Sunday, 26 June 2016

Hanya Milikmu - Bab 10

“Pak Cik Samad!!” tempik Ustaz Amirul
bersama ketukan bertalu-talu di pintu bilik Balqis. Kalsom
yang tadinya sedang terbaring lesu di atas lantai, telah
diletakkan kembali ke atas katil, di dalam bilik yang
bersebelahan dengan bilik Balqis. Masih terdengar suara
Balqis yang merayu-rayu minta dilepaskan. Ustaz Amirul
terus merempuh pintu bilik Balqis. Sekali rempuhan sahaja,
pintu bilik itu sudah terbuka luas. Hampir runtuh pintu
usang tersebut diasak oleh tubuh sasa Ustaz Amirul.
Kelihatan Pak Samad yang sedang galak menindih
tubuh kecil Balqis di atas lantai. Ustaz Amirul amat
terperanjat. Dia tidak langsung memandang tubuh Balqis
yang bajunya sudah koyak rabak ketika itu. Pandangannya
hanya tertumpu kepada muka cuak Pak Samad yang sudah
kecut perut melihat Ustaz Amirul tiba-tiba muncul. Dengan
perasaan marah dan geram, Ustaz Amirul terus meluru
mendapatkan Pak Samad lalu ditumbuknya muka orang tua
tidak sedar diri itu berkali-kali sekuat hatinya. Balqis yang
sudah lesu di atas lantai, kelihatan cuba bergerak-gerak ingin
mencapai selimut di atas katil. Terketar-ketar tubuhnya
kerana kesakitan akibat ditindih dan ditampar tadi.
Tangannya terawang-awang ingin mencapai selimut
berkenaan.
Ustaz Amirul melarikan pandangan ke arah lain
sambil beristighfar lalu menyentap tirai bilik berkenaan dan
melayangkannya ke tubuh Balqis yang pakaiannya sudah
koyak rabak. Jahanam punya orang tua!! Ustaz Amirul geram.
Dia sakit hati. Dengan sesungguh hati, dia menumbuk lagi
wajah tua Pak Samad. Belum lagi puas hatinya walaupun
wajah Pak Samad kini sudah pecah berdarah. Terlalu hina
perangai manusia seperti ini yang berkelakuan seperti
binatang buas!
“Mirul, Mirul... Tolong jangan pukul aku... Aku
takkan buat lagi. Balqis, maafkan pak cik.. Maafkan pak cik,
Balqis!! Suruh Mirul berhenti pukul pak cik... Tolonglah!
Maafkan pak cik!!” rayu Pak Samad dengan wajah yang
sengaja dibuat-buat sedih dan menyesal. Tujuannya, untuk
meraih simpati Balqis dan Ustaz Amirul.
“Orang tua macam kau ni, tak layak nak jadi bapak
tiri sesiapapun, apatah lagi untuk jadi bapa kandung!! Kau ni
patutnya dikenakan hukum hudud kalaulah hukum hudud
benar-benar wujud kat Malaysia ni! Orang tua macam kau ni
patut mati aje!!” Berang betul Ustaz Amirul ketika itu
sehinggakan dia hampir-hampir lupa diri. Mahu sahaja dia
membunuh Pak Samad ketika itu.
“Abang Mirul.. Sudahlah, bang. Jangan pukul Pak
Cik Samad lagi… Ingat kepada Allah, bang! Jangan membuat
hukum sendiri macam ni!” ujar Balqis dalam tangisannya
yang berlagu pilu. Sakit di badannya masih menyengat.
Tabah benar gadis ini walaupun dirinya hampir diragut
kesucian. Sungguh mulia hati Balqis kerana sanggup
melepaskan orang tua tidak sedar diri itu walaupun
bermacam-macam perkara jahat yang orang tua itu telah
lakukan kepadanya.
“Tapi Qis, tengoklah apa yang dia dah buat kepada
Qis!!” Ustaz Amirul bersuara sayu. Dia ingin mengangkat
tangan lagi, mahu memukul Pak Samad namun suara Balqis
terlebih dahulu bergema menyebabkan Ustaz Amirul tidak
jadi meneruskan niatnya.
“Abang Mirul! Ingat kepada Allah! Kalaulah Pak
Samad tu mati kena pukul, tak ke abang dapat dosa free?
Jangan diikutkan sangat dengan perasaan marah abang tu.
