Monday, 27 June 2016

Tak Mampu Menjaga Cintamu - Bab 11

RUMAH separuh batu dan separuh kayu di
depan mata dipandang dengan kerutan di dahi. Betul ke
ni? Shima mendekati Naqiu yang seolah-olah teragakagak
mahu memberi salam. “Aqi, betul ke rumah ni?
Tak salah rumah?” soalnya.Naqiu tunduk memandang
kertas di tangannya.
“Kalau ikut alamat, dah betullah ni umi…” jawabnya
perlahan.
“Kita bagi salam dulu,” cadang Hamdan.
Sebenarnya dari semalam lagi mereka sudah sampai
di Kuala Terengganu. Atas cadangan isterinya, mereka
menginap di sebuah hotel di kawasan bandar untuk
satu malam. Cuma baru pagi ini mereka bertiga bergerak
mencari rumah Anatasya walau pada awalnya isterinya
itu kurang bersetuju dengan cara mereka yang agak
tidak beradat.
“Assalamualaikum!” Naqiu melaungkan salam.
Jantungnya rasa berdebar tiba-tiba. Ini kali pertama dia
datang ke rumah Anatasya. Tanpa pengetahuan gadis itu
pula tu. Kalaulah Anatasya tahu, tidak dapat dibayangkan
apa yang akan terjadi.
Lama menanti, akhirnya pintu rumah dibuka dari
dalam. Keluar seorang lelaki berumur separuh abad.
Melihatkan lelaki itu, Naqiu yakin itu ayah Anatasya.
Dia menghampiri sambil menghulurkan salam.
“Anak ni siapa?” tanya Harun pelik. Seumur
hidupnya, tidak pernah dia melihat wajah anak
muda di depannya itu. Apatah lagi dengan seorang wanita
dan lelaki yang lebih kurang seusia dengannya.
“Pak cik ni… Pak Cik Harun ke?” Naqiu bertanya
sambil memandang orang tua yang sedang merenungnya
dengan pelik itu.
Harun mengangguk. “Ya, nama pak cik Harun.
Anak ni siapa ya?” Diulang semula soalan itu. Sedikit
pelik kerana anak muda yang tidak dikenali itu tahu
namanya.
“Saya Naqiu, err… kawan anak pak cik, Anatasya,”
ujar Naqiu.
Harun mengerutkan muka. Selama 27 tahun dia
menjaga Anatasya, tak pernah pula dia dengar nama Naqiu
keluar dari mulut anaknya itu. Dan yang lebih
menghairankan, setahunya Anatasya tidak ada kawan
lelaki. Semenjak peristiwa lima tahun lepas, anaknya
sudah mencipta jurang yang sangat dalam dengan
kaum Adam itu.
“Ni abah dan umi saya…” Hamdan menghulurkan
tangan untuk bersalam.
“Hamdan. Ni isteri saya, Shima…” Shima sekadar
tersenyum manis sambil menganggukkan sedikit
kepalanya.
“Marilah masuk…” pelawa Harun. Walau apa pun,
tetamu yang datang wajib dilayan dengan baik.
Naqiu dan kedua-dua orang tuanya melangkah
masuk ke dalam rumah.
“Duduklah dulu ya, Naqiu… Pak cik pergi buatkan
air sekejap.” Harun menghilang ke dapur. Semenjak
isterinya meninggal dunia, tugas mengurus rumah
tangga semuanya tergalas di atas bahunya. Sudah
tidak kekok mahu memasak, apatah lagi menghidangkan
air untuk tetamu. Anak-anaknya, Aliff dan Anafarah masih
belum pulang dari sekolah.
“Aqi yakin ke keputusan Aqi ni? Kalau ayah Tasya
tak terima nanti macam mana?” Shima berbisik kepada
Naqiu. Dia bimbang, benar-benar bimbang. Takut kalaukalau
hajat besar yang mereka bawa ini bakal ditolak.
Naqiu menghela nafas. Wajah umi dipandang. “Aqi
yakin, umi. Walau apa pun, Aqi akan pastikan Tasya jadi
milik Aqi. Kalau pun sampai kena merayu, Aqi sanggup.”
