Sunday 26 June 2016

Lafaz Cinta Di Jari Manis - Bab 6

“KHAL?!”
Kepala Mak Ning menggeleng. Tapak tangan tuanya
melekap kukuh di dada sebelum dikendurkan sedikit.
Nafas turun naik.
“Astaghfirullahalazim... budak bertuah ni rupanya.”
Nafas yang kencang mengepam aliran darah ke jantung
kembali sediakala. “Terkejut Mak Ning tau. Ingat siapalah
pula yang terbongkok-bongkok depan peti ais. Dalam gelap
pula tu. Kenapa tak pasang lampu, Khal.” Langkah dibawa
mendekati tubuh lampai tegap yang sudah tegak di
depan LG.
Sengih. Kotak Magnolia coklat seliter di tangan
dibawa ke meja kayu di depan. “Mak Ning terkejut ke?
Mesti ingat hantu handsome manalah agaknya kan tengah
selongkar fridge ya.” Sengih terus berlabuh di bibir Khalish.
Bahu kerusi ditarik perlahan. Dilabuhkan duduk. Muk yang
diambil dari rak besi di singki tadi diletakkan di depan.
Mak Ning turut sama menarik bahu kerusi kayu di
sisi kiri Khalish lalu melabuhkan duduk. “Banyaklah kamu
punya hantu handsome, Khal. Terkejut sungguh Mak Ning
tadi. Nasib baik Mak Ning tak menjerit tadi. Dahlah pijama
kamu tu warna putih. Ish, menyeramkan betul.”
Ketawa.
“Nasib baik Mak Ning tak pengsan, kan. Subuh
subuh jumpa hantu handsome pula tu.” Magnolia dari
kotak sudah berpindah ke dalam muk. Dibawa ke bibir.
Dicurah perlahan-lahan ke dalam mulut yang ternganga.
Lengannya pantas dicubit halus. Mata melihat bibir Mak Ning
melafaz bismillah. Kepala diangguk sambil jari telunjuk
tekan ke hati. Isyarat. Pembantu rumah yang dipanggil Mak
Ning sudah berkhidmat bersama keluarganya sejak dari
Khalish kecil. Mak Ning balu kepada tukang kebun di sekolah
mama bertugas.
Mama yang ketika itu pengetua di Sekolah Seri
Cempaka amat mengenali Mak Ning yang sering juga
menghantar makanan kepada arwah suaminya tiap tengahari.
Kematian suami membuatkan Mak Ning hilang tempat
bergantung. Mama yang mengetahuinya telah menawarkan
Mak Ning bekerja bersama keluarga mama.
Hanya itu yang dapat mama lakukan untuk
membantu Mak Ning yang memang sebatang kara.
Kini sudah lebih 20 tahun Mak Ning menjadi ‘mama kedua’
Khalish di dalam keluarga ini dan dia sudah dianggap
sebahagian daripada keluarga ini.
“Yalah kamu tu. Buatnya Mak Ning betul-betul
pengsan baru kamu tahu. Jenuh pula nanti kamu kena
buat apa tu... PR... ala yang tekan dada sambil hembus nafas
ke mulut tu.”
“CPR, Mak Ning.” Ketawa lagi wajah di depannya.
“Ha… apa-apalah. Mak Ning bukan reti benar
menyebutnya.” Mata terjun pada wajah kacak bujur sirih
dengan dua lesung pipit di kiri dan kanan pipi. Ditatap
lagi wajah tampan yang sering sahaja buat hati tua Mak Ning
damai. Anak yang sudah dianggap bagaikan anak sendiri
apatah lagi dia tidak dianugerahkan zuriat sepanjang
perkahwinannya bersama arwah suami.
“Khal lapar, kan.” Selama lebih dari 20 tahun hidup
sebumbung dengan anak muda ini, Mak Ning cukup
masak dengan perangai Khalish Ariq, anak bongsu
majikannya ini. Anak manja ni memang baik, hormat orang
tua cuma.
Bibir Khalish memuncung. Sengaja mencipta
manja. Muk yang sudah licin titis coklat dipegang. Tubuh
ditegakkan. Tangan kiri mengisar perut. “Lapar gila ni
Mak Ning.” Langkah dibawa ke singki. Kepala paip diputar
perlahan. Span pencuci dicapai lalu ditonyoh masuk ke dalam
mulut muk. Diputar span kiri dan kanan sebelum ditarik
keluar.” Rasa perut ni dah nyanyi macam-macam rentak
muzik dari awal pagi tadi. Aduh… tak tahan Mak Ning.”