Itu perasaan dari syaitan! Kalau abang pukul Pak Cik Samad
lagi, nanti dia akan mati. Pak Cik Samad tu dah tua, bang.
Kesiankan dia! Abang tolonglah lepaskan dia.. Biar pihak
polis aje yang uruskan dia nanti...” Balqis menasihati Ustaz
Amirul sambil terus tersedu-sedan menangis. Dia kesakitan
ketika ini. Tubuhnya terasa lemah, hendak bangun duduk
pun dia tidak boleh. Balqis akhirnya cuba juga bangun lalu
bersandar di tepi katil.
“Polis? Tolonglah, Balqis. Jangan serahkan pak cik
kepada pihak polis.. Tolonglah! Pak cik merayu…” Pak
Samad merayu-rayu lagi dengan wajah kasihannya. Balqis
hanya tergeleng-geleng lemah. Air mata masih mencucuri
wajahnya yang mulus.
“Mirul! Tolonglah jangan repot kepada pihak polis!
Tolonglah!! Aku buat semua ni pun.. Sebab...” Pak Samad
tidak berani menghabiskan ayatnya.
Dia bimbang lelaki yang mengupahnya tadi
membunuhnya seperti amaran yang telah diberikan. Tak
apalah. Biarlah dia masuk ke penjara beberapa tahun lebih
baik daripada dia kehilangan nyawanya. Tetapi andainya
Amirul dan Balqis ini bersimpati kepadaku, tidak perlu juga
aku masuk ke penjara dan tidak perlu juga aku mati! Baik
aku berpura-pura dah berubah!
Kini Pak Samad melutut sambil memegang kaki
Ustaz Amirul. Selepas itu dia bangun semula sambil
memandang ke muka Ustaz Amirul dengan pandangan penuh
mengharapkan simpati. Ustaz Amirul mencekak leher baju
Pak Samad dengan muka berang, tetapi akhirnya dia menarik
nafas panjang. Dia ingin menenangkan hati. Matanya dipejam
seketika lalu dibuka kembali. Dia menatap wajah tua Pak
Samad yang sudah berkedut-kedut itu.
“Astaghfirullahalazimm...” ucap Ustaz Amirul
apabila tersedar yang dia sudah melampaui batasan sehingga
membuat hukum sendiri untuk menghukum orang sebegini
rupa. Dia melepaskan pegangannya. Pak Samad terlepas juga
daripada pegangan Ustaz Amirul ketika ini.
Habis pecah muka Pak Samad dibuatnya. Longlai
tubuh orang tua itu yang kini telah bersandar lesu di dinding
bilik berkenaan. Memang Ustaz Amirul sedar yang dia sudah
hampir-hampir kehilangan akal tadi. Ikutkan hatinya,
memang dia ingin membelasah Pak Samad sehingga tercabut
nyawa. Pantang benar dia dengan lelaki dayus seperti Pak
Samad itu! Tetapi kerana teguran Balqis dan kerana Ustaz
Amirul masih ingatkan Allah SWT, dia kini terduduk lesu di
muka pintu mengenangkan keterlanjuran dirinya. Dia juga
sedih dan sayu melihat nasib Balqis dan Kalsom yang begitu
malang. Nasib baiklah Balqis tidak apa-apa dan masih lagi
suci. Sekurang-kurangnya, dia berjaya mempertahankan
kesucian gadis tercintanya. Pak Samad pula kini sudah
terduduk sambil melutut bagai memohon simpati daripada
Ustaz Amirul supaya tidak memukulnya lagi.
“Qis, percepatkan perkahwinan Qis dengan
keluarga Tengku Ismail tu. Abang nak Qis bebas daripada
semua ni!” Tegas sahaja nada suara Ustaz Amirul ketika ini.
Matanya mencerlung memandang wajah Pak
Samad yang bagaikan terkejut mendengar bait perkataannya.
Melihatkan pandangan tajam Ustaz Amirul itu, Pak Samad
tidak jadi untuk berkata apa-apa. Dia hanya mendiamkan diri
dalam keadaan ketakutan. Menggigil badannya kerana
takutkan penangan daripada Ustaz Amirul. Lelaki muda itu
kelihatan mengeluarkan telefon bimbit dari dalam kocek
seluarnya lalu menelefon polis.