Shima dan Hamdan saling berpandangan. Masingmasing
terkejut mendengar kata-kata Naqiu itu. Terlalu
terkejut hingga tidak dapat berkata apa-apa. Sampai
begitu sekali Naqiu menginginkan Anatasya?
“Jemputlah minum. Maaflah, air aje… makanannya
tak ada.” Harun meletakkan dulang di tangan di atas meja
di tengah-tengah ruang tamu itu.
“Tak apa, kami tak kisah pun,” jawab Shima sambil
tersenyum manis.
“Hmm… sebenarnya, pak cik… Saya datang ni
ada bawak hajat penting.” Naqiu memulakan. Hatinya jadi
makin gelisah melihat pandangan Pak Cik Harun terhala ke
wajahnya. Peluh dingin mula merenik di dahi.
“Hajat apa tu?” Harun cuba bertenang. Entah
kenapa, hatinya rasa tidak enak tiba-tiba.
“Macam ni…” sampuk Hamdan. Dia berdeham
sekali sebelum kembali bersuara.
“Mula-mula sekali kami nak mintak maaf sebab
datang tak ikut adat. Tapi… niat kami datang memang
ikhlas. Saya dan isteri saya ni nak meminang anak Abang
Harun yang bernama Dian Anatasya tu untuk anak saya,
Naqiu Uzairi.” Hamdan berterus terang. Nafas lega
terhembus apabila hajat itu sudah berjaya disuarakan.
Harun memandang wajah Naqiu yang kini hanya
tunduk. Segan barangkali. Kerut di mukanya bertambah.
Meminang Anatasya? Sungguh, dia terkejut. Tidak pernah
pula Anatasya menceritakan kepadanya yang anaknya itu
punya kekasih selepas dilukai lima tahun dulu. Dan
sekarang… tiba-tiba saja datang seorang lelaki mahu
Anatasya.
Harun menghela nafas. “Beginilah, saya tak boleh
bagi jawapan sekarang. Saya kena tanya pada anak saya dulu.
Kalau dia setuju, barulah saya boleh terima pinangan ni…”
“Pak cik…” Naqiu bersuara sekali gus
menghentikan bicara Pak Cik Harun. Wajah orang tua itu
dipandang dengan pandangan yang penuh harapan. “Saya
merayu pada pak cik, tolonglah terima. Saya betul-betul
ikhlas nak peristerikan Anatasya. Saya janji saya takkan siasiakan
dia. Saya janji saya akan jaga dia, pak cik. Tolonglah,
pak cik…”
“Aqi…” Shima menyentuh bahu Naqiu. Sungguh
terkejut mendengar kata-kata anaknya itu tadi. Nampak
sangat nekad meskipun Anatasya belum pasti akan
menerimanya atau tidak. “Jangan macam ni, Aqi. Kita bawak
berbincang elok-elok. Betul kata Pak Cik Harun tu. Hal
macam ni tak boleh dipaksa-paksa. Kita kena tanya Tasya
dulu…” pujuknya.
“Tak, umi. Aqi tetap takkan berhenti sehingga Pak
Cik Harun setuju untuk terima pinangan kita ni…”
“Naqiu…” panggil Harun. Hatinya tersentuh
melihat kesungguhan Naqiu. Tetapi bukan itu caranya.
Lagipun dia belum mengenali lelaki itu secara dekat.
Dan yang paling penting, persetujuan Anatasya perlu diraih
terlebih dahulu. “Pak cik bukan tak nak terima. Cuma pak
cik kena tanya Tasya dulu. Ini melibatkan masa depan dia…”
Naqiu tiba-tiba bangun dari kerusi. Tanpa
menghiraukan riak terkejut abah dan uminya, dia
duduk melutut di depan Pak Cik Harun. Kalau abah
dan uminya terkesima melihat tindakannya itu, Pak
Cik Harun pula tergamam tanpa kata. Mungkin tidak
menyangka dia akan bertindak sejauh itu. “Pak cik… saya
merayu pada pak cik, terimalah pinangan saya ni. Saya…”
“Aqi… jangan buat kerja gila macam ni. Kita balik
sekarang!” Arah Hamdan tegas. Kepalanya tergeleng-geleng.
