Sunday 26 June 2016

Hanya Milikmu - Bab 9

“HOI! Buka pintu ni!” Kedengaran suara
orang yang terjerit-jerit di luar bersama ketukan yang
bertalu-talu di pintu rumahnya. Balqis membuka matanya
perlahan. Jam di dinding dilirik dengan perasaan masih
mengantuk. Pukul 4 pagi? Siapa yang datang tengah-tengah
malam buta macam ni agaknya? Balqis terus bingkas ke
muka pintu selepas memastikan ibunya tidak terganggu
dengan bunyi bising ketukan itu. Lena benar ibunya tidur.
Balqis hanya tersenyum kecil memandang wajah ibu
tersayang yang tidur di sebelahnya. Nasiblah Pak Samad tiada
di rumah ketika ini, kalau tidak habislah orang itu dikerjakan
oleh bapa tirinya. Yalah, tengah-tengah pagi buta macam ni
sudah membuat bising.
“Siapa?” soal Balqis sebelum membukakan pintu.
Dia ingin berjaga-jaga. Manalah tahu, orang jahat ke? Balqis
menunggu jawapan daripada orang yang masih berada di luar
rumahnya.
“Hoi perempuan! Kau keluar sekarang ni juga! Aku
nak bercakap sikit dengan kauuu!” teriak Tengku Harith
dalam keadaan masih mabuk. Ternyata kesan arak tadi sudah
begitu menggila.
“Siapa tu?” soal Baqis lagi apabila soalannya tadi
tidak berjawab.
“Kau masih tak kenal dengan bakal suami kau yang
kaya-raya ni?!” tempelak Tengku Harith keras. Sakit betul
hatinya apabila Balqis berdolak-dalik dengannya begitu.
“Ermm.. Apa yang awak nak? Sampai datang waktuwaktu
macam ni? Lagipun tak manis dipandang orang kalau
ternampak kita berdua-duaan nanti...” Balqis sudah pelik.
Kenapa agaknya Tengku Harith datang malam-malam buta
macam ni?
“Bukalah pintu ni, perempuan bodoh! Aku
bukannya nak cakap lama pun.. Cepatlah keluar!” Tengku
Harith mendesak.
Dia sebenarnya ingin Balqis melihat siapa dirinya
yang sebenar supaya gadis itu membatalkan niat berkahwin
dengannya. Tentu Balqis yang kononnya baik itu, takkan
sanggup bersuamikan lelaki seperti aku ni! Biasalah
perempuan kolot! Dan jika benarlah Balqis itu gadis baikbaik,
dia takkan sesekali dapat menerima perangai aku ni!
Kalau dia masih nak terima aku lepas dah nampak perangai
aku ni, maknanya dia bukanlah benar-benar gadis baik
seperti yang papa katakan. Hanya berlakon baik aje!
“Sekejap, ya? Tapi saya takkan keluar... Saya buka
tingkap aje... Awak cakaplah...” balas Balqis. Dia masih tidak
mahu berduaan dengan Tengku Harith di luar sana. Tingkap
rumah dibuka perlahan-lahan selepas dia lengkap memakai
tudung serta pakaian yang menutup aurat. Kelibat seorang
lelaki yang didampingi dua orang perempuan seksi menyapa
pandangan Balqis. Alangkah terkejutnya Balqis ketika itu.
“Kau dah nampak? Aku sekarang ni tengah on the
way nak bawa dia orang ni pergi hotel. Lagipun aku dah tak
tahan sangat tengok paha putih gebu dia orang ni... Kejap
lagi, aku dapatlah merasa ni...” getus Tengku Harith bersama
ledakan tawa sinisnya. Dia kini sudah menghampiri Balqis di
tingkap rumah gadis itu. Balqis memicit hidungnya apabila
bau arak yang kuat, menyerbu ke lubang hidungnya. Bau apa
ni? Busuknya.. Balqis tertanya-tanya.
“Kau dah dapat bau, kan? Itulah bau arak kalau kau
nak tau!” lampias Tengku Harith sambil tertawa kuat.
Badannya terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan. Balqis
terkejut besar ketika itu. Matanya sudah terbuka luas. Arak?
Masya-Allah. Nauzubillah..
“Apa tujuan awak bagi tau saya? Apa tujuan awak
datang sini sebenarnya?” Balqis berkerut dahi sambil terus
memicit hidungnya. Bau arak tersebut begitu kuat sekali
sehinggakan Balqis tidak dapat menahan bau tersebut.
“Kau nak ke bersuamikan lelaki macam aku ni?
Baik kau tarik balik kata-kata kau yang bersetuju untuk
kahwin dengan aku hari tu! Sebelum papa aku beritahu
semua orang pasal hal perkahwinan kita!” kata Tengku
Harith keras sambil matanya mencerlung ke muka Balqis
yang kini berubah tenang semula. Gadis itu kelihatan
memejamkan matanya perlahan-lahan.
