Thursday, 11 August 2016

Indahnya Cinta - Bab 7

PELBAGAI acara diadakan malam ini. Aku cukup
terhibur. Baru hari ini aku tahu perangai sebenar abangku
dan Haiqal semasa zaman belajar dulu. Tak sangka yang
mereka ada kumpulan band sendiri. Ternyata mereka cukup
popular. Aku turut berbangga dengan mereka.
“Tapi kenapa letak nama Shut Up? Tak kena langsung
dengan nama tu.” Komenku.
“Ada sejarahnya kami dapat nama tu, kan Carl?”
Abang menepuk perlahan bahu Haiqal sambil tergelak. Haiqal
turut tergelak sama. Hanya aku yang masih berwajah blur.
“Ceritalah macam mana boleh dapat nama tu?” Aku
teruja nak tahu. Pasti ada kisah menarik yang membuatkan
mereka memilih nama unik itu.
“Kalau nak cerita, memang panjang sangat. Takut
Farah tak larat nak dengar.” Ujar Haiqal.
“Gulung-gulung... ambil isi penting aje.” Aku
membalas kata-kata Haiqal.
Dia tersengih.
“Nama tu kami dapat masa tengah lepak
sambil-sambil tunggu lecturer masuk. Sajalah test lagu baru.
Kuat jugalah suara kami berempat tengah menyanyi, tapi
tiba-tiba kami kena sound dengan sorang student ni. Nak
tahu dia cakap apa?” Haiqal memandang muka aku.
Aku mengangguk laju.
“Dia buat isyarat dan letak jari kat bibir dan dia
cakap.... Syyyy... shut up please.” Haiqal sudah tersenyum
sendirian. “Masa mula-mula tu, sentap jugalah sebab kena
sound dengan budak tu. Tapi bila dah kerap kali asyik kena
syyyy, lama-lama kami pun bengang satu badan. Lepas tu
kita orang dah tak buat bising dalam dewan kuliah lagi. Tapi
masa penubuhan band ni, jenuh juga nak memikir nama
kumpulan. Kalau boleh, kami nak nama yang ala-ala catchy
sikit. Masa tulah nama ni muncul. Rasa havoc pula dengan
nama tu, betul tak bro?” Haiqal angkat kening kepada abang.
Abang tersengih dan angguk.
“Oh... macam itu ke sejarahnya? Siapa orang yang
bagi inspirasi nama band tu? Dia datang tak hari ni?” tanyaku.
Nak tahu juga siapa gerangannya.
“Ada, dia ada datang tadi.” Sampuk abang sambil
matanya melilau mencari seseorang. Bebola mata aku juga
turut berlari sama mencarinya walaupun aku tidak tahu
orang yang dimaksudkan itu lelaki atau perempuan.
“Hah... tu dia, yang pakai baju warna biru gelap tepi
girl baju merah tu.” Tunjuk abang.
Aku mengikut arah tangan abang. Seorang lelaki
segak yang memakai cermin mata.
“Oh, dia ke?” soalku.
“Haah... Rudy nama dia.” Tokok Haiqal pula.
“Tak pernah terfikir ke nak buat come back sempena
majlis malam ni? Mesti band Shut Up masih diminati lagi.”
Aku memberi buah fikiran. Tiba-tiba perkara itu terlintas
dalam kepala aku.
“Itu zaman study dulu, sekarang dah jarang berlatih,
takut pitching lari pula nanti.” Ujar abang sambil memandang
Haiqal yang berada di sebelahku sambil tersengih.
“Alah, ruginya tak dapat tengok band abang perform.”
Aku terkilan. Mesti band diaorang ni cukup popular dulu.
Kalau tak, takkan nama diaorang boleh naik dan menjadi
sebutan sehingga kini.
“Kenapa? Farah nak tengok ke kami perform
semula?” tanya Haiqal.