Terasa maruah anaknya itu sudah jatuh merudum. Sanggup
merayu hanya kerana seorang gadis yang belum pasti
untuknya.
“Tak.” Naqiu tetap bertegas. Dia mendongak
memandang abah dan uminya. “Ada sesuatu yang abah
dan umi perlu tahu tentang Aqi dan Tasya…”
“Apa maksud Aqi?” Shima semakin terkejut. Resah
hatinya tiba-tiba. Apa yang telah terjadi antara Naqiu
dan Anatasya?
Naqiu kembali memandang Pak Cik Harun. Jelas
riak wajah ingin tahu di situ. Dia tunduk memandang lantai
sebelum mula bercerita. Shima dan Hamdan
tekun mendengar. Mata masing-masing terbeliak,
terkejut mendengar cerita yang tak disangka-sangka
itu. Harun pula menghembus nafas lemah.
Jawapan yang selama ini dicari akhirnya ditemui.
Beristighfar panjang dia sebaik saja Naqiu habis bercerita.
“Saya dah berdosa pada Tasya, pak cik. Dan
sekarang ni saya datang dengan niat yang ikhlas mahu
menebus balik kesalahan saya dulu. Saya nak
bertanggungjawab atas apa yang dah saya lakukan pada
Tasya. Tolonglah, pak cik… saya merayu…” Naqiu
menundukkan kepalanya. Ya Allah, Engkau lembutkanlah
hati Pak Cik Harun untuk menerimaku sebagai
menantunya, bisik hatinya. Dia rela menerima apa saja
amarah Pak Cik Harun asalkan lelaki itu setuju untuk
menerima pinangannya itu.
Shima sudah pun menitiskan air mata di sisi
suaminya. Tidak menyangka sebegitu teruk sekali kisah
silam antara Naqiu dan Anatasya. Sungguh dia malu dengan
Harun. Sangat-sangat malu. Hamdan pula terdiam tanpa
suara.
“Saya menyesal pak cik sebab tinggalkan dia dulu.
Sekarang ni satu yang saya harap, pak cik maafkan saya dan
terima saya untuk jadi menantu pak cik. Izinkan saya untuk
tebus balik kesalahan yang dulu tu. Saya sedar saya dah
banyak buat silap. Tapi saya betul-betul cintakan dia,
pak cik. Mungkin dah terlambat untuk saya mengaku, tapi
percayalah… Saya sayangkan dia. Saya janji saya takkan siasiakan
dia lagi…” Naqiu terus-terusan merayu. Katalah apa
saja, dia tetap dengan keputusannya. Nak kata dia
terdesak mahukan Anatasya pun, dia tetap tidak peduli.
Harun mengeluh berat. Wajah Naqiu yang tunduk
direnung sayu. Dia tidak menyangka lelaki yang
bertanggungjawab atas penderitaan Anatasya dulu akan
datang merayu begitu padanya. Merayu agar diberikan
kemaafan dan berjanji untuk membahagiakan anaknya
itu. Dia boleh nampak kesungguhan Naqiu. Bukan semua
orang sanggup merayu seperti yang dilakukan Naqiu.
Rela merendahkan ego sendiri demi gadis yang dicintai.
“Saya merayu, pak cik…” Hampir menitis air mata
Naqiu saat itu.
Harun memegang bahu Naqiu. Bahu anak muda
itu ditepuk-tepuk perlahan. Naqiu mengangkat muka.
Memandang senyuman nipis di bibir Pak Cik Harun,
dia merasakan harapannya untuk memiliki Anatasya semula
kembali cerah.
PERJALANAN pulang ke Kuala Lumpur sungguh sepi
sekali. Naqiu yang memandu tidak sekali pun membuka
mulut dan menoleh pandang ke arah umi dan abahnya. Dia
tahu mereka berdua marah kepadanya. Tetapi, apa lagi yang
boleh dia lakukan? Semuanya sudah berlalu. Masa yang
sudah berlalu itu tidak akan dapat diundur semula biarpun
dia merayu hingga keluar air mata darah sekali pun. Cuma
yang penting, dia sudah berjanji untuk tidak mengulanginya
lagi. Peluang yang Pak Cik Harun berikan kepadanya tidak
akan sesekali disia-siakan begitu saja.
