Tuesday, 9 August 2016
Kau Yang Kunanti - Bab 1
SKRIN monitor komputer yang tertera penyata
kewangan syarikat Amirah renung tanpa jemu. Sedikit pun
matanya tidak beralih ke tempat lain. Pada pandangan orang
lain wanita itu kelihatan asyik sekali melakukan kerjanya.
Sedangkan hakikatnya bukan begitu. Matanya saja di situ,
tapi tidak fikirannya yang entah ke mana berterbangan.
Sudah 6 bulan Nur Amirah menyepikan diri daripada
orang-orang yang disayangi. Sudah 6 bulan juga Amirah
belajar hidup berdikari. Dia tidak mahu menyusahkan
sesiapa. Dia juga tidak mengharapkan belas ihsan orang
lain terhadap nasib dirinya. Dengan kelayakan yang tidak
pernah digunakan, kini dia berjaya menjawat jawatan sebagai
akauntan di Mega Construction Sdn. Bhd.
Walaupun syarikat ini tidak sebesar mana, itu
sudah cukup baginya untuk menampung hidupnya dan
juga puterinya yang baru menginjak usia dua tahun lebih.
Biarlah apa pandangan orang terhadap dirinya, tidak pernah
dipedulikan. Dia juga tidak pernah kisah dengan orang
sekeliling yang mengenalinya dengan status janda beranak
satu. Kerana hakikatnya hanya dia dan teman rumahnya saja
yang tahu.
“Woii... apa yang kau menungkan tu?”
Amirah mengurut dada. Saat itu membuntang
matanya merenung Marissa yang tergelak sakan.
“Kau ni Rissa, suka buat aku terkejut. Kalau tiap-tiap
hari macam ni, boleh mati terkejut aku dibuat engkau.”
“Hehehe... relaks la. Aku bukan apa. Tiap-tiap hari
aku tengok kau termenung. Kenapa? Kau teringatkan suami
kau ek?”
Pada waktu itu Marissa sudah pun melabuhkan
punggung di atas meja berhadapan dengan Amirah. Semenjak
bekerja di sini, Marissa la yang paling rapat dengannya. Gadis
itu bukan sahaja periang, malah berperibadi mulia walaupun
pada pandangan mata kasar Marissa tampak begitu serius.
Masih dia ingat sewaktu pertama kali dia menjejakkan
kaki ke syarikat itu, majikannya telah memperkenalkannya
dengan Marissa kerana pada waktu itu dia sedang mencari
rumah untuk disewa. Kebetulan Marissa juga sedang mencari
rakan serumah kerana tidak mampu hendak membiayai sewa
bulanan seorang diri. Bekas teman serumahnya sebelum ini
telah berkahwin dan mengikut suaminya ke Sabah.
Tidak dinafikan, pada mulanya Amirah agak khuatir
untuk tinggal serumah dengan Marissa. Selain berwajah
serius, Amirah juga bimbang sekiranya Marissa tidak dapat
menerimanya kerana bukan sahaja dia yang bakal menghuni
rumah itu, malah anaknya juga. Bimbang sekiranya Marissa
tidak biasa dengan tangisan bayi di malam hari. Maklumlah,
gadis itu masih belum berumah tangga dan tidak biasa
dengan kehidupan sebagai seorang ibu.
Namun ternyata sangkaannya salah belaka. Marissa
ternyata gadis yang begitu berbeza dengan lahir wajahnya.
Dia mudah menyesuaikan diri dengan Amirah yang beranak
kecil. Malahan, gadis itu sudah seperti ibu kedua kepada
Nasuha, anaknya. Gadis itu begitu menyayangi Nasuha seperti
anaknya sendiri. Sikapnya itulah yang membuatkan Amirah
tidak keberatan untuk menceritakan segala masalah yang
dihadapinya. Apa sahaja yang telah berlaku dalam hidupnya
diceritakan kepada Marissa.
“Kurang ajar punya perempuan! Sudahlah rampas
suami orang, ada hati nak conquer sampai macam tu sekali!
Tak sedar diri betul! Kenapa kau tak fight aje Mira? That’s
your right!”
Itulah kata-kata Marissa selepas mengetahui kisah
hidupnya. Kata gadis itu lagi, dia tidak suka dengan lelaki
yang tidak setia. Sudah ada yang baru, yang lama diabaikan
begitu sahaja.
“Harap-harap tunang aku bukanlah macam tu. Tak
sanggup aku nak bermadu.”
