“JALAN tu pandang depan. Sakit badan saya ni!”
Keras suara Hakimy selepas batuknya reda. Senak dadanya
apabila tiba-tiba dirempuh dan mengenai tepat ke dadanya.
Dah kenapa jalan tidak pandang kiri kanan? Lampu koridor
ini pun, kenapa tiba-tiba gelap?
“Sorry.”
Dahi Hakimy berkerut. Suara tu macam familiar
sangat.
“Kejap. Tunggu sini.” Hakimy berlalu ke hujung
koridor. Tidak sampai seminit, koridor kembali terang
dengan cahaya.
“Awak rupanya, Esha. Siapalah gatal-gatal tangan
pergi tutup lampu ni?” bebel Hakimy tidak berpuas hati. Dia
berjalan menghampiri Raysha.
“Hai Encik Kimy.” Raysha tiba-tiba gugup. Tidak
sangka lewat petang begini, boleh terserempak dengan
Hakimy.
“Baru keluar dari surau ke?” Hakimy menyoal. Dia
mengesan kegugupan Raysha.
Raysha mengangguk. Dia memandang Hakimy.
Lelaki itu nampak begitu berserabut. Rambut ikal yang sedikit
bergulung di bawah nampak tidak kemas seperti selalu. Tali
leher sudah hilang. Gaya seperti orang bangun tidur pun ada.
“Saya baru bangun tidur sebenarnya. Semalam
tidur lewat,” terang Hakimy apabila menyedari dirinya
diperhatikan. Rambut cuba dikemaskan dengan jari sendiri.
Selalunya kalau dia mengantuk, dia akan tidur sahaja di suite
khas untuknya di hotel ini. Tadi selepas habis mesyuarat, dia
berniat untuk tidur sekejap sahaja, tetapi tidak sangka pula
boleh terlajak sehingga ke petang.
Raysha pandang jam tangan.
“Surau dah gelap pun Encik Kimy. Agaknya semua
staf dah balik. Kenapa Encik Kimy turun solat kat surau
sini?” soal Raysha pelik. Setahunya, pejabat Hakimy bukan
di aras ini.
“Surau kat level saya tu under renovation. Hmm…
tadi awak pergi mana? Saya ada cari awak kat pejabat. Saya
nak ajak makan.”
“Kak Shuhaili ada beritahu saya tadi. Kenapa Encik
Kimy cari saya? Saya ke Shah Alam tengok branch kat sana
dengan Encik Harraz,” jawab Raysha pelik. Setahunya, dia
langsung tiada urusan dengan Hakimy.
“Takdelah. Saya saja nak ajak awak makan.”
Sebenarnya sudah beberapa minggu gadis itu berada di
Malaysia dan dia masih tidak berkesempatan berborak panjang
lagi. Entah kenapa hatinya teringin sangat mengetahui
perkembangan Raysha di sini.
“Lain kali pun boleh, kan?” Raysha kembali gugup.
“Hmm… kejap!” Mata Hakimy membulat
memandang jam di tangan. Ya Allah, kenapa boleh leka
sangat ni?
“Kejap apa?”
“I’ve to go!” Kalut Hakimy dan terus berlari anak
menghampiri surau. Dia sudah lewat!
Raysha garu kepala. Macam-macam. Dia ingatkan dia
yang terlewat untuk solat asar. Rupa-rupanya ada lagi yang
lebih lewat. Arwah daddy memang sangat tekankan soal solat.
Umpama rumah yang tidak bertiang. Itulah ibarat manusia
yang tidak bersolat. Kalau tiada tiang, runtuhlah rumah.
RAYSHA memandang skrin iMac. Besar pula dia tengok
muka abangnya ini. Sudah rasa seperti abangnya ada di
depan mata sahaja. Nak sahaja dia cium skrin iMac untuk
melepaskan rindu yang terbuku. Hari Raya Haji dah nak
dekat. Arwah daddy meninggal dalam bulan Syawal. Terasa
satu kehilangan besar pula untuk sambut Hari Raya Haji
tanpa daddy dan abang. Sara pula sejak tadi sibuk membebel
dalam loghat Aussie dan British yang bercampur aduk itu.
