Tuesday, 9 August 2016

Kau Yang Kunanti - Bab 2

SEBAIK sahaja Suzuki Swift yang dipandu Marissa
memasuki Jalan Tun Razak, gadis itu tiba-tiba bersuara.
“Emm... Mira, aku ingat nak ke bank sekejaplah.
Cash dah kering ni.”
“Okey, aku ikut aje. Bukan aku yang bawa kereta
pun. Aku pun nak kena buat withdraw ni. Cash aku pun
dah kering. Susu dengan lampin Suha pun dah nak habis.
Upah Kak Piah pun dah nak kena bayar ni. Dah cukup bulan.
Karang Kak Piah tak nak jaga anak aku pula,” balas Amirah
dalam nada bergurau.
“Isy... tak adalah sampai Kak Piah nak buat macam
tu. Husband dia tu banyak duit Mira. Sebab tu dia tak bekerja.
Tak adanya dia nak berkira kalau kau lambat bayar,” bebel
Marissa. “Since kau pun nak buat withdraw, kita masuk
parking ajelah.”
“Yalah. Kau nak pergi bank mana ni?”
“Tu... bank depan tu. Bank Islam. Alang-alang dah
jumpa bank ni, baik berhenti terus. Takkan nak berkira kalau
kena tolak RM1 kut,” sindir Marissa.
Aku mencebikkan bibir.
“Aku bukan kedekut macam kau, Rissa.”
“Eh, aku pula yang kena. Jomlah,” ajak Marissa
apabila kereta sudah elok terparkir. Di hadapan kami kini
tersergam indah premis Bank Islam (M) Berhad cawangan
Taman Melawati. Tiba-tiba aku terpaku di situ. Bank Islam???
“SAYANG, NAH!”
“Apa ni bang?” Huluran suaminya disambut dengan
penuh kerutan di dahi. “Kad ATM?”
Hakim menganggukkan kepala. Pinggang isterinya
dicapai lalu dipeluk erat dari belakang. Perut Amirah yang
masih belum menunjukkan perubahan diusap manja. Di situ
tersimpannya buah cinta mereka.
“Abang dah bukakan akaun Bank Islam untuk Mira.
Setiap bulan abang akan masukkan duit dalam akaun tu. Duit
tu untuk perbelanjaan Mira dan anak kita nanti.”
“Tapi abang kan memang selalu bagi duit dekat Mira?
Kenapa nak buka akaun lagi?” soal Amirah. Hampir setiap
minggu Hakim akan memberikan wang belanja kepadanya.
Barangan dapur juga akan disediakan oleh Hakim. Jadi apa
perlunya simpanan itu lagi? Wang yang Hakim berikan
kepadanya selama ini sudah lebih daripada cukup.
“Itu duit untuk perbelanjaan rumah sayang. Duit
dalam akaun ni untuk perbelanjaan sayang dan anak kita.
Manalah tahu kalau sayang nak beli baju ke, apa ke, sayang
boleh pakai duit ni.”
“Tapi....”
“Dah tak ada tapi-tapi lagi. Mira ambil saja. Nombor
PIN ada abang tulis dalam buku akaun tu.”
“Thanks abang.”
“Eh, Mira!” Terkejut Amirah apabila bahunya ditolak
oleh Marissa. Kelihatan gadis itu sedang memandangnya
dengan riak tidak puas hati. “Sempat lagi kau berkhayal dekat
sini? Cepatlah, kata nak keluarkan duit. Karang terlambat
pula kita nak balik ofis. Waktu lunch dah nak habis ni.”
“Yalah, jom!”
MALAM ITU selepas menidurkan Nasuha, Amirah
termenung di ruang tamu. Bermacam-macam perkara yang
difikirkannya. Persoalan yang menyesakkan kepalanya saat
itu. Sungguh, dia tidak menyangka setelah 6 bulan berlalu
ternyata Hakim masih tidak lupa dengan tanggungjawabnya
sebagai seorang suami. Nafkah untuk isteri dan anaknya tetap
diberikan. Terkejut dia apabila melihat buku akaun Bank
Islamnya yang tercatat wang masuk setiap bulan. Dia yakin
itu adalah pemberian suaminya kerana tiada sesiapa pun yang
mengetahui nombor akaunnya kecuali Hakim. Suaminya
itulah yang membukakan akaun tersebut untuknya.
Kalaulah mereka tidak singgah di bank itu tadi, sudah
tentu dia tidak akan ingat yang dia mempunyai akaun di Bank
Islam dengan jumlah simpanan yang begitu banyak. Semua
itu disebabkan sikapnya yang tidak pernah mahu menyentuh
wang itu. Bukan kerana tidak menghargai pemberian suami,
tetapi pada fikirannya, lebih baik wang itu disimpan untuk
kegunaan masa depan.