“Pak Cik Samad! Saya dah panggil polis. Nanti pak
cik jawablah sendiri kat balai polis tu...” getus Ustaz Amirul
sambil meraup wajahnya berkali-kali.
Pak Samad yang mendengar hanya terdiam sambil
menundukkan wajah. Tidak berjaya juga dia meraih simpati
kedua-dua insan ini. Bermakna, dia terpaksa juga meringkuk
ke dalam penjara. Pak Samad kini memandang kosong ke
arah kakinya. Tangisan Balqis masih kedengaran mengetuk
gegendang telinga Ustaz Amirul ketika itu. Dia langsung
tidak memandang Balqis dari tadi lagi. Keadaan gadis itu
yang tidak mengizinkan dia melihat. Ustaz Amirul kini
bingkas sambil memegang Pak Samad lalu diheretnya keluar
dari bilik berkenaan.
“Qis! Nanti Qis beri keterangan kat balai polis, buat
repot okey? Nanti pasal hal perkahwinan Qis tu, abang boleh
uruskan! Asalkan Qis dapat berbahagia, abang dah tak kisah
lagi...” getus Ustaz Amirul lagi sebelum menghilangkan diri
ke luar bilik, dengan hati yang cukup bersabar apabila
menuturkan bait perkataan maut baginya itu.
“Abang Mirul! Terima kasih... Budi baik Abang
Mirul yang menyelamatkan Qis ni takkan Qis lupakan
sepanjang hayat Qis…” Sempat Ustaz Amirul menangkap
kata-kata ucapan terima kasih daripada Balqis itu. Kini Ustaz
Amirul sudah keluar dari bilik itu. Namun tangisan Balqis
masih kedengaran jelas di telinganya.
“APA?! Tak berjaya?” Lantang suara Tengku Harith saat
menerima berita bahawa Balqis terselamat daripada dinodai
Pak Samad.
Telefon bimbit di tangannya digenggam kuat.
Geram dan sakit hati betul dia mendengar berita buruk
tersebut. Giginya diketap rapat-rapat, jemarinya berkait
antara satu dengan yang lain. Resah benar dia apabila
memikirkan kegembiraan Balqis ketika ini kerana telah
terselamat. Tentu betina itu bersorak suka kerana terlepas
daripada jerat yang aku pasang! Ahh! Ini tak boleh jadi!!
Tengku Harith menghentakkan penumbuknya dengan kuat
ke atas meja di hadapannya. Habis berloncatan segala benda
yang berada di atas meja tersebut. Berselerak sudah meja itu
sekarang.
“Habis tu si Samad tu mana? Dah lari dengan duit
50 ribu tu?” soal Tengku Harith sambil meletakkan kembali
telefon bimbit ke telinganya. Bibirnya digigit rakus, tidak
sabar rasanya ingin mengetahui.
“Tak, bos! Dia masuk lokap dah! Perempuan tu dah
bagi keterangan kat pihak polis... Tapi jangan bimbang,
Samad tak ada sebut apa-apa pasal kita! Saya dah beri dia
amaran hari tu!” balas Mail dengan wajah serius. Tengku
Harith menarik nafas lega, namun hanya seketika sahaja lalu
kemudiannya dia merengus lagi dengan kasar. Dia masih
tidak berpuas hati dengan berita Balqis yang terlepas
daripada dirosakkan.
“Okey, kau boleh matikan panggilan sekarang. Aku
dah tak nak tahu lagi tentang perkara yang dah lepas tu.
Sakit hati aku ni sebab betina bodoh tu terlepas... hmmmm
tak apa! Nanti aku contact kau lagi kalau ada rancangan
seterusnya!” ujar Tengku Harith kasar sambil menganggukangguk
kepalanya. Telefon bimbit lantas dimatikan setelah
selesai bercakap dengan Mail.
Lantaran itu, terdengar suara mamanya yang
sedang memanggilnya supaya turun ke ruang tamu untuk
berbincang hal perkahwinannya. Tengku Harith akur, dia
turun juga walaupun hatinya terasa sungguh malas!
“Rith, papa nak kamu bersiap-siap sekejap lagi.
Papa nak bawa kamu pergi tengok cincin. Petang ni, kita
terus pergi meminang Balqis...” kata Tengku Ismail lembut.
Dia memandang raut wajah anak lelakinya yang tiba-tiba
berubah tegang. Tengku Harith yang terperasankan
pandangan papanya terus mengawal riak muka supaya lebih
tenang.