Shima merenung jauh ke luar tingkap. Di
matanya terbayang-bayang wajah Anatasya. Betapa gadis
berhati luhur itu pernah dilukakan oleh anaknya sendiri.
Bukan sedikit, tetapi sungguh dalam luka itu.
Mengenangkan hal itu, hatinya terasa pedih.
Sampai di rumah, Naqiu terus memanjat tangga
untuk ke tingkat atas. Namun langkahnya terhenti apabila
mendengar panggilan abah. Dia kembali berpaling.
“Duduk sini dulu, abah ada hal nak cakap dengan
Aqi,” arah Hamdan. Riak wajahnya yang sedikit tegang
itu membuatkan hati Naqiu berasa gerun. Segera dia
mengambil tempat di depan abah dan umi.
Naqiu tertunduk. Renungan tajam umi meresahkan
hatinya. Tiada apa yang dapat dilakukan lagi untuk
membela diri. Segala-galanya telah jelas. Kedua-dua orang
tuanya sudah tahu apa yang dilakukan kepada Anatasya lima
tahun yang lalu.
“Umi tak sangka Aqi sanggup buat perkara keji
macam tu. Tasya tu budak baik. Kenapa Aqi buat dia macam
tu?” Shima mengesat mata yang terasa basah. Sebagai
seorang wanita, dia bagai dapat menyelami perasaan
Anatasya. Walaupun perkara itu sudah berlaku bertahuntahun
lamanya, pasti kesannya masih terasa hingga
sekarang.
Naqiu tidak menjawab pertanyaan uminya itu.
Terus tunduk merenung lantai dengan perasaan bersalah
yang tebal di hati.
“Apa yang ada dalam fikiran Aqi masa Aqi buat
semua tu? Aqi tak fikir ke perasaan Tasya tu macam mana?
Hati dia, perasaan dia, Aqi tak fikir ke?” Hamdan pula
memarahi anaknya. Suaranya tegas sekali. Sungguh dia
tidak menyangka kisah silam anaknya itu pernah terpalit
noda. Kalaulah bukan kerana pengakuan Naqiu di
depan ayah Anatasya semasa di Kuala Terengganu tadi, pasti
sampai sekarang dia tidak tahu mengenai hal itu.
“Abah, umi, tu semua cerita lama. Aqi dah
sedar sekarang ni, Aqi dah berubah. Aqi takkan ulang lagi
kesilapan tu. Kalau tak, takkan Aqi sanggup rendahkan
ego Aqi mengaku depan ayah Tasya? Abah dengan umi kena
percayakan Aqi. Beri Aqi peluang untuk buktikan yang
Aqi betul-betul sayangkan Tasya.” Terluah juga kata-kata itu
dari mulut Naqiu. Wajahnya masih menunduk, tidak berani
melawan pandangan abah dan umi yang cukup tajam itu.
Hamdan menoleh ke arah isterinya yang kelihatan
semakin tenang. Mungkin lega mendengar jaminan
Naqiu itu. “Abah tak nak Aqi ulang lagi semua tu. Ingat,
manusia ni semua ada hati dan perasaan. Jangan asyik
fikirkan ego kamu aje sampaikan hati orang lain
langsung kamu tak fikir!” Pesan Hamdan dengan suara tegas.
tiada guna lagi untuk berasa kesal. Yang berlalu harus
dibiarkan berlalu. Yang penting sekarang, bagaimana Naqiu
mahu mencorakkan masa depan yang lebih baik bersama
pilihan hatinya itu.
Terbit rasa lega di hati Naqiu mendengar pesanan
abah itu. Walaupun kedengaran tegas, dia tahu pesanan itu
datang ikhlas dari hati seorang ayah yang mengharapkan
yang terbaik untuk anaknya. Naqiu menghampiri abah dan
umi. Tangan kedua-dua orang tua itu dicapai dan dikucup,
penuh rasa terima kasih.
“Aqi janji Aqi takkan ulang lagi semua tu,” janji
Naqiu untuk ke sekian kalinya.

No comments:

Post a Comment