Kepala laju aje mengangguk. Orang dah tanya tu,
mestilah jawab nak.
“Macam mana bro? Okey ke?” Haiqal berpaling ke
arah abang. Lama abang terdiam. Kemudian dia memandang
ke arah aku semula. Aku dah mempamerkan wajah yang
penuh berharap dengan isyarat mata aku. Saja nak psiko dia
agar dia bersetuju. Akhirnya abang mengangguk setuju. Aku
apa lagi, hampir nak melompat terlalu gembira.
“Yeah!!!” Aku tersenyum lebar.
“Okeylah... tapi kena tanya dengan Reza dan Syam
dululah.”
“Kejap... aku pergi tanya.” Haiqal bangun dan terus
bergerak ke belakang.
Aku mengikut langkah Haiqal dengan pandangan
mata. Kelihatan dia menggamit seorang lelaki untuk datang
ke arahnya yang ketika itu sedang berbual dengan seorang
lagi lelaki. Kelihatan Haiqal bertanya sesuatu kepada mereka
berdua. Dalam hati aku berdoa agar teman mereka bersetuju
dengan cadangan itu.
Dari jauh aku melihat mereka bertiga siap melagakan
penumbuk dan salah seorang daripada mereka melangkah ke
belakang pentas. Haiqal datang dengan wajah yang penuh
dengan senyuman. Aku tahu yang Haiqal sedang membawa
satu berita baik.
Bahu abang ditepuk dan dia kembali duduk di
kerusinya tadi.
“Okey, beres bro. Reza tengah uruskan.” Haiqal
tersengih menampakkan barisan gigi yang tersusun cantik.
“Fuh... dah lama tak perform depan orang ramai ni.
Harap-harap tak adalah yang baling telur dekat kita nanti.”
Abang mematah-matahkan jarinya sehingga mengeluarkan
bunyi. Wajahnya menunjukkan riak muka teruja plus
nervous.
Lagu yang terpasang tiba-tiba terhenti. Pengacara
majlis berjalan dan berdiri di tengah pentas sambil memegang
mikrofon. Aku membetulkan duduk dan menunggu apa yang
mahu dicakapkan olehnya.
“Saya menerima satu permintaan khas yang
mengatakan band Shut Up mahu membuat persembahan
bagi menghiburkan kita pada malam ini.”
Belum habis pun lagi pengacara itu bercakap,
masing-masing sudah bertepuk tangan dan bersorak kuat.
Aku memerhati gelagat mereka dengan riak yang sama.
Teruja!
“Okey... okey... bawa bertenang semua. Nampaknya
peminat band ni masih lagi setia sehingga ke hari ini.
Sekarang saya menjemput Freddy, Haiqal, Reza dan Syam
untuk naik ke pentas.”
Serentak dengan pengumuman itu, bunyi sorakan
bergema semula. Aku turut bertepuk tangan. Wah... rasa
bangga ada abang dan boyfriend yang diminati ramai, macam
artis yang diumumkan sebagai pemenang kat ABPBH pula
gayanya.
Abang dan Haiqal bangun serentak. Apabila melihat
abang membuka kot dan melipat lengan bajunya, Haiqal turut
membuka juga dan diserahkan kepada aku. Aku mengambil
kot mereka berdua dan meletakkannya dengan elok di atas
kerusi.
“Good luck….” Aku memberi kata-kata semangat
kepada mereka berdua.
Abang tersenyum sambil mengangguk manakala
Haiqal mengenyitkan mata ke arahku. Aku tersenyum senang.
Reza dan Syam sudah menunggu di tangga pentas. Mereka
berempat siap melaga penumbuk sebelum bergandingan naik
ke atas pentas.
Alat-alat muzik seperti gitar, dram dan bass sudah
siap menunggu untuk mereka. Sorakan terus bergempita di
seluruh dewan. Masing-masing sudah bangun dari tempat
duduk dan berdiri di hadapan pentas.
