Sunday, 26 June 2016

Lafaz Cinta Di Jari Manis - Bab 1


MATA Qistina jauh merenung kaki langit dari
tingkap kecil pesawat MH1 yang sedang terbang membawa dia
pulang. Pulang menjejakkan semula kaki ke bumi bertuah
yang sekian lama ditinggalkan. Ditinggalkan demi sebuah
harga diri dan luka di jiwa yang terlalu parah untuk diungkap
dengan bilah kata.
Jika tidak kerana tuntutan tanggungjawab yang
memanggilnya pulang, sumpah yang tertusuk di hati takkan
dipadamkan sampai bila-bila. Di bumi bertuah ini tercatat
peristiwa yang sukar dibuang dari lipatan ingatan sampai hari
ini. Sukarnya mahu melupuskan kenangan itu dari terus
bertamu. Ingatan tentang darah merah dari luka yang rabak
merobek jiwa halusnya deras membasahi lantai hati kembali
menyapa.
Dipejamkan mata. Dihela nafas sejenak. Peristiwa
itu sudah lama diikat kemas, dilipat dan disorong ke ruang
paling dalam di saujana hati. Tidak mahu diingati lagi
kepahitan yang menjadi penyebab langkahnya berlari
tanpa berpaling meninggalkan segala yang dikasihi dan
disayangi di bumi bertuah ini suatu waktu dahulu.
Namun, dia tahu jiwanya masih gagal melupuskan segala
yang pernah terjadi lebih lima tahun dahulu.
“Tolonglah Khal, jangan buat Qis begini. Tolong
kasihankan keluarga Qis, Khal. Tolonglah datang. Tolonglah.
Qis mohon sangat-sangat, Khal” Erat gadget yang terpasung
di telinganya dan sukar untuk dia lupakan peristiwa itu.
Air mata yang tumpah tidak terdaya dijamah dengan jurai
jari-jemari. Sedih. Pilu diperlakukan begitu. Rayuannya
dengan bersaksikan ayah dan umi akan kekal di memori
sampai bila-bila!
“I takkan terima perempuan curang jadi isteri I,
yang sudah dipeluk oleh lelaki lain. Dari dulu I tahu you
sukakan dia, Qis. And due to that… you don’t deserved me, Qis.”
Bibir dikemam. Mata dipejam. Tajamnya kata-kata
itu. Berat sungguh tuduhan itu untuk dipikul. Tuduhan yang
tidak bersandarkan bukti. Esaknya masih basah di ingatan.
Tangisnya tidak pernah berharga pada malam itu.
“Ya Allah, Khal. Kenapa tuduh Qis begitu. Qis
bukan perempuan macam tu. Qis masih tahu batas Qis.
Qis sedar Qis siapa, Khal.” Dan tidak akan dia lupa kala gadget
yang melekap di cuping dirampas ayah yang gagal menahan
marah. Sebuah tamparan yang hinggap di pipi masih segar
terasa pijarnya hingga saat ini. Cerlung sepasang mata ayah
usai mendengar kata-kata yang dilafazkan lelaki itu di talian
akan kekal bersemadi di lubuk memori. Mata dipejam lagi.
Bibir diketap. Kata-kata usiran ayah bergema di lohong
fikiran.
‘Sampai hati you, Khal...’
Ayah… Umi… Maafkan Qis. Tapi ketahuilah, Qis
tak bersalah. Qis bukan begitu. Bukan. Qis bukan perempuan
yang tak tahu menjaga maruah diri dan nama keluarga!
Dikerdipkan mata berkali-kali kala mata menyapa
gumpalan awan nan memutih. Ada rasa hangat yang hadir di
tubir kolam matanya yang bundar. Pantas disapu dengan
hujung jari sebelum titis itu melimpahi tebing. Dilontar
jauh-jauh kenangan silam yang mengintai tabir.
Langit petang masih cerah dan beriak tenang menyambut
kepulangannya. Dikalih mata kala melihat penumpang
di sebelah sedang membetulkan duduk dari lena yang
panjang. Senyum bertaut. Disusuri pandangan mata pada
langkah beberapa anak kapal yang sedang mundar-mandir
meladeni para penumpang.