“Tapi, papa. Rith ada kerjalah...” balas Tengku
Harith, memberikan alasan.
“Kamu jangan nak mengelak pula! Kata-kata papa
ni muktamad, tahu? Dah, pergilah bersiap. Kau takkan nak
pergi kedai emas pakai seluar pendek macam tu? Lagipun,
kerja apalah sangat yang kamu ada?! Kamu tu bukannya
bekerja pun!” pintas Tengku Ismail pantas. Tegas sekali nada
suaranya. Tengku Harith hanya terdiam. Tersilap kata nanti,
bakal mengundang marah papanya pula. Sudahnya, Tengku
Harith hanya mengukir senyum paksa sambil mengangguk
kecil. Tengku Ismail sudah tersenyum lebar memandang
sikap Tengku Harith itu. Dia tidak tahu yang Tengku Harith
itu hanya berpura-pura baik demi mendapatkan wasiat hak
milik untuk kesemua harta papanya.
“Nanti, Rith dah kahwin, bawalah isteri kamu
tinggal kat rumah yang papa dah belikan sebagai hadiah
perkahwinan kau orang... Dan, kamu kena mula bekerja di
syarikat papa...” ujar Tengku Ismail tenang. Terkejut benar
riak wajah Tengku Harith ketika mendengar ayat dari mulut
papanya. Aku kena bekerja di syarikat papa dan tinggal
berduaan dengan betina kolot tu lepas kahwin? Ahh! Biar
betul? Tak mahulah aku! Tak mahuuu..
“Erm... Baiklah papa... As you wish...” balas Tengku
Harith lemah. Dia tidak tahu lagi nak fikir apa buat masa
sekarang ini. Buntu sudah kepala otaknya ketika ini. Papanya
memang bijak mengatur strategi!
“Balqis…” panggil Kalsom lemah. Sejak dia rebah
tempoh hari, keadaannya menjadi bertambah teruk. Kalsom
bimbangkan anak gadisnya itu sekiranya dia sudah tiada
nanti. Dia memegang erat tangan Balqis.
“Ya, mak…” balas Balqis sambil mengalirkan air
mata.
“Nanti, Tengku Ismail datang… Kau terima aje apa
yang dia cakapkan. Mak dah janji dengan dia, kaulah yang
akan jadi menantu dia... Mak kalau boleh tak mahu mungkir
janji saat nyawa mak yang dah berada di hujung tanduk
ketika ni, nak... Mak tak sanggup mati dalam keadaan yang
tak tenang... Maafkan mak sebab berjanji pada hari tu... Mak
tak tahu yang Mirul juga ada taruh hati kepada kau, nak...
Kalau boleh, sebelum mak pejam mata ni mak nak tengok
anak mak berkahwin...” jelas Kalsom sambil turut menangis.
Balqis menahan sebak di dalam dadanya sambil terus
mengalirkan air mata. Dia mengusap tangan ibunya
perlahan, sepenuh kasih lalu dia mengangguk laju. Tiada kata
yang terkeluar dari mulutnya kerana dia terlalu sedih
melihat keadaan ibunya itu.
“Baiklah, mak... Balqis akan ikut cakap mak… Mak
doakanlah Balqis bahagia selepas kahwin, ya?” balas Balqis
juga pada akhirnya. Dia ingin meyakinkan ibunya bahawa dia
sudah bersedia ingin berkahwin. Pada hakikatnya dia kini
berdebar-debar saat terbayang kembali perangai sebenar
lelaki itu.
Syaitan telah menghasut jiwa dan mindanya supaya
berfikir tentang masa hadapannya selepas berkahwin dengan
lelaki sebegitu. Keyakinannya kian pudar kini namun Balqis
pantas tersedar. Astaghfirullahalazimm! Aku perlu percaya
kepada ketentuan Allah SWT! Apa gunanya petunjuk yang
Allah tunjukkan masa aku bersolat istikharah hari tu? Aku
perlu percaya kepada Allah SWT! Dia takkan sekali-kali
membiarkan aku keseorangan di dalam dunia penuh
pancaroba ini!
