Sunday, 26 June 2016

Puzzle Cinta Aisara - Bab 8

“Beza antara kita, rupa darjat dan harta. Sudikah kau
terima...”
(Darjat – A to Z)

AMIRUL muncul sambil menyeret tangan seorang
gadis bersamanya. Alisa yang terlebih dahulu melihat
situasi itu tercegang. Amirul tersengih. Segera tangan gadis
itu dilepaskan. Ops... dia buat muka tidak bersalah. Biasalah
kalau pakwe pimpin tangan makwe, itu pun hendak kecoh.
Tak modenlah kakaknya yang itu. Sedar dirinya
diperhatikan gadis itu tersipu malu. Amirul mendapatkan
ibunya.
“Mummy, sorry I’m late,” sapanya. Bahu Puan Sri
Marina dipicit mesra.
Gadis tadi masih berdiri di belakang Aisara.
Puan Sri Marina memandang gadis itu.
Gadis itu menguntum senyuman dan segera
menghampiri Puan Sri Marina. Salam dihulurkan.
Puan Sri Marina menyambut dengan segaris
senyuman. Sempat rupa paras gadis itu diteliti.
Kesimpulannya dia kurang berkenan. Gadis berkulit
gelap itu tidak sepadan dengan anaknya yang putih melepak
itu. Dia tidak mahu cucu yang berkulit macam kuda belang.
“Duduklah. Kita makan dulu. Semua lauk tu dah
sejuk pun,” pelawanya lembut.
Amirul tersenyum senang dengan layanan diberi
ibunya. Dia menempatkan gadis itu di sebelah Aisara.
Kemudian dia duduk bersebelahan Alisa. Biar mereka saling
bertentangan.
Pembantu rumah sekali lagi menjalankan tugas
mereka.
Puan Sri Marina mencuri pandang gadis itu.
Kalau gadis itu setaraf dengannya, pastilah dia tidak kisah
untuk makan bersama. Tapi kalau sebaliknya. Siaplah. Mesti
ada orang yang mati tercekik di situ nanti.
“Kawan kamu ni tak ada nama ke Mirul?” tegurnya.
Amirul tersengih. Lapar punya fasal boleh pula dia
terlupa hendak perkenalkan gadis tu.
“Nama dia Rosmaria,” beritahunya secara umum.
Puan Sri Marina mengangguk.
“Mak ayah, kamu kerja apa, Rosmaria?” Entah kenapa
geli saja dia mahu menyebut nama gadis itu. Dia rasa nama
itu tidak padan. Lainlah Rosmaria itu gadis kacukan, barulah
sesuai. Ini tidak, muka belacan dengan tempe saja yang dia
nampak pada gadis itu.
Rosmaria yang terkial-kial hendak memotong isi
ayam menarik nafas perlahan mendengar pertanyaan sulung
itu. Ayam itu ditengok lagi. Janggal betul makan
menggunakan garfu, sudu dan pisau begitu. Guna tangan
tak boleh ke? Bengang sungguh hatinya. Kalau begini
gayanya memang tidak kenyanglah dia malam itu dan
cacing dalam perutnya akan merusuh tidak cukup makan.
Aisara membantu. Kesian pula melihat Rosmaria
begitu.
Rosmaria ingin berterima kasih, tetapi Aisara
tidak memandang kepadanya. Dia memandang muka Puan
Sri Marina yang kelihatan sedikit tegang. Mungkin kurang
senang melihat dirinya yang kekok di meja makan. Maaflah mak
cik, mak saya memang tidak pernah makan guna pisau bagai
ini. Dia maniskan muka.
“Mak saya kerja kilang. Ayah dah meninggal,
mak cik.” Agaknya Puan Sri Marina boleh terima ke
jawapan macam itu. Dari tadi mata perempuan itu
kelihatan lain macam saja. Macam harimau perhatikan
mangsa ada juga.
Mahu terkeluar isi perut Puan Sri Marina
mendengar jawapan yang diberi Rosmaria. Pantas
tangannya mencari minuman. Dia pura-pura tersedak.
Rosmaria mengalihkan pandangan. Sah mak cik
itu terkejut mendengar latar belakang keluarganya. Tetapi
matanya bertentang dengan wanita di hadapannya.
Alisa yang mengerti dengan riak wajah ibunya
terus memandang Rosmaria seketika. Mulutnya diherotkan
sedikit. Ibunya pasti marah kerana dirinya dipanggil mak cik.
Maklumlah Puan Sri Marinakan ada darjat.
Rosmaria buat muka tidak faham. Amirul dipandang.
Mungkin kekasihnya itu boleh menjelaskan sesuatu. Tetapi...
