“KAU dekat mana ni?” setelah memberi
salam, Izdiyad terus mengutarakan soalan itu kepada Nuh
Qays.
“Ofislah, dekat mana lagi,” jawab Nuh Qays, dia
mendengar Izdiyad ketawa.
“Set! Aku dah ada depan ofis kau ni. keluarlah
cepat! Hei... Orang dah nak lunchlah.. kau bila nak keluar
ofis ni?”
“What?!” terkejut Nuh Qays sebaik saja Izdiyad
mengkhabarkan tentang kedatangan lelaki itu. Cepat saja
iPhone itu beralih ke telinga sebelah kanan.
“Apa hal terperanjat ni bro? Sajalah aku nak
kejutkan kau. Dah lama kita tak keluar sama.”
“Aku turun sekarang!” Tanpa berlengah, Nuh Qays
menekan butang merah. Bergegas dia meninggalkan bilik
pejabatnya.
Nuh Qays tidak mahu Izdiyad terserempak dengan
Qisya Zulaikha. Dia tidak akan sekali-kali membiarkan
Izdiyad meneruskan kembali hubungan yang terdahulu. Dia
juga berasa gusar jikalau Izdiyad masih menyimpan perasaan
terhadap Qisya Zulaikha.
Tercungap-cungap Nuh Qays sebaik saja ternampak
Izdiyad yang santai bersandar di luar kereta lelaki itu sambil
leka bermain telefon bimbit. Izdiyad mengangkat kepalanya
dan dia tersenyum seraya melambai Nuh Qays tapi cuma
seketika bila dia ternampak seseorang yang dia kenali.
Nuh Qays menapak menghampiri Izdiyad tetapi dia
hairan melihat perubahan di wajah Izdiyad itu. Dia menoleh
ke belakang. Qisya Zulaikha bersama dengan Ifa yang baru
saja keluar dari pintu utama bangunan mereka. Dia melihat
Qisya Zulaikha rancak berbual dengan Ifa.
Nuh Qays berasa marah dengan semua ini. Dia
tidak menyangka secepat ini Izdiyad akan menemui Qisya
Zulaikha semula. Nuh Qays hanya tersenyum kelat
memandang Izdiyad.
“Qisya Zulaikha?” Langkah Qisya Zulaikha terhenti.
Dia terkejut dengan apa yang dilihatnya kini. Dia melihat
kedua-dua lelaki itu menghampiri mereka.
“Qisya Zulaikha kan?” tanya Izdiyad lagi. Tidak
dihiraukan Nuh Qays di sisi, yang penting dia ingin
memastikan wanita di hadapannya ini.
“Ya, saya,” jawab Qisya Zulaikha perlahan.
“Masih ingat dekat abang? Abang rasa, Ikha masih
ingat dekat abang, kalau tak... Ikha tak akan buat ekspresi
muka macam tu.” Qisya Zulaikha rasa serba salah, dia tidak
mahu ingat tentang lelaki itu lagi walaupun lelaki itu tidak
pernah menyakitkannya.
Ifa terpinga-pinga dengan situasi ini. Abang? Sejak
bila Ikha ada abang ni? Tak pernah pun nampak mamat ni,
desis hatinya.
“Ya, masih ingat.” Akhirnya terpaksa, Qisya
Zulaikha menjawab.
“Nuh, kenapa kau tak bagitahu aku yang kau sama
kerja dengan Ikha?”
“For what? Kau nak ulang kejadian dulu lagi?”
jawab Nuh Qays dengan pertanyaan juga. Keras suaranya
menjawab pertanyaan Izdiyad itu.
Qisya Zulaikha terasa hati dengan kata-kata Nuh
Qays itu. Benarlah, selama ini lelaki itu mengenalinya. Qisya
Zulaikha hanya tunduk, cuba menahan hati yang sedang
rawan.
“Tak adalah. Cuma rasa teruja bila nampak Ikha
semula. Dah lama juga kita tak jumpa ya Ikha?”
“Ya,” jawab Qisya Zulaikha pendek.
