Sunday 26 June 2016

Puzzle Cinta Aisara - Bab 7

“Kasih yang terjalin selembut sutera. Di dalam
ranjaunya cinta... Rindu yang menyala adalah sinaran
Cintaku padamu...”
(Sangkar Cinta – Ziana Zain)

NURUL memandang Amir dengan bibir yang
dikemam. Lemah betullah apabila diajak ke rumah
mertuanya. Mahu saja dicipta seribu alasan supaya mereka
tidak perlu ke sana. Bukan dia membenci, tetapi kurang
selesa dengan sikap cerewet Puan Sri Marina. Dia tidak
selesa kalau hal sekecil cara memegang cawan saja
dijadikan pertikaian. Mentang-mentanglah dia berasal
dari kampung dan keluarganya tidak kaya, Puan Sri
Marina macam sengaja mahu merendah-rendahkan dirinya.
Dia bukannya kolot sangat. Semasa bekerja di London dulu
dia juga mempelajari tatatertib golongan atasan bersosial.
Cuma kini kehidupan hariannya lebih banyak dihabiskan
di hospital dan mengejar waktu. Jadi nak buat apa dia
terlalu mengikut amalan itu dalam rumah sendiri.
“Abang aje yang pergi tak boleh ke?” pinta Nurul
dengan muka kasihan. Agaknya dia akan dicop sebagai
menantu derhaka tak? Dia bukan membenci. Mahu jaga
keharmonian hubungan mereka yang suam-suam kuku itu
saja.
“Mana boleh,” tolak Amir. Takkanlah dia balik
sendirian sedangkan dia sudah beristeri. Ish, Nurul
janganlah mahu buat ibunya membebel nanti.
Nurul muncungkan bibir. Dalam hati mengharapkan
Amir setuju. Tetapi tidak adalah nampaknya.
“Sekejap ke, lama ke Nurul tetap tak boleh masuklah
jiwa mummy abang tu,” akuinya berterus-terang.
“Kita pergi sekejap aje. Abang janji,” pujuk Amir.
Dia faham apa yang Nurul rasa tetapi hendak buat
macam mana? Antara ibu dan isteri, dia tetap kena
dahulukan ibunya. Lagipun ibunya sedang sakit, pasti
tidak larat hendak angkat mulut membebel itu ini.
Nurul buat muka tidak puas hati.
“Siapa lagi yang ada kat sana?” tanyanya mahu
meredakan perasaan.
“Tadi Kak Lisa yang call. Dia tidur sana dalam
seminggu ni. Teman mummy,” beritahu Amir bahu Nurul
dirangkul.
Nurul tersenyum. Terpujuk dengan rangkulan mesra
Amir.
“Mirul tak ada ke sampai Kak Lisa kena tidur sana?”
Teringat pula dia kepada adik iparnya yang seorang tu.
“Hurm... orang bujang, biasalah. Mana nak duduk
rumah sangat. Abang bujang dulu pun malas nak ambil tahu
hal-hal kat rumah,” akui Amir.
Nurul memandang suaminya. Senang jadi lelaki
bujang, kan? Tidak perlu hendak banyak fikir. Dia dulu, mahu
kena fikir cara macam mana untuk bantu keluarga. Ayahnya
hanya nelayan tradisional. Ibunya pula mengambil upah
menyiang ikan di kilang keropok dan abangnya
menjadi awak-awak mengikut bot laut dalam menangkap
ikan. Kehidupan mereka susah. Dia punya lima orang adik
lagi yang harus ditanggung belajar. Sehingga dia nekad
menerima tawaran sebagai pengasuh peribadi,
menangguhkan cita-citanya buat seketika. Dalam usia yang
masih remaja, dia melangkah kaki meninggalkan kampung
halaman dan mengikut keluarga seorang usahawan tinggal
di United Kingdom, walaupun keluarganya berat hati
melepaskan dia pergi. Dia harus pergi juga. Penghijrahan itu
mengubah seluruh hidupnya.
