Monday 27 June 2016

Tak Mampu Menjaga Cintamu - Bab 13

ANATASYA menghidangkan nasi goreng yang
telah siap di atas meja makan. Kemudian dia membancuh
pula seteko air teh O panas dan dihidangkan bersama
nasi goreng di atas meja. Seketika, muncul adiknya,
Anafarah yang baru bangun daripada tidur.
“Wah! Sedapnya kakak masak. Adik dah lapar ni…”
Anafarah lantas menarik kerusi dan duduk, bersedia untuk
mencedok nasi.
“Sayang, pergilah mandi dulu. Tak gosok gigi lagi
dah nak makan,” bebel Anatasya dengan kepala tergelenggeleng.
Adiknya yang berusia enam tahun itu sekadar
tersengih.
“Kakak masak apa pagi ni? Angah dah lapar ni.”
Muncul pula Aliff, adik Anatasya yang berumur 15 tahun.
Jarak umur memang sangat ketara antara mereka adikberadik.
“Nasi goreng. Angah dah mandi ke belum?” tanya
Antasya walau pasti Alif sudah siap mandi melihat dari
pakaiannya.
“Mestilah dah! Lepas ni nak pergi library. Dah
janji dengan kawan nak buat study group,” jawab Aliff
dengan suara riang. Nampak bersemangat sekali.
“Baguslah tu. Jangan buat sembang group dahlah
ya!” Sempat Anatasya berpesan sambil tangannya mencedok
nasi ke dalam pinggan Aliff. Pandangannya beralih pula ke
arah adik bongsunya. “Adik pergilah mandi dulu. Lepas
tu nanti boleh makan,” suruhnya lembut.
“Okey!” Sahut Anafarah dan terus melompat turun
dari kerusi.
“Isy, budak ni! Turunlah elok-elok. Jatuh karang,”
tegur Anatasya. Risau melihat tingkah nakal adiknya itu.
Macam manalah ayah menjaga kedua-dua adiknya itu
waktu dia tiada.
Anafarah tersengih sebelum berlalu ke arah bilik
mandi.
“Kakak, nanti ayah ada hal nak cakap dengan
kakak,” ujar Harun yang baru muncul di dapur. Dia
menarik kerusi lalu duduk di sebelah Aliff.
Anatasya mengambil tempat di depan ayahnya. “Hal
apa, ayah? Penting ke?” Hatinya mula dilanda debar.
Harun mengukir senyuman. Tidak mahu anaknya
itu bimbang. “Pentinglah juga. Tapi bukan hal yang tak elok
pun,” ujarnya memberi jaminan.
Anatasya tersenyum. Dalam hatinya berharap
moga apa yang bakal ayah cakapkan bukanlah sesuatu yang
pahit untuk ditelan.
TERNYATA, kata hati Anatasya benar. Kebimbangannya
tadi benar-benar berasas. Setelah mendengar sendiri apa
yang ayah katakan, sekeping hatinya bagai hancur
berantakan. Gambar yang dipegang direnung dengan hati
yang luluh.
Kenapa semua ini harus terjadi pada saat hatinya
baru pulih dari kesakitan lalu? Kenapa lelaki itu harus
muncul kembali dan terus menghancurkan hidupnya?
Tidak cukupkah apa yang telah dilalui dulu? Tidak
cukupkah air matanya yang pernah mengalir untuk
lelaki itu?
Bunyi kuakan pintu membunuh lamunan
Anatasya. Pantas air mata di pipi diseka. Harun melangkah
perlahan-lahan dan melabuhkan duduk di birai katil,
betul-betul di sisi Anatasya.
“Kakak dah fikir apa yang ayah cakapkan tadi?”
Tanya Harun lembut. Bukan niatnya mahu memaksa,
cuma apa yang dilakukannya itu untuk kebaikan Anatasya
juga.
Anatasya merenung wajah ayahnya dengan mata
berkaca. “Kenapa ayah terima pinangan tu?” Sayu hatinya
bertanya.
