Thursday, 23 June 2016

Kau Princess Aku Okay! - Bab 10

Raysha runsing. Kebisuan Iqram membuatkan
dia tidak senang duduk. Dia membetulkan rambutnya lagi.
Sudah beberapa kali dia mengikat rambutnya, tetapi rasa
seperti tidak selesa. Hatinya juga tiba-tiba dibuai rasa tidak
senang. Sesuatu akan berlaku ke nanti?
“Janganlah senyap macam tu. Esha minta maaf.”
Hampir satu jam dia ambil masa bersiap. Dia mandi. Gosok
baju. Sempat juga dia makan dua keping roti bagi mengalas
perut. Apabila dia membuka pintu, rupa-rupanya Iqram
sudah tertidur di luar bilik. Hampir sahaja lelaki itu hendak
mencium lantai kerana ketika itu Iqram bersandar pada pintu
bilik.
“Hmm….” Iqram panas hati, tetapi dia tidaklah
marah sangat. Sengaja dia hendak mengusik. Muka juga
sengaja dibuat serius.
“Apa benda yang paling dekat dengan kita?”
Dahi Iqram berkerut. Itu ke ayat nak memujuk?
“Hmm….”
Raysha ketap bibir. Sekali lagi dicabut getah
rambutnya. Dia memang betul-betul tidak selesa. Cermin
mata yang selama ini tidak merimaskannya, tiba-tiba
membuatkan dia bertambah serabut. Rasa nak cabut aje
cermin mata dan contact lens yang dipakainya. Dia sudah
puas berpura-pura. Dia tahu, lambat-laun Hakimy akan tahu
juga.
“Rambut tu dah cantik. Tak payah ikat.” Suara Iqram
kedengaran.
Raysha berpaling. Dia tersenyum girang.
“Rimas.”
Iqram mengambil segera getah rambut yang berada
di tangan Raysha. Tingkap kereta dibuka, dan getah itu
dibuang.
Raysha terlopong.
“Kalau Esha rimas… Abang Iqram lagi rimas bila
tengok dari tadi Esha asyik main dengan rambut tu. Nak
suruh Abang Iqram ikatkan ke?”
Raysha menggeleng laju. Gila nak suruh lelaki ni
ikat?
Perlahan-lahan Civic Type R milik Iqram memasuki
kawasan perumahan Kampung Batu yang terletak di Gombak.
“Keluarlah. Takkan nak suruh Abang Iqram
bentangkan karpet merah pula?” soal Iqram separuh
menyindir. Pintu Raysha sudah dibuka dari luar. Gadis itu
nampak termenung merenung ke dalam kawasan rumah
Encik Syazlan. Memang Iqram sengaja memarkirkan
keretanya di depan rumah kerana kebetulan pula kosong.
“Ramainya orang!”
“Saudara-mara pak su kut. Jom masuk.” Sebenarnya
manalah Encik Syazlan ada saudara-mara yang ramai. Encik
Syazlan anak yatim piatu. Puan Soraya dan papanya hanya
dua beradik saja. Dia sendiri tidak pasti siapa yang berada di
dalam rumah. Pelik juga sebab rumah itu bising terutama
sekali di dapur.
“Kata ada buat korban?”
“Dah siap kut. Kita lambat sangat. Kat dapur tu
macam riuh-rendah aje bunyi.” Iqram memanjangkan leher
melihat ke dalam rumah. Pagar rumah memang sudah terbuka
luas. Beberapa orang kanak-kanak, mungkin anak-anak jiran
sedang bermain-main. Suka pula dia melihat masing-masing
comel memakai baju kurung dan berbaju Melayu.
“Kejap. Kenapa seat-belt ni tersekat?” Pipi Raysha
sudah memerah.
“Sejak bila pula seat-belt ni tersekat?” Bukannya dia
guna kereta lama. Iqram segera menyusup masuk ke dalam
kereta untuk melihat.
“Eh!” Jantung Raysha sudah tidak dapat berdegup
seperti biasa. Kelam-kabut. Haruman minyak wangi yang
dipakai Iqram menusuk masuk ke dalam hidungnya. Sesekali
dia melihat Iqram membetulkan songkok yang hampir
terlurut dari kepala. Baru dia sedar, rambut lurus Iqram yang
sebelum ini kemas disikat, hari ini tercacak.
