“KAU okey ke ni, Qis?” Kepala Zita menjenguk
pandang dari cermin tempat duduk pemandu. Bangunan
syarikat minyak yang menaungi kerjaya teman baiknya
ini sejak menamatkan alam universiti dipandang tidak
berkedip-kedip. Ada sedikit rasa tidak sedap di hati. Entah
kenapa seakan dapat dihidu sesuatu yang bakal terjadi pada
Qistina hari ini.
Debaran di hati diredakan dengan lafaz istighfar.
Kan tak baik berburuk sangka. Kata Azhar hati manusia tu
kuncinya di tangan sang Pencipta. Mana tahu ‘dia’ itu sudah
berubah. Entah. Zita sendiri tidak pasti. Lama benar
dia tidak berjumpa makhluk pemusnah hati Qistina itu.
Harapannya cuma satu. Janganlah Qistina bertemu dengan
jantan keparat itu dihari pertamanya selepas lima tahun tidak
menjejak bumi Kuala Lumpur.
Qistina menabur senyum. Dalam kepalanya sudah
dapat dibaca apa yang sedang tertulis di hamparan minda
Zita. Mata dikenyitkan pada Zita yang takzim dikerusi
pemandu. “InsyaAllah, dan bebanyaklah terima kasih kerana
sudi menghantar aku on my first day to office. Muah...” Bibir
dimuncungkan. Mengusik.
Zita mencebik. Walang dan risau di dalam hati
diikat kemas. Tidak mahu terpamer. Qistina ketawa kecil.
“Banyaklah kau punya first day. Dah berkurun pun kau duduk
kat bawah paying si cengkerang kuning oren ni. Bila nak
berhijrah tak tau la aku.”
Qistina angkat bahu. Bibir mencebik. “Dah tak ada
yang offer aku...”
“Eleh. Melambak aje yang offer kau tu. Tapi kau
itu yang jual mahal. Agaknya si cengkerang ni dah tiuptiup
kau tak? Tu yang hati kau berat aje nak tinggalkan dia.
Setia tahap dewa dewi.”
“Isy, tak baik. Khurafat semua tu.” Zita mencebik
lagi. Lebih panjang muncungnya. Qistina meleret senyum.
Pintu dibuka. Beg Coach yang kaku di riba berpindah ke bahu.
Tali Vernazza coklat gelap dijinjing kejap. Bahu Zita ditepuk
lembut. “Thanks, Zie. Tak payah jemput. Aku balik sendiri
nanti. Sure banyak hal hari ni. Mengadap segala tok nenek
dalam ofis tu.” Zita angguk. Senyum. Salam dihulur Qistina.
Disambut senafas Zita. Langkah teman baiknya
itu dipandang hingga hilang dari sisi mata. Nafas dihembus
perlahan. Stereng BMW dikilas. Meluncur laju.
Senyum si penyambut tetamu yang jelas terkejut
dengan kemunculannya pagi ini dibalas dengan senyum lebar
dan manis. Gadis itu laju menolak kerusi belakang dan keluar
dari kepungan wilayah jagaannya.
“QIS?” Tubuh kecil Qistina tenggelam dalam pelukan.
Erat dia didakap. Dibalas. Memang Shima yang mesra
dipanggil Shim, si penyambut tetamu ini cukup dia kenal.
Masih setia di sini rupanya wanita ayu berkulit hitam manis
dan berambut pendek paras bahu ini. Sejak hari pertama
Qistina bertugas di sini dahulu, inilah wajah yang pertama
yang menyambutnya di sini. Dan saban hari senyuman
manis berlesung pipit ini tidak pernah gagal melontar
sapaannya kepada Qistina sebaik kaki melangkah masuk ke
pintu utama.
“Bila balik ni? Ya Allah. Rindunya aku kat kau, Qis!”
Pelukan perlahan dileraikan. Tangan masih saling
menggenggam. Erat seerat hubungan mereka berdua
selaku rakan sekerja disini.
“Kelmarin, aku singgah sekejap di sini. HR nak
jumpa. Tengok kau tak ada masa pass by kat depan kaunter ni.
Kata si Jessy, kau cuti.” Jessy adalah rakan setugas
Shima. Qistina tidak nampak pula gadis serani itu tadi.
Mungkin keluar sebentar membeli sarapan agaknya. Mata
Shima dilihat membuntang bila dikhabarkan akan
kedatangan ke sini semalam.
“Semalam, kau sampai dan hari ni dah masuk
kerja?” Kepala Qistina terangguk perlahan. Senyum dibibir
belum usai. Shima menggeleng kepala.
