Thursday, 11 August 2016

Indahnya Cinta - Bab 8

DIAM tak diam hubungan aku dan Haiqal sudah
mencecah hampir setahun. Aku gembira apabila hubungan
aku dan Haiqal mendapat restu daripada kedua orang tua
kami. Walaupun aku dan Haiqal jarang berjumpa kerana
dia terikat dengan jadual kerjanya yang padat, itu tidak
membuatkan hubungan kami menjadi hambar.
“Carl tak penat ke asyik terbang ke sana sini?” soalku
apabila kami berjumpa petang itu.
“Memanglah penat sayang, tapi nak buat macam
mana? Dah memang kerja Carl macam tu, kan?”
“Carl pernah terfikir tak, nak cari kerja lain?”
“Kerja lain? Kerja apa?” Dahi Haiqal berkerut
memandangku.
“Apa-apa kerja, selain daripada kerja pilot ni? Ambil
alih perniagaan restoran keluarga ke?” dugaku.
“Carl kurang minat dengan business. Carl lebih
suka mengembara dan mengenali budaya dan negara orang.
Farah nak tahu tak, bila kita banyak mengembara, kita dapat
menambah pengetahuan dan semakin banyak Carl tahu, lagi
membuatkan Carl rasa semakin teruja dan seronok. Carl
rasa dengan belajar budaya negara lain adalah sesuatu yang
menarik. Dengan memahami budaya dan tradisi sudah boleh
dikatakan jalan pintas untuk kita faham semangat negara itu
sendiri.”
Haiqal bercerita dengan penuh teruja. Matanya
cukup bercahaya apabila bercakap. Aku terdiam tidak
menyampuk. Macam mana aku nak beritahu Haiqal yang
aku tidak sanggup berpisah dengan dia lama-lama? Memang
impian dia suka mengembara. Aku mengeluh dalam diam.
Straw di dalam gelas aku pusing-pusing perlahan.
“Farah, kenapa ni?” Haiqal menyentuh tangan aku.
Aku tersenyum hambar. Haiqal perasan dengan
perubahan mood aku. Dia berkalih dan duduk di sebelah aku.
Aku ditarik perlahan untuk menghadapnya. Mata kami saling
berpandangan.
“Beritahu saya, apa yang membuatkan sayang saya
bad mood hari ni?” Dia senyum.
“Kalau saya cakap sesuatu, awak marah tak?”
“Cakaplah, kan selama ni Farah seorang yang
cukup berterus terang. Jangan risau, saya tak akan marah
awak tak tentu pasal.” Ujar Haiqal lembut. Aku senang hati
mendengarnya.
“Sebenarnya saya tak tahu bila saya berperasaan
macam ni, tapi saya tak suka bila terpaksa berjauhan dengan
awak. Lagipun dalam setahun, saya boleh kira berapa banyak
masa yang kita habiskan bersama. Saya....” Bicaraku terhenti.
Tangan aku genggam perlahan. Aku tidak berani memandang
muka Haiqal apabila perasan yang riak mukanya sudah
berubah.
“Maaf, kalau awak terasa. Saya tak bermaksud
apa-apa.” Aku renung wajahnya.
“Tak, saya faham apa yang Farah rasa. Saya pun berat
hati juga tiap kali kita berpisah. Farah, saya nak cakap sesuatu
sikit ni, harap Farah tak hampakan saya.” Ujarnya dengan
suara gugup.
Aku mengangguk walaupun tidak tahu apa yang dia
mahu cakapkan.
Perlahan-lahan Haiqal meletakkan sesuatu di depan
aku. Aku pantas menutup mulut. Benda itu aku pandang
lama. Air mata aku mula bergenang. Tidak percaya dengan apa
yang aku lihat. Wajah Haiqal aku pandang. Lama. Memohon
pengertian dan pengesahan.
Haiqal tersenyum dan menarik keluar sebentuk
cincin dari bekasnya.
“Farah, sudi tak awak kahwin dengan saya? Jadi suri
hidup saya buat selama-lamanya?” Mata Haiqal menikam
lembut anak mata aku.
Air mata yang bergenang tidak mampu aku
tahan lagi. Tidak menyangka lamaran daripadanya. Aku
mengangguk dengan penuh rasa sebak.
“Ya... saya sudi.” Suara aku bertambah sebak apabila
dia menyarungkan cincin di jari manis aku. Aku menilik cincin
yang tersarung. Perasaan aku kini bagai di awang-awangan.
Senyuman lebar masih terukir di bibir kami berdua.
“Saya janji akan bahagiakan hidup Farah untuk
selama-lamanya.” Ucapnya.
Aku angguk dan aku tidak sabar untuk menjadi hak
milik kekal buat lelaki sehebat Muhammad Haiqal kerana dia
adalah bakal imamku kelak. Insya-Allah...
SATU PERASAAN yang tidak dapat aku nak gambarkan pada
hari ini. Rasa gembira, teruja, sedih dan tidak percaya masih
lagi membelenggu diri aku. Namun apa yang pasti aku sangat
gembira apabila sah menjadi tunangan kepada lelaki yang aku
cintai.
Cincin yang tersarung di jari aku usap dan cium
dengan lembut seperti aku menyentuh hati Haiqal dengan
cara itu. Aku membelek barang-barang hantaran yang
diletakkan di atas katil. Aku tersenyum, akhirnya impian
kami untuk bersama sudah mendapat restu.
“Selamat bertunang sayang.” Suara Haiqal di hujung
sana aku sambut dengan satu senyuman lebar.
“Thanks, selamat bertunang juga untuk awak. So,
lepas-lepas ni dah tak bolehlah awak nak main mata dengan