“Esha masukkan macam mana tadi? Ketat betul
nak tarik,” ujar Iqram. Dia masih ralit cuba mencabut tali
pinggang keledar yang tersekat itu.
“Hmm… entahlah. Dah ke?” Raysha tahan nafas.
Rasanya dalam dua inci, hidungnya sudah boleh berlaga
dengan badan Iqram.
“Kejap!” Iqram masih cuba menarik. Berpeluh
dahinya.
“Abang Iqram tak boleh masuk ikut bahagian driver
ke?” Raysha semakin tidak selesa. Beberapa kali badannya
berlaga dengan badan Iqram.
Dahi Iqram berkerut. Segera dia menjeling kepada
Raysha. Dia tersedar.
“Panas sangat ke?” soalnya apabila Raysha nampak
lebih berpeluh daripadanya. Muka pun dah macam udang
bakar. Merah semacam saja.
“Takdelah. Rimas dengan rambut ni.” Raysha
beralasan.
Iqram tarik sengih. Dia teliti lagi tali pinggang yang
tersekat sebelum bibirnya mengukir senyuman. Memang
salah masuk pun. Patutlah terlekat. Pakai seat-belt pun tak
reti ke?
“Okey. Siap!”
“Keluarlah cepat.” Badan sasa itu ditolak.
Iqram hampir hendak terjatuh. Pantas tangannya
memegang paha Raysha untuk menyeimbangkan badannya
semula. Bukan dia sengaja.
Gadis itu terkejut besar.
“Sampai hati tolak Abang Iqram. Cakap terima kasih
pun tak sebab dah bawa Esha datang sini… buka seat-belt
ni....” Iqram masih tidak mahu keluar.
“Sorry, Esha tak sengaja. Cepatlah. Kata nak masuk
tadi.” Raysha tolak lagi badan Iqram. Tapi dia pula terkejut
besar apabila tangan Iqram semakin kejap memegang
kakinya.
“Sabarlah. Tadi Esha ada tanya soalan pada Abang
Iqram, kan? Benda apa yang paling dekat dengan kita?”
Badan Iqram semakin mendekati wajah merah
padam Raysha. Walaupun bibir tidak mengukir senyuman,
tapi Raysha dapat rasakan lelaki itu sedang tersenyum. Mata
hazel Iqram seperti menari-nari keseronokan.
“Amboi abang! Nak buat aksi XOXO kat sini ke?”
Kedua-duanya tersentak.
“Adoi!” Kepala Iqram terhantuk bumbung
kereta apabila dia kelam-kabut hendak keluar dari kereta.
Songkoknya sudah jatuh ke atas riba Raysha.
“Abang nak buat apa-apa ke kat kakak?”
Iqram betulkan rambut yang rasa berserabut.
Memang hari ini dia kelam-kabut. Rambut pun lupa nak letak
gel. Dia tarik sengih kepada Sofiyya dan dua orang gadis yang
sedang mendukung sepasang bayi. Bayi siapa pula ni? Dua
orang kanak-kanak perempuan dengan mata yang agak sepet
mengetawakan Iqram yang masih menggosok-gosok kepala.
“Takdelah. Seat-belt terlekat tadi.”
Raysha serahkan semula songkok Iqram.
“Ya ke?” Sofiyya tunjuk muka suspicious. Bukan dia
tidak nampak, wajah Iqram bukan main dekat wajah muka
Raysha.
“Tak payah soal bukan-bukan. Betullah seat-belt tu
terlekat. Ni sejak bila korang ada kat luar ni?” Iqram menyoal
dengan wajah yang sedikit tegas. Mesti ada aje modal nak
mengenakannya.
“Baru aje. Tadi papa nampak kereta Abang Iqram.
Jadi papa suruh panggil Abang Iqram masuk. Lama sangat
kat luar ni.” Sofiyya memandang wajah Raysha dan Iqram
silih berganti.
“Abang dengan kakak pakai baju sedondon warna
biru ni… Piyya tengok macam pinang dibelah dua pula.”
Sofiyya tersengih.
Dahi Raysha berkerut. Pinang dibelah dua?
