Sunday, 26 June 2016

Lafaz Cinta Di Jari Manis - Bab 2

TOMBOL pintu bilik yang tersergam di
hadapan diputar perlahan-lahan sambil ucapkan Bismillah
terlaung di dalam hati Qistina. Ada senyum manis yang
tersuring di bibirnya. Cantik! Itu luahan pertama yang singgah
di hatinya kala mata dihidangkan dengan apa yang
terbentang di hadapannya kala ini.
Sentuhan Zita pada tatarias bilik ini sangat
menyenangkan. Tadinya sampai sahaja ke banglo ini dari
KLIA, Zita terus membawa dia naik ke tingkat dua banglo ini.
Kata Zita, Qistina pasti penat kesan dari perjalanan yang
panjang dan mahu berehat dahulu.
Bila dikhabarkan dirinya sudah biasa dengan
perjalanan jauh sebegini lantaran tidak mahu teman baiknya
itu gusar, ternyata teman baiknya ini tetap mahu dia
merehatkan diri dahulu. Kata Zita lagi usai maghrib nanti
mereka boleh berbual panjang sambil menikmati hidangan
makan malam yang akan disediakan sendiri oleh Zita.
Waktu Qistina menawarkan diri membantu, laju
sahaja gelengan kepala Zita dengan jari telunjuk yang turut
digoyangkan. Bibir siap dimuncungkan. Mahu ketawa Qistina
melihat telatah comel Zita. Kata Zita, malam ini Qistina
adalah tetamu terhormatnya dan keluarga di banglo ini.
Kalau mahu membantu dia di dapur esok sahajalah.
Dia akur bila tawaran yang dibuka kali kedua tetap ditolak oleh
Zita bersama dengusan dan amaran kecil. Jangan degil boleh
tak, Annur Qistina? Zita kalau sudah menyeru nama penuh
Qistina, alamatnya jangan cari pasal, nanti free-free aje kena
bebel.
Di hadapan pintu bilik yang berkedudukan di sudut
hujung tangga tingkat dua banglo ini Qistina dimaklumkan
inilah biliknya oleh Zita. Waktu Zita mahu membantunya
membawa masuk bagasi tadi Qistina awal-awal menolak.
Tak mahu menyusahkan teman baiknya itu. Kata Zita
memang bilik ini dikhaskan untuk tetamu di banglonya.
Saat dikhabarkan yang Qistina mahu pulang ke tanah air dan
sejurus sahaja mendapat persetujuan Azhar, Zita terus
sahaja menghias bilik ini khas buat Qistina.
Seakan-akan yakin benar yang Qistina akan bersetuju
untuk tinggal di sini. Qistina akui Zita begitu mengambil
berat akan dirinya sejak dahulu. Dan ketika dia dilanda
dugaan terbesar dalam hidup Zita sentiasa dekat. Zita dan
Laylalah penguat semangat untuknya terus bangkit menerus
langkah hidup yang seakan-akan goyah kesan tekanan yang
terpaksa ditanggung.
Beg bagasi berjenama Polo besar berbentuk segi
empat ditarik cermat lalu disandarkan ke dinding bersebelahan
pintu. Tangan menutup kembali muka pintu dengan penuh
hati-hati. Mata bundarnya yang sedikit keletihan menerawang
ke sekitar ruang bilik yang cukup luas dan kemas. Katil
king size yang disalut cadar putih susu nampak cukup sesuai
apabila dipadankan dengan set perabut berwarna senada.
Langsir juga dari rona yang sama.
Keseluruhan bilik terasa damai sekali. Dilepaskan
nafas perlahan. Diatur langkah mendekati pintu gelangsar.
Ditolak ke atas punat kunci lalu ditarik perlahan-lahan pintu
tersebut. Ditolak langsir ke hujung. Langkah kaki menjejak
permukaan balkoni.
Hembusan angin lewat petang yang menyerbu masuk
menampar kedua-dua pipi. Disedut penuh nikmat. Kelopak
mata terpejam seketika. Didekati tubuh pada palang balkoni.
Kedua-dua tangan disilangkan pada tubuh. Permandangan
kejiranan di lereng bukit yang cukup mendamaikan. Bibir
tanpa sedar mengukir senyum lagi. Kaki langit yang mula
mengorak riak jingga ditatap seketika dengan penuh takjub.
