Monday, 27 June 2016

Tak Mampu Menjaga Cintamu - Bab 9

NAQIU menghempaskan badan di atas kerusi
empuk miliknya. Kepala disandarkan pada kerusi dengan
mata terpejam rapat. Berkali-kali dia beristighfar di dalam
hati, cuba membuang rasa marah yang bagaikan menggigitgigit
ulu hatinya. Tiada guna untuk dia marah. Dan, paling
penting dia tiada hak untuk marah.
Anatasya bukan lagi miliknya seperti lima tahun
yang lalu. Dia yang bodoh kerana meninggalkan gadis
itu. Meninggalkan gadis itu terkapai-kapai seorang diri
mencari harga diri yang telah hilang. Bukan sedikit dosanya
kepada Anatasya. Terlalu banyak hingga tidak terhitung
walaupun menggunakan bermacam-macam jenis angka.
Jadi dia tidak berhak untuk terus menyekat kebahagiaan
Anatasya.
Tetapi Naqiu tidak dapat menerima andai hati
Anatasya sudah menjadi milik orang lain, apatah lagi
doktor tampan itu. Dia mahu Anatasya menjadi miliknya.
Dia tidak peduli betapa bencinya Anatasya kepadanya. Yang
dia mahukan, gadis itu terus berada di sisinya.
Argh, serabutnya! Bayangan wajah Anatasya sedang
tersenyum bagaikan menari-nari di ruang matanya
membuatkan hatinya terasa makin terseksa.
Naqiu tersentak apabila terdengar bunyi interkom.
Suara setiausahanya, Mimi kedengaran. Naqiu menghela
nafas panjang sebelum menjawab.
“Cik Zerra’s here. Dia nak jumpa Encik Naqiu,”
maklum Mimi.
Naqiu mengeluh lagi. Menyibuk betullah
perempuan tu. Untuk tidak dikatakan tidak
profesional, dia membenarkan gadis itu masuk ke bilik.
Tidak perlu menanti lama, Zerra sudah muncul dengan
senyuman menawan di bibirnya.
“Ada apa you datang?” Naqiu malas beramah mesra.
Moodnya sekarang memang tidak okey.
“You ni… kalau ya pun jemputlah I duduk dulu.
Penat I datang ni tau?” Zerra bersuara manja.
Naqiu menghela nafas berat. “Fine. Duduklah…”
balasnya dengan suara yang cuba dilembutkan. Tidak
sepatutnya dia membiarkan amarah menguasai diri.
Manalah tahu kalau-kalau ada hal penting yang membawa
Zerra menemuinya hari ini.
Zerra melabuhkan duduk di depan Naqiu sambil
tersenyum manis.
“What do you want?” Naqiu bertanya serius.
“Hmm…” Zerra bermain-main dengan hujung
rambutnya yang sudah diwarnakan perang itu. “I ingat nak
ajak you teman I pergi minum. Sambil-sambil tu bolehlah
kita bercerita panjang. Ada hal sikit I nak bincang dengan
you…”
“You datang sini cuma sebab nak ajak I
keluar minum dengan you?” Naqiu merenung tajam muka
Zerra yang bersalut solekan tebal.
“Alah, you ni… takkan tak boleh kut? I tengok
muka you tu macam tengah stress aje. Jomlah, temankan
I… Bolehlah you tenangkan hati you tu sikit…” Zerra terus
memancing. Tidak cukup cantik dan seksikah dia di mata
Naqiu? Kenapa susah sangat untuknya menawan hati lelaki
kacak di depannya itu?
Naqiu diam berfikir. Betul juga kata Zerra itu.
Kalau dia terus duduk di pejabat dengan melayan perasaan
yang tunggang-langgang dan terus dihantui bayang
Anatasya di sisi Rusdi, ada baiknya jika dia keluar
mengambil angin. Tetapi bersama Zerra? Hatinya terasa
berat tanpa sebab.
“Jomlah…” Zerra bangun mendekati
Naqiu. Jarinya kini bermain-main di lengan Naqiu yang
masih segak berkot hitam.
