Thursday, 23 June 2016

Kau Princess Aku Okay! - Bab 9

RAYSHA mengesat hidungnya dengan tisu.
Bertimbun-timbun tisu di atas katil. Sesekali dia mengesat
pula dengan hujung lengan pijamanya. Mata masih
memandang skrin iMac. Dash masih memandangnya dengan
riak bimbang. Nasib baiklah hari ini dia off.
“Bila kau nak makan makanan kau tu?” Dash
menyoal.
“Nantilah.” Oleh sebab dia berdegil tidak mahu
singgah untuk makan, Iqram singgah ke KFC berdekatan
untuk membungkus makanan mereka berdua.
“Sejuk KFC tu nanti.” Dash cuba memujuk. Sejak
Raysha pergi ke Malaysia, mereka berdua memang jarang
berhubung kerana perbezaan waktu yang ketara. Di London
masih siang, di Malaysia sudah malam. Kebetulan dia juga
sangat sibuk sebagai doktor. Kadang-kadang 48 jam dia
bekerja tanpa henti.
“Aku nak buat apa ni Dash?” Raysha kesat lagi air
yang mengalir keluar dari hidung dengan hujung bajunya.
“Isy, kau ni... pengotor betul!” Dash menggeleng.
Dia tunjuk muka hendak muntah.
Raysha ketawa.
“Nanti takde siapa nak kat kau. Pergi ambil tisu,
kesat hidung tu,” suruh Dash menggeleng.
“Kau kan ada.” Raysha tarik sengih.
“Kau nak suruh aku campak mana girlfriend aku?”
“Sejak bila kau ada girlfriend?” Raysha menyoal,
sinis. Wajah kembali tersenyum.
Dash ketawa. Dia bukan gay. Sebelum usia mencapai
30 tahun, memang dia sudah berniat tidak akan mencari
teman wanita dan berumah tangga. Lagipun kakaknya yang
lebih tua daripadanya juga masih belum berkahwin.
“Senang hati aku tengok kau senyum macam tu.
Aku ajak kau Skype malam ni bukan sebab nak tengok kau
nangis-nangis,” ujar Dash memujuk. Memang sekarang
musim Raysha dalam kedukaan. Sepanjang dia mengenali
Raysha, gadis itu sentiasa ceria. Jarang sangat menangis.
Tapi sekarang, sejak kematian Encik Ebrahim, hati Raysha
nampak rapuh. Mudah menangis.
“Terima kasih Mr. McCormick.”
“Jangan panggil aku macam tu. You remind me of my
dad.” Dash menggeleng. Walaupun hanya anak angkat, nama
tengahnya, William adalah sempena nama bapa angkatnya.
Raysha ketawa. Dia juga terbayang Uncle William
yang berbadan besar dan murah dengan senyuman. Langsung
tidak kisah perbezaan bangsa dan sangat menyayangi Haven
dan Dash seperti anak sendiri. Dia dan abangnya juga dapat
berkongsi kasih sayang yang sama.
“Yalah Doktor Dash McCormick. Terima kasih sebab
ada dengan aku.”
Dash tersenyum. “Kita ni dah macam adik-beradik.
Kau jangan risau. Hmm… siapa kau sebut tadi? Abang Iqram?
Siapa pula dia tu? Kau tak pernah cerita kat aku pun.”
“Dia tu kawan baik Kimy dan Jimy.”
“Setahu aku… kalau sebut ‘abang’ kat depan nama,
dia tu tua daripada kau walaupun tiada pertalian darah. Betul
kan?” Dash menyoal. Dia kadang-kadang keliru juga walaupun
memang dia fasih berbahasa Melayu. Di London, memang
dia tidak pernah memanggil Haven dengan panggilan
kakak di hadapan. Tetapi untuk Daniel, Raysha memanggil
abangnya dengan panggilan ‘Abang Daniel’. Malah daddy
dan mummynya sendiri yang langsung tiada pertalian darah
turut dipanggil ‘uncle’ dan ‘auntie’. Sebab itulah ada yang
salah sangka sehingga menyangka mereka ini sepupu.
“Hmm… betullah. Dia memang takde pertalian
darah.” Raysha terbayang wajah Iqram. Entah kenapa, hatinya
terpikat. Sejak pertama kali mengenali lelaki itu, dia perasan
yang lelaki itu memang sangat penyabar orangnya. Malah
murah dengan senyuman. Tanpa sedar, bibirnya mengukir
senyuman.
“Kau kenapa pula senyum sorang-sorang ni?”
Semakin berkerut dahi Dash.
Raysha menggeleng. Kantoi!
