Sunday 26 June 2016

Tak Mampu Menjaga Cintamu - Bab 2

ANATASYA masuk ke rumah setelah
melaungkan salam. Mawaddah ketika itu baru saja keluar
dari biliknya, lengkap beruniform putih. Tiba masanya
untuk mereka bertukar syif. “Eh, tak pergi lagi? Dah
lambatlah ni,” tegur Anatasya sambil merebahkan badan di
atas sofa. Penat. Sempat dia mengerling ke arah jam di
tangan.
Sudah pukul 2.25 petang. Sepatutnya Mawaddah
sudah ada di hospital pada waktu ini kerana waktu
bekerja untuk syif petang bermula pukul 2.00 hingga
9.00 malam.
Mawaddah sengih. “Nak pergilah ni…” Kalut dia
mencari-cari kasut di atas rak.
“Dah, kau nak tahu tak…” Anatasya membuka
cerita.
“Tahu apa?” Dalam kalut mencari kasut, sempat
lagi dia membalas kata-kata Anatasya.
Anatasya meniarap sambil menongkat dagu
memandang Mawaddah. “Tadi waktu aku on the way ke
hospital, aku ternampak seorang mak cik tu. Dia
berhentikan kereta kat tepi jalan. Mengejut aje. Aku pun
tak sedap hatilah rasa macam dia ada masalah aje. Aku
pergilah dekat kereta dia.
Tengok-tengok, dia tengah pening kepala.
Darah tinggi. So... aku bawalah dia pergi hospital.” Cerita
Anatasya. Memang begitulah mereka selalunya. Balik
dari kerja, ada aje cerita yang hendak dikongsi bersama.
“Jadi... macam mana dia sekarang? Sudah okey
ke?” tanya Mawaddah. Kasut putih di tangan disarungkan
ke kaki. Terjingkit-jingkit jadinya apabila terpaksa
mengawal imbangan badan.
“Dah okey. Doktor Rusdi cakap tadi tekanan darah
dia sudah semakin stabil,” beritahu Anatasya. Kelakar pula
melihat gelagat Mawaddah itu. Tersenyum-senyum dia
jadinya.
“Doktor Rusdi?” Cerah mata Mawaddah sebaik saja
mendengar nama lelaki itu.
Senyuman Anatasya mati. Faham apa yang
bermain di fikiran Mawaddah. “Dah, dah… jangan nak
fikir yang bukan-bukan eh? Dia doktor, aku nurse.
Itu aje,” ujarnya, menekan sedikit nada suara agar
kedengaran tegas.
Mawaddah tergelak-gelak. “Yalah tu! Eh, siapa
nama mak cik tu?”
“Puan Shima,” jawab Anatasya sambil mencapai
alat kawalan jauh televisyen. Hilang mood tiba-tiba.
Mawaddahlah ni, suka sangat sebut nama Doktor
Rusdi. Sikit-sikit Doktor Rusdi… Sikit-sikit Doktor
Rusdi. Aish… sabar ajelah.
“Puan Shima? Okey, nanti aku tengok-tengokkan
dia eh?” Mawaddah tersengih, sengaja nak ambil hati
Anatasya. Dia tahu rakannya itu marah apabila dia
menyebut nama Doktor Rusdi.
Anatasya mengerling sekilas. “Suka hati kaulah. Eh,
dah lambat ni, mak cik. Pukul berapa kau nak pergi kerja
ni?”
“Alamak!” Mawaddah kalut memandang jam
pada tangannya. “Kaulah punya pasal ni! Aku pergi dulu.
Assalamualaikum!” Dia melambai dan terus berlalu
keluar dari rumah.
“Waalaikumussalam,” jawab Anatasya. Sekejap saja,
terdengar bunyi enjin kereta Mawaddah berdesup pergi.
ANATASYA menolak daun pintu wad Mak Cik Shima.
Senyuman manis menguntum di bibirnya.
“Assalamualaikum, mak cik… Mak cik hari macam mana
hari, sihat?” Tanya Anatasya sambil menghampiri katil putih
yang menempatkan wanita itu.
Shima tersenyum menyambut kedatangan
jururawat yang sentiasa manis dengan senyuman itu.
“Waalaikumussalam. Sihat macam inilah… entah bilalah
nak boleh keluar ni,” keluh Shima.
Anatasya membantu Mak Cik Shima menyandar
di kepala katil dengan meletakkan sebiji bantal di
belakangnya. “Mak cik tak bolehlah cakap macam tu.
