SUIS lampu ditekan. Sementara menanti
mentol berkelip-kelip, sempat Anatasya berkhayal
teringatkan Rusdi. Hmm… doktor… doktor… Awak
cari orang lain ajelah ya? Saya takkan mungkin
boleh terima awak, bisik hatinya sendiri.
Sebaik saja lampu menyala sepenuhnya, Anatasya
melangkah masuk ke dapur. Sebuah gelas dicapai dan
dituangkan dengan air sejuk dari peti ais. Air itu diteguk
hingga habis. Ahh… nyamannya rasa!
Anatasya mencuci gelas itu lalu meletakkannya
semula ke tempat asal. Pintu kabinet tingkat atas dibuka.
Laju saja tangannya mencapai sepeket kerepek pisang
yang memang tersedia di situ. Kerepek itu dibawa ke
ruang tamu. Kelihatan Mawaddah sedang berbaring di atas
sofa sambil menonton televisyen.
“Wah, bestnya! Nak sikit!” Mawaddah bangkit
daripada baringan. Pantas tangannya menyambar
kerepek pisang dari tangan Anatasya.
Anatasya tidak sempat menghalang apabila
kerepek pisang itu sudah bertukar tangan. Tergelenggeleng
kepalanya melihat tingkah Mawaddah. Novel
Status Hati: Dia Milikku karya Ayumi Syafiqah di atas
meja kopi dicapai. Hobi yang memang tak dapat dibuang.
Lebih-lebih lagi di waktu lapang begini.
“Tasya, aku tanya sikit boleh?” Mawaddah
memulakan perbualan.
“Apa dia?” balas Anatasya tanpa memandang
Mawaddah.
“Apa pasal kau tak minat Doktor Rusdi tu ha?
Aku tengok dia tu macam syok gila kat kau. Tapi kau
buat tak layan aje!” Omel Mawaddah. Kerepek pisang
memenuhi ruang mulutnya.
Anatasya yang baru saja ralit membaca novel terus
lari tumpuannya. Berkerut dahinya memandang Mawaddah.
“Mana kau tahu dia syok kat aku? Tu cuma rumours
ajelah. Selagi dia sendiri tak luahkan, selagi tu aku tak
nak percaya!” Yakin dia menjawab sambil mata terus
fokus pada tulisan yang tertaip kemas dalam novel di
tangan.
“Ohh… jadinya sekarang ni kau nak dia luahkan
dululah, baru kau nak percaya? Okey, nanti aku suruh dia
luahkan perasaan dia. Okey?” sahut Mawaddah penuh
semangat. Senyuman nakal bermain di bibirnya. Andai
benar Anatasya berpasangan dengan Rusdi, dialah antara
insan yang paling gembira.
Anatasya menggeleng-geleng. “Tak payahlah.
Kalau pun dia luahkan perasaan dia, aku tetap takkan terima
dia.” Perlahan nada suaranya menjawab.
“Alah... kenapa? Kau ni kan Tasya, aku tengok
anti sangat dengan lelaki. Asal lelaki dekat dengan
kau aje, mesti ada yang tak kena. Kalau macam inilah
gayanya, sampai ke tualah kau tak kahwin tau?”
rungut Mawaddah tidak puas hati.
Itulah yang selama ini bermain di benaknya.
Anatasya tidak pernah menunjukkan sebarang minat
untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana
lelaki. Entah apa yang menghalang, dia sendiri tidak
tahu.
“Kau dah tahu aku anti dengan lelaki kan? Jadi
apa kata, kau aje yang couple dengan aku? Nak?” Anatasya
membuat gaya nakal sambil menaik-naikkan keningnya.
Mawaddah pantas menggeletikkan tubuhnya. Geli
memandang aksi manja mengada-ngada Anatasya itu. Kalau
lesbian tengok, confirm jatuh hati!
Anatasya ketawa rancak. Seronok dapat
mengenakan rakannya itu.
Mawaddah mencapai sebuah bantal di atas sofa lalu
dilempar kuat ke arah Anatasya.
“Teruklah kau ni! Tidur lagi bagus daripada
layan kau!” Mawaddah tarik muka dan berjalan pantas
masuk ke bilik meninggalkan Anatasya yang masih
terkekeh-kekeh. Peket kerepek pisang yang sudah
habis separuh ditinggalkan begitu saja di atas sofa.
Hilang saja Mawaddah di sebalik pintu bilik, tawa
Anatasya spontan mati. Senyuman di bibir memudar.
Ingatannya tiba-tiba mengimbau kepada kenangan lalu.
