Thursday, 14 July 2016

Sesuci Cinta Qaseh - Bab 14

“HAI, awal pulak kau sehari dua ni ye Qaseh?
Selalu kaulah yang kelam-kabut masuk ofis sebab lewat je
memanjang.” Sapa Ryna yang tiba-tiba saja muncul di pantri.
Entah bila dia sampai di situ, Qaseh sendiri tidak tahu.
Qaseh yang sedang ralit mengacau air di mug laju
saja menoleh. Segaris senyuman diberikan kepada Ryna. Ryna
yang tampak anggun dengan skirt labuh dan blaus berlengan
panjang itu segera mengambil tempat di sebelah Qaseh.
“Kau tak minum ke?” tanya Qaseh sepatah tanpa
menjawab pertanyaan Ryna sebentar tadi. Mug yang masih
berasap tipis itu dibawa ke mulut lalu diteguk sedikit airnya.
“Aku dah makan kat kedai. Breakfast dengan tunang
aku tadi.” Jawab Ryna panjang lebar.
Mata Ryna masih merenung lama kepada Qaseh yang
ayu berbaju kurung moden daripada kain jenis cotton itu. Di
kepala Qaseh pula tersarung kemas tudung bawal Aidijuma.
Dalam diam terselit rasa kagum di hati Ryna melihat keayuan
yang dimiliki Qaseh. Keayuan asli yang langsung tidak
dicemari oleh sebarang mekap.
“Untunglah...” balas Qaseh sepatah sambil tersengih
lebar. Sebaik saja dia tersengih, lekuk di kedua belah pipinya
jelas kelihatan membuatkan wajahnya tampak manis sekali.
“Itulah... aku suruh cari pakwe tak nak.” Bidas Ryna
pula.
Qaseh hanya mencebik.
“Tarik muncung tu baru tahu!!!” gertak Ryna pula.
Ketawa Qaseh sudah pecah di situ.
“Senang ke dapat bas? Awal kau hari ni?” Ryna
kembali bertanya, mengulang semula soalannya yang tidak
berjawab sebentar tadi.
“Ermm... taklah. Aku drive.” Air di mug kembali
diteguk.
“Hai, diam-diam dah pakai kereta?” Ryna sudah
tersenyum sumbing. Keningnya diangkat beberapa kali.
“Bukan aku punya. Kereta pinjam. Eh, dahlah... jom
pergi buat kerja. Nanti kalau Encik Faez nampak aku masih
lepak kat sini, teruk aku kena.” Qaseh bingkas bangun dan
membawa mug kosong ke singki lalu dicuci. Dia malas mahu
melayan celoteh Ryna sebenarnya. Bimbang pula nanti Ryna
tanya dia dengan soalan yang bukan-bukan.
“Haa... yang itu pun satu hal. Aku tak faham kenapa
Encik Faez tu garang sangat dengan kau. Entah-entah dia ada
hati dengan kau tak? Lelaki ni pelik sikit Qaseh. Dah suka,
tapi tak nak mengaku.” Mulut becok Ryna masih belum puas
berceloteh.
“Isyyy, kau ni! Jangan fikir yang bukan-bukan boleh
tak? Nanti dengar dek orang lain, aku juga yang malu. Tak
pasal-pasal kena tuduh syok sendiri.”
Wajah Faez yang selalu bermuka ketat setiap kali
bertembung dengannya itu terus bermain di ruang mata.
Boleh tahan juga kacaknya Si Faez tu. Tapi sayang, senyuman
tu mahal sangat.
‘Tapi dengan aku aje pun. Hai, apalah salah aku
pada dia agaknya?’ keluh Qaseh dalam hati. Lama dia berdiri
sambil berfikir.
“Oiii, sudah-sudahlah berangan! Jom pergi buat
kerja.” Ryna sudah mencuit bahu Qaseh laju, kemudian terus
berlalu dari pantri menuju ke meja kerjanya, meninggalkan
Qaseh yang masih terkebil-kebil di situ.
“QASEH, Encik Faez nak jumpa kat bilik dia.”
Zuppp!!! Berita yang baru disampaikan Tina,
penyambut tetamu di pejabatnya itu dirasakan begitu
merentap jiwanya. Tidak semena-menanya jantung Qaseh
berlari laju.
“Nak jumpa aku? Ada apa ek?” Dahi Qaseh sudah
berkerut. Wajah Tina dipandang bersungguh-sungguh.
“Hesy, kau ni. Manalah aku tahu. Dahlah, pergi
cepat. Nanti aku pulak yang kena marah.” Balas Tina.
Qaseh cepat-cepat berlalu ke bilik Faez dengan
perasaan berkecamuk. Perutnya mula rasa memulas-mulas.
Tok... tok... tok... Pintu diketuk beberapa kali. Qaseh
berdiri tegap di hadapan bilik Faez yang sederhana besar itu.
