Thursday, 23 June 2016

Kau Princess Aku Okay! - Bab 8

HAKIMY mundar-mandir di hadapan tandas.
Kenapa lama sangat masuk toilet ni? Rasanya kalau nak
make-up pun, takkan sampai setengah jam?
“Are you waiting for someone?” Seseorang menegur.
Hakimy melepas pandang pada remaja di
hadapannya. Gadis comel yang masih memakai uniform
sekolah itu tersenyum girang.
“Hmm… abang tunggu kawan abang.”
“Eh, saya ingat abang bukan Malaysian. Tunggu
girlfriend ke? Tapi dalam toilet ni memang takde orang dah.
Saya yakin sangat sebab semua pintu tandas terbuka tadi bila
saya keluar,” jawab remaja itu pelik. Dia memandang lama
wajah Hakimy.
“Betul ke dik? Abang dah tunggu setengah jam ni.
Takkan abang tak perasan dia keluar?” Hakimy musykil.
“Betul. Kalau abang tak percaya, abang masuklah.
Saya tunggu luar. Tapi cepat sikit, sebab papa dan mama saya
dah panggil tu.”
“Bukan tak percaya. Kejap ya? Adik duduk luar
tau. Jangan pergi mana-mana.” Hakimy melangkah masuk.
Seperti yang diberitahu, memang tiada sesiapa lagi di dalam
tandas itu. Dengan perasaan hampa, dia melangkah keluar.
“Jumpa tak?”
Hakimy menggeleng.
“Telefon girlfriend abang tu. Mungkin dia dah keluar
sebelum abang keluar dari toilet tadi kut. Hmm... saya pergi
dululah. Bye.” Gadis kecil itu berlari ke arah ibu bapanya.
Hakimy tersenyum kepada mereka sekeluarga. Nasib
baiklah budak itu terlebih ramah memaklumkan tiada sesiapa
lagi di dalam tandas. Memang dia dah macam gaya toilet
guard pun tadi.
“Nak telefon macam mana? Nombor telefon pun
aku tak ambil. Aku dah suruh tunggu aje depan tandas kalau
aku lambat. Masa ni juga perut ni nak memulas tadi,” bebel
Hakimy geram. Matanya meliar mencari kelibat Raysha.
KLCC pada waktu begini memang terlebih ramai orang
kerana waktu bekerja sudah habis.
RAYSHA garu kepala yang tidak gatal. Disebabkan bosan
menunggu Hakimy tadi, dia sengaja berjalan-jalan dahulu.
Lagipun kalau dah sakit perut, mesti lama kan? Tetapi
disebabkan asyik berjalan dan melihat barang, dia hampir
terlupa tentang Hakimy.
“Mana ni?” Raysha seperti hendak menangis.
Bukan tandas ni ke tadi? Tapi kenapa nampak lain aje? Nak
telefon Iqram, dia tertinggal telefon di dalam bilik hotel.
Kenapalah sejak datang ke Malaysia ni, asyik ‘lupa ingatan’
aje fasal telefon? Padahal selama ini dia memang tidak pernah
berenggang dengan telefon pun.
Raysha meneruskan langkah. Menyesal kerana tidak
tunggu sahaja di hadapan tandas tadi. Itulah… berlagak
pandai sangat. Macamlah sudah selalu sangat datang KLCC
ini. Tadi, apabila dia berdiri sahaja di hadapan KLCC,
mulutnya sudah terlopong. Tinggi betul!
Mata Raysha melilau mencari kelibat Hakimy. Dia
berdoa supaya Hakimy tidak terus pulang dan meninggalkan
dia seorang diri di sini. Memanglah dia boleh balik naik teksi,
tetapi mana pula nak cari teksi?
Tiba-tiba dia perasan sesuatu. Matanya besar
kecil, besar kecil melihat lelaki yang berdiri tidak jauh di
hadapannya. Dia ke? Tetapi kenapa baju dia lain sangat?
Raysha berjalan perlahan-lahan.
“Encik Kimy!”
Lelaki itu berpaling. Dahinya berkerut.
“Eh!” Lelaki itu terkejut besar.
Raysha terus tarik tangan lelaki di hadapannya dan
memeluk tangan itu kemas tanpa berfikir panjang. Ya Allah,
punya rasa gembira, rasa macam nak menangis! Tetapi
kenapa rasa macam bukan Hakimy? Tetapi muka macam
sama sangat!
