Monday 27 June 2016

Tak Mampu Menjaga Cintamu - Bab 10

PENAT berenang, Naqiu akhirnya naik ke tepi
kolam. Dia duduk di pinggir kolam itu sambil kaki masih
lagi berendam di dalam air. Keadaan sekeliling yang gelap
dan sunyi tidak sedikit pun mengganggu ketenangannya
saat itu. Begitulah dia setiap kali menghadapi tekanan.
Bukan cuma tekanan kerja, malah tekanan apabila
memikirkan Anatasya. Sikap dingin Anatasya seolah-olah
mencabarnya. Ikutkan hati, sudah lama dia mengheret
gadis itu ke depan tok kadi. Dia mahu menikahi gadis itu
secepatnya.
Namun apabila memikirkan akibatnya, terus niat
itu dipadamkan. Naqiu tidak mahu menambahkan tahap
kebencian Anatasya kepadanya. Nanti semakin sukar dia
mahu merebut hati gadis itu semula. Tetapi dalam masa
yang sama dia juga sedar yang dia perlu bertindak. Dia
tidak boleh membiarkan masa terus berlalu tanpa ada satu
usaha pun daripadanya. Dia harus bertindak. Terasa seakanakan
ada satu semangat yang entah dari mana datangnya
mengalir masuk ke dalam diri.
Naqiu bangkit mencapai tuala yang tersangkut
di atas kerusi rehat di tepi kolam renang itu. Tubuhnya
yang terdedah dengan hanya memakai seluar pendek
dikesat dengan tuala. Kemudian tuala itu dibalut ke
tubuh sambil berjalan masuk ke dalam rumah. Umi
dan abah yang sedang duduk di ruang tamu sambil
menonton televisyen dihampiri. “Umi, abah…” panggilnya
sambil duduk di depan mereka berdua.
“Kenapa, Aqi? Ada apa-apa nak cakap ke? Serius
aje muka tu…” tegur Shima sambil tersenyum. Jarang
dilihat wajah Naqiu seserius itu. Anaknya itu suka
bertikam lidah dengannya walaupun kadang-kadang
sikapnya manja mengalahkan anak kecil.
Hamdan juga turut menoleh pandang ke wajah
anak bujangnya itu.
“Hmm…” Naqiu diam mengambil nafas. “Umi,
abah… Aqi dah fikir masak-masak. Aqi nak umi dan
abah pergi meminang seseorang untuk Aqi…” Wajahnya
didongakkan memandang umi dan abah dengan penuh
harapan.
Shima dan Hamdan saling berpandangan.
Benarkah apa yang mereka dengar itu? Setahu
mereka, Naqiu tidak ada teman wanita. Cuma baru-baru
ini sejak dikenalkan dengan Anatasya, pintu hati anaknya
itu mula terbuka untuk kembali mengenali cinta.
Tetapi… takkanlah Anatasya pula seseorang yang
dimaksudkan itu? Cepatnya buat keputusan.
“Siapa yang Aqi maksudkan ni?” Tanya Hamdan pula.
“Umi dan abah kenal… Anatasya.” Sebaris nama
itu meniti keluar dari mulut Naqiu. Anak matanya tunak
memandang umi dan abah yang sudah terbeliak biji mata.
“Maksud Aqi… Anatasya… nurse kat hospital tu
ke?” Cepat saja Hamdan menangkap. Selama dia hidup, dia
tidak pernah kenal dengan mana-mana gadis bernama
Anatasya selain jururawat yang cantik manis itu.
Naqiu mengangguk. Hati berdebar-debar manakala
jantung berdegub kencang ketika menunggu jawapan abah
dan umi.
“Aqi dah fikir masak-masak ke ni? Umi bukan apa…
umi tak nak Aqi buat keputusan terburu-buru. Fikir
dulu habis-habis. Hal nikah kahwin ni bukan benda
main-main, Aqi. Tasya tu budak baik. Umi tak nak nanti
Aqi sia-siakan dia…” Panjang lebar nasihat Shima.
Matanya merenung wajah anak bujangnya itu. Walaupun
ada rasa gembira apabila mendengar hasrat Naqiu
untuk meminang Anatasya, dia tetap berasa ragu.
Dia tidak mahu Naqiu mengahwini Anatasya kerana
dia yang menginginkan begitu. Memanglah Naqiu pernah
memintanya supaya mendoakan agar dia ditemukan
jodoh dengan Anatasya, tetapi dia tidak menyangka
secepat itu Naqiu membuat keputusan untuk menjadikan
Anatasya sebagai isterinya.
Hamdan hanya mendiamkan diri. Memberi peluang
kepada Naqiu untuk memberi penjelasan.
“Umi, abah, Aqi dah fikir masak-masak. Aqi…
Aqi sebenarnya dah jatuh cinta dengan Tasya dari
mula-mula Aqi kenal dia…” Kepala Naqiu menunduk.
Tidak berani memandang wajah umi dan abah. Itulah kali
pertama dia membuat pengakuan begitu di depan orang
tuanya.
Hamdan dan Shima saling berpandangan.