“Teruknya Encik Kamal. Tak bagi langsung kau
rehat, Qis. Orang tua itu memang, kan. Mendera aje kerja dia.
Dari dulu. Tapi, dia sayang kau, Qis. Macam kucing hilang
anak sejak kau tak ada. Muka pun tak pernahnya nak
senyum kalau lintas kat depan ni. Menyampah aku
kadang-kadang tengok dia.
Nasib baiklah handsome kan walaupun dah tua.
Dapatlah aku cuci mata juga kat sini.” Shima angkat kening
sambil tergelak. Ketawa Qistina turut terluncur. Seronok juga
mengutuk bos sesekali kan. “Okeylah, Shim. Aku gerak dulu.
Nanti kita lunch. Aku belanja. Lama tak borak dan meroyan
dengan kau ni. Missed those days so much,” Qistina minta diri
usai berbual ringkas dan bertanya khabar. Shima ketawa lagi
sambil angkat ibu jari. “Set baby. Jumpa lagi. Eh, jangan
lupa kirim salam kat bos kau yang handsome tapi muka ketat
itu.” Qistina ketawa lagi. Tapak tangan kanan diangkat dan
digoyang perlahan.
Pintu kaca ditolak perlahan bersama lafaz
bismillahirahmanirahim. Mata sempat menjelajah ke
seluruh ruang pejabat yang sudah berwajah baru. Segar.
Hiasan di dinding sudah bertukar. Cantik. Susuk tubuh Anis
yang sedang berdiri di hadapan sebuah meja menangkap
pandangan matanya. Gadis lincah itu dilihat sudah berlari ke
arah bilik Encik Kamal. Qistina menggeleng kepala. Bibir
menyulam senyum. Kaki terus melangkah. Beg Coach dibahu
bergoyang lembut seiring dengan gerak tubuh Qistina.
Tali Vernazza terus lekat di kelopak jari-jemari.
Langkah diatur. Tenang. Senyum dilontar bersama lontaran
ucapan salam dan selamat pagi pada rakan-rakan sepejabat
yang sudah berada di meja masing-masing. Rakan-rakan
lain yang berada di dalam bilik sudah keluar menyertai saat
kedatangannya diwar-warkan oleh Anis, si setiausaha ketuanya.
Siap diketuk semua pintu bilik yang tertutup tadi sebaik
melihat kelibat Qistina melangkah masuk.
Qistina sudah dikelilingi dan diserbu. Suasana yang
tadinya senyap mulai meriah dengan gabungan pelbagai suara
yang pelbagai. Dirinya ditubi dengan pelbagai soalan. Segalanya
diladeni sebaiknya. Ketawa bergema. Ruang pejabat bagaikan
berpesta. Encik Kamal Rizki, ketuanya turut dilihat keluar dari
bilik bersama sebuah senyuman yang sangat manis!
“Welcome back, Qis.” Tutur tenang yang terluncur
dari bibir ketuanya itu dibalas dengan senyum dan
anggukan.
“Terima kasih sebab masih perlukan khidmat saya
lagi di sini, Encik Kamal. Terima kasih kerana sentiasa
memberi sokongan dan semangat kepada saya selama ini.
I appreciate it very very much, boss!”
“You my best senior project engineer, Qis.”
“Well... glad i’m back to this office. Feel great. Feel
nice. Feel so awesome. No more homesick like those days.
Missed the food so much. Ahhh... lapar nak makan nasi
beriani gam Johor.”
Anis tayang sengih sambil mencuit bahu Qistina. Mata
dikenyit.
“Tak apa, Qis… nanti lunch Encik Kamal mesti
belanja. Right, boss?”
Encik Kamal dilihat Qistina menggangguk
sambil tersenyum kecil. “My treat. Everybody is invited.
Okay, everybody? Anis, do the booking okay?” Tepukan
bergema disertai siulan kecil yang sahu menyahut. Anis
tunjuk isyarat bagus. Dua ibu jari tegak ke atas.
“So Qis, which country will be your next secondment
application? State kut, hmmm. “ Zura, temannya si jurutera
kanan menyampuk. Bahu Qistina dipaut lembut. Hubungan
mereka sebagai rakan setugas sangat akrab. Selaku
operation engineer, Zura juga seperti Qistina sesekali akan
turun ke pelantar melakukan tugas-tugas pemeriksaan. Dan
pengauditan akan dilakukan mereka berdua jika timbul
sebarang masalah di pelantar.
Kamal laju menggeleng. Jari telunjuk turut sama
beraksi. Digoyang laju.
“I won’t let her go anywhere, Zura. Not anymore.