Akhirnya dia kembali memandang jingga kaki langit
tanah kelahirannya ini setelah lima tahun tidak berkesempatan
menjamahnya. Tidak berkesempatan? Kata hati bagai keras
menangkis. Bukankah itu kemahuannya kau sendiri Qistina.
Kau yang memaku langkah di Tanah Ratu. Kau yang
mematikan hati untuk tidak kembali ke sini. Bibir dikemam.
Ada liur yang tersekat.
“Qis tak tau apa-apa, ayah. Demi Allah, bukan Qis
yang rancang semua ni. Qis… Qis tak buat macam tu ayah.
Tolonglah ayah. Percayalah cakap, Qis ni ayah.”
“Sudah. Cukup, Qis. Jangan cakap apa-apa lagi.
Ayah tak mahu dengar. Itu semua bohong. Qis bohong!”
Suara ayah yang bagai halilintar membelah awan masih
kuat melekat diingatan. Mata dipejamkan. Mahu diusir
kenangan yang kembali menyapa.
“Qis cakap benar, ayah. Qis tak bohong ayah.
Tolonglah percayakan Qis.” Ternyata air mata dan
penjelasannya tidak laku di mata ayah. Salah tetap dibahunya.
Salah tetap di pundaknya sedangkan ‘dia’ yang melakukan
segala kemusnahan itu dahulu sewenangnya terlepas dari
hukuman ayah. Segala yang berlaku semuanya berpunca
dari dia bukan Qis ayah! Ayah, sampai hati ayah lebih
percayakan orang lain daripada anak ayah sendiri. Qis
benci, ayah!
Ketukan di pintu mengejutkan seketika khayalan
Qistina. Diraup wajah bersalut kenangan silam nan
menyakitkan bersama helaan nafas. Entah kenapa sehingga
saat ini Qistina masih gagal membuang peristiwa itu dari
lipatan ingatan. Dihumban sejauh manapun ia kembali juga
hinggap menyapa jiwa halusnya.
Kaki langit yang mula memancar cahaya jingga
ditatap tunak. Lambaian senja sudah menjelma. Ketukan
pada pintu bilik terus bergema membuatkan Qistina kembali
tersentak. Pantas diatur langkah keluar dari balkoni.
Pintu gelangsar ditarik lalu dikunci. Langkah laju di bawa ke
pintu bilik. Dipulas perlahan. Terjenguk wajah comel Maisarah
yang menjual senyum manis. Qistina membalas senyum.
“Ya, sayang. Maaf, auntie lambat sikit. Ada apa, ya?”
Maisarah yang mendongak sedikit sedang menjual senyum.
“Auntie Qis, mama cakap kalau nak solat, kiblat ikut pada
arrow yang ada di siling tu. Mama cakap tadi mama lupa
nak beritahu pada auntie.” Arrow kat siling? Kening
Qistina terjongket.
Biar betul Zita ni. Qistina laju menoleh ke dalam
bilik lalu kepala didongakkan ke atas. Tak perasan pula
matanya tadi kala menjelajah ke dalam ruang bilik ini.
Mata terpempan pada ‘arrow’ yang dimaksudkan Maisarah.
Ya Rabbi. Zita. Mahu tersembur ketawanya. Dia yang panjat
ke ni.
“Mama ke yang letakkan arrow tu, sayang?”
Maisarah dilihat menggeleng. “Tak. Mama suruh papa
panjat hari tu.” Qistina menggeleng kepala. Tersenyum. Zita...
Zita,.. Habislah laki kau kena dera, ya.
“Mama cakap lagi lepas solat nanti auntie turun tau.
Mama kata kita boleh dinner sama-sama. Kejap lagi papa Sarah
balik.”
Qistina menabur senyum manis lagi sambil
mengangkat ibu jari kanan. “Okey sayang. Cakap terima kasih
pada mama ya. Nanti lepas solat auntie turun ya,” Maisarah
mengangguk laju sambil menjaring senyum.
“Auntie Qis…”
Kening Qistina terangkat lagi saat mata menangkap
senyum meleret Maisarah. Masih sukar menangkap maksud di
sebalik senyum manis Maisarah yang berwajah comel.
“Ada apa, sayang?”
“Auntie tau tak auntie ni cantik macam Barbie Doll
Sarah.” Maisarah tersengih lalu buru-buru lari meninggalkan
Qistina yang terus termangu di hadapan pintu. Barbie Doll?