Pesawat sudah memasuki langit Kuala Lumpur
dan sebentar lagi pesawat akan mendarat. Itu pengumuman
yang dibuat oleh kapten bertugas, yang mengemudi
Airbus A380 ini dari Heathrow lebih 12 jam yang lalu.
Kenangan tentang perbualannya bersama Layla Aisyah malam
tadi kala di terminal 4 sebelum memasuki balai berlepas di
Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow masih segar di
fikiran. Berkali-kali teman baiknya itu bertanyakan
keputusannya untuk kembali.
Kuatkah langkah ini untuk kembali di bumi
kelahirannya ini. Setelah apa yang telah berlaku lebih lima
tahun dahulu. Kuatkah hatinya yang halus ini untuk
menangkis rasa itu dari kembali menghentak jiwanya yang
cukup terluka dan dilukai dahulu. Sakitnya masih terasa
sehingga kini. Tidak akan terpadam meskipunditiup bayu
masa yang panjang.
“Kau pasti dengan keputusan kau ini?” Tatapan mata
Layla tepat memanah. Qistina khali sejenak. Memandang
kosong pada bangku di hadapannya yang diletakkan beg
kertas sederhana besar berisi strawberry crepe air tangan
Layla yang begitu enak. Dua bekas plastik empat segi di
dalamnya yang berisi manisan tersebut. Satu untuknya
dan satu lagi untuk teman akrab mereka iaitu Zita Asyikin
yang akan menantinya di KLIA nanti.
Mereka bertiga teman akrab sejak di sekolah
menengah lagi dan sehingga kini hubungan itu terus utuh
tersimpul rapi. Mata masih merenung wajah cantik
Layla. Teman akrabnya ini terlalu baik. Menjaga dia selama
membawa diri ke Tanah Ratu ini atas tiket tuntutan kerja
biarpun kisah di sebaliknya bukanlah begitu. Layla tahu
segala yang telah berlaku. Tiada satu pun yang dapat
disembunyikan daripada temannya ini. Mungkin kerana
itulah Layla berat mahu melepaskan dia pulang. Layla tahu
hatinyamasih belum sembuh sepenuhnya. Riak ceria di wajah
Qistina yang selama ni dipamerkan gagal menipu mata
hati sahabatnya, Layla.
Tangan yang tadi disilang ke tubuh dileraikan.
“Takkan selamanya aku terus di sini, Layla. Lagipun kontrak
aku di sini sudah tamat. Aku kena balik. Kerja di sana dah
menanti aku. Kau pun tahukan komitmen aku.” Pergelangan
tangan ditoleh. Ada sedikit masa lagi sebelum dia melangkah
memasuki balai berlepas.
Layla dilihat menghela nafas panjang bersama
gelengan perlahan. Rambut perang gelap temannya itu cantik
sekali terbuai. “Boleh aje tukar syarikat lain, kalau kau mahu.
Tawaran bukannya tak ada. Kau tu aje, yang tak nakkan.
Bukan aku tak tau.”
Jeda. Dibiarkan persoalan dan pertanyaan Layla tanpa
mahu memberikan apa-apa jawapan.
“Qis...” Bahunya dipaut erat. Senyum terukir
di bibirnya. Mata indah Layla bertembung dengan sinar
bundar matanya.
“Kau pasti akan jumpa dia di sana nanti, Qis.”
Bibir dikemam. Entah mengapa terasa ada sesuatu
yang kembali menampar dinding hati. Di bawa mata lari ke
dinding cermin setentang. Lama matanya singgah disitu.
Seakan-akan ada lakaran seraut wajah terbias. Kabur.
Dihela nafas perlahan.
“Bumi Malaysia tu luas, Layla.”
“Kalau kau jumpa dia juga, macam mana?”
Dilepaskan nafas dalam-dalam. Mata Layla dicari
dan ditatap. “Buat tak tahu ajelah. Habis cerita, kan. Aku
dah lupa pun muka dia macam mana. Dan dia pun tentu dah
tak ingat apa-apa lagi pasal aku. Memang mahunya begitu.
Aku harap dia bahagia dengan keputusan dia dahulu.” Akal
menyangkah. Mana mungkin dilupakan wajah itu. Akan
tertanam difikiran sampai mati. Tidak! Dia mahu melupakan
wajah yang satu itu. Tidak mahu mengingatinya sampai
bila-bila.