Kenangan yang telah menutup pintu hatinya daripada
mencintai insan yang bernama lelaki. Kenangan yang
telah menciptakan kebencian di hatinya untuk kaum
Adam itu. Padanya, hanya ayahnya lelaki terbaik di dunia.
Semua lelaki di dunia ini hanya tahu mengambil
kesempatan dan tidak pandai menghargai hati seorang
wanita.
PUAS didesak Alia, akhirnya Anatasya setuju untuk
keluar menonton wayang bersama. Mawaddah
yang terlebih dahulu keluar dari rumah, terkejut melihat
ada sejambak bunga ros merah tergantung elok di
depan pintu pagar. Dengan dahi yang berkerut, dia
menghampiri bunga itu.
Mawaddah mengambil jambangan bunga itu.
Jelas tertulis di atas kad yang terselit di situ nama
Anatasya. Daripada Rusdi? Mawaddah tersengih sendiri.
Ha’ah, siapa kata doktor tak pandai nak romantikromantik?
Hahaha…
“Tasya! Ada bunga untuk kau!” Kecoh mulutnya
memanggil Anatasya sambil berjalan masuk semula ke
dalam rumah.
Anatasya yang baru saja mendekati pintu
mengerutkan dahi. Memandang jambangan bunga ros
merah di tangan Mawaddah, liur ditelan. Kenapa mesti
bunga ros merah? Detik hatinya tidak senang. “Siapa yang
bagi?”
“Cuba teka siapa?” Mawaddah tidak habis-habis
tersenyum.
“Alah… malaslah main teka-teka. Cakap ajelah!”
balas Anatasya acuh tak acuh. Dia tunduk mencari kasut di
atas rak.
“Hmm… Doktor Rusdi!” Mawaddah tertawa
riang sebaik saja nama itu meniti di bibirnya.
Tangan Anatasya terhenti. Dia menoleh
memandang Mawaddah yang masih ketawa. Mood yang
tadinya baik mula beransur-ansur hilang “Tak naklah…”
Perlahan dia membalas sambil melangkah keluar dari
rumah.
“Aah? Tak nak?” Mawaddah terkejut. Bulat
matanya memandang Anatasya. “Tasya… seriuslah wei!”
“Seriuslah! Kau ingat aku main-main ke?”
Anatasya tayang muka bosan.
“Tapi…”
“Kau nak keluar ke tak ni? Kalau tak nak, aku
masuk bilik balik.” Anatasya separuh mengugut.
“Eh, nak! Nak! Tapi… bunga ni nak letak mana?”
Mawaddah kalut. Anatasya ni bukan boleh kira sangat.
Dah datang angin kus kus dia, apa pun dah tak boleh
jalan.
“Mana-mana ajelah. Susah-susah sangat, pergi
buang dalam tong tu.” Selamba saja Anatasya memberi
arahan.
Buntang mata Mawaddah. “Kau… biar betul?”
Anatasya mengeluh. “Nak keluar ke tak nak ni?”
ulangnya lagi.
“Err… okey, okey!” Cepat-cepat Mawaddah
meletakkan jambangan bunga itu di atas sofa
sebelum buru-buru keluar dari rumah.
KELUAR saja dari panggung wayang itu, Alia
terus berlari mendapatkan tandas. Anatasya dan
Mawaddah tergelak memandang aksi kalut rakan
mereka itu.
“Tak seram pun cerita tadi. Mula-mula masuk
panggung punyalah takut aku ni. Rupa-rupanya, biasa aje…”
Becok mulut Mawaddah memberi kritikan tentang filem
yang baru ditonton sebentar tadi.
“Aku dah cakap dah tak payah tengok, tengok
cerita lain aje. Tapi kau tak nak dengar. Nak juga tengok
cerita tu. Kan sekarang dah menyesal,” perli Anatasya.
Air 100 plus yang masih berbaki di tangannya disedut hingga
habis.
“Bukanlah menyesal. Cuma terkilan aje. Eh,
jomlah pergi makan. Aku lapar gila ni tau tak?” Mawaddah
mengalih topik. Tangannya mengusap-usap perut yang terasa
lapar.
“Tunggulah Alia dulu. Karang melilau pula dia cari
kita,” ujar Anatasya. Matanya melilau mencari kelibat Alia.
Mana pula minah ni? Lama betul pergi tandas.
“Alia tu kalau dah pergi tandas, mahu makan
berjam-jam! Nak touch up dulu, mekap-mekap dulu.”
Mawaddah mengajuk cara Alia membetulkan solekan di
mukanya.
“Amboi kau! Bab-bab mengata aku memang laju,
kan?”
Suara Alia yang tiba-tiba muncul mengejutkan
Mawaddah. Terus dia mengukir senyuman dengan wajah
kelat. Anatasya tidak dapat menahan tawanya lagi.
