Friday, 24 June 2016

Perangkap Dua Hati - Bab 5

SUDAH tiga bulan Nuh Qays bekerja di
Syarikat Bina Perdana dan selama itu juga, jarang benar dia
menemui Qisya Zulaikha. Dia tertunggu-tunggu juga jika
Qisya Zulaikha datang ke bahagian pemasaran tetapi tidak,
cuma dua atau tiga kali saja dalam sebulan. Bukan dia tidak
tahu bahawa Qisya Zulaikha berkawan rapat dengan kerani di
bahagiannya iaitu, Ifa. Tapi setiap kali sarapan pagi mahupun
makan tengah hari, Ifa selalu saja menghilang. Mungkin Ifa
yang selalu ke tempat Qisya Zulaikha, teka Nuh Qays.
Terleka pula dia memikirkan tentang Qisya
Zulaikha di dalam kereta pagi ini. Nuh Qays ternampak
kelibat Qisya Zulaikha yang baru saja datang itu. Baru dia
tahu bahawa Qisya Zulaikha menggunakan kereta Honda
Civic, tidak kelihatan baru dan tidak juga kelihatan lama.
Banyak benar perkara yang dia tidak ketahui tentang Qisya
Zulaikha ini, tentang keluarga wanita itu. ‘Susah juga
menyukai seseorang dalam diam ini,’ bisik hatinya.
Laju saja Nuh Qays keluar dari kereta Audi A4
berwarna biru itu, memandangkan tempat parkirnya tidak
sama dengan tempat parkir pekerja bawahan. Untuk yang
berjawatan sepertinya, tempat parkir terletak lebih dekat
dengan bangunan pejabat, berbeza dengan pekerja bawahan.
Tiba-tiba saja dia ingin menyakat Qisya Zulaikha. Rasa rindu
mahu menatap wajah wanita itu. Nuh Qays memperlahankan
langkahnya agar beriringan dengan Qisya Zulaikha kerana
dia sudah mendengar bunyi tapak kasut dari belakang.
Qisya Zulaikha terus melangkah tanpa
menghiraukan lelaki yang di hadapannya ini. ‘Jalan macam
siput! Lambat benar lelaki ni berjalan,’ desis hati Qisya
Zulaikha. Dia cuba memotong lelaki di hadapannya ini tapi
setelah mendengar lelaki itu terbatuk kecil seraya itu dia
menoleh. Qisya Zulaikha terpaku.
“Err... Assalamualaikum Encik Nuh, selamat pagi,”
ucap Qisya Zulaikha. Rasa tidak elok pula jika sekiranya dia
tidak menyapa Nuh Qays sedangkan lelaki itu merupakan
salah seorang ketua di syarikatnya.
“Waalaikumsalam. Selamat pagi,” jawab Nuh Qays,
cuba berlagak serius. Dia nampak wajah Qisya Zulaikha yang
seperti takut-takut itu. Rasa mahu tergelak pula dia bila
melihat Qisya Zulaikha yang seakan-akan ragu-ragu apabila
bertembung dengannya. Qisya Zulaikha berkira-kira untuk
meninggalkan terus Nuh Qays ataupun beriringan sehingga
sampai ke lif nanti.
Qisya Zulaikha menggigit bawah bibirnya berkalikali,
habis lip gloss jenama Body Shop yang disapukan di
bibirnya itu kerana terlalu kerap menggigit. Dia rasa raguragu,
hendak meninggalkan Nuh Qays dan berjalan selaju
yang mungkin atau berjalan beriringan dengan lelaki itu?
Bingung! Jika dia meninggalkan Nuh Qays, nampak tidak
sopan pula tapi kalau dia beriringan dengan lelaki itu, pasti
dia akan berasa sangat janggal sekali. Akhirnya Qisya
Zulaikha memutuskan untuk mengatur langkahnya agar
lebih laju sedikit tapi yang menghairankan, langkah Nuh
Qays juga begitu. Qisya Zulaikha cuba memperlahankan
langkahnya pula, Nuh Qays juga seakan-akan buat sebegitu.