“Semudah tu? Kau ingat aku percaya dengan
kata-kata kau ni. Come on, Qis. I’m not your Barbie Doll okay.
Jangan buat lawak bodoh. Because I knew you’re not that kind
of person. He’s your first love, Qis. The man you love most in
your life.”
Ketawa halus terluncur. Bahu Layla dielus lembut.
“Doakan aku, Layla agar aku dapat melupakan dia. Takkan
jumpa dia disana sampai bila-bila.” Senyum bertaut.
Pelukan kedua-dua makin erat. Itu perbualan terakhir
sebelum kaki melangkah masuk ke dalam balai berlepas.
Langkah terakhir meninggalkan bumi yang memayunginya
sejak 60 bulan yang lalu. Bumi yang meminjamkan tanahnya
untuk dipijak Qistina selama menjadi pemastautin di sini.
Selamat tinggal tanah Manchester. Selamat tinggal tanah ratu.
TROLI yang mengusung bagasi ditolak melepasi balai
berlepas. Langkah tenang dibawa menyusuri celahan
manusia yang turut sama menolak troli sepertinya. Hingarbingar
menyapa cuping telinganya. Suasana yang lazim di
mana-mana lapangan terbang. Mata meloncat memandang di
celahan orang ramai yang berbaris di hadapan. Pasti menanti
menanti kepulangan orang yang tersayang. Tiada kelihatan
wajah yang dicari. Ditolak troli melepasi deretan orang
ramai yang bersesak di hadapannya. Dibawa troli ke bangku
hadapan. Dilepaskan nafas. Ditoleh sekali lagi ke kiri dan
ke kanan. Ditoleh ke arah jam yang berjenama Guess
dipergelangan kanan. Sesak agaknya ini.
Dilabuhkan punggung di bangku sambil mata
memandang ke arah pintu masuk. Beg kertas yang berisi
strawberry crepe yang kemas berbalut plastik kedap udara
diletakkan ke riba. Beg sandang LV hadiah daripada Layla
sempena ulang tahun hari lahirnya dua tahu lalu diletakkan
pada riba juga.
Duduknya takzim memandang gelagat manusia
yang lalu lalang dan mundar mandir. Akhirnya dia menjejak
kembali tanah bertuah ini. Akhirnya dia pulang dari pelarian
sejak puluhan purnama. Pelarian dari luka yang mencari jiwa.
Pelarian yang terpaksa dilakukan demi sebuah maruah diri
yang teruk dihenyak. Pelarian yang membawa diri jauh dari
kasih sayang keluarga. Pelarian yang membawa diri jauh
terhumban dari kehidupan bahagianya suatu waktu dahulu.
Qistina tahu luka di hatinya ini tidak akan sembuh
semudahnya biar sekian lama segala-galanya itu berlalu.
Apa yang dirasai selama ini, tidak pernah dirasai oleh
sesiapa. Tiada siapa yang tahu perasaannya. Tiada siapa
yang tahu beban yang ditanggungnya.
Lambaian seorang wanita muda cantik di pintu
masuk yang manis berskaf dengan kemeja-T hitam dan
berseluar jean pudar sambil menggenggam erat tangan
seorang gadis kecil berambut perang tidak sukar diteka
siapa gerangannya. Zita Asyikin masih cantik seperti dahulu
juga. Zita Asyikin teman akrabnya selain Layla Aisyah.
Zita Asyikin yang sudah menemui kebahagiaannya
selepas kecewa dan dikecewakan oleh kecurangan bekas
suaminya dahulu. Qistina tahu Zita sangat bahagia dengan
kehidupan baharunya bersama Azhar dan Maisarah. Cuma
sayang dia tidak berkesempatan untuk pulang meraikan hari
bahagia teman baiknya itu. Kekangan diri memaksa Qistina
menghampakan permintaan teman baiknya ini. Namun
Qistina bersyukur, Zita memahami keadaan dirinya. Selalu
sahaja mereka berutus berita di alam maya sejak mereka
berpisah pentas benua.