“Jomlah pergi makan, aku pun lapar juga ni. McD
cop!” Alia cepat-cepat membuat pilihan.
“Alah… hari tu dah McD. KFClah pula,” bantah
Mawaddah tidak puas hati. Mulutnya memuncung.
“Apa pula? McDlah best! Aku nak sumbat Big
Mac ni tau?” jegil Alia lantas tersengih. Dia berpaling ke
arah Anatasya. “Tasya, kau nak yang mana?” Isyarat mata
diberikan agar Anatasya akan berpihak padanya.
“Aku nak nasi aje boleh tak?” Anatasya tayang muka
tak bersalah.
“Boleh! Kita makan nasi ayam kat KFC. Boleh
tahan juga tau?” Mawaddah terus masuk line.
“Isy, tak bestlah! McDlah best. Tasya, kau kan suka
McFlurry. Kalau kau ikut aku, aku belanja kau aiskrim tu.
Nak?” Pancing Alia tidak mahu mengalah.
“Asyik ikut cakap kau aje. Ikutlah aku pula!”
protes Mawaddah pantas.
“Eh, aku…”
“Sudahlah tu. Jom kita pergi makan kat Warung
Kak Kiah!” Tanpa mempedulikan kedua-duanya, Anatasya
mengatur langkah meninggalkan mereka.
ALIA dan Mawaddah melilaukan mata ke sekeliling warung
yang agak penuh dengan orang ramai itu.
“Apa yang bestnya makan kat sini? Tak
fahamlah aku kau ni,” bebel Alia. Air sirap di dalam gelas
disedut sedikit.
“Makan kat sinilah best! Cuba kau kira,
makan kat McD atau KFC paling kurang pun kau
habis RM10.00 Tapi kat sini, makan nasi lengkap
dengan lauk dan air, tak sampai pun RM5.00 tau.” Balas
Anatasya sambil tersengih panjang.
Alia dan Mawaddah sama-sama terdiam.
Masing-masing ralit memerhatikan Anatasya makan nasi
menggunakan tangan dengan penuh selera. Mata Alia
tiba-tiba hinggap pada satu wajah yang baru saja
melangkah masuk ke dalam warung itu. Wajah lelaki
itu direnung dalam-dalam, penuh minat. Tiba-tiba
saja lelaki itu berpaling, membuatkan mata mereka kini
bertentang. Lelaki itu melemparkan senyuman
membuatkan Alia tersipu.
Mawaddah yang hairan melihat aksi malu-malu
kucing Alia itu ikut sama menoleh. Sebaik saja matanya
terpandangkan lelaki yang sedang tersenyum kepada
Alia itu, dia tergeleng-geleng. “Kau ni kan Alia, memang
pantang tengok lelaki handsome, kan? Tak cukup dengan
anak lelaki Mak Cik Shima tu, nak yang ni pula?
bebelnya.
Alia menjeling. “Apa pula? Aku cuma senyum aje
kat dia. Dan lagi satu, anak lelaki Mak Cik Shima tu tak ada
kaitan dengan aku. Aku cuma minat aje, bukan nak buat laki
pun!” Ujarnya mempertahankan diri.
Mawaddah mencebik. Anatasya ikut berpaling
ke arah lelaki yang dimaksudkan. Sesaat kemudian, dia
kembali merenung muka Alia. “Hati-hati sikit, Alia. Manalah
tahu mamat tu ada niat tak baik kat kau.” Dia memberi
peringatan.
Alia dan Mawaddah saling berpandangan.
Masing-masing tahu betapa bencinya Anatasya
pada kaum lelaki. Tanpa hujung pangkal, lelaki yang mereka
tidak kenal itu juga menjadi ‘mangsa’ kebencian Anatasya.
“Kau tu, Tasya… semua lelaki kau anggap jahat.
Doktor Rusdi yang sikit punya baik tu pun kau anggap jahat
juga! Alia merengus tak puas hati.
Anatasya berhenti menyuap nasi ke mulut.
Tiba-tiba saja seleranya mati apabila topik tentang
lelaki dibuka. “Aku tak pernah anggap Doktor Rusdi tu jahat.
Cuma aku tak suka dia. Itu aje!”
“Habis tu apa bezanya? Sama aje tau?” tekan Alia
geram.
