Monday, 27 June 2016

Tak Mampu Menjaga Cintamu - Bab 5

ANATASYA menghidupkan enjin kereta. Gear
undur dimasukkan dan kereta mula bergerak ke arah
belakang. Tiba-tiba saja ada sebuah kereta menghalang
membuatkan dia terpaksa menekan brek secara
mengejut.
“Isy! Siapa pulak ni tiba-tiba aje halang kereta aku
ni?” rungut Anatasya geram. Dia memusingkan kepala ke
belakang, mengintai siapakah gerangan pemandu yang
sangat ‘berhemah’ itu. Tidak dapat melihat dengan jelas,
Anatasya akhirnya melangkah keluar dari kereta.
Ford Focus berwarna merah yang terparkir di belakang
keretanya dihampiri.
Pemandu kereta mewah itu melangkah
keluar. Kaca mata hitam yang dipakai ditanggalkan.
Serta-merta, Anatasya terkaku. Amarah yang mahu
diluahkan tadi bagai tertelan kembali ke dalam
kerongkong.
Naqiu melemparkan senyuman sambil
melangkah mendekati Anatasya yang tercegat di sisi
keretanya. “Hai… nak balik dah ke?” tanya Naqiu
sambil menyandar santai di pintu keretanya.
Anatasya diam. Tanpa membalas apa-apa, dia
kembali ke keretanya. Namun langkahnya mati di sisi
pintu kereta apabila menyedari dia tidak boleh keluar
jika Naqiu tidak mengalihkan keretanya. Lantas dia
kembali mendekati lelaki itu denganwajah serius tanpa
segaris senyuman. “Boleh tolong alihkan kereta tak? Saya
nak keluar.” Suaranya kedengaran kasar sekali.
Naqiu tidak langsung berasa marah, sebaliknya
tersenyum memandang Anatasya.
“Tunggulah kejap. Abang ada hal nak cakap
dengan Tasya. Kitakan dah lama tak jumpa?” ujar
Naqiu dengan nada tenang.
Hati Anatasya diusik satu rasa apabila
mendengar cara lelaki itu membahasakan dirinya.
Abang? Tidak percaya gelaran tu masih melekat di
bibir lelaki itu. Namun segera diusir perasaan yang
mula menyentuh hatinya. Dia tidak mahu terjerat untuk kali
kedua. Cukuplah dulu dia merana kerana lelaki itu.
“Maaf, saya tak faham apa yang awak cakap.
Sekarang boleh tak tolong alihkan kereta awak ni? Saya
dah lambat!” Tegas Anatasya enggan berlembut. Dia
rela terus berpura-pura tidak mengenali Naqiu jika itu
saja cara yang ada untuk melepaskan diri daripada
cengkaman lelaki buaya darat itu.
Naqiu menegakkan tubuh. Renungannya redup ke
wajah Anatasya. “Abang tahu Tasya masih marahkan abang.
Abang mintak maaf sebab…”
“Boleh tak ke tepi sekarang?!” Anatasya
menguatkan suara. Biarlah sekiranya ada mata lain
yang memandang. Dia tidak sanggup mendengar ayat
Naqiu yang seterusnya. Dia takut akan percaya dan
dia tidak mahu percaya langsung.
“Okey, okey… abang alihkan kereta sekarang. Tapi
sebelum tu…” Belum sempat Naqiu menghabiskan ayatnya,
Anatasya sudah beredar masuk ke keretanya.
Dengan perasaan yang berkecamuk, Anatasya
mengundurkan kereta. Hampir-hampir buntut keretanya
melanggar batang tubuh Naqiu. Lelaki itu mengangkat
tangan tanda mengalah. Tanpa bertangguh, Naqiu
masuk ke kereta dan mengalihkan keretanya itu daripada
menghalang laluan Anatasya.
Anatasya terus mengundurkan kereta dan
memecut pergi.
Sementara Naqiu hanya mampu memandang
dengan penuh rasa hampa.
SUIS lampu dihidupkan. Anatasya melangkah masuk ke
dalam bilik dan menutup pintu dengan gerak perlahan.
Mood baiknya telah diragut pergi oleh kemunculan
mengejut Naqiu. Sampai ke saat itu, dia masih tidak dapat
percaya Naqiu Uzairi, lelaki yang telah ditinggalkan
jauh dalam kenangan kini muncul kembali di depan
matanya. Muncul kembali dengan ucapan kata-kata maaf
yang amat meruntun jiwanya.