Amirah hanya tersenyum mendengarnya. Wanita
manalah yang sanggup berkongsi kasih. Walaupun bagi lelaki
madu itu manis, tapi sepahit hempedu pula bagi seorang
wanita. Namun itu semua takdir yang harus dihadapinya.
Sebagai manusia, dia harus menerima dengan hati yang
penuh reda walaupun begitu pahit hendak ditelan. Tapi
dalam keadaan dia yang melarikan diri sebegini, sesuaikah
tindakannya ini dengan perkataan ‘reda’ itu?
Mungkin perkataan itu begitu sepadan suatu ketika
dahulu. Ketika berita perkahwinan suaminya dengan Sofiana
sampai ke pengetahuannya. Walaupun kecewa yang teramat
tapi digagahkan jua bibirnya mengukirkan senyuman. Semua
itu didorong oleh rasa takut kehilangan orang yang begitu
disayangi di dunia ini. Dia tidak punya sesiapa melainkan
suaminya itu. Dia anak yatim piatu. Dirinya hanya dibesarkan
di rumah anak-anak yatim.
Tetapi, kekuatan dan ketabahan yang cuba disemaikan
di dalam jiwa akhirnya roboh juga lantaran pengabaian
suaminya saban hari. Sepanjang 3 bulan berkahwin dengan
Sofiana, hanya 3 hari sahaja Hakim bermalam di rumahnya.
Hakim sudah tidak betah tinggal di rumah mereka. Lelaki itu
lebih selesa berada di rumah isteri keduanya. Lalu, setelah
berfikir panjang, jalan inilah yang diambilnya.
Mungkin kehadirannya dalam hidup mereka berdua
akan merumitkan keadaan. Amirah sedar dirinya hanya
menumpang kasih suaminya. Sofiana yang lebih berhak
kerana mereka berdua pernah menjadi pasangan kekasih
semasa sama-sama menuntut di universiti dahulu. Tetapi
hubungan mereka terputus di tengah jalan kerana kesilapan
Sofiana sendiri.
“Weh, kau ni kenapa? Termenung lagi!!!” Suara
Marissa yang sedikit bernada marah membuatkan Amirah
tersedar daripada mimpinya.
“Tak ada apa-apalah. Hah, kau ni kenapa datang bilik
aku?”
“Kenapa kau tanya? Cuba tengok jam dah pukul
berapa sekarang?”
Amirah hanya menurut kata-kata Marissa itu. Hampir
tersembul matanya apabila jarum jam sudah menunjukkan
ke angka satu.
“Masya-Allah dah pukul 1!”
“Ya cik kak, dah pukul 1 pun. Lunch time. Dah,
jom makan. Aku dah lapar gila ni. Asyik mengelamun saja
kau ni. Ingatkan husband la tu. Kalau dah rindu sangat, kau
pergi aje cari dia dekat rumah isteri mudanya tu. Senang
cerita. Tak payah termenung sana sini. Lepaskan rindu kau
habis-habisan,” bebel Marissa.
“Mengarut ajelah kau ni. Entah dia ingat ke tidak
dekat aku ni. Dah 6 bulan aku di sini. Tapi tak sekali pun
dia datang cari aku. Itu maknanya dia dah bahagia dengan
isteri muda dia. Biarlah, aku pun tak nak jadi penghalang
kebahagiaan mereka.”
“Habis, kebahagiaan kau macam mana? Takkan kau
nak biarkan macam tu saja? Tak adil namanya. Kau isteri dia
jugak,” bangkang Marissa.
“Itu aku tahu Rissa. Tapi apa gunanya aku tuntut hak
aku pada dia sekiranya dia tak sudi nak beri? Aku jugak yang
akan kecewa nanti. Biarlah, mungkin jodoh aku dengan dia
sampai di sini. Siapa tahu, kalau-kalau ada jodoh aku dengan
orang lain?”
“Dengan orang lain? Dengan siapa tu? Hah, aku
tahu... dengan Encik Faris, kan?”
“Isy... kau ni mengarut sajalah. Apa kena-mengena
dengan Encik Faris pulak?” Cepat Amirah menidakkan
andaian Marissa. Tidak mahu mendengar usikan-usikan
Marissa lagi. Gadis itu suka benar menggosipkan dirinya
dengan bos mereka iaitu Encik Faris. Seorang lelaki tampan
yang masih belum beristeri walaupun sudah menjangkau
usia 32 tahun. Tiba-tiba wajah tampan itu berlegar-legar
dalam fikiran Amirah.
No comments:
Post a Comment