Thursday, 23 June 2016

Kau Princess Aku Okay! - Bab 3

KETUKAN pada pintu mengejutkan Hakimy
yang sedang ralit membaca fail yang baru diserahkan oleh
Hanif. Fail peribadi Jihan Raysha yang tidak pernah dibacanya
sebelum ini. Sebenarnya ini juga kali pertama dia membaca
fail peribadi para pekerjanya.
“Yes Hanif?” Ternaik sebelah kening Hakimy.
Rasanya dia tiada janji temu selepas ini. Dia memandang
wajah pembantunya yang memang murah dengan senyuman
itu.
“Encik Iqram is here. He wants to see you.”
“Bro!”
Tidak sempat Hakimy berkata apa-apa, muncul
sudah orang dimaksudkan Hanif tadi. Tersengih-sengih
seperti kerang busuk.
“Wow, kau pergi mana selama ni? Aku rasa macam
lama… sangat tak jumpa kau.”
Hakimy menggeleng. Tidak hilang lagi perangai
sengal lelaki ini. Bukankah pagi tadi mereka berselisih kereta
sewaktu hendak ke pejabat? Sempat berbalas hon sehingga
mengejutkan beberapa ekor anjing yang turut menjadi ‘jaga’
rumah jiran-jiran mereka yang bukan beragama Islam.
Walaupun kedudukan rumah mereka tidak begitu dekat,
tetapi masih berada dalam kawasan yang sama.
“Awak boleh keluar Hanif. Buatkan kopi.”
“Eh, tak payah. Aku nak ajak kau keluar ni.”
Hanif tidak jadi melangkah keluar.
“Awak boleh keluar Hanif. Terima kasih.”
Hanif mengangguk dan tersenyum sahaja. Pintu
ditutup rapat.
“Kau nak apa Iqram Zafriel?” Hakimy menyoal
malas. Gaya lelaki itu seperti tiada kerja hendak dibuat.
Padahal masing-masing sibuk dengan urusan kerja yang
tidak habis-habis.
“Kau tengok apa tu? Khusyuk sangat aku tengok.”
Soalan tidak dijawab. Dia melangkah menghampiri Hakimy
dan terus duduk tanpa dipelawa. Diperhatikan sahaja Hakimy
yang sudah menutup fail sambil mengeluh.
“Nothing. Kau dari mana ni? Tiba-tiba aje muncul?”
“Tak boleh ke? Hmm… aku ni baru balik dari jumpa
klien. Jom makan. Aku lapar.” Iqram malas memanjangkan
cerita. Lagipun memang perutnya seperti berbunyi-bunyi
minta diisi dengan segera.
“Kau jumpa klien kan? Kenapa tak makan sekali?
Menyusahkan aku aje kena teman kau.” Ayat itu terluah.
Hubungan dia dengan Iqram sudah seperti adik-beradik.
Mereka rapat kerana papa Iqram merupakan sahabat baik
papanya. Kutukan dan sindiran sudah menjadi asam garam
hubungan mereka.
“Aku rindu kat kau.” Iqram mengekek ketawa.
Hakimy menjegilkan mata.
“Bila masa kau gay?”
“Dah lama, kau aje yang tak perasan.” Iqram buat
wajah selamba.
“Yalah tu! Malas aku nak layan kau. Jomlah. Aku
lapar jugak ni. Penat aku bergaduh dengan Suzan tadi. Terus
hilang selera makan.”
“Kau gaduh lagi?” Iqram langsung tidak nampak
terperanjat.
“Dia tu cemburu buta. Pantang nampak aku dengan
orang lain. Jom. Lepas ni aku ada video conference dengan
cawangan di Bangkok.”
“Pukul berapa?”
“Ada tiga jam lagi. Nak makan kat mana ni?” soal
Hakimy. Kening terangkat.
“Coffee Bean sudahlah. Sibuk sangat sekarang,
langsung takde masa lepak sana macam dulu. Itu yang aku
rindu sangat pada kau dengan Jimy.”
Hakimy hanya mengangguk dan tergeleng. Malas
melayan. Tali leher yang dipakainya tadi dilonggarkan sedikit.
Dia mengambil iPad dan iPhone yang elok sahaja tersusun.
Dia memang tidak boleh berpisah dengan gadget tersebut.
“Kau drive?”