“Err... Saya Ifa, kawan Qisya Zulaikha.” Ifa
memperkenalkan diri bila dia sedar Qisya Zulaikha seakanakan
tidak selesa dengan situasi ini.
“Ohh ya... saya Izdiyad, senior Qisya Zulaikha masa
dekat U dulu. Sama dengan Nuh.”
“Eh.. Encik Nuh juga senior Ikha? Asal kau tak
bagitahu aku Ikha?” tanya Ifa pada Qisya Zulaikha. Terkejut
dia, rupanya Nuh Qays itu merupakan senior Qisya Zulaikha.
“Sebab kau tak tanya.”
“Macam mana aku nak tanya, kalau kau tak
bagitahu?” jawab Ifa lagi. Izdiyad tersenyum bila mendengar
jawapan teman sekerja Qisya Zulaikha itu.
“Jomlah, kita lunch sama-sama. Jangan risau, saya
belanja.” Pelawa Izdiyad.
“Okey juga! Dah lama keluar dengan duit sendiri,
tiba-tiba rindu pula nak merasa orang belanja.” Laju Qisya
Zulaikha memandang Ifa. Dia mengisyaratkan agar Ifa
menolak saja pelawaan itu.
“Tak apalah Encik Diyad. Terima kasih banyakbanyak
sebab sudi nak belanja kami tapi lepas lunch ni saya
ada tujuan lain lagi. Kita orang nak cepat.”
“Ikha... Kenapa panggil encik ni? Abang tak suka.”
Izdiyad nampak perubahan Qisya Zulaikha kini. Wanita itu
kelihatan ingin menghindari darinya.
Nuh Qays cuba menahan hati yang kian membara
kerana cemburu. Mahu saja dia menarik tangan Qisya
Zulaikha untuk lari dari situ.
“Ikha...” seru Ifa. Teringin juga dia makan tengah
hari bersama dengan dua jejaka kacak di hadapannya ini.
Bukan saja kacak tetapi mempunyai pangkat yang tinggi,
daripada gaya saja sudah nampak kradibiliti mereka berdua.
“Maaf. Saya terpaksa pergi dulu.” Qisya Zulaikha
menarik tangan Ifa lembut untuk berlalu meninggalkan
kedua-dua lelaki itu. Dia tidak mahu Nuh Qays berfikiran
yang bukan-bukan terhadap dirinya lagi.
“IKHA, kau ni kenapa? Dah elok lelaki tu nak belanja kita.
Lagipun bukan kau tak kenal dia. Siap panggil abang lagi,”
tanya Ifa ingin tahu sebaik saja Qisya Zulaikha melabuhkan
punggung di tempat pemandu. Dia melihat Qisya Zulaikha
hanya diam sambil memasang tali pinggang keselamatan.
“Ikha..” panggil Ifa lagi.
“Aku tak nak jumpa lelaki tu lagi, kau faham tak?”
“Tapi kenapa?” Ifa memerhatikan Qisya Zulaikha
yang hanya memandang kesesakan jalan raya di hadapan.
Terpinga-pinga Ifa bila melihat Qisya Zulaikha menyeka air
mata.
“Ikha, kau kenapa? Maafkan aku kalau kau rasa aku
memaksa kau.”
“Tak adalah. Aku ingatkan, aku tak akan jumpa lagi
lelaki tu. Cukuplah apa yang aku rasa dulu. Rasa dimalukan,
rasa diherdik, rasa ditampar...”
Qisya Zulaikha memberikan isyarat ke kiri dan
memberhentikan keretanya di situ. Tanpa dapat ditahan, dia
menangis teresak-esak. Bila dikenang kejadian dulu itu,
hatinya rawan. Tiada siapa yang membela dirinya. Dia hanya
memendam perasaan sehingga sekarang. Dia tidak pernah
mengadu tentang hal itu kepada mak su. Baginya, cukuplah
mak su pening memikirkan tentang hubungannya dengan
Afiah. Dia tidak mahu membebankan lagi. Dia benar-benar
rasa keseorangan.
Ifa menarik Qisya Zulaikha ke dalam pelukannya.