Ya Allah, dugaan apakah ini? Adakah benar lelaki
seperti ini yang Engkau takdirkan terbaik buatku? Ya Allah,
aku yakin dengan pilihan-Mu. Jika benarlah, aku sanggup
menghadapi apa jua dugaan selepas ini. Hanya kepada-Mu
aku berserah dan berdoa. Engkau lembutkanlah hati lelaki
ini untuk kembali ke pangkal jalan suatu hari nanti... Aku
akan mencuba untuk merubahnya nanti. Berikanlah aku
kekuatan, Ya Allah. Kerana janji ibuku kepada Tengku Ismail
dan juga kerana aku percayakan ketentuan-Mu, aku takkan
sekali-kali berputus asa untuk membuatkan bakal suamiku
ini kembali ke pangkal jalan. Ke jalan yang diredai oleh-Mu...
Aminn..
Sempat Balqis berdoa dalam hati lalu membuka
kembali matanya. Dia sempat mengukir senyum kepada
Tengku Harith, senyuman yang memekar. Riak wajahnya
tenang menghadapi bakal suaminya itu. Tengku Harith
hairan melihat reaksi Balqis yang tidak dia jangkakan
langsung itu. Sangkanya, Balqis akan terus membatalkan
niat untuk berkahwin dengannya selepas menyaksikan
perangai buruknya ini.
Tetapi sangkaannya ternyata meleset sama sekali!
Gadis ini tenang sahaja, membuatkan jiwa Tengku Harith
pula yang dilanda resah. Siapakah gadis ini? Hebat benar dia
sampaikan tak mahu mengalah? Terdesak sangatkah dia
untuk menjadi cepat kaya?! Nampaknya memang benarlah
Balqis bukan gadis baik-baik seperti kata papanya. Mata
Tengku Harith kini merenung tajam Balqis dengan wajah
yang berang.
“Awak.. Mak saya dah berjanji dengan ayah awak.
Jadinya, saya tak mahu janji mak saya tu jadi janji kosong
sahaja. Saya tak mahu jadi munafik. Saya sanggup terima
baik buruk awak sebagai suami saya nanti.. Kalau dah
memang awak adalah jodoh saya...” balas Balqis tenang,
membuatkan pandangan Tengku Harith kini mencerlung
memandang seraut wajah bujur sirih di sebalik tingkap itu.
Matanya sudah membesar, mulutnya berkumat-kamit kerana
begitu sakit hati. Ahh!! Kau akan menyesal, betina kampung!
Aku akan jalankan rancangan aku! Aku akan pastikan yang
kau dapat malu seumur hidup kau sampaikan kau dah tak
mahu lagi hidup kat dunia ni!
“Kau tunggulah, betina! Kau jangan ingat, kau dah
menang! Aku takkan biarkan kau menang dalam hal ni!”
bidas Tengku Harith dengan wajah menyinga sambil
memasuki kereta mewahnya semula, diikuti gadis-gadis seksi
tadi yang turut membuntutinya. Mereka sempat menjeling
kepada Balqis, cemburu agaknya apabila menyaksikan
kecantikan asli gadis bertudung itu.
Balqis menarik nafas panjang lalu dilepaskan. Aku
yakin dengan-Mu, Ya Allah. Tabahkanlah hatiku menempuhi
segala dugaan... Akhirnya Balqis berlalu ke bilik air untuk
berwuduk. Dia ingin menunaikan solat sunat tahajud, alangalang
dia sudah terjaga di tengah malam ini. Dan selebihnya,
dia ingin memohon kekuatan daripada Allah SWT supaya
sentiasa memberikannya hati yang bersabar.
“PAK CIK!! Kenapa dengan pak cik ni? Pak cik jangan buat
saya macam ni! Pak cik!!” tangis Balqis apabila tangan Pak
Samad mulai merayap ke bahunya. Dia ketakutan ketika
itu melihatkan kelakuan pelik Pak Samad. Bapa tirinya itu
tiba-tiba sahaja memasuki biliknya tadi selepas dia selesai
menunaikan solat sunat tahajud lalu lelaki tua itu mengunci
rapat pintu bilik, membuatkan Balqis terasa seram sejuk
sendirian melihatkan wajah ghairah orang tua itu.
Pak Samad telah mendapat upah daripada seorang
lelaki yang menyuruhnya supaya merosakkan Balqis. Pak
Samad tidak kenal lelaki itu. Ah, peduli apa? Janji duit yang
diberikan memang cukup lumayan! Siapa yang tidak mahu
duit sebanyak 50 ribu? Ini sudah ibarat durian runtuh bagi
Pak Samad. Tak perlu lagi untuk dia berfikir soal kerja.
Dapatlah dia menghalau Balqis dan Kalsom selepas ini!