“Mesti ada apa-apa dengan Abang Iqram tu,” tebak
Dash. Mata yang sepet semakin mengecil.
Raysha menggeleng lagi.
“Sudahlah. Drop the subject. Kita bincang pasal
macam mana aku nak berdepan dengan mereka. Help me.”
Dash tarik nafas.
“Susah aku nak jawab.”
“Macam mana kau berhadapan dengan keluarga
kandung kau dulu?” Raysha menyoal. Memanglah Dash
dijadikan anak angkat sejak bayi lagi, tetapi Dash mempunyai
keluarga kandung di Korea Selatan. Malah, Dash juga
mempunyai ‘keluarga tumpang’.
“Aku ni… lain. Mak kandung aku serahkan aku
sebab mengandungkan aku masa muda. Dia tak boleh jaga
aku, dia serahkan aku untuk dijadikan anak angkat. Haven
pula sebab keluarga dia miskin. Daddy dan mummy aku pun
selalu bawa aku balik Korea. Kau sendiri pernah ikut dan
jumpa diaorang, kan? Lagipun keluarga aku dan Haven tak
kaya macam keluarga kau tu. Dah macam taraf Duke pun
ada.”
Raysha mengeluh. Susah betul hidupnya.
“Aku betul-betul minta maaf. Kalau aku ni free,
memang aku dah terbang teman kau di Kuala Lumpur tu
sorang-sorang. Tapi kerja aku ni… memang nak cuti pun
susah.” Dash serba salah. “Jangan risau. Kadang-kadang kau
tak payah plan. Semua Tuhan dah aturkan.”
“Hmm….” Raysha tahu, walaupun lelaki itu nampak
santai dengan dunianya, tetapi Dash sangat mempercayai
kewujudan Tuhan. Sekarang ini, ramai kawan-kawannya di
London tidak mempercayai kewujudan Tuhan.
“Kau pergilah tidur. Aku pun nak sambung tidur.”
“Dah petang kut kau nak tidur?” Raysha pandang
wajah Dash. Sekali pandang memang Dash ada rupa Song
Joong Ki. Tetapi dia tidak pernah beritahu Dash. Lelaki ini
boleh tahan perasan juga.
“Esok aku 24 jam kerja. Mana aku ada peluang nak
tidur macam ni. Kau pergilah makan. Lepas tu tidur. Esok
nak kerja. Nanti bila aku free, kita Skype lagi.”
Raysha mengangguk lemah. Syukur dia masih
mempunyai seorang kawan baik. Dia juga menganggap Aidan
kawan baiknya. Cuma selepas bertukar status teman wanita,
hubungan itu bertukar pada percintaan. Selepas berpisah,
semua hubungan itu hilang begitu sahaja. Dia seperti
kehilangan seorang kawan. Sebab itulah, dia bertekad tidak
mahu mengulangi perkara yang sama. Dash tetap hanya akan
menjadi kawan baiknya sampai bila-bila.
SEMINGGU telah berlalu. Peristiwa dia bertemu Hakimy
dan Najmy masih segar dalam ingatan. Nasib baiklah selepas
peristiwa itu dia mendapat tahu Hakimy sudah terbang ke
Bangkok melawat cawangan Mega Hotels and Resorts.
Volume suara televisyen dinaikkan lagi. Sayu hati
mendengar takbir raya. Hatinya sangat merindukan suara
lembut arwah daddy yang selalu akan kelam-kabut pada
pagi raya. Apabila bekerja dari rumah, memang masa daddy
banyak dihabiskan dengan anak-anak. Kalau daddy masih
hidup, mungkin sekarang daddy sedang sibuk menggosok
baju kurungnya. Dia, Daniel dan Sara pasti akan sedondon
dengan daddy.
Happy Eid my love. Aku tengah kerja. Nanti kita
Skype. – Dash
Selamat Hari Raya Esha. Love you! – Haven Grace
Raysha tersenyum sahaja. Memang Dash selalu
memanggilnya ‘love’. Ramai juga salah sangka dengan
hubungan mereka berdua. Aidan juga mengambil masa yang
lama untuk hadam yang dia dan Dash hanya kawan baik sahaja.
Hmm… Aidan lagi! Alhamdulillah, sejak menggunakan
nombor telefon Iqram, dia tidak diganggu Aidan lagi kerana
lelaki itu tidak tahu nombornya. Dia juga sudah block Aidan
di Facebook, Twitter dan Instagram.
Dia juga baru sahaja habis berborak dengan
Daniel. Tahun ini Hari Raya Haji, Sara terpaksa bersekolah.