Di sana dia bertemu Amir yang menyebabkan
perkenalan dengan Aisara. Perkenalan yang memberi satu
rahmat buat dirinya. Betullah kata orang, di sebalik
dugaan yang Tuhan beri ada hikmah yang tidak ternilai
harganya. Kerana niat sucinya mahu membantu keluarga,
dia diberi kepercayaan untuk mengasuh anak usahawan
itu yang berusia empat tahun.
Ketika ke pasar raya dia berkenalan dengan Amir
yang secara tidak sengaja menjatuhkan tin makanan segera
atas kepalanya. Waktu itu dia sedang mengambil kasut anak
usahawan itu yang tertinggal di lantai pasar raya. Insiden
itu mebuatkan kepalanya terluka. Dan hari ini parut kecil
dengan bekas tiga jahitan di kepalanya adalah lambang
perkenalan mereka di masa lalu.
Cinta sejati itu memang tidak mudah dimiliki,
harus ada pengorbanan yang setimpal. Bukan mudah hendak
mengubah jiwa kebaratan Amir kembali ketimuran. Dia
terpaksa nekad mengorbankan rasa sayang dalam hati
dengan meninggalkan Amir sendiri. Mengantung hubungan
cinta mereka tanpa noktah. Saban hari berdoa dan
meminta petunjuk daripada Tuhan agar dia tidak
kehilangan cinta dan Amir akan berubah menjadi seorang
yang layak membimbingnya suatu hari nanti.
Puas Amir merayu tapi dia terus membeku. Jemu
menagih janji Amir untuk berubah satu hari dia
menerima panggilan dari perempuan yang tidak dikenali.
Perempuan itu hanya mengenalkan diri sebagai kakak
kepada Amir. Mereka berjumpa. Ternyata Aisara sangat
menyayangi Amir dan hubungan mereka sangat rapat
sehinggakan hampir keseluruhan kisah cinta mereka Aisara
ketahui. Pastinya Amir yang bercerita. Dia terasa malu pula
berhadapan dengan Aisara. Aisara menasihatkan supaya
dia menyambung pelajaran segera.
Aisara dengan besar hati menawarkan diri sebagai
penaja. Awalnya dia enggan hendak menerima kerana
risau termakan budi, tetapi Aisara memang pandai
memujuk. Menggunakan latar belakang keluarganya yang
susah itu, Aisara memancing minatnya supaya terus
menyambung pelajaran. Aisara menawarkan dia membayar
emua pinjaman yang diberikan selepas dia bekerja, secara
ansuran.
Kerana Aisara, dia dapat menyambung belajar
lagi. Kerana Aisara nasib keluarganya sudah terbela dan
kerana Aisara dia mendapat suami sebaik Amir, kerana
Aisara juga dia diterima oleh Puan Sri Marina tanpa terlalu
banyak bantahan. Biarpun dia datang dari keluarga
miskin, dia tetap golongan profesional yang disegani kerana
kini dia seorang doktor. Benar kata Aisara, kerjayanya akan
mengubah pandangan negatif Puan Sri Marina
terhadap kemiskinan hidupnya.
“Sayang...” Amir mengoncang bahu Nurul. Nurul
tersenyum, lamunannya mati di situ saja.
TUGAS seorang isterikan mentaati suami walaupun hati
separuh redha. Inilah yang berlaku kepada Nurul. Jiwanya
kata tidak mahu pergi, tetapi jasad tetap saja menyeret
jiwanya mengikut Amir. Sambil tangannya bermain dengan
cincin kahwin yang cantik terpasang di jari, matanya
memerhatikan susunan lampu-lampu yang bersusun di atas
pembahagi jalan menerangi malam. Bila hati mulai bosan
dia mencari topik untuk berbual. Kebetulan nama Aisara
terlintas di fikirannya. Masa Aisara datang petang tadi tidak
pula kakak iparnya itu memberitahu soal kesihatan Puan
Sri Marina yang terjejas, sedangkan menurut Alisa, ibu
mertuanya itu sudah kurang sihat sejak semalam. Pelik.
“Bang, penyelamat kita tak balik tengok mummy ke?”
“Siapa? Kak Ai?” Amir pura-pura tak tahu.
“Siapa lagi? Kakak kesayangan abang tulah.”