“Hmm… Malaysia ni pun sama macam kat London
juga abang. Kalau Raya Haji, pihak hotel bagi cuti sehari aje
untuk orang Islam. Tapi kat sini, semua orang dapat cuti
sebab itu dah kira cuti umum dalam kalender Malaysia,”
beritahu Raysha panjang lebar.
Dia berpura-pura mahu mencapai tangan kecil Sara
yang sejak tadi menggabai-gabai seperti mahu memegangnya.
“Hmm… best. Jealous abang dengar. Macam mana
dengan hal tu? Dah dekat sebulan ni dik.”
“Tunggu Esha bersedia dulu. Boleh tak, abang?”
“Hmm… insya-Allah abang cuba cari masa datang
sana. Lagipun sekarang Sara sekolah lagi. Hari tu pun Sara
dah cuti lama.” Sebenarnya sudah banyak kali Daniel cuba
meyakinkan adiknya, tetapi hati Raysha ini memang keras.
“Insya-Allah… hmm… abang ada contact Dash?”
Daniel menggeleng.
“Kakak Haven?”
“Setiap hari, sebab urusan syarikat.” Cepat sahaja
Daniel memberi alasan apabila terlihat senyuman nakal
Raysha.
“Kahwin teruslah abang dengan Kakak Haven tu.
Kakak Haven pun sayang sangat kat Sara,” usik Raysha.
“Sengaja tukar topik, kan? Kalau macam tu…
pergilah kahwin dengan Dash tu,” balas Daniel pula. Memang
selepas dia bercerai dengan Natalia, kalau ada sahaja peluang,
pasti Raysha akan mengusiknya dengan Haven. Tetapi sejak
dahulu lagi, hubungan dia dengan Haven memang hanya
setakat kawan baik sahaja.
“He’s my best friend… not boyfriend.”
“Sama aje dik… tetap best boyfriend.”
“Dia tetap only my bestfriend. Lagipun he’s not a
Muslim,” sangkal Raysha.
“Aidan pun bukan orang Islam, kan?”
Raysha terkedu. Aidan lagi….
“Sorry. Abang tak sebut dah.” Daniel serba salah
melihat riak wajah Raysha. Isy, mulut ni! Bukan dia tidak tahu,
Aidan cinta pertama adiknya. Dia juga terkejut dimaklumkan
adiknya bercinta dengan Aidan, dan tambah terkejut apabila
dimaklumkan mereka tiba-tiba berpisah sebulan selepas
daddy meninggal dunia.
“Nanti jangan lupa makan. Suka sangat tangguh
waktu makan tu. Kesian kat perut tu. Lagi satu… jangan
tangguh lama sangat nak beritahu….”
“Abang!” Raysha gelabah. Dia pandang pintu yang
hampir terbuka. Nasib baik pintu kaca. Jadi dia memang
boleh lihat siapa yang datang.
“Kenapa?” Terkejut Daniel.
“Hmm….” Raysha garu kepala dan kemudian dia
mengangguk kepada Hakimy yang sudah melangkah masuk.
Selamba Hakimy duduk tanpa disuruh.
“What is going on adik? Tiba-tiba termenung tu,”
tegur Daniel.
Raysha terpinga-pinga. Dia tarik sengih.
“Dah lewat sangat ni abang. Esha nak balik. Nak
offline dulu. Bye Sara.” Raysha melambai kepada Sara.
Sara yang sudah ralit menghisap ibu jari segera melambai
kembali. Beberapa kali Sara menghadiahkan flying kiss dan
Raysha berpura-pura menyambutnya. Kemudian dia pula
menghadiahkan flying kiss kepada Sara dan sengaja pula
Daniel mengusik anaknya dengan berpura-pura berebut.