Dibalas lambaian dengan senyuman yang manis nan
lebar. Ditegakkan tubuh. Beg kertas dijinjit, LV disangkutkan
ke bahu. Zita sudah memanjangkan depangan tangan sambil
meluru ke arah Qistina. Bibir dikemam. Qistina tenggelam
dalam pelukan kecil Zita. Esakan halus bersaing di cuping.
Belakang tubuh Zita diusap perlahan.
Pelukan terlerai. Senyuman Qistina masih belum
usai. Bahu Zita dielus lembut. Teman akrabnya ini menyapu
hujung mata dengan anak jari.
“Lamanya tak jumpa kau, Qis. Bertahun-tahun.
Rindu sangat kat kawan aku seorang ni.”
“Aku rindu kau juga, Zie. Sihat nampak berseri-seri
Puan Zita Asyikin seorang ni, ya.”
“Yalah tu, membodek aku, kan...” Zita mencebik yang
mengundang ketawa Qistina.”Kau tu kata rindu tapi tak nak
balik.”
Senyum. Mata masih bertaut.
“Lama kau tunggu tadi? Maaflah lambat. Aku cari
parkir.”
“Faham. Don’t worry okay. Aku yang patut minta
maaf sesangat sebab menyusahkan kau datang petang-petang
ni untuk menjemput aku. Aku nak naik teksi, kau tak bagi.”
Zita menggeleng. “Tak ada susahnya. KL memang
macam ni. Jammed tu dah jadi acara wajibkan”
“Qis…”
“Hmm...” Senyum terus dihulur ke wajah ayu Zita
yang tunak memandangnya dari atas ke bawah. Berulangkali.
“Kenapa kau ni, Zie? Lain macam aje. Aku gemuk
eh?”
Pecah ketawa Zita.
“Mana pula, Isy. Kau makin cantik. Slim maintain
macam dulu. Kena bayu Selat Inggeris makin putih kau, kan.”
Tubuhnya yang ringkas berjean dan berkemeja petak-petak
merah hati dan tudung sedondon dipusing-pusingkan Zita
persis model peragaan pakaian.
Ketawa. “Tapi tak boleh lawan cantik kau, Zie...”
Zita mencebik kecil. “Dah gelap aku ni. Nasib baik tak
berkilat. Berjemur aje. Kena dera jogging every weekend
dengan my roommate tu,” Qistina geleng kepala. Ketawa
lagi. Beg kertas yang dijinjit dihulurkan. Zita angkat kening.
“Puan Layla Aisyah kirim salam dan kirim benda alah ni.”
Salam disambut perlahan oleh Zita menyapa pendengaran.
“Apa tu?” Dibelek beg kertas dari luar dengan mata yang
dikalih kembali memandang Qistina.
“Strawberry crepe kesukaan kau itulah. Tapi krimnya
tak ada, ya. Sila bubuh sendiri dia pesan.” Qistina ketawa. Lucu
dengan pesanan Layla untuk Zita malam tadi. Bebola mata Zita
yang galak kian besar. Senyum lebar sambil kepala menjenguk
isi kertas. “Sedap ni. Mak cik tu kan memang pandai buat
strawberry crepe terbaik di dunia dan pandai juga
mengenakan aku. Tengoklah strawberry crepe botak yang
dia kirim. Hampeh betul! “Ketawa kedua-duanya berderai.
Mata cantik Qistina jatuh pada gadis manis yang
sedari tadi merenungnya tidak berkelip. Mata diangkat
memandang semula ke arah Zita. “Maisarah, kan?” Zita
angguk. Senyum. Pipi anak gadisnya itu yang tidak
berkelip memandang Qistina daripada tadi dielus lembut.
Penuh kasih.
“Sayang, kenalkan ni kawan baik mama. Nama dia
Auntie Qis.”
Dahi Maisarah dilihat Qistina berkerut halus.
“Kiss? Nama auntie ni, Kiss? Like this mama?” Bibir
Maisarah dimuncungkan.
Ketawa Zita dan Qistina berpadu.
“No, sayang. Not that kissed. Is Qis... Q. I. S.”
“Qis? Kenapa nama kawan mama pendek sangat.”
Qistina senyum. Diusap lembut pipi mulus Maisarah.
