Sunday, 26 June 2016

Hanya Milikmu - Bab 4

“KAU ni kan, Qis. Aku pun dah tak tahu
macam mana lagi nak nasihatkan kau. Takkanlah kau
selamanya nak biarkan Pak Samad tu tindas kau dengan mak
kau? Kau tak kesiankan mak kau, ke?” Dayana merengus
kecil melihat wajah tenang gadis yang bernama Nur Balqis
Maisara binti Abdul Hamid itu.
Wajah itu sentiasa tenang walaupun beribu dugaan
datang menimpa gadis itu. Sememangnya Balqis seorang
gadis yang penyabar dan tabah menghadapi cabaran hidup.
Kesempitan hidupnya yang mempunyai seorang ayah tiri
kaki judi dan seorang ibu berpenyakit kronik serta masalah
kewangan keluarganya menjadikan Balqis terus tabah dalam
menghadapi kehidupan sehariannya.
“Yana, aku tak kisahlah. Pak Cik Samad tu dah
macam ayah aku sendiri. Dulu, dia yang tolong mak aku
masa mak aku dalam kesusahan. Tak apalah, Yana. Aku
percaya suatu hari nanti Pak Cik Samad akan berubah juga...
Allah itu Maha Adil, Yana...” balas Balqis kepada sahabat baik
yang sebaya dengannya itu. Dia sempat mengukir senyuman
pahit. Ya, memang segala-galanya begitu pahit untuk dia
telan.
Tetapi kerana kasihkan ibunya, dia meneruskan
juga dengan bersabar. Seperti nasihat dan kata-kata ibunya,
kebahagiaan itu pasti akan digapainya juga suatu hari nanti.
Lagi pula, sekarang inilah masa-masa yang paling genting
dalam hidupnya kerana tidak lama lagi ibunya bakal dijemput
oleh Allah SWT. Hatinya perlu kuat dan reda dengan
ketentuan Allah ini sehinggalah hari tersebut tiba. Hari di
mana ibunya pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.
Dia perlu benar-benar bersedia untuk menghadapi hari
tersebut. Balqis mengelap air mata yang mulai bergenang di
pelupuk matanya.
“Aku faham, Qis. Tapi kau perlu juga pertahankan
hak kau dengan mak kau. Jangan terus biarkan Pak Samad tu
tindas kau orang. Aku yang tengok ni, sakit hati tau? Mata
aku lagilah sakit bila tengok dia tu asyik tahu berjudi aje...
Tanggungjawab cari nafkah semua dia letak atas bahu mak
kau. Sekarang bila mak kau sakit, kau pula yang nak kena
sara dia sampaikan tak boleh nak sambung belajar ke
universiti lagi. Lelaki jenis apa macam tu, Qis? Kau kena
lawan!” protes Dayana keras.
Dia geram apabila terbayangkan semula perangai
Pak Samad. Melampau sungguh orang tua tak sedar diri itu!
Darah Dayana menyirap tatkala membayangkan kembali
bagaimana terseksanya hidup Balqis dan Mak Som atau
Kalsom, ibu kepada Balqis.
“Yana, sudah-sudahlah tu. Aku tak nak kau buat
dosa dengan mengata orang macam sekarang ni. Tak apalah,
Yana. Allah kan ada... Aku tahu, Allah SWT takkan sekali-kali
tinggalkan aku bersendirian dalam hidup aku ni... InsyaSiti
Allah aku tentu akan berjaya juga hadapi kesusahan hidup ni,
Yana...” Senyum Balqis kelat ketika ini.
Dayana hanya mampu menggeleng-geleng lemah.
Tabahnya hati Balqis. Kalaulah dia menjadi Balqis, dah tentu
Pak Samad langsung tak berpeluang untuk menindasnya.
“Assalamualaikum...” tegur seseorang secara tibatiba
dengan memberi salam. Dayana dan Balqis segera
menoleh setelah sama-sama menjawab salam tersebut.
“Eh, Ustaz Amirul?” Dayana mula menyiku Balqis
sambil matanya tidak lepas memandang ke arah ustaz muda
tersebut.