“Encik Kimy pergi mana? Kenapa lama sangat
masuk toilet tu?”
“Pardon me?” Tangan kanan lelaki itu masih
digenggam Raysha.
“Sempat Encik Kimy tukar baju. Kenapa Encik Kimy
hilang? Tahu tak, saya macam nak gila cari Encik Kimy. Mana
saya nak pergi kalau Encik Kimy hilang?” Air mata Raysha
mula berlinang. Sebak.
NAJMY memandang lama wajah gadis comel di hadapannya.
Matanya berkelip-kelip apabila mengingatkan slang British
pekat, tetapi bertutur dalam bahasa Melayu. Rambut light
blonde. Memang langsung tidak ada gaya macam orang
Melayu pun. Kalau sudah boleh salah sangka dia ini Hakimy,
mesti ada sesuatu. Rasanya bekas teman wanita Hakimy
sebelum ini memang orang Melayu. Teman wanita baru
ke? Tetapi kenapa panggil Hakimy dengan panggilan ‘Encik
Kimy’?
Nasib baiklah Restoran Ben’s tidak ramai orang
seperti selalu. Sengaja dia mengambil tempat di hujung
sekali. Risau kalau gadis di hadapannya ini menangis lagi.
Tiba-tiba boleh buat drama air mata sewaktu dia sedang ralit
melihat barang tadi.
“Can I take your order?” Muncul seorang pelayan.
Najmy menggeleng. Dia memandang pelayan wanita
berbangsa Melayu di hadapannya. Dia tersenyum pula.
Lesung pipit pada pipi kanan terserlah. Walaupun rupa dia
dan Hakimy memang serupa, perbezaan ketara boleh terlihat
pada senyuman mereka berdua. Lesung pipit Hakimy pada
pipi kiri.
“Saya tunggu kawan. I’ll call you later.” Najmy
menjawab. Wanita itu mengangguk dan berlalu pergi.
“Kenapa senyap aje ni?” soal Raysha, kekok.
“Awak rasa nak menangis lagi?”
“Perli saya ke?”
Najmy ketawa. Langsung tiada niat. Janggal pun ada
apabila gadis itu berbual dalam bahasa Melayu tetapi dalam
loghat British yang pekat. Eh, bukan PRO dari London ke?
Bukan namanya…? Mata Najmy membulat.
“Jihan Raysha?”
Dahi Raysha berkerut-kerut apabila namanya diseru.
“Yes?”
Najmy berdeham. Ya Allah, kenapa kecil sangat
dunia ni? Rasanya baru beberapa hari dia berborak tentang
pekerja baru Mega Hotels and Resorts yang ditukarkan dari
London ini. Padahal sebelum ini memang dia langsung tidak
ambil tahu hal hotel.
“Ehem!”
Raysha berpaling. Mulutnya terlopong. Matanya
membulat. Iqram?
“Esha?” Lelaki itu juga nampak terkejut.
“Kenapa lama sangat kau borak dengan klien kau
tadi, Iqram?” tegur Najmy. Memang dia datang ke KLCC
dengan Iqram. Tetapi lelaki itu terjumpa dengan klien lama
pula dan Najmy meminta diri untuk menunggu Iqram di
restoran sahaja.
“Projek baru.” Iqram tarik sengih dan terus duduk
di sebelah Raysha. Dia pandang lama wajah gadis comel itu
dengan penuh tanda tanya.
“Abang Iqram buat apa kat sini?” Raysha menyoal
akhirnya.
Najmy termangu. Abang Iqram? Sejak bila pula gadis
ini mengenali Iqram?
“Bila kau kenal Esha ni?” soal Iqram tanpa menjawab
soalan Raysha tadi.
“Hmm… panjang ceritanya. Macam aku WhatsApp
kat kau tadi,” jawab Najmy. Dia telah menerangkannya
kepada Iqram tetapi tidak pula dia memberitahu bahawa dia
membawa gadis itu bersamanya ke restoran.
“La… ya Allah. Kecik aje KL ni rasa. Abang Iqram
keluar makan dengan dia ni.” Iqram pandang lama wajah
Raysha.
“Apasal mata tu sembap? Menangis ke?”