“Sayang, nama auntie, Annur Qistina. Mama Sarah
panggil auntie, Qis sahaja. Mama Sarah dan Auntie Qis kawan
baik dari sekolah lagi tau. Sarah pun boleh panggil auntie as
Auntie Qis. Jadi nanti kita pun boleh jadi kawan baik juga.
Nak tak?” Maisarah angguk. Senyum manis terserlah dari
bibir mungilnya. “Okay, Auntie Qis. Kawan mama pun kawan
Sarah jugak. Right, mama?” Giliran Zita mengelus pipi
mulus Maisarah.
“Okey, jomlah,” Zita tarik tangan Qistina dan
menggenggam tangan Maisarah. Troli ditolak melepasi
pintu masuk.
TALI pinggang ditarik dan ditekan ke punatnya. Zita di sebelah
sudah memutar stereng. Tenang. BMW hitam meluncur
perlahan meninggalkan kawasan parkir.
“Qis…”
Pandangan mata yang tadinya leka memandang ke
luar tingkap menyaksikan kaki langit yang kian jingga di bawa
ke dalam. Sisi wajah Zita yang sedang tenang memandu
ditatap. Jalanraya yang sedikit sesak membuatkan pemanduan
Zita sedikit perlahan.
“Hmm…”
“Kau tinggal dengan aku ajelah, ya. Azhar okey.
Lagipun bilik rumah kami tu banyak. Sunyi aje pun.”
Qistina menggeleng.” Seganlah aku, Zie. Lagipun
itukan rumah Azhar. Aku cari rumah sewa aje nanti ya.
Kau tak payahlah risaukan aku. Tahulah aku nanti nak
uruskan hal tu.”
Zita melontar jelingan halus. “Ha’ah, mengada-ada
kau tu. Aku dah cakap dengan Azhar. Dia okey sangat-sangat.
Aku ada juga kawan berbual waktu malam. Kalau dia kena
outstation aku ada juga peneman kat rumah tu. Kadangkadang
Maisarah pun bosan asyik pandang muka aku aje,
kalau papanya pergi outstation. Tu lah yang kadang-kadang
sampai berangkut ke rumah papa aku. Naik pening orang tua
itu dengan perangai kita orang berdua. Dah macam orang
nomad. Berangkut ke hulu ke hilir kalau Azhar tak ada kat
rumah.”
“Zie… aku seganlah. Malu tau menumpang rumah
kau.”
“Alah… tak adanya menumpang. Kau kan tetamu
aku. Tetamu yang paling istimewa. Tetamu yang aku
tunggu-tunggu sejak sekian lama.”
Khali. Qistina hembus nafas yang bersarang di dada.
Sukarnya mahu membuat keputusan. Namun paling payah
untuk tidak mengecilkan hati kawan baik di sebelahnya ini.
Kawan yang sentiasa ada di sisinya selama ini memberikan
dahan kekuatan untuknya berpaut semangat.
“Okey, ya. Qis... please...”
Qistina senyum. Angguk. “Sementara sahaja okey.
Aku cadangkan juga kau beranaklah banyak-banyak Zie.
Sure meriah nanti banglo kau tu. Jangan runtuh sudahlah.”
Tangan kiri Zita menghala ke perut sambil tersenyum
memandang sekilas Qistina yang tunak merenung dari tadi
dengan mata tidak berkelip.
“Ada?” Qistina teruja. Zita mengangguk. “On the
way.” Qistina raup dua tapak tangan ke muka. “Alhamdulillah.
Akhirnya. Amin… amin... amin.” Qistina raup wajah lagi.
Teruja. Menumpang bahagia Zita. Senyuman kedua-duanya
bertaut.
“Qis...”
“Kau dah sedia?”
“Maksud kau?”
“Dia...”
“He is just a history in my life, Zie. Aku takkan toleh
ke belakang lagi.”
Zita tersenyum. “Aku akan sentiasa sokong kawan
baik aku ni. Aku tahu kau boleh, kan?” Qistina angguk.
Lengan Zita diusap lembut. “Insya-Allah. Doa-doakan aku, Zie.”
Pandangan kedua-duanya bertaut. Penuh bermakna.
Jika tak sedia, dia takkan pulang!

No comments:

Post a Comment