Naqiu melarikan tangannya. Pantas dia bangkit
berdiri. Kalau dia tak turutkan permintaan Zerra, makin
menjadi-jadi pula gadis itu. Asyik nak menggoda tak habishabis.
“Fine, let’s go…” putus Naqiu.
Zerra tersenyum puas.
GELAS yang berisi jus epal di tangannya diletakkan di atas
meja. Wajah tenang Naqiu hanya dikerling manja. Dengan
tubuh yang meliuk-lentok, dia memainkan jemarinya di
lengan Naqiu. “Aqi… you ni kenapa? Ada masalah ya? You
tak nak share dengan I?” Manja dia bertanya.
Naqiu berdecit sambil menepis tangan Zerra.
Hisyyy… makin sakit jiwa aku jadinya. Menyesal pula
turutkan permintaan minah ni tadi. Tingkah hatinya tidak
senang dengan tingkah manja mengada-ngada Zerra itu. “I
okey… cuma serabut dengan kerja yang tak pernah habis
tu…”
“Alah… you ni macam tak biasa pulak. Kerja macam
you memanglah serabut sikit. Tapi I tak naklah tengok muka
you monyok macam ni…” Zerra masih lagi dengan gaya
manjanya.
Naqiu menoleh ke wajah Zerra. “You cakap tadi ada
hal nak bualkan. Hal apa?” Wajahnya masih tetap serius.
Zerra tersenyum. “Tak ada apa. I cuma saja nak ajak
you temankan I minum. Lagipun I tak ada kawan. You pun
mesti tengah perlukan seseorang untuk temankan you,
kan?” Didekatkan lagi tubuhnya dengan Naqiu. Kaki putih
melepaknya yang terdedah itu digesel-geselkan dengan
kaki Naqiu.
Naqiu rimas. Makin dibiarkan makin
menjadi-jadi pula. Mendadak dia bangkit berdiri sekali gus
mengejutkan Zerra. Nasib baik gadis itu tidak jatuh
tersungkur. “Kenapa ni, Aqi? You tak suka ke?”
“I nak balik.” Naqiu meletakkan sekeping
not RM 50.00 di atas meja sebelum mula mengatur
langkah.
“Aqi, wait!” Zerra ikut sama bangun.
Naqiu kembali berpaling. “You nak apa lagi?”
“You ni kenapa moody sangat? Tunggulah
kejap. I…”
“You nak balik ke tak? Kalau nak, ikut I sekarang.
Or else, you balik sendiri.” Naqiu berpaling dan mula
menyusun langkah mendapatkan keretanya.
Zerra menghentakkan kakinya ke lantai. Sakit
hatinya dengan reaksi dingin Naqiu. Entah apa yang tak
kena dengan lelaki itu. Ada gadis sebegini cantik dan seksi
pun dia buat tak pandang aje. Kalau tak memikirkan tadi
dia datang ke sini bersama Naqiu, jangan haraplah dia akan
mengikut langkah lelaki itu untuk pulang. Aishh… sakitnya
hati!
SAMPAI ke petang, Naqiu tetap tidak dapat bertenang.
Kerjanya yang masih menimbun tiada satu pun yang dapat
disiapkan. Fokusnya lari. Hanya bayangan wajah Anatasya
yang bermain di ingatan.
Naqiu mengeluh berat. Tangannya meraup muka
yang terasa kusut. Jam tangan ditoleh. Sudah pukul 5.10
petang. Ada sesuatu bermain di fikirannya. Lantas laju saja
tangannya mencapai telefon bimbit yang sudah ‘terkambus’
dengan timbunan fail-fail dan kertas-kertas di atas meja.
Nombor telefon Alia didail pantas. Agak lama menanti,
barulah talian berjawab.
“Ya, Encik Naqiu?” sahut Alia. Nadanya itu macam
tahu-tahu saja Naqiu sedang memerlukan pertolongannya.
“Awak tahu Tasya masuk kerja pukul berapa hari
ni?” Naqiu terus mengajukan soalan. Malas putar belit.
Hatinya jadi makin tak tenang.
“Hmm… kalau tak silap saya hari ni dia masuk
kerja pukul 2.00 sampai malam ni. Kenapa, Encik Naqiu?”