Macam main-main pula mamat ni, hatinya meneka. Dia
menoleh sekilas.
“Yes, anything?” tanya Nuh Qays.
Qisya Zulaikha pantas menggeleng laju. Takut jika
Nuh Qays memikirkan yang lain-lain. Mungkin itu firasat
Qisya Zulaikha saja. Biasalah bila rasa gementar ini, ada saja
yang tidak kena.
Nuh Qays menahan senyum, lucu betul Qisya
Zulaikha ini. Dia yakin Qisya Zulaikha sedar akan
perbuatannya itu tadi. Memang dia sengaja! Tapi cuba
berlagak tidak tahu dengan apa yang dia lakukan.
Masuk saja ke dalam lif, Nuh Qays berdiri di
penjuru belakang dan manakala Qisya Zulaikha pula berdiri
di hadapan. Rasa seram sejuk pula pagi ini, hatinya berkata
cemas. Dalam masa tiga bulan ini, memang jarang sekali
Qisya Zulaikha menampakkan dirinya pada lelaki itu.
Mungkin juga, dia cuba mengelak daripada bertembung
dengan lelaki itu. Selalunya, dia akan ramah dengan semua
pekerja tidak kira dengan orang atasan mahupun dengan
orang bawahan. Tapi dengan Nuh Qays ini, dia rasa takut
pula. Walaupun rasa suka itu masih ada untuk lelaki itu.
Lif berhenti di tingkat tiga. Mungkin ada orang nak
naik kut, teka Qisya Zulaikha. Pintu lif terbuka, nampak
kelibat Afiah dan juga Ifa.
“Nasib baik kau ada Ikha, kalau tak berasap badan
aku ni,” ujar Ifa seraya masuk ke dalam lif itu. Niat hatinya
memang mahu menyindir Afiah.
“Assalamualaikum Encik Nuh, selamat pagi.”
Ramah Ifa menyapa Nuh Qays. Dia menundukkan sedikit
kepalanya tanda hormat pada lelaki itu.
“Waalaikumsalam, selamat pagi,” jawab Nuh Qays.
“Ikha aku ada belikan kau sarapan tau dekat
kafeteria tadi. Tak banyak mana pun, terbantut hati aku nak
beli sebab ada makhluk Tuhan yang paling gedik tadi.” Laju
jari Qisya Zulaikha mencubit lembut lengan Ifa. Tidak suka
bila Ifa secara terang-terangan menyindir Afiah.
“Ish.. Apa pula ni? Memang betul apa?” marah Ifa.
“Encik Nuh, saya ada belikan sarapan untuk Encik
Nuh. Tak banyak mana pun Encik Nuh sebab tadi tiba-tiba
ada orang gila yang memekik,” ujar Afiah, sempat dia
menjeling tajam Ifa yang mencerlung memandangnya.
Berkerut dahi Nuh Qays bila dia seakan-akan faham
dengan situasi sekarang ini. Barulah dia sedar tentang
hubungan Afiah dengan Ifa yang tidak elok itu.
“Tidak mengapa, saya dah sarapan tadi. Terima
kasih ya Afiah.” Bukan Nuh Qays mahu mengelak daripada
makan makanan yang dibeli Afiah itu tapi sememangnya dia
sudah bersarapan di rumah.
“Ikha, kesianlah minah tu... Nak buat baik tapi tak
menjadi,” sindir Ifa.
“Ifa...” tegur Qisya Zulaikha dengan nada perlahan.
Dia tidak suka cara Ifa itu. Nasib baik pintu lif itu terbuka.
Sebelum dia melangkah keluar, dia menoleh ke belakang dan
menundukkan sedikit kepala tanda hormat kepada Nuh Qays.
Nuh Qays juga buat sebegitu seraya memberikan senyuman.
“Encik Nuh, saya sarapan dulu ya. Macam biasa,
saya naik sebelum waktu kerja,” ujar Ifa kepada Nuh Qays.