Tanpa sedar bibir bergetar. Kata-kata itu kembali menghenyak
minda. Kata-kata itu pernah membuatkan jiwa perempuannya
rasa terhina. Sangat terhina!
“Barbie Doll cantik macam kau ni tak susah cari
ganti. Petik jari. Bersusun nanti. Kalau kau tak jadi kahwin
dengan aku pun kau tak rugi apa-apa. Kau senang, aku pun
senang kan.”
“Sampai hati you buat I macam ni, Khal. Sampai hati,
you.”
“Come on, Qis. Kau memang sukakan dia dari dulu
kan. Aku tahu. Sebab tulah kau beria-ia benar pergi malam
tu. Bukannya tak ada engineer lain yang boleh take over
kan. Kau ingat aku tak tahu ke hubungan korang berdua.
Kau memang sengaja cari peluang nak berdua-duaan dengan
dia. Right, Qis?”
“Khal!!”
“Dahlah, Qis. Kau dah bebas sekarang. Bebas untuk
bersama orang yang kau cinta. Bye Qistina… bye my
Barbie Doll.”
Kata itu masih segar di kepala. Terpahat kuat di
fikiran. Bibir diketap kuat. Tangan perlahan-lahan menutup
pintu. Tubuh disandarkan di belakang pintu. Dipejamkan
mata. Just go away, Khal! Go away from my life! Perlahanlahan
tubuh yang tegak melorot ke bawah. Dua tangan
memaut kepala lutut. Disembamkan wajah ke bawah.
Ada gegaran esak tangis yang memenuhi ruang.
UCAPAN salam yang singgah di telinga membuatkan tangan
Zita yang rancak menari di atas dapur terhenti. Salam
dibalas. Kepala menoleh ke belakang. Dua senyum saling
berbalas. Kembali dihala wajah ke hadapan. Tangan kembali
mengatur rentak. Kemas.
“Dah sampai ke kawan baik you tu, sayang...”
Langkah Azhar mendekati isterinya sambil kepala menjengah
ke dalam kuali. Hmm... goreng sayur kailan dengan ikan
masin. Patutlah bau dari pintu masuk tadi. Sedapnya! Tangan
Azhar memaut mesra bahu Zita. Pelipis Zita dikucup
perlahan.
Zita senyum. Kepala diangguk. Tangan Azhar diraih
dan dikucup lembut. “Dah. Ada kat atas. I suruh dia rehat
dulu kemudian turun lepas solat nanti. Boleh dinner samasama
dengan kita nanti. I masak special tau untuk kita punya
special guest malam ni.”
“Wah, berani dia dera my beautiful wife ni ya. Dahlah
kena jemput dia kat airport. Then kena masak special untuk
dia pula. I pun tak pernah dera you tau sayang. Macam ni
I pun nak dera you jugak lah. Baru aci kan.”
Zita bulatkan mata. Sengaja mengusik. “Beranilah
you dera I, I tinggalkan you seorang-seorang nanti.
Baru you tahu.”
“Aduh… janganlah, sayang...” Bahu Zita makin
erat dipaut. Kucupan di pelipis singgah lagi. “Matilah I nanti
sayang. Hilanglah Teddy Bear I yang comel ni. Tak bestlah
tidur tak ada Teddy Bear tau lagi-lagi Teddy Bear yang nama
dia Zita Asyikin. Mana nak cari tak ada. eBay pun tak jual.
Teddy Bear tu bukan limited edition but the one and only in
this world. Janganlah tinggalkan I sayang.” Azhar panggung
kepala di bahu Zita. Wajah muram yang lucu sengaja
dipamerkan untuk memancing reaksi sang isteri tercinta.
Zita ketawa melihat memek wajah Azhar yang
sengaja dimuncungkan. Tangan pantas menarik pipi Azhar.
Terburai ketawa kedua-duanya. “Dahlah, buruk tau orang tua
merajuk macam ni. Tak selera nak tengok.” Pecah lagi ketawa
Zita melihat Azhar yang sudah membuntangkan biji mata.
“Amboi mulut dia. Nak kena kiss ni.” Azhar sudah
mengacah. Zita melontar jeritan kecil. Terburai hilaian
ketawa kedua-duanya.
“Dah… dah. Karang tak masak lauk I ni. Har.
You naik atas mandi dulu, okey. Sekejap lagi I naik lepas siap
masak sayur ni, hmm. Kita solat sama-sama Okey sayang?.”
