“Kupinggir lara yang bertaut di jiwa. Ku teruskan
hidup tanpa dia”
(Rindu Terhenti – Tomok)
AISARA duduk termenung sambil kerusi
pejabat dipusing ke kiri dan ke kanan. Dia berfikir sendiri,
ke mana hilangnya RY? Selepas kali terakhir mereka berbual
di telefon bimbit malam itu, sudah lama RY tidak muncul
di hadapannya. Merajukkah? Ah, buruklah kalau lelaki
merajuk. Tetapi perasaannya benar-benar tidak senang.
Mungkin ke dia rindukan semua pertelingkahan antara
mereka setiap hari atau dia memang merindui RY?
Rindu? Mengarut! Mana mungkin dia merindui
lelaki sengal tu? Aisara mencemuh sendiri, menepis rasa
hatinya. Nafas ditarik dalam-dalam. Tugasan harian yang
berada pada skrin komputer riba dilihat sepintas lalu
sebelum fikirannya beralih kepada Melisa. Dari tadi dia
menyuruh pembantu peribadinya itu masuk, tetapi Melisa
seperti mengingkari arahannya pula. Baru saja dia hendak
bangun dari kerusi, daun pintu biliknya sudah diketuk dari
luar. Aisara membiarkan daun pintu terbuka.
Melisa masuk dan tersengih bersama organiser yang
dipeluk kemas di dada.
“Kenapa lambat?” soal Aisara sedikit marah.
“Maaf, Cik Ai. Tadi rasa sakit perut, jadi saya pergi
klinik,” beritahu Melisa. Perutnya benar-benar sakit sejak
dari pagi, tetapi sengaja ditahan. Semakin hari meninggi,
semakin meragam pula perutnya terasa. Tadi di klinik,
doktor hendak beri dia cuti sakit. Tetapi dia menolak
sebab rasa masih larat bekerja pada hari itu.
“Sakit... kenapa tak duduk rumah aje?” balas Aisara.
Sedetik kemudian hatinya rasa tidak selesa. Dia paling
tidak suka berhadapan dengan perasaan simpati dalam diri.
‘Biarlah aku jadi kejam sikit. Tak boleh ke? Kenapa
harus ada perasaan itu dalam diri ni?’ keluh hati kecilnya.
Melisa tersenyum nipis.
“Sikit aje ni. Saya dah okey.” Dia berdiri tegak,
menunjukkan yang dirinya benar-benar sihat. Biarpun
dalam perutnya masih terasa memulas dan mencucukcucuk.
Demi mengampu hati bosnya yang kepala angin itu
dia rela menahan sakit. Lagipun, tidak lama lagi gaji akan
keluar. Elok bersikap baik sedikit supaya dapat gaji lebih.
Tetapi memang Aisara selalu beri gaji lebih. Saban hari pasti
ada saja duit poket tambahan. Itulah yang membuat dia
bertahan lama bekerja di bawah Aisara. Melisa tersenyum
memikirkan semua itu.
“Jangan awak pengsan nanti dan susahkan saya,
cukup,” ujar Aisara memberi amaran dan sedikit menjeling
kepada Melisa yang masih tersenyum. “Awak dah buat apa
yang saya suruh?” soalnya mula merujuk hal pekerjaan.
“Saya dah cari orang yang Cik Ai suruh tu, dah add
facebook dia. Dah hantar pesanan ke facebook dan e-mel
dia. Tapi dia tak layan.” Melisa menjuir bibir. Tidak pasti
kenapa beria-ia Aisara mahu mempelawa orang tidak
bergambar itu menyertai pameran fotografi yang
dianjurkan. Sudahlah facebooknya hanya ada gambar
hutan saja, sombong pulak! Hurm...
“Mungkin dia dah tak berminatlah tu,” balas Aisara
sambil menyilang jari tangan di atas meja.
“Kawan Cik Ai ke? Kalau kawan kenapa Cik
Ai sendiri tak pelawa dia?” Melisa mencari kepastian.
Buat apalah Aisara bersusah payah kalau itu kawannya.
Telefonkan senang.
“Kawan lama. Saya nak bagi dia kejutan,” dalih
Aisara. Sebenarnya dia mahu memastikan kawannya itu
tidak terlibat dalam pameran yang bakal diadakan. Kalau
tiba-tiba orang yang dimaksudkan itu menyertai pameran
yang dianjurkan nanti, tidak tahulah mana dia hendak
menyorok. Dia tidak mahu bersua muka dengan orang itu.
Takut!
Gatal tengkuk Melisa mendengar jawapan Aisara.
Dalam mood tegang setiap hari, masih ada mood romantik
dalam diri bosnya itu.
‘Ada hati nak bagi kejutan buat orang lain,’ ejek Hati
kecilnya tidak percaya.
“Kawan istimewa ke Cik Ai?” duga Melisa kemudian.
