Thursday, 14 July 2016

Sesuci Cinta Qaseh - Bab 13

PERLAHAN Qaseh menanggalkan telekung
sembahyangnya usai menunaikan solat isyak. Solat maghrib
yang tertinggal tadi juga turut diqada. Dia masih lagi duduk
bersimpuh di atas sejadah, termenung panjang. Serabut
sebenarnya memikirkan tentang perjalanan hidupnya yang
seperti kucar-kacir saja sejak akhir-akhir ini.
Keluhan demi keluhan dilepaskan Qaseh. Terasa
begitu sesak perasaannya kala itu.
‘Astaghfirullahal'azim... ampunkan aku Ya Allah
kerana sentiasa mengeluh dengan takdir-Mu.’ Qaseh
beristighfar panjang setelah menyedari dia sudah terlalu
banyak mengeluh. Cepat-cepat dia melipat telekung dan
sejadah yang digunakan sebentar tadi, lalu disangkut pada
penyidai kayu.
Tiba-tiba pintu bilik terkuak dari luar. Harith muncul
di situ, kemudian menapak masuk ke dalam bilik dan terus
duduk di birai katil. Wajahnya tampak tenang saja, merenung
lembut kepada Qaseh yang berdiri di tepi penyidai kayu. Lama
pandangannya di situ sehingga membuatkan Qaseh resah.
“Kenapa pandang saya macam tu?” spontan
pertanyaan itu terpacul dari mulut Qaseh.
Harith tersentak. Cepat-cepat dia beralih pandang ke
arah lain.
“Bila masa pulak aku pandang kau? Aku pandang
penyidai kain tu.” Selamba saja Harith menjawab cuba
mengawal emosi.
Qaseh mencebik. ‘Eleh, dah tengok orang macam nak
tanggal biji mata pun boleh lagi tak mengaku. Menyampah!!!’
“Ermm, kau mari duduk sini kejap...” panggil Harith
sambil menepuk birai katil di sebelahnya.
“Nak buat apa?” tanya Qaseh macam orang bodoh.
Dahinya sudah berkerut seribu. Tak pernah-pernah pula
Harith macam tu sebelum ini.
“Nak ajak main guli. Banyak cakaplah kau ni kan.
Aku panggil tu datang ajelah!!!” Harith sudah mula naik
angin. Geram pula dia melihat Qaseh yang seakan-akan
kurang senang dengan permintaannya itu. Qaseh masih lagi
membatu, berkira-kira dalam hati.
“Kau dengar tak???” suara Harith sudah sedikit
meninggi.
Cepat-cepat Qaseh melangkah, terus duduk di
sebelah Harith. Jantungnya tika itu jangan ceritalah, dup...
dap... dup... dap... berdegup kencang. Dia hanya tunduk
merenung lantai marmar yang berwarna putih di kaki, tidak
berani mahu membalas pandangan Harith yang menikam
tajam pada wajahnya.
Bau wangi dari tubuh Harith terus menusuk tajam
ke dalam rongga hidung Qaseh menyebabkan jantungnya
semakin kuat bergetar. Sekilas dia melirik kepada Harith
yang tampak kacak dengan t-shirt kuning berkolar dari
jenama BUM dan berjean biru Pepsi.
Seketika mata mereka bertembung. Qaseh
cepat-cepat mengalih pandang. Rasanya tidak betah untuk
dia terus berpandangan begitu dengan Harith. Entah kenapa
setiap kali pandangan tajam Harith jatuh menikam tepat
ke dalam anak matanya, setiap kali itulah juga jantungnya
bergetar hebat.
“Qaseh, jom pindah.” Akhirnya suara Harith
bergema lembut di cuping telinganya. Entah kenapa Harith
begitu baik dengannya malam itu. Tuturnya lembut sahaja
menjamah telinga Qaseh. Dalam diam Qaseh berasa senang.
“Pindah? Maksudnya?” tanya Qaseh dengan muka
berkerut.
“Macam ni, kau pujuklah tok ayah. Kita pindah
dari sini.” Harith begitu bersungguh-sungguh. Dia tahu tok
ayahnya tidak akan membantah setiap permintaan Qaseh.
Baru sekejap tadi dia mengutarakan hasratnya kepada Tan Sri
Musa. Ternyata tok ayahnya membantah keras.
“Habis tu kita nak duduk mana? Kenapa nak pindah?”
Qaseh masih kebingungan.
“Isteriku yang cantik dan lembab... dengar sini ye
sayang. Kalau kita pindah, kita dah tak payah nak berlakon
macam sekarang. Kau akan ada bilik sendiri dan aku akan ada
bilik aku sendiri. So, tak payahlah kau nak menyorok-nyorok
nak tukar baju. Dan aku pulak, tak payah nak kena tidur atas
lantai lagi. Faham?” Harith bersuara lembut sekali sambil
memegang kedua belah pipi Qaseh dengan tangannya. Mata
mereka masih merenung antara satu sama lain.
Gulp!!! Masing-masing menelan liur. Ada rasa yang
bergetar di hati mereka, sukar untuk ditafsirkan saat itu.