“Tak tahu. Sayangkan tahu hubungan Kak Ai dengan
mummy tu macam mana.”
“Tahu... Tapi tak mungkin sakit pun Kak Ai tak
peduli?” Perempuan baik hati macam Aisara itu boleh
bermusuhan dengan ibu sendiri. Apa masalah mereka?
Persoalan itu selalu bermain di fikiran Nurul. Berkali-kali
juga cuba dia mencuri dengar perbualan Aisara dan Amir,
tapi setiap butir bicara mereka selalu tidak jelas.
“Kak Ai dengan mummy tu sama aje keras hati.
Susah abang nak damaikan dia orang tu,” keluh Amir. Dalam
hati Aisara hanya ada dendam. Selagi tidak jumpa jalan
pendamaian, selagi itulah Aisara akan terus membenci ibu
mereka.
“Bang, apa rahsia Kak Ai yang abang simpan? Kenapa
dia benci sangat dengan mummy?” tanya Nurul. Penat
sudah dia berteka-teki sendiri. Mungkin Amir boleh
memberi sedikit jawapan malam itu.
Amir menoleh sekilas. Keluhan dilepaskan. Perlukah
diceritakan segala-galanya?
“Tak ada apalah,” nafinya. Dia rasa berdosa
membohongi Nurul tetapi itu amanah Aisara. Kalau
diceritakan kepada pihak ketiga, Aisara akan menuduhnya
pengkhianat. Dia benar-benar tersepit.
“Ya ke tak ada?” duga Nurul tidak percaya.
Amir mengangguk.
“Kalau tak ada, kenapa Kak Ai jadi macam tu?”
Nurul yakin Aisara dan Puan Sri Marina ada rahsia. Suaminya
saja yang tidak mahu beritahu.
“Dia jadi macam tu sebab dia ingat mummy yang
pengaruh wasiat daddy. Diakan tak suka dunia business,”
dalih Amir. Tetapi dulu sebelum tahu cerita sebenar dari
mulut Aisara, itu juga yang disangkakan.
Nurul mengangguk. Terpaksa percaya.
“Berniaga tu kan sebaik-baik pekerjaan dalam
Islam. Kenapa Kak Ai tak suka?” Di luar sana berlumbalumba
orang ingin meniaga. Kerana boleh mendapat banyak
untung dan mengubah kehidupan menjadi lebih baik dan
selesa. Aisara pula menolak.
“Kak Ai tu tak suka kehidupan sibuk. Ahli perniagaan
ni kan selalu sibuk. Mencari perkara-perkara baru dalam
pasaran dunia. Kena dapatkan tender untuk syarikat.
Mesyuarat sana sini. Kena fikir macam mana nak buat duit
terus masuk. Dia tak suka semua tu. Dia suka duduk
bersendiri dan berkhayal. Berjalan-jalan sambil menikmati
alam dan mendekati kehidupan orang lain. Sebab tu dia
suka menulis,” jelas Amir memahami jiwa sensitif kakaknya
itu. Satu sifat buruk Aisara kalau sudah merajuk, payah
mahu reda. Dia tidak tahulah bagaimana Alif menangani
rajuk Aisara dulu.
“Sayang tahu apa cita-cita Kak Ai, masa dulu-dulu?”
Nurul memandang Amir penuh minat. Teringin juga
hendak tahu.
“Apa?”
“Lawyer.”
“Betul?” Nurul tidak percaya. Patutlah Aisara pandai
menyusun kata.
“Tapi kenapa Kak Ai tak teruskan cita-cita dia?” Dia
kehairanan.
Amir tersenyum tawar.
“Sebab mummy,” beritahunya kecewa.
“Mummy?”
Amir mengangguk.
“Cuba tengok adik-beradik abang. Semuanya
berkelulusan dalam business, kan?”
Nurul mengangguk.
“Mummy yang tentukan apa yang harus kami
pelajari sebaik tamat sekolah tinggi. Kak Ai tak rela pelajari
semua tu, tapi dia dipaksa. Sampai dia mengalami
kemurungan akibat tekanan. Dia paksa dan paksa diri
untuk tamatkan pengajian,” cerita Amir terkilan.
