Sunday, 26 June 2016

Puzzle Cinta Aisara - Bab 15

“Telah berulang kali ku cuba mengalah Ternyata
sabarku tak bererti untukmu. Teganya kau menari di
atas tangisanku. Kau permainkanku sesuka hatimu...”
(Sudah Cukup Sudah – Nirwana Band)

TUK! TUK! TUK!
Disebabkan tumpuannya yang terganggu, perhatian
terhadap skrin komputer riba juga beralih. Renungan malas
dilemparkan ke pintu. Elok dia sedang hayut dalam dunia
penulisan, ketukan pintu itu menyebabkan pengembaraannya
tergendala. Memang penyibuk betul siapa yang menganggu
usahanya itu. Hati Aisara geram tiba-tiba. Kalau yang bakal
masuk itu Zetty pasti akan direjam dengan pen. Bukan
Zetty tidak biasa memaklumkan segala hal melalui telefon
saja.
Daun pintu ditolak.
Aisara terus menanti penyibuk itu.
Wajah yang baru terjongol di sebalik daun pintu itu
membuat Aisara mencebik.
‘Memang penyibuk pun!’ gerutu hatinya menyampah.
“Awak tak pergi melawat Melisa ke?” tanya RY
sebaik melangkah masuk. Tanpa dipelawa punggungnya terus
dilabuhkan ke atas sofa.
Aisara buat wajah tidak berperasaan.
“Dia bukan sakit teruk pun,” jawab Aisara dengan
nada meluat. Rimas betul bila RY suka sangat masuk
campur dalam urusannya.
“Malang betul ada bos macam awak ni. Keras hati,
tak ada perasaan,” ujar RY sinis.
“Malang ke tak, itu bukan urusan kau. Aku tengah
sibuk ni. Tak ada masa nak layan kau mengarut pagi-pagi
ni. Kau kalau tak ada urusan penting dengan aku. Silalah
keluar,” balas Aisara tenang dan bersahaja. Lagipun pagi itu
ada mesyuarat penting yang harus dikendalikan. Risau
pula moodnya akan terjejas jika terus melayan RY berbalah
soal Melisa.
RY menarik nafas dan duduknya dikemaskan. Aisara
yang masih memandangnya itu dipandang. Mata Aisara
yang lebih cantik daripada mata Maya Karin dalam iklan
Innershine direnung dalam-dalam.
“Boleh kita berbicara secara profesional dan
tenang?” pinta RY. Lebih lama membiarkan hubungan
mereka kusut, akan lebih rumit hendak dihurai kelak.
“Nak cakap apa?” tanya Aisara sedikit tegang. Benci,
geram, tidak suka bila lelaki tidak tahu bahasa ini tidak
mahu pergi dari bilik tu.
“Saya tengok awak kalau bercakap dengan saya,
seolah-olah saya pernah buat salah dengan awak sebelum ni.
Kenapa Aisara? Kenapa awak tak boleh nak layan saya elok sikit
dari biasa?” Wajah sebenar Aisara yang tersembunyi di sebalik
sikap garangnya bagaikan dapat diterokai melalui
pandangan mata mereka yang bertentangan. Kelihatannya
perempuan itu seperti ada terlalu banyak masalah yang
sengaja dirahsiakan. Mata yang cantik tidak bersinar itu
terlalu lama menahan tangis. Semakin hati Aisara menahan,
semakin jiwanya meredam. RY mula bersimpati bila itu yang
dapat ditafsir.
Aisara juga tidak mahu kalah merenung walau
renungannya itu hanya mencetus rasa sakit di hati sendiri.
Nafasnya ditarik dalam. Dia sendiri tidak pasti kenapa
dia membenci RY. Persoalannya tidak jelas. Lalu dia
menyimpulkan kebencian itu mungkin kerana RY yang
menyebabkan dirinya terjerat dalam wasiat dulu. Mungkin juga
kerana RY sengaja tidak mahu melepaskan syarikat itu atau
mungkin kerana kedua-duanya sekali.
“Kenapa aku nak berbaik-baik dengan kau?”
tanya Aisara mengulangi pertanyaan RY tadi.
“Sedangkan aku tak suka kau,” mudah alasan yang
diberikan. Alasan yang bukan dari hatinya. Dia tiada niat
mahu menguris perasaan RY tetapi itulah yang dia rasa
sekarang.
“Aisara... biasanya orang membenci pasti ada sebab,
kan? Tapi awak membenci saya sebaik kita berkenalan. Itu
tak adil. Pernah ke saya buat salah dengan awak sebelum
kita berkenalan? Sedangkan awak dibesarkan di Australia,
saya di Malaysia. Sewaktu awak pulang ke Malaysia, saya
pula di Jepun. Saya mengenali arwah daddy awak pun sebab
dia datang ke rumah umi saya. Baru kali itu saya tahu yang
itu abang kandung umi saya. Atas dasar apa dia
meletakkan saya sebagai penasihat awak, saya tak tahu,”
jelas RY membela diri. Dia sedar, satu-satunya alasan Aisara