You’re needed here more, Qis. Everybody here missed your
work so much, Qis.” Soalan Zura pantas dijawab Encik
Kamal. Sedikit terkejut Qistina dengan tindakan spontan
ketuanya ini. Zura menoleh seraya mengangkat-angkat
kening sambil ketawa. Apa yang angkat-angkat kening ni Zura.
Tolonglah weh, mamat ni skandal kau, beb. Isy.
Sorakan bergema. Bertindan dengan siulan yang
diiringi suara-suara nakal mengusik. “Alah, Encik Kamal
tu yang rindu kat Qis. Janganlah nak coverlah bos.” Ada
suara yang membuka gelanggang usikan. Ketawa Qistina, Zura
dan Encik Kamal turut sama bergabung.
Tubuh dilabuhkan pada permukaan kerusi yang
menaungi bilik yang sudah lima tahun ditinggalkan. Beg
Coach dan Vernazza di letakkan di atas kabinet hitam paras
pinggang di belakang kerusi. “So... how is William and
Kate?” Wajah lelaki yang sedang berdiri di hadapan ditatap.
Senyum. Dipelawa ketuanya itu untuk duduk namun
lelaki ini menolak dengan alasan ada mesyuarat yang perlu
dihadiri sebentar lagi.
“Fine... very-very fine. Diaorang kirim salam
pada you, Kamal.”
Ketawa pecah. Perbualan bersambung dan berkisar
tentang tugas Qistina disana. Ketuanya itu turut berkongsi
kisah-kisah di pejabat ini selama ketiadaannya. Kata
Kamal, ketiadaan Qistina cukup dirasai lebih-lebih lagi
Zura yang selama ini adalah rakan akrabnya setiap kali
harus turun ke platform. Kata Kamal lagi, Zura memang
tidak selesa digandingkan dengan jurutera yang lain selain
Qistina.
Chemistry tak ada kata Zura. Susah nak buat kerja.
Pening kepala dibuatnya kata Kamal. Nasib baiklah Zura tu
cekap. Jadi susah payah pun dia akan buat sendiri. Qistina
senyum sambil menggeleng kepala. Zura... Zura. Nasib baiklah
bos kita ni skandal kau beb. Tidak, mahu angin dia dengan
perangai kau itu?
Kamal Rizki menoleh Tag Heuer dipergelangan kiri.
“Okay Qis, I need to go. See you later. Lunch with the
team, okay my treat. Discuss with Anis. Pick the place. Get
Zura to buzz me here.” Blackberry yang diseluk dari poket
kiri diangkat lalu digoyangkan.
“I’ll be there to joint you guys and girls.” Qistina
angguk. Senyum bertukar. Tubuh tegap lengkap berkod hitam
dan tali leher biru abstrak dipandang hingga hilang dibalik
pintu yang ditarik dari luar.
Nafas Qistina teralun perlahan. Lembut. Mata
menata pandang ke seluruh bilik. Bilik yang sekian lama
ditinggalkan. Lima tahun dia tidak menatap wajah
bilik ini. Bilik yang menyimpan seribu satu macam
kenangan buatnya. Mata dihala ke atas meja.
Diselusuri seluruh isi ruang meja kayu beralaskan
kaca yang menjadi meja kerjanya sejak dahulu. Diusap
perlahan permukaan kaca nan licin hingga ke hujung. Mata
jatuh pada tombol laci. Perlahan-lahan tangan menarik laci di
sisi meja. Sebuah frame kaca yang terlungkup diangkat keluar.
Diterbalik. Nafas yang lembut tadi mula berliku. Bibir
dikemam. Laju dimasukkan kembali frame ke dalam laci.
Diterbalikkan. Ditolak deras. Kuat. Kepala dan tubuh
dihempas pada kerusi baldu hitam yang menaungi belakang
tubuh.
“DIA dah balik.”
“Balik? Dia? Siapa yang kau maksudkan ni Ray?”
“Qis..., Annur Qistina.”
Fail hitam di tangan yang dipegang tergantung
seketika. Wajah Ray yang sedang takzim melipat lengan
baju direnung. Kalau Ray melipat lengan baju pastinya
waktu pejabat sudah tamat. Itu memang cara Ray. Rimas
katanya. Bila disindir Khalish dahulu dengan menyatakan
cara teman baiknya itu betul kekampungan, Ray tidak
pernah berkecil hati. Suka hati lah nak kata apapun
dengan caranya ini. Asal sahaja dia selesa. Itu yang lebih
penting.