Kalau tak duduk kat sini, macam mana nak sihat? Ni
Tasya tengok pun mak cik dah makin sihat. Tak lama lagi
mesti doktor bagi keluar,” ujar Anatasya. Nada suaranya
lembut bersama senyuman yang tidak lekang dari bibir,
sesuai dengan tugasnya sebagai seorang jururawat yang
wajib melayan pesakit.
“Harap-harapnya macam tulah. Hmm… doktor
handsome tu tak datang ke hari ni?” Sempat lagi Shima
mengusik Anatasya. Doktor Rusdi yang ditugaskan
merawatnya sering menjadi bahan usikannya. Pada
pandangan matanya, kedua-dua pasangan muda itu
sangat cocok bersama.
Spontan Anatasya tergelak kecil. Walaupun
tidak suka diusik begitu. Namun, dia tidak mahu
menunjukkannya di hadapan Mak Cik Shima. “Datang.
Kejap lagi dia datang tengok mak cik.”
“Tasya tak ada apa-apa perasaan ke kat doktor
muda tu? Mak cik tengok dia macam suka dengan Tasya
aje…” usik Shima lagi. Sangat mesra bagaikan Anatasya
itu anaknya. Maklumlah, dari dulu lagi dia teringinkan
anak perempuan. Jadi pabila bertemu dengan gadis
selembut dan sebaik Anatasya, hati tuanya terasa begitu
bahagia.
“Tak adalah, mak cik. Dia tu cuma rakan
sekerja Tasya aje. Tasya kena hormat dia sebab dia doktor
kat sini. Bukannya ada hubungan istimewa apa-apa,” nafi
Anatasya dengan gelengan kecil. Lucu pula terasa apabila
Mak Cik Shima turut sama mengaitkan dia dengan Rusdi.
Walau apa pun, Anatasya tetap dengan pendiriannya.
Rusdi tidak lebih daripada seorang rakan kepadanya.
“Betul ke ni?” Mata Shima bercahaya memandang
Anatasya. Andai benar Anatasya tiada hubungan apa-apa
dengan Doktor Rusdi, bolehlah dia memperkenalkan
gadis itu dengan anak lelakinya. Dan harapannya untuk
menjadikan Anatasya sebagai anaknya sendiri akan
menjadi kenyataan.
Anatasya tersenyum lagi. “Betul, mak cik.” Dia
menyimpan segala peralatan yang diperlukan untuk
memeriksa keadaan kesihatan Mak Cik Shima ke dalam
bekasnya.
“Kalau macam tu, bolehlah mak cik kenalkan
Tasya dengan anak mak cik. Anak mak cik pun single
lagi, entah bilalah nak kahwin. Umur pun dah 28 tahun,
bukannya muda lagi. Tasya nak tak berkenalan dengan
anak mak cik tu?” Shima mengambil peluang menyatakan
hasratnya.
Anatasya mengerutkan dahi. Sebentar kemudian
dia tertawa halus. “Tak apalah, mak cik. Takkanlah anak mak
cik nak kenal dengan Tasya ni…”
“Isy… kenapa cakap macam tu pula? Tasya ni
cantik, baik, peramah… siapa yang tak nak anak
dara macam Tasya ni?” Puji Shima. Hatinya penuh
mengharap agar Anatasya setuju untuk ditemukan dengan
anak bujangnya.
Anatasya terdiam mendengar baris ayat Mak
Cik Shima itu. Senyuman di bibirnya perlahan-lahan
memudar. Kalaulah Mak Cik Shima tahu kebenarannya,
masih mahukah wanita itu bermenantukan dia? Tak
mungkin!
“Tasya keluar dulu ya?” Anatasya meminta diri.
Bersama seulas senyuman yang dipalsukan, dia terus
berlalu keluar dari bilik wad itu.
SUARA yang rancak bersembang dari arah pantri menarik
Anatasya untuk masuk ke dalam. Kelihatan Mawaddah dan
Alia sedang asyik berbual dan sesekali tertawa sesama
mereka, seolah-olah lucu benar cerita yang sedang
diborakkan.
“Oit! Borak apa best sangat ni? Sampai ke luar
dengarnya,” tegur Anatasya sambil menarik kerusi lalu
duduk di depan Mawaddah dan Alia.
“Tak ada apalah. Si Alia ni… dia cakap anak
Mak Cik Shima patient tu handsome gila!” Mawaddah
membuka cerita sambil menjeling Alia.
“Seriously! Anak dia handsome gila. Percayalah!”