Raysha memandang Najmy. Dia tersenyum. Nasib
baik tidak tercabut contact lens yang dia pakai. Cermin mata
dibetulkan kedudukan pada batang hidung.
“Dia terharu jumpa aku tadi. Hmm... apasal ‘Abang
Iqram’? Bila masa kau kenal dia pula?” Najmy menyoal.
Penuh tanda tanya betul hubungan Raysha dengan Iqram
dan Hakimy.
“Can I take your order?” Pelayan wanita tadi muncul
kembali.
“Sorry. We are still waiting for our friend. Lepas ni
saya panggil awak,” ujar Najmy sopan.
“Tunggu siapa lagi?” soal Raysha pelik selepas
pelayan itu berlalu.
Najmy memandang Iqram. Soalan Raysha tidak tahu
bagaimana hendak dijawab. Dia tidak pasti sama ada gadis itu
tahu Hakimy mempunyai kembar. Tetapi kalau sudah kerja di
Mega Hotels and Resorts, mestilah tahu kan?
“Kau tak jawab soalan aku tadi. Mana kau kenal dia
ni?” Najmy menyoal. Dia cuba alih soalan.
“Esha ni anak kawan baik Uncle Syazlan. Kebetulan
dulu masa pak su aku ajak Esha ni dinner, aku ada join sekali
sebab nak hantar novel-novel Kak Tasha pada Piyya. Masa
tulah aku kenal Esha ni.”
“Dah kenapa boleh panggil abang? Geli aku dengar.”
Najmy buat muka.
“Dah sah-sah Esha ni muda daripada aku. Tak
salahlah kut suruh panggil abang. Kau aje tak sedar yang
aku ni lagi tua daripada kau. Dulu, bukan kau panggil aku ni
‘abang’ juga ke?”
“Kiranya kau ni mengaku dah tualah?” Najmy
menyindir. Dia perasan sesuatu. Jarang sungguh Iqram yang
dikenali sejak kecil ini mudah mesra dengan perempuan.
Takkan jatuh cinta pandang pertama kut?
“Bukanlah tua. Cuma tua daripada korang aje!”
Najmy ketawa.
“Tua jugalah tu.” Najmy sambung ketawa.
“Macam mana Abang Iqram kenal Encik Kimy ni?”
soal Raysha ingin tahu.
“Hmm… rasanya Uncle Syazlan ada beritahu Esha
kut. Abang Iqram, Kimy dan Jimy ni berjiran. Bukanlah jiran
sangat, tapi dalam satu kawasan. Berkawan sejak kecik. Papa
dia dan papa Abang Iqram kawan baik. Tu yang rapat. Esha
tahu kan Kimy ni ada kembar nama Jimy?” soal Iqram. Mata
menilik kepada Najmy yang turut sama memandang Raysha.
“Tahu. Doktor Najmy, kan?”
Iqram dan Najmy serentak mengangguk.
“Jadi kenapa pula?” Raysha pelik.
“Sebab kat belakang awak tulah… Encik Kimy yang
sebenarnya.” Jari telunjuk Najmy terarah pada belakang
Raysha.
Pantas Raysha berpaling. Mulutnya terlopong.
Beberapa kali dia memandang dua lelaki itu silih berganti.
Ya Allah! Bukan dia sahaja yang terkejut, pelayan wanita
yang sejak tadi menunggu untuk mengambil pesanan juga
nampak terlopong.
“Awak ni… buat saya lemah jantung aje. Tiba-tiba
hilang macam tu. Nasib baiklah adik saya ni jumpa awak.”
Bebelan Hakimy kedengaran. Dia sudah duduk di sebelah
Najmy.
“Tutup mulut tu Esha,” bisik Iqram. Memang dia
geli hati tengok riak terkejut Raysha tadi.
Raysha memandang muka kedua-dua kembar di
hadapannya silih berganti. Adakah ini aturan takdir yang
langsung tidak dirancang?
“Sorry ya, saya takde niat nak tipu awak. Saya pun
terkejut tadi tengok awak tiba-tiba menerpa saya. Siap pegang
tangan saya ni.” Najmy memulakan cerita.
“Pegang tangan kau?” Melopong pula Iqram.
“Kau biar betul?” Hakimy pula tunjuk riak tidak
percaya.