“Ooo... okey.” Hanya itu saja yang mampu terbit
dari mulut Qaseh. Perasaannya menjadi sesak, sesak dengan
renungan mata Harith yang terasa terus menikam ke lubuk
hatinya.
Dalam diam Qaseh mula mengagumi Harith.
Walaupun mulut Harith boleh tahan bisanya, tetapi dia
seorang yang prihatin. Buktinya, sampai sekarang dia masih
lagi tidur di lantai dan sanggup melepaskan tilam empuknya
kepada Qaseh. Alasannya, takut nanti Qaseh jatuh sakit. Dia
juga yang susah nak bersoal jawab dengan tok ayahnya. Terbit
juga perasaan kasihan Qaseh terhadap Harith.
Harith juga sama. Entah kenapa lain benar
perasaannya kepada Qaseh sejak akhir-akhir ini. Setiap kali
mereka berpandangan, pasti jantungnya memecut laju.
Harith sendiri keliru. Jangan-jangan dia sudah tersuka
kepada Qaseh tak?
ANGIN malam terus berpuput lembut, menyapa mesra
wajah Aamar yang termenung jauh di serambi rumah
Tok Daud. Deru ombak yang menyapa pantai sayup-sayup
kedengaran di telinga bercampur dengan suara cengkerik
yang bernyanyi riang, begitu mendamaikan jiwa sesiapa
pun yang mendengarnya. Tapi sayang... tidak bagi Aamar.
Perasaannya begitu bercelaru.
Dari dalam rumah kedengaran Tok Daud batuk-batuk
kecil. Aamar menoleh sekilas. Selepas memasang telinga
beberapa saat, batuk Tok Daud tidak kedengaran lagi.
Mungkin dia sudah terlena semula. Aamar menarik nafas
lega.
Tok Daud kurang sihat dalam sehari dua ini. Kerana
itulah Aamar bermalam di rumah Tok Daud malam itu.
Bimbang pula dia mahu membiarkan Tok Daud bersendirian.
Comot juga sudah lama lena di atas ribaannya. Perlahan dia
mengusap kepala Comot, dan Comot semakin mengemaskan
lentoknya.
Aamar tersenyum sendiri. Segera wajah Qaseh
menerpa di ruang mata. Apalah yang sedang dilakukan oleh
Qaseh saat ini agaknya?
‘Ah!!! Tentu-tentunya dia sudah tidur sekarang.
Hmm, Aamar... sudah tiba masanya untuk kau hapuskan
semua perasaan itu. Tapi, mampukah aku?’ Aamar terus
bermain dengan perasaannya sendiri. Seketika dia menyebak
rambutnya ke belakang.
Angin terus berpuput lembut, masih belum jemu
menjamah wajahnya. Malam agak suram tanpa sebutir
bintang pun di dada langit. Bulan juga seakan menyepikan diri.
Segala-galanya suram, sesuram hati dan perasaannya kala itu.
Satu keluhan kecil dilepaskan Aamar, cuba menghilangkan
sesak di dada. Butir bicara emaknya lewat petang tadi kembali
menerjah ke gegendang telinganya seperti perakam suara.
“Am... sampai bila kau nak hidup macam ni nak?
Yang lepas biarlah lepas. Qaseh tu dah hidup bahagia dah.
Yang mak risaukan sekarang ialah Am. Sampai bila Am nak
ikutkan rasa kecewa di hati tu?”
“Apa yang mak cakap ni? Am okeylah mak. Mak
jangan fikir yang bukan-bukan ye.”
“Hmm... dengan orang lain kau boleh tipu Aamar.
Tapi, ini mak. Mak yang beranakkan kamu, mak tahu sangat
apa yang ada dalam hati kamu tu. Kamu masih mengharap,
kan? Kalau tidak, masakan kamu sanggup lakukan apa saja
untuk si Qaseh tu. Kali ini mak dah nekad. Mak nak pinangkan
anak Pak Ayub untuk kamu.”
Kata-kata terakhir emaknya itulah yang sedang
sarat mengganggu perasaan dan emosinya kala ini. Kali ini
Mak Esah sudah benar-benar nekad. Dia betul-betul mahu
pinangkan Fasha, anak Pak Ayub yang bekerja sebagai
guru tadika kemas di kampung mereka itu untuk anak
kesayangannya Aamar. Hendak tak hendak, Aamar terpaksa
juga menurut.
Aamar sedikit pun tidak salahkan emaknya. Dia
tahu, tidak ada seorang ibu pun di dunia ini yang sanggup
melihat anaknya menderita. Dia juga tahu, emaknya lakukan
semua ini adalah untuk kebaikan dirinya sendiri. Sampai bila
dia mahu memendam rasa sakit di jiwa? Tapi, mampukah
dia membuang bayangan Qaseh daripada hidupnya? Bukan
sehari dua dia mengenali Qaseh, bertahun lamanya. Segala
cerita suka dan duka Qaseh tersimpan kemas dalam kocek
hatinya. Dia sendiri tidak sedar sejak bila dia mula jatuh
hati kepada sahabat baiknya itu. Yang nyata, saban malam
bayangan Qaseh sentiasa mengganggu lenanya.
