Sunday, 26 June 2016

Tak Mampu Menjaga Cintamu - Prolog



SUASANA pagi yang damai kini tidak lagi terasa.
Cahaya matahari yang tenang memancar tidak mampu
meredakan ketegangan yang dirasai hatinya pada waktu itu.
Perasaannya jadi tidak tenteram.
Tidak mahu terus memaksa diri yang semakin
terasa lemah, Naqiu akhirnya memberhentikan keretanya
di bahu jalan. Brek tangan ditarik. Jari kanannya
meraba-raba hujung bibir yang terasa sakit. Bukan cuma sakit
malah terlalu pedih. Kotak tisu yang terletak di seat belakang
dicapai. Dia menarik sehelai tisu lalu menekapkan tisu itu di
hujung bibirnya. Ada setompok darah melekat di atas tisu yang
putih itu.
“Ahh…” Naqiu mendesis kesakitan. Dia menyandar
di kusyen kereta dengan fikiran yang bercelaru. Teringat
betapa beraninya Aznur datang ‘menyerang’nya tadi.
Tanpa mempedulikan orang sekeliling, gadis itu dengan
berani mendaratkan sebiji penumbuk pada mukanya.
Bukan tidak boleh Naqiu melawan malah tersangat
boleh. Tetapi dia sendiri yang tidak mahu. Dia tahu
kemarahan gadis itu berpunca daripada sikapnya sendiri.
Sikapnya yang telah membuatkan hati seorang gadis terluka
pedih. Malah, luka di hati gadis itu pasti lebih teruk
berbanding luka kecil di hujung bibirnya itu.
Naqiu memejamkan mata. Seraut wajah lembut
seorang gadis bermain-main di ruang matanya. Serta-merta,
rasa bersalah tumbuh di hatinya. Entah bagaimanalah
keadaan gadis itu kini. Menangiskah dia? Menderitakah dia?
Bolehkah dia menjalani hari-hari yang mendatang seperti
sebelumnya?
Naqiu tiba-tiba teringatkan sesuatu. Perlahan-lahan
tangannya membuka laci dashboard. Sekuntum bunga ros
yang diperbuat daripada kertas berwarna merah dicapai.
Berkaca matanya merenung bunga ros itu. Walaupun
bukanlah bunga yang asli, hatinya tetap terasa sayu
merenung bunga itu. Tiada kata yang mampu mengungkapkan
perasaannya kini. Semuanya berterabur tanpa dapat
dipastikan apa perasaannya yang sebenar.
Telefon bimbit yang berdering tiba-tiba mematikan
khayalan Naqiu. Segera dikeluarkan telefon itu dari poket
seluar. Nama Azid tertera di skrin. Lalu dia menjawab
panggilan itu tanpa bertangguh.
“Aqi, kau kat mana? Okey tak?” Azid bertanya cuak.
Setelah ‘diserang’ tadi, Naqiu segera beredar meninggalkannya
bersama dua orang lagi rakan mereka. Entah apa yang
dilakukan lelaki itu pada waktu ini dia sendiri tidak tahu.
“Okey, aku okey. Cuma perasaan aku teruk
sangat sekarang ni,” luah Naqiu. Keluhan berat terlepas
dari mulutnya. Dia perlukan seseorang untuk meluahkan
perasaannya dan mungkin Azid adalah yang terbaik.
“Kenapa?” tanya Azid pantas. “Aqi, aku tak tahu
apa yang kau dah buat pada dia sampaikan kawan dia
berani datang serang kau macam tu. Apa yang dah jadi
sebenarnya ni?”
Naqiu mengeluh lagi. Terasa berat untuk dia
bercerita. Rasa bersalah itu bagaikan memenuhi hatinya,
memberatkan jiwanya. “Aku… aku berdosa pada dia, Zid…”
“Apa yang kau dah buat?” tekan Azid lagi. Dia jadi
makin tidak sedap hati tiba-tiba.
“Aku…” Naqiu memejamkan mata rapat-rapat
sebelum mula bercerita. Sungguh dia kesal atas apa yang telah
terjadi. Satu yang dia pasti, dia akan menanggung penyesalan
itu seumur hidupnya.

No comments:

Post a Comment