HAKIMY membuka pintu bilik sederhana besar
milik adik kembarnya. Perasaan bosan membelenggu diri.
Hendak keluar, dia tiada tempat hendak dituju. Dia baru
berpisah dengan Suzanna. Semua kawan-kawannya pula
sibuk. Malas dia hendak melayan pujuk rayu Suzanna ketika
ini. Dia tidak pasti sama ada adiknya, Najmy sudah pulang
ataupun tidak. Tetapi apabila melihat bilik mandi yang
bercahaya, dia tersenyum.
“Takde bilik sendiri ke?” Sindiran adiknya
menyebabkan Hakimy yang baru hendak memanjat katil
tersengih.
Najmy yang masih bertuala terus bergerak masuk ke
dalam walk-in wardrobe. Dia mengambil t-shirt dan seluar
pendek, lalu melangkah keluar menghadap abang kembarnya
semula.
“Aku bosanlah.”
“Bosan?” Najmy ketawa. Wajah abang kembarnya
dipandang sekilas sebelum menyarung t-shirt dan seluar
pendek. Tuala yang basah dicampak. Pantas Hakimy
mengelak.
“Wei, pengotor!”
Najmy ketawa. Tuala dicampak kembali kepadanya.
“Aku ingat nak sambung kerja.” Najmy memberitahu
rancangannya. Walaupun dia sudah bekerja dan bergelar
doktor, tetapi sebenarnya setiap hari dia seperti belajar benda
baru. Kadang-kadang dia perlu buka kembali ‘kitab-kitab’
lama.
“Kerja apa lagi?” Hakimy duduk bersila di atas katil.
Bosan sungguh hari ini. Dia malas hendak membawa pulang
kerjanya yang memang bertimbun-timbun di hotel.
“Sejak akhir-akhir ni banyak pula kes baru kat
hospital. Kau sendiri tahu, kan?” soal Najmy.
“Aku tahu. Tapi kerja pejabat, buat kat pejabat,”
balas Hakimy.
“Abang, kau ni peliklah. Kenapa ni? Masalah dengan
girlfriend ke?”
Hakimy terpinga-pinga.
“Mana ada.”
“Kalau takde, kenapa tak keluar? Selalunya lewat
malam baru sampai rumah. Ni baru pukul 10.” Itulah
kenyataan yang sudah Najmy sedia maklum. Nasib baiklah
dia sibuk di hospital, jadi tidak terasa apabila Hakimy selalu
keluar malam.
“Kau ni perli aku ke Jimy?”
Najmy tersengih sahaja. Beberapa buah buku diambil
dari rak dan diletakkan ke atas meja yang sudah bersepah
dengan pelbagai kertas dan fail. Dia menghidupkan iMac.
Hakimy berbaring di atas sofa berangkai tiga yang
berada di sudut bilik berhadapan dengan meja kerja Najmy.
“Sibuk sangat ke ni?”
Najmy mengangguk. Dia masih baru di hospital
selepas menamatkan pengajian beberapa bulan lepas. Jadi
banyak benda yang perlu dipelajari. Dia doktor baru. Penyakit
sebenarnya sama seperti teknologi. Dunia kian moden,
banyak pula ‘penyakit moden’ yang muncul. Dia sekarang
bekerja di Earth Medical Hospital, Kuala Lumpur. Oleh sebab
dia menyambung pelajaran dengan duit sendiri, jadi dia tidak
terikat dengan kerajaan. Lagipun Datuk Abdullah Harris juga
ada saham di Earth Medical Hospital.
“Kau ada masalah ke abang? Siapa nama girlfriend
baru kau tu?”
“Suzanna,” balas Hakimy semakin bosan. Dia dan
Suzanna hampir tiga bulan bercinta. Alahai kenapalah
hatinya cepat sangat bosan? Dia pun tidak faham. Dulu dia
sangat sayangkan Suzanna, tetapi lama-kelamaan dia mulai
bosan. Tambahan pula dengan perangai Suzanna yang
cemburu buta itu.
“Ada masalah?”
Hakimy mengeluh. Itulah adiknya, semua benda
tidak boleh dirahsiakan daripadanya. Seakan-akan mereka
berkongsi hati dan perasaan yang sama. Jika dia mempunyai
masalah, pasti Najmy ada di sisinya dan sebaliknya.
“Small problem aje Jimy. Aku dah putus dengan dia.”