Span diletakkan kembali ke tempat asal. Muk dibawa ke bawah
aliran paip.
“Itulah, malam tadi kenapa tak nak makan. Jual
mahal lagi. Padan muka. Mak Ning masak kari ketam
kegemaran Khal tu. Besar besar ketamnya. Manis isi dia.”
Sengaja mahu mengusik anak muda yang sedang berdiri
di singki. Khalish dilihat menoleh. Lirikan mata yang
jelas melontar jelingan halus. Ketawa Mak Ning pecah.
Bibir dicebik. Muk sudah siap dikembalikan pada
tempat asalnya. Langkah dibawa ke aras kerusi tadi.
Dilabuhkan duduk. Reaksi mata sengaja dibuat layu. Mahu
mengundang simpati wanita di depan. Dia cukup kenal wanita
di sebelahnya ini. Penuh dengan limpahan kasih sayang.
“Alah, Mak Ning. Khal penat sangat...mana ada selera nak
makan.”
“Hmm... itu yang menyelongkar peti sejuk subuh
subuh alam ya.”
“Mak Ning..”
“Tu suara merengek macam budak hilang anak
patung adalah tu kan..”
Pecah ketawa Khalish. Mak Ning… Mak Ning. Kepala
menggeleng. Suka hati dia saja kalau hendak mengenakan
Khalish.
“Mak Ning sayang Khal, kan..”
“Dah, dah jangan nak jet-jet Mak Ning. Cakap nak
apa.”
“Nasi lemak… dengan ayam goreng rempah
rangup.”
“Amboi...”
“Please, Mak Ning. Mak Ning, kan sayang Khal.”
“Pandailah kamu ya membodek Mak Ning. Eii…
budak bertuah ni.” Hidung mancung Khalish sudah jadi
sasaran ibu jari dan jari telunjuk tua Mak Ning.
Sengih. Tangan Mak Ning dicapai dan diletakkan
di pipi. Mata Mak Ning bersinar. Senyum. Elusan di pipi
lembut terasa oleh belaian jari-jemari Mak Ning.
“Dahlah pergi naik atas sambung tidur. Mak Ning
masakkan kejap lagi.” Pipinya dielus lagi. Kepala diangguk.
Kerusi perlahan ditolak ke belakang.
“Khal...” Kepala menoleh. Kaki yang mendaki
tangga terhenti.
“Khal pergi cari siapa semalam?” Mak Ning cukup
tahu. Sepotong nama sedang terlayar di minda. Namun
sengaja mahu wajah berlesung pipit tu membuka sendiri
lembaran cerita semalam. Kisah kedua-duanya sudah bagai
epik cinta yang cukup rencah dan rasa.
Entah bila agaknya akan terlerai segala-galanya.
Hanya payungan doa yang tidak pernah lupa dipanjatkan pada
yang Khaliq, yang Pengasih dan Penyayang. Satukan kembali
dua hati yang sudah terlerai ini. Mak Ning tahu di hati Khalish
hanya ada Annur. Tiada yang lain. Hingga kini. Yang terjadi
dahulu cuma salah faham, Annur. Yang terjadi dahulu cuma
khilaf daripada Khalish yang tidak disengajakan. Silap
Khalish cuma dia terlajak melafaz kata, Annur. Khalish
sudah tahu cerita sebenar. Percayalah kata Mak Ning.
Percayalah Mak Ning, Annur.
Senyum.
“Masak sedap-sedap ya, Mak Ning. Kejutkan Khal
bila Mak Ning dah siap masak. Khal nak makan dulu.
Jangan bagi yang lain.” Langkah mendaki Khalish diteruskan.
Ada rasa getar di dada. Pertanyaan Mak Ning dibiar sepi.
Dilepaskan nafas perlahan.
Mata tua Mak Ning bergenang. Bibir dikemam.
masih menyorot bayang Khalish yang sudah lama
menghilang dari anak tangga. Mata melihat seraut wajah
comel, manis dan cantik sedang tersenyum sambil ketawa
bersama Khalish di tangga. Empangan hangat pecah.
Hujung baju kurung pantas menyeka.
Annur, maafkan Khal ya sayang.
“MEETING with pipeline installation team?” Muk di tangan
Zura diletakkan di depan. Asap dan aroma kopi yang
bercampur memenuhi ruang udara bilik Qistina. Semerbak
bau yang dikeluarkan dari muk berbentuk bujur itu menyucuk
ke dalam rongga hidung. Mata dijatuhkan pada raut wajah
cantik yang cukup tenang di depan sambil menyelak fail.