“Memang kakak tak banyak baju kurung. Bawa
yang ni aje dari London,” balas Raysha. Dia tidak suka pula
‘disatukan’ dengan lelaki di sebelahnya ini. Kadang-kadang
okey, kadang-kadang mengada-ada!
“Siapa ni?” Raysha menyoal dua orang gadis di sisi
Sofiyya. Dua orang kanak-kanak perempuan itu dicuit mesra
pipi gebu mereka. Kemudian Raysha mencuit geram sepasang
bayi perempuan dan lelaki yang didukung oleh mereka
berdua. Comel sungguh pipi labuh ni. Mata pun sangat sepet.
Iqram cepat sahaja mengambil salah seorang bayi
yang comel memakai baju berwarna hijau muda itu.
“Qisha Haruko!”
“Aisha Haruko!”
Raysha memandang Iqram. Hampir serentak dua
orang kanak-kanak itu menjawab dengan wajah penuh teruja.
Mereka berdua segera bersalaman dengan Iqram dan Raysha.
“Kembar ke ni?”
“Bukan. Qisha umur tujuh tahun. Aisha umur enam
tahun.” Qisha menjawab sambil menggeleng.
Raysha mengangguk. Comelnya! Tapi kenapa mata
tu sepet sangat? Berbeza betul dengan Iqram yang bermata
sedikit bulat.
“Baby dua orang ni barulah kembar. Kembar
sepasang. Adik budak-budak ni. Abang Iqram dukung ni…
Ilman Haruko. Itu kakak Ilman, Iris Haruko. Budak berempat
ni mata sepet sangat sebab menurun daripada Abang Kyouta.
Kakak Abang Iqram kahwin dengan orang Jepun,” kata Iqram
yang seperti dapat memahami persoalan dalam benak Raysha
tadi.
“Haruko tu… surname?” Pipi kedua-duanya dicuit
lagi.
Iqram mengangguk.
“Ni siapa pula?” Raysha memandang dua orang
gadis yang memakai baju kebaya berwarna kuning yang
menghampiri mereka.
“Adik-adik Abang Iqram. Puteri Nadiana dan Puteri
Nafeesa. Nad ni muda setahun daripada Esha. Baru habis
belajar. Nafeesa pula 15 tahun. Salam kakak,” suruh Iqram.
Sofiyya turut ikut menyalami Raysha dan Iqram.
“Nad panggil Esha ajelah, boleh?” Nadiana bersuara.
“Boleh aje.” Raysha tersenyum mesra walaupun
terasa kekok.
“Jom masuk kakak.” Sofiyya tarik tangan Raysha.
Iqram tersenyum. Pipi Ilman dicium bertalu-talu.
Lama juga rasanya tidak berjumpa dengan anak-anak
saudaranya itu.
“Kenapa lama sangat kat luar tu?” Encik Syazlan
menyambut mereka.
“Seat-belt terlekat. Tadi jammed teruk. Dah siap ke
korban?” Iqram serahkan kembali Ilman kepada Nadiana.
“Semua dah siap. Jiran-jiran tengah bersihkan kat
dapur. Hmm… masuklah Esha. Tak payah termangu-mangu
macam tu. Dalam rumah ni saudara uncle juga. Tak
payah malu-malu.” Encik Syazlan tepuk bahu Raysha. Dia
tersenyum mesra.
“Sampai dah Esha.” Puan Soraya menegur. Dia
melangkah keluar dari dapur dengan seorang wanita.
“Auntie, ramai juga ya yang datang.” Raysha
menyalami Puan Soraya. Pipi Raysha dicium lembut.
“Takdelah. Jiran-jiran semua berkumpul kat dapur
tu.” Puan Soraya membetulkan lengan baju yang tadi
disingsing kerana membasuh.
“Ini umi Abang Iqram. Cantik tak?” soal Iqram. Pipi
uminya dicium mesra. Patutlah wajah itu nampak seiras
dengan Nadiana dan Nafeesa.
“Hujung sana tu yang tengah layan Ilman dan Iris
tu… papa Abang Iqram.”
“Panggil Auntie Syikin aje Esha,” suruh Puan
Nurasyikin apabila Raysha bersalaman dengannya. Matanya
merenung wajah Raysha. Lama.