“So, what is your real problem? I know you, abang.
Kita bersama sejak dari perut mummy lagi. So, kau nak
bincang apa sebenarnya? Takkan kau masuk bilik aku kalau
takde masalah?” Najmy tidak terkejut apabila dimaklumkan
Hakimy baru sahaja putus. Abangnya itu tukar perempuan,
seperti tukar baju. Tetapi bukan sebarang baju. Baju juga
mesti ada brand.
“La.. takkan aku tak boleh jumpa kau. Sudahlah kau
sibuk 24 jam kat hospital. Iqram pun sibuk. Kawan-kawan
aku yang lain pun sibuk.”
“Okey. Aku minta maaf. Tapi sejak akhir-akhir ni aku
sibuk betul. Papa pergi mana? Dah lama aku tak nampak.”
Bulat mata Hakimy merenung adiknya.
“Seriously Jimy?”
“Apa?”
“Papa takde rumah pun kau tak perasan? Ni dah
tahap critical!”
Najmy tersengih.
“Aku tahu papa takde. Cuma aku tak tahu dia pergi
mana.”
“US.”
Najmy terdiam.
“US lagi?”
Hakimy malas menjawab. Rasanya dalam satu bulan,
tidak sah kalau papa tidak ke Amerika Syarikat. Mereka
tahu apa yang dibuat oleh papa, cuma mereka tidak tahu
bagaimana hendak menolongnya.
“Kau rasa macam mana rupa Abang Ejay? Macam
kita ke?”
“Kenapa kau tiba-tiba tanya?”
“Saja. Aku rasa mesti dia dah kahwin, kan? Kalau
aku tak silap, umur Abang Ejay mesti 32 tahun. Dia tua tujuh
tahun daripada kita, kan?”
“Yup. Kenapa kau tak tanya macam mana rupa adik
kita?”
Hakimy diam. Dia teringat sesuatu.
“Apa? Kenapa ni? Tiba-tiba muka kau berubah.
Kenapa abang?”
“Tadi ada PRO dari London datang,” beritahu
Hakimy.
Najmy merenung abangnya. “Cantik ke?”
Hakimy mengangguk laju sebelum memandang
adiknya. “Mana kau tahu dia perempuan, Jimy?”
Najmy ketawa. “Kau takkan bercerita pasal lelaki. I
know you, abang.”
Hakimy tersengih. Memang dia dan Najmy sangat
sesuai menjadi adik-beradik kembar. Tak payah nak jelas
panjang- panjang, Najmy sudah tahu.
“Terpikat?”
“Kau kan tahu, aku tak akan jalinkan hubungan
dengan kakitangan hotel.” Tegas suara Hakimy menyebabkan
kembarnya tersenyum. Sebenarnya itu adalah nasihat papa.
“Jadi kenapa? Kenapa kau beritahu aku?” soal Najmy.
“Dia macam kita.”
“Macam kita? Dia handsome ke? Tapi dia perempuan,
kan?” Najmy sudah tersengih
“Perasan juga kau ni, kan?” Hakimy tersengih juga.
“We have the same face, abang.”
“Itulah yang aku tak suka.” Hakimy mencebik.
Najmy tergelak. “Okay. Back to our topic. Kenapa
dengan PRO tu? Apa yang dia sama dengan kita? Dia pun ada
kembar ke? Kembar tiga?”
“Itu aku tak tahu. Dia mixed macam kita.”
“Bukan kau tak pernah jumpa orang mixed, abang.
Padahal ex kau dulu ramai mixed juga, kan?” soal Najmy
mula bosan.
“Aku tahu.” Perlahan suara itu. “Kau nak tahu nama
dia?” soal Hakimy.
Najmy mengangguk sahaja walaupun dia tidak
begitu berminat.
“Jihan Raysha.”
Najmy tersentak. Berpusing dia menghadap ‘muka
sendiri’.
“Kau terkejut, kan?” Hakimy menyoal.
“Rupa dia macam mana?”
“Aku dah kata macam kita. Cuma she has light blond
hair. Mata warna hazel, macam Iqram. Tapi dia lebih light.
Cantik.” Itu paling penting. Raysha memang cantik. Hakimy
sendiri tidak tahu kenapa, dia merasakan memang gadis
kacukan itu sangat cantik di matanya.
“Kau ada siasat background dia?”
“Tak payah.”