“Kau diamlah! Kau jangan nak melawan!” tempik
Pak Samad namun tidaklah sekuat mana kerana dia bimbang
Kalsom terdengar pekikannya itu. Balqis sudah ketakutan
apabila lelaki tua itu menarik tubuhnya merapati tubuh
orang tua itu. Habis menggeletar tubuhnya ketika ini.
Terketar-ketar mulut Balqis mendengar desah nafas Pak
Samad yang penuh ghairah itu. Pak Samad merentap
telekung yang masih tersarung di tubuh Balqis. Habis koyak
rabak telekung itu kini.
“Pak cik!! Tolonglah jangan buat saya macam ni!
Saya merayu kepada pak cik!!” rayu Balqis sambil cuba
menolak badan Pak Samad yang kini sudah rapat ke
tubuhnya. Bapa tirinya itu memeluk Balqis kuat-kuat.
“Aku cakap, kau diammm!!” jerkah Pak Samad
bersama sebuah tamparan kuat ke pipi Balqis. Habis pecah
berdarah bibir Balqis kesan daripada penangan tangan Pak
Samad itu. Hampir longlai tubuh Balqis kerana tamparan
kuat tersebut.
“Pak cik, saya merayu!! Tolonglah lepaskan saya,
pak cik.. Saya janji, saya akan cari kerja...” Balqis terus
merayu. Air matanya sudah galak menuruni pipi mulusnya
yang kini sudah kian lebam. Pak Samad bagai tidak
menghiraukan rayuan Balqis. Dia terus sahaja memeluk kuat
tubuh kecil Balqis yang sedang meronta-ronta ingin
melepaskan diri.
“Abang!! Buka pintu niii!! Apa yang abang buat
kepada Balqis tu? Abang!!” jerit Kalsom dari luar bilik. Dia
terdengar jeritan Balqis lalu segera menggagahi dirinya
untuk melihat apa yang berlaku. Namun pintu bilik tersebut
pula telah dikunci dari dalam, membuatkan Kalsom begitu
risau dengan apa yang berlaku di dalam bilik itu. Ya Allah,
peliharalah anakku.. Air mata Kalsom sudah mengalir sebak
mengenangkan nasib anak daranya itu.
“Kau diam!! Kau jangan masuk campur dalam
urusan aku! Kau dah nak mampus tu, duduk diam-diam!”
tempelak Pak Samad kuat. Dia terus sahaja menampar muka
Balqis apabila gadis itu tetap ingin melawan.
Kalsom cuba menggagahi dirinya untuk mencapai
telefon rumah yang berada tidak jauh darinya. Dia mendail
nombor telefon bimbit Ustaz Amirul. Nasib baiklah dia ingat
nombor telefon lelaki itu.
“Assalamualaikum...” Kedengaran suara Ustaz
Amirul yang sedikit garau. Tentu baru terjaga daripada tidur.
Mata Ustaz Amirul kini terbuntang apabila mendengar esak
tangis seorang perempuan. Dia melihat ke skrin telefon
bimbitnya. Nombor telefon rumah Balqis! Dan ini tak lain tak
bukan, suara Mak Som!
“Mak Som? Kenapa menangis ni?” soal Ustaz
Amirul sambil bangun duduk di birai katil. Dia melihat jam
di dinding. Baru pukul 5.30 pagi. Kenapa agaknya ibu
saudaranya itu menangis-nangis begini?
“Cepat datang, nakk… Balqisss…”
“Balqis?? Kenapa dengan Qis??” Ustaz Amirul
diburu kerisauan.
“Pak cik kamu… Pak Cik Samad kamu…. nakk...”
Tergagap-gagap suara Kalsom lalu dia terasa seperti
badannya melayang lalu jatuh terjelepok ke atas lantai. Perit
dirasakan di dadanya ketika ini apabila sakitnya tiba-tiba
menyerang. Tidak sempat untuk dia memberitahu Ustaz
Amirul tentang suaminya yang berniat jahat kepada Balqis.
Perlahan-lahan matanya terpejam rapat. Maafkan mak, nak..
“Mak Som!! Mak Somm!!” panggil Ustaz Amirul
apabila suara wanita tua tadi sudah tidak kedengaran lagi.
Yang dia dengar kini, suara jerit pekik Balqis.
Ustaz Amirul terus bingkas untuk ke rumah Balqis.
Dia risau, siapalah yang akan mendengar jerit pekik gadis itu
kerana rumah Balqis yang agak terpinggir jauh dari rumahrumah
orang lain itu. Sudahnya, Ustaz Amirul hanya mampu
mempercepatkan langkah ke rumah Balqis yang tidak berapa
jauh juga dari rumahnya dengan jarak hanya 100 meter itu.
Betapa dia risaukan keselamatan Balqis serta ibu saudaranya
ketika itu, hanya Allah yang mengetahuinya! Ya Allah,
selamatkanlah mereka.

No comments:

Post a Comment