“Eh, umi… kenapa pandang Esha macam tu?
Seganlah dia,” tegur Iqram.
Puan Nurasyikin tersentak.
“Saya pernah beritahu kat Kak Syikin dulu kan pasal
arwah kawan saya tu. Esha ni anak bongsu arwah. Mak Esha
ni orang putih,” sampuk Encik Syazlan.
“Iqram masuk dapur kejap, nak tengok lembu
korban.”
“Bukan nak tengok lembu… nak cari makanan tu,”
usik Encik Syazlan. Faham sangat anak saudaranya itu hantu
makan.
Iqram tarik sengih. Dia terus berlalu ke dapur.
“Kak Syikin, kenapa?” Puan Soraya menyoal pelik
apabila melihat kakak iparnya masih merenung wajah Raysha.
“Hmm… akak teringatkan seseorang.” Puan
Nurasyikin bersuara.
Raysha tersentak. Belum sempat dia membuka
mulut, satu suara garau menegur dari belakang.
“Assalamualaikum… eh, Esha!” Wajah itu tayang
riak terperanjat.
“Hai... Esha sorang aje kamu nampak, Jimy? Mana
kamu kenal Esha ni?”
Najmy tersenyum. Dia ringkas memakai baju Melayu
berwarna hitam tanpa samping.
“Panjang cerita. Abang mana?” Najmy mencari wajah
Hakimy. Dia sedar Raysha juga nampak begitu terkejut. Gaya
terkejut tu memang sama seperti sewaktu mereka di Restoran
Ben’s.
“Toilet.” Encik Syazlan menjawab.
“Awak ni kenapa Syikin? Renung budak tu?” Encik
Iqmalshah menegur. Pelik melihat isterinya yang sudah
seperti patung.
“Kenapa auntie?” Najmy menyoal pelik. Dia
menyalami Encik Iqmalshah dan Encik Syazlan.
“Muka Esha ni macam seseorang. Abang ingat
tak siapa?” Puan Nurasyikin memandang suaminya yang
mendukung Ilman dan Iris.
“Siapa?” Encik Iqmalshah merenung pula wajah
Raysha.
“Ya Allah… janganlah pandang Esha macam ni.
Pergi duduk dulu Esha,” tegur Encik Syazlan menggeleng.
Dia tepuk bahu Encik Iqmalshah yang sudah tersengih.
“Tadi Kimy kata kamu kerja.” Encik Iqmalshah
memandang wajah Najmy.
“Sepatutnya habis pagi tadi. Tapi tiba-tiba ada kes.
Itu lambat sikit. Tak sempat nak solat raya.” Najmy menarik
lengan Raysha supaya mengikutnya ke ruang tamu utama.
Pelik pula berbual di depan pintu rumah.
Raysha masih diam membisu. Terkejut. Dia memang
tidak sangka langsung akan berjumpa dengan Najmy lagi.
Tambah merisaukan apabila melihat renungan tajam Puan
Nurasyikin.
“Ini anak sulung uncle, Puteri Natasha dan suami dia,
Kyouta Haruko.” Encik Iqmalshah ramah memperkenalkan
anak dan menantunya yang menghampiri untuk mengambil
Ilman dan Iris yang sudah nampak mengantuk.
Raysha menyalami Natasha. Dia tersenyum. Natasha
dan Iqram lebih seiras dengan Encik Iqmalshah. Cuma dia
perasan, hanya Iqram yang bermata hazel.
“Jom.” Najmy terus menariknya ke ruang tamu.
“Eh, Esha.” Hakimy muncul dari dapur. Riak
wajahnya nampak begitu terkejut.
“Esha datang dengan Iqram,” maklum Najmy.
“Oh, duduklah.” Hakimy pula sudah macam tuan
rumah.
“Eh, nenek pun ada?” Najmy pula nampak terkejut.
Rasanya pagi raya ni, memang asyik terkejut sejak tadi.
Lengan Raysha dilepaskan. Dia segera merapati seorang
wanita tua yang anggun dengan abaya dan tudung labuh
berwarna hitam untuk bersalaman.
Wanita tua itu berpaling. Raysha tersentak.