membenci dirinya ialah kewujudan dirinya dalam wasiat itu.
Aisara hanya diam mendengar. Dia tahu dirinya
tidak munasabah bersikap seperti budak-budak kecil. Merajuk
dan marah atas hal yang tidak jelas, tetapi tidak pula hatinya
mahu meminta maaf. Egonya masih terlalu tinggi untuk
RY capai dan calang-calang lelaki hanya lelaki yang satu
itu saja boleh menundukkannya. Aisara merasa sesak
nafas pula. Dalam-dalam waktu begitu pun nama Alif sempat
melintas fikirannya. Kenapa memadam nama Alif daripada
memorinya tidak semudah dia memadam atau membuang
kesalahan dalam komputer?
“Aku benci kau sebab kau tak nak lepaskan aku
dari syarikat ni,” hambur Aisara kasar. Kalau saja RY menerima
penarikan dirinya dulu pasti mereka boleh menjadi kawan
baik.RY mengalihkan pandangan di kala sedar mata Aisara
sudah menunjukkan rona-rona kemarahan pula.
“Aisara... kalau saya melepaskan awak, samalah
juga macam awak menarik diri dari wasiat tu. Saya akan
menjadi pemilik mutlak kepada semua harta daddy awak...”
“Itu yang kau nak, kan? Ambillah,” potong Aisara.
Suaranya sudah semakin meninggi.
RY menggeleng dengan tuduhan melulu itu.
“Saya tak pernah fikir macam tu. Saya tahu mana
hak saya dan bukan. Saya hanya menjalankan wasiat
daddy awak. Membimbing awak untuk menguruskan
syarikat ni. Sesen pun harta keluarga awak tak pernah saya
impikan. Saya cuma nak pastikan awak berjaya. Lepas tu,
semua ni awak punya. Buatlah apa yang awak suka,” jelas
RY tenang. Tidak mahu tersampuk dengan cara Aisara
berbicara.
“Kalau kau tak nak semua ni, kenapa tak setuju
masa aku nak letakkan Alisa sebagai wakil aku? Sebab kau
takut dia lebih bijak daripada kau dalam syarikat ni? Sebab
dia yang paling tahu selok-belok syarikat ni? Kau takut,
kalau ada benda-benda yang tak patut kau buat dia tahu,”
tuduh Aisara.
Tuduhan yang tidak berasas itu sedikit pun tidak
menyakitkan hati RY, malahan dia semakin bersimpati.
Jika dinilai sifat Aisara dan Alisa. Dia rasa Alisa lebih bersopan
santun dan baik. Tetapi dia tidak tahu kenapa arwah bapa
saudaranya masih tetap meletak Aisara sebagai pewaris.
Perempuan tidak beradab ini jika tidak dia kawal pasti
sudah lama syarikat ini tutup. Jika dia tidak bertegas
memaksa itu dan ini pasti sebulan sekali saja wajah
perempuan itu wujud dalam syarikat. Ini ke anak terbaik
Tan Sri Megat Izzuddin?
“Bila wasiat tu tak ada nama Alisa sebagai waris
mutlak, awak pasti boleh membaca isi hati daddy awak, kan?”
tanya RY memaksa Aisara berfikir.
Aisara terus-menerus menunjukkan muka
menyampah. Malas mahu mencari tahu kenapa keputusan yang
sudah dibuat oleh ayahnya.
“Awak anak kesayangan arwah. Pastinya lebih tahu
apa yang arwah mahu awak lakukan.” RY tersenyum kesal.
Dia masih ingat, sewaktu dipanggil menghadiri hari
pembacaan wasiat. Dia keliru. Tetapi sesudah membaca
sepucuk surat yang ditinggalkan arwah bapa saudaranya.
Baru dia faham, ada amanah yang menanti. Amanah khas
membimbing Aisara sukses dalam perniagaan. Surat
itu juga memaklumkan, Tan Sri Megat Izzuddin tidak
memperkecilkan kemampuan Alisa yang sekian lama
menguruskan syarikat itu. Tetapi Alisa agak terburu-buru
dan kurang prihatin orangnya. Beliau risau akan sikap Alisa
yang suka memandang rendah kepada orang bawahan.
Lantaran bimbang setelah Alisa menjadi pemilik syarikat
nanti, ramai pekerja bawahan yang akan dipecat tanpa
alasan munasabah. Maka, Aisara yang mempunyai hati
yang sangat baik dan bertimbang rasa dipilih.
Sifat baik hati Aisara belum juga terserlah di matanya.
Yang dia nampak hanya sifat kasar yang sengaja
ditunjukkan Aisara. Aisara juga tiada budi bahasa dan
selalu bersikap kurang ajar. Soal hubungan dengan pekerja
memang perempuan itu tidak memecat mereka sesuka hati.
Tetapi pembantu peribadinya sebelum Melisa sudah dua orang
yang dipecat. Atas alasan apa pemecatan itu? RY tidak pasti.
“Aku tak pedulilah apa yang ada dalam wasiat tu.
