Thursday, 23 June 2016

Kau Princess Aku Okay! - Bab 6

“TAMBAH lagi tu Esha. Badan tu kurus sangat
dah auntie tengok,” tegur Puan Soraya.
Raysha mengangguk. Kalau Puan Soraya tidak
menyuruh dia menambah, memang dia berhajat untuk
menambah lagi. Sejak daddy meninggal dunia, dia tidak lagi
menyentuh makanan kegemarannya yang selalu dimasak
daddy. Sekali lagi sudu yang penuh dengan nasi disuap ke
dalam mulut.
“Tomyam dan paprik ni makanan kegemaran Esha,”
beritahu Encik Syazlan. Dia senang hati melihat Raysha
nampak begitu berselera.
“Patutlah makan tak pandang kiri kanan.” Tersengih
Iqram yang duduk di sisi Raysha. Dia pula semakin berselera
melihat Raysha yang begitu berselera.
“Eh, pedas ke kakak?”
“Termakan cili! Ingatkan sayur tadi.” Merah padam
muka Raysha. Dahinya sudah berpeluh.
Kelam-kabut Puan Soraya hendak bangun tetapi
dihalang Iqram.
“Takpe mak su. Nah!” Iqram menghulur gelas berisi
air sirap.
Tanpa banyak soal, terus Raysha meneguk laju. Dia
langsung tidak perasan Encik Syazlan yang sudah saling
berpandangan dengan Puan Soraya. Sofiyya pula semakin
lebar sengihnya. Pelik. Memang pelik. Sejak bila pula Iqram
ini tidak kisah berkongsi air ataupun makanan? Semua orang
tahu betapa Iqram amat mementingkan kebersihan.
“Terima kasih.” Gelas diletakkan di atas meja semula.
“Sebenarnya dah lama saya tak makan tomyam ni.
Dulu arwah daddy selalu masak. Sejak arwah daddy sakit
teruk, dah lama sangat Esha tak makan.” Wajah Raysha
bertukar keruh.
Iqram terkejut. Terkulat-kulat dia memandang
Encik Syazlan dan Puan Soraya.
“I’m so sorry Esha. Saya tak tahu daddy awak dah
takde. Jadi, siapa ada di London sekarang? Ibu awak?” soal
Iqram ingin tahu.
Raysha menggeleng. Kenapalah soalan macam ini
nak tanya waktu dia tengah berselera nak makan? Kan dah
hilang selera!
“Iqram.” Panggil Encik Syazlan.
Dahi Iqram berkerut. Pelik melihat wajah Puan
Soraya dan Sofiyya. Encik Syazlan juga seperti menghantar
isyarat supaya dia diam.
“It’s okay, uncle. Mummy saya dah lama meninggal…
waktu umur saya lima tahun.”
“Sorry, awak.”
“It’s okay. Saya ada abang. Bukannya saya seorang
aje,” balasnya.
“Uncle, auntie… Piyya pun ada,” sampuk Encik
Syazlan.
Raysha tersenyum. Terharu dengan layanan baik
mereka kepadanya.
“Oh, abang awak sekarang kat mana?” soal Iqram
ingin tahu.
Raysha memandang lelaki di sebelahnya. Pelik
kerana banyak betul dia bertanya.
“Melbourne.”
“Kerja apa?”
“Arkitek.”
“Company apa?”
“Meor & McCormick Architects.”
“Really?” Iqram nampak terkejut.
“Eh, awak kenal?” Berkerut dahi Raysha.
“Mestilah saya kenal. Syarikat tu agak well-known.
Pernah menang international. Eh, tapi bukan ke Meor &
McCormick Architects kat London?”
“Abang saya uruskan projek kat Melbourne. Mungkin
dalam tiga tahun. Tahun depan kalau settle, balik semulalah
ke London,” jawab Raysha. Dia terasa bangga kerana Iqram
mengenali syarikat usaha sama arwah daddynya dengan
Uncle William.
“Wow, hebat. Kalau ada rezeki, bolehlah saya dan
abang awak bekerjasama. Tapi mesti susah, kan?” Iqram
tergelak kecil pula.