“Ya,” jawab Nuh Qays.
Sempat Ifa menjeling Afiah, Afiah juga buat
sebegitu. Dia benci melihat kedua-dua wanita itu. Rasa malu
pula bila tadi Nuh Qays menolak pelawanya. Di hadapan
Qisya Zulaikha dan Ifa pula tu!
“Saya tengok awak tak bertegur sapa dengan
sepupu awak tu?” tanya Nuh Qays. Selama dia bekerja,
memang dia tidak nampak Afiah bertegur sapa dengan Qisya
Zulaikha. Apatah lagi hendak datang bersama, memang dia
tidak pernah nampak sedangkan dia tahu Afiah dan Qisya
Zulaikha tinggal serumah.
“Bukan saya yang tak nak bertegur sapa Encik Nuh,
dia yang mulakan macam tu. Mungkin dia benci saya sebab
saya selalu tegur perangai dia yang entah apa-apa tu.”
Pintu lif terbuka dan Nuh Qays membiarkan Afiah
untuk keluar terlebih dahulu dan seterusnya dia mengiringi
Afiah.
“Kita ke pantri dulu ya,” pelawa Nuh Qays. Rasa
teruja setiap kali nama Qisya Zulaikha disebut walaupun
sesuatu itu tidak enak untuk didengar. Hatinya benar-benar
ingin mengetahui kehidupan sebenar Qisya Zulaikha.
Afiah mengangguk laju, gembira bila Nuh Qays
bergandingan dengannya.
“Tapi saya tengok dia elok saja. Tak pernah dengar
cerita yang tak elok tentang dia.”
“Itu yang Encik Nuh tengok. Tapi Encik Nuh tak
kenal dia, saya yang duduk serumah dengan dia ni memang
tahu segala-galanya. Mak su kita orang pun dah letih tegur
dia. Kadang-kadang saya kesian pula dengan lelaki yang
selalu dia permainkan.” Afiah mengeluh. Cuba
mempamerkan wajah kesal dengan sikap Qisya Zulaikha.
Hati Nuh Qays pedih mendengar kata-kata Afiah
itu. Akal fikirannya seakan-akan mempercayai setiap katakata
Afiah itu tapi hatinya kuat menidakkan. Kadang-kadang
dia keliru, takut disebabkan dia mencintai wanita yang
bernama Qisya Zulaikha akan membuatkan dia buta menilai
semuanya.
“About Ifa... Kamu berdua ada masalah ke? Sebab
saya tak suka dalam bahagian kita ni ada yang tak kena.
Memang saya tahu, rambut sama hitam tapi hati lain-lain
tapi saya tak nak disebabkan hal ini, ia akan mencemarkan
reputasi bahagian kita. Saya harap awak faham ya. Nanti saya
bincang hal ini dengan Ifa lagi.” Laju Nuh Qays menukar
cerita tentang Ifa pula. Dia tidak mahu berfikiran negatif
dulu sebelum dia mengenali siapa sebenarnya Qisya Zulaikha.
“Itu sebab dia terikut-ikut cakap Ikha, encik.
Mungkin Ikha dah burukkan saya dekat Ifa jadi hubungan
kami macam ni. Saya cuba mengalah tapi Ifa yang tak serikserik
nak sindir saya. Encik Nuh bincanglah lagi hal ini
dengan Ifa. Saya harap dia berubah.”
Nuh Qays mengangguk. Dia meninggalkan pantri
setelah selesai membuat Nescafe. Mulanya Afiah ingin
menolongnya tapi dia menolak kerana dia lebih suka
membuat sendiri minumannya. Itulah diri Nuh Qays yang
sebenar, dari dulu lagi dia seorang yang berdikari. Tidak suka
bergantung pada orang lain walaupun dengan ibu bapanya.
“AKU tak sukalah bila kau selalu sindir Fiah secara terangterangan.
Apatah lagi bila depan Encik Nuh tadi. Ifa, sudahlah
tu, kalau Fiah tak kacau kau, kau janganlah cuba kacau dia.