“Kesian Kak Ai,” keluh Nurul simpati. “Dia baik. Tapi
nasib selalu tak menyebelahi dia.”
Amir sedih dengan apa yang menimpa kakaknya
itu. Kalaulah dia ada kuasa sakti, pasti akan ditunaikan
semua impian Aisara. Dia mahu melihat Aisara tersenyum
bahagia seperti masa ayah mereka masih ada dulu.
“Kak Ai tu dulu ada boyfriend, kan?” Nurul mahu
mengorek sebanyak mungkin cerita Aisara. Kalau sudah
Amir liat sangat hendak berterus-terang, terpaksalah dia
mencantumkan sedikit demi sedikit maklumat yang
diperolehi. Mungkin nanti dia boleh simpulkan sedikit apa yang
berlaku sebenarnya.
Amir terkesima. Mahu saja dia merungkai
semua persoalan yang tersimpan, namun takut kehilangan
Aisara sekiranya mengkhianati janji pada kakaknya itu.
Dia mulai hilang tumpuan. Cepat-cepat brek kereta
ditekan. Nasib dia tidak terlanggar kereta yang berhenti di
hadapannya kerana lampu isyarat berwarna merah.
“Astaghfirullahalazim ...” Pantas tangannya mengurut
dada. Rintik-rintik halus terbit di dahinya. Perasaan cemas
menerjah ke dalam hati.
“Abang ni boleh pulak khayal masa memandu,”
rungut Nurul perlahan sambil memegang tangan suaminya.
Memberi ketenangan.
AMIR melangkah masuk. Nurul menurutinya dari
belakang. Amir berhenti dan memerhati ruang tamu rumah
itu seketika. Semenjak mereka adik-beradik membawa
haluan sendiri, rumah besar itu menjadi sepi. Hanya
Amirul yang menemani ibu mereka tinggal di rumah itu
bersama dua orang lagi pembantu rumah. Sia-sia ayah
mereka membina rumah itu kalau matlamatnya mahu
melihat mereka berkumpul dengan bahagia tidak tercapai.
Pertemuan di hari raya juga sudah tidak sesempurna
ketika ayah mereka masih ada. Aisara sering saja tidak ada
pada hari itu. Tidak mahu buang masa Amir terus menarik
tangan Nurul ke bilik tidur Puan Sri Marina di tingkat
atas. Pintu bilik diketuk sebelum mereka masuk.
Melihat Alisa sedang meletakkan tuala basah ke
dahi ibu mereka, Amir dan Nurul serentak menghadiahkan
senyuman.
Alisa membalas.
Puan Sri Marina menoleh lemah. Memandang
Amir dan Nurul yang sudah berada di sisinya. Mereka
bergilir-gilir mencium tangan Puan Sri Marina yang terasa
dingin.
“Kenapa tiba-tiba mummy tak sihat?” tanya Amir
mencari punca kesihatan ibu mereka terjejas.
“Kau tanyalah kakak kesayangan kau tu,” suruh
Alisa geram. Terngiang-ngiang lagi kata-kata yang
dilemparkan Aisara sewaktu mereka bercakap di telefon.
“Kak Ai?” Amir sedikit terkejut. “Apa dia dah buat?”
Setahu Amir, Aisara tidak cakap apa-apa pun petang tadi.
“Bibik kata, Aisara bertengkar dengan mummy,” adu
Alisa.
“Kau bukan tak tahu, Mummykan ada darah
tinggi. Aisara tu pulak sengaja nak tengok kesihatan mummy
terjejas,” tuduh Alisa Geram.
Amir diam. Dia tahu Aisara tidak seteruk itu.
“Mummy ni demamlah Kak Lisa. Dah bawak pergi
klinik?” celah Nurul sebaik merasa tekanan nadi dan suhu
tubuh ibu mertuanya itu.
Alisa memandang Nurul dan mengangguk sebelum
berlaih kepada Amir semula.
“Cuba kau pulak yang call Aisara. Suruh dia balik
tengok mummy,” pinta Alisa. Mungkin kalau Amir yang
menghubungi Aisara akan berlembut hati.