Encik Syazlan menggeleng.
“Budak ni… kepala tu asyik fikir kerja aje.”
Iqram tarik sengih.
“Awak pun arkitek juga ke?” soal Raysha ingin tahu.
“Tak. Saya kontraktor aje.”
“Sudah-sudahlah bercerita pasal kerja tu. Naik
muak mak su dengar. Hmm… malam ni Esha tidur sini ya?
Lagipun dah malam sangat ni. Esok boleh aje Esha pergi kerja
sama-sama dengan uncle,” sampuk Puan Soraya dengan nada
separuh memujuk. Dia memang mahu berborak panjang lagi
dengan gadis ini.
“Hmm… takpelah auntie. Lain kali ya? Lagipun Esha
tak bawa baju,” tolak Raysha serba salah. Tambah serba salah
dia apabila melihat wajah muram Puan Soraya dan Sofiyya.
“Lain kali ajelah awak ajak Esha. Lagipun tadi dia
dah penat pergi Ipoh. Esok nak pergi mana pula Esha?” soal
Encik Syazlan. Dia faham kenapa Raysha menolak. Kalau
bermalam di rumahnya, nampaknya malam ini tidak tidurlah
Raysha kerana terpaksa melayan isteri dan anaknya berbual.
“Shah Alam rasanya,” jawab Raysha lambat-lambat.
Dia masih mengambil masa mengingati nama tempat.
“Kalau macam tu… nanti biar Iqram ajelah hantar
Esha balik. Awak duduk mana?”
“Hotel.”
“Eh, tak cari rumah lagi?” soal Iqram terkejut.
“Esha last minute baru beritahu nak tukar. Uncle
sendiri tak sempat carikan rumah sewa. Sebab tu Esha duduk
hotel aje lagi,” sampuk Encik Syazlan. Nampak riak bersalah.
“Hmm… takpelah. Nanti Iqram tolong carikan juga.
Umur awak ni berapa?”
“Hah?” Terkejut dengan soalan tiba-tiba itu.
“Bukanlah… rasanya awak ni lagi muda daripada
saya, kan?” soal Iqram.
Raysha mengangguk. Lagipun tadi Encik Syazlan
sudah memaklumkan usia lelaki ini.
“25 tahun.”
“Oh, kalau macam tu… Esha panggil ajelah saya
‘abang’ macam Piyya ni panggil. Takdelah rasa kekok sangat
nanti,” ujar Iqram.
“Betul tu kakak. Abang Iqram ni dah tua. Memang
layak sangat kakak panggil dia ‘abang’. Panggil ‘uncle’ pun
takpe juga, kan Abang Iqram?” sakat Sofiyya.
“Ai… budak kecik ni! Abang tak mahu belanja
apa-apa dah nanti,” ugut Iqram.
Sofiyya tarik sengih.
“Okey. Okey. Piyya takkan kutuk Abang Iqram lagi
depan kakak,” ucap Sofiyya ketawa kecil. Dia terus bangun
dari duduknya menuju ke singki. Raysha turut sama bangun.
“Budak berdua ni… kalau tak bertekak memang
tak sah!” Tergeleng-geleng Encik Syazlan. Dia menyerahkan
pinggan kepada isterinya.
“Biar aje situ Esha,” tegur Puan Soraya apabila
melihat Raysha sudah mula menyingsing lengan baju. Rambut
yang dibiarkan tidak terikat tadi juga sudah disanggul tinggi.
“Takpe auntie. Bukan banyak pun. Lagipun Esha
makan banyak tadi.”
“Nanti balik… Abang Iqram hantar awak balik ya?
Kesian pulak nak suruh uncle,” ucap Iqram yang sudah
berdiri di sisi Raysha. Sempat dia menolak Sofiyya. Dia kenyit
mata kepada Sofiyya yang sudah tersengih penuh makna.
Jantung Raysha berdegup kencang. Lelaki ni dah
kenapa? Baru nak elak, dah boleh tercegat di sebelahnya pula.
Siap hulur tangan meminta pinggan yang sudah disental
dengan sabun. Raysha menjeling ke arah Puan Soraya dan
Encik Syazlan yang sudah tersengih-sengih.