Kepala kembali mengundur masa. Apa yang
terluncur dari bibir lelaki di depannya sebentar tadi buat
Khalish terpanar. Nama yang sekian lama tidak didengar
itu meniti kembali di fikiran. Menghentak kuat hingga ke
jantung. “Dia” dah balik? Bila? Takkan papa dan mama
tak tau pula. Mustahil! Atau mahu merahsiakan berita ini
daripada sampai ke telinganya. Mahu menghukum dirinya lagi.
Air liur cuba ditelan. Pahit.
“Mana kau tau?”
“Adik ipar aku kan receptionist kat sana.”
Kepala diangguk. Cuba berlagak bagai tiada yang
istimewa dari berita yang bahru didengar. Cuba melontar
tenang.
“Baguslah kalau dia dah balik ke sini. Takkan nak
bertapa kat negara orang sampai kiamat. Keluarga dia pun ada
lagi di sini. Sampai bila nak larikan diri.”
Ray geleng kepala.”Kau tak nak pergi jumpa dia, Khal?
Kau pun tak pernah lupakan dia selama ni kan.”
Ketawa. Sinis. Sengaja. Cuba menutup debar yang
gila membadai di dalamhati. Mana mungkin dilupa wajah
indah itu.
“Apasal aku nak kena pergi jumpa dia. Dia dah
tak ada kena mengena dengan aku lagi. Kau pun tau kan Ray.
We both are finish. Full stop.”
Ray lepas keluhan berat. Kepala digeleng perlahan.
Tahu benar keras hati lelaki di depannya ini.
“Apa kau cakap, bro? Tak ada kena-mengena dengan
kau lagi? Yang kau dah buat dulu pada dia tu apa cerita.
Kau jangan lupa, Khal. Kalau kau lupa, aku boleh ingatkan
kau semula hal tu. Tolong bakar ego kau tu. Jangan
sampai kau yang rentung nanti. Kau pun tahu maksud aku
ni kan. Aku tahu kau pun sebenarnya memang menantikan
saat ini. Saat dia kembali.”
Jeda.
Ray bangkit dari duduk. Wajah endah tak endah
Khalish Ariq direnung dengan satu rasa yang bergumpal
di jiwa. Sudah terlalu lama tersimpan. Mahu dilontarkan hari
ini.
“Kau kena ingat satu, bro. Kau hutang dia.
H-U-T-A-N-G. Bukan sebarang hutang. Hutang maruah!
Maruah dia yang kau pijak. Maruah keluarga dia yang kau
pijak. Kau jangan lupa tu. Jangan kau buat-buat lupa. Dan
Dia..” Jari telunjuk Ray tegak menunjuk langit siling bilik
yang berwarna putih. “Juga tak lupa apa yang kau dah buat.
Jangan ingat kau boleh lupakan semua perbuatan kau
tu dulu. Kau tahu kan dan semua orang pun tahu apa
sebenarnya yang terjadi antara dia dan teman baik dia tu.
Khilaf kau pun kau dah akui kan. Kau perlu minta maaf
daripada dia, Khal.”
Khali.
Ray hembus nafas. Lega. Sudah dilepaskan segala
yang terbuku di hati sejak lima tahun dahulu. Sudah berjaya
dilunaskan hutangnya hari ini. Khalish perlu disedarkan.
Perlu!
“Aku chow dulu. Isteri aku ajak dating petang ni.”
Khalish angkat kening. “ Mana...”
“TGV.”
Kepala Khalish terangguk. “Enjoy your date, bro.
Kirim salam aku pada Farah.”
“Insya Allah. Chow, bro. Assalamualaikum.”
Salam dijawab perlahan. Langkah Ray yang
meninggalkan bilik dipandang hingga hilang di sebalik
pintu. Bunyi pintu ditarik deras dari luar menghentam
cuping telinga. Kepala digeleng perlahan. Senyum kecil
dibibir menguntum. Fail di tangan kembali diletakkan di atas
hamparan meja yang berselerak.
Dia dah balik!
Dia dah balik...
Kata-kata Ray bergema lagi. Dua belah tapak
tangan diraup pada wajah. Lama.
Kau yang hutang dia, bro..
Hutang maruah!
Maruah yang kau pijak!
Kau perlu minta maaf daripada dia, Khal.
Kata-kata Ray terus bergema di fikiran. Dilepaskan
nafas yang terasa sesak di dalam. Mata menjeling pada laci
dimeja sisi. Tapak tangan dikepal kuat. Menahan. Gagal.
Laci ditarik. Sebuah frame kaca yang dibalikkan diangkat
keluar. Ditegakkan di atas meja. Matanya terus menikam
frame kaca yang berada di depan mata. Halkumnya bergerakgerak.
Sebaris nama sedang meniti di rongga mulut.
Annur Qistina...
No comments:
Post a Comment