Harun mengeluh. Sesekali terdengar batuk-batuk
halusnya. “Ayah buat semua tu untuk kebaikan kakak
juga…”
“Kebaikan kakak? Kakak tak nampak pun
kebaikannya,” bantah Anatasya. Tahukah ayah, menerima
pinangan daripada Naqiu umpama mencampakkan
dirinya ke lembah derita?
Harun menggenggam erat jemari Anatasya.
Sebetulnya, dia sendiri tidak mahu menerima pinangan
yang dibawa oleh keluarga Naqiu. Dia mahu bertanyakan
kepada Anatasya dulu kerana hal itu melibatkan masa
depan anaknya itu. Tetapi setelah mendengar pengakuan
Naqiu tentang kisah silam lelaki itu dan anaknya, sertamerta
keputusannya berubah.
Memang dia terkejut saat Naqiu mengaku bahawa
dialah yang bertanggungjawab atas kesengsaraan Anatasya
dulu. Naqiu berjanji dengan sesungguh hati mahu menebus
kesalahannya dengan mengahwini Anatasya. Naqiu berjanji
untuk membahagiakan Anatasya. Kerana itulah Harun
bersetuju menerima pinangan anak muda itu.
“Sekarang mungkin kakak tak nampak
kebaikannya, tapi nanti insya Allah, Dia akan tunjukkan
pada kakak kebaikan tu. Lagipun…” Harun terbatuk lagi.
“Umur ayah dah tak panjang. Bila-bila masa aje Allah akan
jemput ayah balik pada Dia. Ayah nak tengok anak ayah ni
kahwin, ada anak… Sampai bila kakak nak simpan perasaan
benci pada orang lelaki?”
Anatasya diam. Apabila ayahnya sudah menyebut
tentang kematian, memang dia tidak berani berkata apa-apa
lagi.
“Ayah tahu dia yang buat kakak dulu…” Kenyataan
ayahnya itu membuatkan Anatasya tergamam. Matanya
membulat merenung ayah. “Ayah tahu? Macam mana ayah
tahu?”
“Dia yang mengaku pada ayah.”
Sekali lagi Anatasya tergamam. Tidak menyangka
sampai begitu sekali Naqiu nekad mahu mendapatkannya.
“Dari situ, ayah dah tahu yang dia ikhlas nak
memperisterikan kakak. Beri dia peluang, kakak. Beri
dia peluang untuk tebus kesalahan dia. Dan… beri
peluang pada diri kakak sendiri untuk hidup bahagia,”
nasihat Harun tanpa jemu. Baginya, apa yang terjadi
satu masa dulu bukanlah kesalahan Naqiu 100%.
Anatasya juga bersalah.
Anatasya menunduk. Air matanya gugur lagi. Dia
mahu percaya kata-kata ayah. Dia berharap hatinya percaya
dengan kata-kata ayah. Tetapi kenapa masih terasa berat?
“Kakak terima ya?” Pujuk Harun lembut. Kalaulah
arwah isterinya masih ada, dia yakin isterinya akan
menyokong keputusannya ini.
Anatasya terus teresak pilu.
SESUDAH berfikir beratus-ratus kali, akhirnya Anatasya
mengambil keputusan untuk menghubungi Naqiu melalui
nombor yang ditinggalkan kepada ayahnya. Tidak lama
menanti, talian sudah berjawab.
“Helo…”
Jelas kedengaran suara itu dari corong telefon.
Anatasya memejamkan mata. Cuba meraih semangat untuk
bercakap dengan lelaki itu.
“Tasya?”
Belum sempat dia membuka mulut, lelaki itu
sudah memanggil namanya. Hati Anatasya berdetik hairan.
Bagaimana dia tahu? Rasa-rasanya Naqiu tidak tahu
nombornya ini. Atau adakah ayah yang memberi?