“Terima kasih kepada semua kerana memberi
sokongan dan masih lagi meminati Shut up ni walaupun dah
hampir lapan tahun kami tak perform bersama-sama. Tapi
kami harap anda semua enjoy dengan persembahan daripada
kami.”
Semua bertepuk tangan lagi apabila Syam sudah
menyerahkan mikrofon kepada abang. Abang mengambil dan
menyelitkannya ke mic stand yang disediakan. Dia memberi
isyarat sebelum muzik mula kedengaran. Masing-masing
sudah mula teruja.
Kuukir namamu di awan gunung jerai
Disaksikan laut daun nyiur melambai
Jauh pandangan permai
Di situ Tanjung Dawai
Terkenang peristiwa
Cinta kita terurai
Suara abang bergema. Aku terpaku mendengar
suara abang, memang sedap. Aku memerhati masing-masing
melambai-lambai tangan ke atas dan turut menyanyi sama.
Aku asyik melihat mereka di atas pentas, tak sangka mereka
berempat mempunyai satu aura yang cukup kuat. Berbekalkan
dengan wajah yang tampan dan kerjaya yang mantap pasti
mereka menjadi rebutan. Kalau tidak, takkanlah sampai girl
kat dalam dewan ni asyik tertoleh-toleh ke arah meja kami.
Abang menamatkan nyanyiannya dengan wajah
yang cukup ceria. Kali ini giliran Haiqal pula. Dia mengambil
gitar dan duduk di atas kerusi. Gitar dipetik dan dia mula
menyanyi. Aku tersenyum, dah boleh agak dia nak nyanyi
lagu apa apabila mendengar petikan gitar di tangannya. Aku
mengangkat ibu jari ke arahnya apabila pandangan kami
bertemu. Dia tersenyum lebar. Lagu kegemaran aku sejak
akhir-akhir ini. Memang dia sangat peka.
“This songs special for someone that I love.” Dia
kenyit mata kepadaku.
Ucapannya membuatkan semua penonton bersorak
semakin kuat. Muka aku tiba-tiba terasa hangat. Malu.
Jangan tinggalkan auramu
Di sekelilingku
Ia membuat aku termimpi
Mimpikan kita
Jangan biarkan wangianmu
Mohon memahami
Ia melekat di hidung
Yang memenuhi di setiap sudut mindaku
Kan kucuri hatimu menyamun senyummu
Kan kuculik cintamu
Macam kularikan lirikmu
Kau tak perasan aku sukamu dari dulu lagi
Kau simpan hatiku
Dari darjah satu darjah satu
Jangan senyum bila di depanku
Fokusku tergendala
Kau memaksa aku menutup mata
Tak sempat tutup telinga bila kau tertawa
Kan ku kembalinya padamu nanti
Bila kita berjanji tuk sehidup semati
Kan kucuri hatimu menyamun senyummu
Kan kuculik cintamu
Macam kularikan lirikmu
Kau kau kau tak perasan ku sukamu
Dari dulu lagi kau simpan hatiku
Dari darjah satu darjah satu
Dari darjah satu aku suka kamu
Bunyi tepukan gemuruh jelas kedengaran.
Meremang rasa bulu roma aku dengan gabungan empat vokal
tadi. Aku tak sangka lagu ini kedengaran lagi best daripada
Mark Adam nyanyi.
Aku tak perasan bila mereka berempat sudah berjalan
turun dari pentas. Sepanjang mereka melangkah ke meja,
teman-teman sibuk menyapa dan menepuk bahu mereka.
Aku membuat thumbs up kepada mereka berdua
selepas mereka mengambil tempat di meja. Rasa betul-betul
seronok sekali malam ini.
“Memang hebatlah... rasa macam tengok artis
terkenal buat persembahan pula tadi. Kalaulah adik tak kenal
abang dengan Haiqal, rasanya nak aje minta autograf.”