Iqram mengangguk. Keretanya memang sudah
menunggu di hadapan hotel.
“Bos, ada hadiah,” tegur Hanif dan terus
menghulurkan bungkusan berwarna merah apabila melihat
kelibat Hakimy dan Iqram melangkah keluar dari bilik.
“Awak makan ajelah, Hanif.” Hakimy terus berlalu.
“Lisa bagi ke? Kenapa tak makan? Coklat dari bakery
Lisa tu sedap,” ujar Iqram sambil tersengih. Matanya hanya
memandang Hakimy yang menekan lif.
Hakimy menoleh. Dia mengangguk.
“Aku tahu sedap. Tak faham betul aku dengan Lisa
tu,” ujar Hakimy sedikit geram. Seperti Iqram, keluarga
Nurlisa juga berkawan baik dengan keluarganya. Tetapi
mereka tidak begitu rapat. Hubungan keluarga mereka lebih
kepada hubungan perniagaan. Nurlisa sebaya dengan Iqram.
Sewaktu kecil dulu, dia memang membahasakan Nurlisa
dengan panggilan kakak, dan sama juga seperti Iqram.
Kedua-dua mereka tua hampir lima tahun daripadanya. Tetapi
disebabkan perangai Nurlisa itu, dia hilang rasa hormat.
“Jadi kau pernah makanlah?”
Hakimy mengangguk. Dia hanya makan sekali
sahaja.
“Kesian Lisa. Ingatkan bila korang sambung belajar
sama-sama kat Michigan dulu, korang jadi BFF. Tapi impian
Lisa tu hanya impian aje.” Iqram tersengih lagi.
“Kat sana rapat juga, sebab susah nak jumpa Melayu.”
“Tapi dia banyak tolong kau, kan?” Iqram sengaja
mahu membangkitkan rasa marah Hakimy.
“Memanglah! Banyak tolong aku, menyusahkan aku
pun banyak juga.” Hakimy mendengus. Memang Nurlisa
banyak menolongnya berlakon menjadi ‘orang ketiga’,
tetapi dalam masa yang sama, Nurlisa juga punca dia banyak
bergaduh dengan teman wanitanya. Nurlisa ibarat duri dalam
daging.
“Lisa tu lawa, cantik. Kau reject. Aku tak fahamlah
dengan taste kau,” Iqram garu kepalanya yang tidak gatal.
Tidak dinafikan Nurlisa sebaya dengannya, tetapi rasanya
sesuai sahaja hendak digandingkan dengan Hakimy.
“Aku dah anggap dia macam kakak aku sendiri
walaupun takdelah rapat sangat. Takkan aku nak bercinta
dengan kakak aku sendiri kut?”
“Tak salah pun tua daripada kau, kan? Macam mana
dengan girlfriend baru kau ni? Lisa ada kacau dia ke?”
“Takde kut. Sejak aku bercinta dengan Suzan dulu,
takde pulak aku dengar Suzan tanya aku tentang Lisa.”
Iqram tarik sengih. Dia faham dengan maksud ‘dulu’.
Nampaknya hubungan Hakimy dan Suzanna sudah berakhir.
“Break dah?”
Hakimy mengangguk.
“Aku single and available.” Tersengih Hakimy,
gatal. Selepas masuk ke dalam biliknya tadi, Suzanna ada
menelefonnya dan marah-marah. Jadi, tanpa berfikir panjang,
dia terus minta hubungan ditamatkan. Lagipun memang
sejak awal lagi, hanya Suzanna yang lebih menyukainya.
Dia pula hanya menjadikan Suzanna tempat menghilangkan
bosan. Tetapi semakin lama dengan Suzanna, dia semakin
bosan pula.
Iqram malas mengulas panjang. Perkara itu bukan
perkara luar biasa. Lagipun dia tahu, sahabat sejak kecilnya
ini tidak akan menangis kerana cinta. Cuma pernah juga
terdetik hubungan Hakimy dengan Suzanna mungkin akan
bertahan lama kerana gadis itu memang berbeza dengan
teman-teman wanita Hakimy sebelum ini. Suzanna seorang
pengacara muda yang terkenal dengan ikon Muslimah yang
menjadi ikutan para remaja dan golongan muda.
“Eh, aku nak tanya… tadi kau bergaduh dengan
siapa? Ex kau ke?”
Hakimy tercengang.