Sebenarnya sejak umur dua tahun lagi Sara sudah dihantar
ke sekolah. Sebab itulah loghat Sara boleh bercampur, tetapi
rasanya loghat Aussie dia lagi pekat kut!
Raysha memandang siling bilik hotel. Bosan. Nak
turun makan pun dia malas. Baju kurung dibiarkan tergantung
di dalam almari. Baju kurung terakhir dia dan arwah daddy
sedondon. Sukar juga menerima hakikat raya kali ini tanpa
daddy. Masih terbayang-bayang senyuman mesra daddy. Dia
tatap pula gambar yang sejak tadi berada di tangannya. Dia
cium beberapa kali gambar itu. Perlahan-lahan air matanya
menitik.
“Adik… rindu sangat daddy.”
“ESHA?”
“Abang Iqram?” Raysha terpinga-pinga. Dia tidak
sedar bila dia tertidur. Ketukan bertalu-talu mengejutkan dia
daripada tidur. Apabila dia membuka sahaja pintu, terjengul
wajah Iqram yang segak berbaju Melayu.
“Baru bangun tidur ke?” soal Iqram menggeleng. Isy,
anak dara, pukul 10 tak bangun tidur lagi? Hari Raya pula tu.
“Abang Iqram buat apa kat sini?” Raysha termalu
sendiri.
“Datang beraya.”
Dahi Raysha berkerut. Sudahlah dia masih mamai.
“Esha mana ada prepare apa-apa. Air mineral aje
ada.”
Iqram ketawa. Lurus betul Raysha ni! Takkan dia nak
datang beraya kat bilik hotel kut? Nanti ada juga yang beraya
dalam lokap!
“Pergilah bersiap. Abang Iqram nak ajak Esha pergi
beraya. Tapi tak bolehlah pakai baju yang macam Esha pakai
tu.” Tunjuk Iqram. Kalau iman ni mudah goyang, memang
dia ajak Raysha ‘beraya’ aje dalam bilik. Mukanya sendiri
sudah rasa panas-panas walaupun bukanlah kali pertama dia
dihadapkan dengan pandangan seperti ini. Memang ramai aje
perempuan pakai baju tidak cukup kain!
Raysha pandang badannya. Mukanya tiba-tiba
diserbu rasa malu. Langsung tidak sedar dia hanya memakai
singlet dan seluar paras paha. Pantas pintu cuba ditutup
kembali, tetapi lebih cepat Iqram menghalang. Raysha segera
menyorok di belakang pintu. Aduhai… malunya! Rambut
mesti berserabut gila sebab tadi apabila buka pintu, dia boleh
tergaru-garu kepala dan menguap besar. Tak senonoh anak
dara!
“Bersiap. Pakai baju kurung,” arah Iqram. Wajah
merah padam Raysha menjadi tatapannya. Comel betul!
Raysha menggeleng.
“Takde alasan tak nak ikut. Uncle Syazlan yang ajak.
Kebetulan dia buat open house. Raya hari tu… rumah Uncle
Syazlan under renovation. Jadi kali ni… dia buat korban.
Open house sekali. Cepatlah. Berdosa tau kalau tak pergi.”
Entah fatwa mana Iqram ikut.
“Esha sibuk sangat ni.”
“Sibuk nak tidur ke sayang?”
Muka Raysha kembali memerah.
“Pergilah bersiap. Abang Iqram tunggu kat luar ni.
Kalau nak ajak masuk pun takpe. Esha duduk suite, kan?”
Iqram tarik sengih.
Raysha tayang penumbuk.
Iqram ketawa. Terhibur pada pagi raya. Tadi
selepas habis solat raya, Encik Syazlan menelefonnya dan
menyuruh dia mengambil Raysha. Seperti orang mengantuk
disorongkan bantal, cepat sahaja dia bersetuju.
“Esha ni… dahlah pakai seksi sangat macam
tu, tergugat iman Abang Iqram.” Iqram masih mahu
mengusik. Walaupun hanya dia seorang sahaja lelaki dalam
adik-beradiknya, tetapi memang tercabar imannya tadi.
“Abang Iqram tu... ketuk macam nak pecah pintu.
Terkejutlah Esha.”
Iqram tarik sengih.
“Abang Iqram call, WhatsApp, SMS... semua tak
reply.”
“Esha kan tidur.”
“Tidur mati. Pergilah bersiap. Jangan lama. Abang
Iqram dari semalam tak makan ni. Lapar sangat. Nanti Abang
Iqram ‘makan’ aje Esha ni.” Iqram mengusik lagi.
Raysha mendengus.

No comments:

Post a Comment