perempuan lain sebab hati awak saya dah ikat.”
“Bukan saya yang patut cakap macam tu dekat
sayang ke?” Haiqal ketawa senang.
“Saya la yang patut cakap macam tu, sebab awak tu
stok yang paling hot dan yang paling dikehendaki kat luar
sana tu.” Aku turut membalas sama. Haiqal makin kuat
tergelak.
“Jangan risau, sebab saya awal-awal lagi dah gantung
signboard yang saya ni dah sold out.” Gelak Haiqal lagi.
Aku turut ketawa sama. Haiqal ni ada saja ayat
merapu dia. Aku berguling-guling di atas katil sambil tangan
masih lagi menekup telefon di telinga.
“Farah cantik sangat tadi. Tergoda saya dibuatnya.”
Haiqal berbisik lembut di telingaku.
Aku menggigit bibir, menahan rasa. Bibir masih lagi
tidak pudar dengan senyuman.
“Mana tahu saya cantik? Awak bukan ada pun tadi.”
Balasku. Aku sengaja tidak bagi Haiqal ikut serta masa majlis
pertunangan berlangsung tadi. Segan kalau dia ada sama,
nanti makin tak keruan pula hati aku. Jadi lebih baik kalau
dia tak ada. Lagipun ini hanya bertunang, dia tak ada pun
tak apa.
“Tahu, tapi saya dah suruh Maria ambil gambar
sayang banyak-banyak tadi.”
Aku tersenyum. Patutlah Maria beria-ria suruh aku
posing dengan macam-macam gaya tadi. Rupanya-rupanya
ada orang upah.
“Pandailah berpakat dengan Mar tu ya. So, nak tahu
juga apa perasaan Encik Haiqal lepas menjadi tunangan
orang ni?” Aku berkalih dan duduk di sofa pula. Terdengar
dehaman Haiqal. Terletus bunyi ketawa di bibirnya.
“Hmmm... rasa seronok dan gembira sangat-sangat.
Tak tahu nak gambarkan macam mana, tapi rasa sangat-sangat
bertuah sebab bakal mengakhiri zaman bujang dan hidup
bersama dengan sayang saya.”
Suara Haiqal cukup romantik dan aku bagai terbuai
dengan kata-kata indahnya. Aku tersenyum bahagia. Hati aku
turut mengiakan apa yang diucapkan oleh Haiqal.
“Sayang pula?” dia menyoal.
“Saya pun.” Balasku pendek.
“Eh, mana aci sama jawapan. Fikirlah jawapan
sendiri.” Giatnya.
Aku mencebik.
“Biarlah.” Ujarku, kemudian kami sama-sama
tertawa riang. Ya Allah, moga rasa bahagia ini terus kekal
bersama-sama dengan kami.
KALENDAR DI atas meja aku belek perlahan-lahan. Aku
melihat tanda bulat yang aku buat dengan pen merah. Lagi
dua minggu aku dan Haiqal akan bernikah. Tempoh ikatan
pertunangan kami hanya tiga bulan sahaja. Haiqal yang tak
nak bertunang lama-lama. Tak sabar katanya. Segala urusan
perkahwinan aku dibantu oleh mama dan ibu. Nasib baik
mereka sudi membantu. Kalau tidak, mahu pengsan aku nak
menguruskannya seorang diri.
Haiqal ada juga sesekali menelefon aku bertanyakan
persiapan perkahwinan kami. Walaupun dia berada jauh
sekarang, tetapi dia tidak lepas tangan kepada aku seratus
peratus. Dia sudah berjanji dengan aku yang ini adalah
penerbangan dia yang terakhir kerana selepas ini dia
akan bertukar ke ibu pejabat. Rasa sedih juga melihat dia
seakan-akan terpaksa melupakan minatnya itu.
“Tak sayang, jangan risau. Carl memang dah niat
nak bertukar angin. Takkan nak tinggalkan sayang kat sini.
Tak sanggup rasanya. Demi sayang, apa pun sanggup Carl
lakukan.”
“Jangan memaksa kalau Carl tak boleh. Lagipun
dulu memang minat Carl macam tu, kan? Suka mengembara
ke negara orang.” Ujarku.
“Itu dulu sayang, sekarang ni Carl hanya nak berada
di samping sayang sehingga ke akhir hayat Carl. Carl dah tak
minat nak mengembara dan mengenali budaya orang lain
lagi sebab selepas ni Carl dah berniat nak mengembara dan
mengenal hati budi sayang Carl yang sorang ni. Rasanya pasti
lagi menarik, kan?” giat Haiqal nakal.
Muka aku mula rasa kebas. Dia tergelak kecil.
“Tak sabar nak tunggu minggu depan.” Ujarnya. Dia
mengerling aku yang duduk di sisinya.
Aku tersenyum manis.
“Sabar. Kalau dah jodoh kita, pasti tak ke mana.”
“Carl janji akan jaga sayang selama-lamanya. Selagi
hayat dikandung badan, Carl akan sayang dan cintakan sayang
macam Carl sayangkan diri Carl sendiri.”
“Farah pun, Farah akan tetap sayangkan Carl selagi
hayat dikandung badan.” Aku memandang Haiqal dengan
pandangan yang penuh dengan rasa cinta. Entah kenapa, aku
melihat ada rasa sayu di matanya.
“I love you sayang, sayang sangat-sangat. Cinta Carl
pada sayang sangat mendalam dan Carl nak sayang ingat satu
aje. Jangan diragui kasih sayang Carl dan ingat rasa cinta Carl
sangat luas dan tiada sempadan, sehinggakan sayang akan
rasa, di mana ada cinta, di situ Carl akan ada.” Pandangan
Haiqal menikam lembut ke anak mataku.
Aku mengangguk. Entah kenapa hati aku sangat
berbekas dengan kata-katanya.

No comments:

Post a Comment