Masing-masing bagai tidak percaya mendengar pengakuan
itu.
“Aqi, Aqi baru aje kenal dengan Tasya. Abah takut
Aqi cuma keliru dengan perasaan Aqi. Apa kata Aqi ambil
masa, kenal dengan dia betul-betul dulu. Lepas tu baru fikir
soal meminang,” kata Hamdan lembut penuh nasihat.
“Abah, umi… sebenarnya, Aqi kenal Tasya dah
lama. Sejak lima tahun dulu. Kita orang dah pernah
berkawan tapi dah lama lost contact. Jadi sekarang,
tak salahkan kalau Aqi nak sambung balik hubungan yang
terputus dulu?”
Hamdan dan Shima terdiam. Masing-masing
terkejut mendengar cerita Naqiu. Ada sesuatu bermain
di fikiran Shima. Kenapa sebelum ini Naqiu tidak pernah
memberitahunya soal itu?
“Kenapa Aqi tak pernah beritahu umi?” Tanya
Shima serius.
Naqiu telan liur mendengar soalan umi itu. Tidak
tahu jawapan apa yang harus diberikan kepada uminya.
“Bukan Aqi tak nak beritahu umi cuma… Aqi cari masa
yang sesuai untuk beritahu umi dan abah…” Kepalanya
tunduk. Entah boleh diterima atau tidak alasannya itu.
“Betul ke ni?” Hamdan mahukan kepastian.
Naqiu mengangguk. “Betul, abah. Percayalah…
Aqi tak keliru dengan perasaan Aqi. Aqi cintakan dia.
Aqi nak dia jadi isteri Aqi yang sah!” Terasa merah mukanya
meluahkan isi hati. Tapi itu semua sudah tidak penting.
Yang penting, restu umi dan abah dapat diraih.
Hamdan dan Shima berpandangan lagi. Bicara
Naqiu kedengaran yakin sekali. Kalau dah itu kata anaknya,
apa lagi yang boleh mereka katakan?
TELEFON bimbit di atas katil dicapai. Dia meniarap di
atas tilam empuk itu sambil jari laju mencari nombor
telefon Sarah. Rasa rindu pula kepada sahabatnya itu.
Tidak perlu menunggu lama, panggilan sudah pun
dijawab. “Assalamualaikum…” ucap Anatasya ceria.
“Waalaikumussalam. Ya, nak cakap dengan siapa?”
Sarah buat-buat suara serius.
Anatasya tersengih. “Nak cakap dengan Nenek
Maisarah. Dia ada?”
“Hailaaa… hantulah kau ni!” Sarah ketawa kuat di
hujung talian.
Anatasya turut tergelak. Terhibur hatinya
mendengar tawa Sarah itu. “Tengah buat apa?”
“Baru balik kerja. Penat tak hilang lagi ni…”
Sarah mengeluh.
“Larr… aku ganggu kau ke ni?”
“Eh, tak adalah. Aku tahu kau rindu aku. Hah,
nak cakap apa ni?”
Anatasya tergelak lagi. Sarah memang pandai
menghiburkan hatinya. Terlupa seketika tentang masalah
yang melanda. “Memang rindu kau pun. Saja nak dengar
suara kau sebelum tidur. Sweet tak aku ni?” Sengihnya.
Sarah ketawa. “Sweetlah sangat, mak cik! Yang
pasal… mamat tu apa cerita?”
Senyuman Anatasya hilang. Dia tahu siapa ‘mamat
tu’ yang dimaksudkan. “Hmm… kau ni macam-macam
tahu aje kan…”
“Kenapa? Dia kacau kau lagi eh?” Nada suara
Sarah bertukar serius.
Anatasya menghela nafas. “Ya… Penatlah macam
ni…” Kepala diletakkan di atas tilam.
“Kenapa? Dia buat apa? Cuba cerita sikit,” pinta
Sarah. Risau pula hatinya kalau-kalau Naqiu bertindak
di luar dugaan. Mamat tu bukan boleh percaya sangat
pun. Bukan pun, memang tak boleh percayalah!
“Dia… Dia cari aku lagi. Dia minta maaf dan minta
aku bagi peluang pada dia…”
“What the…!” Sarah merengus geram. Eii… nasib
baik aku tak mencarut. Hisyyy! “Habis, kau cakap apa?”
“Aku cakap aku takkan maafkan dia. Dia dah
lukakan aku dulu. Cukuplah sekali, Sarah. Aku tak nak
terjebak untuk kali kedua. Manalah tahu, tujuan dia
masih sama lagi macam dulu,” bisik Anatasya perlahan.
Suaranya melirih. Kolam mata terasa panas tiba-tiba.
Sarah menghela nafas panjang. “Be strong, Tasya.
Aku tahu kau kuat. Kan?” Kata-kata semangat diberikan
buat temannya itu.
Anatasya mengangguk. Rasa sebak yang menghuni
kamar hati cuba ditepis jauh-jauh. Sekarang bukan
masanya untuk menangis. Dia perlu kuat menghadapi
segala-galanya. “Aku akan cuba. Thanks, Sarah… Kau
selalu ada bila aku perlukan kau…” ucapnya penuh
rasa terharu.