Terketar-ketar badannya. Dia ingat wajah itu dari
pembacaannya di Internet.
“Kenapa nenek?” Najmy terkejut apabila merasakan
tangan neneknya bergetar.
“Itu ibu Datuk Abdullah Harris, Puan Sri Tengku
Zanariah,” bisik Encik Syazlan.
Raysha gigit bibir. Ya Allah, suratan apakah ini?
Wanita inilah punca sebenar dia takut berhadapan dengan
keluarga kandungnya sendiri.
“Kenapa Esha?” Puan Soraya memegang lengan
Raysha. Bukan dia tidak nampak gadis itu nampak begitu
terkejut. Wajahnya terus berubah pucat lesi.
“Kenapa Esha?” Hakimy menyoal pelik. Dia sendiri
pun tidak sangka neneknya mahu mengikutnya ke rumah
Encik Syazlan. Sudah hampir beberapa tahun neneknya tidak
keluar dari rumah kecuali untuk ke hospital ataupun masjid.
Umur neneknya itu hampir mencecah 95 tahun. Walaupun
tidak mempunyai penyakit serius, neneknya itu memang
semakin uzur dimamah usia.
“Nenek… kenapa nenek pun terkejut juga ni? Nenek
kenal ke Esha? Esha ni PRO hotel di London. Baru ditukarkan
ke sini,” maklum Hakimy.
Raysha menelan air liur. Pahit.
“Esha Ebrahim?” Bergetar suara Puan Sri Tengku
Zanariah. Wanita itu memang terlalu uzur. Badan sudah
membongkok tiga, dan mungkin juga hanya kulit menyelaputi
tulang. Cermin mata berbingkai bulat hampir terjatuh dari
hidungnya yang mancung itu.
“Eh, auntie kenal Esha?” Encik Syazlan pula
terkejut. Famous juga Raysha ni.
Puan Sri Tengku Zanariah cuba bangun. Najmy
kelam-kabut memaut lengan neneknya.
“Nenek nak pergi mana ni?” Hakimy juga menerpa
ke arah neneknya. Risau kalau neneknya itu terjatuh.
“Raysha, kan?” soal Puan Sri Tengku Zanariah. Dia
memaut erat lengan Hakimy dan Najmy.
“Kenapa ni nenek?” Hakimy buntu.
“Esha Ebrahim. Raysha. Penyiasat yang diupah
nenek ada maklumkan tentang Raysha. Dia cakap Raysha
bekerja di Mega Hotels and Resorts London. Baru ditukarkan
ke sini. Nenek ingat nak tunggu papa kamu berdua balik
dulu.” Panjang lebar Puan Sri Tengku Zanariah berkata
dengan suara yang sedikit serak. Riak wajah masih tegas.
“Nenek… Esha ni bukan adik kami. Nama ayah dia
lain.” Najmy bersuara. Dia mula mengerti kenapa neneknya
nampak terkejut.
“Eh, bukan Uncle Ebrahim tu ayah angkat Esha aje
ke? Kan papa?” Sofiyya yang sejak tadi menjadi pendengar
setia mula menyoal pelik.
“Hmm… betullah. Keluarga sebenar arwah Ebrahim
meninggal dunia dalam kemalangan. Beberapa tahun lepas
tu, arwah Ebrahim ambil Esha dan Danny jadi anak angkat.”
Encik Syazlan menerangkan apabila Raysha bertindak
mendiamkan diri. Dia terus melepas pandang kepada Raysha
yang turut sama memandangnya. Pandangan Raysha sukar
difahami.
“La… kenapa senyap ni? Kenapa mute suara TV tu
Nad?” soal Iqram kepada adik-adiknya yang duduk di hadapan
televisyen. Dia membawa dua pinggan nasi yang sudah penuh
dengan lauk. Lelaki itu tersenyum sahaja. Ceria sungguh
kalau dapat makanan.
“Kenapa?” Pinggan diletakkan di atas meja. Dia
pelik apabila Nadiana dan Nafeesa meletakkan jari telunjuk
pada bibir masing-masing. Dia mula menyedari sesuatu.
Perlahan-lahan dia menatap semua orang yang berada di
ruang tamu. Mulutnya terlopong apabila melihat renungan
tajam Raysha dengan mata yang sudah merah.