Raysha ketawa. Lupa sekejap kewujudan Hakimy di
hadapannya. Nasib baiklah Hakimy tidak mengintai di skrin
iMacnya itu.
“Ala sayang… Esha give your kisses,” suruh Daniel
apabila Sara mula menunjukkan tanda-tanda ingin menangis.
Habis semua flying kiss Raysha tadi ‘dibolot’ Daniel.
Raysha tersenyum. Dia menghadiahkan flying kiss
lagi dan Sara menyambut girang. Sebagai balasan, pipi Daniel
dicium bertalu-talu oleh Sara. Raysha terhibur. Dia melambai
sekali lagi sebelum menekan offline.
“Skype dengan abang ke?” soal Hakimy tersenyum.
Dia turut terhibur dengan keriuhan suara sebentar tadi. Dia
dapat mendengar slang British yang agak pekat walaupun
mereka bercakap dalam bahasa Melayu. Suara kecil yang
merengek-rengek juga membuatkan dia hampir sahaja
mahu mengintai. Tetapi dia tidak mahu mengganggu privasi
Raysha. Agaknya, bagaimana rupa abang Raysha ya? Pasti
berambut ikal blonde seperti Raysha juga.
Raysha mengangguk. Dia menutup iMac dan
berpura-pura mengemas meja. Nasib baik abangnya tidak
sempat menyebut apa-apa.
“Kat London, memang selalu cakap Melayu ke?” soal
Hakimy ingin tahu. Dia mencapai dua keping bingkai gambar
di atas meja Raysha.
“Arwah daddy yang selalu cakap… dan kami pun dah
terbiasa. Our bestfriend pun dah fasih cakap Melayu sebab dari
kecik kami berkawan,” beritahu Raysha. Dia berdebar-debar
melihat bingkai-bingkai gambar yang sedang ditatap Hakimy.
Terselit rasa tidak puas hati kerana Hakimy mengambil tanpa
kebenarannya. Nasib baiklah hanya ada gambar arwah daddy
dan Sara sahaja.
“Daddy awak ke ni?”
Raysha mengangguk.
“Saya ni ikut rupa daddy ke… rupa mummy saya?”
soal Raysha, tersenyum manis.
“Hmm… entahlah. Saya manalah tahu rupa mummy
awak. Awak lebih pada mummy awak kut. Daddy awak ni…
putih juga. Ada kacukan apa-apa ke?”
“Kalau ikut kata daddy… daddy berasal dari
Kelantan.”
“Jadi daddy awak orang Kelantan? Kenapa awak tak
cakap dialek Kelantan pun?” Hakimy nampak terkejut.
Dahi Raysha berkerut. Dialek Kelantan?
“Tak tahu saya dialek Kelantan tu macam mana.
Tapi selepas mak ayah daddy meninggal dunia, daddy masuk
ke rumah anak-anak yatim kat KL. Sebab masa tu daddy
memang menetap kat KL dah. Masa itulah jumpa Uncle
Syazlan. Mereka sama-sama membesar kat situ. Macam
adik-beradik. Lepas kahwin, terus daddy menetap kat London.
Nak balik Malaysia memang takde sesiapa dah.” Raysha tidak
jadi meneruskan cerita. Dia tidak mahu terlepas cakap. Ada
rahsia yang perlu disimpan lagi.
“Oh… baru saya tahu. Cantik mata budak ni,”
puji Hakimy. Matanya tertancap pada gambar seorang
kanak-kanak yang tersenyum mesra memeluk patung bunny
berwarna putih. Rambutnya yang ikal berwarna perang muda
kekuningan, pendek separas bahu dan menutup dahi. Mata
itu nampak bulat, tetapi alis mata sedikit sepet.
“Anak abang saya.”
“Mata dia warna apa ni? Hijau?” Kebetulan gambar
itu memang hanya fokus pada wajah Sara sahaja. Ya Allah,
comelnya!
Raysha mengangguk.
