“Saat ini kau dan aku. Hanya diam dan terus
membisu. Sebak rasa dadaku kau buat begitu.
Tahukah kau aku sayang padamu...”
(Ilusi Satu Pernantian – Ben Nathan)
DARI tadi penat Puan Umairah memerhati
kelakuan anaknya yang resah-gelisah. Macam ada sesuatu
sedang menganggu fikirannya. Dia merapati RY yang
duduk bersandar di atas sofa. Kepalanya mendongak sedikit
ke atas. Matanya memandang kipas siling yang laju berputar.
“Kamu ni kenapa?” terjah Puan Umairah.
RY terkejut. Tersentak jantungnya. Mata dipejamkan
seketika sambil menarik nafas sebelum membukanya
kembali. Wajah berseri ibunya yang baru duduk di atas
sofa di hadapannya dipandang.
“Umi ni, terkejut Ucoplah,” tutur RY yang
menggelarkan dirinya dengan panggilan manja dalam
keluarga. Tangan kanannya mengosok dada.
“Apa yang difikirkan sangat sampai umi tegur
sikit pun boleh terkejut?” omel Puan Umairah kehairanan.
“Tak fikir apa pun,” nafi RY.
“Biasanya orang resah gelisah macam kamu ni
sebab putus cinta. Tapi kamu, girlfriend pun tak ada,” ujar
Puan Umairah menyindir.
RY buat muka kesian.
“Kahwin ajelah,” gesa Puan Umairah.
RY tersengih. Baru kejap tadi ibunya cakap dia
tidak ada girlfriend. Sekarang suruh kahwin pula. Mahu cari
di mana calon isterinya itu?
“Nak kahwin dengan siapa umi? Umi pun tahu,
anak umi ni tak ada calon lagi.” Dia sudah naik pekak
disuruh kahwin. Mudah saja ibunya menyuruh dia berkahwin,
kalau setakat berkahwin dengan perempuan sembarangan
yang tidak tahu hala tuju hidupnya memang dia boleh cari
di luar sana. Tetapi kalau yang baik-baik, payah. Dia tidak
jumpa lagi perempuan yang murni hati nuraninya. Jumpa
yang cantik macam bidadari, mulutnya pula macam
longkang! Geram RY mengingati Aisara.
“Ada. Umi dah carikan,” beritahu Puan Umairah serius.
“Siapa? Aisara?” teka RY. Bukan dia tidak tahu akan
niat hati ibunya.
“Ha’ah, siapa lagi? Itu aje yang umi nampak sesuai
dengan kamu. Cantik dan berpendidikan.” Suka benar hati
Puan Umairah jika RY bersetuju dengan pilihannya.
“Hurm, cantik... tapi mulut dia macam orang tak pergi
sekolah,” keluh RY.
Yang sempat singgah ke pendengaran Puan Umairah
hanyalah dua patah pertama kata-kata RY. Baris belakang
sudah hilang dalam angannya. Sempat saja dia
membayangkan hari bahagia RY dan Aisara disatukan.
Segaris senyuman terukir di bibirnya.
“Kalau kamu tak kisah, bolehlah umi ke rumah Mak
Long kamu nanti, tetapkan tarikh. Nikah terus, tak payah
tunang-tunang.” Puan Umairah semakin tidak sabar mahu
menerima menantu terakhir dalam keluarga mereka.
Seketika itu juga riak wajah RY berubah hampa.
Dia memandang wajah ibunya dengan perasaan bersalah.
Haruskah dia beritahu berita penolakkan Aisara terhadap
hasrat ibunya itu.
“Rasanya... elok kalau umi lupakan aje. Aisara tak
sudi jadi menantu umi.” Mahu tidak mahu dia terpaksa buka
mulut juga. Tidak sampai hati tengok ibunya menyimpan
harapan.
“Dia tak mahu ke, kamu yang tak nak?” Puan Umairah
tidak percaya. Bukan sekali dua RY buat alasan
menolak gadis pilihannya. Muka suram RY dipandang dalamdalam.
Ada kelainan pula pada riak wajah tu. Ingin saja dia
mempercayai kata-kata anaknya itu.
“Malam hari tu Aisara ada telefon Ucop. Dia marahmarah
sebab umi nak pinang dia. Dia suruh bagitahu umi, dia
tak sudi nak jadi menantu umi,” cerita RY sejujurnya.
Puan Umairah mengeluh mendengar semua itu.
Wajah anaknya itu dipandang terus-menerus.