Rajin mak cik ini tidak surut-surut. Macam dulu dulu
juga. Zura sempat melontar bisikan. Disorot pandangan pada
tubuh di depan lagi. Baju kurung sutera rona biru muda corak
abstrak yang digayakan dengan tudung sedondon nampak
begitu menyerlahkan penampilan teman sekerja yang
paling akrab dengan Zura ini.
Annur Qistina Haji Aziz dikenali ketika mula-mula
gadis manis ini menyertai syarikat sebagai jurutera. Ternyata
tarikan kebijaksanaan bersama raut wajah keanak-anakan
yang sungguh comel dan cantik persis anak patung terkenal
itu cukup menggamit pandangan dan mengetuk hati semua
kaum adam. Bukan setakat di dalam syarikat ini sahaja.
Tarikan si Barbie Doll ini menular hingga ke
bangunan-bangunan bersebelahan. Meminjam kata-kata
Joe... siapa yang tak jatuh cinta kalau tengok Barbie Doll
hidup depan mata, kan. Bukannya Zura tidak tahu betapa
rimasnya Qistina dengan perhatian dan kiriman hadiah serta
bunga yang diterima saban hari. Semuanya atas satu tujuan.
Satu matlamat. Cuma Qistina tidak mungkin mahu memilih
kerana si Barbie Doll ini sudah ada pilihan di jiwa. Kekasih
awal dan akhir Qistina hanyalah lelaki itu seorang.
Khalish Ariq itulah pemilik hati sang Barbie Doll
di depannya itu. Tapi itu dulu. Bukan sekarang. Semua itu
sudah lama berlalu. Segalanya hanya tinggal kenangan.
Kenangan yang amat pahit buat Qistina. Sekarang ini hati
si Barbie Doll nan cantik manis ini tidak Zura ketahui
akan jadi milik siapa pula. Yang Zura pasti, hanya lelaki
yang bertuah sahaja mampu memiliki sekeping hati
milik sang Barbie Doll cantik di depannya ini.
Dan sesiapa pun lelaki itu nanti, Zura akan katakan
kepadanya betapa beruntungnya dia kerana Qistina
sesungguhnya gadis yang teramat istimewa. Dan Khalish,
betapa rugi kau kerana melepaskan gadis sebaik Qistina.
“Kau okey kan kalau kita jumpa dia orang dulu, Zu.”
Qistina yang tenang menyemak jadual pada fail di tangan
mengangkat wajah sekilas. Pandangan kedua-duanya
bertembung. Zura dilihat terpinga-pinga seketika sebelum
mengerut dahi. Mungkin sedang berkhayal tadi agaknya
dan lontaran kata-kata Qistina pasti membuatkan temannya
ini tersentak daripada khayalan. Dalam hati Qistina
tersenyum. Zura…Zura. Pagi-pagi sudah berangan.
“Err, Qis…any problem with the process? Kan Joe
Romeo punya bahagian tu.”
Qistina tabur senyum. Joe Romeo. Kata-kata Zura
itu mengundang kenangan manis lima tahun dahulu. Zura
memang dari mula Joe menyertai kumpulan mereka
menggelarkan Joe dengan panggilan Joe Romeo. Zura dan
Joe satu universiti dahulu dan mengambil jurusan yang sama.
Cuma Joe sahaja, seusai tamat pengajian mendapat tawaran
pekerjaan di Brunei. Kata Zura dia memang dah masak dan
kenal Joe luar dan dalam. Joe memang kaki mengayat
perempuan. Girlfriend si romeo ini keliling pinggang.
Bertukar ganti.
Meluat sungguh kata Zura. Tapi hakikat memang
begitu. Rupanya yang punya kelebihan iras pelakon terkenal
buat dia jadi kegilaan ramai siswi. Siswa yang cemburu juga
tidak kurang ramainya. Ada juga pensyarah yang jatuh hati
kepada si romeo ini. Tapi semuanya itu sekadar teman mesra
ketika di kampus sahaja.
Joe susah untuk jatuh hati. Mungkin sebab dia yang
dan bukan mengejar. Itu cerita Zura kepada Qistina.
Tapi si romeo ini kalah dengan Qistina kata Zura.
Kalah dengan pukulan kau. Pertama kali dalam hidup dia
jatuh cinta pandang pertama tatkala diperkenalkan kepada
Qistina. Itu yang Joe katakan kepada Zura. Bersungguhsungguh
dia minta Zura jadi posmen untuk rapatkan dia
dengan Qistina.