Anatasya buat muka bosan. Tanpa membalas
apa-apa, dia bangkit dan berjalan laju ke singki. Pintu
seleranya sudah tertutup rapat. Mawaddah dan
Alia saling berpandangan sebelum masing-masing
mengeluh panjang. Anatasya memang akan cepat
melenting kalau soal tentang lelaki dibuka. Entahlah…
“Hai…” Satu suara yang tiba-tiba menyapa
mengejutkan mereka berdua. Serentak mereka
mendongakkan kepala. Terpandangkan saja wajah Rusdi
yang manis tersenyum, Alia dan Mawaddah hampir saja
terjerit. Teruja sangat nampaknya. Baru sebut-sebut nama
dah muncul depan mata.
“Doktor… buat apa kat sini? Sorang aje? Jomlah
join kitorang,” ajak Alia dengan nada gembira.
“Ha’ah, doktor. Jemputlah duduk.” Mawaddah jelasjelas
menyokong.
Rusdi tersenyum. Lega dengan penerimaan Alia dan
Mawaddah itu. Sedari tadi lagi dia memerhatikan gelagat
mereka bertiga. Tak dapat menahan asakan hati, akhirnya
dia mendekati mereka juga.
“Duduklah, doktor,” pelawa Mawaddah dan Alia
lagi.
“Err… saya tak mengganggu ke?” tanya Rusdi.
“Tak ada mengganggunyalah. Kan, Tasya?”
sahut Alia sambil tersengih. Anatasya yang baru saja
kembali ke meja terdiam tanpa kata. Sungguh dia
tidak menyangka Rusdi akan muncul di situ.
Kalau dia tahu, jangan harap dia akan datang ke
warung itu.
Tanpa menjawab apa-apa, dia kembali duduk
di tempatnya tadi. Melihat Anatasya hanya diam,
Rusdi menurut akhirnya. Dia mengambil tempat di
sebelah Anatasya.
“Hurm… Wadah, jom teman aku basuh tangan
kejap…” Alia bangkit dari kerusi.
“Eh, basuh tangan pun berteman? Pergi ajelah…”
Mawaddah yang tidak mengerti menjawab selamba.
Alia menjegilkan mata ke arah Mawaddah. Belum
sempat rakannya itu membalas, tangan Mawaddah ditarik
supaya mengikutnya. Anatasya pula, terpinga-pinga tidak
mengerti.
Rusdi tersenyum memandang gelagat keduadua
rakan kerjanya itu. Dia faham maksud keduaduanya.
Pasti mahu memberikan ruang untuk dia
bersama dengan Anatasya. “Hmm… Tasya…” Perlahan
nama itu disebut.
Anatasya sekadar mengukir senyuman paksa
tanpa menoleh pada Rusdi. Tak selesa.
“Kenapa? Awak tak selesa ke saya ada dekat sini?”
tanya Rusdi. Tidak perlu jawapan pun, dia sudah
tahu. Riak wajah Anatasya sudah cukup menceritakan
semuanya. “Awak dapat tak bunga yang saya kirim pagi tadi?”
“Ohh… bunga tu… Ermm… dapat.” Teragak-agak
Anatasya menjawab.
“Awak suka?” Rusdi tersenyum memandang
Anatasya.
Anatasya membalas dengan senyuman tawar. Isy,
lambat pulak minah dua orang tu. Saja aje nak biarkan
aku berdua dengan mamat ni. Hati Anatasya berdolakdalik
sendiri. “Lain kali awak tak payahlah susah-susah nak
belikan saya bunga lagi. Membazir aje…”
“Tapi…”
“Saya minta diri dulu.” Anatasya bangkit berdiri.
Malas nak tunggu Alia dan Mawaddah lagi. Hatinya jadi
sakit tiba-tiba. Ada baiknya jika dia pulang dahulu tanpa
menunggu mereka berdua. Dia menggamit seorang pelayan
untuk mengira jumlah harga makanan yang dipesan
tadi. Setelah pelayan itu menyatakan harganya, dia terus
mengeluarkan dompet dari beg tangan.
Rusdi hanya memandang Anatasya membuat
bayaran tanpa sebarang kata. Selesai urusan gadis itu,
barulah Rusdi mendapat kembali suaranya.
“Err… Tasya!” Rusdi mengikut langkah Anatasya
hingga ke kereta gadis itu. “Tasya… tak boleh ke awak bagi
saya peluang?” Lirih kedengaran suaranya bertanya.
Anatasya berhenti melangkah. Nafas berat dihela.
“Maafkan saya, doktor. Saya tak bersedia nak bercakap soal
hati dan perasaan. Saya harap doktor faham.” Tanpa
menunggu balasan Rusdi yang hanya akan menambahkan
resah di hatinya, diaterus masuk ke dalam kereta. Mawaddah?
Biarlah gadis itu pulang dengan Alia. Malas dia mahu ambil
tahu.
No comments:
Post a Comment