Dia juga turut simpati dengan Qisya Zulaikha walaupun dia
tidak mengetahui cerita yang sebenar. Dia sedar, banyak
kedukaan yang disimpan oleh wanita itu.
“Aku tahu dia tak salah Ifa, cuma disebabkan dia,
aku dituduh macam-macam oleh girlfriend dia. Inilah juga
punca kenapa aku tak sambung degree, sebab aku rasa malu.
Aku dah give up nak belajar lagi. Tapi sekarang aku dah
jumpa dia semula, tak mustahil... aku akan jumpa dengan
girlfriend dia pula.” Setelah tangisannya mulai reda, Qisya
Zulaikha menyandarkan badannya. Mata menghala ke
hadapan.
“Kut dia tak bersama dengan girlfriend dia lagi.
Kita tak tahukan..” Ifa cuba melegakan hati Qisya Zulaikha.
Qisya Zulaikha menggeleng.
“Sebab apa aku yakin yang dia masih dengan Kak
Rina? Sebab dia masih berhubungan dengan Encik Nuh. Kak
Rina dengan Encik Nuh adalah adik-beradik kembar.”
Melopong Ifa disebabkan kenyataan Qisya Zulaikha
yang tidak disangka-sangka itu.
“Jadi girlfriend lelaki yang nama Izdiyad tu, kembar
Encik Nuh? Maafkan aku. Aku siap kenenkan kau dengan
Encik Nuh lagi. Serius! Aku betul-betul tak tahu.”
“Tak apa. Memang kau tak akan tahu kalau aku tak
bagitahu. Aku tawakal aje lepas ni Ifa. Harap Kak Rina akan
sedar dan tak akan bertindak melulu tanpa usul periksa.”
“Aku rasa... Lelaki tu tadi nak sangat jumpa dengan
kau, Ikha. Mana tahu dia dah lupakan hal dulu tu. Lagipun,
Encik Nuh pun aku tengok, okey saja dengan kau. Itu
bermakna, dia dah tak kisah dengan hal yang dulu-dulu tu.”
“Aku tak tahu. Harap macam tu lah. Tapi selagi
dapat aku elak, aku akan elak Ifa. Cukuplah perit yang aku
rasa dulu tu. Aku tak nak benda tu berlaku lagi.”
Ifa mencapai tangan Qisya Zulaikha. Dia
menggenggam kemas tangan teman baiknya untuk
memberikan semangat dan kekuatan buat Qisya Zulaikha.
“Insya-Allah, kau pasti boleh Ikha. Anything, kau
bagitahu aku saja. Aku akan jadi back up kau kalau ada
manusia yang cuba nak jatuhkan kau.”
Qisya Zulaikha tersenyum. Rasa lega bila sedikit
demi sedikit perasaan yang dipendamnya itu diluahkan.
“Thanks Ifa. Now, aku dah okey. Alamak! Tak
sangka pula, kita dah makan masa banyak. Alamatnya kena
take away la ni ya.”
“Aku okey aje.” Hati Ifa senang bila melihat
senyuman Qisya Zulaikha itu. Dia tahu, hati Qisya Zulaikha
sangat rapuh, lembut dan bukan keras hati sepertinya. Walau
disakiti berkali-kali, hati wanita itu cepat saja memberikan
kemaafkan.
“KAU serius saja aku tengok Nuh, kenapa? Takkan kau marah
bila aku tegur Ikha tadi,” tanya Izdiyad kepada Nuh Qays.
Dia memandang Nuh Qays seperti tidak ada selera untuk
menikmati hidangan yang terhidang. Lelaki itu leka menguis
makanan.
‘Memang aku marah!’ bentak hati Nuh Qays. Dia
menentang anak mata Izdiyad. “Kau rasa, aku patut marah ke
tak?”
“Tak ada sebab untuk kau marah Nuh.”
“Kalau kau rasa aku tak ada sebab nak marah, kau
salah Diyad. Bermacam-macam sebab aku boleh marah kau
hanya kerana kau tegur Ikha tadi.” Pelik kata-kata Nuh Qays
itu, berkerut dahi Izdiyad memandang Nuh Qays.