“Mummy... kejap lagi ajelah kita berbual,” celah
Amirul. Bukan mahu menjadi penyelamat Rosmaria, tetapi
tidak suka seleranya terganggu dengan persoalan demi
persoalan yang dilemparkan ibunya. Kalau betul pun hendak
siasat bakal menantu, kejap lagikan boleh.
Puan Sri Marina mencuri pandang Aisara dan Nazri.
Nampaknya dua orang pembangkang itu tidak peduli mahu ikut
campur. Dia rasa senang hati. Selain Aisara yang suka mencari
fasal dengannya, Nazri puan sri juga suka memberi ceramah
agama. tidak tahan telinganya mahu mendengar, sebab itu dia
tidak kisah Alisa mahu berpindah keluar dari rumah itu dulu.
“Rasanya mak kamu dulu dah rancang nak
bermenantukan anak orang kaya. Sebab tu dia letak nama kamu
ala-ala nama orang putih,” sindirnya menunjukkan sikap tidak
boleh menerima Rosmaria secara terangan.
Rosmaria hanya diam. Hatinya rasa terhina, tetapi
tidak mengapa... sabar kejap.
“Kamu lulusan universiti mana?” tambah Puan Sri
Marina. Mungkin taraf pendidikan gadis itu boleh membuat
hatinya sedikit sejuk.
Rosmaria tarik nafas perlahan.
“STPM aje,” jawabnya meluat. Bukan dia tidak
layak menyambung pelajaran, tetapi keadaan ekonomi
keluarganya yang tidak menginzinkan. Dia anak sulung.
Ibunya, ibu tunggal. Ada empat orang lagi adik-adik yang
perlu disara. Salahkah kalau dia hendak berbakti kepada
keluarga terlebih dahulu?
“Apa?” Puan Sri Marina pura-pura terpekik. Sudu di
tangan dilepaskan ke dalam pinggang. Berdenting bunyinya.
Semua yang ada mengangkat mata memandangnya.
Kecuali Aisara. Langsung tidak peduli. Dia ke situ
bukan hendak tengok drama antara dua darjat. Tetapi lebih
kepada didesak Amirul.
“Jadi kamu ni bermimpi nak jadi Cindarellalah, kan?”
cemuh Puan Sri Marina mahu gadis itu sedar, siapa dirinya?
Layakkah gadis itu duduk dan makan semeja dengan mereka di
situ.
Amirul terkekeh perlahan.
“Mummy... ada ke sampai nak bandingkan Ros dengan
watak kartun tu.” Dia rasa ibunya bergurau.
Puan Sri Marina mengherotkan mulut sambil
memandang Amirul yang dungu. Padan saja gadis seperti ini
yang dipilih.
“Kerja apalah yang kamu boleh buat dengan STPM?”
Rosmaria ukir senyum kelat. Perempuan tua ini
melampau. Pandang orang tidak ada mata.
“Kerja yang orang lulus STPM layak buatlah, mak
cik. Pembantu kafe,” jawabnya saja nak sakitkan hati Puan
Sri Marina. Apa lagi yang menyakitkan hati perempuan
macam itu, mestilah perkara-perkara yang berlawanan dengan
kehidupannya. Ingat aku ini jenis gadis yang duduk berserah
sajakah kalau kena buli macam ini.
“Hah?” Puan Sri Marina terganga. Gadis ini mula
tunjuk belang.
Rosmaria tersenyum nipis. Tahu dirinya menang.
Malaslah nak cakap banyak. Dia memandang Amirul yang
nampak macam pelahap. Selama tinggal dalam rumah
besar itu Amirul tidak pernah makan ke? Makan macam
orang tidak pernah jumpa makan. Asyik makan saja.
Langsung tak membantu. Sedap sangat ke ketam masak cili api
tu? Dia buat muka geram.
Aisara selesai makan dan duduk menyandar.
Nazri pula semakin tidak selesa. Isyarat supaya
membawa anak mereka ke tingkat atas diberikan kepada
Alisa. Jika tidak hormatkan tetamu yang baru pertama kali
datang ke rumah itu pasti sudah diceramah ibu mertuanya
itu. Sungguh tidak beradap melayan tetamu seperti itu.
Alisa akur. Tidak berani membantah isyarat mata suaminya.
Seminit kemudian Nazri menyertai mereka ke tingkat atas.
Sikap Nazri yang langsung tidak hormat kepada
dirinya, membuatkan perasaan marah Puan Sri Marina
semakin berapi. Dia belum lagi meninggalkan meja
makan, orang lain juga tidak boleh buat begitu. Tidak sopan.
Ini semua kerana gadis yang dibawa Amirul! Dia belum
habis lagi. Dia mesti pastikan yang gadis itu takkan
berani mendekati anaknya lagi selepas ini.
