Sunday, 26 June 2016

Lafaz Cinta Di Jari Manis - Bab 7

TAG HEUER dipergelangan kiri ditoleh sekilas.
Langkah pemanduannya makin laju. Deras. Mata dihala
ke hadapan memasuki kawasan bangunan hotel. Pesanan
Ray di Blackberry sebentar tadi agar Khalish segera ke
Cinnamon Coffee House masih segar di ingatan. Semacam
ada sesuatu di sebalik pesanan tersebut. Datang segera kata
Ray! Akalnya memang cukup kuat menyatakan begitu. Ray
jarang berpesan sedemikian kepadanya kecuali jika ada
yang penting. Jikalau sekadar mahu menemaninya di situ
tidak mungkin. Ray memang ada acara bersama isterinya
tengahari ini.
Memang Khalish tau Ray ada lunch date
bersama isterinya di situ. Ray ada memberitahu Khalish
semasa mereka beriringan untuk ke kawasan parkir malam
semalam usai mesyuarat dan makan malam bersama
pelanggan dari Australia di Senses Restoran. Memang
Khalish yang meminta setiausahanya agar menempah
tempat di situ memandangkan kedua-duanya begitu
menggemarinya hidangan di situ kala pertama kali dibawa
ke situ sewaktu pertemuaan pertama mereka tidak lama
dahulu. Restoran yang menyajikan rangkaian hidangan dari
negara kanggaru itu yang diberikan sentuhan tempatan cukup
membuatkan dua pelanggan mereka itu tersenyum lebar buat
kali kedua!
Kereta yang dipandu sudah memasuki ruang
bawah tanah hotel bertaraf lima bintang itu. Dalam rasa
penuh tanda tanya di kepala yang sudah tahap menepu,
pemanduannya tetap fokus. Mata liar memerhati ruang
kosong di kiri dan kanan. Helaan perlahan nafas terluncur
lembut. Stereng BMW yang asalnya dipandu menghala
ke Ampang untuk makan tengahari bersama mama
dan abah di KDE terpaksa ditukar kompasnya sebaik
menerima pesanan mengejut berskala wajib daripada Ray.
Dia kena datang ke tempat yang disebut Ray
sekarang juga! Ada sesuatu yang dia perlu lihat namun
Ray tidak menjelaskan secara lanjut. Entah apa agaknya yang
membuatkan kawan baiknya itu menggesanya begini. Ditanya
tidak pula mahu dijelaskan.Datang cepat, bro! Itu sahaja yang
ditekankan di hujung pesanan.
Selesai urusan parkir, langkah dihala ke tempat
yang diarahkan oleh Ray. Tubuh sempat berpapasan
dengan beberapa pengunjung di lobi utama hotel bertaraf
lima bintang itu. Diatur langkah ke tempat yang dijanjikan.
Pintu masuk ke Cinnamon Coffee House makin dihampiri.
Chrome hearts yang tersangkut di permukaan mata ditarik
lalu disangkutkan ke dada. Bibir menguntum senyum
kala mata menyapa dua susuk tubuh yang cukup
dikenali nun di hadapan. Dua susuk yang turut sama
sedang melontar pandangan kepadanya sambil menjaring
senyum. Tangan diangkat. Membalas lambaian.
Senyum Rayyan mekar saat mata singgah
memandang ke arah pintu masuk. Susuk tubuh dengan
raut tampan berkemeja-T hitam dan berjean biru yang
sedang menanggalkan kaca mata cukup membuatkan
senyumnya tambah lebar. Tangan diangkat sedikit memberi
isyarat. Farah di sebelah turut menoleh. Ulas delimanya
turut mekar. Gelas jus kiwi yang erat di tangan perlahan
diletakkan ke permukaan meja. Senyum suaminya di sebelah
ditoleh sekilas. Dibalas mesra. Penuh makna.
Memang mereka berdua menunggu kedatangan
Khalish sejak tadi. Kedatangan yang memungkinkan
sebuah penantian yang sekian lama ditanggung Khalish akan
terlerai hari ini. Diharap peluang yang sedang terhidang
di depan mata ini tidak akan dilepaskan oleh teman baik
mereka ini. Baik Farah mahupun Ray sangat maklum
di hati Khalish hanya ada si Barbie Doll itu.
Biar Khalish cuba menafikan namun mana mungkin
rusuh diwajahnya itu dapat disembunyikan. Sejak lima tahun
hilang sudah seri di wajah tampan itu. Sukar benar si pemilik
senyum berlesung pipit itu melontar senyum bahagia seperti
dahulu. Bahagianya sudah jauh dibawa lari ke seberang laut.
Bukan Farah dan Ray tidak tahu beratnya beban di jiwa
Khalish.