Aisara memandang Melisa sepintas lalu. Banyak
mulut pula pembantu peribadinya ni. Melisa yang sudah
berkerja hampir dua tahun di bawah arahannya ini memang
bermuka selamba, dimarah juga masih boleh tersenyum.
Kadang-kadang terlalu banyak bertanya sehingga Dia
terpaksa menengking untuk mendiamkannya. Namun
begitu Aisara sangat memuji sifat sabar Melisa. Sudah ramai
yang bertukar ganti menjadi pembantu peribadinya
Melisalah yang paling lama bertahan.
“Taklah. Kawan biasa,” ringkas saja jawabnya. Harap
Melisa faham yang dia tidak suka Melisa bertanya lebih dari apa
yang disuruh.
Melisa mengangguk.
“Mel, awak dah tengok senarai jurugambar yang ambil
bahagian?” Aisara mengalih topik ke bidang kerja semula.
“Dah. Ramai juga yang memohon. Tapi Cik Ai nak
yang terbaik aje, kan? Saya dah beritahu kat penyelia projek ni.”
Aisara mengangguk.
Nampaknya, sambutannya baik juga, Cik Ai.
Walaupun ini anjuran kali pertama,” beritahu Melisa.
Aisara senang mendengar apa yang disampaikan.
“Ramai orang berangan nak jadi fotografi popular
sekarang. Masing-masing nak menonjolkan diri. Secara
tak langsung, program ni akan bantu mereka. Kita bukan
setakat nak mempamerkan hasil seni foto mereka saja.
Tapi yang terpilih akan dibantu untuk mengembangkan
perniagaan juga. Saya nak selit mereka sebagai jurufoto
sambilan di mana-mana syarikat majalah atau iklan.
Lagipun saya ada banyak rakan dalam bidang tu,” ulas
Aisara.
Melisa mengangguk, tidak sangka ada niat murni
di sebalik pameran itu. Bosnya yang cantik dan garang ini
memang selalu ada bakat menolong orang secara diamdiam.
Macam orang selalu kata, kalau tangan kanan yang
memberi, tangan kiri jangan ketahui. Dia bangga sendiri.
“Mel, janji temu saya dengan Doktor Huang bila?”
Aisara teringat akan satu hal yang belum dia buatnya lagi.
“Minggu depan.” Melisa memandang mata Aisara yang
sudah sibuk melihat sesuatu pada skrin komputer riba. Mata
yang cantik, mulutnya garang tetapi entah kenapa hatinya
bosnya itu selalu baik. Aisara mahu menemui Doktor Huang
bukan sebab mahu membuat rawatan kosmetik tetapi mahu
menderma darah.
Menurut Aisara, menderma darah itu satu perkara
seronok. Menurut Aisara lagi, kulitnya menjadi cantik
kerana menderma darah. Melisa menggeleng takut. Tidak
cantik pun tidak apalah. Dia takut jarum. Tidak boleh bayang
apa reaksinya bila jarum yang panjang dan besar itu
menyusuk masuk ke kulitnya. Adoi... Sakit! Mungkin dia
akan terjerit macam kena histeria.
“Mengelamun lagi! Awak ni kuat berangan. Saya
tak suka awak khayal sewaktu saya bercakap,” tegur Aisara.
Melisa terkejut. Surut darah di mukanya. Boleh
pula fikirannya hilang dari dalam pejabat itu seketika.
“Maaf, Cik Ai. Cik cakap apa?” Dia tertunduk bersalah.
‘Janganlah Cik Ai melenting,’ doa Melisa dalam hati.
“Saya tanya, mana pergi RY? Saya tak nampak dia
pun,” tanya Aisara sambil menaip.
“Oh, tak pasti. Masa Cik Ai cuti, dia ada telefon
saya cari Cik Ai. Dia minta dokumen yang berkaitan
invois,” jawab Melisa.
“Dokumen tu bukan ke saya dah letak dalam laci kat
bilik dia?” Aisara memandang Melisa. ‘Apa bebal sangat RY
itu? Bukan ke dia yang pesan supaya dokumen itu
ditinggalkan dalam laci di biliknya tempoh hari,’
rungut hati kecil Aisara.
“Mana saya tahu.” Melisa menjugkit bahu.
“Sajalah tu.” Aisara menyengetkan mulutnya.
“Sudahlah. Kamu ikut saya sekejap. Saya nak keluar
makan angin,” arahnya kemudian. Dia hilang mood untuk
bercakap pasal RY dan kerja secara tiba-tiba.
“Tapi, Cik Ai ada mesyuarat satu jam lagi.” Melisa
mengingatkan.
“Lewat sikit biarlah semua orang tunggu. Saya
bos,” jawab Aisara bersahaja. Sikap sambil lewa itu
ternyata masih ada dalam dirinya.
Melisa terpaksa menurut. Banyak cakap kena marah
pula nanti. Dia membuntuti Aisara keluar dari bangunan
pejabat itu.
No comments:
Post a Comment