Masih diam tanpa sebarang jawapan. Qaseh mengeluh. Dia
kembali mengetuk daun pintu, agak kuat kali ini.
Sejurus itu juga terdengar suara dari dalam.
“Masuk!” Tegang saja bunyinya.
Qaseh sudah berdebar-debar. Dalam hati tidak
putus-putus dia berzikir, cuba menenangkan diri. Masih
terngiang-ngiang herdikan Faez pada petang mesyuarat
tempoh hari. Qaseh dituduh buat kerja sambil lewa. Sakit
juga hatinya mengingatkan semua tuduhan itu. Tapi apakan
daya, Faez memang orang atasannya, merangkap bos kecik
kepadanya. Apa saja arahan dan cacian, dia harus terima dan
telan.
“Assalamualaikum...” sapa Qaseh saat pintu ditolak
dari luar.
“Waalaikumussalam. Masuk!” jawab Faez tanpa
mengangkat sedikit pun mukanya dari meja. Dia tampak
begitu khusyuk, menulis sesuatu di atas sekeping kertas.
Qaseh segera masuk dan berdiri betul-betul di hadapan Faez.
Tidak pula dia berani untuk duduk tanpa arahan.
Lama dia berdiri di situ, dan Faez juga masih lagi
khusyuk dengan kerjanya tanpa menoleh sedikit pun kepada
Qaseh.
‘Eii... apa kes dia ni? Tadi panggil aku sangat.
Sekarang aku dah tercongok depan dia dari tadi, dia boleh
buat bodoh aje!’ Qaseh sudah membebel dalam hati.
“Ehem...” Qaseh berdeham kecil.
Laju saja Faez mengangkat kepalanya, memandang
Qaseh buat seketika.
“Duduklah... yang awak berdiri dari tadi kenapa?”
Sinis saja bunyinya. Laju saja Qaseh menarik kerusi lalu
duduk berdepan dengan Faez.
Wajah Faez nampak biasa saja hari itu, tidak ketat
seperti kebiasaannya. Namun dada Qaseh masih tetap
berdebar-debar. Renungan mata Faez yang tajam pada
wajahnya itu membuatkan jantungnya terasa seperti mahu
tertanggal. Jika dilihat dari mata kasar, Faez mungkin sebaya
dengan suaminya Harith. Jika tidak, mungkin tua setahun
dua sahaja daripada Harith.
“Ada apa Encik Faez panggil saya ni?” tanya Qaseh,
tidak betah lagi dengan situasi yang mendebarkan seperti
sekarang.
Faez tersentak dengan pertanyaan Qaseh.
“Err... hmmm... macam ni, esok saya ada meeting
dengan client kat Damansara. Tapi saya tak boleh pergi sebab
ada kerja lain yang lebih penting. So, saya nak awak gantikan
tempat saya. Tapi ingat! Ini memang client tetap kita. Saya
tak nak dengar ada sebarang aduan.” Akhirnya berjaya juga
Faez mengawal kegugupannya sebentar tadi.
‘Gila aku ni! Kalau dia perasan aku duk tenung dia
tadi, tak ke malu...’ desis Faez sendiri.
Memang semenjak pertama kali dia terpandangkan
Qaseh, hatinya sudah berdegup kencang, seakan tidak percaya
dengan pandangan matanya. Mana mungkin orang yang telah
mati hidup kembali. Tetapi, wajah Qaseh saling tidak tumpah
seperti wajah arwah tunangnya. Cuma... cuma lesung pipit
di pipi Qaseh itu saja yang membezakan mereka. Kebetulan
apakah ini?
Kerana itulah dia tidak mampu untuk berdepan
dengan Qaseh. Tidak kuat untuk melayan Qaseh dengan
baik seperti dia melayan pekerja-pekerja lain. Dia takut.
Takut sekiranya dia tidak dapat mengawal emosinya. Takut
kalau-kalau dia terlupa siapa Qaseh sebenarnya. Takut dia
tidak kuat untuk melawan perasaan sendiri.
Walaupun sudah hampir dua tahun arwah Syuhada
pergi meninggalkannya, namun bayangan arwah tunangannya
itu masih tetap utuh bertakhta di hati dan bermukim di
sanubari. Melihat Qaseh, seolah-olah dia melihat Syuhada.
Alangkah sakitnya perasaan itu.
Wajah Faez berubah riak, tampak sayu dan mendung
tiba-tiba.
“Apa encik cakap tadi?” soal Qaseh dengan wajah
berkerut. Dia seakan mendengar Faez seolah-olah mengomel
sesuatu, namun kurang jelas. Matanya masih menatap wajah
Faez yang tiba-tiba beriak mendung.
‘Kenapa dengan dia ni?’ hati kecil Qaseh
tertanya-tanya.