“Haa... dah, dah… jangan nak buat ayat-ayat
touching itu. Karang aku nangis kat sini siapa susah?”
Mendengarkan kata-kata itu, Anatasya tertawa.
Hati yang tadinya rawan kembali ceria. “Sarah, aku rindu
Aznur…”
Sebaris nama yang disebut Anatasya itu
mengundang keluhan Sarah. “Aku pun rindu dia juga.
Tapi nak buat macam mana kan… Kita doakan ajelah
moga-moga lembut hati dia tu untuk contact kita
balik…”
Anatasya mengangguk. Mengingati Aznur,
fikirannya melayang kepada Naqiu. Kalaulah bukan
kerana lelaki itu, pasti Aznur ada lagi bersama mereka
kini. Cepat-cepat diusir hasutan syaitan yang mula
menguasai fikiran. Tiada guna lagi mengingati perkara
yang sudah lepas.
“Okeylah, aku dah macam bau kerbau ni tau?
Nak pergi mandi dulu,” seloroh Sarah membuatkan
Anatasya ketawa lepas.
“Okey, sayang. Bye…”
“Bye. Muahhh!” Talian dimatikan sejurus
kemudian.
Anatasya menghela nafas panjang. Lega rasanya
dapat melepaskan rindu terhadap sahabatnya itu.
Telefon bimbit dicampak ke tengah katil sebelum dia
bangun mencapai novel Kuli Rumah Untuk Dia yang
terletak elok di atas meja sebelah katil. Helaian ke 60
diselak sebelum dia terus hanyut dengan kisah yang
tertulis dalam novel itu.
Ketukan di pintu bilik mengejutkan Anatasya.
Novel karya Aireen Aryana itu ditinggalkan di atas katil.
Dengan langkah malas dia bangun membuka pintu.
Memang tiada orang lain lagi melainkan Mawaddah.
Dia kembali ke katil dan merebahkan tubuh di situ.
Mawaddah baring di sebelah Anatasya. “Tasya, tibatiba
aje aku terfikir. Agak-agak macam mana nanti lepas kita
kahwin?”
Anatasya tiba-tiba tergelak. Lucu mendengar soalan
Mawaddah itu. “Kau ni kenapa? Tiba-tiba aje mimpi nak
kahwin? Dah jumpa calon ke?”
Dalam-dalam fokus membaca novel, sempat lagi dia
mengusik.
“Tak adalah… cuma aku terfikir aje. Mesti best
kalau ada suami, kan? Malam-malam ada orang teman
masa tidur…” Mawaddah memejam mata. Membayangkan
ada seorang lelaki yang bergelar suami ada menemaninya
setiap malam.
Anatasya menepuk bahu Mawaddah membuatkan
rakannya itu terperanjat. Anatasya ketawa sakan. “Kau ni…
sejak bila pandai ‘membiru-birukan’ otak ni ha? Haha…”
Dia ketawa lagi tanpa henti.
Mawaddah memuncung. “Mana ada biru! Aku
cuma berangan aje…”
Anatasya menghentikan tawanya. “Sudah, sudahlah
tu… Tak ada gunanya bayangkan ada suami. Dah tak
ada dah lelaki dalam dunia ni yang layak dijadikan suami…”
Suaranya tiba-tiba berubah serius. Mata menatap novel,
tapi fikiran jauh menerawang.
“Isy!” Giliran Mawaddah memukul bahu Anatasya.
“Tak baiklah kau cakap macam tu. Kau tahu tak, kata-kata
tu satu doa? Dibuatnya betul-betul tak ada lelaki yang nak
kahwin dengan kau, baru padan muka!”
“Biarlah! Tak kisah pun,” tukas Anatasya selamba
dengan riak wajah tak bersalah.
Mawaddah merenung wajah Anatasya dengan rasa
tidak percaya. Mendadak dia bangun dan duduk bersila
di sebelah gadis itu. “Kau gila ke, Tasya? Serius tak nak
kahwin?”
Diam. Anatasya mengunci mulut dan terus
membaca novel biar tiada satu habuk pun yang masuk
ke otak.
“Kahwin tu kan sunah Nabi. Dapat pahala tau
kalau buat?” Mawaddah mula berceramah. Sangkanya
selama ini benci Anatasya pada kaum lelaki hanya di
mulut. Tapi tidak disangka benci yang dimaksudkan
itu adalah benci yang sebenar-benarnya, datang dari
hati gadis itu sendiri.
Anatasya menutup novel dan meletakkannya di atas
meja di sisi katil. Dia mengiring membelakangi Mawaddah
sambil menarik selimut rapat ke dada. “Aku nak tidur.
Nanti kau keluar jangan lupa tutup lampu.”
Mawaddah ternganga memandang aksi selamba
Anatasya. Minah ni memang tak ada perasaan kut!
Dengan muncung panjang sedepa, Mawaddah turun dari
katil dan melangkah keluar dari bilik. Sempat mematikan
suis lampu sebelum menutup pintu bilik rapat-rapat.

No comments:

Post a Comment