Thursday, 23 June 2016
Kau Princess Aku Okay! - Prolog
13 Mac...
“I ceraikan you dengan talak satu….”
Hujan semakin lebat. Abdullah Harris beristighfar
beberapa kali. Dia tidak sangka jambatan kasih yang dibina
hampir lapan tahun runtuh jua. Akhirnya dia mengucapkan
sesuatu yang halal di sisi Allah, tetapi paling dibenci Allah.
Ya, dia juga benci dirinya sendiri. Dia benci kerana dirinya
boleh terperangkap dalam perangkap yang dibuat oleh
ibunya sendiri. Dia tidak sangka ibunya sanggup mengaibkan
anak sendiri semata-mata ingin mendapatkan apa yang
dikehendaki.
Tetapi dia tidak sanggup membenci ibunya.
Sesungguhnya syurga di bawah telapak kaki ibu. Ibunya
sanggup meruntuhkan rumah tangga anak kandungnya
sendiri kerana perasaan benci kepada Miasara O’ Neil. Semua
ini disebabkan dia berkahwin dengan Miasara di Amerika
Syarikat dulu tanpa persetujuan ibunya.
“Aku nak kau kahwin dengan Ku Julia bulan depan.”
Ucapan Puan Sri Tengku Zanariah bagaikan petir.
Abdullah Harris terjelepok pula. Ya Allah, dugaan
apakah ini? Bagaimana dia mampu untuk mencintai Ku Julia
sedangkan hatinya hanya ada kepada Miasara, gadis yatim
piatu yang berasal dari Amerika Syarikat. Dia yang membawa
Miasara ke Malaysia dengan harapan mahu memberikan
seribu kebahagiaan kepada wanita yang amat dicintainya itu.
Abdullah Harris merenung langkah ibunya. Hatinya
berdoa semoga Miasara mampu memaafkannya. Dia tidak
sangka yang dia sanggup melepaskan Miasara. Hatinya
bagai dirobek apabila melihat Miasara menitiskan air mata.
Miasara langsung tidak bersuara apabila dia melafazkan cerai
di hadapan Ku Julia dan ibunya. Hanya sebaris ayat sahaja
disebut Miasara yang akan diingati sampai mati.
Ku Julia dengan bangga memeluk tubuh. Dia
sepatutnya dikahwinkan dengan Abdullah Harris. Tetapi,
setelah empat tahun lelaki itu ke Amerika Syarikat untuk
menyambung pelajaran, lelaki itu balik membawa Miasara
dan seorang anak kecil. Puan Sri Tengku Zanariah yang
paling mengamuk dan terus menerus membenci Miasara
walaupun pelbagai cara dilakukan Miasara untuk menarik
hati ibu mentuanya itu. Typical story… tapi itulah yang
berlaku. Abdullah Harris dianggap menconteng arang dalam
keluarga terhormat mereka!
“Siti, kau kutip semua baju-baju dia!” Lantang suara
Puan Sri Tengku Zanariah.
Abdullah Harris pejam mata. Dia umpama orang
bodoh. Sanggup dia melihat isterinya dihina sebegitu rupa?
Tangisan dan laungan anak-anak kembarnya
menyentak lamunan. Salah seorang daripada anaknya
sudah diambil oleh Miasara. Memang itu perjanjian ibunya
dengan Miasara. Miasara boleh menjaga dua orang anaknya,
manakala dia pula menjaga dua orang lagi. Dia tidak sanggup
melihat mereka berpisah. Sesungguhnya mereka masih
belum mengenal dunia.
“I’m sorry. Please don’t forget us and please find
us in US. Selamat tinggal Harris.” Miasara tersenyum. Beg
pakaian yang dihulurkan Puan Siti diambil. Puan Siti sudah
menangis. Tidak sanggup melihat Miasara pergi. Semakin
kuat pelukan Miasara pada bayinya yang masih menangis.
Mungkin bayinya itu tahu diri akan berpisah dengan dua
orang lagi abang kembarnya.
“Salam papa, Ejay,” suruh Miasara. Dia sudah
pandai menyebut beberapa perkataan dalam bahasa Melayu
selepas beberapa tahun tinggal di sini. Walaupun masih
belum berjaya mendapat taraf kerakyatan kerana tidak fasih
berbahasa Melayu, tetapi setiap hari dia belajar.
Anaknya mengangguk sahaja dengan dahi berkerut
seribu. Beg sekolah yang dihulurkan oleh Puan Siti
disandangnya. Melihatkan Puan Sri Tengku Zanariah dan
Ku Julia sudah berlalu pergi, dia mendengus. Perasaan benci
meluap-luap dalam hati budak lelaki yang baru berusia tujuh
tahun itu.
“Jaga mummy baik-baik. Jaga baby baik-baik.
Janji dengan papa,” pesan Abdullah Harris. Dia tidak rela
berpisah dengan anak-anaknya. Terkelip-kelip mata bulat
itu merenung Abdullah Harris sebelum mengangguk laju.
Rambut perang anaknya diusap lembut. Lama merenung
dalam mata kelabu Daniel Rayzal.
Perlahan-lahan air matanya menitik. Peristiwa beberapa
hari lalu masih bermain dalam mindanya. Dia melepas
pandang pada dua orang anak lelakinya yang nyenyak tidur di
atas katil bayi. Hampir setiap hari mereka berdua menangis.
Sudah pelbagai cara dilakukan untuk membuatkan mereka
berdua kembali ceria seperti selalu. Kedua-dua mereka tidak
pernah berpisah dengan Miasara. Sedangkan dia yang sudah
dewasa juga tidak dapat menahan kerinduan kepada bekas
isterinya itu, inikan pula mereka berdua.
Rindunya semakin membuak-buak kepada anak
sulungnya dan satu-satunya anak perempuannya yang kini
mungkin sudah berada jauh di Amerika Syarikat. Dia tidak
pasti bagaimana hendak meneruskan hidup tanpa mereka
bertiga.
“Ya Allah, maafkan hamba-Mu ini. Maafkan ibuku,
Sara. Maafkan papa kerana tidak mampu menjaga kamu
berdua. Papa terlalu lemah untuk membantah keputusan
yang dibuat nenek kamu berdua.”
“Cintai siapa yang kamu cintai, tapi suatu
hari nanti kamu akan berpisah dengannya,
tetapi mencintai Tuhan kekal buat
selamanya. Selami keikhlasan pasangan
anda seadanya!”
No comments:
Post a Comment