Alia bersungguh menyatakan pendapatnya tentang anak
lelaki Mak Cik Shima.
“Mana kau kenal anak dia?” tanya Anatasya.
Bukan berminat tetapi sekadar mahu tahu. Lagipun tadi
Mak Cik Shima begitu beria-ia mahu memperkenalkan dia
dengan lelaki itu.
“Semalam dia datang melawat mak dia.
Kebetulan masa tu aku lalu depan wad Mak Cik Shima,
sebab tu aku nampak,” cerita Alia. Masih terbayangbayang
di matanya kekacakan anak lelaki Mak Cik Shima
itu. Lebih-lebih lagi apabila lelaki itu melemparkan
senyuman kepadanya. Boleh cair dibuatnya!
“Kau yakin ke tu anak dia? Manalah tahu…
driver dia ke… anak tukang kebun ke…” Anatasya purapura
meragui kebenaran cerita Alia. Sengaja mahu
mengusik rakannya itu.
“Betullah! Mak Cik Shima sendiri yang cakap,”
tekan Alia geram.
“Ohh… kau pergi tanya Mak Cik Shima sendiri ke?”
Anatasya terkejut. Manakala Mawaddah yang sudah tahu
cerita hanya tersengih geli hati.
Alia mengangguk bersama sengihan panjang.
Anatasya tergeleng-geleng. Ketika itulah terdengar
derap tapak kaki seseorang melangkah masuk ke dalam
pantri. Ketiga-tiga mereka menoleh serentak. Muncul
Doktor Rusdi dengan senyuman manisnya.
“Hai, doktor! Ceria hari ni,” tegur Alia mesra.
“Mana tak ceria? Nak jumpa buah hati!” sampuk
Mawaddah sambil mengerling penuh erti ke arah
Anatasya.
Anatasya tayang muka selamba. Pura-pura tidak
faham maksud ‘buah hati’ itu ditujukan kepadanya.
“Hisyy… you all ni tak ada kerja ke? Asyik
melepak aje kat sini,” gurau Rusdi sambil melangkah
menuju ke arah kabinet yang menempatkan minuman.
“Yalah, yalah… nak pergi buat kerjalah ni.
Jom, Wadah!” Ajak Alia lantas bangun dari kerusi dan
melangkah pergi diekori Mawaddah.
Anatasya turut bangun. Namun langkahnya
terhenti apabila terdengar suara Rusdi memanggilnya.
“Petang ni awak free?” tanya Rusdi. Wajahnya
bagai menaruh seribu harapan agar jawapan yang bakal
diterima nanti tidak menghampakan.
Anatasya menarik nafas sebelum menjawab,
“Petang ni saya dah janji dengan kawan nak keluar samasama
lepas kerja,” jawabnya. Berbohong sebenarnya.
“Ohh…” Rusdi mengangguk dengan rasa hampa.
“Hmm… lain kali? Maksud saya, bila-bila aje awak free…”
Dia masih mahu mencuba nasib. Sudah lama dia menaruh
hati kepada gadis di depannya itu, sejak kali pertama
Anatasya menjejakkan kaki di hospital itu. Memang dia
belum pernah meluahkan perasaannya yang sebenar,
tetapi sudah banyak kali dia memberi hint. Cuma
Anatasya yang masih tidak faham. Atau mungkin juga, gadis
itu cuma pura-pura tidak faham.
“Hmm… tak tahu lagi. Lagipun, asyik sibuk aje
hari-hari. Susah sikit kalau nak keluar jalan-jalan,” jawab
Anatasya berlapik. Dia sudah berura-ura untuk keluar
apabila terdengar Rusdi memanggil namanya sekali lagi.
Dia kembali berpaling. Bukan dia tidak nampak sinar penuh
mengharap dalam sepasang mata milik lelaki itu. Tetapi
hatinya tetap tidak mahu mengerti.
“Awak… memang tak sudi nak keluar dengan
saya ya?” teka Rusdi. Kecewa sungguh hatinya apabila
mengenangkan hakikat itu.
Anatasya mengukir seulas senyuman palsu. “Tak
adalah, saya memang betul-betul sibuk. Mintak diri dulu
ya, doktor.” Kepalanya ditundukkan sedikit sebelum terus
berlalu dari situ.
Rusdi menghela nafas panjang. Sayu hatinya
melihat langkah Anatasya meninggalkan dia di situ
dengan perasaan yang hanya dia sendiri yang mengerti.

No comments:

Post a Comment