“Ehem... tak ada apa-apa. Okey, awak boleh keluar
sekarang. Kejap lagi saya e-mel alamat tempat tu pada awak.”
Suara Faez kembali tegang. Dia bersuara tanpa memandang
kepada Qaseh yang sudah terkebil-kebil memandangnya.
Qaseh masih lagi kaku di situ. Bermacam persoalan
bermain dalam fikirannya membuatkan dia menjadi keliru.
“Awak tunggu apa lagi ni???” suara Faez sudah
berubah nada, keras dan menjengkelkan.
Qaseh yang terkejut dengan herdikan itu bingkas
bangun dan cepat-cepat berlalu dari bilik itu.
ANGIN malam yang bertiup lembut menyapa rambut Qaseh,
membuatkan hujung rambutnya terbuai lembut. Matanya
terus merenung ke dada langit, melihat bulan dan bintang
yang bersinar terang. Sejak dari tadi lagi dia duduk termenung
di balkoni bilik. Usai menjamah makan malam sebentar tadi,
dia terus naik ke bilik, meninggalkan Harith bersama Tan Sri
Musa yang masih berbual-bual tentang perniagaan mereka.
Qaseh langsung tidak berminat untuk mengambil
tahu, dan kerana itulah dia lebih senang menghabiskan masa
di bilik. Lagipun, perasaannya akan berasa sesak setiap kali
berdepan dengan Harith. Lebih-lebih lagi jika di hadapan Tan
Sri Musa.
Cuaca malam itu sungguh baik. Seketika ingatannya
singgah pada mereka, insan-insan kesayangannya yang
berada di kampung. Apalah yang sedang dilakukan oleh
datuknya sekarang? Comot adakah di rumah? Ataupun
berjalan sampai lupa nak balik? Aamar pula... sihatkah dia?
Bermacam persoalan bermain dalam benaknya.
Perasaan rindu tiba-tiba menggebu di kalbu. Sudah
hampir sebulan dia berada di bumi Kuala Lumpur ini. Dan
selama itulah belum sekalipun dia pulang untuk menjenguk
datuknya di kampung. Selama hampir sebulan juga, hampir
setiap hari dia akan bertembung dengan ayah kandungnya.
Tetapi hatinya masih tetap sama. Masih ada rasa marah dan
kecewa. Entah bila perasaan itu akan lenyap dari jiwanya,
Qaseh sendiri tidak pasti. Alangkah sakitnya perasaan.
Qaseh mengeluh kecil. Terasa berat benar
bebannya. Sungguh! Dia tidak suka dengan hiruk-pikuk di
kota metropolitan itu. Dia cintakan ketenangan. Cintakan
kehidupan yang tenang tanpa perlu terkejar ke sana dan ke
sini. Namun apakan daya... mahu tidak mahu dia terpaksa
juga menempuhinya. Demi janjinya kepada Tok Daud, demi
mahu membahagiakan hati tua datuknya itu, dia terpaksa jua
menelan semua ini walaupun pahitnya bagaikan terlekat di
anak tekak.
Seketika kemudian ingatannya berlari laju kepada
Faez, Pengarah Eksekutif merangkap bos kecik kepadanya.
Kenangan pagi tadi terus menari laju dalam ingatannya.
‘Kenapa Encik Faez tiba-tiba sedih tadi ek? Aku rasa
macam terdengar dia sebut nama seseorang. Syuhada... siapa
Syuhada tu sebenarnya? Kenapa dia benci sangat pada aku?’
hati Qaseh terus bermain dengan teka-teki.
“Oittt!!! Berangan?” sergah satu suara.
Jantung Qaseh terus tersentap laju. Lamunannya
terus mati dan melayang pergi. Tangannya mengurut-urut
dada yang terasa seperti mahu pecah dek terlampau terkejut.
“Ya Allah! Awak ni... tak boleh ke tegur orang tu
elok-elok? Nasib tak mati terkejut tau!!!” marah Qaseh.
Matanya merenung tajam ke dalam anak mata Harith. Sakit
hati yang amat.
Harith tersenyum simpul melihat Qaseh sudah
menarik muka masam. Rasa kelakar pula dia melihat wajah
Qaseh yang pucat tak berdarah sebentar tadi.
“Dah tahu penakut, buat apa termenung
sorang-sorang tengah malam buta ni?” selamba saja Harith
memangkah. Dia sudah berdiri betul-betul di sebelah Qaseh,
begitu dekat sehinggakan Qaseh dapat menghidu bau
tubuhnya yang wangi dan merasa kehangatan tubuh lelaki
itu.
Dup... dap... dup... dap... tidak semena-mena dada
Qaseh berdebar-debar. Dia masih diam membatu.
“Buat apa kat luar ni?” tanya Harith lagi dengan
suara perlahan dan sedikit mesra. Lain benar dengan nada
suaranya sebelum ini.