“Takpelah. Saya boleh naik teksi.”
“Tak payah. Biar Iqram tu hantar. Kalau tak nak
Iqram hantar, Esha tidur sini malam ni. Uncle pun rabun
juga nak memandu malam-malam ni.” Sengaja Encik Syazlan
beralasan.
Raysha mengeluh. Tersepit pula dia. Rasa nak sepak
jauh-jauh aje lelaki di sebelahnya ini. Penyibuk kuasa dua!
Honda Civic Type R berwarna merah diletakkan betul-betul
di hadapan pintu masuk Mega Hotels and Resorts Kuala
Lumpur. Pengawal yang bertugas sudah sedia maklum
dengan kereta milik Iqram, hanya membiarkan sahaja.
“Takpelah Abang Iqram. Saya boleh beli sendiri
nanti.” Raysha menggeleng.
Wajah tegang Raysha dipandang sekilas. Degil
sungguh!
“Lah, ambil ajelah. Lagipun memang Abang Iqram
baru beli telefon baru. Alang-alang awak tertinggal telefon,
guna ajelah dulu telefon ni.” Iqram masih tidak berputus asa.
IPhone diserahkan kepada Raysha.
“Mungkin ni bukan yang latest, tapi kalau awak nak
yang latest, nanti kita beli,” pujuk Iqram lagi. Sebenarnya
dia sendiri naik pening dengan keprihatinan tiba-tiba
dirinya kepada gadis comel di sebelahnya ini. Mungkin juga
disebabkan dia tahu Raysha kini yatim piatu dan hanya
mempunyai seorang abang… dan juga berseorangan di bumi
asing ini walaupun gadis itu berdarah Melayu.
“Hmm… kat London pun memang saya guna yang
ni aje,” sahut Raysha merendah diri.
Iqram garu kepala. Dia sudah kecilkan hati Raysha
ke?
“Macam ni… selagi awak tak beli telefon baru, atau
balik London ambil telefon awak… guna ajelah iPhone ni.
Buat harta pun Abang Iqram tak kisah. Kebetulan Abang
Iqram memang ada dua nombor. Cuma nombor ni famili aje
tahu. Nanti Abang Iqram beritahu famili Abang Iqram jangan
guna nombor tu dah.”
Raysha mengeluh. Dia pandang lama wajah Iqram.
Cuba mencari keikhlasan daripada pertolongan yang
ditawarkan itu. Lagipun mereka baru kenal tidak sampai satu
hari. Kenapa baik sangat lelaki ini?
“But what about the phone bill?”
“Err... you text me your e-mail. I forward the bill to
you.”
“Thanks.” Raysha tersenyum. Dia pandang lagi
wajah Iqram.
“Abang Iqram ni memang baik dengan semua orang
ke?”
Iqram tersengih. ‘Dengan awak sorang aje….’
“Takdelah. Awak kan dah macam ahli keluarga pak
su Abang Iqram juga. Abang Iqram tengok betapa rapat betul
awak dengan Piyya tu. Piyya tu memang Abang Iqram dah
anggap macam adik sendiri. Memang dia tu ada masalah
keyakinan diri sikit.” Iqram mengeluh apabila teringatkan
adik sepupunya itu.
“Saya dah sedar lama. Piyya suka bandingkan diri dia
dengan orang lain.”
“Jadi… awak terima ya iPhone ni? Semua contact
saya masih ada dalam tu. Mana yang awak rasa nak delete,
awak delete aje.”
Raysha mengangguk. Dia membelek iPhone yang
berada di tangannya kini.
“Nombor Abang Iqram?”
“Kejap!” Hampir Iqram terlupa. Dia menyeluk
poket seluar. IPhone yang baru sahaja dibelinya semalam
dikeluarkan. Tidak sampai beberapa saat, iPhone di tangan
Raysha berbunyi.
“Ha, itu nombor Abang Iqram. Save.”
“Lagu apa tadi?”
“Lagu?” Berkerut dahi Iqram.
“Lagu yang keluar dari telefon ni.”
“Hmm….” Kelu Iqram hendak menjawab. Adiknya
yang sibuk mahu menukar nada dering iPhone miliknya itu.