“Kamu rasa, kamu layak ke berada dalam keluarga
ni?” pertikai Puan Sri Marina menambah serangan.
Rosmaria buat muka selamba. Kunyahan terakhir
dalam mulutnya dihabiskan. Minuman diteguk. Pernahkah
dia terfikir mahu punya hubungan sejauh itu dengan
Amirul? Tidak rasanya.
Aisara memandang Rosmaria. Dia menggeleng kecil.
Sedar gadis yang dibawa Amirul itu dari jenis yang keras hati
dan tegas. Padanlah, sudah kena buku dengan ruas.
Amirul angkat muka. Baru tersedar ibunya tidak
bergurau.
“Mummy! Apa yang mummy cakap ni?” tegurnya
perlahan sambil tangannya masih mencapai lauk ke dalam
pinggan. Biarlah dalam keadaan apa sekalipun selera
anak bongsu Puan Sri Marina itu memang takkan mati.
Rosmaria menjeling melihat sikap Amirul itu. Macam
manalah dia boleh setuju hendak jadi teman wanita Amirul
dulu? Huh.
Aisara tersenyum sinis. Amirul masih mentah. Belum
kenal lagi siapa perempuan terhormat itu.
Puan Sri Marina menjeling Aisara.
Aisara buat tidak tahu sahaja. Kalau dia bercakap
kejap lagi ada pula orang yang sakit semula. Perempuan
terhormat itu kan baru seminggu sihat.
“Mummy kata tak! Mummy tak setuju dengan
pilihan kamu yang ini.” Puan Sri Marina menunding jari
kepada Rosmaria. “Banyak lagi gadis lain yang lebih baik
boleh kamu jumpa. Kalau susah sangat biar mummy
yang carikan!” Bantahnya tanpa mempedulikan maruah
Rosmaria.
“Tapi Mirul cintakan dia,” bantah Amirul. Barulah
dia berhenti makan. Kenapa ibunya bersifat sinis terhadap
Rosmaria? Dia tidak mengerti.
“Cinta tak boleh buat kamu kaya raya. Tak boleh
buat duit kita bertimbun. Tak boleh buat harta kita
bertambah. Kamu cintakan orang miskin, harta kita akan
semakin berkurangan dikikis nanti!” Lancang saja penghinaan
demi penghinaan dilemparkan Puan Sri Marina.
Berkerut dahi Rosmaria. Ai, melampau betul mak
cik ni. Ingat aku ni tak ada hati ke? Meter kesabaran
dalam dadanya menurun, manakala suhu darah makin
mendidih. Dia harus berkata sesuatu untuk membela diri
daripada membiarkan Puan Sri Marina menuduhnya
sesuka hati. Mak cik ni ingat aku yang terhegeh-hegeh nak
datang sini ke? Amirul yang memaksa. Amirul kata,
keluarganya semua baik-baik belaka. Ini baru seorang yang
bersuara, telinga aku sudah mahu berdarah. Kalau ada
ramai lagi yang bersuara pasti aku mati terkejut pulak,
gumamnya. Tengok saja tadi kakak seorang itu buat muka
kepada aku. Hurm... sesak nafas aku sekejap. Rosmaria
mengeluh. Teringat pula pada ibunya di kampung. Itulah,
emak sudah pesan kalau mahu bekerja, kerja betul-betul.
Jangan hendak menggatal. Inilah balasan sebab tak
dengar cakap, bisik hatinya memarahi diri. Dia bangun
dari duduk. Panas kerana sudah berlama-lama di situ.
Sebelum ada aksi tinju elok dia berundur.
“Mak cik, walaupun saya miskin, tapi saya bukan
serendah dan sehina itu. Kalau mak cik tak boleh terima
saya, tak apa. Saya faham. Ramai lagi lelaki kat luar sana
yang saya boleh pilih. Mungkin nanti saya jumpa yang lebih
class dari anak mak cik yang sengal ni!” balas Rosmaria
selamba. Tahu di situ bukan tempatnya dan dia tidak mahu
terus menjadi bahan penghinaan perempuan kaya tu.
Terbelalak mata Puan Sri Marina. Gadis itu memang
tidak layak berada di kalangannya. Kurang ajar!
“Ros, sabarlah,” pujuk Amirul. Terus dia berhenti
makan. Dia tidak sangka Rosmaria seberani itu.
Hilang perasaan Rosmaria mahu memandang
Amirul. Perangai tidak matang ada hati mahu jadi laki aku?
Tak payah! Tak payah! bentak hati kecilnya yang geram.
Aisara ketawa semahu hati sambil bertepuk tangan.
Dia suka cara gadis itu mempertahankan diri. Lagaknya tadi
diam seperti sedang menyaksikan sebuah persembahan teater
yang sangat mantap dan menghiburkan sudah tamat. Semua
yang ada di situ mengalih perhatian kepadanya. Drama baru.