‘Hmm... boleh pun cakap elok-elok rupanya.’ Gumam
Qaseh dalam hati, masih belum menjawab pertanyaan
suaminya sebentar tadi. Cuma matanya saja tidak lari daripada
merenung wajah kacak milik Harith. ‘Ermm, lelaki kacak
dan kaya macam dia ni, mustahil tak ada makwe. Kenapa dia
kahwin dengan aku agaknya? Takkanlah semata-mata kerana
harta?’ hati kecil Qaseh terus-terusan berbicara.
“Kenapa diam je ni? Teringatkan atuk ye?” tanya
Harith lagi. Begitu dekat dan lembut di telinga Qaseh,
sehingga menusuk ke dalam hatinya.
Qaseh terpaku. Senyuman manis yang terukir di
bibir Harith tika itu benar-benar membuatkan dia terpanar.
Sepanjang perkenalan mereka, inilah pertama kali Harith
senyum begitu kepadanya. Senyuman yang tampak begitu
ikhlas sekali.
“Hei... dengar tak ni?” Pipi Qaseh disentuh lembut
oleh Harith. Entah kenapa malam itu dia tidak rasa mahu
bergaduh dengan Qaseh. Mungkin hatinya terlalu gembira
kerana Qaseh berjaya memujuk tok ayahnya untuk
membenarkan mereka berpindah dari banglo itu.
Qaseh tersentak dengan perlakuan Harith yang
langsung tidak dijangka. Dia cepat-cepat mengelak dan
menjauhkan sedikit dirinya daripada Harith. Sungguh!!!
Harith lain benar malam itu. Qaseh berasa takut melihat
kelainan yang dipamerkan oleh Harith. Otak nakalnya sudah
membayangkan benda yang bukan-bukan.
“Kenapa awak baik lain macam je malam ni? Menang
loteri?” tanya Qaseh agak sinis. Wajah Qaseh sedikit berkerut.
Harith cuma diam, sedikit pun dia tidak melatah.
Wajah Qaseh yang tampak jernih itu direnung lama. Sekilas
senyuman terukir lagi di bibirnya membuatkan Qaseh
semakin keresahan.
‘Hai... kenapalah selama ni aku tak pernah sedar
yang isteri aku ni cantik.’ Desis Harith dalam hati.
“Terima kasih sebab kau bersusah payah pujuk tok
ayah supaya bersetuju dengan rancangan aku untuk pindah
rumah tu.”
“Oh, jadi sebab itu ajelah awak tiba-tiba baik dengan
saya malam ni?” Qaseh tarik nafas lega.
“Habis tu kau ingat sebab apa?” Harith sudah
buat muka miang. Matanya dikenyitkan kepada Qaseh.
Senyuman lebar bermain di bibirnya saat kakinya melangkah
menghampiri Qaseh semula.
“Awak ni kenapa?” suara Qaseh sudah bertukar nada
cemas. Debaran di dadanya semakin menggila tatkala Harith
sudah pun berdiri betul-betul di hadapannya, begitu hampir
dengannya.
Manakala Harith pula berasa semakin seronok untuk
mengusik apabila melihat wajah Qaseh yang agak tenang
sebentar tadi sudah bertukar menjadi cuak.
“Saja nak bermesra dengan isteri sendiri, tak salah
kan?” Jari kasar Harith sudah membelai lembut wajah Qaseh,
membuatkan Qaseh terpanar.
Dada Qaseh sudah sesak dan terasa seperti mahu
pecah menahan debar. Mukanya juga sudah terasa panas.
Seumur hidupnya, belum pernah ada seorang lelaki pun yang
berani menyentuhnya begitu.
“Awak jangan nak macam-macam ek!!!” Qaseh
menepis laju tangan Harith lalu menolak kuat tubuh Harith
yang merapat padanya. Harith yang tidak bersedia dengan
tindakan Qaseh itu terdorong sedikit ke belakang dan ini
telah membuka ruang untuk Qaseh melarikan diri.
“Gila!!!” bentak Qaseh agak keras sambil menjelirkan
lidahnya kepada Harith. Dia berlari laju masuk ke dalam bilik
dan terus mengunci diri di dalam bilik air.
Harith tergelak kecil. Entah kenapa rasa terhibur
pula hatinya melihat gelagat Qaseh.
“Oii... keluarlah!!!” pekik Harith dari luar bilik air.
Qaseh masih membatu. Matanya dipejamkan
rapat-rapat, cuba menenangkan dirinya.
‘Kenapa aku rasa lain macam aje bila dia sentuh
aku macam tu? Ya Allah, aku takut. Macam mana kalau aku
betul-betul jatuh cinta pada dia nanti?’ hati Qaseh berbisik
sendiri.

No comments:

Post a Comment