“Seriously?” Hakimy tidak percaya. Susah nak jumpa
orang mata hijau ni. Bersinar pula tu. Macam ada galaksi
dalam mata itu.
“Abang saya kahwin dengan orang sana juga. Kalau
ikut kata bekas kakak ipar saya, arwah moyang dia bermata
warna hijau. Akhirnya, menurun kat anak saudara saya tu,”
cerita Raysha. Sewaktu bayi, mata Sara lebih kepada warna
kelabu. Selepas mencecah umur setahun, warna mata itu
perlahan-lahan berubah menjadi warna hijau lumut.
“Kenapa bekas kakak ipar?”
“Dah bercerai. Sekarang hak penjagaan pada abang
saya.”
Hakimy mengeluh. Kasihan. Dia teringat dirinya
yang juga membesar tanpa ibu di sisi.
“Kenapa?” Raysha pelik dengan keluhan Hakimy.
“Kesian dia. Keluarga saya pun berpecah belah
juga,” ucap Hakimy perlahan. Rajin pula mulutnya hendak
bercerita.
Raysha tersentak. Dia dapat lihat riak kecewa pada
wajah Hakimy. Hatinya tersentuh.
“Siapa nama dia?”
“Sara Hope Raniaa.”
“Wow, what a beautiful name. Nama pangkal tu
sama macam nama mummy saya.”
“What a coincidence. Sara tu bermaksud puteri.
Sebab itu saya cadang nama tu pada abang saya,” cerita
Raysha.
Hakimy pula menarik nafas sebelum menongkat
dagu memandang wajah putih bersih Raysha. Peliknya,
niat hatinya bukanlah mahu menjalinkan hubungan lebih
daripada rakan sekerja… tetapi dalam masa yang sama
hatinya seperti sudah terikat dengan gadis bermata hazel di
hadapannya kini.
“Apa?” soal Raysha yang tidak selesa ditenung.
Hakimy tersengih. “Jom makan. Saya lapar.”
“Hah? Kenapa ajak saya?” Terkejut Raysha.
“Hmm… sampai hati awak tolak ajakan bos awak
ya? Lagipun dari tengah hari tadi saya tak makan sebab
awak takde. Niat hari ni memang nak makan dengan awak.
Please….” Sudah mula keluar ayat-ayat ‘buaya’ dari mulut
Hakimy.
“Sebab saya ke… sebab Encik Kimy tertidur tadi?”
soal Raysha sinis.
Hakimy tarik sengih. Kantoi!
“Jomlah. Bukan selalu pun saya rajin sangat nak
ajak orang makan ni. Lagipun awak memang tak makan lagi,
kan?”
“Eh, Encik Kimy tahu dari mana pula ni?”
Hakimy tayang gigi putihnya lagi yang tersusun rapi.
“Saya dengar tadi abang awak membebel.” Hakimy
tersengih lagi.
“Abang saya tu memang membebel mengalahkan
neyneck. Perlu ke saya ikut Encik Kimy ni? Lagipun dah nak
maghrib. Saya ni takde kereta.” Raysha beralasan.
“Kita solat maghrib dulu kat hotel. Kebetulan
saya memang ada janji nak makan dengan kawan saya tadi.
Takdelah kita berdua aje pergi makan. Jadi, tak adalah orang
gosip pasal kita kalau terserempak nanti. Pasal kereta pula,
saya boleh hantar awak semula ke hotel ni. Lagipun tak jauh
pun tempat kita nak makan tu. Saya pergi surau dulu. Dah
nak azan rasanya. Jom!”
Raysha terlopong.
“Tunggu apa lagi tu? Cepatlah kutip semua
barang-barang awak. Nanti lepas makan, tak payah awak balik
office balik. Saya pergi surau dulu. Nanti dah habis solat, saya
tunggu luar surau aje.” Hakimy terus melangkah keluar.
Raysha mendengus. Isy, ada juga bos macam ini ke?
No comments:
Post a Comment