Anatasya mengeluarkan telefon bimbit dari dalam
beg tangan. Nombor telefon Sarah dicari dalam senarai
nama pemanggil. Dua, tiga deringan sebelum talian
bersambut.
“Helo, sayang! Apa mimpi call ni?” Suara ceria
Sarah menyapa gegendang telinga Anatasya.
“Sorry… aku cuma tahu cari kau bila aku ada
masalah aje, kan?” Suara Anatasya kedengaran sedih sekali.
“Eh? Apasal tiba-tiba aje ni? Aku tak kisahlah
kau nak call aku bila-bila pun,” pujuk Sarah. “Hmm…
nak cerita apa ni? Ceritalah… aku sudi dengar,” ujarnya lagi
cuba mengambil hati Anatasya.
Anatasya merebahkan kepala di atas bantal.
“Sarah, aku jumpa dia…” Terasa panas matanya saat
menyebut perkataan ‘dia’ itu.
“Dia?” Sarah terdiam. Mendengar dari nada
sayu Anatasya itu, hatinya hanya menyebut satu nama
yang telah hampir terpadam terus dari kotak memorinya.
Lama dia begitu sebelum kembali bersuara.
“Maksud kau… Aqi?” tebak Sarah. Takut kalau-kalau
silap orang walaupun dia hampir pasti lelaki itulah yang
dimaksudkan Anatasya. Lagipun, lelaki mana lagi yang
mampu membuatkan Anatasya mengalirkan air mata
kalau bukan Naqiu?
Anatasya tidak menjawab. Esakan kecilnya mula
kedengaran. Bertahun-tahun dia menyimpan air mata,
menahan diri untuk tidak menangis kerana lelaki
itu, tapi kini ia berulang lagi. Di saat begitu, dia terlalu
mengharapkan Sarah ada di sisi untuk dia meminjam bahu.
“Tasya… jangan nangis macam ni. Cerita kat aku
betul-betul, macam mana kau boleh jumpa dengan
dia? Dia ada buat apa-apa kat kau tak?” Suara Sarah
kedengaran cemas. Tidak senang duduk jadinya
mendengar tangisan berlagu Anatasya. Nasib baiklah
sekarang bukan waktunya untuk bertugas.
Bersama sendu, Anatasya memulakan cerita. Dada
terasa sesak kerana terlalu keras melawan tangisan. Sarah
yang mendengar sudah hilang kata-kata.
“Tadi aku sempat dengar dia minta maaf.
Tapi aku tak sanggup nak dengar lagi. Aku takut…”
“Kau takut kau akan jatuh cinta pada dia lagi?”
Sarah menyambung ayat Anatasya yang tergantung.
Anatasya tidak menjawab. Namun esakannya sudah
membuktikan kebenaran tekaan Sarah itu.
“Tasya, jangan lemah macam ni. Mana Tasya yang
kuat yang aku kenal tu?” Sarah cuba mengembalikan
semangat Anatasya. Dia takut membayangkan
kemungkinan Anatasya akan menjadi seperti saat
Naqiu meninggalkannya dulu. Lemah tak bermaya.
Berkurung di dalam bilik berhari-hari. Enggan makan,
enggan minum. Tidak hadir ke kuliah. Mujurlah semua itu
tidak berpanjangan. Namun Sarah tahu, hanya zahir yang
terlihat kuat, sedangkan batin merintih lemah.
“Aku tak tahu… Aku tak tahu nak buat apa,
Sarah. Aku tak rasa aku mampu hadapi semua tu
lagi…” Anatasya merintih sayu. Kalaulah Naqiu tahu
perasaannya kini… Ah, lelaki itu memang tak pernah peduli
tentang dirinya!
“Tasya, jangan macam ni. Kau buat aku risau…”
Sarah mengeluh. Dapat dia bayangkan keadaan
Anatasya kini. Anatasya yang kuat boleh menjadi lemah jika
perkara itu melibatkan lelaki yang bernama Naqiu Uzairi itu.
“Kau kena kuat, Tasya. Jangan biarkan dia
pengaruhi kau lagi. Ingat apa yang dia pernah buat
pada kau dulu.” Sarah terus-terusan memberi kata-kata
semangat.
Anatasya menyapu air mata. Benar kata Sarah.
Dia perlu kuat. Dia perlu ingat apa yang pernah
Naqiu lakukan kepadanya dulu. Memberi kemaafan
bukan semudah membaca ABC.
“Aku bukan nak ajar kau jadi pendendam dan
aku tak bermaksud nak kau terus benci dia, tapi kau kena
ingat apa yang dia dah buat supaya kau terus kuat
untuk berdepan dengan dia. Jangan jadi lemah.