“Betulkan… Tasya?” Tanya Naqiu sekali lagi. Dia
hanya meneka sebenarnya. Dia yakin Anatasya akan
menghubunginya setelah hasratnya untuk meminang
Anatasya sampai ke pengetahuan gadis itu.
“Apa tujuan awak hantar pinangan tu?” Bergetar
suara Anatasya menuturkan soalan itu.
“Sebab abang nak Tasya jadi isteri abang. Abang
rasa alasan tu dah cukup jelas, kan?” jawab Naqiu tenang.
Dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Termasuk
kemungkinan Anatasya akan datang menyerangnya di
pejabat mahu pun di rumah.
Anatasya tersenyum sinis. Pedih rasa hati. “Tak
payahlah nak berlakon. Entah-entahkan, tu semua hanya
rancangan awak dengan kawan-kawan awak untuk kenakan
saya lagi. Tak cukup ke apa yang awak dah buat pada saya
dulu?”
“Tak, Tasya dah salah faham. Abang mengaku dulu
memang abang jahat. Abang jahat sebab abang tinggalkan
Tasya padahal Tasya betul-betul sayangkan abang. Tapi
sekarang abang dah berubah. Abang dah sedar yang abang
dah buat silap. Abang nak tebus kesalahan abang dulu pada
Tasya. Abang sayangkan Tasya. Abang janji akan bahagiakan
Tasya. Asalkan Tasya beri abang peluang kedua…” Nada
suara Naqiu jelas merayu. Kalau Anatasya ada di depannya,
dia sanggup melutut.
“Bohong...” Perlahan suara Anatasya membalas.
Kolam matanya bergenang. Hanya menanti masa untuk
melimpahkan airnya. Kalaulah kata-kata itu didengar lima
tahun lalu, pasti sekarang dialah insan yang paling bahagia.
Sebaliknya sekarang, dialah insan yang paling terluka.
“Abang tak bohong. Apa lagi yang Tasya nak abang
buat, baru Tasya nak percaya?”
Anatasya memejam mata. Pipi terasa hangat dek
aliran air mata. “Kenapa awak muncul lagi dalam hidup
saya?”
“Allah yang aturkan semuanya, sayang. Dia yang
nak kita berdua bersama. Dan abang janji, abang takkan
sia-siakan peluang yang Dia berikan untuk abang…”
Penuh makna ucapan yang meniti keluar dari bibir Naqiu.
Sekuman pun dia tidak menipu. Sesungguhnya, dia amat
bersyukur ditemukan semula dengan Anatasya. Itu doanya
selama ini.
Tanpa membalas apa-apa, Anatasya terus
mematikan talian. Kepala direbahkan ke bantal. Terasa
sarung bantalnya basah dengan air mata yang tidak henti
mengalir. Ya Allah… andai ini takdir-Mu, beri aku kekuatan
untuk melaluinya… Doa Anatasya dalam hati.
ANATASYA membetulkan tudung yang ditiup angin.
Renungannya jauh ke arah air laut yang membiru.
Suasana petang di Pantai Batu Burok itu sangat
mendamaikan perasaannya. Kekusutan yang melanda
fikirannya akhir-akhir ini bagaikan terbang melayang.
Mata Anatasya tiba-tiba hinggap pada sepasang
suami isteri yang sedang berjalan di gigi pantai. Gelagat
pasangan yang cukup mesra bermain air itu mengundang
rasa sebak di hati Anatasya. Jika dia dan Naqiu berkahwin
kelak, akan dapatkan dia merasai kebahagiaan itu?
Setitis air matanya gugur menuruni pipi. Anatasya
hanya membiarkan. Selama ini, sudah cukup dia
memendam rasa kecewa, rasa marah dan rasa terluka
atas pemergiaan Naqiu dari hidupnya. Lelaki yang dulunya
pernah berjanji akan sehidup semati dengannya akhirnya
pergi meninggalkannya begitu saja, setelah seluruh jiwa
dan raganya diserahkan buat lelaki itu. Setelah di hatinya
hanya terlukis nama Naqiu seorang.