“Ohh… nothing. Anyway, thanks ya.” Naqiu
mematikan talian. Maklumat sudah diperoleh. Dia malas
menunggu lagi. Meja yang bersepah dikemaskan ala kadar.
Kerja-kerja yang masih belum selesai dan memerlukan
perhatian lebih daripadanya dimasukkan ke dalam briefcase
lalu terus mengayun langkah ke arah pintu.
Kereta dipecut laju menuju ke arah hospital.
Hatinya sudah diasak rasa rindu kepada gadis
kesayangannya itu. Walaupun kejadian pagi tadi masih tidak
dapat dilupakan, itu semua tidak dapat menghilangkan
perasaannya pada Anatasya. Dia mahu menatap wajah gadis
itu.
Sebaik kereta diparkir elok di kawasan tempat letak
kereta, Naqiu melangkah masuk ke kawasan hospital.
Nasibnya baik kerana ketika melewati kaunter utama, dia
ternampak Anatasya melintas di situ. Segera dia melajukan
langkah sambil memanggil nama gadis itu.
Langkah Anatasya terhenti dan spontan dia
berpaling. Mati senyuman yang sentiasa menghiasi wajah
saat menatap wajah Naqiu. Tak sangka lelaki itu akan datang
lagi ke hospital. Sangkanya selepas Mak Cik Shima keluar
wad, dia tidak akan menemui Naqiu lagi. Tetapi tertanya
dia silap. Naqiu masih tetap mencarinya walaupun sudah
terang-terang dia menyatakan keputusannya untuk tidak
berpaling lagi tempoh hari.
“Apa awak buat kat sini?” tanya Anatasya dingin.
Dia bergerak ke tepi sedikit, tidak mahu menghalang laluan
di situ.
Naqiu mendekati Anatasya. “Abang datang
nak jumpa Tasya,” akuinya. Wajah gadis itu yang
tanpa senyuman ditatap sayu.
“Buat apa nak jumpa saya? Lagipun saya sibuk.”
Acuh tak acuh Anatasya menjawab. Jantung yang mula
berdegup kencang cuba ditahankan. Dia tidak mahu Naqiu
tahu gejolak hatinya saat itu. Kenapa setiap kali berada dekat
dengan lelaki itu, hatinya jadi tidak keruan? Sejujurnya,
aura lelaki itu sering membuatkan hatinya panar.
Naqiu menghela nafas. “Abang rindukan
Tasya…” bisiknya perlahan.
“Stop talking about rindu, please! Saya
tak suka.” Tegas Anatasya bersuara. Namun begitu
wajah Naqiu langsung tidak dipandang. Bimbang hatinya
jadi makin rapuh.
Naqiu terangguk-angguk. “Tasya dah ada orang
lain?”
“Saya ada orang lain atau tak, itu bukan urusan
awak,” balas Anatasya perlahan.
Naqiu tertunduk. Sedar yang Anatasya
sangat bencikan dirinya. Apa nak buat, memang
salah dirinya perkara itu terjadi. “Tasya tak sudi nak maafkan
abang langsung ke?”
“Kalau kemaafan yang awak harapkan
daripada saya, sorry… I just can’t.” Ketika itu juga
Anatasya ternampak Rusdi tidak jauh dari tempat mereka
berdiri. “Saya rasa tak ada apa lagi yang nak dicakapkan,
kan? So… saya mintak diri dulu.” Tanpa menunggu balasan
Naqiu, dia terus berlalu pergi.
Naqiu memerhati langkah Anatasya menghampiri
Rusdi dengan hati yang pedih. Mesra sekali gadis itu
menegur Rusdi. Melihat senyuman di bibir Rusdi, Naqiu
rasa hatinya bagai disiat-siat halus. Seakan-akan senyuman
lelaki itu sedang mengejek-ejek dirinya yang telah kalah
berjuang.
Naqiu menghela nafas berat. Dia tidak mahu lagi
menunggu di situ dan membiarkan hatinya semakin sakit
menyaksikan adegan mesra itu. Lantas dia terus berpaling
dan mengatur langkah untuk pulang.

No comments:

Post a Comment