Azhar kenyit mata sambil angguk kepala. Pipi Zita dikucup
lembut.
“Okay, my beautiful Teddy Bear. I naik mandi
dulu okey. See you. Jangan lambat-lambat tau!” Pantas
cubitan kecil Zita singgah di pinggang. Langkah laju Azhar
diatur ke arah tangga dengan ketawa yang mengekek.
Jeritan kecil Zita dari arah dapur singgah di cuping.
“Har, suruh Sarah mandi sama. Karang nak solat sama.”
Dibalas laungan isterinya itu bersama senyuman yang
tersuring di bibir. “Yes boss!” Zita hanya menggeleng sambil
tersenyum dengan kata-kata lucu suaminya.
“SELALU ke, you kena turun ke platform dekat sana?”
“Bergantung juga pada keadaan. Kalau field manager
tak boleh solve then I’ll take over. Tapi I suka sebenarnya
turun ke platform ni. Bukan senang nak tengok platform di
tempat orang, Har. Selalunya I yang offer diri turun ke
platform. I really enjoy it.” Sebagai jurutera kanan projek
tugas utama Qistina kebanyakkan hanya tertumpu di
dalam pejabat yang melibatkan tugas-tugas dokumentasi
dan kertas kerja namun sememangnya dari dahulu dia
sukakan cabaran dan kala tawaran itu datang untuknya
bertugas di Shell U.K ditambah dengan tawaran tambahan
yang akan memberinya peluang yang lebih kerap berada di
pelantar mahupun di atas kapal membuatkan dia tidak
berpaling.
Kata pemutus pantas dihulur. Tambahan kala itu
situasi diri sememangnya memaksa dia ‘melarikan diri’
seketika dari kalangan sekeliling. Malu yang menyalut diri
tidak mampu ditanggung sendiri. Menghadap manusiamanusia
sekitar akan menambah beban perasaaan. Sakit
hatinya harus diubat. Qistina tahu kala itu, inilah keputusan
paling tepat buat dirinya. Dia harus pergi. Dia harus
meninggalkan segala yang ada di sini.
Azhar angguk kepala. Peluang turun ke pelantar
di negara lain satu pengalaman yang seharusnya tidak
dilepaskan. Dia sudah merasai pengalaman tersebut kala
bertugas di negara Uncle Sam suatu waktu dahulu. Muk
berisi coklat panas di hadapan dicapai lalu dibawa ke bibir.
Ruang tamu yang hanya dihuni mereka bertiga
sedikit sunyi selepas Maisarah yang banyak mulut kata Azhar
meninggalkan mereka untuk masuk ke bilik. Usai makan
malam yang cukup meriah dengan sesi perkenalan
tadi bagaikan ada 40 orang tetamu.
Semuanya kerana Maisarah yang keletah dan banyak
bertanya itu dan ini kepada Qistina. Macam wartawan gosip
canda Zita habis semua mahu dikorek. Kata yang mengundang
ketawa semua. Mulut banyak yang tak reti nak break, Azhar
menambah perisa membuatkan Maisarah yang comel makin
galak bertanya yang macam-macam sahaja pada Qistina.
Hampir putus nafas Qistina juga dibuatnya oleh si comel itu.
Bagaikan mahu diceritakan semua pengalaman selama lima
tahun di tanah ratu sana di dalam satu malam.
Manalah boleh Sarah sayang.
“Sana more to offshore. Right?”
“Yup.” Qistina mengangguk perlahan. Dan Qistina
laju bercerita pengalamannya melakukan tugas offshore
yang membuatkan dia seringkali berada jauh dari daratan
hampir berminggu-minggu. Pengalaman yang sangat
berharga kerana ia dilakukan di tempat orang. Kesempatan
yang tidak akan berulang jika tidak direbut. Azhar
mengangguk setuju. Dia turut berkongsi pengalamannya
kala bertugas di Louisiana dahulu. Turun ke pelantar
mengawasi kerja-kerja para kontraktor memang sangat
mencabar kata Azhar namun peluang sebegini takkan
datang berkali-kali dalam hidup.
“Platform team production dengan kapal punya
team installation sana ada beza tak dengan team kita
di sini.”
Qistina menggeleng. “Sama sahaja. Sikit beza tu
adalah Har. Just minor. Biasalah, kan. Suasana berbeza.”
Azhar angguk kepala. Zita di sebelah yang takzim
dari tadi ditoleh. “Senyap aje you, sayang. Mengantuk ya.”