“Eh... kalau nak pun apa salahnya? Carl boleh aje,
cakap kat mana nak sain?” gurau Haiqal.
Aku mencebik. Tahu sangat yang dia tengah nak
kenakan aku.
“Alah Carl, nanti kau sain atas borang nikah aje.”
Abang menyampuk.
Gamat meja yang didiami dengan 8 orang itu. Muka
aku kembali hangat. Ya Allah, malunya! Apa punya sengallah
abang aku ni, nak bergurau pun tak tengok tempat.
“Abang!” Aku menampar lengannya.
Abang hanya tergelak. Haiqal pula aku tengok hanya
biasa-biasa saja. Langsung tidak terusik dengan usikan itu.
“Alolo… merajuk pula dia. Carl, kau tolong pujuk.”
Ujar abang. Dia bangun dan meninggalkan meja. Beberapa
rakan mereka yang duduk semeja turut bangun meninggalkan
meja juga.
“Merajuk dengan saya ke?” tanya Haiqal.
Aku jeling sekilas. Bukan merajuk sebenarnya tapi
segan apabila diusik di depan orang.
“Farah…,” panggil Haiqal. Aku masih membatu.
“Sayang…,” panggilnya lembut.
Aku cepat-cepat berpaling. Risau ada orang lain
mendengar.
“Amboi, panggil sayang baru nak pandang.” Usiknya.
Aku mengetap gigi. Geram.
“Bukanlah!” nafiku.
“Makin cantik bila sayang buat muka macam tu.”
“Haiqal, dahlah tu. Malulah kalau orang dengar.”
Aku pandang kiri kanan, tapi semua tetamu tengah buat hal
masing-masing.
“Biarlah. Berkasih sayang bukannya satu jenayah.”
Dia membalas.
Mata aku membulat. Amboi, manisnya kata-kata!
“Apa-apa ajelah.” Balasku. Tidak tahu mahu
membalas apa.
Dia tersenyum kecil.
“Jom, kita ke sana. Saya nak kenalkan kawan-kawan
saya pada awak.” Haiqal menggamit aku untuk mengikutnya.
Aku angguk dan berjalan bersama-sama dengannya.
Sepanjang majlis berlangsung, Haiqal langsung
tidak membiarkan aku bersendirian. Hampir separuh
teman-temannya diperkenalkan kepadaku. Aku perasan
juga ada seorang dua wanita yang sengaja menempel dekat
dengannya walaupun tahu status sebenar aku dengan Haiqal.
Aku menahan rasa dalam hati. Muka maintain dimaniskan.
Tidak mahu memalukan abang dan Haiqal di majlis mereka
ini. Aduh! Susah kalau rapat dengan orang glamour ni.
Jam sudah menghampiri ke pukul 12 malam.
Kawasan dewan mula lengang. Aku menahan kuap. Apabila
perut sudah kenyang, mulalah mata mula mengantuk. Abang
dan Haiqal masih lagi rancak berborak. Entah bilalah mereka
ni nak balik.
“Mengantuk?” Pertanyaan itu berjaya menyentak
hati aku. Aku mengurut dada, terperanjat. Terus hilang rasa
mengantuk.
“Sorry, saya tak sengaja nak buatkan awak terkejut.”
Ujarnya.
Aku geleng dan tersenyum kecil. “Tak apa.”
“Mengantuk? Nak balik?” Dia menyoal sekali lagi.
Aku angguk saja. Lagipun sudah seharian aku berada
di luar rumah.
“Kejap, saya panggil Freddy.” Dia bangun dan
mencari kelibat abang. Gelas yang berisi air suam aku teguk
perlahan.
“Jom balik. Majlis dah tamat ni.” Abang dan
Haiqal berdiri di depan aku. Aku bangun dan kami berjalan
meninggalkan dewan itu. Satu hari yang memenatkan tetapi
cukup menyeronokkan.

No comments:

Post a Comment