Menanggung rindu. Menanggung sesal. Menanggung
kesal. Semuanya kerana si cantik itu. Dan si dia yang cantik
itu sedang berada tidak jauh daripada mereka. Sedang
tersenyum dan bergelak ketawa bersama dua temannya yang
cukup Farah kenali wajahnya. Salah seorang daripadanya
adalah antara yang terbabit sama dalam kemelut kedua-dua
jiwa ini. Kemelut yang menyebabkan terpisah dua hati dan
jiwa bergelar Khal dan Qis.
Tubuh tegap Khalish perlahan berlabuh di sebelah
Ray. Jabat tangan bertaut. Senyum manis belum usai.
Farah di sebelah turut disapa. Saling bertukar khabar.
Saling bertukar cerita. Lama juga rasanya Khalish tidak
berjumpa Farah. Kesibukan kerja antara yang membataskan
ruang dan masa untuknya memenuhi undangan Farah
untuk datang ke rumah mereka untuk makan bersama.
Khalish melepaskan nafas tenang. Pelayan yang sudah
berdiri di sebelah sambil melontar senyum dibalas.
Dilontarkan pesanan diri sambil mengucapkan terima kasih.
“Ada apa ni, Ray? Apa yang penting sangat ni.
Suruh aku datang ni semata-mata nak minta aku kacau
daun kau orang berdua nak berdating ke.”
“Relax, bro. Be patient.” Bahu Khalish ditepuk-tepuk
perlahan. Ketawa kecil bertaut.
“Dah kau yang gesa aku suruh datang sini cepat,
kan. Must be something going on.” Ray angguk perlahan. Mata
kedua-duanya bertatapan seketika. “ Apahal sebenarnya ni,
bro?”
Rayyan senyum. Wajah Khalish yang penuh tanda
tanya ditatap. Ditoleh memandang isteri di sebelah. Senyum
Farah yang manis ditelan. Senyum di bibir Ray memekar.
“Adalah sebabnya aku suruh kau datang, bro..”
Farah pula menabur senyum.
“Hey both of you, please. Apa ni? Kau senyum,
Farah senyum. Apa benda yang kau orang nak tunjuk kat
aku sebenarnya ini?” Senyum Ray yang bergandingan
dengan senyum Farah membuatkan Khalish merasakan bagai
ada sesuatu yang cuba disembunyikan kedua-duanya. Dalam
kepala sedang rancak meneka. Masih gagal mencari titik
jawapannya.
Pelayan yang datang membawa pesanan membuatkan
Khalish tersentak seketika. Bicara ketiga-tiganya terhenti
seketika. Khali. Kepala mengangguk saat semua pesanannya
diletakkan di depan mata. Ucapan terima kasih tidak lupa
diucapkan. Mata tunak memandang italian pasta yang
dipesan. Wajah mama terlayar di mata. Tiba-tiba tanpa
diundang senyum. Kepala digeleng perlahan. Perlakuan yang
menyebabkan suara Ray pantas menyapa cuping.
“Is there anything, bro? Senyum-senyum pula
kau tengok pasta yang kat depan tu. Ada nampak muka
sesiapa yang kau rindu ke?” Ray angkat kening menoleh
kepada Farah di sebelah. Kepala Farah mengangguk setuju.
“Muka mama akulah.”
“Mama kau? Why?” Kening Ray sedikit berkerut.
Hairan.
Khalish capai gelas lemon tea di depan. Tangan
siap dibuka mempelawa Farah dan Ray di hadapan untuk
turut serta. “Mama aku punyalah bersoal jawab apasal yang
aku tiba-tiba batalkan lunch dengan dia dengan abah aku.
Mama siap tanya lagi, Khal ada date ke? Kan elok beritahu
awal-awal. Tak elok bagi orang perempun tunggu kita.
Date?! Aku balas balik cakap siapalah nak date
dengan Khal ni mama. Tak laku anak bujang mama ni sebab
mulut dia laser sangat. Yang dah hampir dalam tangan pun
boleh terlepas.” Bibir menjamah mulut gelas yang berada di
tangan. Rayyan senyum kemudian menoleh sekilas ke sebelah.
Senyum di bibir isterinya turut menguntum. Ray hanya
memandang Khalish yang sudah mula menjamah pasta.
Kening diangkat memandang Farah. Kedua-dua melontar
pandangan ke arah sudut restoran. Meja itu ditatap untuk
ke sekian kalinya. Seraut wajah yang sedang rancak
bersembang sambil tersenyum terus dijamah. Akal Ray
sedang laju berputar.
Khalish angkat kepala. Pinggan pasta ditolak ke
depan. Napkin pada riba diangkat lalu dibawa ke bibir.
Mata sempat menangkap reaksi pasangan di hadapannya. Hati
lelakinya kuat menyatakan ada sesuatu yang cuba mahu
disampaikan kedua-duanya kepada Khalish. Sejak tadi
bila ditanya, hanya senyuman yang dibalas. Senyuman
yang sukar sekali diterjemah maknanya.
QISTINA senyum. Kepala digeleng. Kamal dan Zura di depan
turut tersenyum.
“Jauh-jauh kau orang berdua seret aku sematamata
nak bagi berita gempar ni. Dahlah curi hari cuti aku.
