Sunday 26 June 2016

Tak Mampu Menjaga Cintamu - Bab 4

MASAM wajah Mawaddah ketika masuk ke
rumah. Anatasya buat tidak tahu. Menonong saja dia
masuk ke dapur dengan wajah tak bersalah.
“Tasya! Apa pasal kau tinggalkan aku macam
tu aje tadi?” Mawaddah bercekak pinggang merenung
Anatasya yang sedang meneguk air.
Anatasya berpaling memandang Mawaddah.
“Habis yang kau pandai-pandai tinggalkan aku
dengan Doktor Rusdi tu, tak apa pula?”
“Bukan aku yang tinggalkan kau! Si Alia tu
ha!” Mawaddah tak puas hati. Mulutnya memuncung.
Dia sendiri pun tak sangka Alia akan buat macam tu tadi.
“Habis kenapa tak bantah?” Anatasya berjalan
keluar dari dapur menuju ke ruang tamu.
Mawaddah mengikut dari belakang.
“Alah kau ni… aku dengan Alia cuma nak tolong
rapatkan kau dengan Doktor Rusdi. Salah ke?”
Anatasya berpusing tubuh secara tiba-tiba.
Hampir-hampir membuatkan Mawaddah terlanggar
batang tubuhnya. “Berapa kali aku nak kena ulang? Aku
tak suka dia. Tak suka, means tak suka. Kau nak aku guna
bahasa apa baru kau nak faham?” Nada suara Anatasya
sudah naik meninggi. Memang dia bukan seorang
yang mudah marah. Tetapi apabila berkaitan dengan
Doktor Rusdi atau mana-mana lelaki, amarahnya cepat saja
tercuit.
Mawaddah telan liur. Bila Anatasya dah marah,
memang dia tak berani nak cakap apa-apa dah.
“Mulai hari ni, hentikan usaha kau tu nak
rapatkan aku dengan Doktor Rusdi. It’s not working... at all!”
tekan Anatasya dan terus berpaling. Sekejap saja dia sudah
menghilang ke dalam biliknya.
Mawaddah menghembus nafas panjang. Alia… tak
pasal-pasal Tasya marah aku pula? rungut hatinya geram.
FOKUS Anatasya membelek-belek fail pesakit terganggu
dengan bunyi telefon bimbitnya. Nama ‘ayah’ tertera di
skrin. Tanpa bertangguh walau sesaat, panggilan itu segera
dijawab. Lagipun syif untuknya bekerja belum
bermula, sempat lagi kalau nak berbual ringkas dengan ayah.
“Assalamualaikum, ayah...”
“Waalaikumussalam. Kakak sihat?” tanya Harun di
hujung talian. Batuk kecilnya kedengaran.
“Kakak sihat. Ayah macam mana? Batuk tu macam
teruk aje. Makan ubat tak hari ni?” tanya Anatasya prihatin.
Tangan kirinya masih lincah meneruskan kerja.
“Makan… tapi macam inilah… Baiknya tak juga,”
jawab Harun.
“Ya ke makan ni? Makan ikut waktu tak?” tanya
Anatasya lagi. Keadaan kesihatan ayahnya sangat
membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Dia tidak mahu
sesuatu yang tidak elok berlaku kepada ayahnya
itu. Hanya orang tua itu yang dia ada setelah ibunya
meninggal dunia lima tahun yang lalu.
“Hmm… kadang-kadang tu lupa juga…” akui
Harun tidak berselindung. Dia tahu dia tidak boleh
berahsia apa-apa daripada anak sulungnya itu.
Anatasya mengeluh. “Ayah, ayah tak bolehlah
macam tu. Kalau sakit tu makin teruk macam mana? Kakak
jauh kat sini. Adik-adik pula sekolah. Siapa nak jaga ayah kat
rumah? Kakak risaulah…” bebelnya.
Harun ketawa kecil. “Kakak tak payahlah risau.
Ayah tak apa-apa. Ni ayah nak tanya, bila kakak nak balik
sini?” Dia terus mengubah topik perbualan. Kalau
diteruskan, makin panjang bebelan anaknya itu.
“Tak dapat cuti lagi. Nanti bila kakak cuti, kakak
balik. Ayah ada nak pesan apa-apa ke?” tanya Anatasya. Kerja
sebagai seorang jururawat di hospital memang menuntut
banyak pengorbanan. Anatasya sudah rindu hendak
menemui ayah dan adik-adiknya di kampung.
“Tak ada. Nanti kalau kakak nak balik, bagitahu
ayah ya?” pesan Harun.
Anatasya tersenyum. “Baik, ayah…” sahutnya.
Perbualan ringkas itu ditamatkan sejurus kemudian.
Walaupun hanya bercakap sekejap dengan ayah, rindu di
hati Anatasya bagaikan sudah terubat.
“Hai… cakap dengan siapa?”
Suara teguran itu mengejutkan Anatasya. Mati
senyuman di bibirnya. Dia berpaling ke belakang.
Tercegat Rusdi di situ dengan kot putihnya.