Macam-macam yang Joe lakukan semata-mata untuk
rapat dengan Qistina tapi sayang kata Zura, Qistina sudah ada
Khalish ketika itu. Mana mungkin Joe dapat merampas
Khalish di hati Qistina. Khalish itu sudah sebati dalam jiwa
Qistina sejak sekian lama.
Khalish ibarat nyawa kedua buat Qistina. Khalish.
Nama itu terdesir lagi di bibir. Qistina hela nafas. Membuang
jauh kenangan lalu. Raut wajah keliru Zura yang masih tekun
dan takzim menanti bicara kembali ditatap.
“I want to discuss and review ITP (inspection &
test plan) with our contractor. This discussion is really
important to ensure that the team works are carried out
accordance to the code, standard and procedures of
work specifications. This review of ITP process is really
important in the QC plan as co-requirements.”
Zura mengangguk. Muk di depan kembali dicapai.
Isi muk dicicip penuh hati-hati. “Fine. Anything else you
wanna discuss with them.”
“I wanna highlight to them on the new Welding
Procudure Specification (WPS) and Welder Qualification
Test (WQT)...plus the process of monitor dan controlling
of welding works, consumables issued and also welding
parameter...” Qistina tala mata sekilas melihat Zura yang
sedang tekun mendengar. Senyum dilontar. “...which either
before, during and after welding as per ITP and WPS.
This is the critical part and this is the issues that we need to
discuss together. I do not want any problem happened during
the installation. No mistakes, Zu. You know how I work,
right. “ Qistina lontar senyum. Bertaut dengan dengan
senyum dari ulas delima Zura yang merah.”
“You are too workaholic, Qis. Same like before.
Tak berubah sikit pun. Tu yang Kamal tak mahu lepaskan kau
untuk mana-mana secondment lagi. Enough kata pak cik tu
bila aku cuba giat dia kalau-kalau ada secondment request
from overseas offices. Susah I bila Qis tak ada. Nobody
can work like Qis. Nobody.” Qistina senyum. Selalu sahaja
dahulu dia digiat Zura setiap kali mendapat pujian ketuanya
itu. Si Kamal tu kalau memuji kau memang tahap langit nak
runtuh, Qis. Aku ni tak adalah dia puji bagai nak rak. Runtuh
awan tu kalau dia puji aku macam dia puji kau.
“I suka kerja aku, Zu. I love my work so much.
Lagipun kerja ni pun ibadah jugak. Jadi kenalah sungguhsungguh.”
Fail yang dipegang ditutup lalu diletakkan di
depan.
Zura angkat tubuh lalu mendepa ke depan
sedikit. Wajah Qistina yang juga sedang memandang tepat
kepadanya ditatap. “Kerja tu kerja jugak. Tapi hidup ni kena
seimbang, Qis. Jangan terlalu obses dengan kerja sampai
kau lupa tanggungjawab pada diri kau sendiri. Diri kau tu
perlukan jugak jagaan dan belaian kasih sayang.”
“Maksud kau?” Kening Qistina diangkat.
“Bila nak cari pengganti Khal...” Mata kedua-duanya
bertembung. Zura terus tunak merenung.
“Zura...”
“Atau kau masih tak mahu cari pengganti... sebab tak
ada sapa yang boleh ganti dia dalam hati kau. Qis...” Zura jeda
sesaat. Mata memaku ke wajah Qistina.
Keluhan kecil terluncur. “Kau berhak bahagia dan
dapat hidup yang membahagiakan. Dan bahagia kau ada di
sini. Sejak dahulu. Dia tunggu kau , Qis. Dan aku tahu tempat
dia di hati kau masih tidak terisi lagi sampai sekarang dan
takkan terisi oleh sesapa pun. Sebab hanya dia dalam hati kau
selama ini. Takkan berubah. Don’t try to deny it, Qis.”
Zura, just stop it! Suara itu tersangkut. Tidak mampu
untuk diluahkan secara zahir. Qistina ketap bibir.
“Zura...” Kepala digeleng halus. Masih gagal melontar
luahan di hati. Entah kenapa sukar sekali diluahkan apa yang
sekian lama takzim bersimpuh di ruang hati. Kau tak faham,
Zura. Kau tak faham…
“Peluang kedua tak salah Qis.” Zura terus mengasak.
Baginya baik Qistina mahupun Khalish kedua-dua saling
memerlukan. Segala yang terjadi bukan silap sesiapa.