Aku betul-betul tak sukalah,” marah Qisya Zulaikha. Dia
meletakkan beg tangannya di hujung meja.
“Apa pula? Kau tahu apa yang dia kata dekat aku di
kafe tadi? Kalau aku ni tak sabar-sabar, memang dah lama dia
kena penampar aku, kau tahu tak! Dia yang sindir aku dulu,
dengan kau, kau sekali dia sindir. Itu yang aku naik geram.”
Ifa menarik kerusi kosong agar dekat dengan meja Qisya
Zulaikha. Plastik makanan dibuka kasar. Dia bukan marah
dengan Qisya Zulaikha kerana menangkan Afiah sebab dia
memang tahu Qisya Zulaikha jenis yang tidak suka
memanjangkan cerita. Tapi ini disebabkan Afiah yang selalu
saja berlagak, mulut macam tempayan!
“Aku dah lali sangat dengan perangai Afiah tu.
Balik-balik dia ungkit benda yang sama. Kadang-kadang dah
macam sebati dengan telinga aku ni bila dia selalu saja sindir
aku. Aku cuma kesian dengan mak su, dia lah yang akan jadi
orang perantaraan kami. Bagi aku, kalau Afiah nak hidup
macam tu berterusan, aku dah tak kisah.”
“Betul. Jangan peduli. Orang gila macam dia tu,
memang selalu tak betul.” Tergeleng-geleng Qisya Zulaikha
memandang mulut Ifa yang penuh dengan makanan itu.
“Kau ni, mulut dah penuh, masih nak cakap lagi.
Buruk betullah perangai kau ni.”
“Kau kata aku buruk Ikha? Jahatnya kau. Ini dah
berjangkit perangai sepupu kesayangan kau tu ke?” Bulat
mata Qisya Zulaikha memandang Ifa yang ketawa mengekek
itu.
“Muluuttt....” ujar Qisya Zulaikha meleret.
“Eh.. macam mana kau boleh satu lif dengan Encik
Nuh tadi? Kau datang sama dengan dia eh?” tanya Ifa teruja.
Baru dia teringat tentang hal itu.
“Masa aku datang, dia pun datang. So, tak menjadi
satu isu pun kalau aku sama lif dengan dia.”
“Tapikan.. Wahh! Dahsyat betul ek dia tu. Perfume
yang dia pakai, mengancam betul! Dengan gaya dia yang
macam tu... Huh! Memang confirm dah ada teman wanita.”
Berubah terus wajah Qisya Zulaikha tapi dengan cepat dia
mengawal perubahan itu agar tidak disedari oleh Ifa.
Nuh Qays sudah ada teman wanita? Memang tidak
mustahil. Jika dia masih meneruskan perasaan suka kepada
lelaki itu, pasti tiada ruang untuknya. Layakkah dia untuk
mencuri hati lelaki itu? Sedangkan dia cuma wanita yang
‘cuba merampas’ kekasih Qairina, kembar Nuh Qays.
“Malaslah nak cakap perkara tu. Nak puji
melambung tentang dia pun, bukannya hak kita. Kalau dia
dah ada girlfriend, memang tak syak la. Dia memang layak
pun, nak kahwin sekarang pun dah boleh.”
“Aik? Bunyi macam orang patah hati aje..” sakat Ifa.
“Patah hati? Tak kut. Dahlah... Makanan pun dah
habis, pergilah naik atas. Dah nak kerja ni.”
“Yalah, yalah. Nak sakat sikit pun tak boleh. Orang
happy bila kena kenenkan dengan Encik Nuh tu, tapi kau
tidak. Okey, aku naik atas dulu. Nanti tak pasal-pasal, nenek
murai dekat atas tu sindir aku lagi.” Laju Ifa membersihkan
bekas makanannya dan meninggalkan Qisya Zulaikha.
Kelakar pula bila Ifa memanggil Afiah dengan nama ‘nenek
murai’. Memang sesuai sangat!

No comments:

Post a Comment