Mukanya diraup berkali-kali. Malam semakin kelam.
Bunyi cengkerik juga semakin nyaring berlagu. Deru ombak
yang masih setia memukul pantai, masih juga tidak jemu
menjamah halwa telinga. Aamar memeluk tubuh, mula terasa
sejuk. Embun jantan juga sudah mula turun menjamah bumi.
“Jom Comot, kita masuk. Hari dah jauh malam ni.”
Aamar mengangkat Comot lalu mendukungnya terus ke
dalam rumah.
Suara batuk Tok Daud kedengaran semula, namun
tidak lama. Aamar mula merebahkan diri di katil usang
milik Qaseh. Comot sudah lena di sisinya. Aamar paksa
juga matanya agar tidur, walaupun dia langsung tidak rasa
mengantuk.
QASEH terjaga daripada lena. Laju saja matanya
menangkap pandang pada jam yang tergantung kemas di
dinding bilik. Pukul 3.30 pagi. Dia bingkas bangun dan
duduk termenung di birai katil. Beberapa kali dia beristighfar
panjang. Perasaannya resah. Entah mengapa malam itu dia
termimpikan datuknya. Dalam mimpinya, Tok Daud sedang
sakit tenat.
Mata Qaseh mula berkaca dan perlahan mutiara
jernih mengalir laju membasahi pipinya tanpa dipaksa. Laju
juga tangannya menghapuskan mutiara itu.
‘Kenapa dengan atuk? Ya Allah, apakah atuk
benar-benar sakit?’ Nafas Qaseh sudah mulai sesak. Jika
diikutkan hatinya yang sedang resah, mahu saja dia
menelefon Aamar saat itu juga. Namun, dia batalkan niatnya
apabila memikirkan kemungkinan Aamar sudah lena pada
waktu-waktu begini. Sungguh, dia keresahan.
Seketika itu juga, dia menoleh kepada Harith yang
sedang lena dibuai mimpi. Ada rasa kasihan yang terbit di
hatinya. Sampai bila Harith akan tidur di situ? Tidur di lantai
marmar yang berlapikkan Toto. Perlahan Qaseh berjalan
menghampiri suaminya, lalu diselimutkan Harith supaya
tidak kesejukan. Dia kemudiannya terus ke bilik air untuk
berwuduk. Dia mahu menghadap Yang Maha Berkuasa, mahu
mengadu segala keresahan di jiwanya kepada Dia yang Maha
Mendengar.
Lama Qaseh berteleku di sejadah. Panjang sekali
doanya sebentar tadi. Bersungguh-sungguh dia berdoa,
meminta agar Allah sentiasa memelihara kesejahteraan
datuknya. Satu-satunya lelaki yang paling dicintai dan
dikasihinya di dunia ini. Tidak lupa juga dia berdoa untuk
Aamar dan Mak Esah, yang selalu ada tika susah dan
senangnya. Juga buat dirinya, agar diberikan kekuatan dan
dibukakan pintu hatinya untuk memaafkan ayahnya. Tidak
lupa juga meminta petunjuk daripada Allah, membimbing
dia dalam melayari bahtera perkahwinannya. Walaupun
amat payah baginya untuk menerima semua ini, dia tahu dia
terpaksa juga terima.
Sungguh! Dia langsung tidak percaya kepada cinta
manusia. Cinta lelaki yang bergelar suami. Namun dia tahu,
hendak tak hendak dia terpaksa juga menerima Harith dalam
hidupnya.
Selagi Harith sah bergelar suaminya, dia wajib
mentaati dan menghormati Harith sebagai seorang suami.
Biarlah! Cuma untuk setahun ini saja dia kena bersabar.
Kerana mengikut perjanjian mereka, cuma setahun saja
mereka perlu berlakon dan pertahankan rumah tangga ini.
Selepas cukup tempoh itu, mereka akan membawa haluan
sendiri, dan dia juga akan bebas daripada bebanan ini.
HARITH masih terkebil-kebil dalam cahaya yang
samar-samar itu. Matanya masih terpaku lama kepada Qaseh
yang sedang berteleku di sejadah. Hati Harith tersentuh
dengan perlakuan Qaseh sebentar tadi.
Saat Qaseh datang menyelimuti tubuhnya sebentar
tadi, dia sedar sebenarnya. Entah perasaan apa yang
bertandang, Harith sendiri tidak dapat mentafsirkannya. Apa
yang dia tahu, dia berasa senang dan tenang. Melihat Qaseh
menangis teresak-esak di sejadah membuatkan hatinya
tiba-tiba berasa sayu.
Rasa malunya kepada Qaseh mula menggunung.
Sudah begitu lama rasanya dia tidak tunduk dan sujud
kepada Penciptanya. Begitu sombongnya dia selama ini. Dia
langsung tidak tahu bersyukur.
Kata-kata Rizal petang tadi kembali menerjah
ke dalam ruang ingatannya, membuatkan perasaannya
berkecamuk.
‘Beruntungkah aku punya seorang isteri seperti dia?’
tanpa sedar hatinya bertanya.

No comments:

Post a Comment