“Kenapa pula?” Keras suara Najmy tampak tidak
berpuas hati.
“Dia bukan adik kita.”
“Mana kau tahu? Ada dia cakap ke?”
“Jihan Raysha Meor Muhammad Ebrahim. Ayah dia
baru meninggal dan kawan lama Uncle Syazlan. Uncle tak
cakap apa-apa pun. Lagipun warna mata dia hazel. Warna
mata adik kita biru macam mummy,” balasnya.
“Tapi warna mata boleh berubah-ubah. Mungkin
waktu baby biru, bila besar warna mata boleh jadi macam
kita atau hazel. Hmm… tapi kau kata kau tak siasat tadi.”
Lemah kembali suara Najmy. Dia sudah mengeluh. Walaupun
dia tidak berminat dalam mencari keluarganya yang hilang,
tetapi jauh di sudut hatinya dia juga berharap dapat berjumpa
dengan mereka walaupun sekejap. Dia teringin sangat
berjumpa dengan ibu kandungnya.
“Kalaulah dia adik kita, apa yang kau nak buat?” soal
Hakimy.
Najmy merenung abangnya lama.
“Kau tahu abang, dah lama kita cari mereka. Aku
tak sure apa yang aku akan buat. Hmm... aku nak tengok,
muka dia macam kita tak. Kalaulah rupa adik macam kita,
mesti kelakar juga, kan? Dia kan kembar kita. Muka kau sama
dengan aku. Dia pulak? Kita kan lelaki.”
Hakimy tersengih dan mengangguk. Banyak kali
juga dia cuba bayangkan wajah Jihan Raysha dalam rupa
mereka.
“Kau rindukan mummy, kan?”
Hakimy mengangguk.
“Aku pun sama. Kau tahu, kalau orang cerita pasal
mama mereka, sambut hari ibu... hmm… kadang-kadang
aku rasa, kenapa mummy tak bawa kita sekali?
Sekurang-kurangnya aku rasa kita takkan rasa...”
“Sunyi? Bosan? Lack of love?”
Najmy mengangguk. Walaupun mereka kaya dengan
harta benda, tapi mereka miskin kasih sayang. Mereka tahu
papa begitu sayangkan mereka, tapi setiap kali papa dan
nenek melihat mereka, pasti wajah mummy akan terbayang
di mata.
“Aku pun ada terfikir benda yang sama. Kau rasa kita
akan bahagia duduk dengan mummy?”
Najmy angkat bahu.
“Papa? Kau tak kesian kat dia?”
Najmy diam membisu seketika. “Aku sayangkan
papa. Aku respect dia.”
“Kau pernah salahkan nenek?”
Najmy menggeleng. “Nenek ada sebab yang
tersendiri, abang. Semuanya dah takdir. Abang, this is not the
first time we discussed about it. So, can we drop the subject?”
“Entahlah, Jimy... aku pun dah malas nak fikir. Kita
tak pernah berjumpa dengan mereka. Aku tak tahu sama
ada aku boleh atau tidak terima mereka menjadi sebahagian
daripada keluarga aku.”
“Keluarga kita.” Kenyataan itu dibetulkan Najmy.
Hakimy tersenyum tawar.
“So, apa kita nak buat sekarang? Aku dah tak
ada mood nak buat kerja,” Najmy sudah menutup iMac.
Menongkat dagu memandang abangnya. Kadang-kadang
kalau melihat Hakimy, dia terasa seperti melihat diri sendiri.
Hakimy ini memang macam cermin.
“Bagus! Jom main snooker,” ajak Hakimy girang.
Di dalam rumah mereka, rasanya semua benda ada. Kalau
menonton TV, mereka sudah terasa seperti di panggung
wayang. Kalau hendak bermain game, terdapat satu bilik
yang penuh dengan mainan mereka yang disimpan sejak
mereka kecil lagi. Cuma satu sahaja yang tidak mungkin
boleh dicari di rumah agam ini – kasih sayang. Kalaulah kasih
sayang boleh dijual beli...
“Kau memang dah lama nak ajak, kan?” soal Najmy.
“Dah lama kita tak main. Kau sibuk kat hospital. Aku
sibuk dengan hotel.”
“I think we better invite our big bro,” usul Najmy.
Hakimy angkat kening. Dia setuju sahaja. Terasa
kekurangan kalau bermain tidak mengajak Iqram.
No comments:
Post a Comment