“Mak Long kamu tak beritahu umi apa-apa pun.”
Dahinya dikerutkan. Hati kecilnya masih ragu-ragu
hendak percaya. Tapi RY mana pernah mereka cerita.
“Alah, umi... bukan seorang ajelah perempuan
cantik dan berpendidikan. Ada ramai lagi. Nanti Ucop bawak
balik sepuluh, umi tolong pilihkan empat orang untuk
Ucop, eh?” RY cuba tukar suasana petang tu jadi lebih
gembira. Hatinya tidak seronok kerana memikirkan
perihal Aisara. Gadis itu telah menoreh luka pada hatinya
tanpa simpati. Kelat-kelat pahit rasanya bila mengingatkannya
semula.
“Yang ramai-ramai tulah satu pun kamu tak boleh
jadikan calon isteri,” sindir Puan Umairah.
RY terdiam. ‘Tadi pandai sangat menjawab sekarang
kena batang hidung sendiri. Padan muka kau,’ ejek hatinya.
“Kamu ni betul-betul ke Aisara menolak? Atau
kamu yang mengelak lagi?” wajah Puan Umairah sedikit
masam, terasa dipersendakan. Hatinya tetap mengharapkan
Aisara menjadi menantunya.
“Betullah, umi. Bila Ucop pernah tipu umi? Kalau
bohong sunat tu pernahlah.” RY tersengih, cuba meleraikan
ketegangan pada garig-garis di wajah ibunya.
“Ucop!” marah Puan Umairah tidak berkenan dengan
sikap tidak serius RY.
“Umi jangan fikir sangatlah bab jodoh Ucop ni.
Ucop pun tak fikir.” Lemas pula dia rasa bila perkara itu
masih dibangkit-bangkitkan. Andai saja dia tidak berkahwin
sekalipun, apalah yang hendak ibunya risaukan? Adikberadiknya
yang lain juga sudah memberi ibunya ramai cucu.
“Macam mana umi tak fikir? Kamu tu anak umi.
Kalau boleh sebelum pejam mata, nak juga umi tengok kamu
beristeri,” luah Puan Umairah.
Alahai, lemah urat nadi RY menonton drama sedih
yang baru mahu dipentaskan ibunya itu.
“Umi, Ucop nak keluarlah. Tadi dah janji dengan
kawan,” dalihnya sambil terus bangun dari duduk.
“Mengelak! Itu saja yang kamu tahu. Umi tak peduli,
kamu mesti kahwin dengan Aisara juga,” desak Puan
Umairah.
RY memandang lantai sebelum memandang ibunya
semula.
“Dia tak nak saya, tak kan saya nak paksa?” Rendah
nada suaranya menunjukkan rasa putus asa.
“Bukan dia yang tak nak. Kamu yang tak pandai
memikat,” cemuh Puan Umairah sedikit berangin.
“Fuhh... susah umi. Umi tak faham Aisara tu macam
mana,” keluh RY.
“Hah, kalau kamu faham, pikatlah dia. Biar dia suka
kamu,” cabar Puan Umairah pula.
“Tak naklah, umi. Leceh,” tolak RY takut dipermainkan
Aisara lagi.
“Kamu ni, umi tak tahulah kenapa? Nak kata
pondan, lelaki sejati. Tapi nak pikat perempuan takut. Nak
kena mandi air bunga tujuh air terjun agaknya ni.” Puan
Umairah sudah mula membebel. Darahnya sedikit menyirap
kerana keinginan yang tidak dapat dipenuhi. Mujur saja dia
bebas daripada penyakit-penyakit kronik seperti sakit jatung
dan darah tinggi. Jika tidak, pasti dia dah rebah kerana
tekanan sebegini.
RY tergelak kecil mendengar kata-kata ibunya itu.
“Umi ni kalau mengarut ada-ada aje. Ada ke
sampai nak kena mandi air bunga tujuh air terjun.”
Dia menggeleng.
“Kalau dah degil sangat, itu saja ubatnya,” balas
Puan Umirah dalam nada merajuk.
“Umi... Ucop minta maaf, okey? Ucop nak keluar
sekejap. Kawan dah lama tunggu.” RY mencium tangan
ibunya itu. Dia tahu ibunya terasa hati tetapi apa boleh buat,
bukan dia tidak mahu memperisterikan Aisara. Aisara yang
tidak sudi mahu bersuamikan dirinya. Hajat itu memang tidak
mampu untuk ditunaikan.
No comments:
Post a Comment