“Dengan ayah.” Ringkas jawapan Anatasya
sebelum dia kembali meneruskan kerja.
“Ohh… ayah sihat?” Rusdi cuba mewujudkan
kemesraan antara mereka. Walaupun kejadian beberapa
hari lepas masih berbekas di hatinya, dia tetap tidak mahu
berputus asa.
Anatasya sekadar mengangguk tanpa sepatah kata.
Apabila Rusdi mula menghampiri, dia pantas bersuara.
“Saya pergi dulu, ada kerja.” Tanpa memandang wajah
doktor muda itu, dia terus berlalu pergi.
Rusdi mengeluh panjang. Baru nak mulakan
langkah, gadis itu sudah jauh melarikan diri. Dian
Anatasya… sampai bilalah kau nak dera hati aku macam ni?
Bisiknya lirih.
LANGKAH diatur kemas menuju ke bilik wad Mak Cik
Shima. Sempat Anatasya berbalas senyuman dengan
pesakit-pesakit yang ramah menyapa. Begitulah dia,
sentiasa murah dengan senyuman terutama sekali
apabila berhadapan dengan pesakit. Apa saja masalah yang
dihadapi, etika kerja tetap diutamakan.
Setelah mengetuk pintu dua kali, dia terus melangkah
masuk bersama ucapan salam.
“Mak cik sihat hari ni?” Soalan yang sama diajukan
buat Mak Cik Shima yang sedang memandangnya dengan
seulas senyuman. Langsung dia tidak perasan kelibat
seorang lelaki yang sedang duduk di atas kerusi
bersebelahan katil.
“Sihat. Tasya, ni mak cik nak kenalkan
Tasya dengan anak mak cik.” Shima menarik tangan
Anatasya supaya mendekatinya.
Anatasya hanya mengikut.
“Kenalkan ni anak mak cik, Naqiu. Aqi, nilah
nurse yang umi cerita kat Aqi tu. Anatasya namanya.
Cantik, kan?” Shima tersenyum memandang keduaduanya
yang kini saling bertatapan.
Pandangan mata Anatasya terfokus ke wajah lelaki
yang sedang berdiri di depannya. Buat seketika, dia terpaku.
Tidak percaya dia memandang insan yang kini sedang
tersenyum manis memandangnya. Terasa bagai lemah
lututnya memandang senyuman lelaki itu.
Lelaki itu…
Ya, dialah lelaki itu… Lelaki yang telah merobek
seluruh hatinya hingga tidak mampu lagi mengenali
cinta. Kolam mata Anatasya tiba-tiba bergenang. Terasa
bagai jantungnya luruh di situ juga. Kenangan lalu bagai
kembali tertayang di ruang mata.
Naqiu merenung Anatasya tanpa kelip. Bertahuntahun
dia mencari gadis itu, akhirnya takdir menemukan
mereka juga. Sejak kali pertama uminya bercerita mengenai
seorang jururawat yang bernama Anatasya, Naqiu sudah
dapat merasakan itulah gadis yang dicari-cari selama ini.
Dan ternyata, kata hatinya benar.
“Hai… Naqiu Uzairi.” Naqiu memperkenalkan
diri dengan senyuman di bibir. Dia tahu gadis itu
terkejut melihat dirinya.
Namun Anatasya hanya diam. Terpaku tidak berkata
apa-apa.
Shima merenung Anatasya dengan penuh rasa
hairan. “Tasya…” tegurnya.
Anatasya bagaikan baru tersedar. Tersedar yang
dunia di sekelilingnya kini adalah realiti. Bukan lagi
kenangan yang berlaku satu masa dulu.
“Err… Anatasya.” Dia membalas sambil
memaksa bibir untuk tersenyum.
“Tasya ingat lagi mak cik pernah cerita pasal anak
mak cik kat Tasya? Nilah orangnya…” Shima tersenyumsenyum
memandang kedua-duanya. Langsung hatinya
tidak syak apa-apa melihat mata Anatasya yang sudah pun
berkaca-kaca.
“Hmm… ingat, mak cik,” jawab Anatasya
perlahan. Wajah lelaki yang masih merenungnya
langsung tidak dipandang. Hatinya rasa pedih
tiba-tiba. Tidak menyangka, wanita yang sangat baik
dengannya itu sebenarnya merupakan ibu kepada lelaki yang
sangat dibenci. Ya Allah… kuatkanlah aku, bisik hatinya.
“Patutlah umi asyik puji aje. Memang cantik
orangnya,” sampuk Naqiu. Anak matanya masih tidak
lepas dari merenung paras Anatasya yang hanya
menunduk. Seolah-olah beban rindu yang selama ini
ditanggung sudah terubat dengan hanya memandang
wajah itu.
Anatasya tidak tahu bagaimana harus memberi reaksi.
Nafasnya terasa semput tiba-tiba. Dia yakin, Naqiu di
depannya itu masih tidak berubah. Masih juga bermulut
manis. Suka memuji sedangkan apa yang ada di mulut, tidak
sama dengan apa yang ada di hati. Membuatkan hati yang
terasa sakit semakin pedih.