“Bergaduh?” Tidak pernah lagi dia bergaduh dengan
bekas-bekas teman wanitanya di dalam kawasan hotel.
“Kau grab bahu dia. Mata tenung mata. Sikit lagi aje
nak berlaga muka. Gaya macam dah nak cium aje. Aku masa
tu baru keluar dari washroom. Nak tegur… tapi takut klien
aku tunggu lama pula.”
Hakimy tergelak. Cium? Mungkin yang dimaksudkan
Iqram tadi ialah Jihan Raysha. Memang dia langsung tidak
perasan kelibat kawan baiknya ini.
“Mana ada aku nak cium dia. Aku ni bukannya
western sangat nak cium anak dara orang kat public walaupun
muka aku ni… muka western.”
“Dah tu, kau buat apa?” Iqram nampak tidak berpuas
hati.
“Aku terkejut aje tadi.” Hakimy tidak mahu mengulas
panjang. Memang sah gadis itu bukan orang yang dicarinya
selama ini. Mungkin betul... dalam dunia ini, beribu orang
mempunyai nama yang sama.
“Terkejut? Siapa dia tu sampai kau terkejut sangat?”
“PRO dari London.”
“PRO aje?” soal Iqram tidak percaya.
Hakimy mengangguk dan lif yang ditunggu sejak
tadi tiba-tiba terbuka. Mereka berdua melangkah masuk.
“Kau minat dia ke?”
“Aku takkan jalin hubungan dengan staf aku sendiri.
Macamlah kau tak tahu?”
Iqram sudah tersengih. Dia sedia maklum dengan
prinsip Hakimy itu.
“Kau rasa dia cantik tak?”
“Walaupun aku pandang dari jauh, tapi aku tak
nafikan dia memang cantik. Dia dari mana?” soal Iqram ingin
tahu.
“London.”
Iqram hanya mengangguk.
“Kau rasa dia bangsa apa?”
Iqram tercengang dengan soalan yang agak pelik itu.
“Kalau sah-sah muka merah macam kena bakar,
she has beautiful light blond hair... memang sah bukan
orang Melayu. Kau cakap dia dari London tadi, kan? So, she's
British? Kenapa?” Pelik Iqram dengan soalan Hakimy tadi.
“Aku pula?”
“Kenapa dengan kau?”
“Kata-kata kau tadi macam merujuk pada aku juga,
cuma aku light brown hair.”
Iqram terpinga. Dia tidak faham. Apa kaitan pula
antara Hakimy dan wanita itu? Lama dia memandang Hakimy.
Dia kenal Hakimy sejak Hakimy kecil lagi. Jadi?
“Dia mixed macam kau?” soal Iqram ragu-ragu.
Hakimy tersenyum dan mengangguk.
“Dia langsung tak nampak macam mixed bro.
Kacukan apa? Kalau setakat kacuk sesama orang putih tu,
memang tak hairanlah dia blond macam tu.” Walaupun Iqram
melihat dari jauh, tapi dia tahu wanita itu cantik. Gadis itu
nampak seperti Serena van der Woodsen dalam cerita Gossip
Girl.
“Dia macam aku. Ayah dia Melayu. Mak dia orang
putih la kut.”
Iqram melopong. Dia tidak percaya!
“Tadi aku tengok kau nampak terperanjat. She can
speak Malay?”
“Yup. But she has a strong British accent.”
“I’m impressed. Hope I can hear it. Bangga aku jadi
anak Melayu.” Kembang kempis hidung mancung Iqram.
“Kau nak? Aku boleh rekomen.”
“Gila! Kau ingat aku ni terdesak?” tekan Iqram.
“Aku kesian mak bapak kau. Tak sabar nak menimang
cucu lelaki pula!”
“Oi, kau lupa ke Kak Tasha dah delivered cucu
lelaki untuk papa aku? Cukuplah sorang.” Geleng Iqram. Dia
memeluk tubuh.
“Maksud aku… cucu lelaki daripada anak tunggal
lelaki papa kau!”
“Sudahlah Kimy. Kau jangan nak terlebih jadi papa
aku pulak. Papa aku relaks aje aku membujang ni… kau
jangan nak lebih-lebih pulak.”
Hakimy tersenyum. Dia tidak jadi mahu membalas
apabila pintu lif sudah terbuka.

No comments:

Post a Comment