“Apa maksud kau?”
“Kau nak ungkit hal dulu ke? Kau nak buat
kejadian dulu tu berulang kembali? Aku rasa, kau dah arif
sangat dengan perangai Qairina tu. Aku tak nak hanya
disebabkan kau, perempuan yang kau tegur tadi akan terima
bahananya. Dia tak bersalah Diyad. Dari dulu lagi
sebenarnya,” ujar Nuh Qays serius. Dia sudah tidak ada selera
untuk menikmati makanan tengah hari itu.
“Jadi kau tuduh akulah punca segala-galanya? Qisya
Zulaikha, wanita yang aku kenali sebelum kau kenal dengan
dia. Kau tak pernah ambil tahu hal perempuan ketika kita di
U dulu Nuh. Jadi jangan kau ingat, kau mengenali siapa
Qisya Zulaikha yang sebenar,” jawab Izdiyad. Memang dia
tahu, dialah punca segala-galanya dan dia tahu juga, memang
Qisya Zulaikha tidak bersalah tapi untuk mengaku kesalahan
itu, itu bukan prinsipnya. Dia tidak akan merendahrendahkan
maruahnya hanya kerana Qisya Zulaikha tidak
menerimanya dulu walaupun dengan Nuh Qays sendiri.
“For this time, kalau Rina serang dia lagi. Jangan
ingat aku nak bela kau. Aku akan berpihak kepada Qisya
Zulaikha, sebab aku yakin... Dia wanita yang baik.”
“Kau suka dia Nuh? Sebab tu kau beria-ia nak
menangkan dia.”
“Ini bukan soal suka atau tidak, Diyad. Kita dah
dewasa. Hanya kerana kau nak usyar dia dulu, dia dimalukan
oleh Rina. Aku tak nak perkara tu berulang kembali sebab
aku rasa perangai Rina sekarang ni dah semakin menjadijadi.”
Nuh Qays tidak akan membiarkan Qisya Zulaikha
terseksa lagi.
Izdiyad terdiam, siapa yang tidak mengenali dirinya
yang suka bertukar teman itu. Dia pasti akan rasa tercabar
jika Nuh Qays mengetahui bahawa Qisya Zulaikha pernah
menolak pelawaannya dulu.
“Dulu, Qisya Zulaikha yang memulakan segalanya.
Dia yang nak berkenalan rapat dengan aku dan sekarang bila
dia dah buat aku seakan-akan tak dapat nak lupakan dia, dia
sewenang-wenangnya nak lepas tangan. No way Nuh, dia
akan jadi milik aku walau Rina naik gila sekalipun.”
“Kau sebenarnya hanya ingin memiliki tapi bukan
untuk mencintai, Diyad. Qisya Zulaikha bukan wanita yang
kau cintai. Jangan buang masa kau.”
Tiba-tiba saja Izdiyad tergelak. Semakin serius
pandangan yang Nuh Qays lemparkan kepadanya.
“Sejak bila kau pandai hal-hal cinta ni? Ini ke Nuh
Qays yang aku kenal? Aku akan teruskan juga, dah lama aku
tercari-cari. Kau tak payah risau, kalau Rina betul-betul
sayangkan aku, dia tak akan cuba kacau Ikha. Takkan dengan
Ikha dia nak lebih-lebih sedangkan dengan perempuan lain
yang aku jumpa, dia elok aje. So don’t worry, aku boleh
handlelah bro.” Perangai Izdiyad tidak pernah berubah,
masih angkuh seperti dulu kalau berkaitan dengan
perempuan.
Tergeleng-geleng Nuh Qays, kesal dengan sikap
Izdiyad itu. Jika Izdiyad sudah ada perancangan, dia juga
akan buat perancangan dengan lebih teliti.
‘Qisya Zulaikha milik aku! Aku yang tahu dulu
kewujudan Qisya Zulaikha berbanding daripada kau! Aku
ikhlas mencintainya walau bermacam-macam cerita yang
tidak elok aku dengar,’ bisik hati Nuh Qays.
No comments:
Post a Comment