluar ke hari ni?” Soal Dato’ Wan Chik
kepada anak bujangnya yang sedang menikmati kelazatan nasi
goreng hasil buatan tangan Farha.
“Tak, ayah,” jawabnya ringkas tanpa mengangkat
muka. Datin Wasilah yang duduk di sebelah Wadi Ridhuan,
mula memandang pelik ke arah anak lelaki tunggalnya itu.
“Wadi ni tak sihat ke?” Dia pula menyoal. Tangannya
yang sedang memegang sekeping roti bakar, mula diletakkannya
kembali ke atas pinggan.
“Saya sihat aje. Ibu tak perlu risau,” jawab Wadi
Ridhuan selepas menelan suapan nasi goreng ke dalam mulut.
“Kalau macam tu, kenapa Wadi tak keluar? Bukan ke
selalunya Wadi tak melekat di rumah bila tiba hari minggu
macam ni?” Soal Datin Wasilah lagi seperti tidak berpuas hati
dengan jawapan ringkas yang diberikan kepadanya.
“Saya nak berehat hari ni,” ringkas lagi Wadi Ridhuan
memberikan jawapan sehingga membuatkan Datin Wasilah
sudah jemu mahu menyoal.
Kemudian, dia kembali memberikan tumpuan pada
sarapan yang terhidang di hadapan mata.
Sedang tiga sekeluarga itu menikmati sarapan pagi,
Farha muncul dengan membawa air minuman. Wadi Ridhuan
segera mengangkat muka selepas menghabiskan nasi goreng
yang menjadi sarapannya untuk hari itu.
Apabila tiba giliran cawannya dituangkan minuman,
sengaja dia melirikkan matanya ke arah Farha. Kemudian, dia
melemparkan senyuman. Farha menyedarinya tetapi tidak pula
dia membalas kembali senyuman itu.
“Nanti kutip semua pakaian kotor dalam bilik saya,”
arah Wadi Ridhuan kepada Farha sebaik sahaja gadis itu selesai
menuangkan minuman untuknya. Tidak ada angin, tidak
ada ribut. Tiba-tiba sahaja dia mengeluarkan arahan begitu
sedangkan selama dua tahun Farha bekerja di situ, tidak pula
dia pernah mengarahkan itu dan ini.
“Bukan ke tadi saya dah buat semuanya? Saya dah
kutip, cuci dan jemurnya sekali,” balas Farha dengan wajahnya
yang berkerut.
“Masih ada lagi yang tertinggal. Nanti awak pergi
ambil, ya. Ini satu arahan. Jangan nak membantah,” Wadi
Ridhuan sengaja bersuara keras. Dia sebenarnya sekadar mahu
mengusik dan bukannya betul-betul dia bermaksud begitu.
Farha ketap bibir. Dia tidak faham dengan sikap yang
ditunjukkan Wadi Ridhuan sekarang ini. Dalam sekelip mata
sahaja Wadi Ridhuan boleh berubah kelakuan. Kalau pada awal
pagi tadi, bukan main lembut sekali bicara lelaki itu. Tetapi
sekarang? Farha mula bingung.
“Apa salahnya kalau Wadi pergi ambil sendiri pakaian
kotor yang tertinggal tu? Masukkan saja ke dalam mesin basuh.
Nanti dia cucikanlah,” Datin Wasilah tiba-tiba mencelah.
“Kamu dah 28 tahun. Dah terlalu dewasa. Cubalah
berdikari sikit. Tak salah kalau kamu cuci pakaian sendiri.
Janganlah nak harapkan orang gaji aje,” kini, giliran Dato’ Wan
Chik pula yang menyampuk. Kepalanya digelengkan sedikit.
“Apa gunanya ada orang gaji kalau kita pula yang
mesti buat kerja? Bukan ke ayah dan ibu bayar gajinya untuk
dia berkhidmat dalam rumah kita ni?” Balas Wadi Ridhuan pula
sambil menyembunyikan senyumannya.
Geli hatinya apabila dia sendiri yang berbicara seperti
itu sedangkan selama ini, mana pernah dia ambil peduli soal
tugas orang gaji segala. Entah kenapa, sejak sehari dua ini, giat
pula dia mahu mengusik Farha.
“Farha, nanti masuk semula ke bilik Wadi. Cuba
perhatikan kalau betul ada pakaian kotornya yang masih
tertinggal,” arah Datin Wasilah dengan bicara lembut.
“Baik, Datin..,” Farha memberikan persetujuan dan
tidak membantah. Namun, jauh di sudut hatinya dia berasa
geram dengan kelakuan Wadi Ridhuan. Seperti sengaja pula
lelaki itu mahu mengenakannya.
Tanpa berlengah, Farha terus meminta diri untuk
berlalu ke tingkat atas. Sekali lagi dia terpaksa memanjat tangga
yang banyak itu untuk masuk semula ke bilik Wadi Ridhuan.
Nampaknya, tenaga yang digunakannya sedikit
bertambah pada hari ini. Di dalam hati, dia mengutuk keras
lelaki itu. Selepas ini, kalau lelaki itu meminta dia membuatkan
nasi goreng lagi, akan digantikannya pula dengan nasi goreng
pedas berapi. Engkau tunggu sahajalah! Bentak Farha sendirian.
No comments:
Post a Comment