“Rasanya tak payahlah. Diakan banyak kerja. Mummy
pun tak apa-apa,” bantah Amir.
Alisa tarik muka masam. Amir sengaja membela
Aisara.
“Biarlah Aisara tu... dia bukan pedulikan mummy
pun,” celah Puan Sri Marina lemah. Kecewa dengan layanan
yang diberikan oleh Aisara semalam.
“Mummy... Kak Ai tu sibuk. Mummy pun tahu kerja
dia, kan? Macam mana daddy sibuk bekerja dulu untuk kita.
Macam tu jugalah yang dia lalui sekarang,” bela Amir tidak
mahu Aisara dipersalahkan lagi. Yang jelasnya semua yang
berlaku bukan salah Aisara.
“Kau kalau pasal Aisara semuanya betul!” marah Alisa
cemburu. Dia cukup terasa hati dengan perhatian yang Amir
berikan kepada Aisara. Apa saja salah Aisara semua betul di
mata Amir. Dari kecil mereka sudah begitu.
“Aku salah cakap ke? Kau pun pernah jadi orang
penting dalam syarikat, kan? Patutnya kau lebih tahu
kesibukan yang terpaksa Aisara lalui,” ujar Amir tak nak Alisa
terlalu menyalahkan Aisara.
Alisa buat muka menyampah. Malas nak bercakap lagi.
“Kak Lisa, kalau demam mummy tak turun esok
akak bawaklah mummy pergi tempat Nurul. Call Nurul dulu.
Nanti Nurul boleh uruskan semua keperluan mummy,”
pesan Nurul sebaik merasakan pertelingkahan antara
suaminya dan Alisa perlu dialihkan. Mereka ke situ bukan mahu
mempertikaikan Aisara.
“Rasanya esok mummy okeylah ni.” Alisa memandang
Puan Sri Marina yang baru terlena. Mungkin ubat yang
dimakan sudah memberi kesan.
“Mummy dah tidur. Kau orang pergilah tengok apa
yang ada kat dapur tu. Aku nak tengok Hana kejap,” beritahu
Alisa sambil membetulkan selimut tebal di dada ibu mereka.
Amir mengangguk dan mencuit lengan isterinya
untuk turut ke tingkat bawah. Buat apa lagi terus
menghangatkan suhu hatinya dan Alisa. Sudah jelas-jelas
mereka akan terus bercanggah pendapat.
“Abang kalau dapat bela Kak Ai sampai kecilkan hati
Kak Lisa,” rungut Nurul sambil mereka berjalan seiringan
ke dapur. Kata-kata itu dituturkan sebaik pasti Alisa tidak
membuntuti mereka dari belakang.
“Abang cakap yang betul.” Amir membela diri.
“Yalah. Tapi kesian Kak Lisa tu. Dia kakak abang juga,”
tegur Nurul tidak puas hati. Dia tidak faham macam mana
Amir boleh membeza-bezakan kasih sayang antara dua orang
kakaknya itu.
“Lisa tu anak sulung, patutnya dia lebih perihatin
dengan masalah dalam keluarga. Bukan cari kesalahan
Aisara,” bantah Amir.
Nurul terdiam. Dia masih baru dalam keluarga itu.
Masih banyak yang belum diketahui. Kerusi di meja makan
ditarik sedikit untuk duduk. Kelihatannya pembantu
rumah itu sudah menyediakan seteko kopi panas di atas meja.
Sepiring kuih apam segera juga terhidang. Tanpa perlu
dipelawa mereka menjamah semua itu.
Nurul mencubit sedikit apam ke dalam mulut dan
lebihnya diberikan kepada Amir untuk menghabiskan. Dia
lebih selesa berkongsi cawan dengan suaminya daripada
mengotorkan banyak-banyak cawan untuk dicuci. Kalau
Puan Sri Marina melihat situasi itu, pasti akan dibebelnya.
Nurul tersenyum nipis mengenangkan ibu mertuanya yang
sedang terlantar sakit di tingkat atas. ‘Berehatlah
mummy,’ bisik hatinya yang tersenyum.

No comments:

Post a Comment