Shima menyimpul senyuman. “Kalau Aqi nak tahu,
Tasya ni dah banyak tolong umi sepanjang umi duduk kat
hospital ni. Kadang-kadang tu umi rasa macam tak nak
balik sebab Tasya ada kat sini,” gurau Shima sebelum
disusuli dengan tawa riangnya.
Naqiu tersenyum. Entah kenapa, hatinya disapa
rasa lega melihat cara uminya melayan Anatasya. Dan dia
yakin, Anatasya juga melayan uminya dengan baik. Adakah
itu satu petanda baik daripada Allah buatnya?
Anatasya tidak mahu lagi menunggu di situ.
Dia rasa hampir putus nyawa apabila Naqiu terusterusan
merenung wajahnya. “Err… mak cik,
Tasya mintak diri dulu ya? Ada kerja lain pulak.” Dan
tanpa bertangguh walau sesaat, Anatasya terus
beredar dari wad itu dengan mata yang bergenang.
ANATASYA merenung wajahnya di cermin. Sedaya upaya
menahan air mata agar tidak gugur. Bertahun-tahun dia
cuba melupakan wajah itu dengan menanamkan kebencian,
tetapi kenapa kini wajah itu muncul lagi? Kenapa setelah
dia berjaya memadamkan seraut wajah itu dari hatinya?
Kenapa?
Bermacam-macam persoalan bermain di benak
Anatasya. Tidak menyangka sama sekali, lelaki itulah anak
kepada Mak Cik Shima, wanita yang sudah terlalu baik
dengannya. Wanita yang punya angan-angan mahu
menjadikan dia sebagai menantu.
Ya Allah! Kenapa Engkau temukan aku dengan
dia lagi? Apa maksud pertemuan ini, ya Allah? Kenapa
Engkau pertemukan aku dengan dia lagi, pada saat hati
ini semakin kuat untuk melupakan dia? Ya Allah…
Hati Anatasya merintih. Penuh harapan agar Allah
menguatkan hatinya untuk berdepan dengan lelaki itu.
Andai ini takdir yang tertulis untuknya, dia perlu kuat. Dia
tidak boleh dan tidak akan kelihatan lemah di mata lelaki
bernama Naqiu Uzairi itu!
Setelah yakin dirinya semakin bertenang,
barulah Anatasya keluar dari tandas. Entah apalah
nasibnya hari itu. Baru saja agak menjauh dari
tandas, dia ternampak pula Alia sedang berbual-bual
dengan Naqiu. Ah, kenapa pula Alia perlu berbaik
dengan lelaki itu? Teringat pula pujian Alia tentang anak
lelaki Mak Cik Shima tempoh hari. Tak sangka betul,
lelaki yang dimaksudkan itu adalah Naqiu.
Alia yang perasan kelibat Anatasya terus
menoleh. “Eh, Tasya! Sinilah!”
Tidak sempat Anatasya melarikan diri apabila
Naqiu juga sudah menoleh ke arahnya. Senyuman manis
terukir di bibir lelaki itu. Untuk tidak nampak lemah dan
untuk tidak menjentik rasa curiga di hati Alia, Anatasya
terpaksa juga menghampiri dengan raut wajah yang
terpaksa dimaniskan.
“Encik Naqiu dah jumpa kawan saya ni? Nilah
Anatasya, salah seorang nurse kat sini.” Alia tersengihsengih
memperkenalkan mereka berdua.
Anatasya hanya buat-buat tidak dengar kata-kata
Alia itu. Wajah Naqiu memang tidak dipandang langsung.
Takut hati yang tidak sekuat mana jadi semakin rapuh
apabila memandang wajah yang pernah mengikat hatinya
satu masa dulu.
Naqiu mengangguk senang hati. “Dia yang
tolong umi saya hari tu. Kan?” Direnung wajah Anatasya
tanpa jemu.
“Ha’ah, betullah!” Sahut Alia. Dia pula yang
terlebih teruja.
“Anyway, thanks ya, Dian Anatasya… sebab awak
dah tolong umi saya,” ucap Naqiu. Sengaja menyebut nama
penuh gadis itu. Dia mahu Anatasya tahu bahawa dia
tidak pernah melupakan gadis itu walaupun hanya untuk
seketika.
Alia mengerutkan dahi. Seingatnya tadi, dia hanya
menyebut nama belakang Anatasya. Nama depan tak sebut.
Kat name tag pun, cuma tertulis nama ‘Anatasya’. Mana
pula si Naqiu ni tahu nama penuh Tasya? Agak-agak, nama
ayah Tasya dia tahu tak?
Melihat reaksi penuh tanda tanya Alia,
Anatasya segera bersuara. Cukuplah tadi dia rasa nak pitam
mendengar Naqiu menyebut nama penuhnya.
“Sama-sama. Saya mintak diri dulu…” Kepalanya
ditundukkan sedikit dan tanpa berlengah dia segera
mengangkat kaki dari situ.

No comments:

Post a Comment