HUJUNG MINGGU itu Amirah dan Marissa membawa Nasuha
bersiar-siar di taman. Kasihan Nasuha, dalam usia semuda ini
dia telah kehilangan kasih sayang seorang ayah. Berdosakah
dia kerana telah memisahkan jalinan kasih sayang mereka
berdua? Tapi mungkinkah Hakim masih lagi mengingati
puterinya ini?
Ah, mungkin juga dia sudah melupakan anak ini.
Maklumlah, Hakim sudah punya sebuah keluarga lain. Tapi
kalau benar suaminya itu telah melupakan mereka berdua,
kenapa setiap bulan Hakim tidak lupa untuk memberi nafkah?
Ah, kusut benar fikirannya.
“Apa yang kau fikirkan Mira?”
Amirah mengesot sedikit memberikan ruang buat
Marissa melabuhkan punggungnya.
“Tak ada apa-apalah Rissa.” Pantas Amirah
menggeleng-gelengkan kepala.
“Tipulah. Aku tahu kau tengah fikirkan sesuatu,
kan? Mesti ada kena-mengena dengan Hakim, kan?”
Perlakuan Amirah yang menunduk secara tidak
langsung memberikan jawapan kepada Marissa. Dalam diam
dia juga bersimpati dengan nasib yang menimpa temannya
itu. Dalam usia yang baru mencecah 27 tahun, Amirah
sudah diuji dengan dugaan yang begitu hebat. Bagaimana
kalau dia yang diuji sebegitu? Ah, tidak sanggup dia hendak
memikirkannya. Hidup bermadu terlalu pahit untuk dilalui
oleh orang lemah sepertinya.
“Rissa, kalau kau di tempat aku, apa yang kau akan
lakukan?” Amirah tiba-tiba bersuara. Temannya itu hanya
tersenyum. Kemudiannya dia membuang pandang ke arah
Nasuha yang sedang bermain seorang diri di atas tikar
berhampiran mereka.
“Kau dengan aku berbeza Mira. Kau wanita yang
tabah. Sedangkan aku mungkin tak sekuat kau. Kalau aku
di tempat kau, sudah pasti aku akan meminta perpisahan
daripada suami aku. Terus terang aku katakan, aku tak
sanggup hidup bermadu.”
Sedikit sebanyak apa yang dikatakan Marissa berbekas
dalam hati Amirah. Perpisahan? Mampukah dia menghadapi
perpisahan? Entah mengapa, terasa berat kenyataan itu mahu
diterima sekiranya ia benar-benar berlaku. Tapi kenapa?
Bukankah itu yang dia mahukan dulu? Keadaan mereka yang
sudah berpisah selama 6 bulan ini sudah seperti penceraian
tidak rasmi baginya. Tidak sebumbung dan langsung
tidak berjumpa. Cuma nafkah daripada Hakim yang masih
mengikat mereka berdua.
“Jadi, apa yang patut aku lakukan Rissa?” Amirah
meminta pendapat.
“Kau masih sayangkan dia?”
Amirah terdiam. Agak sukar baginya hendak
menjawab soalan yang diutarakan. Saat itu dia sendiri tidak
tahu apakah perasaannya terhadap Hakim. Yang dia tahu, dia
begitu kecewa dengan layanan suaminya itu setelah punya
Sofiana. Dia juga rindukan kenangan mereka berdua sebelum
kemunculan wanita itu. Saat di mana dia begitu bahagia
disayangi oleh seorang lelaki bernama suami. Namun, apabila
terbayangkan wajah Sofiana, rasa rindu itu hilang sertamerta.
Yang ada hanyalah perasaan benci dan marah yang
begitu mencengkam jiwa.
“Entahlah Rissa, aku pun tak tahu.”
“Mira, aku tak nak kasi kau pendapat apa-apa. Aku
tak nak nanti kau menyesal pula menuruti kata-kata aku.
Segala keputusan yang kau buat mestilah datang dari hati
kau. Cuma, aku nak kau tahu, walau apa pun keputusan kau,
aku akan sentiasa menyokong kau.”
Amirah mengangguk-anggukan kepala tanda
mengerti. Kemudian dia bangun mengambil Nasuha yang
masih leka dengan mainannya. Pipi tembam anak itu dikucup
lembut.
‘Hanya sayanglah permata hati ibu. Jangan
tinggalkan ibu seperti ayahmu yang telah meninggalkan
kita kerana perempuan lain,’ bisik Amirah dalam hati. Mata
galaknya bergenang air. Hatinya mudah saja dirusuh hiba
apabila terpandangkan wajah anak itu yang mirip benar
dengan ayahnya.
“Sudahlah Mira, jangan sedih-sedih lagi. Banyakkan
bersabar,” pujuk Marissa sambil mengusap belakang tubuh
temannya itu. “Emm... lepas ni jadi tak nak pergi shopping?”
Marissa cuba mengalihkan topik yang dia kira bisa
membuatkan wanita itu melupakan kesedihannya.
“Mestilah jadi. Dah lama tak shopping ni,” ujar
Amirah ceria, seperti yang dijangkakan Marissa.