Balqis tidak pernah memberitahu ibunya tentang
sifat sebenar Tengku Harith. Dia tidak mahu bercakap pasal
keburukan lelaki itu. Lagipun dia bukannya kenal Tengku
Harith itu. Baru dua kali sahaja mereka berjumpa, takkanlah
Balqis sudah tahu semuanya tentang lelaki itu? Bagaimana
jika terjadinya fitnah selepas dia bercerita tentang perangai
lelaki itu? Sekaligus ini boleh membuka aib orang lain. Ah,
dia tidak akan sekali-kali melanggar larangan Allah SWT.
Tidak baik membuka aib orang lain!
“Maafkan mak, Balqis. Kalau permintaan mak ni
terlalu tamak...” Kalsom meminta maaf lagi sambil terus
menangis.
“Tak apa, mak! Tak apa! Balqis sanggup buat apa aje
untuk tengok mak gembira. Sekurang-kurangnya Balqis
gembira bila tengok mak gembira...” balas Balqis lembut.
“Assalamualaikum!” laung seseorang dari luar
rumah.
“Waalaikumussalam! Sekejap!!” balas Balqis.
Kalsom tersenyum pahit tatkala memandang Balqis yang
masih tercegat di sebelahnya.
“Balqis... Pergilah bukakan pintu tu. Mak tahu,
Tengku Ismail dah datang tu... Rombongan meminang dah
datang...” kata Kalsom dengan senyum kecil.
Dia mengusap pipi mulus Balqis semahu-mahunya.
Sayang benar dia kepada anak gadisnya itu. Dia sanggup
berkorban apa sahaja untuk melihat anaknya itu bahagia dan
gembira selalu. Sekurang-kurangnya, ini saja yang dia boleh
berikan untuk anaknya itu sebelum dia memejamkan mata.
Supaya ada seseorang yang boleh menjaga Balqis selepas
pemergiannya nanti.
Balqis membukakan pintu sebaik sahaja tiba di
muka pintu rumahnya. Wajah Tengku Ismail dan seorang
wanita anggun menyapa pandangan Balqis. Tidak jauh dari
kereta mewah yang terparkir di tepi jalan di depan
rumahnya, kelibat Tengku Harith yang riaknya masam
mencuka pula yang bertamu di mata Balqis. Dia memandang
wajah kacak lelaki itu. Jantungnya ternyata berdegup hebat.
Ya Allah, inilah perasaan yang telah Engkau timbulkan dalam
hatiku buat bakal jodohku itu! Alhamdulillah aku bersyukur
dengan ketentuan-Mu. Sabarkanlah hatiku dalam merubah
corak hidupnya nanti... Aminn..
Balqis kembali menatap wajah Tengku Ismail dan
Tengku Salmah yang sedang tersenyum memandangnya. Dia
membalas senyuman mereka. Tidak lama kemudian, dua
buah kereta mewah lagi datang lalu diparkir berhampiran
kereta mewah milik Tengku Ismail. Beberapa orang lelaki
yang lengkap berbaju Melayu dan bersongkok kelihatan
keluar dari perut kereta. Kesemua mereka kini menuju ke
rumah Balqis.
“Masuklah, pak cik dan mak cik.. Encik-encik
semua, jemputlah masuk!” pelawa Balqis ikhlas. Kesemua
hadirin memasuki perut rumah Balqis yang agak usang itu.
Balqis membuang pandang kepada sebatang tubuh yang tidak
mahu masuk ke rumahnya. Dia mengukir senyum buat
Tengku Harith yang masih bersandar pada kereta. Lelaki itu
merenung tajam ke wajahnya dengan wajah masam mencuka
membuatkan Balqis tertunduk lemah. Sukarnya untuk
merubah lelaki itu rupa-rupanya. Sudahnya, Balqis terus
masuk ke dalam rumahnya.
Tengku Ismail dan Tengku Salmah terkejut apabila
mendengar khabar daripada Balqis bahawa bakal besan
mereka, Kalsom kini sedang sakit tenat. Mereka sempat
melawat bakal besan mereka itu. Dan mereka telah
mempercepatkan tarikh perkahwinan Balqis dan Tengku
Harith bagi menunaikan hasrat serta impian terakhir Kalsom
yang terlalu ingin melihat Balqis berkahwin. Balqis hanya
menerima seadanya apa yang telah ditentukan oleh ibunya
dan juga kedua-dua bakal ibu bapa mentuanya. Dia sudah
malas mahu memikirkan soal ini. Hanya kepada Allah SWT
dia berserah..

No comments:

Post a Comment