Selama ini dia lebih senang dengan hanya menggunakan
nada dering default yang sedia ada. Dia malas mahu memuat
turun dari iTunes. Leceh!
“Tajuk lagu tadi… Masih Mencintainya,” beritahu
Iqram.
Raysha tarik sengih.
“Romantik juga ya Abang Iqram ni. Lagu cinta.”
Tersengih Raysha tidak percaya.
“Takdelah. Kebetulan baru download. Awak nak
dengar?”
Laju Raysha mengangguk.
Jika teringat tentang dirimu
Berlinang air mataku
Kurindu saat-saat bersamamu
Kasih sayangmu padaku
Kini kau bukan milikku
Dan berakhir sudah cintaku
Biarkan saja hatiku bicara
Ku masih sayang padamu
Aku selalu mendoakanmu
Agar kau bahagia
Bersama dirinya selamanya
Mengapa mudahnya hatimu mendua
Ku lapangkan dada walau aku terluka
Semoga bahagia bersama dirinya
Karena kau telah memilih dia
Betapa sakitnya apa yang kurasa
Tuhan kuatkanlah hatiku yang terluka
Semoga kubisa tuk melupakannya
Karena ku masih mencintainya
Kini kau bukan milikku
Dan berakhir sudah cintaku
Biarkan saja hatiku bicara
Ku masih sayang padamu
Aku selalu mendoakanmu
Agar kau bahagia
Bersama dirinya selamanya
wooo wooo...
“Best?” soal Iqram perlahan.
Raysha pandang Iqram. Entah kenapa, fikirannya
terus melayang kepada Aidan di London. Tiba-tiba dia diburu
rasa bersalah. Sudah lama juga dia tidak berbual dengan Dash
sejak dia sampai di Malaysia.
“Sedih sangat ke lagu ni?” soal Iqram lagi. Terkejut
melihat mata Raysha yang sudah berkaca-kaca.
“Takdelah. Hmm… jom tangkap gambar nak?”
Raysha tarik senyuman lebar.
“Hah?”
Raysha mengeluarkan Instax Mini 90 Neo Classic
dari dalam beg tangannya.
“Wow!” Iqram kagum.
“Esha selalu bawa pergi mana-mana kamera ni.
Mari dekat sikit.” Selamba Raysha tarik lengan Iqram. Tanpa
sempat Iqram berkata apa-apa, kamera itu terus mengeluarkan
cahaya dan sesaat kemudian gambar mula keluar.
Iqram terlopong.
“Terima kasih Abang Iqram. Jangan terkejut macam
tu sekali. Memang Esha suka simpan gambar macam ni.”
Gambar sudah disimpan ke dalam beg.
“Nak tengok!” Sebenarnya hati Iqram sudah
berbunga ceria apabila mendengar Raysha membahasakan
dirinya. Sudah hilang panggilan ‘saya’ tu. Amboi, mesra
sungguh!
Raysha menggeleng. Dia terus membuka pintu
kereta dan melangkah keluar, lalu terus menuju ke bahagian
pemandu. Iqram segera membuka tingkap kereta. Dia
menatap wajah comel Raysha yang tersenyum girang.
“Terima kasih hantar Esha balik. Terima kasih untuk
lagu tadi. Selain daripada lagu P. Ramlee dan Jamal Abdillah
yang arwah daddy selalu dengar, lagu tadi tu… lagu Melayu
pertama yang Esha dengar.” Semakin melebar senyuman
Raysha.
“Bukan lagu Melayu, tapi lagu Indonesia sebenarnya,”
maklum Iqram segera.
“Oh, ya ke? Takpelah. Sama aje Esha dengar.”
“Abang Iqram nak tengok gambar tadi.” Iqram masih
tidak berpuas hati.
“Jangan risau. Esha sorang aje tengok.” Raysha tarik
sengih dan dia terus mencicit masuk ke dalam hotel.
Iqram terpinga-pinga. Dia pegang dada. Sudahlah...
kenapa jantung dia ni tak berhenti-henti berdegup macam
baru lepas balik gim?

No comments:

Post a Comment