Aku nak buat drama Snow White sampai ke petang kat
rumah pun tak senang. Gilalah kau orang berdua ni. And
Kamal, you...” Qistina hala matanya yang bulat dan bercahaya
itu. “Dah ikut jadi tak betul macam mak cik sebelah you tu,
kan?”
“Hei!” Zura sudah terjerit. Tangan pantas menepuk
lembut lengan Qistina. Ketawa pecah lagi.
“Jadi bila nak beritahu the whole office. Wah...”
Qistina tarik nafas teruja. Sepasang mata bundarnya yang
cantik bercahaya. “Aku teruja, tumpang seronok dan
bahagia untuk kau orang berdua. Akhirnya, kan. Lama
sungguh aku tunggu berita ni.”Senyum manis Qistina buat
Kamal dan Zura yang saling berpandangan turut tersenyum
sama.
“Qis..”
Qistina angkat senyum lebar. “Hmm...”
“Jadi pengapit aku eh..”
Laju menggeleng.
“Eh, tak nak. Aku pesen gelabah. Habis kau nanti.
Malulah, Zura.”
Zura muncung.
“Please, Qis. Mana nak cari pengapit muka comel
Barbie Doll macam kau ni. Aku pun nak glomour tau. Please
dear. Sayang...” Zura toleh memandang Kamal di sebelah.
“Tolonglah pujuk engineer kesayangan you ni.” Kamal angkat
kening.
Wajah ayu comel Qistina yang santai berkemeja
hitam dengan tudung kelabu corak abstrak hitam dan
berjean biru lusuh ditatap. “Qis, this our special request.
Harap sangat kau setuju. Memang Zura dah rancang akan
kahwin bila kau balik. I really hope you will join us during
our special day.”
Zura capai tangan Qistina. Dielus dan digenggam
erat. Wajah sudah menadah mood simpati dan merayu.
Qistina letak tapak tangan ke pipi licin Zura. Senyum.
Kepala diangguk perlahan. “Okeylah. Untuk kau orang
berdua, aku relakan diri ini walaupun aku sangat takut tau!”
“Yes!” Zura pandang keliling. Ada yang menggeleng
kepala. Ada yang tersenyum, Ada yang ketawa. Tapak tangan
sudah menekup mulut. Malu. Kamal sudah menggeleng
kepala. Ketawa kecil terluncur. Qistina turut melontar
pandangan melihat sekeliling seimbas lalu. Ketawa. Dan mata
tiba-tiba terpaku saat matanya singgah pada seraut wajah di
depan.
Ketawanya mati tanpa diundang. Senyum sudah
pantas berlari kencang menyembunyikan diri di belakang
jendela. Nafas kencang memacu aliran darah ke jantung.
Sesak. Zura di sebelah yang perasan akan reaksi Qistina
yang tunak memandang ke suatu arah turut mencari arah
yang dituju oleh pandangan mata teman baik di sebelah.
Mata Zura terbuntang. Mata mereka saling memandang.
Mata saling bertaut. Qistina telan air liur.
KHALISH tidak berkelip memandang. Ray dan Farah di
sebelah turut sama memandang. Jeritan tidak sengaja dari
meja yang menjadi perhatian mereka sejak mula-mula
menjejak masuk ke restoran ini tadi benar-benar
membuatkan tugas Ray dan Farah jadi tambah mudah.
Itulah punca yang menyebabkan dia menekan nombor
Khalish dan meminta sahabat baiknya ini untuk cepat-cepat
ke mari. Seakan-akan-akan mahu sahaja disambung kataLafaz
kata dipesan cepat datang, bro. Barbie Doll kesayangan kau
ada disini. Tapi Farah melarang. Farah mahu Khalish lihat
sendiri. Farah mahu lihat sendiri ego Khalish yang selama ni
menabiri hati akan terlerai atau tidak saat matanya menatap
wajah yang sangat-sangat Khalish rindu selama bertahuntahun
ini.
Tubuh Khalish tegak. Ray dan Farah saling
bertatapan.
“Bro…”
Khalish senyum. Kepala diangguk.
“Don’t worry.”
Qistina rasa jantungnya bagai mahu berhenti
berdenyut. Susuk tubuh di depan yang sedang mengatur
langkah ke arahnya dipandang tidak berkelip. Nafas turun
naik begitu pantas sekali. Beg Coach di kerusi sebelah dicapai.
Zura dan Kamal saling berpandangan. Terkejut. Terpanar.
Wajah Zura dan Kamal ditatap sekilas.
“I’ve to go guys. Really have to go. I’m sorry.
So sorry...” Tubuh bangkit dari duduk. Laju diatur langkah
keluar menuju ke pintu restoran. Kelibat di belakang yang
sedang mengejar tidak dihiraukan. Terdengar namanya
dipanggil. Langkah makin deras mencari lif terdekat. Bibir
dikemam.

No comments:

Post a Comment