Semenjak perpisahannya dengan Hakim, dia sudah
menjadi wanita yang sedikit boros dan cerewet tentang
pakaian dan perhiasan diri. Semua itu gara-gara Marissa yang
beria-ia memintanya mengubah penampilan diri. Katanya
Amirah cantik dan masih muda. Cuma kecantikannya itu
ditutupi dengan pakaiannya yang agak advance dari usianya.
Bila difikirkan mungkin ada juga benarnya. Pakaian
yang menutupi tubuhnya selama ini hanyalah baju kurung.
Dan wajahnya pula hanya disapukan bedak asas tanpa alat-alat
solek. Malah, selepas kelahiran Nasuha, penampilan dirinya
di hadapan Hakim semakin terabai. Baginya itu semua tidak
perlu kerana Hakim begitu menyayangi dirinya. Mungkin
inilah salah satu punca mengapa Hakim berkahwin lain.
Jika dibandingkan dirinya dengan Sofiana, memang
banyak perbezaannya. Sofiana seorang gadis yang begitu
bergaya semasa di universiti dahulu. Apa sahaja fesyen
terbaru akan digayakan walaupun sesekali Amirah akui fesyen
yang dipilih Sofiana agak tidak sesuai dengan imej seorang
muslimah.
Tapi kini Nur Amirah sudah berubah. Penampilannya
sudah tidak seperti dahulu lagi. Pakaiannya tampak lebih
kasual sesuai dengan gelaran wanita berkerjaya yang
disandangnya. Dia juga sudah pandai bersolek sekarang.
Wajahnya tidak lagi pucat seperti dahulu.
Kata Marissa, dengan gaya sebegitu Amirah kelihatan
seperti anak dara. Ternyata dia begitu jelita. Benar atau tidak,
dia sendiri tidak tahu kerana apa yang lebih penting dia patut
mensyukuri apa saja yang dia punya. Apa-apa pun dia begitu
berterima kasih kepada temannya itu kerana membuka
matanya.
“Alamak!”
Tangan Amirah yang lincah memilih pakaian
terhenti apabila terdengar suara Marissa mengeluh. Cepat dia
mengambil Nasuha yang berada dalam dukungan temannya
itu.
“Sorry Rissa, kesian kau. Habis baju kena aiskrim.
Suha memang nakallah. Tengok apa yang Suha buat dekat
Auntie Rissa,” marah Amirah kepada anaknya. Namun,
anaknya itu langsung tidak memahami apa-apa. Dia hanya
leka dengan aiskrimnya.
“Tak apalah Mira. Aku pergi toilet kejap. Meh sini
Suha. Baju dia pun kotor sangat tu.”
Tanpa banyak soal Amirah memberikan Nasuha
kepada Marissa.
“Kau tu cepat sikit. Lambat betul memilih. Aku pun
kalah dengan kau bab-bab shopping ni,” bebel Marissa.
Amirah hanya tersengih sambil memandang Marissa
membawa anaknya ke tandas. Apabila tubuh mereka berdua
sudah menghilang, dia kembali menoleh untuk menyambung
niatnya memilih pakaian yang tergendala sebentar tadi.
Namun tiba-tiba....
“Aaargghh... saya minta maaf encik,” Amirah
pantas memungut kembali barang-barang yang telah jatuh
akibat pelanggaran yang tidak disengajakannya itu. Lelaki
yang dilanggarnya itu turut membantu. Banyak benar
barang-barang. Shopping sakan ni. Semuanya barang-barang
perempuan. Mesti kepunyaan wanita mengandung yang
berada di sebelahnya.
“Tak apa, saya pun salah juga,” ujar lelaki itu, sopan.
Namun Amirah menyedari akan kelainan suara itu.
Suara itu seakan pernah didengarnya sebelum ini. Dan ia
seperti kepunyaan orang yang begitu dirinduinya. Ahh... tak
mungkinlah! Sangkaannya sahaja barangkali.
Setelah selesai memungut, Amirah lantas bangun
untuk menyerahkan barang-barang itu kepada lelaki yang
sudah pun bangun mendahuluinya. Namun saat mata
bertentang mata, Amirah terasa tubuhnya kaku. Begitu juga
dengan pasangan itu. Kedua-duanya memandang Amirah
dengan pandangan tidak percaya dan keliru.
“Amirah...,” seru lelaki itu perlahan.
Saat itu Amirah mulai gusar. Apatah lagi apabila
melihat mata Sofiana yang menjeling tajam kepadanya.
Ternyata Hakim masih mengenalinya walaupun
penampilannya sudah berubah. Ya Allah, apa yang harus dia
lakukan?
“Mira isteri abang...,” seru Hakim lagi.
Amirah bertambah kalut. Otaknya tidak dapat
merencanakan apa-apa dalam beberapa saat. Hanya
mampu merenung ke dalam mata suami yang sudah lama
ditinggalkannya itu.

No comments:

Post a Comment