Kenapa semua ini harus terjadi? Kenapa di saat dia
sudah belajar melupakan Naqiu, lelaki itu hadir semula
dalam hidupnya? Kenapa Naqiu menghantar rombongan
untuk meminangnya sedangkan cinta buatnya tiada dalam
hati lelaki itu? Atau adakah benar lelaki itu menyayanginya?
Anatasya memejam mata rapat-rapat. Dia tiada
jawapan untuk semua soalan itu. Yang mampu dia lakukan
kini, hanyalah berserah kepada Allah Taala. Semoga segala
yang terjadi ini membawa hikmah yang terindah untuk
dirinya kelak.
“Dian Anatasya!”
Suara yang kuat menyeru itu menyentakkan
Anatasya. Terbang segala khayalannya tadi. Cepat-cepat dia
mengesat air mata yang basah di pipi sebelum berpaling.
Kelihatan Sarah sedang berjalan ke arahnya sambil
melambai mesra. Anatasya bangkit berdiri sambil
membalas lambaian Sarah.
“Tasya!” Sarah terus memeluk Anatasya seeratnya.
“Sarah!” Anatasya membalas mesra. Tawa kecil
keluar dari mulutnya. Tawa yang akhirnya bertukar
menjadi esakan. Dia menangis lagi di bahu Sarah.
“Tasya…” panggil Sarah lembut. Pelukan
dileraikan. Matanya menatap wajah keruh Anatasya. Dia
sudah mendengar semuanya dalam telefon tadi dan dia
yang meminta Anatasya menunggunya di pantai itu
kerana pantai itu terletak berdekatan dengan hospital
tempat dia bekerja. Tamat saja waktu kerja, dia terus
mencari Anatasya di pantai itu. “Kau okey?”
Anatasya menggeleng. “Aku tak sangka akan jadi
macam ni…” Kepalanya tunduk dengan esakan yang masih
belum hilang.
Sarah menyapu air mata di pipi Anatasya. “Aku
pun tak tahu nak cakap macam mana, Tasya. Mungkin
dah memang jodoh kau dengan Naqiu. Kau larilah sejauh
manapun, kalau dah memang jodoh kau orang berdua,
Allah tetap akan temukan kau dengan dia…”
“Tapi aku bencikan dia, Sarah. Aku takkan lupa apa
yang dia dah buat pada aku dulu. Takkan,” tekan Anatasya.
Sarah menghela nafas. “Tasya, kau yakin semua
yang terjadi tu bersebab, kan?”
Anatasya diam dengan kepala tunduk merenung
pasir pantai.
“Aku pun yakin… Mesti ada sebab kenapa Allah
temukan kau dengan Naqiu balik. Mungkin betul yang dia
dah berubah sekarang. Apa kata kau buka hati kau, cuba
terima dia untuk kali kedua. Mungkin dia dah insaf
sekarang ni…” nasihat Sarah lembut. Entah kenapa,
hatinya disapa secuit rasa yakin tentang hal itu.
Kalau Naqiu tidak serius mahukan Anatasya,
takkanlah dia sanggup datang menemui ayah gadis itu?
Siap merayu dan mengaku segala kesalahannya. Bukan
semua orang sanggup buat seperti apa yang telah dilakukan
oleh Naqiu.
Anatasya menarik nafas. Memujuk diri untuk
bertenang. “Kau doakan aku…” pintanya sambil
memandang wajah Sarah. Pandangannya berkaca.
Sarah tersenyum sebelum mengangguk. “Aku
sentiasa doakan kau…” ucapnya dan serentak itu juga,
Anatasya menariknya ke dalam pelukan. Sarah
membalas pelukan itu, tanda dia selalu ada pada saat
Anatasya perlukan teman untuk meluahkan perasaan.

No comments:

Post a Comment