“Pegang tangan sampai masuk dalam restoran
inilah,” sambung Najmy menarik sengih.
Hakimy tepuk bahu adiknya.
“Gatal juga kau ni, kan?”
“Woi, bukan gatal! Dia tu tiba-tiba menangis tengok
aku. Aku nak buat macam mana lagi? Alang-alang dia dah
pegang tangan aku, aku tarik dia terus sampai sini.” Najmy
membela diri.
Raysha memandang lagi lelaki kembar di
hadapannya. Langsung tiada beza. Sebab itulah dia memang
percaya bulat-bulat lelaki yang dia jumpa tadi itu Hakimy.
Memang langsung tidak terlintas dalam fikirannya, lelaki itu
ialah Najmy. Lagipun selama ini Najmy memang low profile.
Hanya namanya sahaja diketahui.
“Awak okey tak ni?” Hakimy bertanya dengan riak
risau. Muka gadis itu berkerut-kerut dan sudah bertukar
merah. Dia memang tahu Raysha menangis tadi kerana telah
dimaklumkan oleh adiknya tadi melalui WhatsApp.
“Sebenarnya saya ni Najmy Rayyan. Bukannya
Hakimy Rayyan. Sebab itulah saya terkejut sangat masa
mula-mula jumpa awak tadi.”
Raysha menunduk. Dia tidak tahu apa yang perlu
dilakukan. Pelayan wanita tadi datang semula ke meja
menyerahkan menu sebelum beralih semula ke kaunter.
“Awak okey tak?” Najmy tarik tangan Raysha yang
berada di atas meja.
Membulat mata Hakimy dan Iqram.
“Kenapa muka sama sangat?” Bergetar suara Raysha.
Matanya sudah merah. Dia membiarkan sahaja Najmy
menggenggam tangannya. Perasaan itu sama seperti apabila
Daniel menggenggam tangannya untuk memberikan dia
kekuatan.
Najmy memandang abangnya.
“Awak tahu kan saya dan Jimy ni adik-beradik
kembar,” jelas Hakimy.
“Adik-adik Abang Iqram pun muka sama walaupun
bukan kembar,” sambung Iqram sedikit pelik. Dia tidak jadi
membelek menu.
Raysha menunduk kembali. Hilang terus rasa lapar.
Dia perlukan Daniel. Dia perlukan abangnya!
“Hmm… sorry. Saya dah kenyang. Saya nak balik.”
Raysha tarik tangannya. Dia tidak perasan tangannya masih
dalam genggaman Najmy.
“Eh?” Ketiga-tiga lelaki itu terkejut besar.
Mereka bertambah terkejut apabila mutiara jernih Raysha
perlahan-lahan menitik.
“Kenapa ni? Saya memang takde niat pun tak nak
beritahu awak tadi. Saya ingat nak tunggu abang saya aje
datang. Biar clean and clear.” Najmy menggelabah.
Hakimy angguk kepala laju.
“Saya balik dulu ya. Sorry Encik Kimy, tak boleh
teman Encik Kimy makan.”
“Saya hantar awak balik.” Hakimy blur.
Raysha menggeleng. Dia sudah bangun.
“Kejap! Abang Iqram hantar.” Tangan Raysha
dicapainya.
Hakimy dan Najmy sama-sama mengangguk.
Pelbagai perasaan timbul dalam diri mereka. Kenapa dengan
Raysha? Ada sesuatu ke mengenai persamaan muka mereka
berdua?
“Saya balik dulu.” Raysha sudah melangkah keluar.
Dia tarik tangannya dari pegangan Iqram. Dia memang tidak
boleh lama lagi di situ. Dia risau segala-galanya terbongkar.
Dia tidak kuat. Dia perlukan Daniel. Dia perlukan Dash. Dia
perlukan Haven.
“Aku balik dulu.” Iqram menyalami Hakimy dan
Najmy.
“Kau teman dia makan. Dia tak makan lagi
sebenarnya,” maklum Hakimy.
“Itulah… lain kali jangan buat prank sangat. Terkejut
beruk budak Esha tu aku tengok.” Iqram menggeleng dan
terus melangkah keluar.
“Macam mana ni abang?” Najmy menyoal.
Hakimy angkat bahu. Dia memandang pintu utama
restoran. Hatinya dibuai tanda tanya.

No comments:

Post a Comment