Hanya khilaf mata yang memandang. Khilaf telinga yang
mendengar. Khilaf hati dan jiwa untuk mentafsir setia dan
jujur. Khilaf merungkai makna percaya yang dijunjung
antara keduanya. Dan Zura juga tahu Khalish sudah
tahu kisah sebenar. Hanya tambatan ego seorang lelaki
yang mampat di jiwa gagal dileraikan selama kepergian
Qistina. Jauh di sudut hati lelaki itu Zura tahu tiada siapa
yang bertakhta di puncak jiwa. Hanya gadis di depannya
ini penakluknya.
Senyum. Hanya itu yang terdaya dan termampu.
Bukan mudah mencorak kembali segala yang telah berlalu,
Zura. Hidup ini bukan kanvas lukisan. Tidak suka, buang
sahaja apa sudah terconteng lalu gantikan dengan kanvas
yang baru.
Tidak semudah itu, Zura. Dan apa yang aku
lalui selama bertahun ini, bukan mudah untuk aku
buang…kuburkan begitu sahaja. Ia akan tetap kekal dalam
lipatan hidup aku ini… selama-lamanya. Nafas dihela
perlahan. Getar dalam dada yang kencang menghempas
dikawal sebaiknya. Tidak mahu dikesan teman di hadapan.
Tubuh yang tersandar di dada kerusi baldu dipusingkan ke
kiri dan kanan. Perlahan. Berulang-kali. Cuba mencipta
tenang. Fail di depan yang terhampar dicapai. Dihulur
kepada Zura.
“Have a look. Inform Joe. We meet up once
everything is ready. I’ll contact our contractor. Okay?” Ulas
delima yang tercalit rona merah samar mengukir senyum.
Zura angguk. Tubuh ditegakkan. Muk dicapai. Fail dikepit di
dada. Langkah dibawa ke pintu. Ditoleh kembali memandang
Qistina yang sedang memandang skrin Apple. Dilihat jari
jemari teman baiknya itu sedang rancak menari.
“Qis…” Zura tenung wajah mulus ayu di depan.
“Hmm...” Qistina tabur senyum.
“Think of what I’ve said, babe. Both of you
need to talk.” Tombol pintu ditarik dari luar.
Mata Qistina masih pada pintu yang sudah tertutup
rapat. Bayang teman sekerjanya itu sudah tenggelam di
sebalik dinding pintu. Jari-jemari berhenti menari.
Disandarkan tubuh ke leher kerusi. Nafas seakan-akan
bergetaran kala dihembus. Ada rasa yang sedang mengintai
jendela naluri yang rapat terkunci. Kata-kata Zura kembali
bergema memenuhi ruang bilik. Air liur ditelan.
Pahit sekali.
“Atau kau masih tak mahu cari pengganti sebab tak
ada siapa yang boleh ganti dia dalam hati kau.”
“Peluang kedua tak salah, Qis...”
Bebola mata terkelip-kelip. Nafas rasa sesak seketika.
Dua tapak tangan dibawa ke dada. Melekap pada dada.
Kejap. Kepala digeleng. Mata dipejamkan seketika. Ada
bayangan kisah silam yang kembali menerjah minda.
Bibir dikemam. Kata-kata Zura tadi kembali meniti…
dan terus menari.
Kau tak faham, Zura. Kau takkan faham apa yang
aku rasa... Ya…rasa, Zura. Rasa. Kau takkan faham rasanya
bila dituduh dan dihina. Kau takkan faham rasa sakitnya bila
maruah diinjak tanpa simpati. Kau takkan faham rasa seksanya
jiwa bila dihukum sebegini. Kau takkan faham rasa sedihnya
dibuang keluarga sendiri. Kau takkan faham rasa apa yang aku
tanggung selama ini. Kau takkan faham, Zura...
Ada getar suara hati yang meniti di situ. Getar yang
maha hebat. Kembali dibuka mata. Dua tapak tangan
berpindah ke wajah. Diraup perlahan. Sebuah kenangan
kembali singgah di layar mata. Qistina ada di situ. Dia
sedang ketawa. Riang. Ada wajah berlesung pipit yang
sedang ketawa bersamanya. Ya, wajah itu. Indahnya saat
itu. Mereka rancak ketawa. Bibir diketap. Tapak tangan
dileraikan dari wajah. Kenangan itu pecah berderai.
Hilang. Tubuh terhinggut. Ada hangat di empangan.
Esak halus bergema. Tolonglah pergi…
Go away, Khal...
Just go away...
Far away…

No comments:

Post a Comment