Aku tak suka nak lalui semua ni. Aku benci!” luah Aisara
penuh emosi.
RY tersengih dan berdiri sambil menggeleng. Terkekeh
dalam hati mendengar kebodohan Aisara.
“Kadang-kadang saya rasa awak ni kelakar dan
comel. Mana ada orang menolak kekayaan yang diterima.
Awak pula tak nak semua ni. Awak nak apa sebenarnya?”
soal RY merapati meja.
“Aku nak bebas. Aku nak hidup cara aku,” jawab Aisara
pantas.
RY ketawa kecil.
Entah apa yang mencuit hatinya, Aisara tidak
tahu tetapi cukup buat perasaannya semakin mendidih.
Banyak pula soal RY, bukannya tidak tahu apa yang
dimahukan.
“Awak rasa kalau bukan hasil dari semua ni, macam
mana hidup awak, ya? Dapat tak awak realisasikan impian
awak untuk buka studio foto awak tu? Bayangkanlah Cik
Aisara, jika awak adalah orang yang tak punya apa-apa
dan hidup biasa-biasa aje. Boleh ke awak senang macam
sekarang?” soal RY menyindir. Manusia normal manalah
yang menolak harta, apa lagi harta yang melimpah ruah
seperti itu. Barangkali Aisara ini sudah tidak normal,
otaknya terencat ketika gagal bercinta dahulu.
Aisara duduk bersandar. Nafasnya ditarik dalamdalam.
Matanya memandang RY yang sedang membelek
perhiasan di atas meja itu, sebuah bebola kaca berisi replika
tembok besar China berada dalamnya.
“Rasanya aku memang tak ada masalah nak jawab
semua soalan kau tu,” beritahunya angkuh. Jam kecil di
atas meja sempat dijeling. Dia sudah harus berada di bilik
mesyuarat.
“Tapi satu aje yang aku nak kau tahu. Aku rela
tinggalkan semua ni untuk hidup yang biasa-biasa tanpa
apa-apa,” beritahu Aisara penuh yakin. Fail yang hendak
dibawa ke bilik mesyuarat dicapai dan netbooknya ditutup.
“Tak pernah jumpa orang bodoh macam awak ni.
Menolak semua yang ada tanpa sebab,” ujar RY sinis.
Aisara mencemik. Apalah yang RY faham mengenai
dirinya.
“Pendapat saya mengatakan, satu aje sebab orang
selalu tolak segala yang dia ada.” RY memusingkan
badannya dan bersandar di meja.
Aisara yang sudah berdiri dan memeluk erat fail
ke dadanya diam tidak menjawab.
“Saya rasa awak ni ada masalah cintalah, sayang.”
RY memusingkan badan semula lalu memandang Aisara.
Mencerlung mata Aisara memandangnya. Dia
tidak suka dipanggil sayang oleh RY sesuka hati. Rosaklah
imejnya jika digosip pekerja nanti.
“Itu bukan masalah kau!” dengusnya geram sebelum
mengatur langkah untuk keluar.
“Sayang, itu masalah saya. Saya kena tahu kalaukalau
saya terpaksa bersaing dengan lelaki lain untuk
memiliki awak.” RY tersenyum nakal pula. Mungkin dia
memang suka melihat Aisara marah. Beberapa hari tidak
masuk ke pejabat dia rindu gelagat gadis cantik tu.
“Mengarut!” Aisara terus berlalu meninggalkan RY di
situ.
RY ketawa sendiri. Tanpa lengah langkah Aisara
diturut dari belakang. Beberapa orang kakitangan hanya
melihat bos-bos mereka itu. Kelihatannya seperti Aisara
sedang merajuk dan RY berusaha memujuk. Apakah mereka
berdua dilamun cinta? Semua di situ berpandangan sesama
mereka.
“Aisara...” panggil RY sekejap saja dia sudah berada di
sebelah.
“Kita keluar dinner malam ni?” ajak RY perlahan.
Sempat Aisara menolehnya sepintas lalu.
“Aku tak ada masa!” balasnya kasar.
“Adakanlah masa tu,” pinta RY memujuk.
Aisara berhenti dari melangkah. Bilik mesyuarat
tinggal hanya lima langkah dari situ. Dia menoleh kepada RY.
‘Dia ni memang sengaja cari pasal. Nak kena
lagi agaknya,’ bisiknya dalam hati sambil memusingkan
badannya menghadap RY.
“Okey, kalau kau tak kisah. Pukul 9.00 nanti kita
keluar,” balas Aisara lembut dan tersenyum mesra.
RY tersengih. Dia tahu Aisara tidak serius. Sekali sudah
terkena dia tidak mahu terkena lagi.
“Cik Aisara. Cantiknya senyuman awak. Saya tak
jadi nak dinner dengan awaklah. Dah kenyang dengan
senyum plastik tu,” sindir RY sebelum terus berlalu menuju
ke biliknya.
Aisara mengetap bibir. Matanya dikecilkan
memandang RY dari belakang. Geram dipersendakan begitu.
‘Tak guna!’

No comments:

Post a Comment