Dayana sudah maklum, Ustaz Amirul adalah sepupu
jauh Balqis. Beza umur mereka lima tahun, menjadikan
umur Ustaz Amirul sekarang ini berumur 25 tahun. Lagi
pula, Ustaz Amirul itu tampan orangnya. Tergoda juga
Dayana melihat wajah putih bersih lelaki itu, namun dia tahu
bahawa Ustaz Amirul tak mungkin menyukai dirinya. Dayana
sudah tersengih-sengih apabila Ustaz Amirul tersenyum.
“Berborak apa tadi? Macam seronok aje abang
tengok?” Ustaz Amirul bertanya lembut. Matanya melirik ke
halaman wajah bujur sirih yang dimiliki Balqis. Sungguh
menawan kalbu. Keperibadian dan penampilan Balqis juga
amat menambat hati lelakinya. Sudah lama juga dia menaruh
perasaan kepada gadis itu secara senyap-senyap. Balqis akan
dijadikan isterinya juga nanti dan dia sudahpun bersedia
untuk menghantar rombongan meminang Balqis sekiranya
gadis itu bersetuju ingin berkahwin dengannya.
“Tak ada borak apa-apapun, Abang Mirul. Ni, si
Yana ni bercerita pasal kisah dia kat kolej... lucu...” dalih
Balqis. Dia tidak mahu Ustaz Amirul tahu tentang apa jua
yang dia bicarakan dengan Dayana tadi. Dayana sudah
memandang geram ke arah Balqis. Dia tidak berpuas hati.
“Betul, Yana?” soal Ustaz Amirul pendek. Dia juga
curiga sebenarnya. Balqis bukanlah seorang yang pandai
berselindung dengan kata-kata dan gadis itu bukanlah
seorang yang pandai berbohong.
“Entahlah, ustaz. Saya dah tak tahu apa nak cakap!”
keluh Dayana sambil menjeling Balqis di sebelahnya yang
sudah berkerut dahi.
“Abang tahu, ni mesti kes pasal Pak Cik Samad lagi,
kan?” Ustaz Amirul bijak meneka. Bukannya dia tidak tahu
punca kesedihan Balqis selama ini. Balqis terkelu apabila
tekaan Ustaz Amirul tadi mengena.
“Okeylah, Qis... Aku nak masuk dalam kejap,
buatkan air untuk kau dengan Ustaz Amirul. Kau orang
berboraklah, ya?” Dayana meminta diri untuk memasuki
rumahnya.
Sudah lama juga dia dan Balqis melepak di pangkin
bawah pohon merimbun di depan rumahnya itu, terlupa dia
mahu membuatkan air untuk Balqis. Langkah Dayana laju
ingin memasuki perut rumah. Namun sempat dia berpaling
merenung ke segenap wajah muram Balqis sebelum
menghilang ke dalam rumah. Tentu gadis itu sedang bersedia
untuk menjawab soalan bertalu-talu daripada Ustaz Amirul
yang merangkap sepupu Balqis juga.
“Kenapa, Qis? Pak Cik Samad ada dera Qis lagi, ke?”
soal Ustaz Amirul dengan wajah prihatin. Balqis diam,
membungkam seribu bahasa.
“Jawablah, Qis. Pak Cik Samad ada buat apa pula
kali ni?” desak Ustaz Amirul lagi. Balqis menarik nafas
panjang lalu dilepaskan perlahan-lahan. Dia kemudiannya
mengukir senyum kelat.
“Tak ada apa-apa pun, Abang Mirul. Dia tak ada
buat apa-apa pun. Lagipun, Qis dah biasalah dengan perangai
dia. Qis tak kisah...” balas Balqis dengan tenang. Dia sempat
mengerling sekumpulan kerengga yang berkerumun di atas
tanah berhampiran pangkin yang didudukinya. Mungkin
kerengga-kerengga tersebut sedang menghurung sesuatu.
“Qis... Sampai bila lagi Qis nak biarkan Pak Cik
Samad buat sesuka hatinya?” Soalan Ustaz Amirul sama
sahaja seperti soalan yang Dayana ajukan kepadanya seketika
tadi. Cuma struktur ayatnya sahaja sedikit berlainan, tetapi
membawa maksud yang serupa.
“Qis malas nak ambil pusing. Biarlah, Abang Mirul.
Qis betul-betul malas nak fikir. Lagipun, Qis percaya dengan
Allah. Dia takkan biarkan Qis seorang diri kalau Qis tabah
hadapi dugaan yang Dia berikan, kan?” Balqis mula
menguntumkan senyum manis.