“Esha anak angkat? Kenapa tak beritahu saya?”
Hakimy menyoal. Dia ada bertanya kepada Raysha sewaktu
pertama kali berjumpa. Dia masih ingat lagi jawapan Raysha
itu.
“Encik Kimy hanya tanya nama daddy saya. Itulah
nama daddy saya.” Raysha menjawab tegas walaupun nadanya
sudah bergetar.
“Esha dan Danny tak tahu siapa keluarga kandung
dia.” Encik Syazlan menyambung. Dahinya mula berkerut.
Dia melepas pandang pula kepada Puan Nurasyikin. Memang
selama ini dia tidak pernah mengenali isteri pertama Datuk
Abdullah Harris kerana waktu itu dia belum bekerja dengan
Datuk Abdullah Harris. Dia sedang menyambung pelajaran
di Paris dan membawa isteri serta anak-anaknya yang ketika
itu masih kecil. Dia hanya melihat gambar sahaja dan
mengetahui serba sedikit cerita daripada Encik Iqmalshah.
Lagipun gambar itu juga tidak begitu jelas dan anak sulung
Datuk Abdullah Harris yang hilang itu masih kecil.
“Apa nama sebenar Danny?” Puan Nurasyikin
memandang muka Encik Syazlan.
Encik Syazlan menggeleng. Dia tidak pernah tanya.
“Daniel Rayzal.” Sofiyya menjawab.
Seisi rumah memandang tepat wajah Sofiyya. Mulut
masing-masing ternganga.
“Hmm… Piyya ada tanya Abang Danny dulu. Kenapa
mak long nak tahu nama Abang Danny?” Sofiyya menyoal
Puan Nurasyikin pula dengan wajah pelik.
“Piyya dah lupa ke nama anak sulung Uncle Harris
yang hilang tu?” Nadiana menyoal.
“Siapa? Manalah Piyya ingat.” Sofiyya buat muka
tidak puas hati.
“Betul ke tu nama abang Esha?” Hakimy menyoal.
Puan Sri Tengku Zanariah sudah kembali duduk. Kudratnya
sudah tidak kuat untuk terus berdiri walaupun dipapah
orang. Hakimy dan Najmy mula menghampiri Raysha yang
nampaknya seperti mahu melarikan diri.
“Tapi... bukan ke Puan Sara bawa anak-anak pergi
US? Sebab tu sampai sekarang Harris rajin pergi sana.” Encik
Syazlan diburu rasa bersalah. Kenapa dia langsung tidak
pernah terfikir akan persamaan nama Raysha itu? Ejaan juga
sama. Malah, bukan sukar sangat hendak meneka persamaan
usia Raysha dan Daniel. Kenapa dia tidak pernah bertanya
siapakah ibu Raysha dan Daniel? Kenapa mereka berada di
rumah anak-anak yatim? Kenapa Encik Ebrahim mengambil
mereka untuk dijadikan anak angkat?
“Esha… I think you better explain.” Najmy bersuara.
Dia yang memang tidak cukup tidur, rasa berserabut.
Memanglah dia sangat gembira kalau Raysha ini adik
kembarnya, tetapi kenapa Raysha merahsiakan semua ini?
“Mana Sara?” Puan Sri Tengku Zanariah menyoal
pula. Maklumat itulah yang dia tidak tahu kerana penyiasat
yang diupahnya juga masih menyiasat.
Raysha menggeleng. Kakinya semakin menghala ke
pintu utama. Tetapi Hakimy lebih pantas menarik lengan itu.
Wajah Raysha dipandang lama. Langsung tidak berkelip.
“She’s not our Raysha. The colour of her eyes aren't
blue.” Hakimy menyangkal.
“Takdelah Abang Kimy. Kakak pakai contact lens tu.
Memang mata kakak warna biru.” Sofiyya menjawab lagi.
Seisi rumah terkejut lagi. Iqram pula menghampiri
gadis itu yang sudah menunduk mengira jari kaki.
“Esha, pandang Abang Iqram,” suruh Iqram. Dia
pegang bahu Raysha.