Jangan ulang kesalahan kau dulu. Okey?” pujuk Sarah tanpa
jemu.
Anatasya mengangguk. Kata-kata Sarah akan
terus disematkan dalam hatinya. “Thanks, Sarah… aku…”
“Dahlah, jangan nangis lagi. Kau nak ke dia
tengok kau lemah macam ni?” Sarah bermain psikologi.
Anatasya mengesat sisa-sisa air mata di pipinya.
“Okey, aku janji. Aku akan kuat…”
“Macam itulah!” Sarah ketawa kecil. Sengaja
mahu menceriakan hati Anatasya yang pastinya cukup
hiba pada waktu ini. Dia cuma mampu memberi
semangat tetapi andai dia sendiri berada di tempat
gadis itu, belum tentu dia dapat bertahan sebagaimana
Anatasya lakukan selama ini.
“UMI nak air?” Naqiu bertanya sambil memandang wajah
uminya yang tersandar di kepala katil.
Shima sekadar menggeleng.
Naqiu kembali duduk di atas kerusi yang
memang sudah tersedia di dalam bilik wad itu.
“Umi nak tanya sikit ni…”
“Tanya pasal apa, umi?” balas Naqiu tenang.
Bersedia menjawab apa saja soalan yang bakal ditanyakan
umi nanti.
“Hmm… Aqi suka Tasya tak?” Shima mula
mengajukan soalan. Entah kenapa, dia benar-benar
berharap agar Naqiu menyukai Anatasya. Dia memang
sudah jatuh sayang dengan gadis itu. Gadis yang sentiasa
murah dengan senyuman yang bisa menambat hati
yang memandang.
Naqiu tersenyum mendengar soalan itu.
“Kenapa, umi?”
“Tak adalah… Umi ni dah berkenan sangat
dengan budak Tasya tu. Yalah… Aqi pun tak ada siapa-siapa
sekarang, kan?” Shima memandang anaknya itu dengan
senyuman penuh makna.
Naqiu tertawa kecil. Memang benar, dia tiada
sesiapa yang istimewa di hati ketika ini. Kalau ada pun,
orang itu dah sah-sah Anatasya. Jadi umi tidak perlu
bertanyakan soalan sebegitu kerana hatinya sendiri sudah
lama memilih Anatasya. Hanya Anatasya, dia tidak mahu
yang lain.
“Umi suka ke kalau Tasya jadi menantu umi?”
Naqiu berkias.
Shima senyum meleret. “Apa pula tak suka?
Mestilah suka!” Ceria wajahnya menjawab soalan itu.
Naqiu tersenyum senang hati. Itu tandanya umi
merestui jika dia memilih Anatasya. Cuma
masalahnya… mahukah Anatasya menerima dirinya
kembali? Melihat sepasang mata itu yang penuh dengan
kebencian, Naqiu terasa peluangnya seakan-akan
jatuh ke titik sifar. Tetapi apabila mengenangkan rasa
cintanya yang sudah lama tertanam di hati buat Anatasya,
dia nekad mahu memiliki gadis itu semula, seperti lima
tahun yang lalu.
“Umi doakan Aqi boleh?” pinta Naqiu sambil
merenung wajah uminya penuh erti.
“Tak payah mintak… umi memang selalu
doakan anak umi yang sorang ni…” Shima mengusapusap
rambut Naqiu. Walaupun usia Naqiu sudah
mencecah 28 tahun, anaknya itu masih lagi manja
dengannya. Maklumlah, anak tunggal.
“Tak, kali ni lain sikit.”
“Lain apanya?” Shima hairan.
“Hmm…” Naqiu membetulkan duduknya.
Kedua-dua tangan yang bertaut rapat diletakkan di sisi katil.
“Aqi nak… umi doakan semoga ada jodoh antara Aqi dengan
Tasya,” ujarnya perlahan. Renungan matanya cukup
menyampaikan hasrat hati yang satu itu.
Shima hilang kata-kata buat seketika. “Aqi
serius?”
Naqiu mengangguk yakin. Shima tersenyum
meleret. Tangannya menepuk-nepuk pipi Naqiu. Kalau
benar Anatasyalah pilihan Naqiu, dia sedikit pun tidak akan
membantah. Lafaz syukur melantun-lantun dalam hati
kerana akhirnya Allah membuka pintu hati anaknya itu
untuk kembali mencari cinta seorang wanita.

No comments:

Post a Comment