Puan Sri Marina mengecilkan mata. Perangai gila
Aisara sudah datang. Dia kena tarik nafas untuk bertenang.
Dia tidak mahu diserang darah tinggi hanya kerana berbalah
dengan Aisara.
Rosmaria terkejut. Kenapa gadis yang dari tadi
hanya diam membatu di sebelahnya itu tiba-tiba ketawa sambil
bertepuk tangan? Rumah ini memang dihuni oleh orang-orang
yang tidak terduga sikap mereka ke? Menakutkan.
“Kau ni lembablah, Mirul. Aku ingat kau sibuk
sangat panggil aku datang tadi ada apa. Rupa-rupanya nak
suruh aku tengok drama antara dua darjat yang dah muak
aku tonton dari dulu. Buang masa!” sindir Aisara.
“Tapi tak apalah, aku dah kenyang.” Sepantas itu
juga pandangan beralih tepat ke wajah Puan Sri Marina. Dia
tersenyum mengejek.
“Tuhan selalu adil, kan puan sri? Dia hantar
seorang lagi si miskin masuk ke dalam keluarga ni.”
Aisara berdiri. Padan dengan muka perempuan terhormat
itu. Nampak gayanya semua menantu yang hadir dalam
rumah itu dari kalangan manusia biasa saja. Yang miskin
harta tetapi kaya hati. Kecuali Nazri yang kaya hati dan harta.
Sakit hati Puan Sri Marina. Aisara hendak
mengajarnya pula. Mata dibesarkan.
Aisara tersengih. Cicir pun mata Puan Sri Marina ke
lantai dia tetap tidak peduli. Hatinya sudah lama mati. Badan
dipusingkan menghadap Rosmaria.
“Saya nak balik. Kamu nak balik? Jom saya hantarkan
sekali,” tawarnya.
“Agaknya kalau lagi lama kamu tunggu... mungkin
kamu akan bertukar jadi parasit yang bakal membunuh hati
tua puan sri ni. Sebelum kamu dituduh sebagai punca dia jatuh
sakit, elok kamu balik,” sindir Aisara.
Rosmaria terkaku. Tidak tahu apa harus dikatakan.
Siapa Aisara sehingga berani bersuara demikian?
“Dahlah, tak payah fikir.” Pantas Aisara menarik
tangan Rosmaria mengikutinya ke pintu utama.
Puan Sri Marina yang terdiam dengan kata-kata Aisara
mengeluh di tempat duduk. Aisara benar-benar melampau!
Mata tuanya hanya mampu membiarkan semua mereka yang
berada di meja makan itu pergi seorang demi seorang.
Amirul yang kesal dengan kata-kata pedas ibunya
terpaksalah memujuk Rosmaria. Bukan salah Rosmaria.
Dia yang terlalu yakin Puan Sri Marina akan menerima
siapa pun pilihannya. Bukan ke dia anak kesayangan? Sejak
kecil apa saja mahunya akan diturutkan. Tetapi kenapa
setelah Rosmaria dipilih sebagai teman hidup, ibunya
menolak dengan cara penghinaan? Hanya dengan alasan
darjat dan takut harta mereka nanti akan berkurangan
langsung tidak masuk akal. Bukan ke harta boleh
dihimpun? Rezeki di bumi Allah SWT ini ada bertebaran
di mana saja.
“Ros... saya minta maaf,” rayu Amirul dari luar cermin
tingkap kereta yang terbuka.
Rosmaria tidak menoleh. Matanya terus memandang
kehadapan.
“Awak tak salah. Saya yang bodoh,” jawabnya merajuk.
Pahit benar dirasakan.
“Dahlah tu, esok-esok aje sambung. Dah malam,”
celah Aisara. Cermin tingkap kereta dinaikkan sebelum
berlalu pergi. Dia faham Rosmaria perlukan sedikit waktu
untuk bertenang dan berfikir.
Sepanjang perjalanan mereka lebih banyak
membisu, melayan perasaan dengan lagu-lagu yang
berkumandang dari radio. Sesekali Aisara bertanya itu dan
ini, sekadar mahu menceriakan hati gadis itu yang terluka.
Dia memandu mengikut arah panduan yang diberikan. 20
minit kemudian mereka sampai di rumah sewa Rosmaria.
“Terima kasih, kak,” ucap Rosmaria sebaik turun dari
kereta.
Aisara membalas ucapan itu dengan senyuman. Dia
memerhatikan langkah gadis itu sehingga hilang ke dalam
rumah.
Kesian! Hanya itu yang terdetik di hatinya sebelum
memandu pergi.

No comments:

Post a Comment