“Esha.” Hakimy dan Najmy bersuara hampir
serentak. Seisi rumah tiba-tiba sunyi. Semua di ruang tamu
itu mengalihkan perhatian hanya kepada Raysha.
“Mana Sara? Kenapa dia tinggalkan kamu berdua
di rumah anak-anak yatim?” Kasar sedikit suara Puan Sri
Tengku Zanariah.
“Mak Esha dah lama meninggal dunia nenek.” Iqram
melepas pandang pula kepada Puan Sri Tengku Zanariah.
Raysha masih berdegil untuk terus tunduk. Tetapi
dia dapat merasakan getaran pada bahu itu.
“Hah?” Hakimy dan Najmy terkedu. Lutut mereka
longlai.
“Tipu! Kenapa penyiasat tu takde maklumkan nenek
apa-apa?” Bergetar suara Puan Sri Tengku Zanariah. Wanita
tua itu menggeleng laju. Sukar untuk menerima hakikat itu.
Sara terlalu muda untuk pergi dulu daripadanya.
“Betul auntie. Mak kandung Esha dan Danny dah
lama meninggal dunia. Sebab itulah arwah Ebrahim ambil
mereka berdua ni jadi anak angkat.” Encik Syazlan menjawab.
Puan Soraya pula sudah memegang lengan suaminya. Dia
juga terkilan kerana langsung tidak menyedari hal itu.
“Tell us, who are you?” Hakimy memandang Raysha.
Dia tarik dagu itu untuk terus menghadap wajahnya. Mata
yang sudah berkaca itu menyentap tangkai hatinya. Betulkah
gadis ini kembarnya sendiri?
“Sabar Kimy. Jangan ganas sangat,” tegur Iqram,
gusar. Dia memegang bahu Hakimy.
“Are you really our Jihan?” Najmy menyoal.
Suaranya bergetar.
Raysha menggeleng.
“Tell us!” tempik Puan Sri Tengku Zanariah tiba-tiba.
Merah mata itu.
Raysha terkejut. Dia segera menepis tangan Hakimy.
Terburu-buru dia hendak melangkah keluar.
“Kau nak pergi mana?” Bahasa Hakimy sudah
berubah. Lengan Raysha direntap kasar. Hampir sahaja
Raysha terdorong dalam pelukan lelaki itu.
“Let me go!”
“No!”
“Kimy!” Iqram pegang bahu Hakimy. Kenal sangat
dengan Hakimy. Kalau sudah marah, susah nak dikawal.
“Jelaskan dulu. Apa yang berlaku? Siapa kau?” soal
Hakimy.
Raysha tersenyum sinis. Dia seka air mata yang mula
mengalir.
“Me? Kenapa nak tahu?” Raysha tarik nafas.
“Tell us your real name.” Tekan Hakimy.
“Jihan Raysha binti Abdullah Harris.”
Hakimy terpempan. Perlahan-lahan dia mengundur.
“Awak adik kami?” Najmy menyoal tidak percaya.
Raysha tersenyum sinis.
“Adik? Saya hanya ada seorang abang. Kenapa selama
ni saya lebih selesa mengaku ayah saya Meor Muhammed
Ebrahim? Saya benci Abdullah Harris. Saya benci dia!”
Pang!!!
Najmy tarik nafas dalam-dalam. Terketar-ketar
tangannya ketika ini. Mata Hakimy terbeliak. Iqram tidak
sempat menghalang. “Jaga sikit bahasa kau tu! Dia tetap papa
kau!” Najmy menjerit.
“Papa?” Raysha pegang pipinya. Dia biarkan sahaja
darah yang mula mengalir di bibirnya. Seisi rumah terdiam.
Suara dari dapur juga tiba-tiba senyap. Masing-masing sudah
berdiri di hadapan pintu dapur dengan wajah yang terkejut.
“Saya takde papa yang halau kami sehelai sepinggang.
Saya takde papa yang lupa tanggungjawab. Saya takde papa
yang dah bunuh mummy saya! Dia punca utama mummy
saya meninggal dunia!” Tunjuk Raysha terus kepada Puan Sri
Tengku Zanariah yang sudah memegang dadanya.
“Nenek minta maaf….”
Raysha gigit bibir. Air mata yang mengalir diseka
kasar. Matanya masih tidak lepas memerhatikan segenap
wajah Puan Sri Tengku Zanariah.