Dada Ustaz Amirul berdebar hebat tatkala
menyaksikan keindahan wajah gadis bernama Nur Balqis
Maisara itu. Gadis inilah salah satunya ciptaan Allah SWT
yang sungguh indah yang kini terpampang di ruangan
matanya. Masya-Allah! Sempat Ustaz Amirul memuji-muji
Allah SWT dalam hatinya.
“Qis, abang nak cakap sesuatu kepada Qis ni...
Harap Qis boleh dengar dengan baik. Lepas tu, Qis fikirlah...
Abang takkan paksa Qis, ya?” Ustaz Amirul memulakan kata.
Dia nekad ingin melamar gadis itu lalu menyunting
Balqis menjadi permaisuri hatinya. Dia ingin menyelamatkan
Balqis daripada segala seksaan. Ustaz Amirul berjanji, dia
akan menjaga Balqis sebaik mungkin jika ditakdirkan Balqis
sah menjadi isterinya kelak. Emak Balqis juga akan dijaganya
selepas ini. Dia tidak akan benarkan lagi Pak Samad
menyentuh mereka anak-beranak. Sekurang-kurangnya
nasib Balqis dan Mak Som akan terbela!
“Apa dia, bang?” tanya Balqis lembut. Dia
tersenyum kecil melihat Ustaz Amirul yang tiba-tiba sahaja
kelihatan seperti sudah kehilangan kata. Kenapa agaknya?
“Errr... qis...”
“Ya, ada apa ni Abang Mirul?” soal Balqis lagi,
membuatkan Ustaz Amirul kian resah. Bagaimana untuknya
memulakan kata? Kata-kata yang sesuai, sekaligus membawa
kepada penerimaan Balqis.
“Qis... abang...”
“Ya?”
“Qis, macam ni. Abang… Dah lama simpan niat ni.
Abang nak lamar Qis jadi isteri abang yang sah... Abang dah
lama sayangkan Qis sebenarnya...” akui Ustaz Amirul
akhirnya. Balqis terkedu tanpa sebarang kata. Dia benarbenar
terkejut mendengar bait perkataan yang baru sahaja
Ustaz Amirul tuturkan kepadanya. Abang Mirul sukakan aku?
Balqis berkata-kata dalam hatinya. Perasaannya berkecamuk.
Serba salah kini dirasakannya.
“Qis… Dengar tak?” kata Ustaz Amirul,
memecahkan lamunan Balqis. Gadis itu tertunduk
memandang kaki. Sungguh, Balqis buntu. Patutkah dia
terima lamaran itu?
“Qis... Tak apalah kalau Qis tak sudi... Abang takkan
paksa Qis...” Nada suara Ustaz Amirul kedengaran kecewa.
Sama seperti Balqis tadi, dia juga tertunduk memandang kaki
ketika ini. Balqis terus mendongak lalu membuang pandang
ke arah Ustaz Amirul. Rasa bersalahnya begitu menebal.
Takkanlah dia kena terima bulat-bulat lamaran lelaki itu?
Balqis menelan liur, dia masih serba salah.
“Bukan, bukan!” Balqis mulai bersuara. “Errr...
Maksud Qis, kalaulah kita kahwin nanti, macam mana
dengan mak? Qis tak mahu tinggalkan mak kat rumah tu
dengan Pak Cik Samad...” terang Balqis jujur.
“Qis jangan risau... Abang akan uruskan soal mak
Qis. Kalau Qis setuju kahwin dengan abang, abang janji
abang akan jaga Qis elok-elok. Abang takkan biarkan Qis dan
mak Qis terseksa lagi...” jawab Ustaz Amirul, juga jujur.
Senyuman penuh keikhlasan diukir buat gadis pujaannya itu.
Balqis masih terdiam tanpa kata.
“Abang Mirul… Biar Qis fikir dulu, ya? Qis masih
kena tanya kepada mak dan Pak Cik Samad...” getus Balqis
lemah. Wajah Ustaz Amirul kini berubah berseri-seri. Dia
mengangguk-angguk. Sekurang-kurangnya dia masih
mempunyai peluang bila Balqis cakap mahu berfikir dulu.

No comments:

Post a Comment