Bahu Zita dielus perlahan. Qistina yang duduk setentang turut
tersenyum. Muk coklat panas yang berada di hadapan dicapai
perlahan.
“I’m lost at the oil platform. Please someone
rescue me.” Pecah ketawa Azhar.
Qistina turut ketawa kecil.
Azhar angguk. Bahu Zita makin erat dipaut.
Ketawa masih belum usai. “Maaf, sayang. Seronok berbual
dengan orang minyak lupa pula orang kat sebelah ni. Bukan
senang sebenarnya nak dapat peluang jumpa jurutera kanan
projek perempuan dalam oil and gas industry ini. Lagi-lagi
yang dah ada pengalaman di luar negara. Turun ke platform
turun ke kapal. Wah, I memang salute your best friend
ni sayang. Girl yang ada power.” Zita angkat kening lalu
tersenyum memandang Qistina yang menyimpul senyum
dipuji Azhar. “Well, kawan baik I ni memang ada girl power.
So you guys better watch out. Right, Qis.” Zita angkat
kening lagi. Kali ni lebih tinggi.
Pecah ketawa Azhar melihat aksi spontan Zita.
Masing-masing saling memandang. Tersenyum dan ketawa
lagi. Bahu Zita dipaut erat oleh Azhar sebelum bibirnya
singgah di pelipis Zita. Qistina hanya memandang kedua-dua.
Ada rasa yang sedang menyapa di hati. Diketap bibir. Kuat.
Mata dihala memandang ke ruang tengah seketika sebelum
diarah kembali menatap kedua-duanya. Mata terus terleka
melihat gelak ketawa Azhar dan Zita.
“Qis…”
“Hmm...”
“You masuk ofis bila, Qis?” Pertanyaan Azhar buat
Qistina yang sedang terleka memandang kedua-duanya
tersentak. Ditelan air liur. Cuba ditutup rasa itu dengan
senyuman kecil.
“Esok I singgah kejap nak uruskan dokumentasi.
Ada yang tak selesai lagi. Lusa, insya Allah I akan masuk
secara officially.”
“Cepatnya, Qis. Penat terbang tak habis lagi.”
Zita mencelah perbualan Qistina dan Azhar. Tubuh
ditegakkan.
Qistina senyum. “Dah biasa, Zie. Tiada masalah
pun. Lagipun memang e-mel mentioned aku kena masuk
lusa.”
“Qis…”
“Hmm...”
Zita kemam bibir. Bagai teragak-agak mahu bersuara.
Ditoleh sekilas memandang ke sebelah. Senyum Azhar diraih.
Wajah comel Qistina yang bertudung coklat muda ditatap
semula. Ada getar bergema di dada. “Aku dengar dia masih
kerja kat situ lagi.”
Jeda.
Nafas dihela perlahan. Senyum sedaya upaya diraih.
Kedua-dua insan yang sangat disayangi di depannya saat ini
dipandang tenang.
“Aku okey, Zie. Jangan bimbang. Aku tahu jaga diri.
Kau jangan risau-risau okey.” Sedaya upaya cuba dikawal
perasaan yang sedang berkecamuk di dalam jiwa tatkala
persoalan itu ditimbulkan kembali. Ya, Qistina tahu dia
tidak akan mampu mengelakkan diri. Ada kebarangkalian
yang tinggi untuknya bertembung kembali dengan wajah itu.
Wajah lelaki yang paling mahu dilenyapkan daripada
kotak simpanan yang menghuni fikiran. Kalau bertembung
depan mata bagaimana kau, Qis? Hati laju menebak.
Ditelan liur berkali-kali. Nafas yang tercerna dikawal
perlahan. Tubuh perlahan-lahan ditegakkan. “Aku masuk dulu,
Zie.” Senyum. Wajah Azhar diraih. Senyum dihulur sama
“I masuk dulu, Har. Nice talking to you. Selamat malam.
Assalammualaikum.” Ucapan selamat dan salam serentak
dibalas oleh kedua-duanya. Langkah perlahan Qistina yang
menaiki tangga diekori oleh pandangan mata Zita.
“Sayang...” Zita menoleh. Wajah Azhar yang begitu
hampir di pipi ditatap.
“Khalish?”
Zita angguk perlahan. Azhar geleng kepala.
Sebelah tangan meraup bibir. Wajah seseorang menerpa
minda

No comments:

Post a Comment