“Awak ingat… dengan maaf… mummy saya boleh
hidup balik?” sinis suara Raysha. Dia benci mendengar suara
itu.
“Nenek minta maaf.”
“Diam!” Raysha tutup telinganya.
“Esha, sabar nak….” Encik Syazlan mula
menghampiri Raysha. Dia sendiri masih belum hilang rasa
terkejut. Malah lagi terkejut dengan perubahan Raysha.
“Uncle mesti nak tahu kan kenapa mummy saya
meninggal dunia? Kenapa kami tak tinggal aje kat US?”
Raysha memandang wajah Encik Syazlan. Dia cuba mengelak
apabila Puan Soraya cuba memegangnya.
Encik Syazlan menarik lengan isterinya. Dia
memandang wajah Raysha sebelum mengangguk.
“Lepas mummy kena halau dari sini... mummy balik
semula ke US. Tapi keluarga mummy kat US semua dah
buang mummy. Semua benci mummy. Nasib baiklah ada
kawan kat Jepun yang tolong mummy dan bawa mummy
ke Hokkaido. Tak sampai setahun kat Hokkaido, mummy
pindah pula kat London. Abang Danny cakap… takde siapa
nak terima mummy kerja dan takde siapa yang boleh jaga
kami. Mummy pun tak mampu nak hantar Abang Danny ke
sekolah. Mummy tak tahu nak buat apa… dan akhirnya kawan
mummy kat London tolong mummy carikan dia kerja.”
“Semuanya sebab dia dah halau mummy sehelai
sepinggang! Kenapa benci sangat pada mummy? Kenapa
langsung takde belas ihsan pada cucu sendiri? Saya tak
ingat sangat… tapi apa yang saya tahu, kehidupan kami kat
London ibarat merempat kat negara orang! Mummy cleaner
kat hospital. Abang pula kena buli kat sekolah. Dia jahat! Saya
takde papa yang lupa pada anak-anak sendiri!”
“Papa tak jahat. Papa tak tinggalkan mummy. Kami
sendiri tak kenal mummy. Apa yang kau tahu? Kami pun
sengsara. Kami pun membesar tanpa mummy!” Najmy cuba
membela diri. Dia tidak senang dituduh dan dituduh. Malah
hatinya panas apabila nenek dan papanya dihina darah daging
sendiri.
Raysha mendongak. Tajam merenung Najmy.
“Baik. Sekurang-kurangkan awak tak membesar
dengan orang lain! Awak tak rasa membesar, kena hina…
membesar dekat rumah anak-anak yatim. Cuma kami bertuah
sebab daddy ambil kami. Waktu tu mummy hantar saya dan
abang pergi sekolah… waktu tu abang dah masuk sekolah.
Lepas tu mummy hantar saya pula. Depan mata saya, depan
mata saya… saya tengok kereta datang dan seret mummy
saya pergi! Saya baru lima tahun! Mummy pergi depan mata
saya. Baju saya penuh dengan darah mummy. Saya mandi
dengan darah mummy. Pernah awak rasa? Semua sebab
dia! Dia sebabkan mummy banyak menderita!” jerit Raysha.
Nafasnya sudah tidak teratur. Percubaan Puan Soraya untuk
memegangnya sekali lagi ditepis lembut. Diseka air matanya
yang masih mengalir laju.
Najmy terduduk.
“Sebab dia… saya jadi anak terbuang! Sebab dia,
saya dan abang hidup terbuang kat negara orang! Kenapa
papa tak cari kami? Kenapa papa buang kami macam tu aje?
Apa salah mummy? Apa salah mummy?” Suara Raysha kian
mengundur.
“Awak pernah tak rasa berlapar, dengan hanya
beralaskan sekeping roti aje?”
“Aku… abang minta maaf.” Najmy menggeleng.
“Tak! Saya takkan maafkan dia! Saya hanya ada
daddy dan abang selamanya!” Raysha melangkah keluar.
“Kejar dia,” pinta Najmy dengan wajah sesal. Hakimy
sudah tidak mampu bersuara.
Iqram tercengang tetapi kakinya tetap juga
melangkah.

No comments:

Post a Comment